KAMZ6807-1-compressed

8 Pemain Tumpuan Yang Perlu Diperhatikan Dalam Suku Akhir Piala Malaysia 2015

Piala Malaysia tidak asing daripada saat-saat keajaiban yang dipamerkan oleh pemain-pemain berkualiti daripada pelbagai pasukan.

SemuanyaBOLA dengan kerjasama Media Prima membawakan anda 8 pemain tumpuan yang perlu anda perhatikan dalam 4 pertemuan suku akhir Piala Malaysia 2015.

Pahang vs Lions XII
Stadium Darul Makmur

Pemain tumpuan Pahang: Dickson Nwakaeme

KAMZ6807-1-compressed

Pertahanan tengah Lions XII, pernah memberitahu ESPNFC betapa bahayanya Dickson Nwakaeme:

“Dickson dan (Matias) Conti adalah 2 penyerang paling fizikal pernah saya jumpa. Kami tak boleh bagi mereka ruang atau membenarkan mereka membuat percubaan dalam kotak penalti.”

Nama Matias Conti mungkin sudah terpahat dalam ingatan penyokong Lions XII selepas menjaringkan 2 gol dalam 2 perlawanan Liga Super menentang Lions XII.

Tetapi tanpa servis Nwakaeme yang menghubungkan jentera tengah dengan jentera serangan, Conti dan pemain Pahang yang lain tidak mampu menjaringkan gol.

Berdasarkan 2 pertemuan kedua-dua pasukan ini dalam Liga Super, Izzdin Shafiq, Safuwan Baharudin, Madhu Mohana dan Zulfahmi Arifin masih tidak mempunyai jawapan untuk menangani kelajuan dan kekuatan Nwakaeme.

Oleh itu, prospek bertemu Nwakaeme di gelanggang keramat Pahang sendiri sudah tentulah bukan sesuatu yang membuatkan Lions XII teruja.

Pemain tumpuan Lions XII: Izwan Mahbud

asiana-19685

Ketika ini, Izwan Mahbud adalah nama pemain bola sepak yang paling disebut-sebut di Singapura. Ini selepas media Eropah melaporkan David Moyes berminat untuk membawa penjaga gol Lions XII itu ke Real Sociedad.

Bagaimanapun hajat rakyat Singapura melihat seorang lagi pemainnya bermain di Eropah berkecai selepas Moyes dipecat oleh Real Sociedad baru-baru ini.

Meskipun Lions XII baru sekali mencatatkan clean sheet dalam 6 perlawanan Piala Malaysia setakat ini, Izwan masih mampu menyerlah dan menyelamatkan pasukannya.

Ketika kemenangan penting 2-1 menentang Terengganu dalam perlawanan terakhir kumpulan, Izwan mempamerkan persembahan cemerlang untuk menghadkan gol Terengganu kepada 2 sahaja. Biarpun beraksi dalam keadaan demam.

Jika Lions XII perlu berharap kepada seorang pemain yang mampu membuat perubahan menentang Pahang nanti, ia adalah Izwan.

Felda United vs Johor Darul Takzim
Stadium Majlis Perbandaran Selayang

Pemain tumpuan FELDA: Thiago Agusto Fernandes

felda thiago

Thiago Agusto Fernandes pada asalnya dibawa masuk oleh Irfan Bakti untuk menggantikan Edward Wilson.

Menurut Irfan, beliau memerlukan penyerang mobil dan pantas dan Thiago adalah orangnya.

Hadir dengan reputasi sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Bahrain pada bulan April, Thiago pada awalnya digunakan sebagai penyerang gantian.

Lama-kelamaan, beliau mula menunjukkan belangnya hingga meyakinkan Irfan Bakti untuk melepaskan Makeche Ndumba.

Setakat ini, Thiago sudah menjaringkan 4 gol dalam kempen Piala Malaysia.

Seperti yang dicanang oleh Irfan, mobiliti dan kepantasan Thiago bakal memberi masalah kepada barisan pertahanan Johor Darul Takzim pada Selasa nanti.

Pemain tumpuan Johor Darul Takzim: Aidil Zafuan

DSC_0033_asiana

Bercakap mengenai benteng pertahanan Johor Darul Takzim yang baru bolos 4 gol dalam kempen Piala Malaysia setakat ini, ramai peminat Johor Darul Takzim memberikan kredit kepada Marcos Antonio.

Tetapi sumbangan Aidil Zafuan juga sama penting. Gandingan Marcos Antonio dan Aidil Zafuan memberikan penjaga gol Johor Darul Takzim segala perlindungan daripada bahaya penyerang lawan.

Jika kekuatan Marcos Antonio terletak pada kekuatannya di udara dan membaca permainan, kekuatan Aidil pula adalah kelajuan dan kebolehannya menjadi pemimpin di belakang.

Menentang jentera serangan Felda United yang bakal diketuai oleh Thiago Augusto Fernandes, Aidil adalah calon paling sesuai untuk mengekang mobiliti penyerang Brazil ini.

Aidil bukanlah pemain yang asing dengan tugasan sukar selepas beraksi cemerlang ketika final Piala AFC 2015. Beliau hanya melepaskan 1 gol dalam 4 perlawanan Piala Malaysia yang disertainya setakat ini.

Kedah vs PKNS
Stadium Darul Aman

Pemain tumpuan Kedah: Sandro Mendonca

asiana-19812

Pasukan liga Korea Selatan, Daegu FC meletakkan harapan yang tinggi kepada Sandro apabila menghadiahkannya jersi nombor 9.

Bagaimanapun kariernya di Daegu FC mengalami penurunan mendadak selepas pengurus Brazil, Moacir Pereira dipecat dan digantikan oleh pengurus dari Korea Selatan.

Ditambah pula dengan kedegilan pengurus baru yang meletakkannya bermain di posisi pemain sayap, Sandro tidak dapat menunjukkan bakat sebenarnya. Sehinggalah beliau tiba di Kedah.

Di Kedah, Sandro diberi kebebasan untuk bermain di tengah sebagai central attacking midfielder.

Pemain Terbaik Bulanan PFAM (September) ini sudah menjaringkan 5 gol dalam kempen Piala Malaysia, dengan 3 daripadanya datang daripada hatrik ketika menang 5-0 ke atas Terengganu.

Kreatif di tengah, mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi dan masih lincah pada usia 32 tahun, Sandro bakal menjadi duri dalam daging PKNS menjelang perlawanan pada Selasa ini.

Pemain tumpuan PKNS: Shahrul Azhar Ture

KAMZ0669

Ketika perhatian banyak dihalakan kepada penyerang PKNS, Patrick Ronaldinho, tidak ramai yang kenal dengan sang kapten, Shahrul Azhar Ture.

Fizikalnya mungkin kecil tetapi kelajuannya mematahkan serangan pihak lawan membolehkan PKNS muncul antara pasukan yang mempunyai rekod pertahanan terbaik dalam Piala Malaysia.

Setakat 6 perlawanan Piala Malaysia, PKNS hanya bolos 5 gol.

Bermain sebagai defensive midfielder, tumpuan perlawanan menentang Kedah pada Selasa ini pastinya terarah kepada pertarungan antara Shahrul Azhar dengan Sandro Mendonca di tengah.

Sarawak vs Selangor
Stadium Negeri

Pemain tumpuan Sarawak: Ronny Harun

Ketika peminat bola sepak tempatan menjangkakan satu lagi episod kekalahan memalukan ketika menentang UAE, skuad negara mempamerkan peningkatan untuk memastikan jumlah gol yang bolos tidak memalukan negara.

Salah satu watak penting dalam perlawanan itu adalah Ronny Harun. Pemain yang pada mulanya dikenali sebagai bek kiri, tetapi kini membina reputasi sebagai pemimpin di pertahanan tengah.

Sarawak pasti akan menagih khidmat kepimpinan Ronny Harun pada pertemuan suku akhir menentang Selangor selepas Joseph Kalang Tie dihukum gantung perlawanan.

Apatah lagi dengan rekod buruk Sarawak yang menyaksikan mereka tidak pernah menang dan hanya seri sekali dalam 5 perlawanan antara kedua-dua pasukan sebelum ini.

Pemain tumpuan Selangor: Andik Vermansyah

andik selangor

Agak menakjubkan untuk melihat Selangor muncul juara kumpulan dan layak ke suku akhir walaupun hanya menjaringkan 6 gol dalam 6 perlawanan.

Tetapi dengan adanya penjaga gol yang cemerlang, benteng pertahanan yang kukuh dan pemain ajaib seperti Andik Vermansyah, Selangor sentiasa mempunyai peluang untuk menewaskan mana-mana pasukan.

Kontrak Andik di Selangor sedang berbaki 2 bulan. Dengan ura-ura bahawa Persebaya 1927 dan beberapa kelab J League berminat mendapatkannya, Andik bagaimanapun berjanji sesuatu kepada penyokong Selangor.

“Saya ingin memohon maaf kepada penyokong Selangor kerana sehingga kini, saya tak dapat membantu pasukan memenangi sebarang piala. Oleh itu, saya akan bekerja keras supaya kita menang Piala Malaysia.”

Perkara pertama yang Andik perlu lakukan dalam suku akhir nanti adalah menewaskan benteng Sarawak yang diketuai oleh jeneral mereka, Ronny Harun.

Saksikan perlawanan Pahang vs Lions XII di TV3 dan Felda United vs JDT di TV9 pada Selasa, 24 November 2015 ini pada jam 8.30 malam.

Kedua-dua perlawanan juga boleh disaksikan secara Global Live Streaming di www.tonton.com.my/liveList

Insta Suku 1

The post 8 Pemain Tumpuan Yang Perlu Diperhatikan Dalam Suku Akhir Piala Malaysia 2015 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *