Previu Dan Analisis: Mengapa Natxo Insa Adalah Pemain ‘Sepanyol’ Dimaksudkan TMJ

Seorang pembaca setia kami, Hairi Mohd membuat satu previu ringkas tentang prospek perpindahan pemain yang akan berlaku dalam jendela perpindahan pertengahan musim.

Previu Hairi Mohd

TMJ ada menyatakan, “Selain Ghaddar, kami akan membawa seorang lagi pemain berasal dari Sepanyol menyertai JDT.”

Sepanyol? Siapakah gerangannya?

Melalui suatu rakaman video yang disiarkan di laman rasmi Johor Southern Tiger pada hari ini, TMJ telah membayangkan bahawa selain Mohammed Ghaddar, akan ada seorang lagi pemain yang dibawa masuk.

Dan pemain itu ialah pemain berasal dari Sepanyol. Kini, JDT telah mempunyai 4 pemain asing iaitu Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera (Argentina), Brian Ferreira (Iraq) dan Marcos antonio (Brazil).

Analisis berdasarkan regulasi

Secara kiraan 3 + 1, apabila Mohammed Ghaddar dibawa masuk sebagai pemain yang berpasport Asia, sudah pasti kedudukan Brian Fereirra yang akan terancam.

Jelas sekali Brian pasti akan disingkirkan dari JDT. Namun, kini TMJ tampil dengan suatu lagi kejutan, apabila mengumumkan bahawa seorang lagi pemain asal Sepanyol akan dibawa masuk semasa musim perpindahan kedua nanti.

Jadi siapakah pula seorang lagi pemain yang terpaksa disingkirkan? Gabriel Guerra? Gonzalo Cabrera? Mahupun Marcos Antonio?

Di dalam hati, saya berkata tidak mungkin Marcos kerana secara jelas JDT mahu memperkuat bahagian serangan dan tengah.

Pengumuman ini amat mengejutkan kerana ketiga-tiga import ini iaitu Gabi, Cabrera, dan Marcos memperagakan aksi yang amat baik bersama JDT dan kini menjadi kesayangan penyokong JDT.

MALAYSIA. Johor Bahru: JDT players celebrates Guerra goal during Super League match between JDT and Melaka at Larkin Stadium on April 9, 2017. Photo by Nizam Rahman – www.asiana.my

Oleh itu, apakah solusi untuk membawa masuk seorang lagi pemain asing dari Sepanyol di samping mengekalkan 3 lagi pemain asing?

Setelah puas berfikir dan mengambil kira syarat-syarat pendaftaran pemain asing dan trend-trend perpindahan pemain di Malaysia, saya membuat kesimpulan yang mudah iaitu naturalisasi!

Namun begitu, Siapakah pemain yang layak dinaturalisasikan oleh JDT? JDT nama yang besar, JDT telah mengambil beberapa pemain naturalisasi sebelum ini namun impaknya tidaklah begitu besar.

Potensi corak pengurusan pasukan model TMJ

Seperti yang kita tahu, TMJ ialah seorang yang sentiasa mahukan perubahan, kemajuan dan tidak gemar akan sesuatu yang statik.

Sudah pasti kalau benar, pemain naturalisasi yang ingin dibawa masuk, pastilah beliau mestilah pemain bertaraf liga antarabangsa seperti liga Eropah, mempunyai ikatan darah dengan Malaysia dan mestilah berasal dari Sepanyol.

Namun siapakah gerangannya? Setelah membuat rujukan tentang posisi paling kritikal yang dialami oleh JDT iaitu bahagian deffensive midfielder (DM).

Prospek dari kaca mata Hairi Mohd

Dan dengan sedikit pembacaan ditambah dengan pelbagai khabar angin dan ‘hint’ yang pernah TMJ sendiri dedahkan mengenai pemain pilihannya.

Pada perkiraan saya pemain berkualiti tinggi yang paling sesuai dinaturalisasikan pastilah Natxo Insa. Siapakah Natxo Insa?

Beliau adalah abang kepada Kiko Insa, pemain berusia 28 tahun yang berasal dari Sepanyol yang baharu saja dinaturalisasikan oleh pasukan Pahang.

Kiko Insa kini bermain bersama Pahang atas status naturalisasi. Sebagai logiknya, jika Kiko Insa berjaya mendapatkan status naturalisasi kerana neneknya berasal dari Malaysia, mengapa tidak Natxo?

Pasti Natxo juga tidak menghadapi masalah untuk memohon status naturalisasi.

Jika JDT benar-benar menaturalisasikan Natxo Insa, pastinya ia berpotensi menjadi pemain naturalisasi Malaysia yang paling berprofil tinggi.

Kenapa?

Ini kerana pemain ini merupakan pemain Sepanyol yang mempunyai pemgalaman bersaing di kelab-kelab hebat La Liga dan kini beraksi di Liga Segunda bersama Levante UD.

Mengapakah JDT perlukan Natxo? Kemungkinan jika Natxo diserap masuk sedikit sebanyak beliau akan dapat menampung masalah paling kronik yang dihadapi oleh JDT pada masa ini iaitu posisi ‘deffensive midfielder’.

Oleh itu kemasukan pemain seperti Natxo akan menutup kelemahan di bahagian itu yang dialami oleh JDT sejak ketiadaan Harris Harun.

Profil Natxo Insa

Nama sebenar: Ignacio Insa Bohigues
Umur: 30 tahun (9 Jun 1986)
Ketinggian: 1.77m
Kelab-kelab terdahulu:
Valencia, Villareal, Celta Vigo, Real Zaragoza.
Kelab sekarang Levante UD
Posisi: pemain tengah
Keluarga: Abang kepada Kiko Insa (Pahang FA, bekas pemain Arema Indonesia dan Bali United & pemain naturalisasi Malaysia asal Sepanyol)

Adakah ia berlaku?

Jika benarlah seperti perkiraan saya, maka tiada apa yang dapat saya katakan buat pemilik pasukan JDT iaitu TMJ melainkan anda memang seorang yang bijak, oportunis dan berpandangan jauh.

Jika impian untuk melihat Natxo menjadi pemain naturalisasi JDT akan menjadi kenyataan, hal ini pasti akan membawa keuntungan kepada pasukan JDT dan juga akan memperkasakan skuad kebangsaan Malaysia pada masa hadapan.

Untuk pengetahuan semua pembaca ini hanyalah pandangan peribadi saya sebagai seorang pencinta bola sepak liga Malaysia.

The post Previu Dan Analisis: Mengapa Natxo Insa Adalah Pemain ‘Sepanyol’ Dimaksudkan TMJ appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia adalah skuad Harimau Malaya!

Harimau mempunyai beberapa spesis. Bagi orang-orang Melayu, mereka kadangkala menyebut nama binatang tersebut sebagai “ghimau” atau “pak belang”. Haiwan liar yang biasanya berkeliaran di pedalaman semenanjung Tanah Melayu ini digelar sebagai Panthera tigris jacksoni dalam istilah sains untuk sejenis subspesis harimau, dan selain itu dipanggil juga Malayan tiger dalam Bahasa Inggeris. Malangnya, ia kini semakin terancam dengan ancaman kepupusan apabila hanya terdapat kira-kira 250 hingga 340 ekor dewasa sahaja mengikut kajian yang telah dibuat.

Ilustrasi oleh Maman Rosnan
(kredit: www.behance.net)

Panthera tigris tigris atau harimau Benggala merupakan subspesis harimau yang paling banyak didapati di dunia manakala subspesis yang lain-lain adalah seperti harimau Indochina (Panthera tigris corbetti), harimau Sumatera (Panthera tigris sumatrae), dan harimau Siberia (Panthera tigris altaica). Dahulu terdapat juga harimau Jawa dan harimau Bali, namun kedua-duanya telah pun pupus.

Apa yang pelik, menurut persetujuan umum para pengkaji saintifik semasa, tidak pernah diketemui sebarang harimau di kepulauan Borneo (selain yang diambil oleh pihak zoo), tidak kiralah samada di Brunei, Kalimantan (Indonesia), Sarawak, Sabah, mahupun Labuan. Adakah ia telah pupus atau memang tidak wujud di situ, sedangkan suku asli Dayak Ngaju di Kalimantan Tengah ada menyebut “haramaung” untuk nama harimau? Oleh itu, siapa sahaja yang menjumpai spesis harimau di Borneo sudah tentu akan mencipta sejarah yang tersendiri memandangkan belum ada sesiapa pun lagi yang mampu menemuinya hingga setakat ini.

Peta kewujudan pelbagai spesis rimau
(sumber: news.mongabay.com)

Ramai yang tersalah anggap, bahawa nama gelaran pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia iaitu ‘Harimau Malaya‘ adalah semata-mata berdasarkan haiwan yang dinamakan sebagai Panthera tigris jacksoni tersebut. Walaupun tidak dinafikan bahawa Panthera tigris jacksoni yang disebut juga Malayan tiger benar-benar wujud (harap-harapnya tidaklah nanti menjadi pupus), gelaran ‘Harimau Malaya’ sebenarnya adalah satu pengiktirafan sempena tokoh lagenda bolasepak tanahair yang tidak lain dan tidak bukan, Dollah Don. Jika dahulu dia hampir dilupakan begitu sahaja, kini dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat yang canggih telah mengangkat semula namanya ke tempat yang sepatutnya.

Berdasarkan cerita sejarah, Dollah Don diberi nama jolokan ‘Harimau Malaya’ oleh Bung Karno, Presiden pertama Indonesia. Kisahnya, dalam satu perlawanan di Jakarta pada tahun 1953, Dollah Don menjaringkan hat-trick untuk mendapatkan keputusan seri setelah pasukannya ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama. Selepas peristiwa yang amat mengagumkan Presiden Sukarno itu, Dollah Don menjadi pemain yang asal dan yang pertama sekali dikenali sebagai ‘Harimau Malaya’. Semenjak daripada itulah, nama jolokan penyerang kelahiran Johor (yang bakatnya dicungkil oleh jurulatihnya Dol Fatah dari Singapura) tersebut turut dipinjamkan kepada setiap pemain yang menyarung jersi kebangsaan dan seterusnya terus diabadikan sebagai gelaran istimewa buat skuad kebangsaan.

Dollah Don berupaya mencatat
masa 10.60 saat dalam larian
100 meter pada masa mudanya.
(gambar: www.suara.tv)

Oleh yang demikian, rakyat Malaysia di negeri Sabah dan Sarawak mahupun negeri-negeri di semenanjung tidak perlu merasa risau, gusar, atau bimbang mengenai gelaran ‘Harimau Malaya’ ini. Skuad ‘Harimau Malaya’ masih lagi mewakili negara Malaysia, malahan sejak dahulu lagi seiring dengan perkembangan zaman. Maka, keputusan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM yang baharu untuk mengembalikan semula gelaran bersejarah tersebut amatlah dialu-alukan dan perlu disambut baik oleh kesemua warganegara Malaysia yang ambil peduli tentang perkara ini.

Sewaktu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah memulakan pembinaan Stadium Merdeka dahulu, beliau tidaklah mahu golongan majoriti Muslim hanya hadir ke stadium tetapi tidak ke masjid. Begitu juga dengan pembinaan Stadium Nasional Bukit Jalil yang diusahakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Akan tetapi, stadium hanyalah sebagai suatu peluang bagi rakyat yang berbilang kaum untuk mengetepikan perbezaan serta merapatkan jurang yang terbina dalam bidang politik, ekonomi, dan juga sosial. Sekiranya mahukan yang positif, sukan bolasepak seharusnya menjadi alat perpaduan rakyat dan bukannya penyebab kepada perpecahan.

Semasa penjajahan Jepun sekalipun tidak menghalang
keghairahan Tunku Abdul Rahman terhadap sukan bolasepak.
(kredit: berun)

Bagi yang Muslim, sama-samalah kita menyedekahkan surah al-Fatihah buat semua telah pergi sebelum kita. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan mengampuni kita semua.

DUNIA BOLA SEPAK

Pertahanan Celtic: “Neymar Adalah Pelakon Terhebat Dalam Bola Sepak!”

Pemain Celtic, Mikael Lustig nyata bukanlah peminat kepada bintang Barcelona iaitu Neymar.

Hal ini kerana, beliau merasakan pemain Brazil itu adalah seorang “pelakon terhebat dalam bola sepak”.

Senang jatuh

Tapi apa kaitan Lustig dengan Neymar? Atau apa kaitan Celtic dengan Barcelona.

Semuanya kembali kepada perlawanan UEFA Champions League diantara Celtic dan Barcelona di Celtic Park ketika peringkat kumpulan tempoh hari.

Lustig yang merupakan pertahanan kanan Celtic ditugaskan untuk mengawal segala pergerakan Neymar.

Ia bukanlah malam yang mudah untuk kedua-dua pemain, hal ini kerana Lustig dan Neymar menghadapi pertarungan 1 lawan 1 yang cukup hebat sesama mereka ketika perlawanan itu sampai bergaduh.

Lustig nyata tidak senang dengan tindakan Neymar yang digambarkan beliau sebagai “mudah jatuh”.

“Neymar ni senang sangat jatuh. Kita nak sentuh dia pun tak boleh.”

“Saya boleh cakap yang Neymar ni adalah pelakon terhebat dalam bola sepak.”

Tetap terbaik

Namun begitu, Lustig tetap menganggap Neymar merupakan pemain antara yang terbaik di dunia ini.

“Saya tetap anggap beliau adalah antara pemain terbaik di dunia ini. Tetapi beliau perlu bertindak seperti memang seorang pemain terbaik di dunia.”

Lustig juga mengaku beliau mengalami kesukaran untuk menjaga Neymar pada malam tersebut.

“Saya perlu menutup ruang dan kadang kala terpaksa lakukan helah menewaskannya.”

“Ada juga masa saya perlu masuk ke dalam fikirannya untuk meneka apa yang beliau akan lakukan selepas ini.”

Baca juga: PKNS FC Rancang Bina Stadium Sendiri, 3 Lokasi Jadi Pilihan

The post Pertahanan Celtic: “Neymar Adalah Pelakon Terhebat Dalam Bola Sepak!” appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Teknik Tonjol Bola Adalah Ancaman Utama Dalam Futsal

Sepakan tonjol dengan ibu kaki bukanlah teknik yang dikagumi dalam bola sepak. Namun dalam futsal teknik ini boleh dikatakan senjata yang sangat bahaya.

Berikut adalah 3 aspek yang membuatkan teknik ini sangat bahaya.

1. Kecepatan

Pemain akan lebih cepat untuk menonjol bola menggunakan hujung ibu kaki. Dalam sukan futsal, pemain penyerang akan berhadapan dengan cabaran untuk melepaskan sepakan segera apabila ada ruang.

Dalam sukan futsal pemain pertahanan akan cepat untuk menutup ruang kerana saiz gelanggang yang kecil. Jadi, apabila ada ruang terbuka, pemain harus cepat bertindak.

Menurut pemerhatian, menonjol bola boleh menghasilkan sepakan yang deras walaupun dalam keadaan kaki tidak diangkat tinggi ketika melakukan sepakan. Ia boleh dilakukan dalam keadaan setempat.

2. Kekuatan Sepakan

Menonjol bola akan memberikan tekanan (force) yang kuat kepada bola. Dalam bola sepak padang, bola lebih ringan dan akan meliar tinggi. Sebab itu teknik ini tidak begitu digemari oleh pemain bola sepak padang.

Namun dalam futsal, kerana bola lebih berat, maka bola tidak akan meliar lebih tinggi. Tambahan pula, jarak dengan gol lebih dekat.

Sifat liarnya tetap ada namun ia lebih kepada liar yang menyukarkan penjaga gol kerana rembatan bola futsal itu lebih senang dihalakan ke kawasan gol.

Kami pernah berkata, dalam sukan futsal sudut sasaran adalah perkara kedua atau ketiga dalam melakukan cubaan gol. Paling utama adalah kekuatan sepakan dan kecepatan ia dilakukan.

Kekuatan sepakan hampir 2 kali ganda lebih kuat daripada sepakan biasa. Jika ia dilakukan dalam keadaan on the run shot, ia sangat kuat.

3. Lebih Sukar Dijangka

Ia sangat berkaitan dengan teknik dalam melakukan sepakan tonjol ini. Penjaga gol dan pemain lawan biasanya tidak dapat menjangka tindakan ini kerana ia boleh dilakukan dalam keadaan yang sangat segera.

Ianya tanpa perlu banyak langkah ataupun mengangkat kaki tinggi. Ia boleh dianggap sebagai teknik yang mejimatkan tenaga dan larian.

Untuk situasi 1 lawan 1 dengan penjaga gol ia kerap membuatkan penjaga gol terkejut dengan sepakan yang diambil secara tiba-tiba. Ia juga boleh dilepaskan dalam keadaan badan hilang keseimbangan.

Rumusan

Kami mendapati, tidak ramai pemain futsal menekankan aspek tonjol ini. Ada juga yang memandang rendah teknik ini sebagai salah satu ‘kecacatan’ dalam teknik sepakan.

Anda silap! Pemain futsal berkelas dunia pun cuba berlatih teknik ini setiap hari untuk memperbaiki ketepatan sepakan mereka.

Anda harus cuba melatih kaki anda untuk melakukan sepakan dengan teknik ini. Ia antara teknik yang paling kurang menggunakan otot kaki. Dalam erti kata lain, kaki anda akan lebih relaks dengan teknik ini dan lambat untuk lenguh.

Ini adalah satu lagi video contoh pemain yang menggunakan teknik tonjol dengan ibu kaki ini ataupun teknik yang mereka panggil toe punt ataupun toe poke.

Jangan lupa kongsikan tips futsal ini dengan rakan-rakan anda!

Baca juga: 3 Tips Bermain Futsal Dalam Keadaan Ataupun Cuaca Panas

The post Teknik Tonjol Bola Adalah Ancaman Utama Dalam Futsal appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Statistik : John Stones Adalah Error-Prone Yang Paling Kritikal Dalam EPL Setakat Ini

John Stones merupakan pemain yg paling banyak melakukan kesilapan pertahanan dalam Liga Perdana Inggeris sejak beliau membuat penampilan sulung pada 2013. Beliau boleh digelar error-prone yang kritikal setakat ini.
 
Pada Ahad lalu, Stones melakukan kesilapan ketika melakukan hantaran ke belakang kepada Vincent Kompany. Ia membolehkan Nathan Redmond menewaskan Claudio Bravo. Mujurlah City tidak tewas dalam perlawanan tersebut.
 
Walaupun ia adalah kesilapan pertama Stones untuk kelab barunya dalam EPL, namun ia bukanlah yang pertama dalam Liga Perdana Inggeris sejak 2013.

stonsss

Statistik eksklusif dari oulala.com menunjukkan ia adalah kesilapan pertahanan ke-12 untuk pertahanan berusia 22 tahun itu dalam EPL.

Ia juga kesilapan ke-5 yang terus membawa kepada gol pihak lawan dalam EPL sepanjang karier beliau setakat ini.

stones

Statistik yang dikumpul dari musim pertama Stones di EPL pada 2013/14 telah membuat perbandingan 10 pemain pemain yang paling banyak melakukan kesilapan pertahanan dalam EPL.
 
Everton menguasai 10 teratas dengan 4 pemain atau bekas pemain mereka beada di tempat teratas.
 
Bekas gandingan bek tengah Stones di Everton, Phil Jagielka berada di tannga kedua dengan 11 kesilapan dari 93 penampilan, empat daripadanya telah menjurus kepada gol secara langsung.
 
Pengganti Stones di Everton, Ashley Williams, pula merekodkan 11 kesilapan dalam 115 permainan dengan 2 daripadanya terus membawa kepada gol.

jd

Namun pemain berusia 32 tahun itu masih belum melakukan sebarang kesilapan pertahanan sejak beliau menyertai Everton.

Pemain tengah pertahanan Toffees, Gareth Barry berada di tempat ke-4 setelah setelah melakukan 10 kesilapan dalam 107 perlawanan, tiga daripadanya terus membawa kepada gol.

Di tempat ke-5, seorang lagi pemain yang berpangkalan di Merseyside. Walapun semakin cemerlang di bawah Jurgen Klopp, Dejan Lovren merekodkan 9 kesilapan pertahanan di 88 penampilan, 4 daripadanya terus membawa kepada gol.
 
Seorang lagi bekas bintang Liverpool, Martin Skrtel berada di tangga ke-8 dengan 9 kesilapan dalam 91 perlawanan antara 2013 dan 2016 sebelum menyertai Fenerbahce musim panas lalu.

lovren
 
Pemain lain yang turut tersenarai ialah pertahanan Chelsea, Gary Cahill dengan 8 kesilapan pertahanan. 2 kesilapan besar awal musim ini, kedua-duanya telah membawa kepada gol.
 
Walaupun John Stones jelas seorang pemain bola sepak berbakat, namun dari segi kesilapan pertahanan beliau agak meresahkan penyokong Manchester City.

Beliau masih muda, dan masih banyak masa untuk memperbaiki dirinya untuk menjadi bek tengah terbaik.

Baca juga : Memahami Konsep Summer Time, Bagaimana Ia Boleh Mempengaruhi Masa Siaran Langsung Di Malaysia

The post Statistik : John Stones Adalah Error-Prone Yang Paling Kritikal Dalam EPL Setakat Ini appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Mengapa DS Vida-Annuar Musa Adalah Jelmaan Delia Smith-Ed Balls Di Norwich

Melihat gandingan jutawan kosmetik, Dato’ Seri Vida dan ahli politik, Tan Sri Annuar Musa mengendalikan Kelantan pada musim liga 2016 ini mengingatkan saya kepada senario hampir sama yang berlaku di England.

Ketika perhatian seluruh Malaysia tertumpu kepada gandingan Dato’ Seri Vida dan Tan Sri Annuar Musa, perhatian seluruh penduduk Britain pula tertumpu kepada gandingan Delia Smith dan Ed Balls.

Sumber: Bernama
Sumber: Bernama

Seperti Dato’ Seri Vida, Delia Smith juga merupakan usahawan terkenal di Britain. Jika Dato’ Seri Vida terkenal dengan produk kosmetik dan rancangan hiburan di TV, Delia Smith pula terkenal dengan produk dapur dan rancangan masakan di TV.

Tan Sri Annuar Musa dan Ed Balls pula kedua-duanya merupakan ahli politik. Dan kedua-duanya memegang jawatan sebagai pengerusi kelab. Malah kedua-duanya merupakan anak jati pasukan yang mereka pimpin.

Siapa Delia Smith?

Seperti Dato’ Seri Vida, Delia Smith juga mempunyai kepakaran menjual produk di TV.

Rancangan Delia’s How to Cook yang popular di Britain pada era 90-an pernah bertanggungjawab menyebabkan kenaikan 10% kepada jualan telur ayam dan menyebabkan stok bekalan cranberry menjadi habis di seluruh England.

Pada 1995, Delia Smith mengubah nasib sebuah syarikat pembuat kuali di Lancashire. Pada mulanya mereka hanya mampu menjual 200 kuali setahun.

Selepas kuali mereka digunakan dalam rancangan Delia Smith, jualan mereka naik mencanak kepada 90,000 kuali dalam masa 4 bulan.

Pada 2009, buku resepi Delia Smith menyebabkan jualan cinnamon sticks naik 200%, Marsala wine naik 300%, crème de marrons naik 159% di seluruh cawangan supermarket Sainsbury.

Penangan viral Delia Smith sangat hebat sehinggakan terma ‘Delia effect’ dimasukkan ke dalam kamus Collins English untuk menjelaskan fenomena produk yang tiba-tiba menjadi popular selepas masuk rancangan TV.

Siapa Ed Balls?

Seperti Tan Sri Annuar Musa yang merupakan ahli Parlimen, Ed Balls juga merupakan (bekas) ahli Parlimen.

Pada pilihan raya umum 2015 lalu, Ed Balls yang mewakili Parti Buruh telah ditewaskan oleh calon Parti Konservatif dalam persaingan merebut kerusi Parlimen Morley dan Outwood (berhampiran Leeds).

Seperti Kelantan yang memerlukan pengaruh politik Annuar Musa dan passion beliau sebagai penyokong Kelantan, Ed Balls juga dilantik sebagai pengerusi kelab kerana pengaruh politik yang dibawanya dan passion sebagai penyokong dan anak jati Norwich.

Sesetengah pihak berspekulasi perlantikan Ed Balls ada kena-mengena dengan fakta bahawa Delia Smith sendiri merupakan penyokong kuat Parti Buruh.

Perlantikan Ed Balls mendapat reaksi bercampur

Perlantikan Balls sebagai pengerusi Norwich menerima pelbagai reaksi di kalangan rakyat Britain.

Ada yang tidak bersetuju kerana tidak mahu ahli politik terlibat dalam industri sukan.

Ada yang mengejek – bagaimanakah Balls akan menguruskan kewangan kelab selepas kegagalan parti beliau sendiri dalam pilihan raya umum lalu?

Ramai rakyat Britain berpendapat kekalahan Parti Buruh ada kena mengena dengan kelemahan manifesto mereka. Ed Balls dikatakan merupakan salah seorang penghasil manifesto tersebut.

Politik dan sukan di Britain

Tiada siapa yang meragui passion Ed Balls sebagai peminat bola sepak dan penyokong Norwich.

Beliau kerap dilihat menghadiri perlawanan home Norwich City. Beliau juga kerap mewakili Parti Buruh dalam perlawanan bola sepak menentang pasukan wartawan sewaktu sidang tahunan Parti Buruh.

Sebaliknya orang Britain agak skeptikal dengan keputusan Norwich membawa ahli politik ke dalam industri sukan.

Di Malaysia, ia mungkin amalan biasa. Tetapi di negara maju, ia ibarat mencampur minyak dengan air. Politik dan sukan tak boleh bercampur.

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Ahmad Loqman Izzat. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke semuanyabola@gmail.com.

Baca juga: Politik Dan Bola Sepak Britain

The post Mengapa DS Vida-Annuar Musa Adalah Jelmaan Delia Smith-Ed Balls Di Norwich appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Sejarah, kini, dan masa depan adalah ketentuan Tuhan.

Kita sebagai manusia, kadang kala mungkin kita ingat kita sudah cukup mengetahui tentang segala-galanya. Kita ingat kitalah pandai. Tapi yang sebenarnya, kepandaian yang ada itu pun hakikatnya bukan berasal dari kita. Bukankah kepandaian atau apa sahaja yang ada pada diri kita hanyalah suatu pinjaman? Jadi, bagaimana pula seseorang manusia itu boleh mengatakan dirinya lebih pandai daripada orang lain? Walhal, tidakkah kita sedar bahawa manusia juga dipanggil sebagai ‘insan’ yakni pelupa? Maka, eloklah sekiranya kita semua kembali kepada Allah. Setelah berusaha dengan sedaya upaya dalam membuat perkara-perkara kebaikan, kita pulangkan sahaja segala bentuk urusan kepada Tuhan yang mencipta seluruh kejadian alam.

Oleh sebab itu, mana-mana manusia tidak sepatutnya mempersoalkan apatah lagi mempertikaikan apa-apa sahaja yang sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Kata-kata seperti “Kalaulah ini terjadi..” atau “Kalaulah itu tak terjadi..” atau yang seumpama dengannya memang tidak patut langsung diucap, dilafaz, mahupun disebut oleh mana-mana orang. Jika terdapat orang yang tetap mahu mengeluarkan kata-kata tersebut maka terbuktilah bahawa orang itu bukan sahaja bodoh dan sombong tetapi juga ‘bodoh sombong’. Sekiranya ada yang masih tertanya-tanya atau tidak faham mesej yang ingin disampaikan, barangkali beberapa contoh peristiwa seperti berikut ini boleh membantu.

Cristiano Ronaldo dari Portugal dianggap sebagai spesimen
yang ideal bagi seorang atlet yang bekerja keras manakala
Lionel Messi dari Argentina pula dilihat bertuah kerana
dianugerahi dengan bakat semulajadi yang luar biasa.

Pada hari Isnin, 14 Februari 2005, Arsenal F.C. yang dibimbing oleh pengurus mereka iaitu Arsene Wenger telah mencatat satu sejarah baru apabila menjadi pasukan pertama (keseluruhan skuad bukan kesebelasan utama sahaja) yang membariskan semua pemain bukan Inggeris ataupun British dalam perlawanan menentang Crystal Palace F.C. di Stadium Highbury dalam musim 2004-2005 Liga Perdana Inggeris. Walaupun pasukan Arsenal menang dengan jumlah jaringan besar 5-1 dalam perlawanan tersebut, mereka dan pengurus mereka terutamanya dikecam dengan teruk dari pelbagai arah. Padahal hanya pada musim yang sebelumnya yakni 2003-2004, Arsenal baru sahaja dijulang sebagai juara malahan digelar pula sebagai pasukan kebal “The Invincibles” apabila mengharungi liga tanpa mengalami sebarang kekalahan.

Sol Campbell, Ashley Cole, Ray Parlour, Martin Keown,
David Bentley, dan Justin Hoyte merupakan pemain-pemain
Inggeris yang menganggotai pasukan “The Invincibles” Arsenal.
(gambar: arsenal.com)

Punca ramai pihak yang mengecam mereka adalah kerana keadaan tersebut adalah pelik dan juga janggal memandangkan sebuah kelab Inggeris yang besar dan bermain pula di liga Inggeris divisyen yang tertinggi namun tiada seorang pun pemain Inggeris yang tersenarai. Ditakuti pemain-pemain Inggeris yang berkualiti akan mulai pupus jika terus dipinggirkan serta disisihkan. Namun, jika dilihat 10 tahun kemudian (musim 2014-2015), pasukan Arsenal kini mempunyai sebilangan besar pemain-pemain Inggeris yang turut mewakili England di peringkat antarabangsa, antaranya, Jack Wilshere, Kieran Gibbs, Theo Walcott, Alex Oxlade-Chamberlain, Calum Chambers, dan tidak ketinggalan penyerang yang dibeli dari Manchester United, Danny Welbeck. Tiada siapa yang dapat mengagak perubahan yang begitu ketara boleh terjadi di sebalik keraguan dan kerisauan yang pernah timbul.

Satu fakta yang menarik, jika Arsenal merupakan pasukan pertama yang meletakkan keseluruhan skuad (11 pemain utama dan 5 pemain simpanan) yang terdiri daripada pemain-pemain bukan Inggeris, Chelsea F.C. pula sudah terlebih dahulu menyenaraikan semua pemain bukan Inggeris dalam kesebelasan utamanya (11 pemain utama) apabila berhadapan dengan Southampton F.C. pada 26 Disember 1999. Namun begitu, perkara tersebut juga tidak menghalang Chelsea untuk menghasilkan salah seorang pemain pertahanan terhebat yang pernah dilahirkan di England iaitu John Terry walaupun rakan-rakan senegaranya yang lain seperti Frank Lampard, Ashley Cole, Joe Cole, dan lain-lain tidak lagi bermain untuk kelab tersebut dalam musim 2014-2015. Adakah John Terry yang membuat penampilan sulung bersama Chelsea pada 28 Oktober 1998 dalam League Cup melawan Aston Villa F.C. mampu mencapai kedudukannya sekarang ini jikalau peristiwa Chelsea meletakkan semua pemain luar itu tidak berlaku? Sekadar sebagai peringatan, pertanyaan yang diajukan tersebut tidak perlulah dicari jawapannya kerana persoalan “jikalau” seperti itu termasuk dalam beberapa perkara yang manusia tidak mungkin boleh tahu dan hanya dapat berspekulasi. Allah sahajalah yang Maha Mengetahui.

Tak dinafikan bahawa gandingan John Terry dan Rio Ferdinand
sewaktu bersama England dicemburui oleh banyak negara lain
namun berakhirnya gandingan tersebut selepas isu perkauman
yang dicetuskan oleh Terry perlu dijadikan iktibar buat semua.

Apabila Eric Cantona menjadi pemain luar (bukan Inggeris/British) pertama sebagai ketua pasukan yang memenangi FA Cup, sebelum itu lagi beliau sudah dilihat mampu menjadi adiwira bagi negara kelahirannya iaitu Perancis. Kejayaannya mengetuai barisan pemain Manchester United F.C. menumpaskan Liverpool F.C. pada tahun 1996 tersebut memanglah banyak membantu perkembangan pemain-pemain muda pada waktu itu seperti Gary Neville, Phil Neville, David Beckham, Nicky Butt, Paul Scholes, dan Ryan Giggs yang kelak sudah diketahui bakal menjadi bintang-bintang yang bersinar. Maka, adalah tidak keterlaluan jika Eric Cantona diletakkan juga harapan yang tinggi untuk membawa kejayaan yang gemilang buat negaranya. Namun, apa boleh buat, ianya tak kesampaian. Akibat kegagalan Perancis melayakkan diri ke Piala Dunia 1990 dan 1994 serta ditambah pula dengan insiden tendangan kung-fu Cantona ke atas seorang penyokong kelab Crystal Palace, lalu muncullah nama Zinedine Zidane untuk mengambil alih tempatnya sebagai ayam tambatan Perancis yang baharu.

Zinedine Zidane dan Eric Cantona, meninggalkan legasi
penting untuk negara Perancis seperti mana Raymond Kopa,
Just Fontaine, Michel Platini, Jean-Pierre Papin, dan David Ginola.

Sejurus selepas Aime Jacquet menggantikan Gerard Houllier sebagai pengurus Perancis yang baru dalam persiapan untuk kejohanan Euro ’96, Eric Cantona awal-awal lagi dilantik sebagai kapten Perancis. Walau bagaimanapun, semasa Cantona digantung perlawanan selama beberapa bulan, Aime Jacquet telah membuat keputusan untuk mempertaruhkan Zinedine Zidane sebagai muka baru. Seperti yang telah ditakdirkan, Zidane kemudiannya bersama-sama pemain-pemain seperti Fabian Barthez, Lilian Thuram, Bixente Lizarazu, Marcel Desailly, Laurent Blanc, Christian Karembeu, Emmanuel Petit, Didier Deschamps, Youri Djorkaeff, Christophe Dugarry, Bernard Lama, Frank Leboeuf, Patrick Vieira, Robert Pires, Thierry Henry, David Trezeguet, dan beberapa pemain lagi berjaya mengangkat nama Perancis sebagai juara dunia buat julung kali pada tahun 1998 di halaman sendiri. Bertambah manis, mereka juga menjadi johan Euro 2000 dua tahun kemudian.

Dalam edisi Piala Dunia 2006 yang berlangsung di Jerman, Zidane atau nama timangannya “Zizou” sekali lagi menjadi tonggak utama buat negaranya walaupun umurnya sudah mencecah 34 tahun. Beliau dan dua orang lagi pemain iaitu Lilian Thuram dan Claude Makelele sebenarnya telah pun mengumumkan persaraan daripada peringkat antarabangsa namun terpaksa kembali bermain bagi menyelamatkan kempen Perancis yang nyaris tidak layak ke Piala Dunia tersebut. Di sebalik kemunculan bintang-bintang muda di arena bolasepak antarabangsa seperti Bastian Schweinsteiger, Wayne Rooney, Arjen Robben, Robinho, Fernando Torres, Cristiano Ronaldo, dan termasuklah Lionel Messi, perlawanan akhir Piala Dunia 2006 menyaksikan pertembungan ‘otai-otai’ yang diibaratkan bertemu buku dengan ruas apabila Zidane dan rakan-rakannya dari Perancis berdepan dengan Fabio Cannavaro, Gianluigi Buffon, Francesco Totti, dan lain-lain dari Itali. Walaupun kesudahannya Perancis tewas di penentuan sepakan penalti, Zidane sempat menjaringkan satu gol penalti pembukaan melalui tendangan menarah (chip) yang menarik sebelum sayangnya dilayangkan kad merah apabila menanduk dada pemain bajingan, Marco Materazzi. Selepas kejadian tersebut, Zidane mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya kepada bolasepak profesional.

Kelibat Ronaldinho dari Brazil yang ketika itu
sedang berada dalam kemuncak prestasi juga
hadapi masa sukar untuk menyekat kemaraan
lagenda dunia dan Perancis, Zinedine Zidane.

Jikalau ada segelintir pihak yang cuba membayangkan Edson Arantes do Nascimento (atau lebih dikenali sebagai Pele) mungkin akan lebih hebat daripada hebat jika beliau bermain di Eropah semasa zaman kegemilangannya, ada pula yang berimaginasi kemungkinan-kemungkinan yang akan terjadi sekiranya salah seorang “Busby Babes” iaitu Duncan Edwards yang terlibat dalam nahas udara di Munich, Jerman pada 6 Februari 1958 bukan sahaja terselamat tetapi juga dipanjangkan umur dan tidak meninggal dunia di saat umur yang sangat muda, 21 tahun sahaja. Mereka cuba membayangkan alangkah bagusnya andainya pemain England termuda sejak Perang Dunia Kedua (satu rekod yang tidak dipecahkan sehinggalah tahun 1998 oleh Michael Owen) dan bintang Manchester United ini masih ada ketika England sebagai tuan rumah memenangi Piala Dunia mereka yang sulung pada tahun 1966. Akan tetapi, realitinya adalah Bobby Moore merupakan kapten England yang telah menjulang trofi Jules Rimet pada tahun tersebut dan begitu juga Bobby Charlton, salah seorang mangsa nahas udara Munich yang hidup. Seperti yang selalu disebut orang, kita hanya mampu merancang, Tuhan jualah yang menentukan.

Piala Dunia pada tahun 1966 menjadi milik England,
negara pengasas bolasepak moden.

Kalau hendak diikutkan, memang ada banyak lagi contoh-contoh situasi “jika”, “kalau”, “sekiranya”, atau “seandainya” yang boleh berlaku. Namun, perdebatan mahupun perbincangan panjang mengenainya berkemungkinan besar adalah sia-sia atau lebih teruk lagi, merugikan. Apa yang berlaku sudah pun berlaku. Malah, apa yang sudah berlaku, yang sedang berlaku, dan yang akan berlaku telah pun tertulis. Cuma, kita sebagai hamba yang berserah diri kepada Sang Pencipta perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin serta redha dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, terpulanglah kepada diri sendiri untuk menilai dan menelitinya. Duniabolasepak.blogspot.com hanya boleh berpesan, baik jadi teladan, buruk letak ke tepi.

DUNIA BOLA SEPAK