mob

Pakaian Sukan Bolasepak

Apabila menyebut tentang sukan bolasepak, boleh dikatakan hampir semua orang di seluruh dunia akan mengaitkannya dengan bangsa Inggeris samada secara sedar atau tidak sedar. Sebab itulah walaupun terdapat beberapa variasi perkataan “bolasepak” mengikut bahasa setempat, umumnya semua orang tahu apa itu “football” atau “soccer“. Football atau soccer sebenarnya adalah istilah yang diringkaskan daripada perkataannya yang asal yakni “association football“. Perkataan “football” itu sendiri pula sudah pun dijumpai bertulis buat pertama kalinya sejak tahun 1486 lagi.

Dari sudut sejarah, association football datangnya daripada sebuah permainan pada Zaman Pertengahan (Medieval atau Middle Ages) di Britain iaitu “mob football” yang muncul sempena sambutan Shrove Tuesday atau disebut juga sebagai Pancake Day. Bermula daripada mob football atau folk football inilah lahirnya sukan bolasepak moden yang dikenali pada hari ini. Sekiranya sebelum ini anda pernah tertanya-tanya kenapa “American football” turut dipanggil “football“, jawapannya adalah kerana ia dan juga sukan ragbi turut mempunyai asal-usul daripada mob football seperti mana bolasepak.

Mob football
(gambar: matthewclarksmith.com)

Mob football adalah satu permainan yang agak ganas, bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan teruk bahkan lebih teruk lagi hingga mendatangkan kematian. Ia masih ada dimainkan sehingga ke hari ini walaupun sudah berubah wajah serta tidak lagi meluas. Pada waktu dahulu, pernah diwujudkan buku panduan lama (old rulebook) bagi mengekang kekasaran yang melampau namun pada tahun 1314, Lord Mayor (datuk bandar) di London telah bertindak melarangnya daripada terus dimainkan secara terbuka. Kemudian, pada tahun 1331 pula, King Edward III menjadi raja England yang pertama yang mengharamkan permainan tersebut atas perintah diraja.

Pada tahun 1848, Universiti Cambridge pernah merangka sebuah undang-undang bolasepak tetapi hanya digunapakai di universiti tersebut. Meskipun kelab yang pertama dan masih lagi yang tertua yakni Sheffield FC (jangan dikelirukan dengan kelab Sheffield United atau Sheffield Wednesday) yang diasaskan pada tahun 1857 turut mengkanunkan undang-undang bolasepak Sheffield, tetapi hanya pada tahun 1863 barulah ‘Laws of the Game‘ diluluskan serta dianggap sebagai permulaan bolasepak moden. Undang-undang pada tahun 1863 yang dirangka oleh Ebenezer Cobb Morley bagi pihak The Football Association (FA) memanglah agak jauh berbeza dengan permainan moden, tetapi kini telah diadaptasi oleh FIFA dengan menerima pakai undang-undang yang dikawal selia oleh International Football Association Board (IFAB).

Kelab bolasepak paling tua di dunia,
Sheffield Football Club

Pakaian yang tertakluk kepada undang-undang bolasepak

Terdapat 17 perkara di dalam Laws of the Game dan kelengkapan para pemain merupakan undang-undang yang ke-4. Selain daripada uniform, pakaian seragam pemain turut disebut sebagai kit (bermaksud berkotak-kotak) atau strip (maksudnya berjalur atau berbelang). Undang-undang telah menetapkan apa yang sekurang-kurangnya perlu dipakai dan telah menggariskan juga larangan untuk menggunakan apa-apa yang boleh membahayakan diri atau pemain lain. Undang-undang lain yang berkaitan termasuklah penggunaan logo, warna pakaian, nombor pemain, dan beberapa lagi. Sekiranya barisan pemain bolasepak profesional dilihat lengkap berpakaian dengan baju jersinya, seluar pendek, stockings (sarung kaki), shin pads (decker), dan kasut but, sebiji bola dan sepasang selipar (dijadikan gol dan main berkaki ayam) mungkin sudah cukup buat sekumpulan kanak-kanak yang bebas bermain di mana-mana (di jalanan bukan di atas jalan raya).

Selain itu, para pemain dikehendaki memakai baju yang berlengan samada pendek atau panjang, baju yang tidak berlengan tidak lagi dibenarkan walaupun dahulu pernah ada pasukan yang sempat berbuat demikian. Penjaga gawang (yang dibenarkan menggunakan tangannya dalam permainan) pula perlulah memakai pakaian yang boleh membezakannya dengan pemain-pemain lain dan juga para pegawai (pengadil dan penjaga garisan). Posisi penjaga gol memang agak unik kerana di samping harus memakai gloves (sarung tangan), mereka juga dibolehkan memakai cap (topi) sekiranya perlu. Untuk jenis sukan bolasepak daripada cabang-cabang yang lain, umpamanya bolasepak pantai (beach soccer), bolasepak jalanan (street soccer), futsal atau indoor soccer, maka lainlah keperluannya.

Evolusi pakaian pemain bolasepak

1870an – Di Britain, para pemain memakai ‘knickerbockers‘ yakni seluar panjang yang diselitkan ke dalam stokin. Pada tahun 1874, Sam Weller Widdowson telah merekacipta shin pads atau disebut juga sebagai shin guards apabila memakai cricket pads yang telah dipotong serta diikat pada bahagian luar stokin.

Perlawanan bolasepak antarabangsa yang rasmi pertama kali
diadakan pada 30 November 1872 di Hamilton Crescent, Partick
antara pasukan tuan rumah Scotland melawan England.
(gambar: thefa.com)

1890an – Seluar menjadi sedikit singkat, tetapi ‘knickers‘ masih berada di bawah paras lutut.

Gambaran perlawanan akhir FA Cup tahun 1891 antara
Blackburn Rovers dengan Notts County.
(kredit: gottfriedfuchs.blogspot.my)

1900an – Seorang pemain Manchester United iaitu Charlie Roberts memulakan trend baru yang mana pemain-pemain lain tidak pernah buat dengan mengenakan knickers yang singkat dan kurang daripada paras lutut.

Charles “Charlie” Roberts
(gambar: bbc.com)

1940an – Penjaga gawang antarabangsa Argentina, Amadeo Carrizo yang pernah bermain untuk kelab River Plate diiktiraf sebagai perintis bagi banyak perkara antaranya, penjaga gol yang pertama memakai sarung tangan, yang pertama sering keluar daripada kawasan kotak penaltinya, dan juga yang pertama memperkenalkan sepakan gol (goal kicks) sebagai satu strategi untuk memulakan serangan balas (counterattacks).

Amadeo ‘Tarzán’ Carrizo

1970an – Para pemain memakai pakaian yang bersaiz kecil dan seluar kelihatan agak singkat.

Johan Cruyff dan Franz Beckenbauer dalam
perlawanan akhir Piala Dunia 1974.
(gambar: theguardian.com)

1990an – Pakaian yang dipakai oleh para pemain adalah lebih longgar tetapi seluarnya masih berada di atas paras lutut.

David Beckham dan Michael Owen turut meraikan gol Alan Shearer
untuk England ketika menentang pasukan Argentina di
peringkat suku akhir Piala Dunia 1998.
(gambar: soccer.nbcsports.com)

2002 – Pasukan bolasepak kebangsaan Cameroon memakai jersi tidak berlengan atau ‘sleeveless‘. Berbeza dengan pasukan Cameroon, pasukan bolasepak Itali pula menggayakan baju jersi yang mengikut bentuk tubuh badan serta boleh meregang.

Cameroon muncul juara African Cup of Nations tahun 2002.
(gambar: puma.resn.co.nz)

2004 – Pasukan Cameroon sekali lagi membuat kejutan dengan memakai ‘unitards‘, sejenis pakaian yang melekat pada tubuh dan bercantum baju dengan seluarnya.

Pasukan Cameroon di African Cup of Nations tahun 2004.
(gambar: whoateallthepies.tv)

2014 – Baju para pemain biasanya bersaiz sederhana namun seluar pendek masih lagi tidak menutup bahagian lutut.

David Luiz, Neymar Jr., dan Thiago Silva memperagakan jersi
rasmi pasukan kebangsaan Brazil untuk Piala Dunia 2014.
(gambar: footballfashion.org)

Susah sangatkah untuk menutup aurat?

Sebelum diberi definisi tentang hijab, adalah diingatkan kepada semua supaya merujuk semula apa sahaja yang berkaitan dengan ajaran Islam. Rujukan yang terbaik sudah pastilah kitab suci al-Quran yang mana individu-individu yang mempunyai ilmu pengetahuan boleh menerangkannya. Apa yang disampaikan di sini hanyalah secara umum dan sekadar yang asas sahaja. Baiklah, bila bercakap mengenai hijab, tidak diketahui berapa ramai yang tersalah faham bahawa memakai tudung dan/atau jilbab itulah hijab. Yang sebenarnya (dan juga yang sebetulnya), hijab bukan dinilai atau dilihat dengan secebis kain sahaja. Hijab merujuk kepada tingkah laku, percakapan, raut wajah, dan pemakaian seseorang. Ia adalah amalan harian yang terpakai untuk kedua-dua jantina, baik lelaki mahupun perempuan. Maka, pakaian yang tidak terdedah, tidak terlalu singkat, tidak jarang, tidak ketat, serta tidak menjolok mata hanyalah sebahagian daripada tuntutan hijab yang memelihara kehormatan dan keindahan.

Menurut undang-undang ‘antarabangsa’, penjaga gawang dibenarkan untuk memakai seluar panjang (tracksuit bottoms) namun sejak akhir-akhir ini, semakin ramai pula penjaga gol yang dilihat lebih gemar untuk memilih memakai seluar pendek seperti pemain-pemain di posisi lain. Sekalipun pemain-pemain Muslim ‘dipaksa’ atau ‘terpaksa’ untuk mengikut peraturan seperti memakai seluar pendek yang mendedahkan lutut, tiadakah jalan penyelesaian alternatif? Bukankah sudah ada contoh yang mana terdapat beberapa pemain yang cuba juga berusaha menutup bahagian lutut dengan memakai tights (seluar ketat) atau thermal undershorts? Mungkinkah sudah tiba masanya untuk siapa-siapa yang mampu di kalangan Muslim untuk menghasilkan sendiri jenama pakaian sukan yang berkualiti? Setakat yang kita semua tahu, tidaklah berdosa jika tidak mengharapkan lagi kepada jenama-jenama luar, tetapi tidakkah kita takut berdosa andai tiada seorang pun yang melaksanakan fardu kifayah bagi memenuhi keperluan pakaian untuk beriadah?

Bekas pemain sayap kiri negara, Indra Putra Mahayuddin
beraksi tanpa menampakkan lututnya.
(gambar: news.zing.vn)

Ingin dinyatakan juga di sini, isu wanita bermain bolasepak tidaklah menjadi masalah yang besar sekiranya adab-adab yang tertentu dijaga. Cuma, beberapa pesanan mungkin boleh memberi faedah sekiranya mahu diambil manfaatnya. Yang pertama, semua orang perlu diingatkan bahawa Allah itu Maha Adil. Allah sebagai Pencipta seluruh alam sudah tentulah adil seadil-adilnya tetapi persoalan yang perlu ditanya adalah, adakah kita berlaku adil terhadap diri kita sendiri dan juga kepada makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain? Jadi, ketahuilah bahawa aurat lelaki dan aurat wanita yang berbeza itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Malah, ketentuan Ilahi dalam menetapkan jantina masing-masing itu pun adalah tertakluk di bawah kebijaksanaan yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Oleh itu, duniabolasepak.blogspot.com (DBS) menyarankan semua pihak agar tidak melakukan apa-apa yang melampaui batas. Jikalau wanita mahu bermain bolasepak dan ianya baik bagi mereka, maka tiada halangan buat mereka asalkan tidak berlaku perkara yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, adalah kurang sopan sekiranya aurat dijadikan bahan tontonan awam.

Muhasabah diri

Oleh itu, marilah sama-sama menyesal akan kesilapan yang lalu, berhenti melakukan kesilapan yang sama, serta berazam dengan sungguh-sungguh untuk tidak lagi mengulangi kesilapan yang telah dipelajari. Di samping itu, sekiranya terdapat salah silap yang berlaku sesama kita maka adalah dituntut supaya saling bermaafan. Bermaaf-maafan ertinya memohon maaf apabila melakukan kesalahan dan di samping itu memaafkan juga kesalahan orang lain. Semoga Allah memberi kita kesempatan untuk bertaubat dan juga mengampuni dosa-dosa kita semua.

Allah sahajalah yang Maha Mengetahui.

#VivaHarimauMalaya   #KempenMenutupAurat

DUNIA BOLA SEPAK

Incoming search terms:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *