Courtois: Saya Takkan Tamatkan Karier Di Chelsea, Ia Takkan Berlaku

Pepatah Inggeris ada mengatakan honesty is the best policy (kejujuran adalah amalan yang paling baik). Tetapi kejujuran Thibaut Courtois mungkin akan membuatkan beliau akan ada masalah dengan penyokong Chelsea.

Dalam temuramah penjaga gol Chelsea dan Belgium itu bersama Sporza (akhbar sama yang mendedahkan pengakuan Wilmots yang membenarkan Nainggolan merokok), Cortouis dengan jujur memberitahu:

“Saya tidak akan menamatkan karier saya di Chelsea.”

Tak setia di Chelsea?

Ketika ditemuramah oleh wartawan Sporza, Courtois turut mendedahkan beliau tidak mempunyai kelab kegemaran sejak kecil.

“Saya tak mempunyai kelab kegemaran semasa kecil. Kalau di Sepanyol, saya banyak menonton perlawanan Madrid dan Barcelona. Di Jerman, saya tengok Bayern dan Dortmund.”

“Di England, saya tengok Arsenal, Manchester United dan Chelsea. Di Itali, Juventus dan Milan.”

“Saya tak gemar mana-mana kelab ini pun. Tapi saya tahu saya sentiasa mahu bermain di kelab-kelab besar seperti ini.”

Wartawan Sporza tersebut kemudiannya cuba merungkai cita-cita sebenar Courtois sama ada beliau masih menyimpan niat untuk bermain di kelab-kelab yang disebutnya. Courtois menjawab:

“Tak semestinya bermain di sana. Saya sudah pun berada di kelab yang bagus, Chelsea. Kita tengok sahajalah macam mana nanti.”

“Jadi anda akan kekal bermain di Chelsea sehingga penghujung karier anda?” soal wartawan Sporza lagi.

“Susah saya nak cakap. (Termenung seketika) Itu takkan berlaku. Saya tak rasa saya akan bersara di Chelsea,” balas Courtois jujur.

Impak Brexit

Courtois juga memberikan pandangan beliau berkenaan impak referendum Kesatuan Eropah (EU) yang menyaksikan kemenangan kem Brexit – sekaligus menyaksikan Britain akan meninggalkan EU.

Courtois khuatir perkara ini akan membawa kepada kurangnya minat pemain dari negara lain untuk bermain di Liga Perdana Inggeris.

“Pound telah jatuh nilai. Ia akan memberi impak yang besar kepada ekonomi semua pemain yang sudah bermain di England atau yang mahu bermain di England.”

“Terdapat juga peraturan bahawa anda perlu bermain 70-75% daripada perlawanan untuk pasukan kebangsaan untuk mendapatkan permit kerja di England.”

“Jika peraturan ini tidak diubah suai, Liga Perdana Inggeris akan berdepan dengan kesukaran.”

Pada musim lepas, Courtois mencatat 5 clean sheets bersama Chelsea untuk menamatkan musim sukar bagi Chelsea di 10 kedudukan liga teratas.

Beliau kini dalam persiapan rapi bersama Belgium untuk menghadapi pusingan peringkat 16 pasukan dalam Piala Eropah 2016 menentang Hungary.

Baca juga: Panduan Memilih Sarung Tangan Penjaga Gol

The post Courtois: Saya Takkan Tamatkan Karier Di Chelsea, Ia Takkan Berlaku appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

8 Perpindahan Pemain Yang Hampir Berlaku

1) Pele ke Real Madrid/Manchester United/Juventus (sekitar tahun 1960-an)

Pele mendedahkan Real Madrid adalah salah satu daripada 3 kelab gergasi Eropah yang pernah mencuba untuk menandatanganinya ketika zaman kegemilangannya sebagai pemain di Santos.

“Real Madrid mahukan saya. Manchester United dan Juventus juga sama.”

“Malah, presiden Juventus hampir melengkapkan perpindahan tersebut dengan bantuan kewangan daripada Fiat.”

Tetapi seperti kebanyakan pemain Brazil pada era 60-an, kebanyakannya tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan kelab kesayangan mereka.

“Saya ada terfikir juga untuk datang ke Eropah. Tapi saya lebih suka untuk kekal bersama satu-satunya pasukan dalam hati saya, Santos.”

2) Diego Maradona ke Sheffield United (1978)

Pada tahun 1978, pengurus Sheffield United, Herry Haslam berkesempatan melihat Diego Maradona dalam satu scouting trip ke Argentina. Maradona pada ketika itu baru berusia 17 tahun dan masih bermain di Argentinos Junior.

Haslam terus terpikat dengan aksi Maradona dan terus membuat perjanjian bernilai £200,000 (kini bernilai £740,000) untuk membawanya beraksi di Bramall Lane.

Bagaimanapun ahli-ahli lembaga pengarah Sheffield United menolak pembelian impian Haslam kerana mereka tak mahu membayar kos-kos tambahan daripada yuran perpindahan £200,000 tersebut.

Haslam terpaksa berpuas hati dengan pilihan alternatif, Alex Sabella yang dibawa ke Bramall Lane dengan harga £160,000.

Walaupun Sabella menyerlah di Sheffield United, beliau masih tak mampu menghalang kelabnya daripada tersingkir ke Divisyen 3 England. Sabella kemudiannya dijual kepada Leeds United dengan harga £400,000.

3) Robert Lewandowski ke Blackburn Rovers/West Brom (2010)

Ketika banyak peninjau bakat mengatakan Robert Lewandowski terlalu kurus untuk menjadi penyerang di England, West Brom adalah antara kelab terawal yang berani mengambil risiko untuk menandatangani penyerang Poland ini.

Pengurus West Brom ketika itu, Tony Mowbray mahu meminjam Lewandowski terlebih dahulu (dengan klausa perpindahan £600,000 jika West Brom berminat untuk membelinya).

Tetapi Lewandowski menolak tawaran tersebut kerana mahukan semusim lagi memperkembangkan permainannya di Poland.

Pada tahun 2010 ketika beliau dilantik menjadi pengurus Celtic, Mowbray mencuba sekali lagi untuk menandatangani Lewandowski. Kali ini harganya telah naik menjadi £4 juta.

Harga tersebut dianggap terlalu mahal buat Celtic dan Mowbray terpaksa melupakan Lewandowski. Blackburn kemudiannya datang membida dengan harga £4.2 juta.

Proses pembelian Blackburn berjalan lancar. Malah Lewandowski telah dijadualkan untuk datang sendiri ke Ewood Park untuk menandatangani kontrak.

Bagaimanapun penerbangan Lewandowski dibatalkan kerana situasi abu gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland yang menyebabkan semua penerbangan keluar dan masuk di England dibatalkan.

Pada ketika inilah Borussia Dortmund datang ‘mengacau’ dan membuat bidaan. Bidaan £4.5 juta Dortmund diterima dan Lewandoski menjadi milik mereka.

4) Zinedine Zidane ke Blackburn Rovers (1995)

Biarpun baru sahaja bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim 1994/95, Blackburn giat berusaha menguatkan pasukan untuk musim 1995/1996.

Penolong pengurus, Ray Harford dan staf jurulatih, Derek Fazackerley mencadangkan Zinedine Zidane – pemain muda Bordeaux yang berusia 23 tahun – kepada pengurus, Kenny Dalglish.

Mereka turut mencadangkan Christophe Dugarry untuk dibawa sekali ke Ewood Park.

Dalglish kemudiannya mendesak pengerusi kelab, Jack Walker untuk membeli Zidane. Bagaimanapun Walker menyanggah cadangan Dalglish dan berkata:

“Mengapa kamu mahu menandatangani Zidane apabila kita mempunyai Tim Sherwood?”

5) Cristiano Ronaldo ke Arsenal (2003)

Menurut Arsene Wenger, Cristiano Ronaldo pernah dijemput berlatih bersama pasukan utama The Gunners untuk memujuknya menyertai Arsenal.

Malah Wenger memberitahu pada 2008, Ronaldo telah pun diberi jersi nombor 9.

Bagaimanapun perpindahan itu tidak menjadi realiti kerana Arsenal tidak bersetuju dengan harga yang diletakkan oleh Sporting Lisbon untuk servis pemain sayap yang pada ketika itu baru berusia 18 tahun.

Pada tahun 2013 dalam satu temu bual dengan ITV4, Wenger menjelaskan bagaimana pemain Portugis itu terlepas dari genggamannya.

“Manchester United telah melantik Carlos Queiroz sebagai penolong pengurus kepada Alex Ferguson.”

“Kehadiran Carlos Queiroz di United banyak mempengaruhi keputusan Ronaldo untuk berpindah ke Manchester United.”

6) Zlatan Ibrahimovic ke Arsenal (1997)

ibra-kanaa-sax-ah_800x1200

Sebagai seorang pemain yang baru berusia 17 tahun di sebuah kelab (Malmö FF) yang sering bergelut di zon penyingkiran liga Sweden, sudah pastilah Zlatan Ibrahimovic sangat gembira apabila dipikat oleh Arsenal.

Pada usia 16 tahun, Zlatan Ibrahimovic sudah melawat kemudahan latihan Arsenal, berlatih dengan pasukan utama dan diberi baju dengan cetakan namanya belakang.

Semuanya nampak lancar sehinggalah Arsene Wenger membuat satu kesilapan – Wenger mahu Ibrahimovic melalui proses ujibakat.

Personaliti Ibrahimovic terserlah apabila beliau menolak tawaran ujibakat tersebut dan berkata:

“Zlatan tidak melakukan uji bakat.”

“Beliau (Wenger) sebenarnya tidak pernah membuat tawaran yang baik. Ia adalah lebih kepada: saya mahu melihat bagaimana bagusnya anda, apa jenis permainan anda. Jalani ujibakat.”

“Jika anda tak mengenali saya, ia bermakna anda tak benar-benar mahukan saya.”

Wenger bagaimanapun mempertahankan keputusannya menyuruh Ibrahimovic menjalani ujibakat terlebih dahulu dalam satu temu ramah dengan Daily Mail pada tahun 2012.

“Saya tidak mengenali dia. Anda tidak boleh mendaftar pemain yang anda tidak pernah lihat kerana ia hanya menunjukkan anda tidak serius.”

“Dia berumur 16 tahun. Saya meminta beliau untuk menyertai sesi latihan sedikit dengan pasukan utama dan dia sudah pandai berkata ‘tidak’.”

“Adakah saya menyesal? Tidak. Saya akan terus berbuat demikian. Melainkan jika staf saya telah melihat pemain dan berkata: Lihat! dia benar-benar bagus 100 peratus.”

7) Paul Gascoigne ke Manchester United (1988)

Sir Alex Ferguson pernah memberitahu penyesalan terbesar beliau ialah tidak menandatangani Paul ‘Gazza’ Gascoigne – pemain muda sensasi Newcastle United yang baru berumur 21 tahun – pada tahun 1988.

Selepas dimahkotakan dengan Anugerah Pemain Terbaik PFA untuk musim 1987/88, Gazza terus mendapat perhatian Tottenham Hotspur dan Manchester United yang berminat untuk membelinya.

Manchester United tewas kepada Spurs dalam perebutan membeli Gazza, apabila Spurs membeli sebuah banglo untuk ibu bapa Gazza.

Ferguson memberitahu Daily Mail:

“Saya bersembang dengan dia (Paul Gascoigne) pada malam sebelum saya pergi bercuti. Dia berkata: pergilah dan nikmati cuti anda Mr Ferguson, saya akan menandatangani kontrak dengan Manchester United.”

“Lalu saya pergi bercuti tetapi Martin Edwards (ketika itu pengerusi United) menelefon dan berkata: saya ada berita buruk. Dia menandatangani kontrak dengan Tottenham.”

8) Eric Cantona ke Sheffield Wednesday (1992)

Pada usia 25 tahun, Eric Cantona pernah mengumumkan persaraannya sebagai tanda protes terhadap penggantungan 2 bulannya.

Cantona digantung selepas membaling bola kepada pengadil semasa bermain di Nimes dan memanggil semua ahli-ahli jawatankuasa disiplin Persatuan Bola Sepak Perancis sebagai ‘bodoh’.

Pengurus pasukan kebangsaan Perancis ketika itu, Michel Platini kemudiannya memujuk Cantona untuk kembali dari persaraan.

Malah Platini dilaporkan telah memujuk bos Sheffield Wednesday, Trevor Francis untuk memberi peluang trial kepada Cantona.

Cuaca buruk pada musim sejuk bermakna Francis hanya dapat menguji Cantona di atas padang astroturf. Francis kemudiannya meminta Cantona untuk kekal seminggu lagi untuk mengujinya di padang rumput asli. Cantona mengamuk dan terus meninggalkan Sheffield Wednesday.

Cantona kemudiannya disambar oleh Leeds United, yang mengambil risiko menandatangani Cantona tanpa trial. Di Leeds, Cantona diangkat sebagai ikon kelab sebelum menjadi lagenda di Manchester United.

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Eddie Izaddi. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke semuanyabola@gmail.com.

Baca juga: 8 Bapa Yang Menamakan Anak Mereka Sempena Pemain/Kelab Bola Sepak Kegemaran

The post 8 Perpindahan Pemain Yang Hampir Berlaku appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

5 Perkara Menarik Yang Berlaku Di Liga Korea Selatan Pada Musim 2015

Memandangkan tiada bahan bacaan berbahasa Malaysia tentang liga teratas Korea Selatan, K-League Classic, kami mendapatkan bantuan daripada rakan kami, Steven Price untuk memberikan maklumat tentang liga Korea Selatan.

Steven Price merupakan pengasas KLeagueFootball.com, laman web yang membekalkan berita bola sepak Korea Selatan dalam bahasa Inggeris.

Jika anda mahu mengetahui serba-sedikit tentang apa yang berlaku di liga bola sepak Korea Selatan sepanjang tahun 2015, ini adalah artikel untuk anda.

Selepas membaca anda juga akan sedar, liga bola sepak Korea Selatan tidaklah jauh bezanya dengan liga bola sepak di Malaysia.

1. Jeonbuk Hyundai Motors bukti bajet gaji besar adalah resepi juara

(Sumber: Michael Dodge / Getty Images)
(Sumber: Michael Dodge / Getty Images)

Pada musim lepas, Jeonbuk Hyundai Motors muncul juara K-League Classic – liga yang dianggotai oleh 12 pasukan seperti Liga Super – buat kali kedua berturut-turut.

Jeonbuk Hyundai Motors meninggalkan pencabar terdekat, Suwon Samsung Bluewings dengan jarak 6 mata.

Kunci utama kemenangan mereka pada musim lepas adalah gabungan dua faktor – prestasi konsisten pada awal musim dan bajet gaji yang besar.

Pada musim lepas, Jeonbuk menghabiskan USD12 juta (RM52 juta) untuk gaji pemain sahaja. Penerima gaji terbesar mereka adalah pemain tengah Brazil, Leonardo dan penyerang veteran, Lee Dong-Gook (bekas penyerang Middlesbrough) yang masing-masing menerima gaji tahunan USD1.1 juta (RM4.7 juta).

Pada usia 36 tahun, Lee Dong-Gook masih mampu menyumbat 13 gol untuk muncul penjaring gol keempat terbanyak dalam liga.

2. Suwon Samsung Bluewings makin lemah

suwon
(Sumber: www.bluewings.kr)

Pesaing terdekat juara liga, Suwon Samsung Bluewings pula hanya mampu membelanjakan USD8.7 juta (RM37.5 juta) untuk gaji pemain pada musim lepas.

Jarak perbezaan bajet gaji Suwon dengan Jeonbuk kelihatan akan menjadi lebih besar pada musim 2016 akan datang.

Apatah lagi bila Jeonbuk mengumumkan Kim Bo-Kyung (bekas pemain tengah Cardiff City) bakal menyertai mereka nanti.

Suwon pula baru saja menjual penjaga gol mereka yang bergaji mahal, Jong Sung-Ryung yang akan menyertai pasukan J1 League, Kawasaki Frontale.

Ini ditambah pula dengan pemergian penyerang Korea Utara, Jong Tae-Sae ke satu lagi pasukan J1 League, Shimizu S-Pulse pada pertengahan musim lepas. Ketiadaan Tae-Se menyebabkan cabaran menjuarai liga Suwon menjadi semakin sukar.

3. Ulsan Hyundai mempunyai bajet gaji ketiga tertinggi, tetapi masih teruk

2747836_40
(Sumber: news.kbs.co.kr)

Walaupun statistik membuktikan Semakin tinggi jumlah bajet gaji pemain. semakin baik kedudukan pasukan dalam liga, Ulsan Hyundai membuktikan sebaliknya.

Meskipun mempunyai bajet gaji ketiga tertinggi dalam liga, Ulsan hampir-hampir menduduki zon penyingkiran liga. Mujurlah prestasi pasukan Daejeon Citizen dan Busan I’Park lebih teruk daripada mereka.

4. Kim Shin-Wook selamatkan Ulsan, tapi masih diketepikan pasukan kebangsaan

(Sumber: www.uhfc.tv)
(Sumber: www.uhfc.tv)

Jika dilihat prestasi buruk Ulsan Hyundai pada musim lepas, mereka perlu berterima kasih kepada penyerang, Kim Shin-Wook yang menjaringkan 18 gol untuk mmuncul penjaring terbanyak liga pada musim lepas.

Perlu diingat, Kim Shin-Wook hanya baru belajar bermain sebagai penyerang pada 7 tahun lepas. Dengan ketinggian 1.96 meter, Shin-Wook biasa bermain sebagai pertahanan tengah sejak dari zaman remaja.

Pertukaran beliau daripasa seorang pertahanan tengah ke penyerang berbisa adalah sesuatu yang mengagumkan.

Bagaimanapun disebalik prestasi cemerlangnya dalam liga, Shin-Wook masih gagal menambat hati ketua jurulatih skuad kebangsaan, Uli Stielike yang lebih sukakan Hwang Ui-Jo (Seongnam FC) dan Lee Jeong-Hyup (Busan I’Park).

5. Masalah liga Korea Selatan: kekurangan penonton

(Sumber: modernseoul.org)
(Sumber: modernseoul.org)

Berbanding Chinese Super League dan J1 League yang semakin meningkat jumlah kedatangan penyokongnya ke stadium, K-League Classic pula menunjukkan penurunan.

Pasukan-pasukan besar seperti FC Seoul, Jeonbuk Motors, dan Suwon Bluewings masih menarik ramai penyokong untuk datang ke stadium mereka.

Rekod tertinggi kedatangan penyokong ke stadium pada musim lepas adalah 39,328 orang ketika perlawanan derby antara FC Seoul dan Suwon Bluewings yang berkesudahan seri 0-0.

Secara keseluruhannya, K-League Classic hanya mampu menarik purata 7,720 penonton saja ke stadium pada setiap perlawanan. Sebagai contoh, Jeonnam Dragons hanya mampu menarik 628 penonton ke stadium ketika mereka kalah 2-5 menentang Ulsan Hyundai.

Di Malaysia, rata-rata stadium pasukan utama Liga Super seperti Pahang, Selangor, Perak, Kelantan dan JDT mencatatkan purata lebih 10,000 penonton pada setiap perlawanan.

Penonton berkurangan, lebih banyak masalah

Dengan harga tiket yang murah (USD10 atau RM43) untuk seorang dewasa, dan pendapatan siaran langsung TV yang hanya membawa USD5 juta (RM21.5 juta) semusim, pasukan-pasukan di Korea Selatan berdepan dengan masalah sama seperti Malaysia.

Mereka terlalu bergantung kepada tajaan syarikat besar dan kerajaan negeri untuk beroperasi.

Di Korea Selatan, tajaan syarikat besar dan sumbangan kerajaan negeri membentuk hampir 80% daripada keseluruhan bajet menguruskan pasukan.

Kecuali Jeonbuk Motors yang stabil, pada ketika ini semakin banyak syarikat dan kerajaan negeri yang sudah memotong perbelanjaan pasukan bola sepak.

Sebab itulah semakin ramai pemain Korea Selatan sudah mula merantau ke liga Asia lain untuk mencari kontrak baru.

Jika perbelanjaan ini terus dipotong dan dipotong, liga-liga Asia yang lain akan menerima kebanjiran pemain-pemain bintang dari Korea Selatan.

Baca juga: Taktikal Piala Asia 2015: Korea Selatan

The post 5 Perkara Menarik Yang Berlaku Di Liga Korea Selatan Pada Musim 2015 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms: