caralama

Pengswastaan Liga Malaysia – Abstrak

Bismillahhirrahmanirrahim.

Saya bukan pencacai FAM. Saya hanya seorang peminat bolasepak yang ingin melihat bolasepak tempatan semakin maju. Seperti saya sokong usaha NFDP didalam usaha memajukan “grassroot football”, saya sokong apa juga perubahan yang menjanjikan kemajuan. Jika tidak maju juga, kita usaha lagi. Tiada jawapan yang tepat didalam soal ini. Hanya Allah Taala tahu semua jawapannya dan sama macam kamu, kamu dan kamu, kita bukanlah tuhan.

Semua arif bolasepak Malaysia makin merosot tetapi menjatuhkan hukuman bahawa FAM lah satu-satunya punca kepada kemerosotan ini adalah tidak adil. Namun begitu saya percaya FAM tetap perlu ada perubahan. Perubahan secara menyeluruh mungkin agak sukar tetapi sistem yang ada didalam perlu nafas baru.

Tahun lepas pihak FAM telah mentauliahkan Red Card Pte Ltd (Redcard), melalui Repucom.net sebuah syarikat perunding pemasaran sukan terkemuka dunia, untuk menjalankan satu kajian dalam mencari nilai sebenar liga Malaysia dari aspek komersil.

Kajian Redcard (nota: semua data Redcard adalah dari sumber tahun 2014) menunjukkan bahawa nilai liga Malaysia ialah RM500juta setahun. Pelbagai isu timbul tentang penilaian ini. Ada yang mengatakan bahawa pihak FAM tidak berlaku adil kerana sebelum kajian nilai liga ini dijalankan, pembida terbaik untuk menaja liga Malaysia untuk musim yang seterusnya ialah Zenith/IMG berjumlah RM75juta dan bidaan mereka sepatutnya FAM terima.

Ada juga yang menyuarakan rasa tidak percaya bahawa liga kita bernilai RM500juta setahun sedangkan liga Thailand hanya RM182juta setahun.

Tanpa sebarang data untuk membangkang, demi perbahasan ini saya terima jumlah RM500juta dari Redcard itu. Lagi pun, jumlah RM500juta jauh lebih tinggi dari RM75juta setahun yang dibida Zenith/IMG. Ada kemungkinan FAM telah faham bahawa selama ini mereka telah “under-estimate” nilai liga Malaysia. FAM rasa tertipu.
Pada dasarnya saya setuju dengan arahan FAM untuk menilai liga kita sebelum memilih pembida yang akan memegang hak penyiaran. Barulah nilai yang akan FAM dapat, nilai yang lebih realistik.
Selain dari menilai liga Malaysia, kajian Redcard juga telah membantu pihak FAM dalam memilih gaya, jiwa dan roh baru untuk ditiup kedalam liga kita. Ditambah pula dengan kemerosotan FIFA ranking Malaysia, FAM menerima kenyataan bahawa sesuatu didalam sistem mereka perlu dirombak.

Cara dulu (gambar atas), penaja utama liga akan memberikan sejumlah wang kepada FAM dan penaja itu akan mendapat hak sepenuhnya terhadap hak penyiaran dan nilai komersil hasil dari hak ini. Duit tajaan itu selain dari FAM kongsikan dengan FA negeri yang bertanding, ia akan juga digunakan antaranya untuk menjalankan operasi kesemua liga (Super League, Premier League, Piala FA, Piala Malaysia dan liga FAM), inisiatif pembangunan bolasepak di Malaysia, menanggung kos operasi pasukan kebangsaan (kini ditaja oleh Telekom Malaysia) dan pasukan pelapis. Penaja utama yang mendapat hak penyiaran pula akan mengaut keuntungan penuh dari wang iklan dan sumber sub-sponsor yang lain. 
Sebagai badan yang ditauliahkan oleh FIFA untuk menyelaras dan memutuskan dasar-dasar bolasepak Malaysia, menguruskan liga tempatan secara total ada konfliknya. Bayangkan FAM pengurus liga tapi pada masa yang sama mereka juga adalah ahli lembaga disiplin. They are the judge, the jury and the executioner.
Oleh itu FAM telah memutuskan untuk mengeluarkan tugas pengelolaan liga super, liga premier, piala FA dan piala Malaysia dari bidang kuasa mereka dan diserahkan kepada satu badan luar. 
Kenapa liga super, liga premier, piala FA dan piala Malaysia sahaja yang diswastakan? Ini ialah kerana penaja tidak mahu taja liga yang tiada nilai komersil.

Pengswastaan liga kita ialah satu model yang “hybrid”. Kajian Redcard keatas liga-liga terkemuka dunia ketika itu menunjukkan bahawa liga yang paling mahal dari aspek komersil (English Premier League, 1.8billion Euro) tidak menghasilkan kelab yang stabil dari segi kewangan. Banyak yang beroperasi dalam kerugian. Malah pencapaian pasukan England adalah sangat membimbangkan.

Bundesliga sebaliknya pula adalah liga yang menghasilkan pasukan juara dunia walaupun nilai komersilnya hanya 1/3 dari nilai EPL. 52% dari pemain profesional yang bermain didalam Bundesliga dihasilkan oleh akademi kelab tempatan. Ini adalah jumlah yang sangat tinggi.

Dulu pasukan Die Mannschaft membariskan 10 robot dan satu Michael Ballack, pasukan yang hampir pasti dibaham jika berhadapan dengan skuad Sepanyol. Kini dengan adanya struktur organisasi padu dibawah seliaan DFL, Bundesliga berjaya menghasilkan 10 Michael Ballack dan seorang robot. Pasukan yang berjaya menjuarai Piala Dunia dan membaham Brazil 7-1 di hadapan mata penyokong mereka sendiri.

Model “hybrid” liga Malaysia ini nanti bakal menerapkan struktur organisasi mantap dari Bundesliga digabungkan pula dengan cara perkongsian komersil wang hak penyiaran kepada kelab yang bertanding dari EPL. 

Sebelum membincangkan pengswastaan liga, siapa yang menentukan dasar liga super, liga premier, piala FA dan piala Malaysia nanti? Contohnya, siapakah akan menentukan berapa jumlah pemain luar yang dibenarkan untuk bermain didalam liga?

Kongres liga terdiri dari FAM dan semua 24 pasukan yang akan bertanding didalam liga super dan liga premier musim itu. Ahli ini adalah dinamik dan tidak statik. Ahli yang statik cuma FAM. Jika sebuah pasukan itu tersingkir ke liga FAM, ia tidak akan lagi mewakili kongres liga. Ini memastikan dasar liga bertepatan dengan kehendak semasa pasukan yang bertanding dan tiada kuasa veto didalam memutuskan sesuatu dasar.

Kongres liga juga masih terbuka untuk diwakili oleh badan-badan yang berkepentingan. Ada rancangan untuk menyerapkan pihak media dan persatuan pemain professional dimasa hadapan.

Otak saya dah penat. Siri seterusnya menerangkan apa itu Football Malaysia LLP (FMLLP) dan apakah tugas-tugas mereka didalam pengswastaan liga? MP & Silva ini siapa pula?

Sokernet: Laman Web Rasmi Bolasepak Dunia

Incoming search terms:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *