JDT tepati ramalan

Sumber: Utusan

KUALA LUMPUR 14 Mei – Penyerang dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz muncul wira Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila jaringannya pada minit ke-35 membantu Harimau Selatan meraih trofi pertamanya tahun ini apabila mengalahkan PKNS FC 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam malam ini.

Kejayaan itu juga memboleh­kan Piala FA kembali dibawa ke bumi Johor selepas kali terakhir dijulang menerusi pasukan Johor FA pada 1998.

Ini adalah kali pertama pasukan berstatus kelab menjuarai Piala FA sejak kejohanan itu diperkenalkan 26 tahun lalu.

Kejayaan JDT itu juga mengubat kekecewaan mereka setelah tewas kepada Kelantan 1-0 dalam perlawanan akhir edisi 2013.


Walaupun telah diramalkan mampu memenangi perlawanan di hadapan hampir 70,000 penonton namun JDT menghadapi kesukaran untuk menjinakkan The Red Ants, malah mereka ketinggalan pada awal permainan.

Beraksi di atas padang yang licin akibat hujan sejak petang menambah kesukaran kepada kedua-dua pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik mereka namun perlawanan tetap berlangsung sengit.

Namun PKNS yang lebih dahulu berada di hadapan apabila pe­ngadil perlawanan Syed Azhar Syed Kamar menghadiahkan sepakan penalti pada minit kelima selepas kapten PKNS, Gonzalo Soto ditarik hingga terjatuh dalam kawasan gol oleh pertahanan tengah JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak berikutan sepakan sudut.

Peluang tersebut dimanfaatkan sebaiknya oleh Red Ants menerusi penyerang dari Argentina, Gabriel Guerra yang bijak mengelirukan penjaga gol JDT, Mohd. Izham Tarmizi apabila merembat kencang untuk membolehkan PKNS mendahului perlawanan.

Gol PKNS itu memaksa JDT menggandakan asakan untuk kembali menyamakan kedudukan dan asakan mereka membuahkan hasil apabila Harimau Selatan pula dihadiahkan sepakan penalti.

Tindakan penjaga gol PKNS, G. Jeevananthan untuk keluar daripada kedudukan asalnya bagi menghalang gerakan solo penyerang JDT, Diaz membawa padah apabila asakannya menyebabkan pemain itu terjatuh.

Dan, ketua pasukan Safiq Rahim tidak menghadapi masalah untuk menyempurnakan sepakan pada minit ke-16 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Kelemahan jentera pertahanan PKNS untuk mengeluarkan bola dengan pantas ketika berhadapan situasi di dalam kawasan gol telah memberi peluang kepada JDT menambah jaringan menerusi Diaz hasil susulan bola lantun yang terkena kaki Jeevananthan pada minit ke-35.

Selepas rehat, PKNS turut mempunyai beberapa peluang untuk menambah gol namun percubaan mereka sama ada diselamatkan atau dihalang oleh Izham manakala JDT juga menyaksikan beberapa percubaan mereka disekat oleh penjaga gol.


LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *