Marcello Lippi Gesa Juventus Jual Pogba, Dakwa Juventus Lebih Hebat Lepas Jual Zidane

Ketika ramai penyokong Juventus mahu pemain tengah terbaik mereka, Paul Pogba terus kekal di Turin, Marcello Lippi pula menggesa Juventus untuk menjual.

Bekas pengurus lagenda yang pernah membimbing Juventus menjadi juara Serie A sebanyak 5 kali dan juara UEFA Champions League 1 kali itu percaya penjualan Pogba akan menjadikan Juventus lebih hebat.

“Kami menang segala-galanya selepas menjual Zidane,” kata Lippi kepada media Itali, La Gazzetta dello Sport.

Lippi turut menjelaskan duit yang Juventus perolehi daripada yuran perpindahan Pogba boleh dilaburkan semula untuk membawa 3-4 pemain baru.

“Semasa saya kembali mengurus Juventus, Andrea Agnelli (ahli lembaga pengarah dan anak presiden Juventus) memberitahu saya mereka mahu menjual Zidane.”

“Pada mulanya saya tak bersetuju. Tetapi beliau berjanji duit yang kami dapat akan dilaburkan semula kepada pasukan.”

“Dengan duit penjualan Zidane lah, kami dapat membeli Gigi Buffon, Pavel Nedved dan Lilian Thuram. Kami menang segala-galanya. Jadi ya, Juve patut menjual Pogba.”

Ketika ini Pogba dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya €100 juta (£79 juta) oleh Juventus.

Jika Pogba berjaya dijual pada harga tersebut, Juventus bakal mengaut keuntungan besar memandangkan mereka berjaya membawa masuk Pogba secara percuma dari Manchester United.

Tetapi bagi peminat Pogba, terutamanya Manchester City yang bakal diurus Pep Guardiola pada musim depan, harga £79 juta dan gaji £340,000 seminggu bukanlah satu masalah.

Tetapi mereka perlu berhadapan dengan saingan Real Madrid, PSG, Chelsea dan Bayern Munich.

Menurut laporan akhbar Sepanyol, Sport dan media UK, Sky Sports, Pep Guardiola mahu membina skuad Manchester City yang akan memaksimumkan potensi Paul Pogba.

Bagi kami cadangan Lippi ada risikonya tersendiri kerana salah satu pemain baru Juventus yang dibawa masuk dengan duit penjualan Zidane adalah Marcelo Salas – penyerang Chile yang gagal di Turin.

Malah Pavel Nedved pun sebenarnya hanya bermain pada tahap memuaskan saja jika dibandingkan dengan tahap persembahannya di Lazio.

Lippi juga lupa memberitahu bahawa Juventus sebenarnya ‘gagal’ memenangi UEFA Champions League selepas Zidane dijual.

Sebaliknya Zidane yang memenangi UEFA Champions League bersama kelab barunya, Real Madrid.

Sementara itu, ketika ditanya oleh media mengenai kemungkinannya kembali menjadi pengurus di AC Milan, Lippi menjawab:

“Kadang kala saya rindu juga (mengurus pasukan) ketika menonton perlawanan di TV, tetapi saya tak mahu melatih pasukan lagi. Saya mahu bersara dengan tenang.”

Baca juga: Pogba: Latihan Juventus Sangat Sukar, Latihan Manchester United Bagaikan ‘Percutian’

The post Marcello Lippi Gesa Juventus Jual Pogba, Dakwa Juventus Lebih Hebat Lepas Jual Zidane appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Canizares Mahu De Gea Jadi Penjaga Gol No.1 Sepanyol, Casillas Digugurkan Terus

Iker Casillas mungkin telah muncul sebagai pemain paling banyak mendapat caps antarabangsa di Eropah dengan 166 penampilan, tetapi rekod itu sedikit pun tidak menghalang ramai penyokong Sepanyol yang mempersoalkan kebolehan beliau menjaga gawang La Roja.

Dengan kehadiran ramai penjaga gol muda yang hebat seperti David de Gea (Manchester United), Sergio Rico (Sevilla), Sergio Asenjo (Villareal) dan Jaume Domènech (Valencia), buat kali pertamanya Casillas menghadapi risiko digugurkan daripada skuad Sepanyol untuk EURO 2016.

Prospek menggugurkan penjaga gol Porto itu daripada skuad EURO 2016 turut disuarakan oleh bekas penjaga gol Sepanyol dan rakannya sendiri, Santiago Cañizares.

Santiago Cañizares dan Iker Casillas merupakan kawan baik, dan kedua-duanya datang daripada sistem akademi Real Madrid.

Ketika bercakap dalam program radio El Larguero selepas Sepanyol seri 0-0 dengan Romania pada Ahad lepas, Cañizares yang mesra dipanggil Cañete berpendapat David de Gea sepatutnya sudah menjadi penjaga gol no.1 Sepanyol.

“De Gea sepatutnya sudah menjadi penjaga gol no.1. Prestasi beliau telah lama mengatasi tahap prestasi Casillas.”

Cañizares yang mengumpul 46 caps bersama Sepanyol ketika bermain untuk Valencia turut berpendapat ketua jurulatih Sepanyol, Vincente del Bosque tidak perlu membawa Casillas ke Perancis dalam EURO 2016 nanti.

“Jika De Gea menjadi penjaga gol no.1, saya takkan bawa Casillas dalam skuad sebagai pengganti. Sergio (Rico) dan Jaume (Domènech) lebih sesuai menjadi pengganti De Gea.”

Di Porto, Casillas tidak terlepas daripada kritikan peminat Porto.

Paling terbaru, beliau melakukan beberapa kesilapan besar ketika Porto kalah mengejut 0-1 kepada Vitória de Guimarães dan 1-3 kepada Braga dalam saingan liga Portugal.

Baca juga: 5 Sebab Mengapa Prestasi Real Madrid Teruk Pada 2015

The post Canizares Mahu De Gea Jadi Penjaga Gol No.1 Sepanyol, Casillas Digugurkan Terus appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

9 Memorabilia Bola Sepak Paling Mahal Di Dunia

Daripada jersi, trofi sehinggalah kepada buku, kami senaraikan 9 memorabilia bola sepak yang perlu anda dapatkan jika anda merupakan seorang billionaire.

9. Bola jaringan ke-1,000 Pele

pele 1000 gol

Nilai (anggaran): USD40,000 – USD60,000 (RM160,584 – RM240,876)

Pada 19 November 1969 di Stadium Maracanã, Pele yang pada ketika itu bermain untuk Santos menjaringkan gol ke-1,000 dalam karier profesionalnya ketika menentang Vasco da Gama.

Ketika perlawanan berbaki 12 minit, Pele dijatuhkan oleh pemain Vasco da Gama dan dianugerahkan sepakan penalti.

“Buat kali pertamanya dalam karier saya, saya rasa sangat gementar,” kata Pele ketika mengimbas perasaannya sebelum mengambil sepakan penalti tersebut. Tetapi Pele berjaya mengatasi rasa gementarnya untuk menjaringkan gol ke-1,000.

Selepas menjaringkan gol, Pele segera berlari mendapatkan bola tersebut. Dan pada musim panas 2016 nanti, bola tersebut akan dilelong oleh Julien’s Auctions untuk dijadikan dana sumbangan kepada Pequeno Príncipe Childrens Hospital and Research Institute di Brazil.

Menurut Julien’s Auctions, mereka menganggarkan bola tersebut akan dijual pada harga sekitar RM160,584 hingga RM240,876.

8. Pingat juara Piala Dunia 1966 milik Gordon Banks

Nilai: £124,750 (RM709,795)

Seorang pembeli misteri memiliki pingat juara Piala Dunia 1966 milik penjaga gol England, Gordon Banks pada harga £124,750 (RM709,795) selepas dilelong pada tahun 2001.

Ketika ditanya oleh media mengapa beliau mahu menjual pingat tersebut, Banks terus-terang memberitahu beliau memerlukan duit tersebut untuk belanja keluarganya.

7. Jersi final Piala Dunia 1970 milik Pele

pele rosato 1970

Nilai: £157,750 (RM897,021)

Setelah tamat perlawanan final Piala Dunia 1970 menentang Brazil, pertahanan Itali Roberto Rosato berlari pantas untuk mendapatkan jersi kuning Brazil milik Pele.

Dalam perlawanan tersebut, Itali dibelasah Brazil 1-4.

32 tahun kemudian, Rosato membuktikan keputusannya berlari mendapatkan jersi Pele membuahkan hasil lumayan apabila harga lelongan jersi Pele tersebut mencapai harga £157,750 (RM897,021).

Jersi kuning yang lengkap dengan kotoran rumput berwarna hijau itu diragui keasliannya di Brazil selepas rakan sepasukan Pele, Mario Zagallo mendedahkan beliau memiliki jersi separuh masa pertama Pele dalam perlawanan tersebut.

Jurulatih kecergasan Brazil, Admilo Chirol pula memiliki jersi separuh masa kedua Pele.

Tetapi wakil pelelong menekankan kenyataan Zagallo tidak benar dan memberitahu jersi Pele yang dilelong oleh mereka adalah yang asli selepas disahkan oleh Pele sendiri dan panel penguji kualiti.

6. Pingat juara Piala Dunia 1966 milik Nobby Stiles

nobby stiles medal 1966

Nilai: £184,000 (RM1,046,288)

Pada tahun 2007, pemenang Piala Dunia edisi 1966 bersama skuad England, Nobby Stiles menjual pingat kejuaraannya kepada Manchester United dengan harga £184,000 (RM1,046,288).

Nobby Stiles yang juga merupakan bekas pemain Manchester United merupakan antara pemain kesebelasan utama England semasa menjuarai Piala Dunia 1966.

Beraksi di posisi defensive midfielder, Stiles pernah ditugaskan untuk melakukan man marking kepada penyerang tersohor, Eusebio, semasa England menentang Portugal dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia 1966.

Persembahan cemerlangnya membuatkan Eusebio ‘tidak hidup’ sepanjang perlawanan. Semasa final, Stiles membantu pasukannya menewaskan Jerman Barat 4-2 untuk muncul juara Piala Dunia 1966.

Ketika ditanya wartawan mengapa beliau menjual pingat tersebut, Stiles memberitahu:

“Saya mahu tinggalkan sedikit harta untuk anak cucu saya.”

5. Replika trofi Jules Rimet

jules rimet replica

Nilai: £254,500 (RM1,447,176)

Trofi yang dijual ini hanyalah merupakan replika yang digunakan FIFA untuk acara pertunjukan selepas dua kali dicuri pada 1966 dan 1983. Trofi yang sebenar telah dicairkan menjadi bar emas selepas dicuri di Brazil pada 1983.

Pada 1997, replika trofi ini telah dilelong. Walaupun hanya bernilai £20,000 hingga £30,000 (RM113,727-170,590) sahaja, lelongan ini berjaya mencapai harga jualan sebanyak £254,500 (RM1,447,176) – 10 kali ganda daripada harga asal.

Siapa pembelinya? FIFA.

Harga lelongan yang melambung tinggi ini menimbulkan spekulasi di media kononnya trofi yang dilelong ini sebenarnya merupakan trofi sebenar.

Tetapi selepas menguji keaslian trofi tersebut, FIFA mendedahkan trofi yang dibeli tersebut hanyalah merupakan jenis replika sahaja.

4. Trofi Juliet Rimet edisi khas Pele

Pele-with-the-World-Cup-trophy-1970

Nilai (anggaran): USD400,000 – USD600,000 (RM1,605,840 – RM2,408,760)

Juga bakal dilelong oleh Julien’s Auctions pada musim panas 2016 nanti, trofi ini diberikan oleh FIFA dan kerajaan Mexico kepada Pele selepas beliau mengetuai Brazil menjuarai Piala Dunia buat kali ketiga pada tahun 1970.

Pada trofi tersebut, ia terukir 3 rekod kemenangan Brazil dalam Piala Dunia yang disertai oleh Pele.

Memandangkan trofi ini sangat unik, Julien’s Auctions memberi kenyataan bahawa piala ini mampu mencapai harga USD1 juta (RM4,014,600).

Bayangkan, harga katalog untuk acara lelongan trofi ini sahaja sudah berharga USD300 (RM1,204).

3. Piala FA England

fa cup trophy auctioned

Nilai: £478,400 (RM2,720,349)

Piala FA yang dihasilkan pada 1896 ini merupakan piala asli untuk kejohanan bola sepak tertua di dunia.

Ia sebenarnya merupakan salah satu daripada 4 piala FA asli yang dihasilkan sebagai pengganti kepada trofi asal yang dicuri. 3 trofi asli yang lain masih berada di bawah simpanan England FA.

Pada tahun 2005, piala ini dijual dalam satu lelongan pada harga £478,400 (RM2,720,349). Pembelinya? David Gold, pemilik bersama kelab West Ham United.

2. Buku peraturan bola sepak Sheffield 1858

regeln2-HA-Hamburg-London

Nilai: £881,250 (RM5,011,095)

Buku peraturan bola sepak Sheffield yang ditulis dengan tulisan tangan pada 1858 ini merupakan buku asli tentang peraturan bola sepak yang paling tertua di dunia.

Buku ini mempunyai signifikan yang sangat tinggi kerana penghasilan buku peraturan inilah yang bertanggungjawab mencipta (dan memisahkan) sukan bola sepak dan sukan ragbi moden.

Antara kandungan buku tersebut yang masih digunakan dalam sukan bola sepak sehingga kini adalah peraturan sepakan sudut, sepakan percuma, sepakan gol, balingan ke dalam dan larangan menggunakan tangan.

Buku yang dilelong oleh Sheffield FC pada harga £881,250 (RM5,011,095) dan merupakan satu-satunya salinan buku peraturan bola sepak paling tua yang masih wujud sehingga kini.

Ia dijual oleh Sheffield FC pada 2011 selepas kelab tersebut mengalami masalah kewangan.

1. Jersi final Piala Dunia 1966 milik Geoff Hurst

article-1280636-09B2F908000005DC-725_468x480

Nilai: £2.3 juta (RM13.08 juta)

Jersi merah lengan panjang ini pada mulanya dijual oleh Geoff Hurst dalam satu lelongan pada tahun 2000 dengan harga £91,750 (RM521,722).

Pada ketika itu, Hurst turut menyertakan topi perlawanan dan trofi pemain terbaik perlawanan dalam lelongan jersi tersebut.

10 tahun selepas jersi ini dijual, ia dilelong sekali lagi. Kali ini jersi tersebut sahaja sudah mencecah harga £2.3 juta (RM13.08 juta).

Dikhabarkan pemiliknya turut membayar £1 juta hanya untuk menginsurankan jersi tersebut.

Jersi tersebut dipakai oleh Hurst ketika menjaringkan hatrik dalam final Piala Dunia 1966 untuk memberikan satu-satunya kejuaraan Piala Dunia untuk England sehingga kini.

Malah Hurst juga kekal sebagai satu-satunya pemain yang menjaringkan hatrik dalam final Piala Dunia sehingga kini.

Tak hairanlah harga jersi ini boleh mencapai nilai juta!

Baca juga: 10 Jersi Bola Sepak Paling Laris Di Dunia Sepanjang 2015

The post 9 Memorabilia Bola Sepak Paling Mahal Di Dunia appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Romania Letak Masalah Matematik Di Jersi Untuk Galak Kanak-Kanak Minat Matematik

“Bola sepak dan matematik bukanlah dua perkara yang berasingan,” menurut presiden Persatuan Bola Sepak Romania, Razvan Burleanu.

Matematik mempunyai banyak aplikasi dalam bola sepak. Dari menilai tahap kewangan pasukan sehinggalah kepada menilai tahap persembahan pemain, bola sepak menawarkan banyak peluang kerjaya kepada peminat subjek matematik di sekolah.

Inilah mesej yang cuba disemai oleh pasukan kebangsaan Romania kepada kanak-kanak di negara mereka – matematik itu subjek yang menyeronokkan.

Dalam persiapan pasukan kebangsaan Romania sebelum perlawanan persahabatan menentang Sepanyol yang berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia), pemain Romania menukar nombor jersi mereka kepada masalah matematik.

romania math 2

Kapten Romania, Vlad Chiriches yang biasanya memakai nombor 6 misalnya, mempunyai masalah matematik 2 x 2 + 2 tertera di belakang jersi latihannya.

Usaha ini dilakukan untuk membantu masalah minat rendah kanak-kanak Romania terhadap pendidikan sekolah.

Menurut rekod European Union (EU), kadar kanak-kanak Romania yang tidak menghabiskan persekolahan pada tahun 2014 adalah setinggi 18% – paling tinggi di Eropah.

Sebagai perbandingan, kadar kanak-kanak Malaysia yang tidak menghabiskan persekolahan pada tahun 2012 adalah 3.6%.

Persatuan Bola Sepak Romania melihat integrasi masalah matematik ini dengan sukan bola sepak mampu menarik minat kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah matematik tersebut, sekaligus memberi mereka sebab untuk kekal bersekolah.

“Melalui projek ini, kanak-kanak akan belajar asas bola sepak dan mempunyai peluang untuk memepelajari matematik melalui pendekatan yang menarik.”

Romania seri 0-0 dengan Sepanyol awal pagi tadi.

Selepas bergelar naib juara kumpulan kelayakan EURO 2016 di belakang Ireland Utara, Romania layak ke EURO 2016 pada musim panas nanti. Mereka akan bertemu tuan rumah, Perancis dalam perlawanan pembukaan pada 10 Jun 2016 nanti.

Selain Perancis, Romania turut akan berhadapan dengan Switzerland dan Albania dalam perlawanan kumpulan mereka di EURO 2016 nanti.

Kami berharap negara-negara lain juga akan melakukan perkara sama untuk menarik minat kanak-kanak terhadap subjek matematik, termasuklah Malaysia.

Baca juga: 6 Rahsia Kejayaan Bola Sepak Iceland, Negara Paling Kecil Yang Layak EURO 2016

The post Romania Letak Masalah Matematik Di Jersi Untuk Galak Kanak-Kanak Minat Matematik appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Penyokong Undi 11 Pemain Paling Teruk Yang Pernah Mewakili Kelab Mereka. Ini Keputusannya.

Pemain lagenda sentiasa diingati oleh penyokong. Tetapi penyokong juga tidak pernah melupakan pemain paling teruk yang pernah mewakili kelab kesayangan mereka.

Dalam forum Reddit, kami meminta peminat bola sepak untuk menyenaraikan 11 pemain (mengikut posisi) paling teruk yang pernah mewakili kelab mereka.

Respon yang kami terima sangatlah positif, terutamanya daripada penyokong kelab liga England. Jadi kami kumpulkan hasil penemuan kami kepada 10 kelab utama di Eropah.

Berikut merupakan 11 pemain paling teruk yang pernah mewakili kelab mereka:

1. Tottenham Hotspur

Formasi dipilih: 4-4-2

Penjaga gol: Radek Cerny

Pertahanan: Goran Bunjevčević, Mbulelo Mabizela, Alton Thelwell, Gilberto da Silva Melo

Tengah: Øyvind Leonhardsen, Milenko Ačimovič, Michael Brown, Willem Korsten

Penyerang: Bobby Zamora, Helder Postiga

2. Arsenal

Formasi dipilih: 4-4-2

Penjaga gol: Richard Wright

Pertahanan: Nelson Vivas, Igors Stepanovs, Pascal Cygan, Gus Caesar

Tengah: Kaba Diawara, Junichi Inamoto, Denilson, Amaury Bischoff

Penyerang: Christopher Wreh, Francis Jeffers

3. Liverpool

Formasi dipilih: 4-4-2

Penjaga gol: Adam Bogdan

Pertahanan: Philipp Degen, Djimi Traore, Danny Wilson, Paul Konchesky

Tengah: Antonio Nunez, Christian Poulsen, Salif Diao, Bruno Cheyrou

Penyerang: El Hadji Diouf, Andrij Voronin

4. Chelsea

Formasi dipilih: 4-3-3

Penjaga gol: Ross Turnbull

Pertahanan: Khalid Bouhlarouz, Winston Bogarde, Jes Høgh, Asier del Horno

Tengah: Juan Sebastian Veron, Slaviša Jokanović, Enrique de Lucas

Penyerang: Shaun Wright-Phillips, Robert Fleck, Mateja Kezman

5. Manchester City

Formasi dipilih: 4-3-3

Penjaga gol: Simon Tracey

Pertahanan: Danny Mills, Tal Ben Haim, Stefan Savic, Ben Thatcher

Tengah: Steve McManaman, Ousmane Dabo, Kelvin Etuhu

Penyerang: Roque Santa Cruz, Jo, Craig Russell

6. Manchester United

Formasi dipilih: 4-4-2

Penjaga gol: Massimo Taibi

Pertahanan: Ronnie Wallwork, William Prunier, Jonathan Spector, Michael Clegg

Tengah: Bebe, Eric Djemba-Djemba, Liam Miller, Kleberson

Penyerang: David Bellion, Manucho

7. Bayern Munich

Formasi dipilih: 4-4-2

Penjaga gol: Lukas Raeder

Pertahanan: Christian Lell, Massimo Oddo, Breno, Edson Braafheid

Tengah: Andreas Herzog, Andreas Ottl, Landon Donovan, Michael Wiesinger

Penyerang: Vahid Hashemian, Ali Daei

8. Juventus

Formasi dipilih: 4-2-3-1

Penjaga gol: Antonio Chimenti

Pertahanan: Jorge Andrés Martínez, Jean-Alain Boumsong, Jorge Andrade, Cristian Molinaro

Tengah: Milos Krasic, Tiago Mendes, Sunday Oliseh, Eljero Elia, Diego

Penyerang: Amauri

9. Barcelona

Formasi dipilih: 4-3-3

Penjaga gol: Roberto Bonano

Pertahanan: Samuel Okunowo, Dmytro Chygrynskiy, Philippe Christanval, Winston Bogarde

Tengah: Fábio Rochemback, Gerard López, Dragan Ćirić

Penyerang: Aliaksandr Hleb, Alfonso Pérez, Geovanni

10. Real Madrid

Formasi dipilih: 4-2-3-1

Penjaga gol: Albano Bizzarri

Pertahanan: Carlos Secretário, Jonathan Woodgate, Predrag Spasic, Royston Drenthe

Tengah: Pablo Gabriel García, Thomas Gravesen, Ivan Campo

Penyerang: Julien Faubert, Perica Ognjenović, Antonio Cassano

Baca juga: 10 Pemain Yang Merosot Pada Mulanya, Kemudian Berubah Menjadi Pemain Bintang

The post Penyokong Undi 11 Pemain Paling Teruk Yang Pernah Mewakili Kelab Mereka. Ini Keputusannya. appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Blackburn Rovers 1994/1995: Juara Yang Dilatih Dalglish, Diketuai Sherwood, Ditunjangi Gandingan SAS

Mendahului liga dengan 5 mata ketika saingan liga yang hanya berbaki 7 perlawanan, ramai peminat bola sepak Inggeris sudah mula menyamakan Leicester City dengan skuad Blackburn Rovers musim 1994/1995.

Kedua-duanya merupakan pasukan bukan pilihan. Kedua-duanya bermain dengan formasi klasik 4-4-2. Dan kedua-duanya mendahului liga ketika bulan Mac.

Sejarah Blackburn Rovers musim 1994/1995

Jika kita bandingkan skuad Leicester City dengan skuad Blackburn Rovers musim 1994/1995 dahulu, Blackburn sebenarnya mempunyai sedikit kelebihan berbanding Leicester.

Mereka mempunyai kelebihan dari segi kewangan pada waktu itu berbanding Leicester City hari ini.

Lahir di Blackburn, Lancashire, Jack Walker merupakan seorang usahawan berjaya yang fanatik menyokong Blackburn Rovers.

Pada Januari 1991, impian Walker untuk membeli kelab kesayangannya menjadi kenyataan. Tetapi Blackburn yang dibelinya pada ketika itu sedang bergelut dalam Division 2 (sekarang dipanggil Sky Bet Championship).

Blackburn menamatkan musim 1990/1991 dengan hanya menduduki tempat ke-19 daripada 24 pasukan.

Revolusi Blackburn di bawah Walker

Musim berikutnya iaitu pada musim 1991/1992, boleh dikatakan bermulanya kebangkitan Blackburn.

Jack Walker membawa masuk lagenda Liverpool, Kenny Daglish untuk mengepalai kebangkitan Blackburn selaku selaku pemain dan pengurus baru. Dalglish dilantik untuk menggantikan Don Mackay yang dipecat selepas beberapa perlawanan awal.

Tindakan Jack Walker mengambil Dalglish – pengurus terbaik tahunan sebanyak 3 kali ketika bersama Liverpool – membuahkan hasil.

Musim 1991/1992 Blackburn menduduki tangga ke-6 liga dan seterusnya memenangi play-off untuk dinaikkan ke Division 1.

Blackburn di Premier League

Pada musim 1992/1993 iaitu musim pertama Division 1 ditukar menjadi Premier League, Jack Walker membenarkan Dalglish untuk berbelanja besar.

Dalglish memanfaatkan kebebasan yang diberikan oleh Walker sepenuhnya dengan memecah rekod perpindahan British (£3.6 juta) pada ketika itu untuk mendapatkan penyerang muda Southampton, Alan Shearer.

Apa yang lebih mengagumkan adalah, Dalglish berjaya mendapatkan Shearer yang pada ketika itu turut sedang dirisik oleh Manchester United.

Dalam satu dokumentari, Shearer memberitahu punca beliau pergi ke Blackburn adalah kerana beliau tidak menerima panggilan kedua dari United. Sebaliknya United mengalihkan perhatian mereka kepada Eric Cantona sebagai alternatif.

Selain Shearer, Dalglish turut membawa masuk Tim Sherwood dan menjadikannya kapten Blackburn Rovers pada musim tersebut.

Musim 1992/1993 berakhir dengan Blackburn menduduki tangga ke-4 pada musim sulung Premier League, hanya beza 1 mata dengan pasukan tempat ke-3, Norwich City yang meraih slot ke UEFA Cup.

Bagi sebuah pasukan yang baru dipromosi ke liga teratas England seperti Blackburn, tempat ke-4 liga adalah pencapaian yang sangat bagus.

Dari pasukan sederhana kepada pencabar liga

Musim 1993/1994 merupakan musim paling signifikan dalam perjalanan kebangkitan Blackburn.

Jika pada musim sebelumnya Blackburn kehilangan Alan Shearer yang terpaksa berehat lama angkara kecederaan ACL, pada musim ini Shearer mula menunjukkan prestasi prolifiknya dengan meledak 31 gol untuk Blackburn.

Pada satu ketika di bulan April, Blackburn mengumpul jumlah mata yang sama dengan Manchester United yang berada di puncak liga.

Bagaimanapun Blackburn gagal menunjukkan konsistensi dalam 5 perlawanan terakhir liga di bulan Mei. Manchester United muncul juara liga manakala Blackburn terpaksa berpuas hati sekadar di tangga kedua liga.

Dari pencabar liga kepada juara liga

Dalam usaha mereka untuk menjadi juara liga, Blackburn Rovers berbelanja besar sekali lagi pada musim 1994/1995.

Kali ini pengurus Blackburn, Kenny Dalglish memecah 2 rekod:

  • rekod perpindahan termahal British dengan membayar £5 juta untuk mendapatkan penyerang muda Norwich City, Chris Sutton.
  • rekod perpindahan termahal British untuk penjaga gol dengan membayar £2.5 juta untuk penjaga gol Southampton, Tim Flowers.

Kehadiran Chris Sutton lantas menghasilkan gandingan serangan lagenda Premier League iaitu duo SAS (Shearer and Sutton); gandingan penyerang paling mahal di Britain pada ketika itu.

Apa yang menariknya ketika Premier League mula menyaksikan kebanjiran pemain bukan British, hampir semua kesebelasan utama Blackburn pada ketika ini adalah pemain keturunan British.

Kecuali bek kanan mereka, Henning Berg dari Norway.

Terkeluar awal dari saingan League Cup, FA Cup, dan UEFA Cup ternyata memberi kelebihan kepada Blackburn untuk fokus kepada saingan liga. Tetapi itu tak bermakna Blackburn mempunyai jalan mudah dalam liga.

Musim 1994/1995 diklasifikasikan sebagai antara musim paling mendebarkan dalam sejarah Premier League kerana penentuan kejuaraannya yang berlarutan sehingga ke perlawanan terakhir liga.

Perlawanan terakhir Blackburn adalah menentang kelab lama Dalglish, Liverpool di Anfield.

Blackburn turun menentang Liverpool dengan kelebihan 2 mata mengatasi Manchester United di tempat kedua. Mereka perlu menang. Seri atau kalah bukanlah satu pilihan.

Blackburn tewas kepada Liverpool 1-2 dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun bagai sudah tertulis di langit, Manchester United pula hanya sekadar seri 1-1 menentang West Ham. Keputusan ini mengesahkan kejuaraan Blackburn dan penantian 81 tahun mereka tanpa kejuaraan liga!

Perjalanan berbeza, karakter sama

Perlu diingat sebelum Blackburn Rovers menjadi juara liga, mereka sebenarnya telah diperhatikan oleh media sebagai pencabar kejuaraan liga berdasarkan rekod perbelanjaan dan prestasi mereka pada musim sebelumnya.

Leicester City pula bergelut di pertengahan liga pada musim lepas. Pembelian termahal mereka hanya memakan kos £7 juta untuk membawa masuk Shinji Okazaki.

Bagaimanapun, walaupun perjalanan mereka masing-masing berbeza, kedua-dua pasukan ini memiliki karakter yang sama – bekerja keras.

Tak mustahil Leicester City bakal menjadi juara liga pada musim ini jika kita nilai hanya berdasarkan karakter mereka sahaja.

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Zulfo Mahadi, peminat EPL sejak era pertengahan 90-an. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke semuanyabola@gmail.com.

Baca juga: England Lancarkan Liga Bola Sepak Eksklusif Hanya Untuk Lelaki Gemuk

The post Blackburn Rovers 1994/1995: Juara Yang Dilatih Dalglish, Diketuai Sherwood, Ditunjangi Gandingan SAS appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

700 Komen Negatif Dalam Masa 30 Minit, Perlantikan Presiden Baru KFA Diprotes Penyokong Kedah

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baru, YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah mempunyai tugas berat untuk memenangi hati penyokong Kedah.

Ini kerana rata-rata penyokong Kedah memberikan reaksi negatif kepada berita perlantikan rasminya sebagai presiden KFA di laman Facebook rasmi Kedah FA.

Mengikut tinjauan kami, gambar YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang sedang memakai blazer KFA menerima lebih 700 komen negatif hanya dalam masa 30 minit.

Selain meluahkan protes mereka dengan emoji ‘muntah’, penyokong Kedah juga membangkitkan isu Ahmad Bashah yang tidur ketika ucapan Sultan Kedah dan sokongan mereka kepada mantan presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

bashah1

Selain itu, ada juga beberapa penyokong Kedah yang memuat naik semula status Ultras Kedah 2009 yang mendedahkan cubaan gagal Ahmad Bashah untuk berdamai dengan penyokong Kedah.

bashah2

Dalam laman Facebook rasmi mereka, Ultras Kedah menjelaskan mereka ‘tak pandai berdamai’ dengan presiden KFA baru, sambil menyuruh beliau untuk ‘berdamai dengan orang lain’.

Kalau bak berdamai, berdamai lah dgn org lain, kami tak pandai nak berdamai. Yg kami tau kami syg negeri kami ja. Kalau…

Posted by Ultras Kedah 2009 – UK09 on Wednesday, March 23, 2016

Sebagai rekod, Ahmad Bashah dilantik sebagai presiden baru KFA selepas perletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah pada 3 Februari 2016 yang lepas.

Dengan perletakan jawatan Mukhriz sebagai menteri besar, kerusi presiden KFA telah dikosongkan untuk diisi oleh menteri besar baru, iaitu Ahmad Bashah.

Dalam Liga Super, Kedah sedang berada di tangga ke-6 liga, 5 mata di belakang JDT selaku pendahulu liga.

Baca juga: Pemain Import Kedah Ini Melakukan Apa Yang Tak Mampu Dilakukan Oleh Pengadil

The post 700 Komen Negatif Dalam Masa 30 Minit, Perlantikan Presiden Baru KFA Diprotes Penyokong Kedah appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

7 Laman Web Rasmi Terbaik Pasukan Liga Perdana 2016

Kami sudah memberikan ulasan untuk laman web rasmi bagi pasukan Liga Super 2016. Kali ini, kami akan ulas laman web rasmi pasukan Liga Perdana pula.

Secara keseluruhannya, hanya 7 dari 12 pasukan Liga Perdana yang mempunyai laman web rasmi yang di kemas kini.

Jika dibandingkan dengan laman web pasukan Liga Super, tidak keterlaluan untuk dikatakan ada laman web pasukan Liga Perdana yang lebih baik kualitinya.

7. Kuantan FA (http://www.kuantanfa.com/)

Kami memerlukan sedikit masa untuk menemui laman web rasmi Kuantan FA kerana pautan laman rasmi kelab ini hanya kami temui di Wikipedia.

Dari sudut positif, laman web Kuantan FA tampak kemas, dengan menggunakan tona warna kelab mereka. Pautan-pautan ke bahagian lain juga tersusun kemas di bahagian atas homepage.

kuantanfa

Antara kandungan laman web yang paling kami suka adalah bahagian sejarah penubuhan Kuantan FA. Tetapi alangkah baiknya jika bahagian ini turut memaparkan beberapa gambar awal penubuhan Kuantan FA.

kuantan 3

Bagaimanapun masih ada beberapa pembaikan yang boleh dilakukan dalam laman web ini.

Misalnya, bahagian profil pemain yang terlalu ringkas. Gambar yang diletakkan juga terlalu kecil. Manakala tulisan biodata pemain juga terlalu kecil sehingga sukar untuk dibaca.

kuanta2

Di bahagian media, pautan nampak dimuat naik secara sambil lewa. Mungkin laman web Kuantan FA boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh laman web rasmi Selangor FA dalam bahagian ini.

kuantan4

Selain bahagian berita yang sudah lama tidak dikemas kini, segmen galeri dan video juga menerima nasib yang sama.

Namun kekurangan paling utama laman web ini adalah ketiadaan paparan keputusan terkini perlawanan serta carta liga. Bagi sebuah laman web kelab bola sepak, aspek ini tak sepatutnya diabaikan.

6. Perlis FA (http://www.singautara.net/v6/)

Walaupun mempunyai nama domain yang berbeza dengan nama sebenar pasukan, laman web ini masih berjaya muncul di page pertama carian Google apabila anda menaip ‘Perlis FA’.

Ciri ini penting dalam usaha menarik trafik masuk ke laman web.

perlis1

Antara aspek positif lain yang berjaya kami kesan adalah ruangan berita yang di kemas kini dengan baik. Susun atur laman web mereka juga kemas.

Dari segi user experience (UX), keinteraktifan laman web ini masih bersederhana.

Tetapi sekurang-kurangnya, keputusan perlawanan dan berita terbaru pasukan dikemaskini dengan secukupnya.

perlis2

Kami juga sukakan bahagian laporan perlawanan yang disediakan oleh laman web ini.

Cuma, adalah lebih baik jika statisik perlawanan seperti nama penjaring gol dan kutipan kad dapat ditambah ke dalam pautan ini.

Bagaimanapun dari segi kandungan, kami agak kecewa kerana tiada:

  • ruangan profil pemain
  • ruangan stuktur organisasi kelab
  • senarai nama staf kejurulatihan
  • kemaskini dalam ruangan galeri yang hanya mempunyai 3 keping gambar

perlis3

Kami berpendapat pihak pengurusan laman web Perlis FA perlu memperbaiki kelemahan ini.

5. Melaka United (www.melakaunited.com/)

Kami pernah diberitahu pada musim lepas bahawa Melaka United hanya mempunyai laman web yang menggunakan platform Blogspot.

Mujurlah pada tahun ini, Melaka United beralih kepada platform WordPress yang nampak jauh lebih profesional.

Laman web mereka juga tak sukar dicari. Dengan hanya menaip ‘Melaka United’ di Google, pengunjung dapat mencarinya di page pertama.

melakau1

Sekali imbas, laman web baru Melaka United ini kelihatan kemas dan bersih dengan kemaskini berita yang pantas.

Jadual perlawanan dan carta liga juga dikemas kini dengan cukup cemerlang.

Selain itu, ia juga cukup interaktif kepada pengunjung.

melakau2

Bagaimanapun kelemahan ketara laman web ini adalah dari segi kandugan. Ia nyata tiada aspek yang menarik selain dari segmen berita.

Logo penaja juga gagal kami kesan di laman web ini selain ketiadaan bahagian galeri.

Di bahagian pengenalan pemain dan pihak kejurulatihan, hanya nama dan nombor jersi sahaja yang diletakkan. Ada baiknya jika gambar pemain boleh turut disertakan di bahagian tersebut.

mekalu3

Secara keseluruhannya, ia berpotensi menjadi laman web yang baik. Cuma kandungan artikel, gambar dan info-info pemain dan staf perlu ditambah untuk bacaan pengunjung laman web ini.

4. Negeri Sembilan FA (http://www.pbns.my/)

Belum pun mengulas, kami sudah menghadapi kesukaran untuk mencari laman web rasmi Negeri Sembilan di Google.

Hanya setelah diberikan rujukan oleh rakan kami, Ultra Jang di Twitter, barulah kami menjumpai laman web ini.

n9

Setelah berjaya mengakses masuk ke laman web ini, kami hampa dengan first impression yang diberikan kepada kami.

Homepage banner laman web ini bukan saja nampak amatur dengan meletakkan gambar kasual, malah kerja grafiknya juga nampak terlalu amatur.

Mujurlah kandungan laman web ini dikemas kini dengan cemerlang, baik di ruangan berita, carta liga serta bahagian perkongsian video.

Di ruangan berita, ia turut memuatkan gambar-gambar dari perlawanan yang diulas. Gambar yang dimuat naik juga kelihatan cantik, lengkap dengan watermark beserta saiz resolusi yang besar.

n93

Namun, aspek user experience (UX) masih perlu dibaiki oleh laman web ini.

Antara langkah pembetulan yang perlu dibuat segera adalah meletakkan navigation bar yang tiada dalam laman web ini.

Navigation bar bakal memudahkan proses navigasi pengunjung ke laman web ini. Tanpa navigation bar, pengunjung terpaksa menggunakan butang back di browser. 

Bayangkan betapa ralitnya pengunjung laman web yang terpaksa menekan butang back berkali-kali hanya untuk kembali ke homepage.

Selain itu, bahagian profil pemain juga boleh diperbaiki dengan lebih baik.

n91

Laman web ini sudah cukup mengagumkan kami apabila membekalkan statistik perlawanan bagi setiap pemain. Namun di bahagian biografi, hanya separuh sahaja bahagian biografi pemain yang disediakan.

Ia benar-benar mencacatkan pengalaman navigasi kami di laman web ini.

Bahagian galeri pemain juga seharusnya dibuang terlebih dahulu jika masih belum siap dikemaskini.

3. Sabah FA (http://sabahfa.com/)

Apabila kami menaip ‘Sabah FA’ dalam carian Google, ternyata laman web rasmi Sabah FA ini mudah untuk dicapai.

Kami terpaksa menunggu agak lama untuk menunggu laman web ini habis loading.

Tetapi sebaik saja masuk saja ke homepage, kami kagum dengan first impression yang kami lihat.

sabah1

Sekali imbas, laman web ini kemas, minimalistik tetapi masih ada sentuhan elegan.

Kami suka dengan persembahan bahagian profil pemain-pemain Sabah yang amat mirip dengan laman web Johor Southern Tigers. Ianya lengkap dengan butang like untuk setiap pemain.

sabah3

Setiap pemain Sabah juga diberikan info ringkas, beserta gambar pemain yang jelas.

sabah2

Secara keseluruhannya, laman web ini lengkap dari segala segi. Cuma ia kekurangan artikel dan info sejarah yang unik. Ini membuatkan lawatan kami ke laman web ini tidak terlalu lama.

2. PKNS ( http://www.selangorpknsfc.com/v4/ )

Tahniah kami ucapkan kepada pasukan PKNS kerana sudah mempunyai laman web sendiri.

Jika tak salah kami sewaktu membuat kajian sama pada musim lepas, laman web rasmi PKNS FC masih diletakkan dibawah domain laman web syarikat PKNS (betulkan kami jika salah).

pkns1

Mudah dicari melalui Google, laman web ini juga mempunyai paparan home page yang nampak profesional dan berimej korporat.

Kami juga kagum dengan kemaskini berita yang pantas, beserta ruangan galeri yang dipenuhi gambar terbaru aksi pemain PKNS yang beresolusi tinggi.

Di bahagian bawah, terdapat logo-logo penaja rasmi yang disusun dengan kemas.

pkns2

Antara aspek yang boleh diperbaiki lagi adalah menambah info dan user interaction (likes, share dan sebagainya) di bahagian profil pemain yang kelihatan terlalu kaku.

pkns4

Selain itu, terdapat beberapa pautan yang tidak aktik (deadlinks) di bahagian akademi dan media.

Selain itu, widget jadual perlawanan di homepage laman web ini juga masih tak dikemaskini kerana ia masih mengandungi data Piala Malaysia 2015.

1. Sime Darby FC (https://www.simedarbyfc.com/)

SIM2

Jika kami dapat simpulkan laman web rasmi Sime Darby FC dalam satu perkataan, ia adalah – kesempurnaan.

Seperti review kami pada tahun lepas, kami gagal menjumpai apa-apa kecatatan kepada laman web ini. Bak kata pepatah Inggeris:

“If it ain’t broke, why do you need to fix it?”

SIM5

Sudahlah ia mudah dicari melalaui Google, reka bentuk laman web Sime Darby ini nyata berada di kelas tersendiri.

Selain reka bentuk yang interaktif dan cantik, kandungan laman web seperti artikel berita dan galeri gambar juga dikemas kini dengan cukup sempurna.

Keinteraktifan laman web ini cukup mengagumkan dan masih gagal ditandingi oleh mana-mana laman web rasmi lain di Malaysia.

Contoh terbaik adalah di bahagian profil pemain skuad senior Sime Darby yang saling tak tumpah seperti profil pemain dalam permainan FIFA Ultimate Team.

SIM4

Antara ciri lain yang memberikan laman web ini kelebihan adalah customization features yang dibuat dengan bersungguh-sungguh. Kami dapat merasakan laman web ini ‘mahal’.

Contohnya adalah butang integrasi media sosial (Twitter dan Facebook) kelab yang dihias dengan warna tradisi pasukan Sime Darby FC.

Terdapat juga segmen media room yang benar-benar memudahkan tugas kami sebagai pihak media untuk mencapai info dan gambar-gambar yang kami perlukan.

SIM6

Dan seperti tahun lepas, kami masih gagal mencari sebarang cacat cela pada laman web rasmi pasukan Sime Darby.

Tahniah kerana menjadi antara laman web bola rasmi pasukan bola sepak yang terbaik di Malaysia!

Baca juga: 6 Laman Web Rasmi Terbaik Pasukan Liga Super 2016

The post 7 Laman Web Rasmi Terbaik Pasukan Liga Perdana 2016 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Pengeboman Ankara Dan Istanbul: Mengapa Turki Tidak Mendapat Kempen Solidariti Seperti Paris?

Pada petang Sabtu 13 Mac 2016 yang lepas, sebuah bom meletup berhampiran dengan perhentian bas di tengah bandar Ankara. Letupan bom tersebut meragut 37 nyawa orang awam. Ratusan lagi cedera.

Antara yang terkorban adalah Kemal Bulut; bapa kepada penyerang Turki dan Galasataray, Umut Bulut.

Umut Bulut merupakan penyerang berusia 32 tahun dan sudah mempunyai 36 caps bersama pasukan kebangsaan Turki.

_88765456_tweettt

Untuk pengetahuan anda, letupan bom yang mengorbankan bapa Umut Bulut ini merupakan serangan maut ke-4 yang berlaku di Turki sejak Oktober 2015.

Empat serangan ini saja sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 175 nyawa orang awam, jauh melebihi 130 nyawa yang diragut oleh kes pengeboman Paris pada November 2015 yang lepas.

Dan ketika artikel ini ditulis, bandar Istanbul baru saja (2 hari lepas) menjadi saksi serangan bom yang mengorbankan sekurang-kurangnya 4 orang.

Tetapi di mana kempen solidariti untuk Turki?

Di mana kempen ‘Je suis’ untuk Ankara dan Istanbul?

Di mana kempen ‘Pray for Turkey’?

Di mana Facebook app yang membolehkan pengguna menukar gambar profil mereka kepada bendera Turki?

Latar belakang serangan bom di Turki

Kami pernah menulis dalam artikel ‘Penyokong Turki Ejek Upacara Tafakur Untuk Mangsa Keganasan Paris’ bahawa konflik berpanjangan di Turki berpunca daripada pergeseran antara Parti Buruh Kurdistan (PKK) dengan kerajaan pusat Turki.

PKK adalah parti politik yang memperjuangkan hak orang Kurdish untuk memperolehi negara sendiri sejak 1978. Tetapi permintaan mereka tidak pernah dilayan oleh kerajaan Turki.

Ini menyebabkan PKK dan cawangan partinya yang lebih radikal – Helang Pembebasan Kurdistan (TAK) – bertindak balas melancarkan siri-siri serangan terhadap tentera Turki.

Apabila serangan terhadap tentera Turki tidak mencukupi, PKK dan TAK mula menyasarkan orang awam pula.

Tak cukup dengan serangan daripada orang Kurdistan di Turki yang mahukan kemerdekaan, kerajaan Turki juga terpaksa berhadapan serangan daripada Islamic State (IS).

Pergeseran kerajaan Turki dengan IS bermula selepas Turki membenarkan Amerika Syarikat menggunakan pangkalan tentera udara mereka di Incirlik.

Ini membolehkan Amerika Syarikat dapat melancarkan serangan udara terhadap IS di Iraq dan Syria.

Jika anda merupakan presiden Turki, anda pastinya pening kepala. Anda mempunyai dua musuh iaitu TAK dan IS; dan kedua-duanya gemar menggunakan pengebom berani mati yang mengorbankan orang awam.

politik turki

Sejak Oktober 2015, Turki sudah menyaksikan 4 tragedi gara-gara pengebom berani mati dari TAK dan IS:

1. Oktober 2015: Lebih 100 orang awam mati selepas 2 pengebom berani mati menyasarkan ribuan peserta perhimpunan keamanan antara Kurdistan dengan kerajaan Turki di Ankara. IS mengaku bertanggungjawab.

2. Januari 2016: 12 pelancong Jerman terkorban selepas diserang pengebom berani mati di Istanbul. IS mengaku bertanggungjawab.

3. Februari 2016: 28 tentera Turki terbunuh dalam konvoi ketenteraan di Ankara. TAK mengaku bertanggungjawab.

4. Mac 2016: 35 orang awam terkorban selepas diserang oleh pengebom berani mati wanita di Ankara. TAK mengaku bertanggungjawab.

Dan pada Sabtu lepas (19 Mac 2016), seramai 4 orang awam pula terkorban dalam selepas diserang oleh seorang pengebom berani mati di Istanbul. Kerajaan Turki menyalahkan IS atas tragedi ini.

Sehari kemudian (20 Mac 2016), gabenor Istanbul mengumumkan pembatalan perlawanan Kıtalararası Derbi antara Galatasaray dengan Fenerbahce atas tujuan keselamatan.

Kerisauan gabenor Istanbul itu sebenarnya ada asasnya kerana jarak lokasi pengeboman Sabtu lepas dengan stadium Galatasaray, Turk Telecom Arena hanyalah 11km sahaja.

Mengapa tiada kempen solidariti untuk Turki?

Satu-satunya jawapan yang boleh kami beri kepada soalan ini adalah sikap tak peduli orang ramai terhadap apa yang berlaku di Turki.

Ia dijelaskan dengan lebih tepat melalui post Facebook ini:

For those who do not know Turkey, or who distance themselves from these attacks, maybe this will open your eyes.The…

Posted by James Taylor on Sunday, March 13, 2016

Bak kata si penulis:

“Jika kita boleh berasa sedih terhadap kegansan yang berlaku kepada mangsa Paris, mengapa kita tidak menunjukkan sentimen sama kepada Ankara?”

“Jika anda tak dapat menunjukkan kesedihan sama yang anda tunjukkan semasa serangan Paris, mungkin anda perlu berfikir mengapa. Mengapa anda merasakan sebegitu?”

Jika media antarabangsa tidak memberikan sentimen sama yang mereka berikan semasa serangan Paris, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai komuniti peminat bola sepak yang prihatin untuk memberikan solidariti kita kepada Turki.

Anda tak berdiri berseorangan, Turki!

Baca juga: ‘Penyokong Turki Ejek Upacara Tafakur Untuk Mangsa Keganasan Paris’

The post Pengeboman Ankara Dan Istanbul: Mengapa Turki Tidak Mendapat Kempen Solidariti Seperti Paris? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms: