Fussball - Gebrueder Xhaka

Previu EURO 2016: Kumpulan A Medan Pertembungan Adik Beradik Xhaka

21 Jun 2014. Perlawanan kumpulan G. Piala Dunia 2014. Jerman vs Ghana.

Bagaikan satu jenaka kosmik, adik beradik Boateng – Jerome dan abangnya Kevin – dipertemukan buat kali kedua di pentas yang sama.

Kali pertama Jerome, yang mewakili Jerman dan Kevin, yang mewakili Ghana bertembung sesama sendiri adalah ketika perlawanan kumpulan D dalam Piala Dunia 2010. Ketika itu, Jerman muncul pemenang dengan kemenangan 1-0.

4 tahun kemudian dalam Piala Dunia 2014, Jerman dan Ghana berada dalam satu kumpulan sekali lagi. Sekali lagi adik-beradik Boateng bertembung. Cuma kali ini perlawanan tersebut berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas 90 minit.

Pada hari kedua EURO 2016 (Sabtu, 11 Jun 2016) nanti, naratif sama akan berulang kembali. Cuma watak, tempat dan suasananya akan berbeza.

Adik beradik Xhaka – Granit dan abangnya, Taulant – akan bertembung sesama sendiri pada hari kedua EURO 2016 (Sabtu, 11 Jun 2016) apabila Switzerland menentang Albania nanti.

Fussball - Gebrueder Xhaka

Ini adalah kali pertama Granit, yang mewakili Switzerland dan Taulant, yang mewakili Albania akan menentang sesama sendiri dalam pentas antarabangsa.

Turut berada dalam kumpulan A bersama Switzerland dan Albania adalah tuan rumah, Perancis dan Romania.

Bagaimana mereka layak?

1. Perancis

Perancis layak atas kapasiti sebagai tuan rumah.

Ketika pasukan Eropah lain menggunakan peringkat kelayakan EURO 2016 untuk memilih skuad 23 pemain terakhir, Perancis dibenarkan oleh UEFA untuk mengatur perlawanan persahabatan dengan ahli-ahli kumpulan I kelayakan EURO 2016 – Portugal, Serbia, Albania, Denmark dan Armenia.

Prestasi Perancis menentang ahli-ahli kumpulan I kelayakan EURO 2016 ini cemerlang – menang 7, seri 2 dan kalah hanya sekali.

Tetapi apa yang bakal merisaukan Didier Deschamps dalam EURO 2016 nanti adalah kegagalan Perancis menewaskan Albania yang turut menghuni kumpulan A.

Perancis hanya mampu seri 1-1 di halaman sendiri dan kalah 0-1 di halaman Albania.

2. Albania

Albania yang kali pertama layak ke EURO pula layak selepas muncul naib juara kumpulan I di belakang Portugal.

Kecil-kecil cili api, Albania layak selepas berjaya mencapai matlamat asas mereka – menang salah satu perlawanan vs Portugal dan Serbia, seri dengan Denmark dan menang semua perlawanan menentang Armenia.

Paling mencuri perhatian peminat bola sepak Eropah adalah kekuatan pertahanan mereka. Albania hanya melepaskan 5 gol sepanjang kelayakan.

1 gol merupakan gol sendiri manakala 4 gol yang mereka bolos hanya datang pada separuh masa kedua.

3. Romania

Satu lagi pasukan yang kuat pertahanannya, Romania layak ke EURO 2016 sebagai naib juara kumpulan F di belakang Ireland Utara.

Sepanjang 10 perlawanan kelayakan, Romania hanya bolos 2 gol – ketika menentang Hungary dan Finland.

Muncul sebagai antara pasukan yang tak pernah kalah dalam kelayakan selain England, Itali dan Austria, kali terakhir Romania kalah adalah hampir 2 tahun lepas apabila tewas 1-2 kepada Algeria dalam perlawanan persahabatan.

4. Switzerland

Switzerland pula layak sebagai naib juara kumpulan E kelayakan EURO 2016 di belakang England. Kualiti Switzerland jelas berada satu kelas di bawah England apabila tewas 2 kali (home dan away).

Tetapi ketika menentang Slovenia, Estonia, Lithuania dan San Marino, mereka tiada masalah masalah meskipun mempunyai sedikit kesukaran menewaskan Slovenia (tewas 0-1 di halaman Slovenia).

Siapa pemain tumpuan?

Perancis – Anthony Martial (Manchester United)

Bakal bersaing dengan Antoine Griezmann, Dimitri Payet dan Kingsley Coman dalam posisi penyerang sayap, Martial mempunyai kualiti untuk menjadi match winner dari kebelasan utama mahupun dari bangku simpanan.

Albania – Lorik Cana (Nantes)

Sebagai kapten dan pemain paling banyak kaps antarabangsa untuk Albania, apa yang diarahkan oleh Cana pasti akan dituruti pemain Albania lain.

Terkenal dengan reputasinya sebagai defensive midfielder yang sering dibuang padang, Cana kini berubah menjadi centre back yang tenang dan cemerlang.

Romania – Vlad Chiricheș (Napoli)

Di Napoli, Chiricheș mungkin centre back pilihan ke-3 di belakang Kalidou Koulibaly dan Raul Albiol. Tetapi di Romania, beliau adalah punca utama mengapa Romania hanya bolos 2 gol dalam 10 perlawanan kelayakan.

Switzerland – Xherdan Shaqiri (Stoke City)

Diundi dalam satu kumpulan bersama Romania dan Albania, kreativiti dan skil Shaqiri sangat penting untuk memastikan Switzerland dapat membuka ‘kunci’ kubu dua pasukan defensif tersebut.

Siapa yang bakal mara?

Dengan kualiti pemain dan sokongan penyokong sendiri, Perancis jelas sekali adalah pasukan pilihan untuk layak ke pusingan seterusnya.

Albania dan Romania pula mungkin pasukan yang kecil profailnya berbanding Switzerland. Tetapi jangan terkejut jika kedua-dua pasukan ini mampu membuat kejutan ketika menentang Switzerland dan Perancis.

Kami menjangkakan sama ada Albania atau Romania yang bakal mengiringi Perancis ke pusingan seterusnya. Switzerland bekal menghadapi kesukaran dalam kumpulan ini.

Baca juga: 10 Pemain Bola Sepak Yang Paling Dibenci Di Perancis

The post Previu EURO 2016: Kumpulan A Medan Pertembungan Adik Beradik Xhaka appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *