CopaBdelBReyB2017-vert

Bola Sepak : Perlawanan Akhir Copa del Rey 2016/17

Perlawanan Akhir Copa del Rey Sepanyol atau King’s Cup (Piala Raja) Sepanyol musim 2016/17 dijadualkan berlangsung pada 27 Mei 2017 di Stadium Vicente Calderon, Madrid menemukan pasukan juara bertahan FC Barcelona dengan pasukan penuh kejutan Deportivo Alaves. Ini merupakan edisi ke 115 sejak ianya diperkenalkan pada tahun 1903 sebagai kejohanan peringkat kelab kebangsaan Sepanyol. Pemenang kejohanan ini akan mendapat slot pasukan ke saingan UEFA Piala Europa 2017/18 akan datang selain mendapat tempat untuk saingan pembuka tirai Liga Sepanyol 2017/18 iaitu Supercopa de Espana 2017/18 bertemu dengan pasukan juara Liga Primera Sepanyol 2016/17.

Pasukan FC Barcelona di bawah kendalian pengurus dari Sepanyol Luis Enrique merupakan pasukan pilihan pada perlawanan akhir edisi kali ini. Pasukan FC Barcelona juga merupakan pasukan paling berjaya dalam kejohanan Copa del Rey apabila muncul juara sebanyak 28 kali serta naib juara sebanyak 10 kali. Ini merupakan perlawanan akhir buat kali ke 39 kelab ini. Dengan barisan pemain-pemain berstatus bintang seperti Lionel Messi, Luis Suarez, Neymar, Andres Iniesta, Gerard Pique dan ramai lagi, pasukan FC Barcelona dilihat sebagai pasukan pilihan sekaligus muncul juara buat kali ke 29 serta kali ketiga berturut-turut setelah muncul juara pada saingan musim 2014/15 dan 2015/16. FC Barcelona sebelum itu berjaya mengenepikan cabaran pasukan Hercules CF (Agregat 8-1), Athletic Bilbao (Agregat 4-3), Real Sociedad (Agregat 6-2) serta Atletico Madrid (Agregat 3-2) seterusnya melangkah ke Perlawanan Akhir Copa del Rey 2016/17. 

Pasukan Deportivo Alaves yang kini di bawah kendalian Pengurus dari Argentina Mauricio Pellegrino mara ke perlawanan akhir buat pertama kali dalam sejarah kejohanan ini. Pasukan Deportivo Alaves merupakan pasukan yang naik ke Liga Primera Sepanyol 2016/17 setelah muncul juara Liga Segunda Sepanyol 2015/16 yang lalu. Pencapaian terbaik Deportivo Alaves ialah muncul sebagai Naib Juara Piala UEFA 2000/01 apabila tewas tipis 4-5 kepada pasukan Liverpool pada perlawanan akhir dramatik. Pasukan Deportivo Alaves sebelum itu berjaya mengenepikan cabaran pasukan Gimnastic de Tarragona (Agregat 6-0), Deportivo La Coruna (Agregat 3-3 : Kelebihan Gol di Tempat Lawan), AD Alcorcon (Agregat 2-0) dan Celta Vigo (Agregat 1-0) untuk melangkah ke Perlawanan Akhir Copa del Rey 2016/17. Antara pemain yang menjadi tumpuan untuk pasukan Deportivo Alaves ialah Edgar Mendez, Ibai Gomez dan Manu Garcia.

Bual Sukan percaya, kedua-dua pasukan pastinya akan memberikan permainan terbaik masing-masing untuk merangkul kejuaraan edisi kali ini. Walaupun FC Barcelona dilihat sebagai pasukan pilihan, cabaran pasukan Deportivo Alaves tidak boleh dipandang mudah kerana dalam bola sepak apa pun boleh berlaku. 

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *