A-Z, Reviu Bola Sepak 2016 Dari SemuanyaBOLA

Kami mahu mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda yang setia dengan semuanyaBOLA.

2016 adalah tahun yang penuh warna untuk bola sepak tempatan dan global. Kami bawakan reviu bola sepak sepanjang 2016.

A – Antlers

  • Shah Alam Antlers dengan rasminya menubuhkan kelab mereka pada musim ini. Ia menjadi inspirasi kepada beberapa kelab berasaskan komuniti yang lain. Penubuhan kelab ini adalah inspirasi daripada Kashima Antlers, SC Freiburg dan Wester Sydney Wanderers.  Perlawanan rasmi Shah Alam Antlers pada 17 Disember lalu dalam Klang Valley League. Mereka seri 1-1 dengan Ingress Tigers.

B – Ballon d’Or

  • Cristiano Ronaldo memengani Ballon d’Or ke-4. Ia selepas Ronaldo membantu Real Madrid menang UCL, dan juga membantu Portugal menang Piala Eropah 2016. Ia musim cemerlang Ronaldo dengan turut menutup tahun 2016 dengan Juara Piala Dunia Kelab 2016. Adakah beliau akan memenangi FIFA Best?

C – Cruyff

  • Antara pemain dan jurulatih paling berpengaruh dalam bola sepak dunia yang sinonim dengan prinsip total football, Johan Cruyff telah menghembuskan nafans terakhir pada Mac 2016 kerana kanser paru-paru.

D – Diaz

  • Musim terbaik beliau di dalam liga Malaysia. Fenomena yang sukar dibendung oleh lawan di dalam padang. Tak lupa juga, kontroversi di dalam dan di luar padang termasuk isu status facebook panas.

    Johor Darul Ta’zim player Jorge Pereyra Diaz in action during 2016 Malaysia Super League match against Felda United at Larkin Stadium, Johor. Photo by rizanizam/www.asiana.my

E – Eder

  • Nama penjaring jaringan kejuaraan Piala Eropah 2016 untuk Portugal. Menamatkan penantian kejuaraan major pertama untuk negara Portugal

F – Faiz Subri’s Free Kick

  • Dari Malaysia sehingga ke seluruh dunia bercerita tentang gol yang melawan hukum fizik Faiz Subri. Beliau juga diletakkan sebagai calon pilihan untuk Puskas 2016.

G – Gerrard Bersara Penuh

  • Lagenda Liverpool mengumumkan persaraan penuh dari dunia bola sepak. Mendapat reaksi daripada rakan dan lawan dari seluruh dunia.

H – Hat Trik

  • Satu perkataan yang meniti bibir peminat JDT dan pemerhati bola sepak Malaysia. JDT berjaya menjuarai Liga Super untuk kali ke-3 berturu-turut.

I – Inspirasi Conte

  • Ramai agak skeptikal dengan sistem bek bertiga di dalam EPL. Namun Antonio Conte telah membawa Chelsea kepada 12 kemenangan daripada 12 perlawanan mereka bermain 3-4-3. Mereka dalam usaha untuk menyamai rekod Arsenal dengan 13 kemenangan berturut-turut pada 2001-02.

J –  Juara

  • JDT dan Melaka United masing-masing cemerlang untuk menjuarai Liga Super dan Liga Premier. Ia adalah musim cemerlang untuk kedua-dua pasukan dari Selatan tanah air.

K – Kelantan

  • Tahun 2016 adalah tahun yang paling sukar untuk Kelantan. Bermula dengan isu penjenamaan semula yang dijadikan bahan lawak sesetengah penyokong lawan. Mereka kemudian menerima berita KAFA mahu menarik diri dari Liga M musim 2017 jika gagal mendapat dana RM14.3 juta lagi untuk menambah duit dalam akaun yang cuma tinggal RM700 ribu. Pada beberapa minggu lalu, Perdana Menteri kita turut menggariskan isu bola sepak Kelantan dan memberikan bayangan beliau akan cuba membantu bola sepak Kelantan. Tidak lupa juga isu gaji pemain dan bekas pemain serta jurulatih yang terus menghantui mereka.

L – Lionel Messi

  • Messi mengumumkan persaraan dari bola sepak. Kemudian beliau menarik balik persaraan selepas ‘permintaan’ ramai peminat dan juga lagenda bola sepak Argentina

N – Nasib

  • Itulah yang paling tepat untuk menggambarkan Sukhothai, juara bersama  (co-winners) Piala FA Thailand. Mereka menang ke slot play-off Liga Juara-Juara AFC hasil dari undian menewaskan Chonburi. Undian digunakan kerana Thailand berkabung pada akhir musim liga selepas kemangkatan raja mereka.

O – Ong Kim Swee

  • Pada awal tahun 2016, Datuk Ong Kim Swee dilantik menjadi jurulatih Harimau Malaysia. Kejohanan utama pertama beliau adalah Piala AFF Suzuki. Malaysia gagal mara ke pusingan kalah mati. Datuk Ong menutup tahun 2016 dengan meletakkan Malaysia di ranking ke-161 FIFA.

P – Pogba

  • Memecahkan rekod perpindahan tertinggi dalam sejarah bola sepak dunia. Harga yang dibayar Manchester United adalah £89.3 juta ataupun €105 juta

Q – Qatar 2016 Supercoppa Italiana

  • AC Milan menamatkan kemarau 5 tahun tanpa piala dengan trofi Supercoppa Italiana 2016. Perlawanan seri 1-1 dan Milan menang dalam penentuan penalti.

R – Ranieri

  • Pada May 2016 menjadi saksi kepada kejuaraan EPL antara yang paling epik dalam sejarah bola sepak terutama sekali era moden. Ranieri adalah orang penting di sebalik kejuaraan tersebut.

S – Sam Allardyce

T – Tragedi

  • 28 November 2016 adalah hari sedih untuk dunia bola sepak apabila pasukan kerdil Chapecoense yang penuh dengan cita-cita dan keinginan terlibat dalam nahas kapal terbang di Madellin. 71 orang terbunuh termasuk pemain, staf kejurulatihan, staf media, juruterbang dan juga anak kapal.

U – Unbeaten Real Madrid

  • Real Madrid menutup musim 2016 dengan rekod tanpa kalah dalam 35 perlawanan La Liga. Mereka menang 26 dan seri 9 kali dalam perjalanan tersebut. Ia memecahkan rekod Real Madrid sendiri yang melalui 34 perlawanan tanpa kalah pada Ockober 1988 – April 1989. 

V –  Viva Selangor

  • Selangor menjadi tumpuan media selepas kemelut yang kritikal melanda bola sepak mereka. Daripada konflik dengan status PKNS FC sehinggalah isu kekurangan dana. FAS pernah menyatakan hasrat menarik diri dari liga M musim hadapan. Ia mendapat reaksi pelbagai pihak yang mempertikaikan kredibiliti FAS termasuk Raja Muda Selangor.

W – Wang 

  • Musim ini, bola sepak dunia dikejutkan dengan perbelanjaan besar oleh kelab-kelab dari China. Kini 2 pemain berpendapatan paling lumayan di dunia adalah di China. Tevez dengan kontrak $ 40 juta setahun dan Oscar $ 26 juta setahun. Ada berita menyatakan mereka menawarkan kontrak lebih $ 100 juta setahun untuk Cristiano Ronaldo.

X – eXperiment VAR

  • VAR adalah sistem pembantu pengadil dengan video. FIFA giat menjalankan eksperimen dan ujian ke atas sistem ini yang dijangka akan diperluaskan dalam semua pertandingan besar di bawah FIFA. Pengadilan VAR juga menimbulkan kontroversi ketika kejohanan kelab dunia di Jepun. Kashima Antlers adalah pasukan pertama yang diberikan penalti kerana VAR.

Y – Young And Dangerous

  • Julian Nagelsmann menjadi pengurus termuda dalam Bundesliga musim ini. Menguruskan Hoffenheim pada usia 29 tahun. Mereka menjadi satu-satunya pasukan di Bundesliga yang tidak tewas setakat ini. Berada di tangga ke-3 buat masa ini.

Z – Zidane

  • Satu nama yang sangat dominan sepanjang 2016. Beliau membantu Real Madrid menjuarai UCL. Beliau menjadi manusia ke-7 yang menjuarai UCL sebagai pengurus dan pemain. Beliau juga membantu Real Madrid menjuarai Piala Dunia Kelab 2016 di Jepun.

Sekian reviu A-Z daripada kami. Banyak lagi peristiwa sepanjang 2016 yang mungkin anda boleh kongsikan dengan kami di ruangan komen. Selamat tahun baru kepada semua!

Baca juga : Previu Fantasy Premier League 2016/2017: Minggu 19

The post A-Z, Reviu Bola Sepak 2016 Dari SemuanyaBOLA appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Previu Fantasy Premier League 2016/2017: Minggu 19

Minggu 19 untuk Premier League telah tiba, dan banyak perlawanan menarik disajikan untuk anda semua menjelang tahun baharu 2017.

Antara adalah perlawanan diantara Chelsea yang dijangka akan mengutip 3 mata dengan menerima kunjungan Stoke City di Stamford Bridge. Tak lupa juga pertemuan diantara Manchester United dan Middlesbrough.

Dan tumpuan semua pihak pada minggu ini di Premier League adalah pertemuan penting diantara Liverpool dan Manchester City di Anfield.

Oleh itu, kami bawakan kepada anda previu FPL untuk minggu ini!

Penjaga gol

Untuk penjaga gol, kam memilih penjaga gol yang berjaya memperoleh clean sheet pada minggu lepas.

Kesemua penjaga gol yang mempunyai clean sheet pada minggu 18 merupakan pemain yang beraksi di laman sendiri.

Mereka adalah Thibout Courtois (Chelsea), Tom Heaton (Burnley) dan Petr Cech (Arsenal).

Dengan semua 3 pasukan ini akan bermain di laman sendiri menentang Stoke City, Sunderland dan Crystal Palace – kami menjangakakan tiada masalah untuk ketiga-tiga penjaga gol ini mencatatkan clean sheet pada minggu 19.

Alasannya adalah mudah. Chelsea dan Arsenal adalah pasukan yang bukan mudah untuk ditumbangkan terutamanya di laman sendiri.

Sementara itu, Sunderland masih lagi bergelut dengan masalah prestasi mereka. Jadi kami menjangkakan mereka mengalami hari yang sukar di laman Burnley.

Pertahanan

Di benteng pertahanan, Phil Jones (Manchester United) merupakan calon sesuai untuk anda masukkan ke dalam skuad FPL anda.

Bermain di tempat sendiri, Jones boleh memperoleh clean sheet untuk dirinya kerana mereka akan menentang Middlesbrough yang mempunyai masalah bermain di tempat lawan.

Dari 5 perlawanan terakhir di tempat lawan, mereka cuma berjaya mengutip 3 mata sahaja serta menjaringkan hanya 4 gol sahaja dalam 5 perlawanan tersebut.

Selain Jones, anda juga boleh mendapatkan khidmat Nathan Ake (Bournemouth) kerana beliau dijangkakan akan menjadi potential bargain oleh kebanyakan pakar FPL minggu ini.

Harganya yang murah iaitu £4.4 adalah pilihan yang sesuai untuk anda jika anda sudah kekurangan wang akibat berbelanja lebih untuk pemain tengah dan penyerang.

Lawan Ake dan Bournemouth adalah Swansea City di tempat lawan pada minggu 19.

Perlawanan ini dijangka perlawanan yang menguji kedua-dua pasukan kerana Swansea City masih bergelut dengan prestasi mereka dan ketiadan pengurus – manakala Bournemout mempunyai rekod di tempat lawan tidak baik.

Pemain tengah

Di bahagian tengah pula, kami mencalonkan nama-nama seperti Mesut Ozil (Arsenal) dan Adam Lallana (Liverpool)

Ozil berada sudah mencatatkan 2 gol serta 2 bantuan gol dari 5 perlawanan terakhir beliau untuk Arsenal.

Sementara bagi Lallana pula, beliau sudah membantu Liverpool dengan menjaringkan 3 gol dan 1 bantuan gol dari 3 perlawanan terakhir beliau untuk Liverpool.

Penyerang

Untuk penyerang pula, nama-nama besar seperti Zlatan Ibrahimovich (Manchester United), Diego Costa (Chelsea) dan Sergio Aguero (Manchester City) menjadi pilihan kami untuk minggu 19.

Ibrahimovich berada pada prestasi terbaik beliau ketika ini, selepas menjaringkan 1 gol serta melakukan 2 bantuan gol pada perlawanan menentang Sunderland tempoh hari.

Ibrahimovich juga menjaringkan 2 gol untuk Manchester United ketika menentang West Bromwich Albion pada minggu sebelumnya.

Bagi penggemar Diego Costa dan Sergio Aguero di FPL, anda boleh kembali menggunakan mereka selepas kedua-dua penyerang berbiasa ini tidak dapat beraksi akibat pergantunggan pada Boxing Day.

Senarai pergantunggan:

  • Pedro Rodriguez (Chelsea)
  • Jan Vertonghen (Tottenham Hotspur)
  • Damien Delaney (Crystal Palace)

Senarai kecederaan:

  • Jordan Pickford (Sunderland)
  • John Stones – cergas 75% (Manchester City)
  • Wayne Rooney – cergas 75% (Manchester United)
  • Maarten Stekelenburg (Everton)
  • Daryl Janmaat (Watford)

Pemain yang ke Piala Negara-Negara Afrika (pemain terpilih sahaja) :

  • Sadio Mane (Liverpool)
  • Wilfred Bony (Stoke City)
  • Eric Bailly (Manchester United)
  • Mohamed Elneny (Arsenal)
  • Sofiane Boufal (Southampton)
  • Max Gradel (Bournemouth)
  • Andre Ayew (Sunderland)
  • Idrrisa Gueye (Everton)
  • Riyad Mahrez (Leicester City)
  • Wilfried Zaha (Crystal Palace)

Pilihan kapten:

  • Thibout Coutois (Chelsea)
  • Mesut Ozil (Arsenal)
  • Zlatan Ibrahimovich (Manchester United)

Baca juga: Gabriel Batistuta, Kisah Perjalanan Lagenda Dari Argentina

The post Previu Fantasy Premier League 2016/2017: Minggu 19 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Apa Itu Defensive Winger Dalam Taktikal Bola Sepak?

Ketika Rafa Benitez semakin aktif menggunakan Dirk Kuyt sebagai pemain sayap, ramai penyokong Liverpool mengeluh.

Kenapa perlu mendesak pemain yang menjadi penjaring terbanyak liga Belanda menjadi pemain sayap jenis side midfielder bukannya penyerang sayap ataupun wing attacker.

Kuyt diarahkan bermain posisi sayap dalam organisasi tengah berempat. Kenapa?

Di Manchester United, Alex Ferguson mulai membuktikan pembelian Park Ji Sung bukan untuk publisiti jualan baju di Korea Selatan. Ia juga melibatkan isu kualiti pemain tersebut di bahagian sayap.

Kenapa pemain seperti Kuyt dan Park Ji Sung kerap bermain dalam padang terutama sekali ketika menentang pasukan yang memiliki kualiti serangan dari sayap.

Satu aspek yang kuat dimiliki oleh kedua-dua pemain di atas adalah aspek bertahan. Mereka digelar pemain sayap bertahan ataupun defensive winger.

Dalam kes Liverpool, Kuyt sangat penting dalam membantu Arbeloa yang agak lemah dalam duel fizikal.

Baka Moden Dalam Bola Sepak?

Amat sukar untuk menentukan leluhur kepada baka ini. Namun pemain yang terawal yang menjadikan formasi ini signifikan dengan beliau adalah Mario Zagallo.

Bagi peminat bola sepak klasik, nama Mario Zagallo bukanlah asing. Namun untuk generasi 90-an, ramai lebih mengenali Mario Zagallo sebagai jurulatih terkenal dengan samba 4-2-4.

Bagaimana Ia Bermula Untuk Zagallo?

Pada era 1950-an, revolusi bola sepak mulai menekankan aspek permainan yang lebih aktif di tengah padang. Sebelum ini penekanan lebih kepada bahagian serangan dengan unit yang ramai.

Brazil pada ketika itu bermain 4-2-4. Mario Zagallo pula asalnya adalah pemain sayap songsang ataupun bahasa universalnya inverted winger ataupun inside forward.

Menjelang Piala Dunia 1958. Zagallo menerima pertukaran formasi yang dikehendaki oleh jurulatih beliau ketika itu iaitu, Vicente Feola.

Zagallo adalah pemain sayap songsang di sebelah kanan (right inside forward). Namun Feola ada pemain bernama Garrincha yang sangat prolifik dan sukar dibendung di posisi penyerang sayap kanan.

Feola mahukan zonal sebelah kanan sebagai laluan serangan utama dan menajdikan sebelah kiri sebagai zon yang lebih defensif.

Jadi, Zagallo diberikan peranan untuk menjadi pemain sayap yang akan turun sehingga ke dalam kawasan penjaga gol. Zagallo tidak banyak songeh, jika itulah satu-satunya syarat untuk beliau bermain dalam pasukan emas Brazil.

Zagallo bukan sahaja menjadi pemain yang kerap berada di dalam kesebelasan utama, malah menjadi impian ramai jurulatih untuk memiliki pemain sayap yang boleh menyerang dan bertahan dengan efektif.

Jurulatih Inggris, Alf Ramsey antara yang pernah mencari tipikal Mario Zagallo untuk bermain dalam skuad England. Namun beliau sukar mencari pemain jenis ini.

Ramai pemain sayap hanya fokus kepada bahagian sayap. Akhinrya beliau menemui Alan Ball yang sesuai dengan sistem ini.Mereka juga menggelar sistem ini sebagai wingless wonder.

Sistem yang membawa England kepada gelaran juara dunia 1966. Inilah detik di mana England bejaya menarik perhatian dunia dengan sistem bola sepak yang lebih taktikal.

Sebelum ini mereka agak rigid dan bergantung kepada aktiviti fizikal seperti duel, serangan balas, permainan keras dan lebih terhad dalam formasi.

Pada 1970, Mario Zagallo menjadi jurulatih Brazil dan berjaya membawa pasukan tersebut menjuarai Piala Dunia sebagai jurulatih.

Beliau mengekalka sistem pemain sayap bertahan (defensive winger) ini. Skuad Brazil 1970 dianggap antara pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.

Konsep

Ia adalah satu sistem di mana pemain sayap akan turun naik. Ia berbeza dengan pemain bek sayap yang hanyak akan bertahan di wide area. Namun dari segi kedudukan di dalam padang ia mirip kepada bek sayap ataupun wingback.

Namun mobiliti mereka jauh lebih tinggi daripada bek sayap. Mereka lebih bertenaga dan lebih baik dari segi aspek bertahan seperti membentes, mengejar, menutup ruang berbanding dengan pemain side midfielder biasa.

Sistem ini berkesan dalam mengekalkan bek sisi ofensif seperti Daniel Alves, Zambrotta, Marcello, Antonio Valencia dan ramai lagi.

Park Ji Sung pernah diberikan peranan khas untuk merantai Maicon ketika Manchester United menentang Inter Milan pada UCL 2008/2009.

Banyak perlawanan besar, Park Ji Sung ataupun Wayne Rooney digunakan sebagai pemain sayap bertahan.

Mereka akan mengisi ruang di belakang ataupun di tengah dengan segera ketika pemain di posisi tersebut meninggalkan posisi.

Ini adalah contoh ketika pemain sayap kiri (LM) yang merupakan defensive winger ketika pasukan mereka menyerang. Dia ada kesedaran pertahanan (defensive awareness) yang tinggi.

Dia akan cuba membantu pemain di tengah jika dia melihat ada potensi pasukan lawan menyerang kawasan tersebut.

Rumusan

Ia adalah baka moden dalam bola sepak. Kini kita boleh melihat pemain seperti Steward Downing, James Milner, Antonio Valencia (era Wigan).

Ia adalah karakter kepada pemain sayap. Mereka berperanan aktif ketika bertahan. Anda boleh bayangkan seorang defensive midielder yang bermain di bahagian sayap.

Peranan ini lebih lengkap berbanding dengan pemain sayap konvensional ala Beckham yang fokus kepada hantaran akhir ketika menyerang.

Ia memerlukan pemain yang memiliki stamina yang tinggi serta komitmen untuk pasukan berbanding dengan individu. Pemain ini adalah kategori yang kerap digelar wira tak didendang dan juga bukan calon untuk pemain terbaik perlawanan.

Mereka dilengkapi dengan:

  • Hantaran silang
  • Kerjasama berpasukan
  • Work Rate
  • Hantaran
  • Bentesan
  • Stamina

Baca juga : Rabona, Ancaman Bahaya Dalam Darjah Kesukaran Tinggi

The post Apa Itu Defensive Winger Dalam Taktikal Bola Sepak? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

8 Senarai Semak Untuk Tan Sri Annuar Musa Jika Mahu Menjadi Presiden FAM

Memandangkan Tan Sri Anuar Musa dengan terbuka menawarkan dirinya untuk mejadi Presiden FAM.

Saya terpanggil untuk mengingatkan 8 senarai semak yang perlu dibuat oleh presiden FAM yang baru pada Mac 2017 akan datang.

Tidak kisahlah sama ada bakal Presiden itu adalah Tan Sri Annuar Musa ataupun orang lain. Namun kami memberikan fokus kepada Tan Sri Annuar Musa kerana beliau nampak benar-benar mahukan kerusi ini.

Untuk pengetahuan semua, senarai semak ini disediakan oleh Rizal Hashim dalam kolum FourFourTwo Malaysia edisi Januari 2017.

8 Senarai Semak

1. Melantik firma audit profesional untuk mencadangkan penstrukturan. Perlunya kajian semula dan rombakan bahagian sekretariat FAM.

Jika bakal Presiden bersedia untuk melakukan senarai #1 ini bermakna beliau ada keberanian untuk mengubah dan membawa FAM kepada era perubahan.

Sebaliknya, jika Tan Sri Annuar Musa tidak mahu melakukan senarai semak #1 ini, ibarat tiada bezanya kita letak tunggul kayu untuk menjadi presiden.

2. Korek semula isi-isi penting dalam buku ‘Football Management’ tulisan mendiang Datuk Paul Mony Samuel (gambar). Seterunsya sila baca slaid powerpoint ‘Road Map’ tulisan Robert Alberts.

Jangan lupa juga, baca semula laporan Seminar Bola Sepak Kebangsaan 1999 dan laporan lawatan sambil belajar oleh FAM ke Jepun pada 1999.

Ambil mana-mana isi yang bagus dan relevan lalu tambah apa yang patut ke dalam blueprint pembangunan bola sepak negara yang disediakan oleh Fritz Schmid.

3. Lantik Setiausaha Agung FAM yang baru. Paling ideal adalah calon dari golongan Gen-Y. Mereka seharusnya ada latar belakang undang-undang yang kuat dan bebas daripada motif politik.

4. Tubuhkan sebuah kounsel sebagai watchdog kepada sekretariat FAM. Cadangan keahlian kounsel ini diberikan kepada pakar penjenamaan, sifu media dan pakar pengurusan syarikat.

Kounsel ini akan menjadi titik rujukan (think tank) utama untuk presiden.

5. Presiden baru perlu ada inisiatif untuk mendraf kurikulum kebangsaan yang akan mengajar semua pelajar sekolah (dari peringkat awal) tentang DNA bola sepak Malaysia.

Input kurikulum mestilah meliputi input daripada jurulatih bola sepak. Kalau susah sangat,  ambil (adopt) sahaja DNA bola sepak Malaysia yang dicadangkan oleh NFDP.

(Sumber: NFDP Malaysia – PPBN)

6. Menerapkan struktur profesional dalam skuad kebangsaan. Tidak mahu ada isu carca merba dan tunggang langgang dalam semua bidang kerja.

7. Memastikan setiap ahli gabungan FAM yang tidak ada akademi akar umbi untuk mengadaptasi projek NFDP yang kini sedang diusahakan oleh Safirul Abu Bakar.

8. Mewajibkan setiap ahli gabungan FAM untuk mewujudkan marketing team sendiri.

Marketing team ini bertugas untuk memastikan kelab dapat memberikan pulangan hasil perlaburan ataupu ROI (Return On Investment) kepada penaja.

Ya Atau Tidak?

Sekarang saya nak bertanya kepada mana-mana individu yang mahu jadi presiden FAM. Bolehkah anda melaksanakan 8 senarai semak ini?

Jika ya, kami dengan terbuka menyokong anda sebagai Presiden baru FAM.

Baca juga : 10 Peristiwa ‘Awesome’ & Memalukan Yang Berlaku Di Liga Malaysia Sepanjang 2016

The post 8 Senarai Semak Untuk Tan Sri Annuar Musa Jika Mahu Menjadi Presiden FAM appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Juninho Pernambucano: Pemain Yang Mengambil Sepakan Percuma Seperti Sepakan Penalti

Jika anda membesar dengan menonton bola sepak ketika era 2000-an. Pasti anda berasa beruntung bukan?

Mana tidaknya, pada waktu itu kita mempunyai ramai pemain yang merupakan pakar sepakan percuma!

David Beckham, Roberto Carlos antara nama-nama yang cukup hebat mengambil sepakan percuma. Tapi siapa yang teratas diantara semua?

Pastinya lagenda dari Brazil yang merupakan kebangaan Olympique Lyonnais – Juninho Pernambucano.

Raja Cilik Sao Januario

Juninho memulakan karier seniornya pada tahun 1993 di pasukan yang bernama Sport Recife. Di situ, beliau menstabilkan nama di dalam pasukan dengan cukup pantas apabila bermain untuk pasukan pertamanya.

Selepas berjaya membantu Sport Recife memenangi 2 gelaran peringkat wilayah. Juninho dirisik Vasco da Gama untuk menyertai mereka.

Dan pada tahun 1995, Juninho menjadi kebanggaan para peminatnya kerana banyak perkara.

Antaranya kerana sepakan percuma beliau ketika menentang River Plate dalam saingan separuh akhir Copa Libertadores 1998.

Sepakan percuma itu yang membawa mereka perlawanan akhir Copa Libertadores dan kemudiannya menjadi juara pada tahun tersebut.

Jasa beliau terhadap Vasco da Gama terlalu banyak. Sepanjang 6 tahun beliau di sana, Juninho telah membantu kelabnya memperoleh 2 gelaran liga pada 1997 dan 2000.

Selain itu, Juninho telah membantu kelabnya kepada 2 gelaran Amerika Selatan iaitu Copa Libertadores pada tahun 1998 dan Copa Mercosur pada tahun 2000.

Oleh kerana sumbangan yang cukup banyak, Juninho telah menerima nama jolokan iaitu Reizinho de São Januário (Raja Cilik Sao Januario) di atas nama stadium Vasco da Gama iaitu Sao Januario.

Selain itu juga, beliau dikenali sebagai Reizinho da Colina atau Raja Cilik di Rimba yang merujuk kepada gelaran Vasco da Gama iaitu Rimba (The Hill).

Lagenda Olympique Lyonnais

Juninho tiba di Perancis untuk bersama Olympique Lyonnais pada 2001 dan ternyata kehadiran beliau telah mengubah segala-galanya mengenai nasib Olympique Lyonnais.

Jika diikutkan rekod, Olympique Lyonnais merupakan kelab yang tidak pernah menjulang gelaran Ligue 1 sebelum kehadiran Juninho.

Namun selepas kehadiran beliau, kelab tersebut telah berjaya merangkul 7 gelaran Ligue 1. Dan ia dilakukan secara 7 kali berturut-turut!

Di Perancis, beliau telah mengumumkan nama beliau ke dunia bola sepak sedunia. Juninho dikenali sebagai pemain yang sering membantu pasukan untuk mendapatkan gol menerusi hantara-hantaran beliau.

Dan yang paling penting, beliau merupakan pemain yang terkenal dengan kebolehan mengambil sepakan percuma beliau dengan cukup cemerlang.

Beliau dipilih sebagai kapten oleh pengurus Gerard Houlier diatas kebolehan beliau memimpin pasukan. Dan selepas 8 tahun bersama Olympique Lyonnais, Juninho pergi meninggalkan kelab selepas kontrak beliau tamat pada Mei 2009.

Karier selepas Olympique Lyonnais

Selepas beraksi di liga Perancis. Juninho berpindah ke Timur Tengah untuk bersama dengan Al-Gharafa di Qatar.

Di sana, beliau berjaya memimpin pasukannya memenangi gelaran liga, Qatari Stars Cup dan Qatari Crown Prince Cup.

Oleh kerana persembahan beliau yang cemerlang, Juninho telah dipilih sebagai pemain terbaik tahunan untuk Liga Qatar.

Selepas itu, Juninho kembali ke Brazil untuk bersama dengan Vasco da Gama untuk kali kedua.

Beliau menjaringkan gol pertama beliau di karier kedua beliau bersama dengan Vasco da Gama pada perlawanan pertama beliau.

Juninho kemudiannya menjaringkan beberapa lagi jaringan sepakan percuma yang sinonim dengan beliau. Antaranya ketika menentang Corinthians dan Bahia.

Pada 2013, Juninho kemudiannya menerima tawaran untuk beraksi di Major League Soccer (MLS) bersama New York Red Bulls.

Namun begitu, jodoh beliau di MLS tidak lama. Hal ini kerana, selepas 6 bulan bersama Juninho dan New York Red Bulls mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak beliau.

Kelab terakhir yang diwakili Juninho adalah Vasco da Gama. Dalam karier ketiga beliau bersama kelab tersebut, Juninho mempunyai misi untuk menyelamatkan kelab tersebut dari tersingkir dari Serie A Brazil.

Namun begitu, usaha beliau untuk membantu pasukannya terselamat dari disingkirkan ke divisyen 2 berkecai apabila pasukannya menjadi sebahagian daripada 4 pasukan yang terpaksa disingkirkan dari Serie A Brazil untuk musim 2013.

Selepas tersingkir ke liga bawahan, Juninho kemudiannya mengambil keputusan untuk bersara dari bermain bola sepak.

Karier bersama Brazil

Bersama pasukan Brazil, Juninho tidaklah mempunyai karier yang gemilang seperti rakan-rakan lain seperti Ronaldhino ataupun Ronaldo.

Hal ini kerana beliau hanya mempunyai cuma 3 gelaran sahaja di peringkat antarabangsa iaitu Touloun Cup pada tahun 1995, Piala Konfederasi FIFA pada 2005 dan Lunar New Year Cup juga pada 2005.

Lebih malang, beliau pernah disisihkan dari menyertai skuad Copa America Brazil untuk edisi kejohanan 2004.

Apa yang menarik mengenai karier antarabangsa beliau, Juninho pernah bermain di 2 perlawanan berbeza dalam 1 hari.

Hal ini terjadi pada 7 September 1999 di mana di Brazil, beliau bermain 15 minit di separuh masa kedua untuk pasukan Brazil ketika menentang Uruguay.

Selepas perlawanan, beliau terus terbang ke Montevideo di Uruguay untuk bersama-sama kelabnya, Vasco da Gama untuk perlawanan Copa Mercosur menentang Nacional.

Raja sepakan percuma

Tidak terlalu keterlaluan untuk penulis katakan Juninho merupakan pemain paling cemerlang dalam mengambil sepakan percuma sepanjang zaman.

Hal ini kerana sebelum Cristiano Ronaldo terkenal dengan teknik sepakan percuma knuckleball, beliau sudah pun menggunakan teknik tersebut.

Teknik tersebut ternyata banyak membantu beliau untuk menjaringkan banyak gol dari situasi bola mati. Ia juga membolehkan beliau untuk menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dari jarak yang jauh.

Rekod beliau cukup cemerlang, di Olympique Lyonnnais sahaja beliau sudah menjaringkan 44 gol sepakan percuma.

Secara keseluruhan beliau menjaringkan 75 gol dari sepakan percuma – terbanyak diantara pakar sepakan percuma yang lain.

Itulah kisah Juninho si pakar sepakan percuma dari Brazil. Kata orang, beliau mengambil sepakan percuma seperti mengambil sepakan penalti.

Benar apa yang orang katakan itu. Buktinya? Lihat gol beliau ketika menentang Barcelona ini!

Baca juga: Shunsuke Nakamura: Raja Sepakan Percuma Dari Jepun

The post Juninho Pernambucano: Pemain Yang Mengambil Sepakan Percuma Seperti Sepakan Penalti appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Macam Mana Proses Kiraan Mata UEFA ‘Coefficient’ Dilakukan?

Pasti ada yang pernah terfikir, kenapa sesetengah negara perlu melalui peringkat kelayakan UEFA Champions League (UCL) atau Europa League (UEL) walaupun mereka adalah juara liga di negara mereka?

Hal ini kerana terdapat sistem perkiraan mata untuk menentukan sama ada pasukan dari satu-satu liga akan memperoleh slot automatik ke UCL dan UEL atau perlu melalui peringkat kelayakan.

Oleh itu, kami akan menjawab soalan pembaca kami mengenai cara perkiraan mata ini di dalam artikel ini.

Pengenalan

Sejak diperkenalkan pada 1979 oleh UEFA. Sistem yang dikenali sebagai UEFA coefficients mempunyai 3 perkiraan berbeza untuk kategori bola sepak lelaki di Eropah:

  • National team coefficients – sistem kiraan mata untuk pasukan kebangsaan. Digunakan untuk menentukan seeding sesebuah negara ketika kelayakan EURO dan pusingan akhir EURO.
  • Country coefficients – sistem kiraan mata untuk mengira jumlah kiraan mata sesebuah liga secara kolektif. Seterusnya menentukan bilangan slot sesebuah liga untuk UCL dan UEL.
  • Club coefficients – sistem kiraan mata untuk kelab. Ia akan menentukan kedudukan kelab dalam UEFA Club Ranking.

Jadi, dalam artikel ini kami akan menerangkan bagaiamana club coefficients yang kemudiannya memberikan kesan kepada country coefficients.

Mata kelayakan

Jika sesebuah pasukan itu bermula dari peringkat kelayakan. Jumlah mata yang ditawarkan sedikit berbeza untuk UCL dan UEL.

Jumlah mata coefficients untuk pusingan kelayakan UCL:

  • 0.5 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan pertama kelayakan
  • 1.0 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan kedua kelayakan

Bagi pasukan yang tersingkir di pusingan ketiga dan keempat UCL, tiada mata diberikan. Sebaliknya, mereka akan diberikan mata kelayakan UEL. Berikut jumlah mata untuk setiap pasukan UEL:

  • 0.25 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan pertama kelayakan
  • 0.5 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan kedua kelayakan
  • 1.0 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan ketiga kelayakan
  • 1.5 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan keempat kelayakan

Diperingkat kelayakan UCL atau UEL, sesebuah pasukan akan memperoleh 1 mata untuk setiap perlawanan yang mereka menang. Sementara 0.5 mata akan diberikan jika seri dan 0 untuk tewas.

Dan seterusnya bermula dari peringkat kumpulan hinggalah peringkat akhir UCL dan UEL, mereka akan memperoleh 2 mata untuk setiap kemenangan, 1 mata untuk seri dan 0 untuk tewas.

Mata bonus

Bermula dari peringkat kumpulan sehingga peringkat akhir UCL dan UEL, terdapat mata bonus untuk setiap pasukan yang melalui setiap peringkat. Berikut adalah kiraan mata bonus untuk setiap peringkat:

  • 4 mata bonus untuk bermain di peringkat kumpulan
  • 5 mata bonus untuk bermain di peringkat 16 pasukan terakhir
  • 1 mata bonus untuk setiap peringkat bermula dari suku akhir hingga ke akhir

Contoh pengiraan

Untuk mendapatkan kiraan yang lebih jelas. Kami mengambil contoh perkiraan untuk mata coefficient UCL menggunakan keputusan pasukan Celtic pada musim ini.

Celtic bermula di pusingan kedua kelayakan UCL dan tersingkir di peringkat kumpulan. Jadi berapakah mata coefficient Celtic musim ini? Kami kirakan untuk anda:

  • Peringkat kelayakan: 3.5 mata dari 6 perlawanan kelayakan (3 menang, 1 seri, 2 kalah)
  • Peringkat kumpulan: 3 mata dari 6 perlawanan kumpulan (3 seri, 3 kalah)
  • Mata bonus: 4 mata kerana bermain di peringkat kumpulan
  • Jumlah: 10.5 mata

Bagi pasukan UEL pula, kami mengira jumlah mata untuk pasukan Dundalk dari Ireland. Ia sedikit berbeza kerana Dundalk pada mulanya bermain di pusingan kelayakan UCL namun mereka tersingkir dan bermain di peringkat kumpulan UEL:

  • Peringkat kelayakan UCL: 2.5 mata dari 6 perlawanan kelayakan (1 menang, 3 seri, 2 kalah)
  • Peringkat kumpulan UEL: 3 mata dari 6 perlawanan kelayakan (1 menang, 1 seri, 4 kalah)
  • Mata bonus: 4 mata kerana bermain di peringkat kumpulan
  • Jumlah: 9.5 mata

Bagaimana pula dengan pengiraan country coefficient?

Slot untuk setiap liga di dalam UCL dan UEL dikira berdasarkan prestasi setiap pasukan dari setiap liga di 2 kejohanan tersebut pada setiap 5 tahun.

Berikut adalah cara-cara mengira mata coefficient untuk satu musim:

  • Mata club coefficient dari semua kelab dari liga negara A yang bermain di UCL dan UEL akan digabungkan.
  • Ia kemudiannya akan dibahagikan kepada jumlah pasukan dari liga negara A yang bermain di UCL dan UEL.
  • Jadi untuk mendapatkan jumlah coefficient untuk 5 musim. Hanya tambah sahaja jumlah purata mata coefficient dari setiap musim.

Jika anda lihat pada perkiraan kami tadi, ia cuma menghasilkan jumlah mata yang kecil.

Namun dalam kiraan UEFA, ia dikira dalam kiraan ribu.

Sebagai contoh, jika sebentar tadi kita mengira mata coefficient Celtic adalah 9.5 mata. Maka, jumlahnya adalah 9.500 mata.

Hal ini kerana, dalam peraturan pengiraan UEFA coefficient, kesemua kiraan dikira dalam bentuk ribu dan jumlah mata tidak akan dibundarkan.

Kesimpulan

Pengiraan UEFA coefficient ini memang diakui sedikit rumit dan agak sukar difahami.

Namun secara amnya, sistem ini amat mudah untuk menentukan jumlah mata yang disumbangkan oleh setiap kelab dalam kejohanan UCL dan UEL.

Namun begitu, sistem ini tetap ada kelemahannya sendiri.

Hal ini kerana, ia sering berat sebelah kepada pasukan dari liga yang lebih kuat serta mengekalkan status quo terhadap pasukan-pasukan utama.

Baca juga: Makalele Role: Peranan Dinamik Dan Cerdas Di Tengah Padang

The post Macam Mana Proses Kiraan Mata UEFA ‘Coefficient’ Dilakukan? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

FIFA Mahu Tambah Peraturan Baru, Benarkan Kapten Sahaja Bercakap Dengan Pengadil Ketika Perlawanan

Bola sepak terkenal sebagai sukan yang penuh intensiti tinggi, emosi dan juga drama.

Namun dalam bola sepak moden, sesetengah peminat sudah merasakan nilai drama dan di dalam sukan bola sepak sudah semakin hilang.

Hal ini kerana terdapat beberapa peraturan yang telah ‘membunuh’ bola sepak dari segi nilai drama. Sebagai contoh, teknologi garisan gol.

Terdahulu, Marco Van Basten pernah mencadangkan agar FIFA memansuhkan peraturan ofsaid. Kini FIFA mencadangkan satu lagi peraturan baru.

Adaptasi sukan ragbi

Pembaharuan yang dimaksudkan oleh Van Basten adalah peraturan menghadkan jumlah pemain yang boleh bercakap dengan pengadil ketika perlawanan.

Van Basten berkata, FIFA dalam proses pembincangan untuk membenarkan hanya kapten pasukan sahaja bercakap dengan pengadil ketika perlawanan sedang berlangsung.

Menurut Van Basten, peraturan tersebut diadaptasi dari peraturan sukan ragbi yang membenarkan hanya kapten sahaja yang bercakap dengan pengadil.

Tujuan perlaksanaan peraturan ini adalah kerana ingin mengawal sikap pemain yang kadang kala keterlaluan ketika perlawanan.

“Para pemain terlalu kerap mengadu ketika perlawanan berlangsung.”

“Kami mahu mencipta suasana yang dimana sikap pemain menjadi lebih baik dan lebih menghormati pengadil. Dan pengadil lebih terlindung ketika perlawanan.”

Apabila ditanya mengapa FIFA cuba mengadaptasi peraturan dari sukan ragbi, Van Basten berkata sukan bola sepak perlu belajar dengan semua sukan.

“Bola sepak perlu belajar dengan semua sukan. Dan sukan lain juga bole belajar dengan bola sepak juga.”

Menyeronokkan dan jujur

Terdapat beberapa sebab mengapa FIFA memperkenalkan beberapa peraturan seperti teknologi garisan gol dan teknologi video pembantu pengadil.

Antaranya kerana FIFA mahu mewujudkan suasana permainan bola sepak yang dinamik, berkualiti dan juga jujur.

Van Basten bagaimanapun sedar permainan yang bola sepak merupakan permainaan yang beremosi tinggi.

Namun begitu, menjadi tanggungjawab FIFA untuk memastikan setiap emosi itu terkawal. Jika tidak, ia akan memberi kesan yang buruk kepada permainan.

Di Premier League, terdapat peraturan yang membolehkan pengadil memberikan kad merah kepada pemain yang menggunakan bahasa dan isyarat kesat kepada pengadil.

Selain itu, terdapat juga peraturan di Premier League yang menghadkan 2-3 pemain sahaja yang bercakap dengan pengadil ketika perlawanan.

Apa komen anda mengenai perkara ini? Wajarkan peraturan ini dilaksanakan? Tinggalkan pendapat kalian di ruangan komen!

Baca juga: Marco Van Basten Mahu Peraturan Ofsaid Dihapuskan, Perkenalkan Kad Hijau Dalam Bola Sepak

The post FIFA Mahu Tambah Peraturan Baru, Benarkan Kapten Sahaja Bercakap Dengan Pengadil Ketika Perlawanan appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016: Apa Reaksi Kami?

Semalam, saya dan rakan saya di Semuanya BOLA telah memenuhi jemputan untuk ke Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 (ABK2016) yang berlangsung di Geno Hotel, Shah Alam.

Jangkaan saya sebelum tiba di lokasi adalah malam anugerah ini pasti akan diacarakan secara gilang gemilang.

Mana tidaknya sebaik saja saya mendapat tahu yang kami perlu memakai secara formal, kami tahu majlis ini pasti dilangsungkan dengan secara teliti.

Suasana gilang gemilang

Acara bermula pada jam 7 malam untuk sesi pendaftaran di lobi hotel, namun dek kerana kesesakan lalu lintas di sekitar Shah Alam menyebabkan saya dan rakan tiba sedikit lewat.

Ketika sesi pendaftaran, saya memperoleh tentatif program untuk malam ABK2016. Namun, saya merasakan tentatif tersebut boleh dihasilkan dengan lebih baik lagi.

Hal ini kerana tentatif yang dihasilkan hanya ditaip di kertas A4 dan rupanya hanya sekadar mahu bagi ada sahaja.

Selepas mendaftarkan diri di lobi hotel, saya menuju ke surau di tingkat 5 untuk menunaikan solat Maghrib sebelum ke lokasi anugerah di tingkat 3.

Di luar dewan, suasana anugerah dilaksanakan dengan cukup cemerlang.

Ia ibarat malam gala apabila ketika majlis belum lagi berlangsung, terdapat pelayan yang akan bergerak menawarkan minuman dan makanan kepada kami semua yang hadir di luar dewan.

Sebelum majlis berlangsung, terdapat sebuah kumpulan muzik yang berada di hadapan pintu masuk dewan yang memainkan lagu-lagu bertemakan bola sepak.

Mereka memainkan lagu seperti Arena Cahaya yang merupakan lagu tema filem Ola Bola dan lagu tema untuk siri animasi Bola Kampung!

Ketika saya sedang asyik melayan persembahan kumpulan muzik ini, CEO FMLLP Encik Kevin Ramalingam kebetulan berada di sebelah saya.

Saya kemudiannya menyapa beliau untuk bertanya beberapa soalan, antara soalan yang saya tanya adalah “apa pendapat beliau mengenai majlis ini?”

Beliau pun berkata, “Saya rasa majlis ini akan berjaya. Kami mahu mengubah bola sepak sebagai perkara utama di dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia dan bukannya sekadar acara sampingan rakyat Malaysia ketika hujung minggu.”

“Kami juga ingin mengubah persepsi terhadap pemain bola sepak. Mereka bukan saja pakai seluar sukan dan jersi, tetapi mereka juga pakai sut dan tali leher.”

Dari jawapan Kevin, saya berpendapat yang beliau tetap optimis untuk menjadikan Liga Malaysia sebagai seperti satu budaya kepada rakyat Malaysia seperti di England ataupun Jerman.

Kelewatan

Acara yang dijangka berlangsung pada jam 8 malam berlangsung agak lewat pada sekitar 8.30 malam akibat para tetamu lewat tiba di lokasi anugerah.

Hal ini menyebabkan majlis dilangsungkan dalam keadaan terkejar-kejar.

Dan saya perasan yang Hafizal Hamad dan Hasnida Hanim yang merupakan pengacara majlis pada malam tersebut sedikit berhempas pulas di awal majlis untuk memastikan majlis berlangsung mengikut waktu.

Beberapa kali saya mendengar Hafizal meminta agar para tetamu untuk segara ke tempat duduk mereka, namun masalah itu kemudiannya berjaya diatasi pengacara majlis.

Majlis berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah teknikal berlaku, malah persembahan selingan dari artis-artis tempatan seperti Salamusik, Altimet dan Radhi OAG berjaya menghiburkan para hadirin yang hadir.

Melihat para artis yang melakukan persembahan, saya mula terasa malam anugerah ini ibarat konsert indie. Mana tidaknya, kesemua artis-artis ini bermula dari dunia indie sebelum ke arena arus perdana.

Persembahan Radhi OAG ternyata berjaya membangkitkan memori lama para hadirin yang hadir menerusi lagu Name of the Game, 60’s TV dan Generasiku.

Suasana ketika majlis menjadi sedikit duka apabila sesi penyampaian anugerah khas dilangsungkan.

Anugerah khas yang diberikan kepada mendiang Ah Wa telah menimbulkan sedikit emosi kepada para hadirin ketika di dalam dewan.

Ketika wakil dari keluarga mendiang naik ke atas pentas untuk menerima anugerah, seluruh dewan telah berdiri untuk memberikan tepukan gemuruh diatas jasa yang telah diberikan oleh mendiang ketika beliau masih lagi hidup.

ABK pada 2015 pernah mendapat kritikan kerana acara tersebut seolah-olah mengasingkan para peminat terlalu jauh dengan para pemain pada malam anugerah tersebut.

Namun begitu, pada malam ABK2016  menyaksi sedikit peningkatkan apabila para peminat tidak terlalu dipinggirkan dan terpaksa duduk di belakang dewan ketika majlis berlangsung.

Malah lebih menarik, Baddrol Bakhtiar sendiri pergi duduk bersama-sama para peminat di zon peminat ketika majlis masih lagi berlangsung!

Apa padangan kami?

Keseluruhannya, saya merasakan acara majlis ini berlangsung dengan baik. Dari segi tema, makanan dan suasana majlis, ia cukup membuatkan anda berasa di majlis berprestij.

Keputusan pihak penganjur untuk meletakkan Hafizal Hamad dan Hasnida Hanim sebagai pengerusi majlis adalah satu tindakan tepat kerana mereka berjaya mengendalikan majlis dengan baik.

Pemilihan artis untuk persembahan juga bagus. Artis-artis yang hadir melakukan persembahan berjaya menghiburkan hadirin yang hadir ke malam ABK2016.

Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang boleh ditingkatkan di masa akan datang.

Sebagai contoh tentatif program yang saya sebutkan di awal artikel, saya berharap tentatif dapat dilakukan dengan lebih baik di masa akan datang selepas ini.

Selain itu, timing ketika penyampaian anugerah juga perlu ditingkatkan.

Hal ini kerana ada beberapa kali ketika sesi penyampaian anugerah, belum lagi nama pemenang diumumkan tetapi di skrin besar sudah ditayangkan nama mereka.

Diharap untuk siri ABK akan datang pihak penganjur boleh memperbaiki kesilapan-kesilapan kecil ini. Apa pun, tahniah kepada FMLPP dan FAM diatas penganjuran majlis yang gilang-gemilang ini.

Dan tak lupa, tahniah juga kepada para pemenang ABK2016. Semoga terus cemerlang di dalam karier bola sepak anda!

Jawab soalan kuiz #BolaVaganza dan menang!

Untuk pengetahuan anda, app Inikan Bola sedang menganjurkan kuiz #BolaVaganza yang menawarkan hadiah-hadaiah lumayan kepada peminat bola sepak tempatan tegar.

Bagaimana cara untuk menang hadiah lumayan ini?

Muat turun app Inikan Bola di Google Play Store dan sertai kuiz #BolaVaganza sekarang!

Baca juga: Bagaimana Caranya Pengulas Perlawanan Bola Sepak Berkerja? Ini Pengalaman Saya!

The post Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016: Apa Reaksi Kami? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Crystal Palace Lantik Sam Allardyce, Panik Dengan Zon Penyingkiran Ataupun Sebaliknya?

Perlantikan Sam Allardyce sebagai pengurus baru Crystal Palace adalah lebih kepada kerana rekod cemerlang Big Sam untuk melawan penyingkiran.

Musim lalu, Sam Allardyce menjadi maestro dalam kebangkitan Sunderland untuk kekal di EPL dengan cukup dramatik. Beliau menggunakan pintu perpindahan pada Januari.

Big Sam membawa masuk Kirchoff dari Bayern Munich dan Lamine Kone. Mereka menyingkirkan cabaran Norwich dan musuh tradisi Newcastle United untuk penyingkiran.

Sam Allardyce Kembali!

Kini Sam Allardyce kembali daripada rehat panjang selepas meletak jawatan sebagai pengurus England hanya selepas 1 perlawanan mengendalikan skuad 3 Singa tersebut.

Crystal Palace pada saat ini berada di tempat ke-18 liga hanya 1 mata dari zon penyingkiran. Mereka telah berbelanja besar pada awal musim ini.

Antaranya Christian Benteke, Steve Madanda, Andreas Townsend, dan James Tomkins. Namun Alan Pardew gagal berada walaupun di 10 teratas.

Palace dalam prestasi paling teruk sekali dalam EPL sejak tahun 1992. Pada tahun 2016 mereka hanya mendapat 26 mata daripada 36 perlawanan, purata 0.72 mata bagi setiap perlawanan.

BBC melaporkan mereka adalah pasukan ke-92 paling teruk di England pada 2016.

Misi Allardyce

Dalam temu ramah pertama beliau dengan wartawan. Allardyce menggariskan 2 isu utama :

1. Pemain tidak ada mentaliti menang (loser)
2. Pasukan terlalu banyak melepaskan gol mudah

2 aspek ini akan menjadi topik utama Big Sam untuk sesi latihan beliau pada beberapa minggu ini. Beliau percaya kualiti Palace sangat baik dengan pemain-pemain seperti Madanda, Zaha, Benteke, Townsed, Cabaye dan beberapa lagi pemain.

Rekod Big Sam

Ketika beliau menguruskan Bolton Wanderers yang dipromosi ke EPL menerusi play-off dalam 2000-01, beliau membawa kelab tersebut menamatkan liga di di tempat ke-16 dan ke-17 dalam dua musim pertama.

Beliau kemudia membantu Bolton berada di 10 teratas untuk 4 musim selepas itu dan tidak lupa, mereka pernah beraksi di Piala Eropah (Europa League hari ini).

Pada 2007, Big Sam meninggalkan Bolton ketika kelab itu berada di tangga ke-5 liga. Beliau mahu ke kelab yang lebih besar iaitu Newcastle United.

Namun begitu, beliau dipecat ketika Newcastle berada di tangga ke-11. Sam Allardyce ditawarkan kontrak di Blackburn pada 2008.

Beliau membantu Blackburn naik dari tangga ke-19 (saat beliau dilantik) hingga ke tangga ke-15 selepas beliau dilantik pada Disember 2008.

Pada musim berikutnya, Sam Allardyce membantu Blackburn Rovers menamatkan liga di tangga ke-10. Ia pencapaian yang membanggakan selepas banyak krisis di kelab lagenda tersebut.

Pada musim seterunsya, Blackburn dan Sam menamatkan kempen di tangga ke-13. Beliau dipecat kerana revolusi Venkys yang berjanji akan memberikan projek lebih besar dan mereka tidak rasa Sam Allardyce orang yang tepat.

Revolusi yang gagal itu menyaksikan Blackburn tersingkir ke liga Championship. Dan seterusnya, pada 2011, Sam Allardyce ke West Ham United, di mana beliau memenuhi misinya untuk mengembalikan The Hammers ke EPL pada musim berikutnya.

Di EPL, pada 3 musim pertama selepas promosi, West Ham menamatkan liga di tangga ke ke-10, ke-13 dan ke-12 selepas. Namun, pada Mei 2015, Sam Allardyce meminta untuk dilepaskan atas persetujuan bersama (mutual consent).

Sam Allardyce memang pakar dalam membantu pasukan untuk keluar dari penyingkiran. Rekod sebelum ini juga menunjukkan beliau juga pengurus yang boleh membawa pasukan berada dalam 10 teratas.

Menariknya, beliau dipilih menjadi pengurus England bukan kerana trofi sebaliknya keranan kisah luar biasa kebangkitan Sunderland musim lalu.

Sam Allardyce antara pengurus yang boleh menaikkan nilai dan potensi pemain. Itu yang dilakukan beliau kepada pemain-pemain seperti Nicholas Anelka, Morten Gamst Pedersen, Jose Enrique, Roque Santa Cruz, Ravel Morrison dan ramai lagi.

Beliau juga sudah memiliki 6 Anugerah Pengurus Terbaik Bulanan EPL – Ogos 2001, November 2003, Januari 2004, Disember 2006, Februari 2014, Oktober 2014.

Pandangan kami, Big Sam pernah mendapat tugasan yang lebih sukar daripada ini. Crystal Palace ada kualiti pemain yang sangat baik.

Jadi, kami menantikan siapakah bintang-bintang yang akan meningkat mendadak di bawah Sam Allardyce kali ini.

Perlantikan ini lebih kepada kegagalan Pardew selepas perlaburan besar berbanding dengan panik kerana penyingkiran. Kalau diikutkan, Crystal Palace tidaklah terlalu kritikal dengan zon penyingkiran buat masa ini.

Apabila perbelanjaan besar dan gagal berada di pertengahan liga menjelang Krismas, maka ia dianggap gagal. Jika tersingkir pada akhir musim ia adalah malang berganda untuk kelab.

Jadi isu utama pemecatan Pardew adalah kerana prestasi buruk selepas berbelanja besar. Yang kedua barulah risiko penyingkiran.

Di manakah Palace akan menamatkan saingan liga musim ini? Adakah anda rasa perlantikan Sam Allardyce ini tepat?

Baca juga : Previu Fantasy Premier League 2016/2017: Minggu 18

The post Crystal Palace Lantik Sam Allardyce, Panik Dengan Zon Penyingkiran Ataupun Sebaliknya? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Previu Fantasy Premier League 2016/2017: Minggu 18

Premier League sudah tiba di fasa sesak apabila perlawanan pada Boxing Day dan tahun baru mengambil tempat.

Perlawanan-perlawanan menarik bakal berlangsung adalah antara Leicester City dengan Everton pada Isnin, Liverpool menentang Stoke City pada Rabu dan Southampton dan Tottenham Hotspur pada Khamis.

Oleh itu, jom kita lihat senarai pemain yang berjaya mengisi tempat pada previu FPL pada minggu ini!

Penjaga gol

Simon Mignolet (Liverpool) mencipta kejutan apabila berjaya memasuki senarai pilihan kami pada minggu ini.

Mignolet ternyata berjaya membayar semula kepercayaan Jurgen Klopp apabila dari 2 penampilan terakhir beliau bersama Liverpool, beliau mendapat 2 clean sheet!

Dengan perlawanan menentang Stoke City di Anfield, Mignolet dijangka boleh mendapatkan clean sheet ketiga beliau musim ini di saingan liga. Hal ini kerana, Stoke City mengalami masalah untuk menjaringkan gol ketika di tempat lawan.

Mereka cuma menjaringkan 8 gol sahaja di tempat lawan setakat ini – sama dengan jumlah perlawanan mereka di tempat lawan setakat ini.

Selain Mignolet, kami juga mencadangkan Tom Heaton (Burnley) dan Kasper Schmeichel (Leicester City) sebagai pilihan kami.

Pertahanan

Kami masih lagi memilih Marcos Alonso (Chelsea) sebagai pilihan kami di benteng pertahanan.

Sejak minggu ke-7, Alonso hanya sekali sahaja gagal memberikan mata clean sheet atau mata serangan.

Bournemouth mengalami masalah di tempat lawan, hanya mampu menjaringkan 7 gol sahaja setakat ini. Dan ini membolehkan Alonso mencari clean sheet ke-10 nya musim ini.

Selain itu juga, Danny Rose (Tottenham Hotspur) juga antara pilihan yang menarik.

Rose menjadi pemain pertahanan paling aktif dalam menyerang setakat ini. Rose sudah mencipta 18 percubaan musim ini – paling banyak musim ini diantara pemain pertahanan.

Selain Alonso dan Rose, kami memilih Nathanial Clyne (Liverpool) dan Phil Jones (Manchester United).

Pemain tengah

Di bahagian tengah, Alexis Sanchez (Arsenal) menjadi pilihan kami pada minggu ini.

Sanchez berada pada prestasi terbaik beliau ketika berada di Emirates. Sanchez sudah mencatatkan 1 bantuan gol dan 2 gol pada 2 perlawanan terakhir beliau di Emirates.

Sadio Mane (Liverpool) juga merupakan pilihan ideal. Mane ternyata pemain yang amat suka bermain di Anfield, hal ini kerana beliau sudah menjaringkan 5 gol serta 3 bantuan gol di Anfield.

Gylfi Sigurdsson (Swansea City), Eden Hazard (Chelsea) dan Wilfred Zaha (Crystal Palace) juga merupakan pemain-pemain tengah yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam skuad anda minggu ini.

Penyerang

Di bahagian serangan, kami tertarik untuk memilih Zlatan Ibrahimovich (Manchester United) ke dalam pilihan kami minggu ini.

Ibrahimovich sudah menjaringkan 7 gol dan 1 bantuan gol dari 6 perlawanan yang beliau menjadi kesebelasan utama.

Ditambah dengan prestasi buruk Sunderland di tempat lawan, menyaksikan Ibrahimovich tiada masalah untuk menjaringkan gol di Old Trafford minggu ini.

Kami juga tertarik untuk mengambil Fernando Llorente (Swansea City) ke dalam pilihan kami.

Llorente beraksi cemerlang di tempat sendiri ketika ini, beliau sudah menjaringkan 4 gol dari 2 perlawanan terakhir di Liberty Stadium.

Dan pilihan terakhir kami di bahagian serangan adalah Christian Benteke (Crystal Palace). Beliau berada pada prestasi yang cukup cemerlang ketika di laman lawan – menjaringkan 6 gol di tempat lawan setakat ini.

Dengan perlawanan menentang Watford di tempat lawan, kami menjangkakan Benteke akan meledak lagi minggu ini.

Senarai pergantunggan:

  • Jamie Vardy (Leicester City)
  • Diego Costa (Chelsea)
  • Matt Lowton (Burnley)
  • Marko Arnautovic (Stoke City)
  • Pedro Obiang (West Ham United)

Senarai kecederaan:

  • James McCarthy (Everton)
  • Fabian Delph (Manchester City)
  • Eric Bailly (Manchester United)
  • Junior Stanislas (Bournemouth)
  • Pape Souare (Crystal Palace)

Pilihan kapten:

  • Simon Mgnolet (Liverpool)
  • Marcos Alonso (Chelsea)
  • Alexis Sanchez (Arsenal)

Jawab soalan kuiz #BolaVaganza dan menang!

Untuk pengetahuan anda, app Inikan Bola sedang menganjurkan kuiz #BolaVaganza yang menawarkan hadiah-hadaiah lumayan kepada peminat bola sepak tempatan tegar.

Bagaimana cara untuk menang hadiah lumayan ini?

Muat turun app Inikan Bola di Google Play Store dan sertai kuiz #BolaVaganza sekarang!

Baca juga: Apa Itu Boxing Day Dalam Bola Sepak?

The post Previu Fantasy Premier League 2016/2017: Minggu 18 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA