faizBsubri

Kenyataan atau Khayalan

Skuad kebangsaan negara, pasukan Harimau Malaya (a.k.a Harimau Malaysia) menjadi medan berkumpulnya pemain-pemain jaguh dari seluruh negara. Adakah ianya satu realiti atau hanya fantasi? Benarkah daripada kira-kira 31.7 juta penduduk Malaysia (pada tahun 2016) dan sekurang-kurangnya 132 pemain bolasepak profesional (daripada 12 pasukan Liga Super Malaysia), ketua jurulatih negara masih lagi berdepan dengan masalah untuk menyenaraikan 23 pemain terbaik untuk mewakili negara?

Faiz Subri mungkin perlu menjaringkan lebih banyak gol
ajaib untuk melayakkan dirinya mewakili negara.

Memang betul, persaraan awal empat pemain berpengalaman terutamanya bekas kapten negara Safiq Rahim dan bekas timbalannya iaitu Aidil Zafuan Abdul Radzak sedikit sebanyak kesannya ada mempengaruhi keadaan tetapi bukankah berita tersebut telah lama berlaku. Lagipun, dua lagi pemain iaitu Amirul Hadi Zainal dan Kunanlan Subramaniam pula sudah agak lama tidak bermain di posisi asal mereka, yang mana Amirul daripada pemain sayap kanan menjadi pemain tengah manakala Kunanlan daripada pemain sayap kiri menjadi bek kanan. Pilih sahajalah pemain-pemain lain sebagai pengganti. Sekiranya empat pemain tersebut ingin kembali menyarung jersi negara seperti mana yang telah dilakukan oleh Leo Messi untuk Argentina, mereka sendiri akan mengumumkannya. Ini bukannya masa untuk menoleh ke belakang, kerana waktu ini adalah saat untuk memandang ke hadapan.

Apabila Safiq, Aidil, Amirul, dan Kunanlan bersara, ini bermakna terdapat empat posisi yang perlu diganti dengan alternatif yang lain. Empat posisi tersebut adalah dua pemain tengah (Safiq dan Amirul), satu bek tengah (Aidil), dan satu bek kanan (Kunanlan). Sekadar memberi contoh, tempat Safiq diganti dengan Titus James Palani, Aidil dengan Chun Keng Hong, Amirul dengan Wan Kuzain Wan Kamal, dan Kunanlan dengan Dion Cools. Mengapa tidak? Kalau bukan mereka sekalipun, masih banyak lagi pemain-pemain bolasepak profesional (sepenuh masa) tempatan yang berkemampuan.

Zaquan Adha yang merupakan kembar kepada Aidil Zafuan
kembali mewakili negara dan mengambil semula #8 berikutan
persaraan bekas ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim.
(gambar: Nike)

Jikalau dapat diperhatikan dengan teliti, Titus James Palani, Chun Keng Hong, Wan Kuzain Wan Kamal, dan Dion Cools mempunyai satu perkara yang jelas sama, yakni mempunyai pengalaman unik bermain bolasepak di luar negara. Malah, yang lebih penting lagi kesemuanya layak untuk bermain dengan memakai baju berbelang kuning-hitam (atau biru-merah-putih) kebanggaan negara. Walau bagaimanapun, entah kenapa mereka tidak pun dilihat oleh pihak pengurusan sebagai aset negara. Hanya peminat-peminat tegar bolasepak negara sahaja yang nampaknya berangan-angan untuk membangunkan serta memajukan bolasepak tanahair dengan sebaik mungkin. Masihkah ada harapan, tanya mereka. Jawapannya, entahlah. Harapan tetap ada, cuma agak tipis dan kian menipis andainya ‘penyakit tidak diubati’. Rawatannya ada, cuma ‘si pesakit’ terlebih dahulu perlu akur bahawa dirinya perlu dirawat sebelum boleh mendapat kesembuhan.

Sedikit cerita mengenai seorang pemain yang berasal dari Brickfields, Kuala Lumpur, Titus James Palani mula-mula dikenali ramai apabila memasuki Malaysia Book of Records dengan memegang rekod menimang bola sebanyak 5,680 kali pada 1999 sewaktu baru berumur 13 tahun. Sayangnya, selepas menimba pengalaman di Akademi Le Harve, Titus hanya sempat beraksi di liga bawahan Perancis iaitu bersama kelab Nanteuil SC, FC Villenoy, dan Normandy. Asalnya mempunyai potensi yang amat besar, bakat beliau telah dipersia-siakan begitu sahaja dan sehingga kini masih tanpa sebarang kap untuk pasukan senior negara. Ibarat Freddy Adu dari Amerika Syarikat, nama Titus James pernah memberikan harapan yang tinggi tetapi mungkin terlalu tinggi untuk dicapai. Mungkin adik beliau iaitu Kogileswaran Raj Mohana Raj (di Pahang FC) yang sedang meningkat naik namanya mampu memberikan sinar yang baharu pula.

Kelibat Titus James di Perancis kurang menjadi.

Semenjak memasuki alaf baru, semakin kurang pemain daripada kaum Cina yang benar-benar memberi impak kepada skuad senior kebangsaan. Dahulu, Malaysia berbangga dengan pemain-pemain hebat seperti Chow Chee Keong, Soh Chin Aun, Wong Choon Wah, dan James Wong. Kemudian, kedengaran nama-nama seperti Lim Teong Kim, Liew Kim Tu, Yap Wai Loon, Ong Kim Swee, Moey Kok Hong, Tan Cheng Hoe, Mohd Aiman Abdullah (Wong Kah Loon), Wong Sai Kong, Chow Chee Weng, Lim Chan Yew, Chan Wing Hoong, Yong Kuong Yong, dan terbaru Dominic Tan. Bolasepak seperti mana sukan-sukan yang lain sepatutnya merentasi jurang warna kulit, bahasa, mahupun budaya. Tetapi, bagaimana pula seorang pemain bernama Chun Keng Hong yang berkhidmat dengan sebuah kelab Hong Kong iaitu Shatin Sports Association sejak 2014 dan sebelum itu di Thailand dengan kelab Chanthaburi FC tidak dipanggil ke Wisma FAM, Kelana Jaya dengan lebih kerap memang menjadi tanda tanya. Setakat ini, beliau belum menerima kap senior kebangsaan dan hanya mempunyai tiga penampilan bersama skuad bawah-23 kebangsaan.

Baru-baru ini, sebuah kelab gergasi iaitu Juventus dari Itali mengambil seorang pemain Palestin kelahiran Norway, Rashed Al-Hajjawi untuk diserapkan sebagai pemain pelapis. Dilahirkan pada 2006 (sekarang berumur 10 tahun), pemain cilik ini berjaya mencuri tumpuan selepas video yang viral di YouTube membuatkannya menjadi sensasi. Terdapat beberapa lagi pemain muda yang sepertinya tiba-tiba dikenali apabila muncul dalam dunia atas talian, umpamanya Juan Carlos Chera (Brazil), Kerlon Moura Souza (Brazil), Claudio Gabriel Nancufil (Argentina), Érik Lamela (Argentina), Rhain Davis (Australia), Madïn Koroghli (Algeria), Edon Zhegrova (Kosovo), Lallianzuala Chhangte (India), Takefusa Kubo (Jepun), Ryan Gauld (Scotland), Patrick Roberts (England), Yasin Ben El-Mhanni (England), dan tidak ketinggalan juga adalah Wan Kuzain Wan Kamal, seorang anak Malaysia di perantauan. Walaupun kemasyhuran singkat di alam maya belum tentu menjamin sesebuah kejayaan, Wan Kuzain yang pernah berlatih dengan skuad bawah-17 Amerika Syarikat seharusnya diberi masa serta ruang yang seluas-luasnya untuk mengembangkan lagi bakatnya. Selagi pasukan negara tidak mula mencabar pasukan-pasukan terkuat Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Iran, Arab Saudi, malahan China, mana mungkin seorang prospek yang boleh menjadi bintang pada masa hadapan ini akan tertarik untuk mewakili pasukan yang tidak boleh pun mengalahkan negara yang sedang berperang seperti Afghanistan.

Wan Kuzain berupaya menjadi pemain bertaraf dunia.

Memandangkan kerajaan Malaysia mensyaratkan bahawa rakyatnya tidak boleh memiliki dua atau lebih kewarganegaraan, pemain-pemain naturalisasi yang ingin bermain untuk pasukan negara biasanya memang mempunyai pertalian keluarga atau dilahirkan di Malaysia dan bukannya bertukar kewarganegaraan dari negara lain secara sembarangan. Maka, sebab itulah kita berpeluang melihat Junior Gunnar Putera Eldstål, Brendan Gan Seng Ling, Matthew Thomas Davies, dan Khair Muhammad Jefri Jones kembali ke pangkuan Malaysia. Yang paling menarik, pemain Club Brugge iaitu Dion Cools yang dilahirkan di Kuching, Sarawak dalam beberapa temuramah pernah mengisyaratkan bahawa beliau sanggup mempertimbangkan untuk bermain mewakili Malaysia sekiranya mendapat panggilan dan ini adalah suatu petanda yang baik. Walaupun beliau telah mewakili negara Belgium di peringkat umur bawah-18, bawah-19, dan bawah-21, Cools perlulah dilamar dengan segera. Lamaran tersebut mestilah betul-betul menarik minatnya agar beliau tidak dikebas oleh pasukan yang dibarisi pemain-pemain bernama besar seperti Thibaut Courtois, Simon Mignolet, Thomas Meunier, Vincent Kompany, Thomas Vermaelen, Jan Vertonghen, Axel Witsel, Marouane Fellaini, Radja Nainggolan, Kevin De Bruyne, Eden Hazard, Michy Batshuayi, Divock Origi, Romelu Lukaku, dan ramai lagi.

Selain mempunyai para pemain yang mampu mempamerkan bakat di luar negara (termasuklah Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Safee Sali, dan Nazmi Faiz Mansor), negara Malaysia yang tercinta ini juga sebenarnya mempunyai jurulatih yang pernah menabur bakti berkelana di tempat orang. Salah seorang yang ingin disebutkan di sini ialah Irfan Bakti Abu Salim. Merupakan seorang penyerang dalam skuad kebangsaan ke Piala Asia 1976 di bawah kendalian jurulatih negara M. Kuppan, Irfan Bakti lebih dikenali bagi generasi kini sebagai seorang jurulatih yang sangat berkaliber. Antara pencapaian cemerlang yang pernah diraihnya sebagai jurulatih adalah menjadi juara Liga (2001), juara Piala FA (2002), juara Piala Sumbangsih (2003) bersama Pulau Pinang dan di samping itu turut menjadi juara Piala Sumbangsih (2008) bersama Perlis serta juara Piala FA (2011) bersama Terengganu. Bukan itu sahaja, pemenang Jurulatih Terbaik tahun 2011 (dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan) ini sememangnya dihormati apabila berhasil membawa pasukan Persipura Jayapura dari Indonesia muncul Juara Wilayah Timur Divisyen Satu Liga Indonesia pada tahun 2007.

Irfan Bakti diiktiraf sebagai salah satu pengurus/
jurulatih terbaik di rantau Asia Tenggara.
(gambar: fourfourtwo.com.au)

Nah, siapa kata bolasepak Malaysia tiada apa-apa yang boleh mendatangkan kejayaan. Kalau hendak diikutkan, bahan-bahan untuk mencapai kejayaan yang diidam-idamkan selama ini sudah lama tersedia, cuma ramuannya sahaja yang belum diadun dengan baik. Apabila ramuannya nanti sudah disediakan mengikut kadar sukatan yang tertentu, barulah ia boleh dimasak dengan sempurna untuk menghidangkan kejayaan.

DUNIA BOLA SEPAK

Incoming search terms:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *