Helicopter Sunday 2005: Bagaimana Rangers Merampas Takhta Liga Daripada Celtic Dengan Helikopter

Siapa yang tidak suka dengan cerita kebangkitan (comeback)? Kebangkitan adalah satu nikmat jika pasukan anda yang melakukannya. Tapi satu azab jika pasukan anda yang menjadi mangsanya.

Dalam artikel ini, kita akan membuka fail kebangkitan klasik daripada arkib bola sepak Scotland yang berlaku pada hari terakhir liga pada 2005 – 7 tahun sebelum Manchester City mencipta kebangkitan epik pada 2012 di England.

Peristiwa ini dipanggil Helicopter Sunday 2005.

1. Apa itu Helicopter Sunday?

Helicopter Sunday adalah ungkapan sinonim bagi peminat bola sepak Scotland jika juara liga terpaksa ditentukan pada hari terakhir liga.

Ini kerana helikopter yang membawa piala kejuaraan liga akan berlegar-legar di udara ketika perlawanan berlangsung dan akan mendarat di stadium pemenang liga selepas tamat perlawanan.

Kali terakhir Helicopter Sunday berlaku di United Kingdom adalah pada akhir musim 2014/2015 di Scottish League 1 antara Greenock Morton, Stranraer dan Forfar Athletic.

Akhirnya takhta kejuaraan Scottish League 1 dimenangi oleh Greenock Morton.

2. Helicopter Sunday 2005

Pada hari terakhir Scottish Premier League (SPL) musim 2004/2005, Celtic mendahului Rangers dengan 2 mata. Celtic dengan 92 mata dan Rangers dengan 90 mata.

Celtic hanya perlu seri dengan Motherwell di Fir Park untuk menjadi juara liga. Manakala Rangers perlu menang dengan Hibernian di Easter Road.

Di Fir Park, segalanya kelihatan baik-baik belaka buat Celtic pada mulanya. Celtic yang dibimbing oleh Martin O’Neill mendahului 1-0 hasil jaringan Chris Sutton pada minit ke-29.



Ini membimbangkan penyokong Rangers yang berada di Edinburgh setelah mengetahui musuh ketat mereka sedang mendahului melalui radio dan telefon bimbit. Ketika itu, Rangers masih terikat 0-0 dengan Hibernian.

Hibernian ternyata menjadi lawan yang liat buat Rangers pada hari itu kerana mereka sedang mengejar kelayakan ke Eropah.

Tamat separuh masa pertama, Alex McLeish memainkan peranannya sebagai pengurus Rangers dengan memberi kata peransang kepada anak buahnya. Beliau berkata:

“Satu-satunya perkara yang kamu tak boleh buat hari ini adalah tak menang perlawanan ini. Jika Celtic tercicir mata, dan kamu pula tak menang, kamu akan menyesal seumur hidup kamu.”

McLeish kemudiannya meminta bantuan jeneral tengahnya, Barry Ferguson (gambar) dan jeneral pertahanan, Marvin Andrews untuk meyakinkan rakan sepasukan lain – yang mereka mampu menang.



“Jika kamu menjaringkan gol dan Motherwell juga menjaringkan gol. Kamu adalah juara liga,” kata McLeish kepada pemainnya sebelum memulakan separuh masa kedua.

60 saat yang mahu dilupakan penyokong Celtic

Separuh masa kedua bermula, Rangers terus menyerang. Akhirnya Nacho Novo berjaya menjaringkan gol untuk Rangers pada minit ke-59. Rangers 1-0 Hibernian.

Sekarang, Rangers hanya perlu mengharapkan Motherwell untuk menang menentang Celtic.

Di Fir Park, penyokong Celtic yang turun ke Lanarkshire merasakan mereka sudah pasti menjuarai liga musim ini. Namun langit tidak selalunya cerah.

Ketika perlawanan hanya berbaki 2 minit, Scott McDonald melakukan voli cantik untuk memberikan gol penyamaan Motherwell. Motherwell 1-1 Celtic.

Penyokong Celtic semakin gementar. Pasukan mereka hanya perlu bertahan pada kedudukan 1-1, tetapi Motherwell semakin bersemangat mengejar gol kedua. Jentera pertahanan Celtic pula semakin teruk.

60 saat selepas gol penyamaan Motherwell, mimpi ngeri penyokong Celtic menjadi realiti.

Kali ini Scott McDonald menggelecek melepasi cabaran beberapa pemain Celtic sebelum melepaskan rembatan.

Takdir Tuhan mungkin memainkan peranan kerana rembatan McDonald terkena pertahanan Celtic dan terbias di luar jangkaan penjaga gol Celtic. Motherwell menang 2-1 dalam perlawanan itu.



“Sakitnya masih terasa sehingga hari ini”

Apabila berita kemenangan Motherwell sampai ke pengetahuan penyokong Rangers di Edinburgh, mereka bersorak gembira.

Apabila wisel tamat ditiup, Rangers sah bergelar juara liga untuk kali ke-51 dalam sejarah mereka selepas menewaskan Hibernian 1-0.

Helikopter yang pada mulanya berlegar-legar di atas ruang udara Fir Park, Lanarkshire terpaksa mengubah arah ke Edinburgh untuk mendarat di padang Easter Road. Trofi SPL milik Rangers.



Penyerang Celtic, Chris Sutton nyata kecewa dengan kekalahan minit akhir Celtic.

“Tiada perasaan seteruk ini, sakitnya masih terasa sehingga hari ini. Saya rasa saya takkan mampu melupakannya.”

Alex McLeish pula menyifatkan kejayaan ini adalah yang terbaik dalam karier pengurusannya.

“Kemenangan Birmingham ke atas Arsenal (dalam final League Cup 2011) pun dah terbaik.”

“Tetapi peristiwa ini (Helicopter Sunday 2005) membuatkan stadium bergegar dengan sorakan penyokong yang luar biasa. Ia takkan mampu lagi dicipta semula.”

Begitulah kisah Helicopter Sunday yang terbaik dalam sejarah. Apa reaksi semua? Ada kisah kebangkitan lain yang menarik untuk dikongsikan? Sila kongsi di ruangan komen.

Dalam artikel seterusnya, kita akan ke England untuk mengenali pemain Plymouth Argyle yang bernama James Bittner.

The post Helicopter Sunday 2005: Bagaimana Rangers Merampas Takhta Liga Daripada Celtic Dengan Helikopter appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *