6 Cara Bagaimana Kelab Bola Sepak Bina Pendapatan Mereka

Bolasepak sememangnya sebuah permainan yang ‘gila. Dari permainan ia berevolusi menjadi sebuah perniagaan.

Hampir kebanyakkan kelab menjana wang melalui bolasepak, lebih-lebih lagi ia juga menguntungkan individu individu yang memiliki kelab bolasepak tersebut.

Sebut sahaja nama Roman Abramovich, keluarga Glazer, atau Sheikh Mansour, sudah pasti jutaan wang yang dilaburkan mereka memberi keuntungan yang berlipat kali ganda.

Kelab bolasepak juga mempunyai pelbagai cara dalam mencari & menerima dana yang mana wang ini boleh dibelanjakan untuk gaji pemain, pembelian pemain baru, akademi dan pelbagai perkara.

Berikut adalah beberapa cara yang menjadi kebiasaan kelab-kelab besar di Eropah menghasilkan wang:-

Penajaan

Wang hasil penajaan adalah salah satu sumber terbesar untuk sesetengah pasukan bolasepak. Semakin tinggi divisyen pasukan tersebut berada, maka wang penajaan yang bakal didapatkan adalah lebih banyak.

Saya sebutkan beberapa contoh kelab yang menerima tajaan besar dari syarikat-syarikat tertentu. Manchester United menerima £50 juta setahun dari Chevrolet untuk paparkan jenama mereka di jersi Manchester United.

Kelab bolasepak juga boleh menerima penajaan dari penaja sekunder atau penaja kecil untuk dipampangkan di papan iklan LED ditepi padang. Penajaan seperti ini juga boleh memberi penajaan mencecah jutaan pound.

Penaja sekunder juga adalah seperti Garuda Indonesia yang menaja baju latihan Liverpool walaupun penaja utamanya adalah Standard Chartered.

Barangan rasmi kelab

Barangan rasmi kelab atau cenderahati merupakan salah satu penghasilan terbesar dana untuk sesebuah kelab.

Merchandise ini termasuklah jersi replika kelab, skaf (mafla), sarung tangan, topi, dan seumpama dengannya.

Barangan-barangan ini merupakan barang-barang yang kerap dibeli peminat lebih-lebih lagi kelab-kelab besar seperti Barcelona, Real Madrid, dan Bayern Munich.

Jualan tiket

Sudah tentu, setiap kali pasukan bermain di rumah mereka menjual tiket dan dengan itu menjana wang.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah melihat banyak kelab-kelab di seluruh Eropah bergerak/bercadang untuk berpindah ke dalam stadium lebih besar atau membesarkan stadium semasa mereka.

Arsenal di Stadium Emirates (kapasiti 60,000) pada tahun 2006, perancangan Atlético Madrid untunkberpindah ke Estadio La Peineta (kapasiti 73,000 selepas pembinaan semula) pada 2018.

Dan Lyon bergerak ke Parc Olympique Lyonnais (59,286) pada 2016 .

Perjanjian televisyen

Negara-negara asing akan membeli hak untuk menyiarkan permainan secara langsung dari satu bahagian tertentu.

Contoh yang terbaik ialah Premier League (PL). Pada November 2016 PL bersetuju dengan perjanjian baru untuk hak-hak televisyen di China dan satu kontrak bertempoh 3 tahun bernilai kira-kira £560 juta.

Disamping itu pada bulan Februari 2015, Sky Sports dan BT Sport bersetuju rekod £5.1 bilion dengan usaha untuk menunjukkan perlawanan secara langsung antara 2016 dan 2019 (peningkatan 70% dalam hasil daripada hak penyiaran UK).

Tawaran ini telah membantu PL untuk menjadi liga terkaya di dunia dan 20 kelab dalam bahagian ini akan mendapat bahagian daripada tawaran lumayan, dalam jumlah sehingga 95% daripada hasil TV domestik pergi terus ke kelab.

Perpindahan pemain

Sudah tentu, pasukan akan mendapatkan wang dengan menjual salah seorang pemain mereka ke kelab lain.

Apabila menjual salah satu pemain terbaik mereka, kelab biasanya akan bermain tawar menawar dengan pasukan lain dalam usaha untuk mendapatkan wang sebanyak yang mungkin (seperti yang dilihat dengan hal pemindahan Gareth Bale dari Tottenham Hotspur ke Real Madrid pada tahun 2013).

Tottenham kemudian akan menggunakan wang ini untuk pergi dan membeli beberapa pemain:

  • Roberto Soldado – £26 juta,
  • Paulinho – £17 juta,
  • Nacer Chadli – £7 juta,
  • Christian Eriksen – £11.5 juta,
  • Étienne Capoue – £9 juta,
  • Erik Lamela – £26 juta
  • Vlad Chiriches- £8.5 juta)

Wang kemenangan

Sesetengah pasukan sentiasa menerima ganjaran hadiah wang atas sebab-sebab seperti memenangi liga, layak ke UEFA Champions League/Europa League dan promosi ke divisyen yang lebih tinggi.

Contoh, pasukan yang memenangi UCL dianugerahkan €15 juta tetapi naib juara dianugerahkan €10.5 juta tetapi berbeza  dengan pemenang UEL yang dianugerahkan €6.5 juta dan naib juara dianugerahkan €3.5 juta.

Yuran asas untuk peringkat kumpulan UEFA Champions League adalah €12 juta tetapi untuk Europa League pula hanyalah sekitar €2.6 juta.

Hull City telah dianugerahkan £170 juta setelah menewaskan Sheffield Wednesday dalam Championship Playoff Final beberapa musim lalu dan dengan itu dinaikkan pangkat ke Premier League.

Akhir sekali, Manchester United United mendapat £1.8 juta dengan memenangi FA Cup musim lalu tetapi di Crystal Palace yang merupakan finalis mendapat £900 juta.

Bagaimana pula sumber pendapatan kelab komuniti?

Kelab-kelab di Eropah menjana kewangan malah hampir setiap tahun, sesetengah kelab turut menjana keuntungan dalam industri bolasepak mereka.

Kelab besar menghasilkan wang dengan banyak melalui penajaan serta perjanjian hak penyiaran manakala kelab kelab kecil harus bergantung dengan penjualan tiket serta barangan cenderahati.

Tetapi bagaimana pula dengan kelab komuniti? Bagaimana mereka menjana pendapatan?

Kami ambil contoh Shah Alam Antlers. Di Shah Alam Antlers pula, pelbagai cara mereka untuk mencari dana.

Shah Alam Antlers telah menandatangani perjanjian penajaan bersama dengan Shoot & Score, 100Plus, Curva 1312, Semuanya BOLA ASIANA & Extravaganza Futsal.

Shah Alam Antlers yang juga sangat rapat dengan komuniti mereka membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk turut serta menjadi ‘anggota kelab’ dengan harga permulaan semurah RM100.

Keahlian yang mana anda turut dikurniakan jersi Shah Alam Antlers serta kad Touch & Go yang bercorakkan Shah Alam Antlers.

Komuniti penyokong juga turut mengeluarkan wang sendiri demi untuk menambah dana pasukan pada setiap kali perlawanan dengan menyumbang melalui ‘Matchday Programme’ yang mana kini turut disertakan dengan ‘sticker’ serta ‘matchday ticket’.

Jika anda pernah ke Stadium Panasonic Seksyen 21 Shah Alam, anda pasti akan ternampak sebuah stor kecil yang sebenarnya merupakan stor rasmi kelab yang menjual jersi kelab serta pelbagai lagi cenderahati kelab buat penyokong serta anggota kelab.

Stor rasmi Shah Alam Antlers di Stadium Sekyen 21 Shah Alam.

Walaupun Shah Alam Antlers merupakan kelab yang sangat muda, ditubuhkan pada Oktober 2016, namun disebabkan pengurusan yang sangat efektif serta hubungan bersama komuniti yang sangat baik.

Nota editor: Artikel ini dikarang oleh Sofwan Zulkepli dan anda boleh ikut beliau di Twitter di @wanfarlee. Jika anda ada artikel menarik dan ingin dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel dalam format MS Word ke semuanyabola@gmail.com .

Baca juga: Sudahlah Dipukul Samseng, Kontrak Pemain Ini Dibatalkan Pula Oleh Kelabnya

The post 6 Cara Bagaimana Kelab Bola Sepak Bina Pendapatan Mereka appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Sejarah Bagaimana Stadium Pirelli Mendapat Nama

Di dalam industri bola sepak, memang biasa ada syarikat sanggup membayar sejumlah wang untuk pemasaran. Pelbagai cara dilakukan termasuk mengubah nama stadium.

Contoh popular pada hari ini seperti Arsenal (Emirates Stadium), Bayern Munich (Allianz Arena) dan Manchester City (Etihad Stadium).

Selain itu, konsep ini diamalkan di divisyen bawahan seperti Bolton (Macron Stadium) dan Coventry (Ricoh Arena).

burton3

Berbeza dengan apa dialami sebuah kelab kecil di England, Burton Albion, penjenamaan stadium mereka tidak memerlukan kelab ‘melelong’ hak tersebut secara terbuka.

Bagi penyokong Manchester United, mereka pasti ingat sesuatu mengenai kelab yang digelar Brewers ini.

Brewers mengikat Red Devils dalam saingan Pusingan Ketiga Piala FA 2005-06. Perlawanan ini diadakan di Pirelli Stadium.

Perlawanan ulangan beberapa hari kemudian, Red Devils melepaskan geram dengan membenam Brewers dengan keputusan 5-0. Ketika itu, Burton Albion diuruskan oleh Nigel Clough, anak kepada pengurus terkenal, Brian Clough.

pirelli-stadium-cover

Apa menariknya mengenai Pirelli Stadium ialah stadium ini diberikan nama sempena gergasi pembuatan tayar Itali tersebut. Tapak stadium ini asalnya milik Pirelli UK Tyres Ltd Sports & Social Club.

Tapak stadium ini didermakan oleh syarikat tersebut dan balasannya ialah menamakan stadium itu sebagaimana nama sekarang. Satu pemasaran sangat mudah dan santai!

Brewers sebelum ini bermain di Eton Park sejak 1958 sehinggalah 2005. Pada 2005, barulah mereka berpindah ke Pirelli Stadium.

Kos pembinaan stadium memakan belanja hanya £7.2 juta Pound Sterling. Untuk rekod, seramai 6,746 orang penonton telah hadir ke stadium ini pada Ogos tahun lalu.

Pada ketika itu, berlangsungya perlawanan derbi antara Burton Albion menentang Derby County dalam saingan English Football League Championship. Brewers menewaskan Rams dengan jaringan tunggal Jackson Irvine.

burton2

Jika dilihat rekabentuk stadium berkapasiti 6,912 ini, ia menggambarkan stadium moden yang sangat ringkas dan cantik. Arkiteknya masih mengekalkan elemen stadium berbentuk segi empat.

Rekabentuknya klasik dan berbeza dengan sesetengah stadium baru di Britain yang mula menerapkan elemen stadium berbentuk bujur.

Bagi mereka, benda yang paling penting dalam bola sepak adalah cuba memiliki stadium sendiri dan padang yang cantik untuk mengajurkan perlawanan bola sepak.

Sebagai penutup, stadium ini boleh dijadikan penanda aras kepada pembangunan stadium bola sepak berkapasiti rendah di negara kita.

Baca juga :  Arsenal Mahu Hukum Pemilik Pas Semusim Yang Gagal Hadir Ke Stadium

The post Sejarah Bagaimana Stadium Pirelli Mendapat Nama appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Kisah Bagaimana Jose Mourinho Dan Rafa Benitez Hilang Kawalan Ke Atas Bilik Persalinan Pasukan

Konsep Bilik Persalinan Dalam Bola Sepak

Bilik persalinan pasukan (dressing room) adalah simbolik kepada bersatunya sesebuah pasukan dan juga kuatnya pengaruh seorang pengurus ke atas pemain-pemain beliau.

Ia adalah tempat di mana pengurus memberikan arahan taktikal dan teknikal kepada pasukan berbanding dengan pejabat mereka yang menjadi pusat mentadbir.

Apabila pengurus hilang kawalan dan juga kurang dipercayai di bilik persalinan, ia akan menjadi masalah yang paling besar.

Jose Mourinho Dan Chelsea

Beberapa bulan lalu, kita mendengar kisah beberapa pemain Chelsea mulai tidak komited ke atas bilik persalinan Mourinho. Ia membawa kepada kenyataan panas Mourinho di sidang akhbar.

jose

“Mereka mengkhianati saya. Mereka tidak menjalankan tugas seperti yang saya arahkan dan rancang. Mereka melepaskan 2 gol dan saya tak boleh menerimanya.”

Ketika Chelsea tewas 2-1 di tangan Leicester, Mourinho kecewa dengan Eden Hazard yang seakan-akan sengaja tidak mahu meneruskan perlawanan.

raf6

“Saya tidak pasti. Dia keluar kerana dia sendiri mahukan, bukan kerana arahan saya.”

“Yang pasti, dia membuat keputusan dalam masa 10 saat. Dia terus keluar dan menyatakan dia tidak boleh meneruskan perlawanan. Jadi saya anggap ia serius.”

Kecoh di media melaporkan konspirasi diketuai Fabregas di bilik persalinan Chelsea untuk memboikot Jose Mourinho. Namun ia dinafikan oleh pemain itu.

Mourinho semakin merasakan beliau semakin hilang kawalan ke atas bilik persalinan. Beliau terus mengeluarkan kenyataan:

“Saya harap Abramovich terus mahukan saya kekal. Saya sayangkan kelab ini.”

Tidak lama selepas itu, beliau dipecat oleh Chelsea dan digantikan dengan bidan terjun Guus Hiddink sebagai interim.

Itu kisah seorang pengurus yang berkarisma dan berkarakter hilang jawatan selepas musim sebelumnya membantu Chelsea menjuarai liga.

Kali ini kita dengar pula kisah Rafa Benitez di Inter Milan. Kisah bagaimana beliau gagal mengawal bilik persalinan beliau sejak dari awal.

Rafa Benitez Dan Inter Milan

Rafa Benitez hanya menganggur tidak sampai sebulan selepas dipecat oleh Liverpool. Pengurus berbangsa Sepanyol ini mendapat tawaran lumayan daripada Inter Milan yang mengumumkan ‘berpisah’ dengan Jose Mourinho yang akan ke Real Madrid.

Siapa sangka suatu hari, Benitez harus menyambung legasi Mourinho di Inter Milan setelah kedua-dua pengurus ini mewujudkan perseteruan moden antara Liverpool-Chelsea ketika di England.

Mourinho meninggalkan Inter dengan kejuaraan treble. Kini Rafa Benitez akan bersaing dalam 6 piala termasuk Piala Super Eropah dan Kejohanan Piala Kelab Dunia.

Benitez memulakan tugasan di Inter tanpa banyak masalah kerana beliau ada kemahiran komunikasi yang baik. Beliau memenangi Super Copa menewaskan AS Roma.

raf1

Namun malangnya mereka ditewaskan oleh Atletico dalam Piala Super Eropah. Hanya selepas 6 bulan, Benitez menyatakan dia mulai agak sukar berhubung dengan pemiliki kelab.

Aksi di peringkat liga agak turun naik. Benitez dan Inter berjaya memenangi Piala Kelab Dunia dan ia diharap akan dapat memulihkan sedikit moral para pemain.

raf2

Dalam kejohanan itu, Dejan Stanjkovic menjadi bintang utama Inter. Namun yang tidak sedapnya apabila Stanjkovic memberikan komen pedas ke atas Benitez secara terbuka:

“Saya sentiasa suka menang dan bermain. Masalahnya, saya tidak diturunkan dari awal, itu yang membuatkan saya seperti baru sembuh dari luka.”

Namun kejayaan itu tidak mampu memperbaiki apa-apa di kem Inter Milan.

Dibayangi Mourinho

Ketika menjulang trofi, pemain veteran Marco Materazzi menolak untuk menaiki podium bersama-sama dengan rakan-rakan lain.

raf4

Ia protes kurang profesional selepas kecewa tidak dimasukkan dalam perlawanan final seperti mana yang dilakukan Mourinho ketika final UCL yang memasukkan beliau beberapa minit terakhir perlawanan.

Komunikasi antara Benitez dengan orang atasan menjadi semakin sukar. Beliau kemudiannya mulai dihantui oleh bayang-bayang Mourinho.

Pemilik kelab dan beberapa pemain mulai membanding-bandingkan beliau dengan The Special One. Benitez mengalami kesukaran untuk menyaingi pasukan seperti Juventus yang baru bangkit daripada Calciopoli.

Pada era Jose Mourinho, Juventus masih dalam proses pemulihan dan AC Milan pula ada masalah dengan akaun mereka.

Ia mengingatkan kita kepada kesukaran Brian Clough untuk lari dari bayangan Don Revie pada era 1970-an di Leeds United.

Mourinho kemudian memberikan komen pedas menyatakan sukar untuk pengurus seperti Benitez memberikan trofi kepada Inter kerana dia ada rekod yang teruk di Liverpool.

“Ada satu ketika, Liverpool menjadi semakin teruk dan lebih teruk.” – Jose Mourinho

Mourinho turut mendedahkan Marco Materazzi pernah berkata kepada beliau:

“Celaka sungguh kau, biarkan aku di sini bersama Benitez.”

Portuguese coach Jose Murinho, left, and defender Marco Materazzi of Inter Milan, are seen, during a training session at the Olympic stadium of Athens, on Monday, Sept. 15, 2008. Inter Milan will face Panathinaikos on Tuesday for the group B of the Champions League. (AP Photo/Thanassis Stavrakis)

Sebelum ini, pemain seperti Wesley Sneijder, Javier Zanetti dan Samuel Eto’o, menjadi watak penting dalam menumpaskan Chelsea, Barcelona dan Bayern Munich untuk menjuarai UCL, mengulangi kejayaan 1970 di Madrid.

Namun di bawah Benitez mereka bermain seperti tidak dibayar gaji.

Sneijder pernah berkata:

“Aku di sini untuk sentiasa bersedia untuk membunuh demi dia (Jose Mourinho).”

Di bawah Rafa, ramai pemain tidak mahu memberikan 100% bahkan 70% pun mungkin tidak sampai.

Presiden Inter menambah luka dengan menyifatkan Benitez seorang profesional yang dihormati namun beliau lebih sukakan Jose Mourinho.

Kapten Inter Milan, Javier Zanetti sendiri mengakui tidak ada hubungan istimewa antara beliau dengan Benitez.

Di Liverpool dan Valencia, beliau dihormati kapten beliau walaupun personaliti Benitez sedikit vakum. Gerrrard dalam buku beliau pernah menyatakan beliau tidak begitu rapat dengan Benitez.

raf10

Namun Gerrard tidak pernah terbuka memberitahu beliau tidak ada hubungan baik dengan Benitez ketika bermain di bawah Rafa.

Rafa semakin hilang sokongan di bilik persalinan pasukan. Pemain mulai hilang komitmen untuk bermain di bawah beliau.

Benitez Dipecat

Presiden Inter kemudian memutuskan untuk memecat Rafa Benitez selepas dilaporkan tidak mahu mengeluarkan dana untuk membeli pemain baru seperti yang diminta Rafa.

raf5

Benitez terdesak untuk membawa sekurang-kurangnya 5 atau 6 pemain baru kerana beliau mahukan unit pemain yang komited dengan beliau.

Moratti kemudian mengeluarkan kenyataan:

“Kami membuat kesilapan melantik Benitez. Pilihan utama kami adalah Capello, namun beliau masa itu tidak mahu melepaskan jawatan di England.”

Kesimpulannya, bilik persalinan adalah satu ruang yang penting untuk pengurus pastikan mereka ada autoriti dan kawalan di situ.

Walaupun pengurus itu disayangi oleh pemilik, jika beliau hilang kawalan ke atas para pemain dan staf di bilik persalinan, mereka tetap dalam masalah.

Lebih buruk jika mereka dibayangi oleh pengurus yang sebelumnya!

Baca juga : Penyokong Inter Tepuk Tangan Puji Keputusan de Boer Keluarkan Kondogbia Selepas Hanya 28 Minit

The post Kisah Bagaimana Jose Mourinho Dan Rafa Benitez Hilang Kawalan Ke Atas Bilik Persalinan Pasukan appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Radar Bakat: Analisis Bagaimana Kehadiran Ahmed Musa Akan Menukar Dimensi Taktikal Leicester

Musim lalu, pasukan Leicester bermain dengan sistem 4-4-2 yang agak klasik walaupun mereka memiliki tipikal no.9 moden iaitu Jamie Vardy.

Namun pendekatan mereka masih dikira konvensional dimana, pemain tengah akan aktif mencari target man secepat mungkin.

Dalam satu perlawanan persahabatan baru baru ini, Leicester telah membawa masuk pemain bernama Ahmed Musa dan beliau menjaringkan 2 gol ke atas Barcelona.

Ahmed Musa menyertai Leicester City setelah transaksi  £16.6 juta diterima oleh CSKA Moscow.

36148A0700000578-3681213-image-a-2_1467996520751

Di akhir perlawanan tersebut, Ahmed Musa diberikan anugerah pemain terbaik perlawanan selepas berkongsi padang dengan pemain-pemain terbaik dunia seperti Lionel Messi dan Luis Suarez. Barcelona menang 4-2.

Leicester dalam persediaan untuk menghadapi Manchester United pada 7 Ogos ini dalam perebutan Perisai Komuniti FA 2016.

Profail Dan Data Statistik Ahmed Musa

amusa

Statistik Penampilan 2015/2016
Kelab CSKA Moscow
Penampilan 36
Gol 14
Assist 5
Purata Cubaan Gol 2.6
Purata Hantaran Tepat 71.15%

Karakter Permainan

  • Gemar melakukan gelecekan
  • Gemar menerima bola dari kawasan tengah dan menewaskan high line defending
  • Pemain sayap yang laju

Kekuatan

  • Kelajuan
  • Extra Goalscorer

Kelemahan

  • Agak lemah dalam menewaskan perangkap offside
  • Lemah aerial duel
  • Lemah mengelakkan tackle
  • Kreativiti-pemain ini agak direct

Potensi Posisi Beliau Bermain?

Saya merasakan beliau akan menjadi pemain yang akan bermain dalam banyak posisi. Beliau boleh bermain di sayap kanan, kiri dan juga penyerang kedua.

Namun begitu, Ahmed Musa bukan pemain sayap konvensional dalam sistem 4-4-2. Beliau lebih kepada penyerang sayap atau wing attacker.

Dengan mengambil kira kecenderungan Ranieri yang gemar bermain sistem klasik 4-4-2, beliau mungkin akan mengubah style of play di bahagian sayap dengan adanya pemain sayap yang lebih opportunist untuk menjaringkan gol, jika Musa bermain di sayap.

Leicester Akan Lebih Fluid Di Bahagian Serangan/Final Third

Ini akan membolehkan Mahrez bermain di belakang Vardy. Ia juga akan membolehkan pertukaran posisi di antara Musa dan Mahrez.

musa

Musa boleh bermain sebagai penyerang kedua. Pada musim lalu, kita melihat sistem di mana Okazaki akan  bermain di bawah sistem Mahrez.

Jika Mahrez berada di no.10 atau penyerang kedua, Okazaki akan bermain di bahagian sayap. Jadi, saya melihat Musa sebagai pengganti kepada Okazaki.

download

Ketika menentang Barcelona, Musa bemain sebagai false no.9. Dengan adanya pemain seperti Musa di atas, ia akan menambahkan lagi kemampuan Leicester untuk menewaskan garisan pertahanan.

Musim lalu, Okazaki banyak menjadi kunci kepada second ball apabila pemain mereka melakukan cubaan dan berlaku pergelutan.

Kualiti Tambahan Kepada Kekuatan Counter Attacking Football

Musim lalu, Ranieri menjadikan counter attack sebagai asas kepada kejayaan yang menegjutkan dunia. Dengan adanya keajuan Ahmed Musa, Leicester tidak terlalu bergantung kepada hantaran tepat ke arah Vardy semata-mata.

Kini mereka ada pemain yang boleh melakukan larian dari kawasan deep ke kotak serangan. Danny Drinkwater mungkin akan menjadi aset penting kepada sistem ini.

Penilaian Pra-musim

Sebelum musim bermula, saya menjangkakan pemain ini akan menjadi pemain utama Ranieri. Beliau bukan pengganti mana-mana pemain dalam Leicester.

Kehadiran beliau adalah untuk menguatkan bahagian serangan. Namun pemain ini ada isu dengan kreativiti. Musa lebih kepada pemain yang individu.

Ini bermakna sistem 4-4-2 yang mengharapkan winger seperti Musa untuk mencipta peluang dari wide area mungkin tidak akan berkesan.

Beliau adalah pemain yang suka bergerak secara diogonal ke dalam kotak penalti dan menjadi extra man sekiranya beliau bermain di bahagian sayap.

Jika beliau bermain sebagai penyerang kedua, ia akan lebih baik kerana Mahrez lebih kreatif apabila berada di sayap.

Dalam erti kata lain, Ranieri kini ada pilihan yang lebih baik. Musa adalah pemain winger baru dan pada masa yang sama akan menjadi back-up kepada Mahrez sekiranya pemain tersebut tidak boleh bermain.

Leicester perlukan pasukan yang lebih berkualiti dan lebih banyak opsyen kerana mereka akan terlibat dengan lebih banyak kejohanan terutama sekali Liga Juara-Juara Eropah.

Apa pula pandangan anda? Adakah anda rasa, Ahmed Musa satu pembelian yang berbaloi?

Baca juga: Radar Bakat; Henrikh Mkhitaryan (Manchester United)

 

 

The post Radar Bakat: Analisis Bagaimana Kehadiran Ahmed Musa Akan Menukar Dimensi Taktikal Leicester appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Agger Dedah Bagaimana Gabungan Pil Tahan Sakit, Kafein Dan Minuman Tenaga ‘Hancurkan’ Badannya

Jika anda berminat untuk tahu bagaimana karier Daniel Agger merosot dari seorang pertahanan penting untuk Liverpool (ketika era Rafa Benitez) kepada seorang pertahanan yang mudah tercedera, anda perlu terus membaca.

Dalam temu ramahnya bersama The Guardian, pertahanan tengah kelahiran Denmark ini mendedahkan sebab utama beliau mudah tercedera hingga memaksanya menggantung but pada umur 31 tahun.

Pitam selepas 29 minit bermain

Ketika diminta mengulas detik-detik terakhir kariernya yang memaksa beliau untu bersara, Agger sentiasa teringat detik beliau hanya mampu berbaring dan menggeletar ketika menentang FC Copenhagen.

2401

Pada 8 Mac 2015, beliau turun sebagai kapten Brondby menentang FC Copenhagen dalam aksi liga Denmark.

Beliau cuma bermain selama 29 minit sebelum dikeluarkan .

Kemudian ketika berehat di bangku simpanan beliau pitam. Agger digegaskan ke bilik fisioterapi di Parken, detik yang Agger sendiri tak ingat.

Agger sepatutnya tidak terlibat dalam perlawanan tersebut. Beliau masih menanggung kesakitan yang dibawa dari minggu sebelumnya.

Namun Agger menganggap ia perkara biasa kerana sudah banyak kali melaluinya sebelum ini.

Kecederaan dan pil tahan sakitnya

Untuk membolehkannya bermain dalam kesakitan, Agger melakukan ‘rutinnya’.

Beliau mengambil 2 biji pil tahan sakit pada pagi hari perlawanan menentang FC Copenhagen.

Kemudian ketika taklimat pra-perlawanan di Stadium Brondby, beliau menambah lagi 2 biji pil.

Salah satu kesan sampingan mengambil pil tahan sakit adalah mengantuk. Beliau kemudiannya berasa mengantuk dan tidur selama 15 minit di dalam bas sepanjang perjalanan ke Parken.

Rakan sepasukannya Martin Ornskov membangunkan beliau. Ornskov kemudian memberitahu Agger bahawa dia tidak pernah melihat Agger seperti keadaan beliau hari itu.

Akibat terlalu mengantuk Agger telah mengambil satu shot kafein dan minum minuman tenaga sebelum sesi memanaskan badan.

Dia kemudiannya melakukan rutin pra-perlawanan seperti biasa .

“Saya hanya fikir satu perkara sahaja. Iaitu, pergi ke bilik persalinan, pakai baju dan bermain,” kata Agger.

Terlebih dos

Tanpa diketahui Agger, ‘rutin’ mengambil pil tahan sakit yang diamalkan beliau menyebabkan badannya tidak mampu bertahan lagi.

Badan menjadi kebas, menggeletar dan pitam merupakan petanda jelas badannya sedang ‘bekerja lebih masa’ untuk memproses lebihan dos bahan kimia dalam pil tahan sakit, kafein dan taurine dari minuman tenaganya.

Detik detik hilang kawalan ke atas badannya sendiri membuatkan Agger takut untuk meneruskan pengambilan pil. Beliau takut dirinya akan lumpuh.

1430__2389__140101-lfchull13

Agger kemudian memutuskan untuk tidak lagi mengambil pil tersebut kerana beliau merasakan ia semakin berisiko.

Seminggu selepas itu, Agger turut memutuskan untuk bersara daripada arena bolasepak ketika usianya baru menginjak 31 tahun.

Kerana ‘rutin’ pil tahan sakitnya, beliau terpaksa melupakan bola sepak kerana badan beliau secara beransur-ansur ‘rosak’.

Sehingga kini beliau menghidapi kesakitan berpanjangan di seluruh badannya terutama di bahagian belakang.

Beliau dikatakan cuma berada pada 70%-80% kemampuan fizikalnya sepanjang bermain untuk Liverpool dan Brondby.

Bagaimana Agger boleh terjebak amal rutin pil tahan sakit?

Masalah utama Agger bermula selepas beliau didiagnos dengan hypermobility syndrome.

Sindrom ini membuatkan sendi beliau terlalu mudah untuk terlebih lenturan (hyperextended) daripada badan normal. Sindrom ini mula dikesan berlaku di pinggul beliau seawal tahun 2007.

Ini bermakna beliau telah bermain dalam kesakitan kira-kira dalam tempoh 12 tahun!

Ia diburukkan lagi ketika beliau terjatuh teruk ketika perlawanan pra-musim di Thailand pada tahun 2008.

Bahagian cekera di belakang beliau tergelincir (prolapsed disc) diikuti dengan sakit lutut dan jari kaki .

daniel-agger-denmark-euro-2016_3435678

Untuk terus bermain, Agger telah mengambil pil tahan sakit yang dipanggil pil anti-inflamasi yang digunakan untuk merawat penyakit sendi dan cereblex.

Apabila kesakitannya berlanjutan, beliau mengambil dos yang berlebihan daripada yang disyorkan. Inilah yang mula memberikan risiko kepada kesihatannya.

“Saya telah mengambil terlalu banyak pil anti-inflamasi sepanjang kerjaya saya.”

“Saya sangat kenal dengan ubat tersebut, ia ‘merosakkan’ badan saya. Akhirnya saya memutuskan untuk berhenti mengambil ubat tersebut. Saya tidak mengambil sebarang keuntungan untuk menceritakan hal ini.”

“Saya cuma mahu atlit atlit lain turut melakukannya (berhenti mengambil pil),” katanya kepada akhbar Denmark, Jyllands-Posten.

Pendapat doktor ortopedik

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hypermobility syndrome yang dihidapi Agger, kami bertanya kepada Pegawai Perubatan Hospital Melaka, Dr. Wan Rujhan Raqibi yang mempunyai pengalaman berkhidmat dalam Wad Ortopedik.

“Hypermobility syndrome adalah kondisi sejak lahir yang menyebabkan sendi penghidap sindrom ini longgar daripada normal.”

Menurut Dr. Wan Rujhan, penghidap sindrom ini boleh melenturkan sendi mereka lebih daripada biasa seperti gambar di bawah.

received_10206662297498002

“Pemain bola sepak yang menghidap sindrom ini memang cenderung untuk mendapat kesakitan sendi kerana sendiri mereka longgar.”

“Biasanya saya akan memberi peskripsi Celebrex, sejenis pil anti-inflamasi yang tiada steroid kepada penghidap sindrom yang mengalami kesakitan kronik.”

Dr. Wan Rujhan turut memberi amaran awal kesan lebihan dos Celebrex.

“Dos Celebrex yang dibenarkan hanya 200mg sehari. Lebih dari itu, anda akan dapat pendarahan di perut dan penyakit hati (liver disease).”

Hilangnya pertahanan tengah cemerlang

Daniel Agger memulakan karier di Brondby sejak berusia 19 tahun dan menyertai Liverpool pada 2006.

Agger bermain untuk Liverpool dari 2006 hingga 2014 sebelum menyertai semula Brondby selama 2 musim.

130101-058-Liverpool_Hull

Secara keseluruhannya, Agger bermain 384 perlawanan dalam karier beliau – 232 perlawanan untuk Liverpool, 77 untuk Brondby dan 75 lagi untuk Denmark.

Agger adalah pertahanan tengah yang sangat bagus dengan bola. Beliau memiliki kekuatan di udara.

Beliau juga mampu memberikan ancaman melalui tandukan, cubaan jauh dan juga sepakan bebas.

Agger adalah pemain yang disifatkan Benitez sebagai hibrid kualiti Hyypia dan Carragher.

Memiliki karakter yang kuat sebagai seorang pemimpin Agger pernah menjadi timbalan kapten kepada Gerrard di Liverpool dan juga banyak kali menjadi ketua pasukan Denmark.

Agger adalah kehilangan besar untuk Denmark yang akan menghadapi kelayakan Piala Dunia pada September ini.

Sepenting mana bolasepak dan setinggi mana cintanya kepada sukan ini, kami merasakan kesihatan dan keluarga sentiasa yang lebih utama.

Selamat bersara dan berehatlah Daniel Agger…

Baca juga: Kecederaan Lutut ACL: Mimpi Ngeri Pemain Bola Sepak

The post Agger Dedah Bagaimana Gabungan Pil Tahan Sakit, Kafein Dan Minuman Tenaga ‘Hancurkan’ Badannya appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Bagaimana Sekeping Duit Syiling Bantu Itali Bina Sejarah Bola Sepaknya Bermula 1968

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) adalah antara badan bolasepak yang paling aktif melakukan perubahan dalam format bolasepak.

Dari format perlawanan, kejohanan sehinggalah format penentuan pemenang perlawanan kalah mati, UEFA sentiasa menjadi yang pertama dalam dunia untuk mengubah dan mencubanya.

Dan semasa kejohanan Piala Eropah 1968, UEFA pernah menjadi tumpuan dek perubahan format pertandingan yang diperkenalkannya.

Itali lawan USSR

Lokasi: Naples, Itali
Tarikh: 5 Jun 1968
Separuh akhir Piala Eropah 1968

Perlawanan separuh akhir Piala Eropah 1968 yang menemukan tuan rumah Itali dengan Kesatuan Soviet (USSR) menarik minat kira-kira 70,000 penyokong (majoritinya penyokong Itali) untuk datang ke stadium Napoli ini.

Ini kerana semasa Piala Dunia 1966, Itali ditewaskan USSR. 2 tahun sebelum itu pula pada 1964, USSR sekali lagi menyingkirkan Itali daripada kejohanan Piala Eropah.

Lantas pasukan USSR dilihat sebagai pasukan pilihan dalam pertemuan kali ini.

Dalam usaha untuk menambah keyakinan pemain-pemainnya, ketua jurulatih Itali, Ferruccio Valcareggi cuba melancarkan perang psikologi dengan menyatakan USSR bukan pasukan yang terlalu hebat sehingga tidak boleh dikalahkan.

Walaubagaimanapun ketika perlawanan berlangsung, pemain-pemain Itali jelas dalam tekanan.

Dua-dua sama hebat

Ketika perlawanan berlangsung, ternyata kedua-dua pasukan bermain berhati-hati. Malah kedua-dua pasukan juga gagal menyempurnakan beberapa peluang gol.

Perlawanan separuh akhir Piala Eropah 1968 ini berlangsung sangat sengit dan berakhir dengan kedudukan 0-0 selepas tamat 90 minit.

Pada ketika itu masih belum ada peraturan masa tambahan, silver goal, golden goal mahupun penentuan sepakan penalti untuk menentukan pemenang dalam peringkat kalah mati.

Tamat perlawanan kedua dua pasukan menuju bilik persalinan.

Kapten kedua-dua pasukan kemudiannya dipanggil oleh pengawai pertandingan. Kapten USSR, Albert Shesternyov dan kapten Itali, Giaccinto Facchetti (gambar bawah) dibawa ke satu ruang oleh beberapa pegawai pertandingan.

Penentuan ditentukan nasib

Pengadil dari Jerman, Kurt Tschenscher, mengeluarkan syiling dari poket beliau dan memberikan taklimat. Kedua-dua kapten faham pentingya nasib baik mereka kali ini berbanding kemahiran bermain bolasepak.

Ini kerana buat pemenang perlawanan ditentukan oleh lambungan duit syiling.

coin toss

Frachetti meneka ekor (tails). Manakala Shesterynov pula mahu tidak mahu meletakkan nasib USSR kepada kepala (heads). Lambungan syiling tersebut memihak kepada Itali dan Fracchetti.

Lantas beliau berlari keluar dari terowong dan memberikan isyarat yang mereka sudah beroleh kemenangan. Sekitar 70,000 penyokong Itali di stadium bergembira.

UEFA mengeluarkan rangkuman video perlawanan di televisyen pada 2 hari kemudian untuk membuktikan prosedur balingan syiling dijalankan dengan telus.

Itali akhirnya mara ke perlawanan akhir untuk bertemu dengan Yugoslavia. Sebagai rekod, mereka menang 2-0 dalam perlawanan ulangan akhir selepas terikat 1-1 dalam perlawanan akhir pertama.

Ia adalah tie breaker paling pelik pernah berlaku dalam sejarah perlawanan bolasepak.

Tetapi tuah duit syiling ini membantu Itali membina pasak sejarah bola sepak moden mereka selepas kali terakhir menang trofi semasa Piala Dunia 1938, iaitu 30 tahun sebelumnya.

Baca juga : Sejarah Perubahan Format & Peraturan Liga Bola Sepak Malaysia Dari 1982 Hingga 2016

The post Bagaimana Sekeping Duit Syiling Bantu Itali Bina Sejarah Bola Sepaknya Bermula 1968 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Bagaimana Llandudno FC, Pasukan Kecil Dari Wales Cari Dana Bermain UEFA Europa League

Bagi Llandudno FC – sebuah kelab kecil Liga Wales dari sebauh pekan yang hanya mempunyai populasi kurang 30,000 orang – pencapaian layak menyertai pusingan kelayakan UEFA Europa League sudah cukup hebat.

Llandudno FC layak selepas juara liga, The New Saints turut memenangi Welsh Cup.

Menurut peraturan Liga Wales, juara liga akan layak ke pusingan pertama kelayakan UEFA Champions League. Manakala naib juara liga akan memasuki pusingan pertama kelayakan UEFA Europa League.

Juara Welsh Cup pula akan memasuki pusingan pertama kelayakan UEFA Europa League.

Memandangkan The New Saints menjuarai liga dan Welsh Cup, slot pusingan pertama kelayakan UEFA Europa League menjadi milik Llandudno FC yang menamatkan musim di tangga ke-3 liga.

Llandudno FC 1

Bagaimanapun Llandudno FC mempunyai sedikit masalah sebelum dapat memulakan cabaran Eropah – mereka tiada duit.

Perlukan duit

Untuk menyertai UEFA Europa League, Llandudno FC memerlukan duit untuk membayar kos berikut:

  • tiket penerbangan pegawai pasukan ke Geneva, Switzerland untuk menghadiri upacara undian pasukan
  • pemeriksaan kesihatan pemain seperti yang disyaratkan UEFA
  • gaji staf bantuan tambahan untuk perlawanan home
  • kos penginapan hotel pemain dan pegawai pasukan pelawat

Llandudno FC menganggarkan mereka memerlukan sekurang-kurangnya £30,000 untuk menanggung kos di atas.

UEFA ada menghadiahkan £157,496 (RM914,116) kepada setiap pasukan yang menyertai Europa League seperti Llandudno FC. Tetapi wang tersebut hanya akan masuk ke dalam akaun pasukan pada bulan Disember ini.

Ini bermakna buat sementara waktu, Llandudno FC perlu meminjam dahulu duit atau mendapatkan penajaan untuk menanggung kos tersebut.

Pinjaman tanpa faedah dari majlis perbandaran

Mujurlah Majlis Perbandaran Conwy, kawasan mereka bernaung memahami kemelut kewangan mereka dan bersetuju untuk meminjamkan £30,000. Mereka juga membenarkan Llandudno FC membayar wang pinjaman tersebut tanpa faedah!

Sebagai balasan, Llandudno FC hanya perlu mencetak nama Majlis Perbandaran Conwy di jersi kedua mereka.

1496724_485263355008041_8887441260754557196_n

Bagi Majlis Perbandaran Conwy, pertolongan tersebut adalah cara mereka untuk mempromosikan bandar Llandundo yang terletak di tepi laut sebagai destinasi pelancongan.

Kami melihat hubungan simbiosis antara majlis perbandaran dengan pasukan bola sepak sebagai sesuatu yang boleh dicontohi oleh dua finalis Liga Bola Sepak Rakyat – Kuching dan Padang Besar yang ditawarkan tempat beraksi dalam Piala FAM 2017 nanti.

Selamat berjaya Llandundo FC, Kuching dan Padang Besar!

Baca juga: Fed Up Kalah, Penyokong Berusia 55 Tahun Hantar Surat Permohonan Jadi Pemain

The post Bagaimana Llandudno FC, Pasukan Kecil Dari Wales Cari Dana Bermain UEFA Europa League appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Neymar Jr’s Five: 5 Tips Bagaimana Untuk Mempertahankan Pintu Gol Tanpa Penjaga Gol

Sesiapa yang pernah bermain bola sepak 5 sebelah tanpa penjaga gol pasti tahu, ia jauh lebih menarik, pantas dan dramatik berbanding bermain dengan penjaga gol.

Tetapi tahukah anda cara mempertahankan pintu gol anda walaupun tanpa penjaga gol?

Atau adakah pasukan anda mempunyai falsafah sama seperti Kevin Keegan – pasukan lawan jaringkan 4 gol, kami akan jaringkan 5 gol!

Berikut adalah 5 tips mempertahankan pintu gol anda walaupun bermain tanpa penjaga gol:

1. Padatkan bahagian tengah: Apabila pasukan anda kehilangan bola, jangan berlenggang kangkung! Kelima-lima pemain perlu turun untuk memadatkan bahagian tengah gelanggang dan memaksa pasukan lawan menyerang dari tepi gelanggang.

2. Betulkan posisi pertahanan pasukan: biasanya pintu gol perlawanan 5 sebelah tanpa penjaga gol ini pendek tetapi lebar.

Oleh itu pastikan pemain lawan yang menyerang dari tepi gelanggang di berikan tekanan (closing down) untuk menutup ruangnya membuat percubaan!

3. Last man lincah: Pastikan pemain pertahanan terakhir (last man) pasukan anda adalah pemain yang lincah dan mampu memberi respon pantas apabila diserang.

4. Sentiasa berkomunikasi: Apabila pasukan anda sedang diserang, anda boleh melihat segala pergerakan pasukan lawan. Gunakan kelebihan ini untuk berkomunikasi dengan ahli pasukan lain.

Beritahu pemain mana yang open, siapa perlu cover beliau dan di mana ruang yang terbuka.

5. Sentiasa tenang: kebanyakan jaringan gol perlawanan 5 sebelah adalah gol jarak dekat. Elakkan bertahan dengan mengikut emosi. Ikut 4 tips di atas dan pastikan pasukan bermain dengan tenang.

Inilah tips pertahanan yang anda boleh praktis setiap kali bermain dalam perlawanan bola sepak 5 sebelah seperti Neymar Jr’s Five yang bakal berlangsung di Universiti Malaya pada 14 Mei 2016 nanti.

Apa itu Neymar Jr’s Five?

Neymar Jr’s Five adalah pertandingan bola sepak 5 sebelah yang dimainkan selama 10 minit, tanpa penjaga gol.

Seperti dodgeball setiap kali pasukan anda menjaringkan gol, 1 pemain pasukan lawan akan keluar gelanggang. Ini bermakna jika pasukan anda mendahului 4-0, situasi 5v1 akan berlaku di gelanggang!

Sumber: Redbull.com
Sumber: Redbull.com

Pemenang dikira berdasarkan pasukan mana yang mempunyai pemain paling banyak atau yang paling banyak menjaringkan gol selepas 10 minit.

Jika kelima-lima pemain lawan berjaya disingkirkan sebelum tamat masa 10 minit, pasukan anda juga adalah pemenang!

Sekiranya kedua-dua pasukan menjaringkan jumlah gol yang sama (atau seri 0-0) selepas 10 minit, perlawanan dianggap seri.

Siapa yang layak menyertai Neymar Jr’s Five?

Setiap pasukan mestilah mendaftar 7 pemain (5 pemain utama dan 2 simpanan) berusia 16-25 tahun (dilahirkan antara 1 Januari 1991 – 31 Disember 1999) tanpa mengira jantina.

Setiap pemain yang beraksi tidak dibenarkan untuk bermain sebagai penjaga gol. Ini bermakna anda tak boleh memegang bola dan berada di hadapan pintu gol semasa perlawanan dilangsungkan.

Saiz gelanggang?

Panjang gelanggang Neymar Jr’s Five adalah 25 meter, manakala lebarnya adalah 15 meter (panjang gelanggang futsal: 38–42 meter, lebar gelanggang futsal: 20–25 meter).

Di depan pintu gol, akan ada kawasan separuh bulatan beradius 2 meter. Pemain tidak dibenarkan berada dalam kawasan separuh bulatan ini.

Tiang gol pula adalah 150cm lebar dan 85cm tinggi. Bola yang digunakan adalah bola saiz 4.

Sumber: Redbull.com
Sumber: Redbull.com

Bagaimana nak menentukan pemain mana yang akan keluar dulu?

Setiap pemain Neymar Jr’s Five akan memakai bib yang bernombor 1-5.

Jika pasukan lawan menjaringkan gol pertama mereka, pemain yang memakai bib no.1 akan keluar dulu. Apabila gol kedua dijaringkan pasukan lawan, pemain yang memakai bib no.2 pula akan meninggalkan gelanggang. Dan seterusnya…

Jadi adalah penting untuk anda mengatur strategi pasukan. Pastikan pemain paling berskil dalam pasukan anda tidak memakai bib no.1!

Apa kelebihan menyertai Neymar Jr’s Five?

Johan Neymar Jr’s Five edisi Malaysia akan mewakili negara di peringkat akhir dunia di Praia Grande, Brazil pada 9 Julai 2016 nanti. Di sana, mereka akan bertanding dengan wakil 35 negara lain.

Hadiah juara dunia? Anda berpeluang untuk menjadi berjumpa dan tetamu Neymar di FC Barcelona dan menonton perlawanan di Camp Nou!

Bagaimana untuk menyertai Neymar Jr’s Five?

Neymar Jr’s Five edisi Malaysia akan dilangsungkan pada 14 Mei 2016 di Gelanggang Varsiti Pusat Sukan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Yuran pendaftaran untuk sebuah pasukan RM150.

Neymar Jr's Five - Poster-compressed

The post Neymar Jr’s Five: 5 Tips Bagaimana Untuk Mempertahankan Pintu Gol Tanpa Penjaga Gol appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Bagaimana Kelemahan ‘Banks of Four’ Terengganu Didedahkan Oleh Felda United

Benarlah kata Johan Cruyff, bermain bola sepak itu mudah. Tetapi bermain bola sepak dengan cara mudah itulah perkara paling susah sekali.

Mike Mulvey mungkin mempunyai niat murni untuk mengubah falsafah bola sepak Terengganu. Tetapi jika pasukannya terus mempamerkan persembahan seperti semalam, beliau mungkin tidak akan diberi masa yang lama sebelum dipecat.

Terengganu tewas 1-4 kepada Felda United semalam, dalam perlawanan yang hanya mendedahkan kelemahan ketara Terengganu dalam aspek pertahanan.

Pertahanan Terengganu bukan saja mudah hilang fokus, malah mudah didedahkan kelemahan mereka menerusi kebijaksanaan Irfan Bakti dan kehebatan pemain-pemainnya.

‘Banks of four’ Terengganu gagal tutup ruang Lutfullah

Kami tak pasti sama ada kecederaan awal Shahrin Sapien ada kena-mengena dengan persembahan buruk jentera tengah Terengganu atau tidak, tetapi persembahan double pivot mereka – Nordin Alias dan Joseph Kalang Tie (menggantikan Shahrin Sapien) – wajar dikritik.

Ketika Felda United mempunyai penguasaan bola, pemain tengah kreatif mereka, Lutfullah Turaev sering dilihat berada di ruang antara jentera tengah dan pertahanan Terengganu.

Posisi yang diambil oleh Lutfullah ini bukanlah satu kebetulan.

Sebaliknya ia adalah perancangan taktikal Irfan Bakti sejak awal-awal lagi kerana ia berlaku beberapa kali dalam 10 minit pertama perlawanan.

Dengan mengambil posisi di ruang tersebut, Lutfullah secara automatiknya bakal menjadi pemain Felda paling berbahaya jika beliau mendapat bola.

felda3 felda2

Ini kerana dengan mengambil posisi di ruang tersebut, beliau mampu:

1. menarik Vincent Bikana keluar dari posisinya sekaligus meninggalkan Hasmizan Kamaroddin dalam situasi 1v1 dengan Forkey Doe.

felda5

2. menarik double pivot TerengganuJoseph dan Nordin – keluar dari posisi tengah mereka sekaligus membuatkan Zah Rahan Krangar bebas tanpa kawalan.

Joseph dan Nordin nyata lebih risaukan Zah Rahan berbanding Lutfullah. Ini terbukti apabila Lutfullah sering dilihat bebas, sedangkan Zah Rahan sentiasa dikawal ketat.

felda2 felda4

Bagaimana pasukan luar negara menyelesaikan masalah ini?

Seperti Terengganu (dan majoriti pasukan liga Malaysia), Atletico Madrid (kendalian Diego Simeone) dan Borussia Monchengladbach (kendalian Lucien Favre) merupakan contoh pasukan Eropah yang menggunakan khidmat double pivot.

Tetapi berbeza dengan Terengganu yang membiarkan Lutfullah bebas tanpa kawalan, double pivot Atletico Madrid dan Borussia Monchengladbach jarang menghadiahkan ruang besar kepada pihak lawan.

Caranya adalah dengan memadatkan kawasan tengah padang. Lihat kepadatan Atletico Madrid ketika menentang Barcelona:

atletico-low-block

Sekarang lihat pula bagaimana kepadatan Borussia Monchengladbach ketika menentang Bayern Munich:

gladbach-4-4-2-deep

Jika Mulvey merasakan defensive line Atletico Madrid dan Borussia Monchengladbach terlalu rendah dan mahu tampil lebih menyerang, beliau perlu memastikan:

1. Amirul Syahmi, Norshahrul Idlan Talaha dan Issey Nakajima rajin memberikan tekanan kepada pemain pertahanan pasukan lawan ketika Terengganu hilang penguasaan bola.

2. Gustavo Lopez dan double pivot Terengganu pula perlu mengekalkan kepadatan pasukan. Ini bermakna mereka perlu turut serta memberi tekanan seperti penyerang mereka.

3. Pertahanan Terengganu perlu memasang defensive line yang tinggi dan serasi memasang perangkap ofsaid sebagai sebuah pasukan.

4. Sharbini Allawee perlu bermain sebagai sweeper (last man).

Jika dianalisis perlawanan semalam, jelas Mulvey memerlukan beberapa pemain baru.

Yong Kuong Yong jelas tidak selesa bermain sebagai bek kanan. Vincent Bikana pula perlu bertanggung jawab terhadap gol pertama dan ketiga Felda United semalam.

felda8 terengganu2

Di tengah, Joseph Kalang Tie mungkin menjaringkan satu gol. Tetapi beliau kerap kali melakukan hantaran jauh yang menyebabkan Terengganu hilang penguasaan bola.

Nordin Alias pula kurang kesedaran ruang (spatial awareness) untuk menjadi defensive midfielder.

felda1

Maka tak hairanlah gandingan double pivot beliau dengan Joseph semalam bagaikan sebuah ‘bencana’.

Baca juga: Apakah Perbezaan Taktikal Terengganu Di Bawah Ahmad Yusof?

The post Bagaimana Kelemahan ‘Banks of Four’ Terengganu Didedahkan Oleh Felda United appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Nota Pelan Taktikal Real Madrid Dedah Bagaimana Mereka Kalahkan Barcelona

Jika ini betul-betul merupakan nota pelan taktikal yang disediakan oleh Zinedine Zidane dan staf teknikalnya sebagai persiapan menghadapi El Clasico, ia bakal memberi kita perspektif paling hampir kepada perancangan taktikal pasukan.

Akhbar Sepanyol, AS melaporkan semalam bahawa mereka menerima sebuah pakej yang berisi beberapa nota tulisan tangan beberapa jam sebelum perlawanan El Clasico bermula.

Setelah diteliti, nota tersebut berisi maklumat pelan taktikal Real Madrid dan bagaimana mereka merancang untuk menghentikan ancaman serangan Barcelona.

nota taktikal madrid

Akhbar Sepanyol itu bagaimanapun gagal melakukan verifikasi untuk mengesahkan sama ada nota tersebut ditulis oleh pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane.

Berdasarkan komen pembaca akhbar tersebut, kami mendapati ramai yang meragui nota tersebut disediakan oleh Zinedine Zidane. Ini kerana tatabahasa dan lenggok bahasa nota yang sempurna ini mencadangkan ia ditulis oleh orang Sepanyol yang asli.

Seorang pembaca memberitahu walaupun Zidane fasih berbahasa Sepanyol, amat jarang bagi seorang penutur bahasa Sepanyol dari Perancis yang mahir menggunakan bahasa pasar ‘ojo’ dan penanda wacana ‘que’ dalam tulisan.

Selain itu, ada juga pembaca yang mengatakan nota tersebut palsu kerana salah meletakkan posisi betul Ivan Rakitic dan Andres Iniesta (Rakitic sepatutnya bermain di tengah kanan, bukannya tengah kiri seperti yang ditulis dalam nota).

Tetapi ada juga pembaca yang yakin dengan keaslian nota tersebut walaupun ia bukan ditulis oleh Zidane. Mereka berhujah ia mungkin ditulis oleh staf teknikalnya.

Selain itu, nota tersebut juga ditulis di atas kertas yang mempunyai letterhead Real Madrid. Itu adalah petunjuk pertama yang memberi sedikit bukti keaslian nota tersebut datang dari staf teknikal Real Madrid.

Isi nota

Dalam nota tersebut, Real Madrid memberi perhatian istimewa kepada taktik high pressing Barcelona dan menekankan kepentingan pemain Madrid untuk sentiasa menyediakan pilihan hantaran (passing options) ketika memegang bola.

Nota tersebut juga mendedahkan pelan taktikal Madrid yang tidak mahu Barcelona menyerang dari tengah. Pemain Madrid diarahkan untuk memberi tekanan kepada Iniesta dan Rakitic sahaja. Busquet pula dibiarkan tanpa tekanan.

Dengan menyekat serangan Barcelona dari tengah, Madrid sebenarnya mahu memaksa Barcelona menyerang dari kawasan sayap mereka.

Carvajal dan Marcelo ditugaskan untuk mengawal pergerakan Alba dan Alves. Ramos dan Pepe pula perlu mengawal Messi dan Neymar.

Siapa pula yang perlu mengawal Suarez? Menurut nota ini, Casemiro ditugaskan untuk turun dan mengawal Suarez.

Nota ini juga memberitahu bahaya larian diagonal Suarez untuk membawa Ramos, Casemiro dan Pepe keluar dari posisi tengah, sekaligus membuka ruang di tengah untuk diserang Neymar dan Messi.

nota taktikal madrid

Berikut merupakan terjemahan nota tersebut:

(1) 4v3 bakal berlaku pada peringkat awal permainan Barcelona
– sekat lorong-lorong hantaran mereka di tengah
– Iniesta dan Rakitic tidak boleh menerima bola
– jika mereka menerima bola, mereka tidak boleh diberikan ruang untuk memusingkan badan
– perhatian kepada orang ketiga, biarkan Busquet tanpa tekanan

OBJEKTIF: Barcelona tak boleh dibenarkan untuk menerima bola di kawasan sayap

(2) Siapa yang akan mengawal full back mereka?
– full back kita mesti kawal full back mereka
– perbetulkan kawalan pemain, pertahanan tengah kawal pemain sayap mereka dan Case(miro) mesti turun sebaris dengan 4 pertahanan kita

(3) Siapa yang akan kawal Messi jika dia turun bawah untuk mengutip bola?
– seseorang perlu ikutnya -> perbetulkan kawalan pemain

(4) Beri perhatian kepada pergerakan diagonal Suarez di belakang pertahanan jika mereka mendapat bola di kawasan sayap
– kawal dia secara langsung
– guna pemain ketiga (Casemiro) di pertahanan tengah

Hampir semua pelan taktikal ini berjaya dilakukan oleh Madrid. Mereka memaksa Barcelona untuk menyerang dari kawasan sayap. Malah Cristiano Ronaldo turut dilihat membantu Carvajal untuk menjejak larian Alba di kawasan sayap.

Sebagai rekod, Real Madrid berjaya emnewaskan Barcelona 2-1 hasil jaringan Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo. Gol Barcelona dijaringkan oleh Gerard Pique.

Baca juga: Sejarah El Clasico: Bagaimana Perang Saudara 1936 Buat Real Madrid & Barcelona Bermusuh

The post Nota Pelan Taktikal Real Madrid Dedah Bagaimana Mereka Kalahkan Barcelona appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA