asiana-01482-1

Gol Cantik Khairu Azrin Tak Cukup Untuk Beri 3 Mata Buat Melaka United

Selangor lawan Melaka United menyaksikan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri.

Separuh masa pertama

Perlawanan ini berlangsung dalam tempo yang agak perlahan apabila kedua-dua pasukan masing-masing seperti tidak berani untuk cuba memecah masuk ke dalam pertahanan lawan.

Namun begitu, Melaka United adalah pasukan yang lebih dominan kerana mereka lebih banyak menguasai perlawanan dari segi penguasaan bola dan percubaan.

Perlawanan ini terpaksa menanti sehingga minit ke-15 untuk memperoleh percubaan tepat yang pertama apabila sepakan percuma Khuzaimi Piee dari jarak 30 meter berjaya ditepis keluar oleh Norazlan Razali.

Selepas itu kedua-dua pasukan tampak seimbang dari segi penguasaan bola dan juga percubaan apabila corak permainan kedua-dua pasukan mula bermain secara permainan terbuka.

Selangor hampir menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-35 apabila percubaan S. Veenod yang ditepis oleh Badrul Zaman Halim gagal ditolak mudah oleh Forkey Doe yang percubaannya terkena pertahanan Melaka United yang mencuba menghalang.

Usaha Adam Nor Azlin untuk mencari gol hampir berhasil apabila percubaan beliau dari tepi padang hasil susulan sepakan penjuru hampir memasuki jaring Melaka United.

Gambar oleh: Nur Ridzuan/ asiana.my

Adam sekali lagi hampir menjaringkan gol dari situasi yang hampir sama cuma kali ini di dalam kotak penalti pada minit-minit terakhir separuh masa pertama namun keputusannya tetap sama – percubaannya tersasar.

Melaka United hampir menjaringkan gol sebelum rehat apabila hantara lintang Amri Yahyah berjaya menemui Syed Sobri tetapi tandukannya sipi ke tepi gol.

Separuh masa kedua

Separuh masa kedua bermula dengan pasukan Melaka United berjaya mendapat peluang untuk menjaringkan gol selepas hantaran lintang mencari Amri Yahyah di dalam kotak penalti berjaya ditangkap oleh Norazlan.

Selangor juga memperoleh peluang apabila hantaran tinggi Syahmi Safari berjaya menemui Forkey Doe namun rembatan kaki kiri beliau terus kedakapan Badrul Zaman.

Selangor dilihat pasukan yang lebih agresif apabila mengutip 3 kad kuning menerusi Adam Nor Azlin, Ugo Ukah dan Saiful Ridzwan.

Melaka United berjaya memperoleh gol pendahuluan menerusi Khairu Azrin pada minit ke-68 selepas rembatan Khairu Azrin dari luar kotak penalti hasil satu placing shot yang menewaskan Norazlan.

Gambar oleh: Nur Ridzuan/ asiana.my

Melaka United hampir menambah jaringan pada minit ke-76 apabila pertahanan import dari Korea Selatan Jeon Woo Young melakukan percubaan dari jarak dekat tetapi diselamatkan Norazlan.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 selepas Victor Astafei yang menggantikan Halim Zainal menjaringkan gol menerusi tandukan dari sepakan penjuru Raimi Mad Nor.

Forkey Doe hampir menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 tetapi percubaan beliau dari luar kota penalti tersasar.

Tamat perlawanan, Selangor 1-1 Melaka United.

Kesebelasan utama

Selangor: Norazlan Razali (penjaga gol), Razman Roslan (kapten), Ugo Ukah, Rizal Fahmi, Raimi Mad Nor, Saiful Ridzwan, Halim Zainal, Syahmi Safari, Adam Nor Azlin, Forkey Doe, S. Veenod

Melaka United: Badrul Zaman Halim (penjaga gol), G. Puaneswaran, Godwin Antwi, Khair Jones, Khuzaimi Piee, Khairu Azrin, Ezrie Shafizie, Syed Sobri, Amri Yahyah, Sergio Aguero, Ilija Spasojevic (kapten)

Baca juga: JDT Atasi FELDA United Di Larkin! Azammudin Akil Cemerlang Dengan 2 Bantuan Gol

The post Gol Cantik Khairu Azrin Tak Cukup Untuk Beri 3 Mata Buat Melaka United appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *