11866215_511330549030249_6029726366156652539_n1

Analisis Penjaring Import Dan Tempatan Liga Super 2015

Nota editor: Artikel ini telah ditulis oleh pembaca kami, Faiqy. Beliau mahu lebih banyak pemain tempatan mendominasi senarai penjaring utama Liga Super pada musim-musim akan datang.

Liga Super 2015 baru saja melabuhkan tirai minggu lalu. JDT muncul juara. Pahang pula terpaksa berpuas hati di tempat ke-2.

Sepanjang 22 minggu Liga Super 2015 berlangsung, sebanyak 410 gol berjaya dijaringkan dalam 132 perlawanan. Ini menjadikan purata 3.1 gol pada setiap perlawanan!

Jumlah jaringan pada musim ini juga lebih banyak daripada musim lepas. Lebih 63 gol berbanding musim 2014.

Dari 410 gol yang dicetak, bagaimanakah prestasi pemain tempatan pada kali ini? Penulis mengkaji persoalan: pasukan manakah yang paling banyak bergantung kepada pemain import untuk menjaringkan gol.

Pasukan Lions XII dikecualikan dalam artikel ini.

1. JOHOR DARUL TAKZIM (JDT)

JDT menjaringkan 36 gol pada musim ini. Dengan 12 daripadanya disumbang oleh Luciano Figueroa. Ini bermakna Figueroa menyumbang 33.3% jumlah jaringan gol JDT. Satu rekod yang sangat bagus memandangkan Figueroa kerap cedera pada musim ini.

Bagi seorang pemain tengah, 7 gol yang dijaringkan Safiq Rahim menggambarkan beliau lebih berbahaya jika bermain di posisi yang lebih menyerang. 5 gol jaringan Amri Yahyah pula membuktikan pada umur 34 tahun, beliau masih mampu bermain seperti orang muda.

11866215_511330549030249_6029726366156652539_n

JDT juga adalah pasukan yang mempunyai senarai penjaring terbanyak pada musim ini. Sebanyak 14 pemain berbeza mencatat nama sebagai penjaring gol JDT. Ini sekaligus meringankan beban jaringan yang dipikul oleh Figueroa.

Senarai penjaring lain:

2 gol: Aidil Zafuan

1 gol: Marcos Antonio, Junior Eldstal, Hariss Harun, Alhaji Kamara, Aidil Zafuan, Patito Rodriguez, Asrarudin Putra Omar, Safee Sali, Mahali Jasuli, Nazrin Nawi, S. Chanturu.

2. PAHANG FA

Pahang FA adalah antara pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam Liga Super 2015 dengan 43 gol. Tetapi kebergantungan mereka kepada pemain import untuk menjaringkan gol sangat ketara.

Daripada 43 gol, hanya 12 gol dijaringkan oleh pemain tempatan (27.9% sahaja).

Matias Conti masih lagi penjaring utama mereka dengan 12 gol. Dickson Nwakaeme menyumbang 8 gol. Malah, pemain pertahanan seperti Zesh Rehman (6 gol) dan Damion Stewart (5 gol) turut menjaringkan lebih banyak gol daripada penyerang tempatan.

Secara keseluruhan, barisan 4 pemain import Pahang sahaja sudah menyumbang 72.0% jumlah gol Pahang pada musim ini!

Senarai penjaring lain:

2 gol: R. Gopinathan, Azidan Sarudin, Hafiz Kamal, Azamudin Akil, R. Surendran

1 gol: D. Saarvindran, Fauzi Roslan

3. SELANGOR FA

Seperti Pahang, Selangor juga menjaringkan 43 gol dalam pada musim ini. Ini peningkatan ketara berbanding musim lepas, di mana mereka hanya menjaringkan 28 gol. Jumlah bolos mereka juga meningkat daripada musim lepas, bolos 28 berbanding 19 pada 2014.

Statistik ini menunjukkan Mehmet Durakovic berjaya mengubah Selangor menjadi pasukan yang lebih menyerang pada musim ini.

Afiq Azmi muncul penyerang tempatan paling prolifik musim ini dengan 8 gol. Hanya kurang 1 gol daripada Guilherme de Paula yang menjaringkan 9 gol.

11147108_845122058893620_3626140374255030168_o

Ahmad Hazwan Bakri terus menyinar sebagai pemain sayap dengan 7 gol. Satu lagi pemain sayap utama Selangor, Andik Vermansyah turut cemerlang apabila menyumbang 6 gol.

Secara keseluruhan, 23 gol Selangor disumbangkan oleh pemain tempatan. Jika pemain tempatan Pahang hanya menyumbang 28.0% jumlah gol pasukan, pemain tempatan Selangor pula menyumbang 53.5% jumlah gol pasukan.

Senarai penjaring lain:

4 gol: Abdul Hadi Yahya, Robert Cornthwaite.

1 gol: Fitri Syazwan, Leandro dos Santos, K.Gurusamy, Rizal Fahmi, Shahrom Kalam

4. TERENGGANU FA

Terengganu menjaringkan 40 gol pada musim ini. Tetapi apa yang menariknya 57.5% daripadanya terhasil selepas Paulo Rangel digantung dan Abdul Rahman Ibrahim ‘direhatkan’.

Kebetulan? Penulis rasa tidak.

Selepas Paulo Rangel digantung dan Abdul Rahman Ibrahim direhatkan, Terengganu menang 8 daripada 9 perlawanan. Menjaringkan 23 gol dengan purata 2.56 gol setiap perlawanan.

Issey Nakajima-Farran muncul penjaring terbanyak Terengganu dengan 9 gol. Meskipun beliau hanya tiba di Terengganu pada bulan April. Pencapaian Issey ini sekaligus menggerhanakan sumbangan 8 gol oleh Paulo Rangel pada awal musim.

11873353_1228152353880535_153099001769411959_n

Prestasi pemain tempatan Terengganu juga cemerlang dengan jumlah sumbangan 18 gol. Ismail Faruqi menjadi pemain tempatan paling prolifik dalam kem Terengganu apabila mencetak 7 gol. Siapa kata pemain pendek tak boleh menjadi penyerang?

Senarai penjaring lain:

4 gol: Ashari Samsudin

3 gol: Vincent Bikana

2 gol: Gustavo Lopez, Helmi Rameli

1 gol: Shahrin Sapien, Fakhrurazi Musa, Norshahrul Idlan Talaha, Nasril Izzat

5. FELDA UNITED

Sejak dari Liga Perdana lagi, Felda United tiada masalah untuk menjaringkan gol. Mereka menjaringkan 36 gol pada musim ini. 1 daripadanya adalah gol sendiri.

Daripada 35 gol, 14 atau 40.0% datang daripada sumbangan pemain tempatan. Penjaring tertinggi pemain tempatan mereka adalah Indra Putra Mahayuddin (5 gol) dan Ahmad Syamim Yahya (4 gol).

Barisan penyerang import Felda juga tidak mengecewakan. Ndumba Makeche menyumbat 6 gol. Manakala Edward Junior Wilson (sudah berpindah) dan penggantinya, Thiago Fernandes masing-masing menjaringkan 5 gol.

Apa yang menarik adalah, Wilson menjaringkan 5 gol itu hanya selepas 7 perlawanan liga.

Senarai penjaring lain:

4 gol: Zah Rahan Krangar

2 gol: Shukor Adan

1 gol: Bojan Miladinovi, Cristie Jayaselan, Hadin Azman, Shahrul Saad

6. PDRM FA

Pada awal musim, pendatang baru; PDRM atau ‘The Cops’ mengancam pasukan elit Liga Super apabila mencatat kemenangan demi kemenangan. Salah satu faktornya adalah kekuatan jentera serangan mereka.

PDRM menjaringkan 42 gol pada musim ini. Ketiga terbanyak selepas Pahang dan Selangor. Dan mereka perlu berterima kasih kepada gandingan penyerang import mereka. Dramane Traore (19 gol) dan Ashfaq Ali (10) sahaja sudah menyumbang 69.0% jumlah gol PDRM.

Pemain tempatan PDRM pula hanya mampu menjaringkan 9 gol. Peminat bola sepak tempatan mungkin melihat kebergantungan PDRM kepada pemain import sebagai sesuatu yang negatif.

Tetapi sebagai pasukan bola sepak yang tiada kumpulan penyokong yang hardcore, mereka sukar untuk menarik nama-nama besar pemain tempatan. Jadi inilah satu-satunya cara PDRM untuk kekal kompetitif dalam liga.

Senarai penjaring lain:

3 gol: Mamadou Sumareh, Ezrie Shafizie, Afif Amirudin

1 gol: Muslim Ahmad, Shahruain Abu Samah, Faizal Abu Bakar

7. PERAK FA

Kebergantungan Perak terhadap Namkung Woong dan Chad Souza jelas apabila masing-masing menjaringkan 9 gol. 18 gol daripada mereka berdua sahaja sudah membentuk 56.3% daripada 32 gol yang dijaringkan Perak pada musim ini.

Pemain tempatan paling menyerlah bagi Perak tentunya – pakar sepakan percuma – Nurridzuan Abu Hassan. Nuri menjaringkan 5 gol. Dengan 3 daripadanya terhasil daripada sepakan percuma.

11900030_391857387680268_1218506017788013030_n

Tak keterlaluan untuk dikatakan jika Safiq Rahim adalah pakar sepakan percuma berkaki kanan, Nuri pula pakar sepakan percuma berkaki kiri.

Senarai penjaring lain:

2 gol: Horace James, Nasir Basharuddin, Thiago Aquino Jr, Bobby Gonzales

8. KELANTAN FA

Musim ini saja Kelantan sudah mempunyai 3 ketua jurulatih berbeza. Antara George Boateng, Azraai Khor dan Zahasmi Ismail, Zahasmi adalah yang paling menyerlah.

Di bawah Zahasmi, Kelantan menang 5 kali. Mereka juga menjaringkan 23 gol – merangkumi 67.6% jumlah gol keseluruhan Kelantan pada musim ini.

Kelantan menjaringkan 34 gol pada musim ini. Walaupun posisinya sering diubah-ubah, Nor Farhan masih muncul pemain tempatan paling prolifik dalam kem Kelantan dengan 6 gol. Gilmar yang hanya tiba pada April juga menjaringkan 6 gol.

Erwin Carillo yang tiba sejak awal musim hanya mampu menjaringkan 5 gol. Secara keseluruhan, 4 pemain import Kelantan menyumbang 16 gol (47.1%). Pemain tempatan pula menyumbang 18 gol (52.9%).

Senarai penjaring lain:

3 gol: Iwuji Austin Amutu, Badhri Radzi

2 gol: Wan Zaharulnizam, Jonathan Mckain, Wan Zack Haikal, Noor Hazrul

1 gol: Amirizwan Taj, Fakri Saarani, Khairul Izuan

9. SARAWAK FA

Seperti musim lepas, Sarawak masih bergelut di zon penyingkiran liga. Di tangga ke-10 dengan hanya 28 gol dan bolos 40 gol.

Kepentingan Billy Mehmet (10 gol) dan Ryan Griffiths (6 gol) kepada Sarawak memang tak boleh disangkal. Mereka berdua sahaja sudah menyumbang 57.1% jumlah gol keseluruhan pasukan mereka pada musim ini.

Hanya 9 gol dihasilkan oleh pemain tempatan. Joseph Kalang Tie sahaja sudah menyumbat 4 gol.

Bagaimanapun senarai nama penjaring Sarawak tercatat nama pemain muda baru berusia 19 tahun, Tommy Mawat. Tommy menjaringkan gol pada minggu ke-20 ketika Sarawak seri 1-1 menentang ATM. Penulis mengharapkan Tommy terus gigih memburu gol!

#BintangDalamPembikinan#BacaSampaiHabisNama : Tommy Mawat anak BadaNama samaran : Tommy #Mr8Umur : 19 tahunTarikh…

Posted by Sarawak Supercroc on Thursday, August 6, 2015

Senarai penjaring lain:

2 gol: Patrick Gerhardt

1 gol: Hairol Mokhtar, Shahrol Saperi, Ashri Chuchu, Ivan Fatic, J. Partiban

10. ATM FA

Jika ATM mampu mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana pada musim lepas, kegagalan mereka memperkuatkan pasukan dan konflik dalaman membawa padah apabila tersingkir pada musim ini.

ATM menjaringkan 21 gol pada musim ini. 10 gol daripadanya disumbang oleh Jerry Palacios (5 gol) dan Abdulafees Abdulsalam (5 gol).

Hanya 9 gol yang mampu dihasilkan pemain tempatan ATM. Venice Elphi paling banyak dengan 3 gol.

Senarai penjaring lain:

2 gol: Hairudin Omar

1 gol: Mario Karlovic, Norshahrul Idlan Talaha (sebelum berpindah ke Terengganu FA pada April), Norfazly Alias, Shukor Jusoh,

11. SIME DARBY FC

Jika pada musim lepas mereka digelar ‘The Giant Killer’, musim depan Sime Darby FC perlu memikirkan nama lain. Sesuai dengan persembahan buruk dan langsung tidak kompetitif yang dipamerkan mereka pada musim ini.

2 seri dan 8 kekalahan dalam 10 perlawanan awal bagaikan petanda nasib mereka di akhir musim.

Satu-satunya kemenangan mereka terhasil ketika mereka sudah sah tersingkir ke Liga Perdana. Mereka menewaskan ATM 1-0 pada minggu kedua terakhir liga.

Dari 20 gol yang terhasil, hanya 4 gol (20.0%) datang dari pemain tempatan.

Tiga pemain import; Nemanja Vidakovic, Reinaldo de Costa dan Marko Perovic masing-masing menyumbat 5 gol.

Senarai penjaring lain:

2 gol: Fahrul Razi

1 gol: Nazrul Kamaruzaman, Dilshod Sharofetdinov, Nizad Ayub


Senarai penjaring utama (tempatan) Liga Super 2015

8 gol: Afiq Azmi (Selangor), Faris Ramli (Lions XII)

7 gol: Safiq Rahim (JDT), Hazwan Bakri (Selangor), Ismail Faruqi (Terengganu)

6 gol: Nor Farhan (Kelantan)

Senarai penjaring utama (import) Liga Super 2015

19 gol: Dramane Traore

12 gol: Matias Conti (Pahang), Luciano Figueroa (JDT)

10 gol: Ashfaq Ali (PDRM), Billy Mehmet (Sarawak)

9 gol: Chad Souza (Perak), Namkung Woong (Perak), Guilherme de Paula (Selangor), Issey Nakajima-Farran (Terengganu)

8 gol: Paulo Rangel (Terengganu), Dickson Nwakaeme (Pahang)

Baca juga: 8 LAMAN WEB RASMI TERBAIK PASUKAN LIGA SUPER MALAYSIA

Anda mahu menulis tentang bola sepak? Tulis apa-apa sahaja pasal bola sepak dan hantar artikel tulisan anda ke semuanyabola@gmail.com. Kami akan siarkan di laman web kami.

Sumber: Media Perak FA, Terengganu FA, FA Selangor, Johor Southern Tigers, asiana.my

The post Analisis Penjaring Import Dan Tempatan Liga Super 2015 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *