foundation-of-hears

Bagaimana Penyokong Hearts Menghalau Keluar Pengurusan Kelab Yang Bangsat

Semuanya bermula di Scottish Premiership – liga teratas Scotland – pada musim 2013/2014.

Selepas hampir 10 tahun beroperasi dengan hutang, Heart of Midlothian (Hearts) – kelab gergasi dari Edinburgh – mengumumkan pada 23 Mei 2013 bahawa mereka kekurangan £2.5 juta untuk mengelak daripada diumumkan bankrap.

Ketika itu, Hearts sedang menanggung beban hutang £25 juta. Dan sejak 2011 lagi, mereka sudah mula menunjukkan tanda-tanda bankrap apabila kerap kali lewat membayar gaji pemain.

Apa yang peliknya, masalah kewangan Hearts menjadi makin melarat sejak jutawan Lithuania, Vladimir Romanov membeli 82% syer kelab untuk menjadi pemilik kelab.

Bukankah sepatutnya status kewangan kelab menjadi lebih stabil selepas menerima wang pemilik kelab? Apa yang terjadi di Hearts?

Latar belakang pemilikan Romanov

Vladimir Romanov melengkapkan pemilikannya di Hearts pada 2005 selepas berjanji untuk melangsaikan hutang kelab dan menaik taraf halaman mereka, Stadium Tynecastle.

Sepanjang tempoh pemilikannya, Romanov bukan saja gagal melangsaikan hutang Hearts (malah hutang Hearts makin meningkat), malah beliau juga mencadangkan agar Stadium Tynecastle dijual.

Romanov gagal melunaskan janji-janjinya kepada penyokong Hearts apabila bank miliknya di Lithuania rugi teruk sehingga terpaksa ditutup.

Akibatnya pada Februari 2013, Romanov diisytiharkan insolvent. Ini berita buruk untuk Hearts.

Masalah demi masalah

Hanya beberapa hari selepas Hearts mengumumkan mereka memerlukan £2.5 juta untuk mengelak daripada bankrap, mereka diarahkan oleh Her Majesty’s Revenue and Customs (HMRC) pula untuk membayar cukai sebanyak £100,000.

Ibarat menabur garam ke luka, 2 hari selepas membayar cukai, Hearts mengumumkan mereka memerlukan £500,000 pula untuk membayar kos pentadbiran sepanjang musim panas 2013.

Jika tiada £500,000, kelab mereka akan masuk administration dan didenda oleh Scottish Football Association (SFA).

Hearts gagal mendapatkan £500,000 tersebut. Pada 17 Jun 2013, Hearts masuk administration.

Hearts masuk administration

Mengikut British Insolvency Act 1986, apabila sesebuah kelab masuk administration, sebuah badan insolvensi bebas akan ditugaskan untuk mencari cara memastikan kelab terus beroperasi dan membayar sebanyak mungkin hutang.

Sebagai denda kerana masuk administration, SFA melarang Hearts menandatangani pemain baru dan akan memulakan musim 2013/2014 dengan -15 mata.

Untuk membayar hutang kelab, BDO International – badan insolvensi bebas yang bertugas ketika administration di Hearts – memberitahu penyokong bahawa mereka perlu membeli 3,000 pas bermusim untuk mengumpul £800,000.

Jika peminat gagal membeli 3,000 pas bermusim ini, Hearts akan diisytiharkan bankrap.

BDO International juga membuka bidaan membeli Hearts kepada sesiapa untuk mengambil alih pengurusan kelab.

3 pihak berminat; salah satunya adalah The Foundation of Hearts yang ditubuhkan oleh penyokong Hearts sendiri.

Bagaimana penyokong Hearts menyelamatkan kelab

Kuasa penyokong Hearts sangat berpengaruh demi menyelamatkan kelab bola sepak mereka.

Jualan pas bermusim mereka bukan saja menepati sasaran, malah mencapai angka 10,000. Hearts berjaya mengumpul £3 juta, melebihi sasaran £800,000.

Tidak cukup dengan itu, kelab-kelab penyokong Hearts bergabung untuk membentuk The Foundation of Hearts – yang bercita-cita untuk mengambil alih pemilikan kelab.

Sementara The Foundation of Hearts mengumpul duit derma daripada penyokong, seorang penyokong Hearts kaya bernama Ann Budge meletakkan bidaan £2.5 juta untuk mengambil alih kelab.

Dan akhirnya pada 11 Jun 2014, Hearts telah keluar dari administration. Mimpi buruk mereka bersama Romanov telah berakhir.

Dari Ann Budge kepada The Foundation of Hearts

Pelan Ann Budge (gambar bawah) adalah – mentadbir kelab selama 5 tahun dulu (tanpa gaji) sebelum menyerahkan pentadbiran kelab kepada The Foundation of Hearts pada 2020 nanti.

Perjanjian Ann Budge dengan The Foundation of Hearts menetapkan kumpulan penyokong itu perlu:

  1. Memberi £1 juta untuk membantu Ann Budge menguruskan kelab
  2. Membayar £2.5 juta yang digunakan Ann Budge ketika mengambil alih kelab dari Romanov TANPA FAEDAH
  3. Membeli 75% syer Ann Budge pada harga serendah £100,000
  4. Menyediakan £2.8 juta (£1.4 juta setahun) sebagai modal apabila tiba masa mengurus kelab nanti

Ini bermakna untuk merealisasikan impian The Foundation of Hearts memiliki Hearts, mereka perlu mengumpul £6.4 juta dalam masa 5 tahun (sehingga 2020).

Penghargaan kepada penyokong

foundation of hears

Sehingga kini, The Foundation of Hearts masih giat mengumpul £6.4 juta yang diperlukan untuk mengambil alih kelab pada 2020 nanti.

Sehingga kini hampir 8,000 penyokong Hearts sudah menderma. Bagaimanapun jumlah sebenar kutipan derma mereka tidak diketahui.

Sebagai tanda terima kasih kepada lebih 8,000 penderma ini, The Foundation of Hearts bekerjasama dengan Puma untuk mengeluarkan jersi ketiga Hearts yang tertera nama semua penderma.

Jersi ini telah digunakan pada musim 2014/2015 – ketika mereka menjuarai liga kedua Scotland.

Kini Hearts kembali bermain di liga teratas Scotland. Mereka sedang menduduki tangga ke-3 liga, di belakang Celtic dan Aberdeen.

Kesimpulan

Fanpage HarimauMalaya kerap berkempen tentang perlunya supporters ownership dalam pengurusan pasukan di Malaysia. Tetapi bersediakah kita?

Menurut mereka:

“Kelab bola sepak sepatutnya dibentuk dan diuruskan BY SUPPORTERS, FROM SUPPORTERS, FOR SUPPORTERS. Rakan-rakan supporters di Real Madrid, Barcelona, FC United of Manchester, dan Nashville FC dah buktikan ownership model sedemikian boleh dilaksanakan dan mereka berjaya melakukannya, jadi kenapa tidak kita?”

Kita sering galak mengutuk dan mengkritik pengurusan pasukan kesayangan kita di Malaysia.

Tetapi jika tiba masa kita untuk membentuk collective ownership seperti The Foundation of Hearts, adakah kita bersedia? Atau adakah kita hanya sekadar keyboard warrior?

Adakah kita bersedia berkorban wang, masa dan tenaga – demi idea bahawa bola sepak sepatutnya diurus oleh penyokong, daripada penyokong dan untuk penyokong?

Baca juga: Mengapa DS Vida-Annuar Musa Adalah Jelmaan Delia Smith-Ed Balls Di Norwich

The post Bagaimana Penyokong Hearts Menghalau Keluar Pengurusan Kelab Yang Bangsat appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *