FIFA Mahu Tambah Peraturan Baru, Benarkan Kapten Sahaja Bercakap Dengan Pengadil Ketika Perlawanan

Bola sepak terkenal sebagai sukan yang penuh intensiti tinggi, emosi dan juga drama.

Namun dalam bola sepak moden, sesetengah peminat sudah merasakan nilai drama dan di dalam sukan bola sepak sudah semakin hilang.

Hal ini kerana terdapat beberapa peraturan yang telah ‘membunuh’ bola sepak dari segi nilai drama. Sebagai contoh, teknologi garisan gol.

Terdahulu, Marco Van Basten pernah mencadangkan agar FIFA memansuhkan peraturan ofsaid. Kini FIFA mencadangkan satu lagi peraturan baru.

Adaptasi sukan ragbi

Pembaharuan yang dimaksudkan oleh Van Basten adalah peraturan menghadkan jumlah pemain yang boleh bercakap dengan pengadil ketika perlawanan.

Van Basten berkata, FIFA dalam proses pembincangan untuk membenarkan hanya kapten pasukan sahaja bercakap dengan pengadil ketika perlawanan sedang berlangsung.

Menurut Van Basten, peraturan tersebut diadaptasi dari peraturan sukan ragbi yang membenarkan hanya kapten sahaja yang bercakap dengan pengadil.

Tujuan perlaksanaan peraturan ini adalah kerana ingin mengawal sikap pemain yang kadang kala keterlaluan ketika perlawanan.

“Para pemain terlalu kerap mengadu ketika perlawanan berlangsung.”

“Kami mahu mencipta suasana yang dimana sikap pemain menjadi lebih baik dan lebih menghormati pengadil. Dan pengadil lebih terlindung ketika perlawanan.”

Apabila ditanya mengapa FIFA cuba mengadaptasi peraturan dari sukan ragbi, Van Basten berkata sukan bola sepak perlu belajar dengan semua sukan.

“Bola sepak perlu belajar dengan semua sukan. Dan sukan lain juga bole belajar dengan bola sepak juga.”

Menyeronokkan dan jujur

Terdapat beberapa sebab mengapa FIFA memperkenalkan beberapa peraturan seperti teknologi garisan gol dan teknologi video pembantu pengadil.

Antaranya kerana FIFA mahu mewujudkan suasana permainan bola sepak yang dinamik, berkualiti dan juga jujur.

Van Basten bagaimanapun sedar permainan yang bola sepak merupakan permainaan yang beremosi tinggi.

Namun begitu, menjadi tanggungjawab FIFA untuk memastikan setiap emosi itu terkawal. Jika tidak, ia akan memberi kesan yang buruk kepada permainan.

Di Premier League, terdapat peraturan yang membolehkan pengadil memberikan kad merah kepada pemain yang menggunakan bahasa dan isyarat kesat kepada pengadil.

Selain itu, terdapat juga peraturan di Premier League yang menghadkan 2-3 pemain sahaja yang bercakap dengan pengadil ketika perlawanan.

Apa komen anda mengenai perkara ini? Wajarkan peraturan ini dilaksanakan? Tinggalkan pendapat kalian di ruangan komen!

Baca juga: Marco Van Basten Mahu Peraturan Ofsaid Dihapuskan, Perkenalkan Kad Hijau Dalam Bola Sepak

The post FIFA Mahu Tambah Peraturan Baru, Benarkan Kapten Sahaja Bercakap Dengan Pengadil Ketika Perlawanan appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Dortmund Benarkan Hummels Ke Bayern, Kelab Sama Yang Pecat Bapanya 4 Tahun Lepas

Penyokong Borussia Dortmund akan melalui detik déjà vu pada perlawanan akhir DFB-Pokal 2016 pada 21 Mei nanti selepas laman web rasmi pasukan mengesahkan mereka akan membenarkan Mats Hummels menyertai musuh Der Klassiker, Bayern Munich.

Bagaimanapun dalam kenyataan sama, Dortmund turut menegaskan mereka hanya akan melepaskan Hummels jika Bayern membuat tawaran yang sesuai dengan status Hummels sebagai pemain kesebelasan utama.

Dortmund menulis kenyataan berikut dalam laman web rasmi mereka:

“Mats Julian Hummels telah memberitahu Borussia Dortmund GmbH & Co. KGaA bahawa beliau mahu berpindah menyertai Bayern Munchen pada musim depan.”

“Ahli-ahli lembaga pengarah telah membuat keputusan untuk membenarkan perpindahan ini berlaku dengan syarat Bayern mesti membuat tawaran yang sesuai dengan kebolehan pemain yang istimewa dan berbaloi untuk dipertimbangkan.”

“Sehingga kini, Bayern Munchen masih belum membuat sebarang tawaran langsung.”

“Kami juga mahu menambah, seperti pemain Borussia Dortmund yang lain, Hummels tiada klausa keluar dari kelab dan masih mempunyai kontrak sehingga 30 Jun 2017.”

Kembali ke Munich

Mats Hummels tidak asing dengan Bayern Munich selepas menghabiskan majoriti zaman remajanya bersama skuad Jugend akademi Bayern Munich sejak berumur 7 tahun lagi.

Bapanya, Hermann Hummels merupakan bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich sebelum dipecat dan ditamatkan kontrak oleh pengurus Bayern ketika itu, Jurgen Klinsmann pada 2012.

Sejak itu, bapanya menubuhkan syarikat ejen pengurusan pemain yang bertanggungjawab mengurus karier dua anaknya sendiri, Mats Hummels di Borussia Dortmund dan adiknya, Jonas Hummels di SpVgg Unterhaching.

Ironi Hummels

Bagi penyokong Dortmund, kehilangan Hummels – seorang lagi pemain bintang mereka selepas Mario Gotze dan Robert Lewandowski – kepada Bayern Munich pastinya tidak disenangi oleh mereka.

Tambahan pula Hummels pernah dipetik membuat kenyataan berikut ketika diminta mengulas mengenai perpindahan Gotze ke Bayern:

“Menjuarai liga bukanlah segala-galanya. Sebaliknya bermain bola sepak menarik dan berjaya bersama rakan-rakan adalah segala-galanya.”

Apa yang pasti, Hummels akan menerima layanan buruk daripada penyokong Dortmund atas sikap hipokrit beliau ini.

Dan menjelang final DFB-Pokal antara Bayern dengan Dortmund pada 21 Mei nanti, perhatian pastinya terarah kepada Hummels.

Insiden ini adalah déjà vu kepada insiden Robert Lewandowski yang bermain untuk Dortmund buat kali terakhir dalam final DFB-Pokal 2014 menentang Bayern. Bayern menang 2-0 dalam perlawanan tersebut.

Baca juga: Hummels & Weidenfeller Bersemuka Dengan Peminat Dortmund Selepas Mereka Tewas Lagi Di Gelanggang Sendiri

The post Dortmund Benarkan Hummels Ke Bayern, Kelab Sama Yang Pecat Bapanya 4 Tahun Lepas appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

FIFA Benarkan 4 Pemain Gantian Dalam Jika Perlawanan Diheret Masa Tambahan

Semasa perlawanan akhir UEFA Champions League 2014 antara Real Madrid dan Atletico Madrid, gol Sergio Ramos pada minit-minit terakhir perlawanan memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Ketika itu, pemain-pemain Atletico sudah pun nampak keletihan. Seawal minit 9′, Diego Costa sudah terpaksa dikeluarkan kerana masalah kecederaan.

Ditambah pula dengan taktikal Diego Simeone yang menuntut setiap pemain Atletico untuk berlari tanpa henti untuk melakukan pressing, pemain Atletico yang letih perlu bertahan selama 30 minit lagi.

Kredit kepada Real. Mereka memanfaatkan keletihan pemain Atletico untuk menjaring 3 gol pada masa tambahan dan akhirnya menjadi juara.

Menonton perlawanan tersebut sebagai penyokong neutral, kami tertanya-tanya: apa yang akan terjadi sekiranya peraturan bola sepak membenarkan 4 pemain gantian dimasukkan?

Mungkin dengan sepasang kaki yang segar, Atletico mampu bertahan 30 minit lagi. Mungkin tidak.

FIFA bereksperimen

Persoalan kami akan terjawab pada Sukan Olimpik 2016 nanti apabila FIFA mengumumkan akan bereksperimen dengan membenarkan 4 pemain gantian dimasukkan sekiranya perlawanan diheret ke masa tambahan.

Peraturan baru ini juga bakal diuji dalam kejohanan FIFA Club World Cup dan Piala Dunia Wanita Bawah-20 tahun ini.

Ketika ini hanya 3 pemain gantian dibenarkan bermain dalam satu perlawanan. Walaupun perlawanan berlanjutan selama 120 minit.

International Football Association Board (IFAB) semalam meluluskan eksperimen itu dengan menulis:

“Jemaah eksekutif FIFA bersetuju eksperimen 4 pemian gantian akan dilaksanakan di acara bola sepak di Sukan Olimpik 2016 di Brazil, Piala Dunia Wanita Bawah-20 di Papua New Guinea dan Fifa Club World Cup di Jepun.”

Reaksi orang ramai

Rata-rata peminat bola sepak memberi respons positif dan berminat untuk mengetahui hasil eksperimen tersebut.

Mereka memberi contoh perlawanan akhir FA Cup 2006 antara Liverpool dan West Ham dan perlawanan akhir UEFA Champions League 2014 antara Real Madrid dan Atletico Madrid sebagai contoh mengapa idea 4 pemain gantian ini perlu dicuba.

Ini kerana dalam dua perlawanan ini, tempo perlawanan sering terganggu dek kekejangan otot yang dialami pemain selepas 90 minit perlawanan berintensiti tinggi.

Malah ada sesetengah peminat bola sepak yang masih ingat bagaimana Steven Taylor terpaksa mengharungi penentuan sepakan penalti dalam keadaan terhincut-hincut selepas pasukan England Bawah-21 terikat 1-1 dengan Belanda Bawah-21 dalam kejohanan EURO Bawah-21 pada 2007.

Dengan peraturan 4 pemain gantian, mungkin Taylor dapat digantikan dengan pemain lain yang tidak cedera.

Apapun reaksi orang ramai, kita akan dapat melihat sendiri kesan perlaksanaan peraturan baru ini seawal-awalnya semasa Sukan Olimpik 2016 nanti.

Baca juga: Ofsaid: Penerangan Ringkas Peraturan Paling Mengelirukan Dalam Bola Sepak

The post FIFA Benarkan 4 Pemain Gantian Dalam Jika Perlawanan Diheret Masa Tambahan appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA