Apa Yang Akan Terjadi Kepada Skuad Bola Sepak Belgium Jika Negara Mereka Berpecah?

Ya, anda tak tersalah baca – sudah ada cakap-cakap dari rakyat Belgium sendiri untuk berpecah.

Belgium adalah sebuah negara yang dibentuk hasil penyatuan dua wilayah yang berlainan bahasa – Flanders dan Wallonia.

Flanders adalah sebuah wilayah di Belgium yang menggunakan bahasa Belanda sebagai bahasa rasmi dan pertuturan seharian. Wallonia pula merupakan wilayah yang menggunakan bahasa Perancis.

flanders-wallonia-82

Cakap-cakap untuk berpecah ini bukan satu isu kedai kopi. Ketika ini Flanders dan Wallonia ibarat pasangan suami isteri yang hidup di bawah satu bumbung rumah yang dinamakan Belgium, tetapi sudah tidak bercakap antara satu sama lain.

Mereka jarang bergaduh di depan orang ramai tetapi di rumah, mereka sering bertelagah di rumah sendiri.

Pertelagahan antara dua wilayah Belgium ini begitu serius sehinggakan pemimpin wilayah Flanders mahukan perpecahan ini berlaku selewat-lewatnya pada 2025.

Latar belakang konflik Flanders vs Wallonia

Belgium sebenarnya merupakan sebuah ‘perkahwinan’ antara dua buah negara – Flanders dan Wallonia – yang didorong oleh sejarah dan penjajahan.

Seawal abad ke-13, wilayah Flanders dan Wallonia sebenarnya berada di bawah satu kawasan jajahan yang bernama Low Countries yang turut mengandungi lebih 20 wilayah kecil lain yang berlainan bahasa.

Hampir semua wilayah ini berada di bawah penguasaan Empayar Roman Suci yang bertapak di tengah Eropah (kawasan terletaknya Jerman dan Austria pada zaman moden).

Kemudian pada abad ke-14, seorang pembesar kerajaan Perancis, Duke of Burgundy, menguasai sebahagian besar Low Countries pula tanpa pengetahuan empayar Rom.

Pada 1477, Duke of Burgundy mati tanpa meninggalkan waris. Memandangkan beliau taat kepada kerajaan Perancis, Perancis mahu mewarisi penguasaan Low Countries. Empayar Roman Suci yang baru menyedari kehilangan wilayah mereka mahukan penguasaan Low Countries mereka dikembalikan semula.

Untuk mencapai keamanan, kerajaan Perancis dan Empayar Roman Suci bersetuju untuk membahagi-bahagikan wilayah Low Countries sesama mereka. Ini menyebabkan wilayah Flanders dan Wallonia berada di bawah penguasaan Empayar Roman Suci semula.

Belgium di bawah pemerintahan Sepanyol

Apabila Charles V, mengambil alih Empayar Roman Suci sebagai maharaja baru, beliau menyerahkan Low Countries kepada Sepanyol yang diperintah oleh anaknya, Phillip II (gambar bawah).

Sumber: Philip Mould, Historical Portraits Ltd, London, UK Spanish

Sumber: Philip Mould, Historical Portraits Ltd, London, UK
Spanish

Dalam pada masa yang sama, kelahiran mazhab Protestan di Eropah pada abad ke-15 menyebabkan bahagian utara Low Countries bertukar mazhab – dari Roman Katolik kepada Protestan. Bahagian selatan pula kekal dengan mazhab Roman Katolik.

Penat dijajah oleh Sepanyol, warga Low Countries yang bermazhab Protestan melancarkan gerakan kemerdekaan terhadap pemerintah Sepanyol yang bermazhab Katolik. Sepanyol cuba melawan kembali gerakan kemerdekaan ini tetapi akhirnya menyerah kalah pada 1648.

Pada 1648 inilah, Sepanyol memerdekakan wilayah utara Low Countries yang kini dikenali sebagai Belanda. Sepanyol hanya mengekalkan jajahan mereka di wilayah Low Countries di selatan (Flanders dan Wallonia).

Roman Katolik vs Protestan

Kemerdekaan Belanda menyebabkan orang Flanders dan Wallonia yang bermazhab Protestan berhijrah ke sana untuk mengamalkan mazhab mereka dengan tenang. Manakala orang Belanda yang bermazhab Katolik berhijrah ke Flanders dan Wallonia.

Pada abad ke-17 dan 18, Flanders dan Wallonia dan Belanda berada bertukar milik kepada Perancis hasil serangan Napoleon Bonaparte (gambar bawah) dalam siri-siri Perang Revolusi Perancis.

Pada 1815, apabila kekalahan Napoleon membentuk sempadan moden negara-negara Eropah, Low Countries (Flanders, Wallonia dan Belanda) disatukan di bawah satu pemerintahan yang bernama United Kingdom of Netherlands.

Penyatuan ini merupakan idea buruk. Ketika ini bahagian utara Low Countries (Belanda) sudah hampir semuanya bermazhab Protestan. Di selatan (Flanders dan Wallonia), hampir semuanya bermazhab Katolik.

Bahasa Belanda vs Bahasa Perancis

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila United Kingdom of Netherlands menjadikan bahasa Belanda sebagai bahasa rasmi. Pada ketika itu pula, sistem pendidikan awam Eropah sedang bertambah baik dan diseragamkan.

Jadi semua sekolah di United Kingdom of Netherlands mula mengajar dalam bahasa Belanda. Ini membuatkan penduduk yang berbahasa Perancis di Flanders dan Wallonia mengamuk.

Jika dulu konflik di Low Countries ini lebih berkisarkan perbezaan mazhab agama, kini ia berkisar kepada perbezaan bahasa pula.

Amukan penduduk yang berbahasa Perancis ini menyebabkan United Kingdom of Netherlands tiada pilihan lain selain memerdekakan Flanders dan Wallonia – lalu tertubuhnya Belgium pada 1830 seperti yang dikenali sehingga kini.

Wappers_belgian_revolution

Selepas merdeka, pemerintah Belgium mengharamkan bahasa Belanda dalam urusan rasmi negara mereka. Belgium hidup aman damai selama hampir 100 tahun. Tetapi wujud jurang kaya dan miskin yang sangat besar di kalangan rakyat mereka.

Golongan bangsawan dan bourgeois kaya di Belgium (rata-ratanya duduk di wilayah Wallonia) kebanyakannya menggunakan bahasa Perancis dalam pertuturan seharian dan rasmi.

Manakala golongan miskin (rata-ratanya duduk di wilayah Flanders) lebih banyak bercakap dalam bahasa Belanda.

Ini menyebabkan ibu negara Belgium, Brussels yang terletak di wilayah Flanders yang berbahasa Belanda, menjadi bandar yang berbahasa Perancis.

Flanders vs Wallonia

Untuk maju dalam kehidupan, banyak rakyat Belgium yang berbahasa Belanda terpaksa melupakan bahasa warisan mereka.

Di mahkamah, bahasa Belanda hanya dibenarkan pada tahun 1898 – 68 tahun selepas kemeredekaan Belgium. Di Universiti Gent yang terletak di wilayah Flanders yang berbahasa Belanda, bahasa Belanda hanya mula digunakan pada tahun 1930!

Jadi pada tahun 1962, orang-orang wilayah Flanders mula memberontak. Mereka mahu Brussels, ibu negara Belgium yang terletak di wilayah mereka menjadi bandar berbahasa Belanda semula.

Sudah pastilah permintaan mereka ditolak oleh orang-orang wilayah Wallonia yang berbahasa Perancis. Akhirnya sebuah kompromasi dibuat. Hasilnya Brussels menjadi bandar dua bahasa – Belanda dan Perancis.

Kemudian apabila bandar Antwerp – sebuah lagi bandar di wilayah Flanders yang berbahasa Belanda – mula maju dengan kemajuan pelabuhannya pada lewat 1980-an, orang-orang wilayah Wallonia pula mengamuk.

Orang-orang Flanders mengabaikan kemajuan ekonomi Wallonia, kata mereka.

Belgium di ambang perpecahan?

Ketika ini di Belgium, seperti yang kami kata, ‘perkahwinan’ wilayah Flanders dan Wallonia hanya menunggu masa ‘perceraian’ jika kedua-dua wilayah ini dibiarkan bergaduh demi kepentingan bangsa, bahasa dan kekayaan ekonomi.

Kedua-duanya berebut Brussels. Orang wilayah Flanders pula lebih bangga mengaku diri mereka rakyat Flanders, bukannya rakyat Belgium.

Jika wilayah Flanders dan Wallonia berpisah, skuad bola sepak Belgium akan terbahagi kepada dua kumpulan berikut (mengikut tempat kelahiran):

Pemain berbahasa Perancis (dilahirkan di Wallonia):

  • Eden Hazard
  • Axel Witsel
  • Kevin Mirallas
  • Nacer Chadli

Pemain berbahasa Belanda (dilahirkan di Flanders):

  • Romelu Lukaku
  • Kevin de Bruyne
  • Thibaut Courtois
  • Adnan Januzaj
  • Dries Mertens
  • Radja Nainggolan
  • Jan Vertonghen
  • Toby Alderweireld
  • Simon Mignolet
  • Thomas Vermaelen
  • Mousa Dembele
  • Divock Origi
  • Youri Tielemans

Manakala Vincent Kompany, Marouane Fellaini, Yannick Carrasco yang dilahirkan di Brussels, perlu mengambil keputusan sama ada mahu menyertai wilayah Flanders atau Wallonia. Begitu juga dengan Christian Benteke yang dilahirkan di Congo.

Ketika ini selain golongan muda Belgium yang berpandangan liberal, satu-satunya aspek yang menyatukan orang-orang wilayah Flanders dan Wallonia adalah sukan – contohnya bola sepak.

Apatah lagi selepas Belgium cemerlang berada di tangga ke-2 ranking dunia FIFA.

Baca juga: Puasa Ketika Piala Eropah 2016: Pendirian Pemain Muslim Perancis, Jerman, Belgium, Turki & Albania

The post Apa Yang Akan Terjadi Kepada Skuad Bola Sepak Belgium Jika Negara Mereka Berpecah? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA