3 Perkara Yang Seorang Penyokong EPL Belajar Daripada Pengalaman Gary Neville Di Valencia

Sebagai seorang bekas pemain yang hanya menghabiskan kariernya di England, adalah normal bagi Gary Neville untuk mempunyai kesukaran berkomunikasi dengan pemain-pemainnya yang tidak memahami bahasa Inggeris.

Tetapi keputusan pihak pengurusan Valencia untuk memecat pengurus di tengah-tengah musim dan menggantikannya dengan pengurus yang langsung tak boleh bercakap bahasa Sepanyol seperti Neville, adalah tidak normal bagi saya.

Jika Neville tidak menjadi, ia bukan saja menjejaskan prestasi Valencia. Malah ia menjejaskan portfolio Neville dan merosakkan hubungan pemilik dengan penyokong Valencia.

Anda boleh lihat sendiri betapa sukarnya Neville untuk berkomunikasi dengan pemain-pemainnya dalam video di bawah.

Maka tak hairanlah, Neville baru mengecapi 3 kemenangan sepanjang 12 perlawanan Valencia yang dikendalinya.

Malah sehingga kini, Valencia belum pernah menang 1 perlawanan liga pun lagi di bawah Neville.

Di sebalik rekod kemenangannya yang tak memberansangkan setakat ini, anda tak boleh nafikan betapa bekerja kerasnya Neville di Valencia.

Baca: Gary Neville Keluar RM130,000 Sendiri, Belanja iPad Kepada Semua Pemain Valencia

Saya berpendapat ada beberapa perkara tentang Neville yang boleh kita pelajari.

1. Jangan jadi ketam

Saya nampak persamaan antara cabaran Gary Neville di Valencia dengan kisah ketam yang saya pernah baca dalam buku Everything That Happens to Me is Good tulisan Geoff Thompson.

Dalam buku tersebut penulisnya menceritakan apabila nelayan berjaya menangkap ketam dan mengumpulnya dalam bakul, bakul tersebut tidak perlu ditutup, walaupun ada ketam yang akan cuba memanjat dinding bakul untuk keluar.

Mengapa?

Ini kerana apabila ada ketam yang cuba memanjat dinding bakul untuk keluar, ketam-ketam yang lain akan menariknya masuk semula ke dalam bakul semula.

Kemudian ketam yang gagal keluar tersebut akan menarik ketam lain yang cuba melarikan diri.

Di England, Neville sudah selesa dan terkenal sebagai pembantu jurulatih England dan pundit di Sky Sports. Beliau tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan semua ini untuk kerja di negara asing, liga asing, bersama pemain yang asing.

Tetapi Neville masih mahu mencuba? Mengapa?

Ini kerana sudah menjadi DNA Neville untuk mencuba, mencari cabaran dan bekerja keras. Ini adalah kualiti yang boleh kita contohi untuk berjaya dalam hidup.

Untuk berjaya, kita perlu sentiasa mencuba, mencari cabaran dan bekerja keras. Kita tak boleh sentiasa berada di zon selesa seperti ketam yang tak mahu keluar bakul.

Untuk berjaya, kita perlu keluar dari ‘bakul ketam’ kita. Keluar dari zon selesa kita.

2. Komunikasi adalah elemen penting dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan

Bijak dalam aspek teori taktikal dan teknikal adalah satu hal.

Tetapi bijak berkomunikasi dengan pemain untuk menyampaikan apa yang anda mahu dari segi taktikal dan teknikal adalah satu hal yang lain pula.

Carlo Ancelotti pernah berkata:

“Komunikasi adalah kunci. Bola sepak adalah sukan yang penuh dengan idea. Jika anda tak tahu bagaimana nak sampaikan idea ini, anda tak boleh menjadi jurulatih.”

Gary Neville mungkin berpengetahuan luas dan mempunyai banyak idea, tetapi bagaimana beliau nak sampaikan ilmu dan ideanya jika pembantunya Miguel Angel Angulo sendiri pun tak faham bahasa Inggeris?

Jadi satu-satunya pilihan Gary dan Phil Neville adalah belajar bahasa Sepanyol dari kosong. Dan untuk memastikan komunikasi antara Neville dengan pemain-pemainnya menjadi berkesan, ia memerlukan masa.

Bagi saya, kegagalan Valencia untuk menang dalam perlawanan liga setakat ini bukannya kerana pemain Valencia tak faham apa yang Neville cakap.

Sebaliknya, ia kerana Neville masih belum mampu menterjemahkan apa yang terbuku dalam otaknya ke otak pemain-pemainnya.

Mungkin kerana kekurangan pengalaman Neville sebagai pengurus pasukan. Mungkin juga kerana kelemahan skil interpersonal communication Neville sendiri.

3. Peter Lim perlu lebih fikirkan tentang penyokong Valencia

Saya cuba berfikir dari perspektif penyokong Valencia.

Alangkah malangnya apabila pemilik kelab mereka, Peter Lim menjadikan Valencia sebagai platform menzahirkan kecintaannya terhadap Manchester United.

Kefanatikan Peter Lim terhadap Manchester United bukan satu rahsia lagi.

Beliau pernah membeli 50% syer kelab Salford City. Pemegang syer Salford City yang lain adalah Phil Neville, Gary Neville, Paul Scholes, Ryan Giggs dan Nicky Butt.

Beliau juga merupakan pemegang hak imej Cristiano Ronaldo dan pernah menderma dalam projek kebajikan Hotel Football yang diketuai oleh Gary Neville dan Ryan Giggs.

Malah hubungan rapatnya dengan ejen pemain, Jorge Mendes menyebabkan Valencia dipenuhi oleh banyak pemain-pemain yang berada di bawah naungan Mendes.

Antaranya ialah Joao Cancelo, Zakaria Bakkali, Danilo, Aymen Abdennour, Rodrigo dan Enzo Perez.

Ini menyebabkan Valencia dipenuhi oleh pemain yang taat setia kepada ejen, bukannya kepada kelab dan penyokong Valencia. Masakan tidak, ejen mereka adalah kawan baik Peter Lim!

Inilah impak yang perlu ditanggung oleh penyokong apabila kelab bola sepak mereka menjadi perniagaan tanpa jiwa atau dalam bahasa orang putih, business without soul.

Baca juga: 5 Perkara Yang Seorang Penyokong Perak Belajar Daripada Final Piala Malaysia 2015

The post 3 Perkara Yang Seorang Penyokong EPL Belajar Daripada Pengalaman Gary Neville Di Valencia appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

5 Perkara Yang Saya, Penyokong Perak, Belajar Daripada Final Piala Malaysia 2015

Sebagai seorang penyokong Perak yang sudah 23 tahun menetap di Selangor dan mempunyai tiket final Piala Malaysia 2015, sudah tentulah saya duduk bersama kelompok penyokong Selangor.

Walaupun dalam hati, saya lebih mahukan Perak melangkah ke final Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 2007 (tewas 0-3 kepada Kedah), saya perlu akur Perak perlukan perubahan besar untuk menyaingi kehebatan jirannya, Kedah dan Selangor.

Banyak perkara yang saya belajar sepanjang pemerhatian saya di Stadium Shah Alam semalam. Ini adalah 5 daripadanya.

1. Football Malaysia LLP (FMLLP) memberi rasa optimis kepada suasana bola sepak tempatan

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Optimistik. Itulah perasaan yang saya rasa selepas menemubual CEO FMLLP, Kevin Ramalinggam berkenaan isu penswastaan liga.

Dan sehingga kini, saya masih berasa optimistik terutamanya selepas melawat Stadium Shah Alam semalam.

Stadium Shah Alam mula dilengkapi dengan skrin LED besar untuk memberi peluang penonton di stadium melihat replay aksi-aksi perlawanan.

Turut melengkapi padang Stadium Shah Alam adalah papan iklan LED.

Ia memberi perasaan optimis sebagaimana yang penyokong JDT dan Kelantan rasakan di stadium mereka. Liga bola sepak kita sedang bergerak ke hadapan.

Malah buku program perlawanan turut dijual kepada penonton di stadium.

Ini adalah sesuatu yang perlu diusahakan oleh jabatan media setiap pasukan home Liga Super dan Liga Perdana.

2. “Goalscorers win matches but goalkeepers and defenders win titles”

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Kata-kata Sir Alex Ferguson ini terngiang-ngiang dalam ingatan saya selepas melihat persembahan jentera pertahanan Selangor dan Norazlan Razali sepanjang kempen Piala Malaysia 2015.

Norazlan Razali mungkin dijulang kerana aksi menyelamat akrobatiknya banyak menyelamatkan kepincangan Selangor di bahagian serangan.

Duduk di belakang kawasan gol Selangor pada separuh masa kedua, saya menyaksikan kecekapannya menafikan percubaan Sandro Da Silva pada sekitar minit ke-68′.

Tetapi jangan dilupakan sumbangan Shahrom Kalam dan Robert Cornwaithe. Menentang Chidi Edeh semalam, kedua-dua mereka sangat fantastik.

Azrif mungkin dianggap ‘lembik’ oleh Azammudin Akil. Tetapi beliau adalah Mr. Consistent Selangor musim ini. Sentiasa konsisten dan sentiasa berani mencabar mana-mana pemain sayap kiri lawan.

Raimi Md Noor juga konsisten di posisi bek kiri. ‘Tarian’ beliau pada separuh masa kedua di hadapan Syafiq Ahmad menggambarkan keyakinan beliau sedang berada di tahap tertinggi.

3. Selangor mesti kekalkan teras (core) pasukan

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Untuk memastikan kejayaan berpanjangan, Selangor mesti mengekalkan core pasukan mereka dan menambah beberapa pemain berkualiti.

Ini termasuklah Mehmet Durakovic yang dikhabarkan bakal digantikan oleh Zainal Abidin Hassan, jurulatih sama yang ditewaskan oleh Mehmet ketika separuh akhir Piala Malaysia 2015.

Sejak 2014 secara head-to-head, Selangor yang dipimpin oleh Mehmet sudah menewaskan Pahang yang dipimpin Zainal sebanyak 3 kali, seri 2 kali dan kalah hanya sekali.

Turut dikhabarkan bakal keluar dari Selangor adalah Andik Vermansyah. Persebaya Surabaya berminat untuk membawa Andik pulang ke Malaysia tetapi ada berita baik untuk penyokong Selangor: Andik mahu kekal di Selangor.

Pengurusan Selangor perlu pantas melanjutkan kontrak Andik dan Mehmet, antara dua persona yang paling disayangi oleh penyokong Selangor.

4. Kedah perlu meneruskan identiti permainan mereka

Sumber gambar: www.asiana.my
Sumber gambar: www.asiana.my

Dalam hiruk-pikuk penyokong Selangor yang tak henti-henti melaungkan chants, saya memerhatikan gameplay Kedah dengan penuh minat.

Kedah gemar bermain dari belakang. Bermula daripada hantaran pendek penjaga gol kepada pemain pertahanan Kedah, mereka menggerakkan bola melalui siri-siri hantaran pendek yang asing dalam bola sepak Malaysia.

Di seluruh padang, saya dapat memerhatikan ‘segi tiga’ sentiasa terbentuk melalui gerakan Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Badhrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon.

Ini adalah sesuatu yang menggalakkan dan menghiburkan. Walaupun kalah, saya amat-amat mengharapkan Tan Cheng Hoe dan staf kejurulatihannya akan terus mengajar pemain Kedah bermain sebegini.

Seperti Eddie Howe yang memperkenalkan identiti dan falsafah menyerang dengan hantaran pendek di AFC Bournemouth, saya mengharapkan Tan Cheng Hoe dan Kedah akan dikenali sebagai antara pasukan yang mempunyai falsafah bola sepak yang sama.

5. Dengan tambahan beberapa pemain berkualiti, Kedah mampu kembali mendominasi Malaysia

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Berdasarkan pemerhatian saya, Kedah hanya memerlukan seorang penjaga gol dan seorang penyerang untuk menjadi skuad yang boleh memberi cabaran serius dalam Liga Super 2016.

Mohd Firdaus Muhamad mungkin patut boleh mengawal gawang dengan lebih baik ketika gol ke-2 Selangor berlaku, tetapi perlu diingat beliau masih muda.

Mungkin dalam situasi final sebegini, seorang penjaga gol berpengalaman diperlukan oleh Kedah.

Selain itu, Kedah mungkin juga memerlukan seorang penyerang baru. Dengan masa depan Chidi Edeh yang tak menentu pada musim depan, Kedah memerlukan seorang penyerang yang sesuai dengan falsafah possession football Tan Cheng Hoe.

Penyerang tersebut mestilah boleh menghubungkan jentera serangan dengan jentera tengah secara berseorangan dan paling penting, mencari ruang untuk menjaringkan gol.

Berhadapan dengan Robert Cornwaithe dan Shahrol Kalam, Chidi Edeh sudah melakukan yang terbaik untuk mengetuai jentera serangan Kedah meskipun bermain dalam kecederaan.

Tetapi untuk mendominasi Malaysia seperti era 2007 dan 2008, Chidi Edeh perlu segera pulih daripada kecederaan otot koyaknya atau Kedah terpaksa mencari penyerang import baru.

Baca juga: 4 Hero Tak Didendang Dalam Kempen Piala Malaysia 2015

The post 5 Perkara Yang Saya, Penyokong Perak, Belajar Daripada Final Piala Malaysia 2015 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Perlukah Pemain Bola Sepak Belajar Sehingga Ke Universiti?

college-degree

Semuanya bermula daripada insiden pemain tengah skuad bola sepak Sukan SEA negara, Nazmi Faiz yang digantung 6 perlawanan kerana meludah pemain lain.

Kelakukan kurang bijak Nazmi Faiz mengundang kemarahan peminat bola sepak. Kita mula mengaitkan tindakan kurang bijak tersebut dengan taraf pendidikan beliau, seperti yang diluahkan oleh seorang peminat bola sepak ini dalam media sosial.

11121048_624819827655193_331132593_n

Persoalan yang cuba kami timbulkan adalah:

Perlukah pemain bola sepak belajar sehingga ke universiti hanya untuk belajar benda mudah – yang meludah pemain lawan itu perbuatan tidak bijak?

Ini membawa kepada soalan sebenar yang kami mahu timbulkan dalam artikel ini:

Apakah yang akan diperolehi oleh pemain bola sepak sekiranya mereka memperolehi pendidikan universiti?

Perkara yang perlu dipertimbangkan pemain muda

Sebelum menjadi pemain bola sepak profesional, ada 3 perkara yang perlu dipertimbangkan oleh pemain muda:

  1. Jika mereka tidak berjaya menjadi pemain pro, apakah langkah seterusnya?
  2. Jika mereka berjaya menjadi pemain pro tetapi ditamatkan kontrak kerana kecederaan panjang/hal lain-lain, apakah langkah seterusnya?
  3. Jika mereka berjaya menjadi pemain pro dan akhirnya bersara, apakah langkah seterusnya?

Jawapan kepada 3 soalan ini hanya boleh dijawab jika pemain muda ini mempunyai pendidikan formal (sekurang-kurangnya SPM). Atau jika pemain muda ini berasal dari keluarga yang kaya.

Atas sebab inilah, pemain muda kita perlu mempunyai pendidikan formal asas. Pendidikan formal adalah untuk menjamin masa depan mereka, bukan untuk mengajar mereka untuk bersikap matang dan bijak.

Sikap matang dan bijak membuat keputusan datang daripada pengalaman, kesilapan dan pembacaan (bukan buku teks) – sesuatu yang anda hanya dapat DI LUAR KELAS.

Pendidikan pemain di Eropah

Pendidikan tertinggi kebanyakan pemain profesional Eropah adalah sijil lulus sekolah menengah (SPM di Malaysia).

Apabila menyertai akademi kelab profesional, mereka akan diberikan biasiswa dan perlu lulus sekolah menengah. Jadi sama ada mereka berjaya menjadi pemain profesional atau tidak, sekurang-kurangnya mereka mempunyai sijil kelulusan sekolah menengah.

Dengan sijil tersebut, mereka boleh memohon kerja berskil rendah atau memohon masuk ke universiti untuk memperbaiki kelulusan.

New-Mind-Map_4cqr6l65

 

 

Pendidikan pemain di Amerika Syarikat

Dalam kebanyakan pemain bola sepak profesional, pemain dari Amerika Syarikat adalah yang paling ramai mempunyai ijazah sarjana muda (bachelor degree) ketika masih bermain secara profesional.

Ini kerana sistem  pendidikan mereka yang mewajibkan pemain muda untuk layak masuk ke universiti jika mereka mahu merebut peluang menjadi pemain profesional dalam Major League Soccer (MLS).

Di Amerika Syarikat, peluang masuk ke universiti adalah peluang untuk bermain mewakili pasukan bola sepak universiti. Setiap tahun, persembahan mereka bersama pasukan universiti akan diperhatikan kelab MLS.

Jika kelab MLS tersebut minat terhadap pemain tertentu, nama pemain itu akan tersenarai dalam MLS Draft apabila pemain itu menamatkan penagajian di universiti.

Daripada 23 pemain skuad Piala Dunia 2014 yang lepas, 12 pemain mereka tidak mempunyai ijazah dan hanya memiliki high school diploma. Ini kerana hampir semua 12 pemain tersebut sudah bermain di Eropah pada umur 17, 18 tahun.

Jadi mereka tak perlu masuk ke universiti untuk bermain bola sepak secara pfofesional.

New-Mind-Map_4cqr7m5w

 

Kami melihat 10 pemain profesional memperolehi ijazah dari universiti. Kalau diikutkan, ramai pemain Amerika Syarikat yang akan mendominasi carta ini. Jadi kami hadkan kepada pemain Eropah dan Asia sahaja.

1. Juan Manuel Mata, 27 (Manchester United & Sepanyol)

Ketika di Chelsea, Mata memberitahu media yang beliau sedang mempelajari dua ijazah: dalam sains sukan dan pemasaran di Universidad Camilo Jose Cela.

2. Glen Johnson, 30 (England)

Ketika ditemuramah media pada 2012, Johnson mendedahkan beliau sedang mengambil ijazah Matematik secara sambilan di Open University.

3. Clarke Carlisle, 35 (England)

Semasa di sekolah, Carlisle memperolehi 10 A dalam GCSE  (macam SPM di Malaysia) dan mempelajari matematik dan politik dala A-Level sebelum mengambil keputusan untuk menjadi pemain profesional di Blackpool. Di penghujung kariernya, Carlisle mengambil ijazah Professional Sports Writing and Broadcasting daripada Staffordshire University.

4. Edwin van der Sar, 44 (Belanda)

Selepas bersara, van der Sar mengambil ijazah International Master of Sport Management daripada Cruyff Institute di Belanda. Ijazah tersebut adalah syarat yang dikenakan terhadap beliau sebagai Pengarah Pemasaran Ajax Amsterdam yang (baru) dilantik.

5. Shaka Hislop, 46 (Trinidad and Tobago)

Hislop mempunyai ijazah kejuruteraan mekanikal dari Howard University dan pernah bekerja di NASA semasa latihan industri.

6. Yoshinori Muto, 22 (FSV Mainz 05)

Ketika FC Tokyo menerima bidaan £4 juta daripada Chelsea untuk khidmat penyerang muda mereka, Yoshinori Muto baru sahaja lepas 2 minggu menghadiri majlis konvokesyen Universiti Tokyo. Beliau di sana untuk menerima ijazah ekonomi daripada universiti terkemuka Jepun itu.

7. Socrates, 61 (Brazil)

Perancang Brazil ini benar-benar mengagumkan. Beliau memperolehi ijazah kedoktoran dari  Faculdade de Medicina de Ribeirão Preto ketika masih bermain secara profesional. Selepas bersara, beliau bertugas sebagai doktor dan penulis. Walaupun bergelar atlet dan doktor, Socrates kuat menghisap rokok dan minum alkohol sehinggalah hari kematiannya.

8. Ali Daei, 46 (Iran)

Ali Daei memperolehi ijazah Kejuruteraan Bahan dari Sharif University of Technology, Iran. Selepas keluar dari universiti, beliau bekerja di Bank Tehran dan bermain untuk pasukan bola sepak Bank Tehran. Bakat beliau mula dikesan Eropah selepas persembahan ajaibnya bersama Iran di Piala Asia 1996

9. Arjan de Zeeuw, 45 (Belanda)

Semasa de Zeeuw bermain di liga amatur, beliau mengambil ijazah dalam Sains Perubatan. Selepas menghabiskan pengajiannya pada umur 22 tahun, barulah de Zeeuw mendapat tawaran kontrak profesional pertamanya dari kelab kecil Belanda, SC Telstar.

10. Andik Vermansyah, 23 (Indonesia)

20152105_ADAM_ANDIK-VERMANSYAH-3

Ayam tambatan Selangor ini bukan sahaja lincah di atas padang, malah lincah mengatur masa depannya agar terjamin. Ketika ini, Andik sedang berada di tahun ke-4 jurusan ijazah Pengurusan di Fakulti Ekonomi, Universitas Dr. Soetomo Surabaya.

Kesimpulan

Bagi kami, idea mengukur kebijaksanaan pemain muda membuat keputusan di dalam atau di luar padang berdasarkan tahap pendidikannya adalah idea lapuk dan tidak relevan.

Tetapi itu tidak bermakna kami menyokong pemain muda kita mengabaikan pendidikan demi mengejar kontrak profesional yang lumayan.

FAM dan FA negeri perlu mewajibkan setiap pemain tempatan mereka sudah mengambil sekurang-kurangnya SPM.

 

Sumber: AntaraNewstotalsportek, StudentWorldOnline, The Guardian, Getty Images

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

The post Perlukah Pemain Bola Sepak Belajar Sehingga Ke Universiti? appeared first on Semuanya Bola.

Semuanya Bola

23 Tahun Selepas Belajar Dari FAM, J League Kembali Ke Malaysia Sebagai Guru Pula

mitsuru-murai-320398

Selepas lebih 2 dekad penubuhannya, J League sudah mula memasuki era baru. Era hegemoni bolasepak.

Ketika ini, J League sedang giat meluaskan pengaruh mereka ke Asia Tenggara.

Jika Portugal meluaskan kuasa mereka ke Goa dan Melaka pada abad ke-14 untuk menguasai pasaran rempah dunia, Sepanyol ke Amerika Selatan pada abad ke-15 untuk menguasai pasaran emas dunia, apa pula tujuan J League ke Asia Tenggara?

Persoalan ini telah kami kupas dalam artikel kami yang lepas.

Baca: Mengapa Jepun Mula Melabur Duit Dalam Bola Sepak Asia Tenggara?

Datang berguru ke Malaysia

Semasa Jepun sedang berkira-kira untuk menubuhkan liga profesional mereka sendiri pada 1991, mereka banyak menghantar delegasi pegawainya ke banyak negara untuk belajar cara menguruskan liga profesional.

Mereka menghabiskan 3 hari di kelab Bayer Leverkusen untuk belajar cara mengurus gaji dan bonus pemain profesional.

Mereka melawat Amerika Syarikat untuk mengkaji dan mempelajari bagaimana liga bola keranjang (NBA), hoki ais (NHL), American football (NFL) dan besbol (MLB) beroperasi. Mereka juga mengkaji aspek pemasaran Sukan Olimpik Los Angeles 1984 untuk belajar cara menarik penaja-penaja.

Menurut buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia karangan Lucius Maximus, salah satu negara yang dilawati Jepun pada 1992 adalah Malaysia.

23 tahun kemudian pada hari ini, liga profesional Jepun berjaya menghasilkan pemain-pemain yang layak ke Piala Dunia, kualiti yang setaraf dengan pemain Eropah dan menghasilkan industri yang bernilai bilion Yen.

Kisah dan sejarah bagaimana J League dibentuk juga pernah kami tulis dalam artikel lepas.

Baca: Sejarah J League: Bagaimana Jepun Memulakan Liga Bola Sepak Mereka (Siri 1)

Strategi J League menarik minat Asia Tenggara

Di rantau di mana majoriti peminat bola sepaknya adalah peminat bola sepak Inggeris, hajat J League untuk mempopularkan liga mereka di Asia Tenggara memerlukan strategi yang rapi.

Di sinilah peranan Repucom, sebuah agensi penyelidikan pemasaran sukan terbesar dunia. Antara klien mereka adalah NFL, MLB, PGA Tour, dan Barclay’s Premier League.

repucom

Apa yang Repucom lakukan?

Bayangkan anda seorang penjual ubat.

Anda sudah menguasai pasaran ubat di Malaysia. Sekarang anda mahu menakluk pasaran Indonesia pula. Untuk memastikan ubat anda relevan di kalangan penduduk Indonesia, anda perlukan maklumat tentang penduduk Indonesia itu sendiri.

Dalam analogi ini, Repucom adalah syarikat yang membuat kajian menyeluruh untuk membekalkan maklumat tersebut. Dengan maklumat Repucom, anda boleh menguasai pasaran ubat Indonesia dengan produk anda.

Antara hasil kerja mereka adalah seperti berikut:

1. 85% lelaki dan 80% wanita di dunia mengenali Cristiano Ronaldo.

repucom1-compressed

2) 50% lelaki dan 32% wanita di dunia mengenali Andrea Pirlo

repucom2-compressed

Tugas Repucom untuk J League adalah mengumpulkan data-data seperti:

  1. berapa ramai orang yang menonton J League
  2. apa yang perlu J League perbaiki untuk menarik lebih ramai orang menonton J League

Menurut hasil kajian Repucom, populariti Liga Perdana Inggeris adalah sangat besar di Asia sehinggakan 65% bayaran hak penyiaran TV adalah dari Asia. Liga Perdana Inggeris juga menjana 135.9 billion Yen (RM 4.13 bilion) daripada hak penyiaran di Asia dalam masa 3 tahun mulai musim 2013-14.

Sebagai perbandingan pendapatan hak penyiaran TV untuk J League adalah sekitar 5 billion Yen (RM 153 juta) sahaja setahun.

Situasi menang – menang untuk kedua-dua pihak

‘Hegemoni’ bola sepak Jepun ini bukan sahaja bertujuan untuk mempopularkan bola sepak Jepun, malah bertujuan untuk memperbaiki mutu bola sepak negara Asia Tenggara juga.

Pada 2011, J League telah berkerjasama dengan 6 liga professional di Thailand, Vietnam, Kemboja, Myanmar, Singapura dan Indonesia. Negara-negara ini menerima faedah dalam bidang pemasaran, akademi pemain, pertukaran pemain dan sebagainya.

Selain dari usaha J League ini, sudah ada beberapa kelab Jepun yang memulakan inisiatif sendiri.

Sebagai contoh, pasukan J League 2, Consadole Sapporo pernah menandatangani penyerang Vietnam, Lee Cong Vinh secara pinjaman. Beliau merupakan pemain pertama dari Asia Tenggara yang membuat penampilan dalam liga profesional Jepun.

3-49b9a-9afdc

Penglibatan Lee Cong Vinh dalam J League telah menarik minat penduduk Vietnam untuk menonton J League. Populariti Consadole Sapporo melonjak di kalangan peminat bola sepak Vietnam

Pasukan J League 1, Ventforet Kofu juga pernah mendapatkan pemain Indonesia kelahiran Belanda, Irfan Bachdim selama 1 musim. Kini Irfan bermain di J League 2 untuk Consadole Sapporo.

irfan-bachdim-kofu

Kesimpulan

Pada pukul 11 pagi hari ini (18 Jun 2015), FAM akan menandatangani memorandum persefahaman dengan J League di Wisma FAM.

Peristiwa ini bersejarah kerana selepas 23 tahun belajar dari FAM, J League kembali ke Malaysia semula. Tetapi kali ini sebagai guru.

Akhirnya bola sepak kita akan menerima sentuhan kepakaran Jepun. Sama ada dari segi latihan, pengurusan, pertukaran pemain, pemasaran dan semuanya tentang bola sepak, kita akan belajar dari Jepun pula.

Ini bermakna:

  1. peluang pemain tempatan yang berbakat untuk mencuba nasib di J League lebih terbuka seperti pemain-pemain muda Indonesia dan Thailand ini
  2. lebih banyak pemain Jepun akan bermain di Malaysia (harapnya lebih ramai pemain muda)
  3. peluang pasukan tempatan menjadi feeder club kelab J-League 1
  4. lebih banyak jurulatih dan pegawai pemasaran akan diserapkan dalam pasukan liga tempatan
  5. peluang pasukan-pasukan daerah Liga Bolasepak Rakyat (LBR) untuk belajar mencipta sustainable business model masing-masing
  6. lebih banyak kursus kejurulatihan di Malaysia untuk jurulatih-jurulatih tempatan
  7. Klinik bola sepak dari jurulatih Jepun untuk pemain di peringkat akar umbi

Dan banyak lagi program-program kerjasama J League dengan FAM. Semoga bola sepak kita bertambah maju.

Sila tunjuk ajar kami, J League!

Baca: Bagaimana Struktur J League Memacu Kejayaan Bola Sepak Jepun

 

**Artikel ini disumbangkan oleh Fanpage J League Malaysia. Like J League Malaysia di Facebook untuk mendapatkan info terkini mengenai J League.

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

The post 23 Tahun Selepas Belajar Dari FAM, J League Kembali Ke Malaysia Sebagai Guru Pula appeared first on Semuanya Bola.

Semuanya Bola