noordin3

Dato’ Dr. Noordin Mahu Bawa Pemain Muda Malaysia Ke Akademi FC Bari

Pemilik baru FC Bari 1908, Dato’ Dr. Noordin Ahmad beraspirasi untuk membawa pemain muda Malaysia yang berbakat ke akademi kelab miliknya sebagai inisiatif untuk memperbaiki mutu bola sepak negara.

Bercakap ketika sidang media pertamanya sebagai pemilik baru kelab, Dato’ Dr. Noordin turut mendedahkan visinya untuk menjadikan FC Bari sebagai ‘yang terbaik antara terbaik’ dalam masa 5 tahun.

noordin3

Terhutang budi dengan Itali

Ketika memperkenalkan dirinya buat kali pertama di depan media Itali, Dato’ Dr. Noordin menceritakan pengalamannya yang diserang sakit jantung ketika bercuti di Itali.

“Saya betul-betul ingat saya akan meninggal dunia di Rom. Situasi saya (sakit jantung) sangat serius tapi doktor Itali menyelamatkan saya.”

“Sekembalinya saya di Kuala Lumpur selepas pulih, saya tertanya-tanya apa yang saya boleh lakukan untuk membalas masa Itali.”

Langkah pertama beliau untuk membalas budi Itali adalah dengan membuat pelaburan di sebuah butik fesyen milik mereka fesyen muda Itali bernama Louis de Bourbon – dianggap sebagai pengganti pereka fesyen terkemuka Christian Dior.

Situasi di Malaysia ubah fikiran

Pada ketika itu, Dato’ Dr. Noordin masih tidak memikirkan tentang pelaburan dalam bola sepak. Tetapi situasi di Malaysia membuatkannya berubah fikiran.

“Pada satu hari saya terbaca artikel tentang bola sepak Malaysia (Malaysia seri 0-0 dengan Macau). Masing-masing menuding jadi sesama sendiri.”

Jelas Dato’ Dr. Noordin depan media Itali lagi, 30 tahun lepas Malaysia setaraf dengan Jepun dan Korea Selatan. Jadi apabila bola sepak Malaysia merudum, semua orang bercakap mengenai cara untuk memperbaikinya.

“Saya berpendapat jika kita beri pemain muda Malaysia peluang bermain di akademi Eropah, mereka akan mempunyai masa depan dalam bola sepak.”

“Jika mereka gagal sekalipun, sekurang-kurangnya mereka memperolehi pengalaman beraksi dalam suasana profesional Eropah. Ini sahaja akan meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.”

Bagaimana memilih FC Bari?

Dato’ Dr. Noordin kemudiannya menceritakan proses bagaimana beliau memilih FC Bari sebagai kelab yang mahu dimilikinya.

“Mula-mula saya melawat kelab bola sepak sekitar Rom untuk mencari calon kerjasama dengan bola sepak Malaysia. Akademi Lazio adalah antara salah satunya.”

“Kemudian saya fikir, kalau kelab Rom menang Serie A, ia tidaklah menghairankan.”

“Tetapi jika FC Bari menjadi juara Serie A, ia lebih membanggakan.”

Dato’ Dr. Noordin mahukan akademi FC Bari memberi peluang kepada pemain muda Malaysia. Beliau berjanji sebuah kompleks pusat sukan akan dibina untuk memenuhi tujuan tersebut.

Beliau juga turut menyasarkan FC Bari untuk menjadi salah satu kelab terbaik di Itali dalam masa 5 tahun.

noordin2

Duit pelaburan akan masuk

Ketika ditanya mengenai nilai pelaburannya, Dato’ Dr. Noordin yakin beliau mampu membawa beberapa pelabur dari Malaysia untuk melabur di FC Bari.

“Kita ada Petronas, beberapa tabung kekayaan berdaulat (sovereign funds) yang melabur di London, India dan China. Tabung EPF adalah antara salah satunya.”

Peguam dan penterjemah Dato’ Dr. Noordin, Grazia Iannarelli pula menjelaskan urusan perpindahan saham kelab akan lengkap pada akhir Mei 2016 nanti.

Nilai pembelian saham pula bakal diberitahu kemudian. Tetapi menurut calcioefinanza, nilai jualan 50% saham milik Gianluca Paparesta itu berjumlah €12 juta.

Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai perancangan untuk membeli lebih banyak syer kelab, Dato’ Dr. Noordin menjawab beliau ‘sangat berpuas hati dengan hanya 50%’.

Dato’ Dr. Noordin turut ditanya sama ada beliau akan membeli pemain asing untuk pasukan. Beliau menjawab:

“Saya mahu jadi seperti Simon Cowell dalam rancangan British Got Talent. Saya lebih berminat dengan bakat-bakat pemain kelahiran Bari dan Malaysia.”

Baca juga: Pelabur Malaysia, Dató Dr. Noordin Ahmad Sah Beli Kelab Itali, FC Bari

The post Dato’ Dr. Noordin Mahu Bawa Pemain Muda Malaysia Ke Akademi FC Bari appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *