RESULT: LIGA SUPER (P5) 12 March 2016

12 MAC 2016 (SABTU)
LP5
026
Stadium Tun Razak
9:00pm
FELDA UNITED FC
2
0
PAHANG FC
Francis Forkey Doe
Nejc Potokar (GS)
027
Stadium SMIV
9:00pm
KELANTAN FA
3
1
PULAU PINANG FA
Blazhe Ilijoski (2)
Mohd Badri Radzi
Osas Mervellous Ikpefua
028
Stadium Negeri
8:15pm
SARAWAK FA
1
1
KEDAH FA
Ndumba Makeche
Muhammad Farhan Roslan


LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

Sam Allardyce: Diego Simeone Akan Dipanggil ‘Boring’ Jika Beliau Mengurus Di Premier League

Menurut Sam Allardyce, pengurus Sunderland yang terkenal dengan falsafah bola sepak defensif, Diego Simeone akan dilabel sebagai ‘boring’ oleh media dan peminat bola sepak England jika beliau mengurus pasukan Premier League.

“Beliau (Simeone) banyak bertahan. Itu yang membawa pasukannya mara.”

Allardyce bercakap selepas persembahan defensif cemerlang dari Atletico membantu Atletico menang 1-0 ke atas Bayern Munich dalam perlawanan separuh akhir pertama UEFA Champions League 2016 yang lepas.

Untuk layak ke peringkat separuh akhir, Atletico turut mempamerkan persembahan defensif yang cemerlang untuk menewaskan Barcelona semasa peringkat suku akhir.

Dalam perlawanan separuh akhir pada awal pagi Khamis lepas, Bayern mendominasi separuh masa kedua selepas gol solo Saul Niguez memberi Atletico satu gol pendahuluan.

Tetapi pertahanan Atletico yang cemerlang menafikan sebarang gol untuk Bayern.

Pada separuh masa kedua, Atletico terpaksa berkampung di kawasan kubu sendiri. 90.7% penguasaan bola pada minit 55-60 menjadi milik Bayern.
Pada separuh masa kedua, Atletico terpaksa berkampung di kawasan kubu sendiri. 90.7% penguasaan bola pada minit 55-60 menjadi milik Bayern.

Menurut Allardyce yang pernah dikutuk oleh Arsene Wenger kerana melakukan perkara sama ketika mengurus Bolton Wanderers:

“Bertahan dalah satu seni sebenarnya. Semua orang dah lupakannya. Ia adalah seni taktikal apabila kita dapat mengesan bahaya pasukan lawan dan merampas bola tanpa membuat sebarang kesalahan.”

“Keseluruhan pasukan perlu berkerjasama. Anda boleh tengok bagaimana Fernando Torres turun sehingga ke kawasan hujung kawasan kotak penalti sendiri untuk bertahan.”

“Anda takkan nampak Torres melakukan perkara sama ketika di Liverpool dan Chelsea.”

Bagi Allardyce, Simeone perlu dipuji kerana mampu meyakinkan penyerang berkaliber seperti Torres untuk bermain mengikut falsafahnya:

“Itulah bagusnya Simeone. Dan itulah sebab mereka berjaya. Mereka berjaya kerana mereka jarang bolos dan hanya memerlukan satu gol untuk menang.”

“Orang di England pasti akan berkata ‘alah, cara Simeone tak menghiburkan’. Tapi di luar England, semua orang memuji falsafah Simeone.”

Walaupun berkongsi mata dengan Barcelona dalam saingan La Liga yang hanya berbaki 3 perlawanan, Atletico berada di tangga ke-2 liga kerana kelebihan rekod head-to-head yang dimiliki Barcelona.

Sementara itu bagi Sunderland, mereka telah mengutip 3 clean sheets dalam 4 perlawanan terakhir mereka.

Allardyce berpendapat kecemerlangan rekod defensif mereka dalam baki 4 perlawanan liga lagi adalah kunci mereka untuk kekal dalam Premier League.

Sunderland yang keluar dari zon penyingkiran pada minggu lepas atas perbezaan jaringan, bakal menentang Stoke City esok.

The post Sam Allardyce: Diego Simeone Akan Dipanggil ‘Boring’ Jika Beliau Mengurus Di Premier League appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Sudah jatuh ditimpa tangga

SUMBER: UTUSAN

KUALA LUMPUR – Belumpun reda isu ta­ngan hitam dan tunggakan gaji lima bekas pemain, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menerima satu lagi tamparan hebat apabila bekas pe­nyerang import mereka Erwin Carrillo mengheret persatuan itu ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Carrillo, 32, yang mewakili Kelantan selama semusim pada 2015 mendakwa, bekas majikannya itu masih mempunyai tunggakan hutang dengannya selama tiga bulan gaji yang melibatkan jumlah AS$ 55,000 (RM224,000).




“Ya memang benar bekas majikan saya masih berhutang dengan saya.

“Mereka masih belum membayar gaji saya sebanyak tiga bulan dan jumlah 
keseluruhan bernilai AS$ 55,000.

“Saya ada bertanya kepada mereka, tetapi mereka selalu cakap tiada duit.
“Sejak September lalu mereka cakap mahu menyelesaikan perkara ini tetapi tiada sebarang tindakan.

“Saya juga tahu masih ada beberapa bekas pemain Kelantan yang senasib dengan saya.

“Bagaimanapun peguam saya sudah mengambil alih kes ini dan dia juga sudah membuat laporan kepada FIFA tetapi saya tidak ingat tarikh spesifik, mungkin pada penghujung Fe­bruari,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Selain Carrillo yang kini me­nyarung jersi Real Cartagena, kelab Colombia, turut berdepan masalah tunggakan gaji dengan Kelantan adalah Amiridzwan Taj Tajuddin, Mohd. Fitri Omar, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani dan Muhammad Nazri Ahmad.

Jumlah tunggakan gaji keseluruhan yang melibatkan lima bekas pemain tempatan Kelantan adalah RM477,000.

Selain berdepan dengan masalah tunggakan gaji, Kelantan turut dilihat bergelut dengan masalah ­prestasi yang tidak menentu dalam saingan Liga Super.

Pengurusan Kafa dikejutkan dengan dakwaan wujudnya campur tangan pihak luar yang disifatkan sebagai ‘tangan hitam’ sehingga menjejaskan prestasi mereka musim ini.

Semua masalah ini jelas memberi tekanan kepada Kafa yang perlu menanganinya dengan segera.
LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

Captain Tsubasa: Siri Anime Yang Memberi Inspirasi Kepada Torres, Iniesta, Messi & Del Piero

Bagi kanak-kanak 80-an dan 90-an yang meminati bola sepak, menonton Captain Tsubasa adalah aktiviti yang paling ditunggu-tunggu setiap minggu.

Fernando Torres pernah memberitahu akhbar UK, Daily Mail bahawa siri anime Captain Tsubasa adalah punca utama beliau mahu bermain bola sepak. Antara pemain yang turut meminati Captain Tsubasa adalah Lionel Messi, Andres Iniesta dan Alessandro del Piero.

Agak tak menghairankan sebenarnya apabila melihat senarai pemain profesional di luar Asia yang meminati Captain Tsubasa kebanyakannya berasal dari Eropah dan Amerika Selatan.

Ini kerana Captain Tsubasa – atau lebih dikenali sebagai Oliver y Benji apabila dialih bahasa ke Bahasa Sepanyol – sangat popular di Sepanyol dan majoriti negara di Amerika Selatan.

Oliver y Benji adalah nama yang merujuk kepada nama Tsubasa Ozora (yang ditukar kepada Oliver) dan nama Genzo Wakabayashi (Benji), musuh Benji tetapi bertukar menjadi sahabat baik.

Asal-usul Captain Tsubasa

Bagi anda yang tidak berapa mengenali Captain Tsubasa, ia merupakan siri komik dan anime yang mengisahkan tentang Tsubasa Ozora, budak 11 tahun yang fanatik dan sangat berbakat bermain bola sepak.

Tsubasa bermula dengan mewakili pasukan bola sepak sekolahnya sebelum membawa Jepun menjuarai Piala Dunia Bawah-17.

Kemenangan Tsubasa dalam Piala Dunia Bawah-17 membawa beliau bermain untuk Sao Paulo di liga Brazil. Dari Brazil beliau kemudiannya berpindah ke FC Barcelona (yang pada ketika itu dilatih oleh Louis van Gaal).

Dalam siri tersebut, watak-watak lain yang pernah menjadi rakan sepasukan dan lawan Tsubasa juga mendapat tawaran bermain di Eropah. Ada yang bermain di Inter Milan, Juventus, Hamburg SV dan Real Madrid.

Dalam siri ini juga, setiap karakter mempamerkan skil dan gerakan yang menjangkaui logik akal (tetapi logik mengikut imaginasi kanak-kanak) seperti yang cuba dilakukan oleh pemain-pemain J1 League di bawah:

Perkembangan karakter

Seperti siri komik dan anime bagus yang lain, semua karakter dalam Captain Tsubasa mempunyai perkembangan plot yang menarik.

Siapa boleh lupa detik apabila Tsubasa diturunkan ke skuad Barcelona B oleh Louis van Gaal apabila Tsubasa gagal serasi dengan Rivaldo?

Siapa boleh lupa detik apabila Shingo Aoi ditipu di Itali sehingga terpaksa bekerja sebagai penggilap kasut di tepi jalan, sebelum dapat bermain untuk Internazionale?

Malah salah seorang penulis kami masih ingat nama karakter, posisi, nombor jersi setiap anggota pasukan Jepun yang menjadi juara Piala Dunia Bawah-20:

No.Jersi Posisi Nama Perincian Karakter
1 Penjaga gol Genzo Wakabayashi Digelar Super Great Goal Keeper kerana mampu menyelamatkan semua rembatan luar kotak penalti. Sentiasa memakai topi. Bermain di Hamburg SV
2 Wing back Masao Tachibana
3 Wing back Kazuo Tachibana Kembar Masao Tachibana. Sentiasa bermain bersama seperti kembar Fabio dan Rafael. Kedua-duanya pendek lincah dan laju. Sentiasa melakukan gerakan akrobatik dengan kembar
4 Pertahanan tengah Ryo Ishizaki Kawan Tsubasa. Suka buat lawak tetapi berazam tinggi. Terkenal dengan kebolehannya menghalang rembatan dengan muka. Musuh Hanji Urabe.
5 Pertahanan tengah Hiroshi Jito Pertahanan tengah yang besar dan kuat seperti Trevor Booking. Kawan Mitsuru Sano dari pasukan sekolah
6 Libero Jun Misugi Mempunyai masalah jantung semasa kecil. Perancang genius yang pernah bermain sebagai penyerang semasa sekolah tapi berpindah ke posisi pertahanan. Jelmaan Franz Beckenbaeur
7 Bek/sayap kanan Makoto Soda Sangat hebat melencongkan bola dari sayap kanan
8 Pemain tengah Mamoru Izawa Kawan baik Hajime Taki dan Tepei Kisugi. Pemain gantian. Hebat merebut bola di udara
9 Penyerang Kojiro Hyuga Mampu membuat rembatan selaju ledakan meriam. Musuh Tsubasa semasa di sekolah. Menyertai Juventus tetapi sering tewas pertarungan fizikal dengan pertahanan Itali. Tampat beliau diganti oleh David Trezeguet
10 Pemain tengah/sayap/penyerang Tsubasa Oozora Menyertai Barcelona dari Sao Paolo. Membuktikan kemampuan sebenar dengan menyumbang 6 gol dan 4 assist semasa debut bersama Barcelona B.
11 Pemain tengah/sayap Taro Misaki Membentuk gandingan mantap dengan Tsubasa. Terlepas perlawanan kumpulan Piala Dunia selepas kakinya tercedera semasa menyelamatkan kanak-kanak di jalan raya. Jelmaan Zinedine Zidane.
12 Pemain tengah Hikaru Matsuyama Kapten pasukan apabila Tsubasa tiada. Hebat membuat percubaan jarak jauh. Bekerja keras.
13 Penyerang Kazuki Sorimachi Penyerang gantian. Sering menggantikan Kojiro Hyuga.
14 Pertahanan tengah Takasugi Pertahanan tengah yang keras.
15 Pemain tengah Takeshi Sawada Pemain paling muda dalam pasukan. Mempunyai gaya rambut yang pelik.
16 Pemain sayap Mitsuru Sano Kawan Hiroshi Jito. Pemain sayap gantian yang laju.
17 Penjaga gol/penyerang Ken Wakashimazu Penjaga gol yang suka menyerang. Pengganti Genzo Wakabayashi. Jelmaan Jorge Campos.
18 Penyerang Shun Niita Penyerang gantian yang pendek tapi laju.
19 Penyerang Tepei Kisugi Kawan baik Mamoru Izawa dan Hajime Taki. Penyerang gantian.
20 Pemain sayap Shingo Aoi Pemain sayap yang laju dan mempunyai stamina tinggi. Bermain untuk Internazionale. Mempunyai gerakan khas ciptaannya: pusingan gelecekan 90 darjah.
21 Penjaga gol Morisaki Penjaga gol ke-3 pasukan. Sangat berazam tinggi.
22 Pertahanan tengah Tomeya Akai Sangat bagus mengawal penyerang. Bermain untuk Sampdoria.
23 Pertahanan tengah Hanji Urabe Pertahanan muda gantian.
24 Pertahanan tengah Takeshi Kishida Pertahanan pilihan ke-3.
25 Penyerang Hajime Taki Kawan baik Maoru Izawa dan Tepei Kisugi. Penyerang gantian

captain_tsubasa___all_japan_by_rtk12-d49uevg

Impak Captain Tsubasa

Artis terkenal, Pablo Picasso pernah dipetik berkata:

“Art is the lie that enables us to realize the truth.”

Skil dan gerakan istimewa dalam Captain Tsubasa mungkin hanyalah ‘olok-olok’ saja apabila kita menungkat dewasa.

Tetapi semasa kecil, kita menganggap ianya tak mustahil.

‘Penipuan’ skil dan gerakan istimewa Captain Tsubasa memberi Fernando Torres, Lionel Messi, Andres Iniesta dan Alessandro del Piero kepercayaan yang mereka juga boleh melakukan sesuatu yang istimewa – seperti Tsubasa.

Untuk menjadi pemain istimewa, mereka tidak memerlukan skil dan gerakan mustahil Captain Tsubasa. Sebaliknya mereka memerlukan kepercayaan – sesuatu yang mereka perolehi selepas menonton siri anime Captain Tsubasa.

Baca juga: Captain Tsubasa Sudah Ada Dalam Dunia Sebenar, Menurut Pelukis Asalnya

The post Captain Tsubasa: Siri Anime Yang Memberi Inspirasi Kepada Torres, Iniesta, Messi & Del Piero appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Kelab Argentina, CA Tigre Perkenalkan Mikrocip Untuk Ditanam Dalam Badan Penyokong

Di Argentina – sebuah negara Amerika Selatan yang gilakan bola sepak – penyokong bola sepak mereka sering berkata ‘llevar al club adentro’ (kau sentiasa berada dalam tubuhku) untuk menyatakan sokongan tak berbelah bahagi mereka kepada kelab bola sepak mereka.

Ia adalah sebuah metafora yang indah untuk penyokong kelab bola sepak. Tetapi sebuah kelab Argentina di Primera División ingin menguji sejauh mana penyokong mereka mampu membuktikan metafora tersebut.

Baru-baru ini, Club Atlético Tigre (CA Tigre) melancarkan kad keahlian kelab dalam bentuk mikrocip yang boleh ditanam dalam badan penyokong mereka.

0014654070 Cg6IWsRWMAAWzci

Menurut setiausaha agung CA Tigre, Ezequiel Rocino berkata mikrocip tersebut membolehkan penyokong masuk ke dalam stadium semasa hari perlawanan tanpa tiket dan kad ID.

“Kami ada pengimbas di pintu masuk stadium yang akan membaca data mikrocip tersebut, untuk melihat sama ada penyokong kelab tersebut sudah membayar yuran keahliannya. Jika ya, penyokong tersebut boleh masuk ke dalam stadium.”

Penyokong CA Tigre yang pertama mendapatkan mikrocip tersebut adalah – siapa lagi kalau bukan setiausaha agung kelab, Ezequiel Rocino sendiri.

Beliau menanam mikrocip tersebut di lengan tanganya, di bawah permukaan kulit yang mempunyai tatu berwarna biru dan merah CA Tigre.

0426_tigre_g

Mikrocip tersebut adalah mikrocip sama yang digunakan oleh pemilik anjing dan kucing untuk menjejak haiwan peliharaan mereka jika hilang.

Rocino menjelaskan penyokong bebas untuk memilih sama ada untuk mendapatkan tiket, kad ID atau mikrocip tersebut. Mikrocip tersebut juga tidak akan menganggu hak privasi penyokong.

“Kami tak buat apa-apa yang menceroboh privasi penyokong. Kami hanya mahu mempercepatkan proses masuk ke stadium. Mikrocip ini tiada pengesan GPS. Cuma data keahlian kelab.”

Tinjauan kami di media sosial CA Tigre mendapati majoriti penyokong CA Tigre memberikan respons yang kurang memberangsangkan terhadap mikrocip ini.

Baca juga: Liga Argentina (Primera Division): Liga Yang Disertai Oleh 30 Pasukan

The post Kelab Argentina, CA Tigre Perkenalkan Mikrocip Untuk Ditanam Dalam Badan Penyokong appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Senarai Penaja 12 Pasukan Liga Super 2016 Dan Motif Tajaan Mereka

Dalam bola sepak, pasukan bola sepak memerlukan penaja sebagaimana penaja memerlukan pasukan bola sepak.

Dalam artikel kali ini, kami menyenaraikan penaja-penaja 12 pasukan Liga Super untuk menjelaskan kepada anda:

Mengapa persatuan bola sepak kita masih dinaungi oleh ahli politik?

1. Felda United

Penaja: FELDA, FBT Sports (penaja jersi)

Sumber: Facebook FELDA UNITED FC
Sumber: Facebook FELDA UNITED FC

Seperti Bayer Leverkusen yang ditaja oleh syarikat farmaseutikal, Bayer dan Wolfsburg yang ditaja oleh syarikat pembuat kereta, Volkswagen, Felda United ditaja oleh siapa lagi kalau bukan – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Bermula sebagai agensi kerajaan yang membantu rakyat menjadi peneroka tanah, FELDA kini berevolusi sebagai sebuah entiti korporat yang membuat pelaburan dalam sektor pertanian, pengangkutan, hospitaliti, perlombongan dan kewangan.

Melalui Felda United, Felda mampu mempromosikan:

  • bisnes makanan mereka seperti Felda D’Saji, Sawari dan Savaro,
  • bisnes hospitaliti mereka seperti Felda Travel dan Astute Experience,
  • bisnes perniagaan runcit D’Mart dan PUMA
  • bisnes kesihatan rakan niaga mereka, KPJ Healthcare

2. Johor Darul Takzim (JDT)

Penaja: Forest City, Iskandar Waterfront, JCorp, Vantage Bay, Berjaya Group, Adidas (penaja jersi)

Sumber: Facebook Johor Southern Tigers
Sumber: Facebook Johor Southern Tigers

Boleh dikatakan hampir semua penaja JDT mempunyai portfolio mengagumkan dalam bisnes hartanah di Malaysia.

Forest City adalah projek bersama China dan kerajaan Johor untuk membangunkan sebuah smart city di Wilayah Iskandar Malaysia. Turut mempunyai pelaburan di Wilayah Iskandar adalah penaja lain iaitu, Iskandar Waterfront, JCorp, Vantage Bay dan Berjaya Group.

Sebagai sebuah pasukan yang kaya dan diurus dengan baik, JDT boleh memilih deretan penaja-penaja yang beratur untuk menaja mereka.

Tetapi hanya syarikat-syarikat di atas dipilih kerana menurut Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim:

“Kami mahukan kerjasama jangka panjang daripada penaja. Mereka perlu menjadi penjana ekonomi di Johor.”

3. Selangor

Penaja: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB), Menteri Besar Incorporated (MBI), Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Lotto (penaja jersi)

Sumber: Facebook FA Selangor
Sumber: Facebook FA Selangor

Laman web Selangor FA mungkin menyenaraikan sehingga 6 entiti berbeza sebagai penaja mereka. Namun hakikatnya keenam-enam entiti ini sebenarnya boleh digolongkan dalam satu entiti sahaja iaitu – kerajaan negeri Selangor.

Sebagai entiti kerajaan negeri, keenam-enam syarikat ini tidak perlu membuat kempen pemasaran dalam bola sepak pun untuk survive.

Maka tak hairanlah tiada satu nama penaja pun tertera di jersi Selangor. Hanya tertera nama ‘Selangor’.

4. T-Team FC & Terengganu FA

Penaja: Terengganu Inc., Kobert (penaja jersi)

Sumber: Facebook T-Team FC Sumber: Facebook Terengganu FA

Disebabkan T-Team dan Terengganu tidak mempunyai laman web rasmi yang berfungsi, kami menganggap Terengganu Inc. adalah satu-satunya penaja mereka.

Berdasarkan hasil bacaan kami di laman web penaja mereka, Terengganu Inc. adalah sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan negeri Terengganu.

Sekali lagi kami tekankan, sebagai sebuah entiti kerajaan negeri, Terengganu Inc. tidak perlu membuat kempen pemasaran dalam bola sepak pun untuk survive.

Edit 1: Penaja lain bagi Terengganu FA adalah SP Bumi Sdn Bhd (penaja pengangkutan), EXA Creative & Adeq Sue Sdn Bhd (syarikat milik Hairuddin Omar).

Edit 2: Penaja lain bagi T-Team FC adalah Adeq Sue Sdn Bhd, Manis FM dan CV Sports.

5. PDRM FA

Penaja: Puncak Niaga, Syarikat Mutiara Sendirian Berhad (penaja pengangkutan), Line 7 (penaja jersi)

Sumber: Facebook PDRM FA
Sumber: Facebook PDRM FA

Puncak Niaga adalah sebuah syarikat pembekal kemudahan pembekalan air, rawatan sisa air dan perlombongan minyak dan gas (O&G).

Bagi sebuah pasukan yang gagal mengemaskini laman web rasmi sejak 2015 sehingga kini (ketika artikel ini ditulis) untuk mendapat tajaan Puncak Niaga – sebuah syarikat mega-korporat, kami pasti 100% tajaan ini bukan atas sebab komersial.

Portfolio perniagaan Puncak Niaga juga mencadangkan tiada sebab mengapa mereka perlu membuat pemasaran dalam bola sepak.

6. Kedah FA

Penaja: Discover Kedah 2016, Syarikat Air Darul Aman (SADA), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Legacy Hijau Kuning, Cola Kedah, D’Herbs, AOR Pantalonstyle, New Emerald Travel & Tours Sdn. Bhd, Cosmic Express (penaja pengangkutan), Warrix (penaja jersi)

Sumber: Facebook Kedah FA - Persatuan Bolasepak Kedah
Sumber: Facebook Kedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah

Kedah antara pasukan yang mempunyai diversiti penaja yang baik, dari agensi kerajaan sehinggalah kepada syarikat swasta. Inilah adalah testimoni pengurusan yang baik daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Dengan populariti pasukan yang tidak pernah surut, ditambah pula dengan media sosial mereka yang sentiasa aktif mendekati penyokong, tak hairanlah penaja gemar menaja Kedah.

Malah laman web mereka juga aktif dan memberi publisiti yang baik kepada penaja.

Walaupun hanya menduduki tangga ke-5 dalam senarai laman web Liga Super terbaik, kami memuji bagaimana Kedah menjaga keperluan penaja dengan komen berikut:

“Jika kami merupakan penaja Kedah, kami akan menyukai bahagian (laman web) ini.”

7. Kelantan FA

Penaja: Vida Beauty Sdn. Bhd, Cengal Jati, Sinar Harian, UniKL, RedONE, PMB Investment Berhad, AzhamZamiri.com, Konsortium Mutiara, Delima Perdana Sdn. Bhd, Puspamara Sdn. Bhd.

Sumber: Facebook TRWFC
Sumber: Facebook TRWFC

Seperti Kedah, Kelantan juga tak pernah surut sokongan penyokongnya.

Walaupun pihak pengurusan perlu memperbaiki lagi laman web rasmi pasukan untuk menjaga keperluan penaja, penaja masih tertarik untuk menaja mereka. Semuanya dek kerana kefanatikan penyokong Kelantan sendiri.

Menyedari pasukan bola sepak Kelantan mempunyai kumpulan penyokong yang sangat fanatik, pemilik Vida Beauty menyedari RM8 juta setahun yang dilaburkannya jauh lebih berbaloi sebenarnya berbanding RM3 juta yang dibayarnya untuk tajaan satu malam konsert final Gegar Vaganza 2.

8. Perak FA

Penaja: Lembaga Air Perak, Perak Corp, AL Active Lifestyle (penaja jersi)

Sumber: Facebook Perak The Bos Gaurus
Sumber: Facebook Perak The Bos Gaurus

Dengan dua penaja mereka merupakan entiti kerajaan negeri, sekali lagi kami faham mengapa pihak pengurusan Perak merasakan tiada keperluan untuk mempromosikan penaja mereka di laman web rasmi pasukan.

Tanpa menaja pasukan Perak pun, kami pasti rakyat Perak tidak pernah lupa membayar bil air mereka kepada Lembaga Air Perak.

10. Pahang FC

Penaja: Aras Kuasa, Puma (penaja jersi)

Sumber: Facebook Pahang FC
Sumber: Facebook Pahang FC

Aras Kuasa mungkin bukan syarikat milik kerajaan negeri Pahang. Tetapi kaitannya dengan beberapa projek perlombongan besar di Pahang mungkin menjelaskan sebab mengapa mereka menaja pasukan bola sepak Pahang.

Edit: Penaja lain bagi Pahang FC adalah Pahang Resort World, Allianz dan Liberty Insurance.

11. Pulau Pinang FA

Penaja: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA), AG Aspen Group, Umbro (penaja jersi)

Sumber: FA Penang
Sumber: FA Penang

Seperti Perak, Pulau Pinang juga ditaja oleh syarikat pembekal air negeri walaupun kami sangat meragui faedah komersial penajaan tersebut dari pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA).

AG Aspen Group pula dalah sebuah syarikat hartanah yang mempunyai beberapa projek berskala besar di Pulau Pinang.

Dari segi komersial, kami melihat mungkin AG Aspen Group hanya mahu melakukan kerja branding dan mahu orang Pulau Pinang kenal syarikat mereka.

12. Sarawak FA

Penaja: Marina Park City, Naim Holdings Berhad, Shin Yang Sdn. Bhd, Titanium Team, ACFM, Hock Seng Lee Berhad, Ibraco, PCS, Sacofa Sdn. Bhd, Ta Ann Holdings Bhd, Lea Group (penaja jersi)

13055261_612397062256930_4927634009549328068_o (1)
Sumber: Facebook johor Southern Tigers

Seperti syarikat-syarikat hartanah yang menaja JDT, kebanyakan penaja Sarawak merupakan syarikat hartanah yang mempunyai beberapa projek di Sarawak seperti Marina ParkCity di Miri.

Logo penaja yang terlalu kecil di laman web rasmi Sarawak juga mencadangkan penajaan ini dibuat bukan atas sebab komersial.

Jika penaja Sarawak menaja atas sebab komersial seperti tajaan syarikat hartanah AG Aspen Group di Pulau Pinang, mereka pasti tidak gembira dengan cara pihak pengurusan Sarawak mengurus media sosial dan laman web rasmi pasukan.

Kesimpulan

Jika kita lihat senarai penaja-penaja pasukan Liga Super 2016, kita akan segera tahu kebanyakan tajaan bukan dibuat atas sebab komersial.

Jika ia dibuat atas sebab komersial seperti yang biasa dilakukan di Eropah dan Jepun, kita tidak akan melihat nama syarikat perlombongan dan entiti kerajaan negeri di jersi pasukan.

Sebaliknya kita akan melihat nama syarikat swasta yang betul-betul mempunyai produk dan servis yang ditujukan khas untuk peminat bola sepak seperti Toyota, Yamaha, Ramly Group dan sebagainya.

Disebabkan kegagalan pengurusan pasukan mendekati penyokong dan melakukan kerja marketing-lah, yang menyebabkan pasukan bola sepak kita memerlukan naungan dan pengaruh ahli politik yang tak minat bola sepak pun untuk mencari penaja.

Politik dan bola sepak adalah ibarat air dan minyak. Ia tidak boleh bercampur!

Baca juga: Bekas Chief Marketing Officer JDT Beritahu 5 Kesalahan Pemasaran Pasukan Bola Sepak Malaysia

The post Senarai Penaja 12 Pasukan Liga Super 2016 Dan Motif Tajaan Mereka appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Roy Keane: Jeneral Tengah Manchester United Yang Membuatkan Kenny Dalglish Mengamuk

Roy Keane: kapten Manchester United. Pemenang 7 kejuaraan Premier League, 4 trofi FA Cup, 1 trofi UEFA Champions League dan Intercontinental Cup.

Bagi penyokong pasukan selain Manchester United, Roy Keane adalah watak yang sangat berpolarisasi – sama ada anda sukakannya atau bencikannya. Jarang-jarang ada penyokong bola sepak yang mempunyai pendapat neutral terhadapnya.

Kerja sambilan ketika muda

Karier bola sepak Roy Keane bermula di Cobh Ramblers – sebuah kelab Ireland yang baru dipromosi ke Ireland First Division – pada musim 1989/1990.

Hanya ditawar kontrak remaja, Keane terpaksa membuat beberapa kerja sambilan. Antaranya kerja menghantar beg simen dari kilang ke tapak pembinaan semasa umurnya 16 dan 17 tahun. Menurut Keane:

“Kerja itu taklah teruk sangat. Tapi ia membuatkan saya lebih berazam untuk menjadi pemain bola sepak profesional. Saya tak mahu kerja angkut beg simen sampai tua.”

Tak rasa cukup bagus untuk Manchester United

Menulis surat kepada kelab-kelab bola sepak adalah tradisi pemain muda tanpa ejen pada era 80 dan 90-an. Itulah yang dilakukan oleh Roy Keane.

Keane menulis surat kepada 8-9 kelab – tetapi tiada satu pun dituju kepada Manchester United kerana menurut beliau ‘saya tak rasa saya ada peluang di Manchester United’.

Beberapa kelab membalas surat Keane. Salah satunya adalah Nottingham Forest yang pada ketika itu dilatih oleh pengurus lagenda tetapi sedang bergelut dengan masalah ketagihan alkohol, Brian Clough.

Membuat Kenny Dalglish marah

Persembahan cemerlang Roy Keane bersama Nottingham Forest terutamanya ketika final FA Cup 1991 (menentang Tottenham Hotspur) menarik minat 2 kelab besar Premier League pada ketika itu – Blackburn Rovers dan Manchester United.

Manchester United hanya mampu menunjuk minat selepas gagal mencapai persetujuan yuran perpindahan dengan Forest.

Blackburn yang ketika itu kaya berjaya mendapat persetujuan Forest. Malah pengurus Blackburn, Kenny Dalglish sendiri sudah berjabat tangan dan mencapai persetujuan verbal dengan Keane.

Tetapi disebabkan persetujuan verbal tersebut dicapai pada malam hari Jumaat, Blackburn perlu menunggu sehingga hari Isnin sebelum dapat tanda tangan Roy Keane.

Pada hari Sabtu, Roy Keane balik ke Ireland. Pada hari Ahad, beliau mendpaat panggilan daripada Manchester United. Pada hari Isnin, Roy Keane menandatangani kontrak dengan Manchester United.

Kenny Dalglish hanya mampu mengamuk di pejabatnya apabila mendengar berita Roy Keane memungkiri janjinya pada hari Isnin itu.

Insiden panas di atas (dan luar) padang

Peminat bola sepak Premier League era 90-an pasti teringat insiden Roy Keane:

1) bertikam lidah dengan Patrick Vieira di terowong Highbury Stadium sebelum masuk padang

Ketika United melawat Highbury untuk menentang Arsenal pada 2005, pengadil Graham Poll terpaksa menenangkan Keane yang dilihat sedang bertikam mulut dengan Patrick Vieira di terowong stadium sebelum perlawnaan bermula.

Menurut Keane:

“Saya bukannya nak bergaduh sangat dengan beliau (Vieira). Saya cuma nak mempertahankan Gary Neville.”

“Saya cuma berminat bertarung menentang Patrick (Vieira) di atas padang saja. Sama seperti saya bertarung menentang Gerrard dan Lampard. Atau Scholesy dan Butty semasa latihan.”

United menang 4-2 dalam perlawanan tersebut.

2) memijak pertahanan Crystal Palace, Gareth Southgate

Sepanjang perlawanan, Gareth Southgate dilihat cuba menyaingi keagresifan Keane dengan beberapa bentesan keras. Keane membalas provokasi Southgate dengan memijak dadanya.

“Ya, saya mungkin melampau batas dengan memijak beliau. Tapi dia (Southgate) cuba cederakan saya dengan bentesan. Dia cuma dapat kad kuning saja. Zaman sekarang mungkin beliau dah dipenjara 2 bulan dengan bentesan sebegitu.”

“Saya pijak dia kerana saya mahu mempertahankan diri saya.”

tumblr_ma8hlbcFxe1rz1nmdo1_500

3) mencedera dan menamatkan karier pertahanan Manchester City, Alf-Inge Haaland

Pada September 1997 semasa Haaland bermain untuk Leeds United, Keane cuba membentes Haaland yang cuba menghalangnya mendapatkan bola. Keane bukan saja gagal malah mendpaat kecederaan ACL.

3 tahun lebih kemudian ketika Haaland bermain untuk Manchester City, Keane berjaya membalas dendamnya terhadap Haaland dengan menakik lutut kanannya.

“Saya tak menyesal langsung (mencederekan Alf-Inge Haaland). Orang selalu kritik bentesan yang saya lakukan. Tapi tak pernah pun bincangkan bentesan yang saya terima masa final FA Cup 1999 (menentang Newcastle).”

“Bentesan saya terhadap Haaland itu membuatkan saya rugi lebih £400,000 (kos denda).”

Selepas bentesan Keane tersebut, Haaland gagal pulih sepenuhnya hingga terpaksa bersara.

4) bergaduh dengan Mick McCarthy sehingga menarik diri keluar dari skuad Ireland pada Piala Dunia 2002

Insiden Saipan bermula dengan layanan buruk pegawai pengurusan FA Ireland terhadap pemain dari segi padang latihan yang buruk, tempat duduk kapal terbang, diet pemain hinggalah kepada strategi taktikal Mick McCarthy sendiri.

Ini membuatkan kapten Ireland, Roy Keane tak puas hati. Media Ireland yang dapat menghidu ketidakpuasan hati Keane kemudiannya membuat temu ramah dengan Keane bagi meluahkan kemarahannya.

“Saya tak pernah mencari masalah di Saipan (lokasi kem latihan Ireland semasa Piala Dunia 2002). Saya cuma mempertahankan diri saya.”

“Mick McCarthy tuduh saya tak hormat dia. Dia kata, bagaimana awak nak main untuk saya kalau awak tak hormat saya?”

“Saya jawab, OK. Saya takkan main untuk kamu. Tapi saya akan main untuk negara.”

Artikel temu ramah ini disiarkan oleh akhbar The Irish Times. Artikel ini saja membuatkan McCarthy mengamuk dan bergaduh dengan Keane sebelum menghantar kapten pasukannya pulang sebelum kempen Piala Dunia 2002 bermula.

5) mengkritik rakan sepasukan di MUTV sehingga dipecat Sir Alex Ferguson

Selepas Manchetser United tewas 1-4 kepada Middlesbrough, Roy Keane – pemain yang sudah pun berusia 34 tahun dan bukan lagi tulang belakang United – melancarkan serangan verbal kepada pemain United lain di MUTV.

keane mutv

Kritikan Keane ini membuatkan Sir Alex Ferguson tiada pilihan lain selain memecat dan membatalkan kontrak Keane sebagai pemain Manchester United.

Keane kemudiannya berhijrah ke Celtic sebelum bersara pada musim panas 2006.

Persembahan separuh akhir UCL 1999 vs Juventus

Bagi penyokong United, gol Roy Keane pada minit 34′ semasa separuh akhir kedua UEFA Champions League 1999 adalah adalah akar umbi kemenangan trofi Champions League mereka yang pertama.

Ketinggalan 0-2 hasil 2 jaringan awal Filippo Inzaghi, Keane memulakan kebangkitan United dengan menjaringkan gol pertama. United menang 3-2 dan mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Bayern Munich.

Roy-Keane-wheels-away-aft-001

Bagaimanapun Keane tidak dapat bermain dalam final kerana kad kuning yang dikutipnya selepas mejatuhkan Zinedine Zidane.

Keane menyalahkan rakan sepasukan, Jesper Blomqvist kerana melakukan hantaran buruk yang memaksanya melakukan foul.

Tetapi Blomqvist berkeras menyatakan Keane sepatutnya mengawal bola lebih baik – sesuatu yang dipersetujui Keane selepas bersara.

Kesimpulan

Benci atau sayang – imej Roy Keane sebagai jeneral di tengah padang sambil mempertahankan rakan-rakan sepasukannya tidak akan pudar dari ingatan peminat United era 90-an dan awal 2000-an.

Bagi penyokong Arsenal atau seteru United lain pada era yang sama, Roy Keane mungkin berada dalam senarai 10 pemain yang paling dibenci oleh mereka.

Apa yang pasti, mana-mana pemain United yang berada dalam senarai tersebut sebenarnya adalah pemain United yang bagus.

Baca juga: Michael Ballack: Lagenda Yang Disumpah Badi Naib Juara

The post Roy Keane: Jeneral Tengah Manchester United Yang Membuatkan Kenny Dalglish Mengamuk appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Kenali Chan Yuen-ting, Wanita Pertama Di Dunia Latih Pasukan Lelaki Jadi Juara Liga

Caroline Morace, Helena Costa dan Corinne Diacre pasti berbangga dengan pencapaian Chan Yuen-ting, seorang wanita muda dari Hong Kong.

Ini kerana Chan Yuen-ting baru sahaja mencipta sejarah dalam dunia bola sepak lelaki apabila muncul satu-satunya ketua jurulatih wanita di Asia (malah dunia juga) yang berjaya membawa pasukan bola sepak lelaki menjadi juara liga.

Chan_Yuen-ting_Eastern_coach (1)

Chan merupakan ketua jurulatih Eastern (東方足球隊)- sebuah pasukan Hong Kong Premier League – yang muncul juara liga kali pertama dalam tempoh 20 tahun selepas menewaskan South China 2-1.

Bebola daging yang sukakan David Beckham

Ketika Chan Yuen-ting dilantik sebagai ketua jurulatih Eastern pada Disember 2015, beliau baru saja berumur 27 tahun. Ini menjadikan beliau ketua jurulatih termuda dalam liga yang diiktiraf AFC.

SCMPOST 08DEC15 SP COASH1 10941836_10153030499299467_26348.jpg

Dalam dunia kerjaya yang dominan dengan jantina lelaki, Chan tidak gentar menyahut cabaran:

“Eastern adalah kelab bercita-cita tinggi tetapi saya tak takut menyahut cabaran untuk membawa kelab ke era yang berjaya.”

Mesra dipanggil ‘Bebola Daging’ dalam bahasa Kontonis, cara Chan mula berjinak-jinak dalam dunia bola sepak adalah sama dengan cara gadis era 90-an mula jatuh cinta kepada bola sepak – David Beckham.

“Saya mula belajar cara main bola sepak kerana David Beckham. Imejnya yang kacak memikat hati saya.”

Bermula sebagai hobi melalui latihan-latihan bola sepak yang disertainya semasa musim panas, bola sepak menjadi serius bagi Chan apabila beliau menjadikan bola sepak sebagai fokus tesis universiti beliau – walaupun beliau sebenarnya berada dalam Fakulti Geografi.

Tajuk tesisnya adalah ‘Kajian Bola Sepak Hong Kong Melalui Perspektif Geografi’. Ia adalah kajian bola sepak yang dijelaskan mengikut cuaca Hong Kong, kedudukan padang dan polisi populasi.

“Mak ayah saya menentang bila saya mula serius dalam bola sepak. Mereka mahu saya jadi guru di sekolah.”

“Tetapi selepas melihat kerja keras saya membuahkan hasil dalam bola sepak, mereka mula menyokong saya.”

Bermula dari bawah

Selepas bergraduasi dari universiti pada 2010, Chan bekerja sebagai penganalisis data di TSW Pegasus – sebuah pasukan Hong Kong Premier League. Dalam masa 3 tahun, Chan sudah mendapat lesen A kejurulatihan AFC.

Selepas ditauliahkan sebagai jurulatih berlesen, Chan diberi tugas melatih pasukan bawah-18 Hong Kong Youth League dan membawa mereka menjadi juara pada 2015.

4 bulan kemudian Chan terus dilantik sebagai ketua jurulatih Eastern, mengambil alih tugas ketua jurulatih Yeung Ching-kwong (gambar bawah bersama Chan) yang mendapat tawaran di China.

00aaaaa8-0902-11e6-99cd-3469e7fd8aa2_486x

Pihak pengurusan pasukan Eastern menyedari risiko perlantikan Chan sebagai ketua jurulatih, tetapi berpendapat Chan adalah satu-satunya pilihan logik mereka pada ketika itu.

Pengarah eksekutif Eastern, Peter Leung Shou-chi berkata:

“Cabaran beliau (Chan) bukannya senang tetapi kami akan beri sokongan. Beliau juga akan mendapat sokongan daripada pembantu jurulatih yang lain.”

“Pengetahuannya dalam bola sepak, pemain dan operasi pasukan adalah kelebihannya paling nyata.”

Kesimpulan

Walaupun kisah Chan Yuen-ting sebagai ketua jurulatih bola sepak sebenarnya baru bermula, ia masih memberi inspirasi.

Kisah Chan memberi inspirasi kepada wanita, bahawa mereka sebenarnya boleh menjadi bos dalam dunia bola sepak lelaki jika mempunyai minat, bekerja keras dan berani menyahut cabaran.

Malah 75% pembaca kami yang majoritinya terdiri daripada lelaki mengesahkan, mereka tidak kisah bermain di bawah kendalian ketua jurulatih wanita jika mereka berkelayakan.

Bagi jurulatih muda, kisah Chan mampu memberi keyakinan pada satu hari nanti mereka akan berpeluang menjadi ketua jurulatih pasukan liga paling berprestij di sesebuah negara dan membawa mereka menjadi juara.

Bagi peminat bola sepak yang tiada karier bola sepak sebagai pemain tetapi mahu menjadi jurulatih, kisah Chan juga boleh memberi inspirasi yang mereka boleh menjadi jurulatih.

Bagi Chan, beliau telah membanggakan Caroline Morace (ketua jurulatih wanita pertama di dunia untuk pasukan bola sepak lelaki), Helena Costa (bekas pengurus Clermont Foot) dan Caroline Diacre (sedang mengurus Clermont Foot).

Baca juga: Bolehkah Wanita Menjadi Jurulatih Bola Sepak Lelaki?

The post Kenali Chan Yuen-ting, Wanita Pertama Di Dunia Latih Pasukan Lelaki Jadi Juara Liga appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Yang mana satu, Ramadan 1437 atau Euro 2016?

Demam bola bakal melanda, akan tiba tidak lama lagi. Adakah kita
sudah bersedia untuk menangkis godaan dunia dan hawa nafsu?
(kredit: Khazim/kamalmustafa.com)

Kejar bola. Main bola. Tengok bola. Makan, dengan bola. Mandi, dengan bola. Tidur, pun dengan bola. Minum? Tak tau la. Memang gila bola. Bola, bola, bola, tak bosan ke.. Takkan itu je matlamat hidup? Peminat biasa-biasa boleh tahan la lagi, tapi peminat kipas-susah-mati serta fanatik bila melampau itu la yang selalu menjadi masalah. Alahai.. aduhai, aduyai! ‘Poning kapalo den’.

Ramadan al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan.
(gambar: ramadanquotes.com)

InshaaAllah, bulan Ramadan bagi tahun 1437 Hijriah dijangka bermula pada 6 atau 7 Jun 2016 tahun Masihi. Tanggal 1 Ramadan yang akan datang ini, seperti tahun-tahun yang sebelumnya, orang-orang Muslim (yang memenuhi syarat-syarat wajib puasa) di seluruh pelosok dunia akan berniat terlebih dahulu dan seterusnya menahan diri daripada makan, minum, dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar shadiq sehingga terbenamnya matahari, setiap hari selama sebulan. Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa selain makan dan minum? Anda selidikilah sendiri. Sesungguhnya menimba ilmu adalah satu tuntutan, fardu ain bagi tiap-tiap individu samada yang lelaki mahupun perempuan.

Untuk seorang pemain bolasepak yang mengambilnya sebagai satu pekerjaan sepenuh masa (atau dalam kata yang lain, pemain profesional) dan bukannya penonton atau pemain permainan video, sudah tentulah berpuasa memberikan cabaran yang besar terutamanya apabila berlatih dan menghadapi perlawanan. Walau bagaimanapun, salah satu ibadat yang termasuk dalam Rukun Islam yang lima ini tidaklah dianggap suatu kesusahan buat para pemain yang tetap teguh pegangan agamanya. Ini terbukti apabila beberapa pemain ternama di England, di Eropah, mahupun di peringkat dunia serba sedikit telah mengubah budaya bolasepak di sana. Meskipun sukan bolasepak didominasi oleh warga bukan Islam (kerana mereka yang mempopularkannya), pihak atasan yakni golongan pentadbir bolasepak menyedari bahawa sebahagian besar penyokong bolasepak yang terdiri daripada berbilang bangsa adalah yang dilahirkan Muslim! Pelik, bukan? Betapa mudahnya orang mendekati bolasepak. Nak, tak nak, terpaksalah mereka mengalah sedikit walaupun secara umumnya masih lagi terdapat rintangan untuk penganut Islam mengamalkan agamanya di tempat orang.

Betul ke buat macam ni? Macam ada yang tak kena je.
(gambar: skysports.com)

Di atas kertas, persatuan bolasepak England iaitu The Football Association atau ringkasnya The FA ada menyatakan bahawa undang-undangnya mengamati dan menghormati semua agama. Di dalam FA RULE B5 Football & Religious Observance menyebutkan bahawa:
(a) A Participant cannot be compelled to play football on bona fide occasions where religious observance preludes such activity, save where the Participant: (i) has consented to do so on such occasions; or (ii) is registered as a player under written contract, which shall be taken as consent to play on such occasions unless otherwise provided for in the contract.
(b) Annually, when planning programmes, Competitions shall define and notify agreed dates of such occasions.
[sumber: www.thefa.com]

Yang faham, faham. Yang tak faham, sudah. Alah, Google Translate kan ada. Pada dasarnya, tiada siapa yang dipaksa untuk meninggalkan agamanya dan tiada siapa juga yang dihalang mengikuti agamanya melainkan dengan persetujuannya sendiri. Oleh itu, apa-apa yang terjadi, apa-apa yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab kita sendiri, bukannya orang lain. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika di England, negara Kristian pun ramai yang tahu kewajipan seorang Muslim, mengapa pula ada negara yang berpenduduk majoriti Muslim boleh buat-buat tak tahu? Jangan ingat boleh lupa insiden tahun lepas apabila saingan Liga-M (M-League) tahun 2015 terus berlangsung walaupun dalam bulan Ramadan. Kalau dapat diuruskan dengan elok mungkin boleh dimaafkan lagi, tetapi huru-hara dan kucar-kacir sahaja jadinya. Apa kata lain kali utamakan dahulu apa yang utama, susah sangatkah?

Sekiranya agama dikatakan sebagai sejenis “dadah” maka
agama adalah dadah yang membantu pesakit manakala
hedonisme adalah dadah yang membawa penyakit.
(kredit: worldsoccertalk.com)

Menjelang Euro 2016 (atau nama panjangnya, The 2016 UEFA European Championship) yang bakal berlangsung di Perancis mulai 10 Jun hingga 10 Julai nanti sudah pastilah membuatkan banyak syarikat multinasional (dan bukan multinasional) hanya menunggu masa sahaja untuk menyumbat sebanyak-banyaknya iklan mereka ke dalam minda separa sedar atau di bawah sedar seberapa ramai yang boleh. Inilah bahananya apabila terlalu banyak masa dihabiskan terpaku menonton kotak ajaib bermata satu yang dinamakan televisyen (atau monitor dan juga skrin).

Apa yang lebih menarik dan mungkin menggelikan hati, seolah-olah kebetulan pula Copa América Centenario (atau 2016 Centennial Copa America dalam bahasa Inggeris) akan turut berlangsung sedikit awal daripada Euro 2016 iaitu dari 3 hingga 26 Jun. Pertandingan yang sudah menjangkau umur 100 tahun, buat pertama kalinya dalam sejarah akan diadakan di Amerika Syarikat dan di luar benua Amerika Selatan. Sungguh mengagumkan bukan! Mujurlah Rio 2016 Olympics (5-21 Ogos) dan Paralympics (7-18 September) yang akan berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, juga pada tahun ini, tidak diadakan serentak dengan Euro 2016 dan Copa América Centenario. Kalau tidak, orang-orang yang berpuasa bukan sahaja tidak makan dan tidak minum, tetapi juga tidak tidur. Puasa ‘yang yok’ ke apa ni?? Di depan tv hanya tercegat, tiada rehat, letih dan penat, maka kurang jugalah beribadat.

The stage is set. The world’s best in the U.S. Fuyooo..
(gambar: notimerica.com)

Wahai saudara-saudari sekalian, kita semua adalah makhluk ciptaan Allah. Kita semua juga adalah anak-anak keturunan Nabi Adam alaihis salam. Generasi pada masa ini semuanya adalah kaum atau umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam. Yang membezakan antara sesama kita hanyalah apa kemahuan kita. Adakah kita mahu berfikir atau tidak? Beriman atau tidak mahu percaya? Masing-masing mempunyai peranan serta tanggungjawab, yakni kepada diri sendiri, keluarga, dan juga masyarakat. Walau apa pun, kita ingatlah satu perkara. Dengan kehendak Allah jua dan bukan kehendak kita, sesiapa sahaja boleh diberikan kebaikan samada di dunia, di akhirat, mahupun kedua-duanya. Maka, marilah, ayuh, jom kita kembali kepada jalan yang benar dan bertaubat selagi sempat atas apa-apa kesalahan yang pernah dibuat. Semoga Allah subhanahu wa taala mengampunkan dosa-dosa kita yang tidak terkira banyaknya. Allahu akbar! Allah Maha Besar.

#RamadanKareem   #extremismisnottheanswer

DUNIA BOLA SEPAK

Melaka kukuhkan kedudukan di tempat teratas

Sumber: Utusan

KUALA LUMPUR 22 April – Melaka bangkit daripada kejutan pada minit pertama untuk menjadi pasukan pertama menumpaskan Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Hang Jebat malam ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu.

Perlawanan antara dua pasukan teratas carta liga itu menyaksikan Melaka dibolosi seawal minit pertama oleh Casagrade tetapi Ilija Spasojevic meredakan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-28.
Jasmir Mehat kemudian menambah gol kedua hanya tiga minit kemudian dan jaringan itu sudah cukup untuk memastikan Melaka mengutip mata penuh serta mengekalkan rekod satu-satunya pasukan yang belum kalah dalam Liga Perdana selepas sembilan perlawanan.

Melaka kini mengumpul 21 mata, tiga mata di hadapan Kuala Lumpur yang sebelum itu hadir ke Stadium Hang Jebat dengan hanya dipisahkan oleh jaringan gol dengan tuan rumah.


Negeri Sembilan pula menewaskan Perlis 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam perlawanan yang terganggu selama 42 minit apabila lampu limpah di salah satu menara terpadam pada minit ke-13.

Gol pertama Negeri Sembilan dijaringkan oleh Alexander Moreton Smith pada minit ke-37 dan hanya dua minit kemudian mereka mendahului 2-0 menerusi jaringan Taylor Francis Regan.

Edward Junior Wilson merapatkan kedudukan untuk Perlis pada minit ke-43 tetapi tuan rumah kembali selesa pada babak kedua menerusi jaringan Joel Chianese Joseph pada minit ke-68.

Perlis berpeluang merapatkan jurang gol pada minit ke-74 namun tendangan Kayne Vincent berjaya diselamatkan penjaga gol Syed Adney Syed Hussein.
Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan melonjak ke tempat kedua liga, hanya mengatasi Kuala Lumpur menerusi perbezaan gol manakala Perlis kekal di tempat kesembilan.

Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, Kuantan terus menambah derita Sime Darby yang masih buntu mencari kemenangan kedua apabila menewaskan pasukan itu 4-2.

Malah, Seagulls sudah pun mendahului 1-0 ketika permainan baru berlangsung 40 saat menerusi ja­ringan penyerang Abdul Malik Mat Arif, yang menjaringkan gol keduanya pada minit ke-13. Dua lagi gol Kuantan diperoleh menerusi percubaan Mohd. Fikri Abdullah (m-13) dan Srdjan Vidakovic (m-82).

Giant Killers berusaha memberikan persaingan tetapi hanya mampu membalas menerusi jaringan Meteo Roskam (m-12) dan Frederic Pooda (m-74).

UiTM, yang garang pada awal musim dengan dua kemenangan berturut-turut, kelihatan sukar menemukan semula prestasi itu apabila kalah 0-3 kepada PKNS di laman sendiri.

Perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam itu menyaksikan PKNS memperoleh kesemua golnya pada babak kedua menerusi Juan Manuel Cobelli (m-54 dan 63) serta Gabriel Guerra (m-68).

Kejayaan besar Red Ants ini pasti melonjakkan semangat skuad E. Elavasaran, yang menjadi pasukan tunggal dari Liga Perdana yang masih bersaing dalam Piala FA dan akan berdepan Perak dalam separuh akhir kedua di Ipoh pada 30 April ini.

DRB-Hicom, yang gagal menang dalam empat perlawanan sebelum ini, mengganas di Stadium Proton, Tanjung Malim setelah membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-0.

Bermain di laman sendiri, The Great Bees menjaringkan kesemua golnya pada babak pertama menerusi percubaan Nazri Kamal (m-2), Ivan Babic (m-10), Fakrul Aiman (m-16) dan Godwin Antwi (m-34).

Di Stadium Likas, Sabah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila kecundang 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) II, yang memperoleh jaringan menerusi Muhd. Hafiy Haikal pada minit ke-31.


LIGA BOLASEPAK MALAYSIA