Dmitiri Payet Keluar Dari West Ham Kerana Bosan Taktikal Bilic, Bukannya Homesick!

Payet mengkritik taktikal Bilic dalam kenyataan terbaru beliau kepada media.

Bak kata orang, apabila dah tak suka, ada-ada sahaja benda tak kena. Sedangkan sebelum ini Payet pernah memuji Bilic sebagai jurulatih yang membantu menghidupkan kembali karier beliau.

Bukan sahaja menghidupkan kembali malah, Payet menganggap Bilic orang yang telah membantu beliau berada di ‘puncak dunia’ dalam karier beliau.

Payet menandatangani kontrak lanjutan di West Ham dan memberitahu Bilic, dia tidak akan mencari pasukan lain untuk musim 2016/17 kerana mahu membalas kepercayaan penyokong dan kelab.

Beberapa bulan kemudian, Payet menyatakan dia mahu keluar dari West Ham kerana terlalu rindukan kampung halaman ataupun homesick yang teruk.

Ia adalah isu keluarga dan beliau harap kelab dan penyokong West Ham faham. Sebab itu beliau hanya mahukan Marseille.

Payet mulai disisihkan ke pasukan belia. Itupun dia hanya hadir beberapa sesi dan kemudian ponteng latihan. Payet memencilkan diri dari rakan-rakan beliau di West Ham.

Payet kali ini memberikan alasan berbeza. Beliau mahu keluar bukan kerana homesick tetapi kerana taktikal defensif West Ham United di bawah Bilic. Payet berkata:

“Saya tak ada semangat untuk bermain dengan pasukan yang lemah di EPL. Sistem permainan defensif tidak memberikan saya keseronokan untuk bermain.”

“Dengan 5-4-1 di hadapan kotak penalti, saya seperti hilang segala keseronokan di dunia, susah saya nak saya terangkan.”

“Anda nak kata saya buat hal. Saya bekerja keras dalam setiap perlawanan tetapi tidak menikmati apa-apa. Saya bosan.”

“Saya kerap berhubung dengan ramai orang di Marseille termasuk Rudi Garcia (pengurus) yang memiliki filosofi yang saya sangat tahu.”

“Saya perlu pergi segear. Jika saya menunggu 6 bulan lagi, saya akan rugi 6 bulan dalam hidup saya.”

“Ketika menang 1-0 ke atas Hull, lawan kami sebenarnya melakukan 4 cubaan terkena tiang gol.”

“Di bilik persalinan, mereka meraikan kemenangan 1-0 seperti ini. Menang penalti dan pemain terbaik perlawanan adalah tiang gol.”

“Jadi saya perlu tukar angin dan mengambil risiko untuk meluahkannya. Saya memberikan amaran kepada Slaven Bilic. Tetapi dia anggap saya bergurau.”

“Saya sudah nyatakan niat saya untuk keluar ketika Euro 2016, namun kelab telah menolak bidaan dari kelab lain dan saya hormati keputusan itu.”

“Namun saya sangat kecewa apabila kelab mengumumkan nilai saya ialah €100 juta ketika itu. Saya tidak layak semahal itu.”

“Pada Ogos, kelab (West Ham) diuruskan dengan teruk sekali. Jadi pada Januari saya nyatakan saya mahu berpindah ke Marseille bukan kelab lain.”

“Mereka jawab, tidak! Jelas mereka tidak mahu lepaskan saya. Saya pun cakap, saya tidak mahu bermain untuk West Ham lagi selepas ini.”

“Saya tidak perlu takut walaupun ramai yang marah. Saya dan keluarga saya hidup seperti biasa. Mereka melayan kami dengan baik seperti mana yang mereka lakukan sepanjang bertahun kami di sana.”

“Saya sangat berterima kasih kepada mereka untuk hal itu.”

Komen pedas Payet ini mendapat respon pedas daripada wartawan Sky Sports, Kaveh Solhekol yang banyak mengikuti isu Payet sebelum ini.

Solhekol berkata:

“Jangan kacau orang lain Payet, jaga hal sendiri. Dulu anda kata anda nak keluar sebab isu keluarga.”

Baca juga: Media Rasmi Chelsea Troll Manchester United, Ganti Conte Lancarkan Perang Saraf

 

The post Dmitiri Payet Keluar Dari West Ham Kerana Bosan Taktikal Bilic, Bukannya Homesick! appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Antonio Conte Tegur Analisis Taktikal Media Itali: Kami Main 3-3-4, Bukannya 3-5-2

Antonio Conte menegur media Itali supaya memperbetulkan analisis taktikal mereka dan berhenti mengkritik Thiago Motta selepas kemenangan 2-0 Itali ke atas Finland semalam.

Dalam perlawanan tersebut, Antonio Candreva dan Daniele De Rossi menemui sasaran untuk membantu Itali menang dalam perlawanan pemanas badan terakhir mereka sebelum kejohanan EURO 2016.

Bagaimanapun media Itali tak berpuas hati dengan persembahan Thiago Motta selama 60 minit semalam. Pemain tengah PSG itu kerap membuat keputusan yang salah dan menyebabkan Itali kehilangan penguasaan bola.

Beliau turut tak dibantu dengan hakikat Daniele De Rossi, pemain yang menggantikannya untuk baki 30 minit bermain lebih baik daripadanya dan menjaringkan 1 gol.

Melihat pemainnya dikritik media tanpa belas kasihan, Conte bangkit mempertahankan Motta:

“Saya dapat persembahan yang baik daripada Motta memandangkan dia baru saja pulih daripada kecederaan. Semakin banyak perlawanan yang kita tempuhi, tahap kecergasannya akan menjadi lebih baik.”

“Saya agak kecewa bila media cuba menjadikan Motta sebagai ‘kambing hitam’. Saya pernah menjadi pemain dan saya tahu betapa teruknya apa yang Motta lalui sekarang. Saya harap media akan lebih bertanggungjawab.”

Tegur analisis taktikal media

Conte turut menngambil masa untuk memperbetulkan analisis taktikal media terhadap pasukannya dengan menjelaskan keputusannya menggunakan ‘inverted wingers’ semasa menentang Finland semalam.

“Saya memang sengaja menggunakan Alessandro Florenzi di sayap kiri dan Federico Bernardeschi di sayap kanan. Ini membolehkan mereka berlari di sepanjang garisan tepi padang dan juga masuk ke dalam untuk membuat percubaan gol.”

“Saya juga berpuas hati dengan persembahan Antonio Candreva dan Stephan El Shaarawy.”

“Bila kita (skuad kebangsaan Itali) bermain dengan pemain sayap ofensif, anda tak boleh kata kami main 3-5-2. Ia adalah formasi 3-3-4 yang tulen. Malah seorang lagi pemain tengah kami akan naik menyerang.”

“Selain bermain dengan satu penyerang (formasi 3-4-3), kita juga boleh bermain dengan dua penyerang, dua pemain sayap ofensif dan seorang pemain tengah menyerang (formasi 3-3-4).”

Itali takkan bermain counter attack

Dengan formasi yang sangat ofensif seperti 3-4-3 dan 3-3-4, tak hairanlah Conte mahu Itali bermain dengan strategi pressing yang intensif dan tak mahu pasukannya bermain defensif untuk menunggu peluang counter attack.

“Saya langsung tak pernah latih pasukan saya menyerang dengan counter attack. Ia bukan konsep bola sepak yang saya minati.”

“Counter attack adalah strategi menyerap tekanan pasukan lawan sebelum melancarkan serangan balas dengan pantas. Kita ada pemain yang boleh melakukan counter attack seperti Ciro Immobile, Simone Zaza dan ramai lagi, tapi ia bukan falsafah saya.”

Menurut Conte, beliau mahu Itali menguasai bola dan melakukan pressing bila hilang bola. Ini termasuklah ketika Itali bakal menentang pasukan kuat seperti Belgium dalam kumpulan E nanti.

“Jangan ingat bila menentang Belgium nanti, kami akan bermain secara defensif dan melakukan counter attack.”

“Jika kami hilang penguasaan bola, kami akan agresif dan cuba memenanginya semula di kawasan pasukan lawan.”

“Saya lagi suka bila pasukan lawan terus berkampung di kawasan kubu mereka sendiri walaupun ketinggalan 0-1. Itu tandanya kami sedang melakukan sesuatu yang betul.”

Baca juga: Conte Bakal Uji 3-4-3 Menentang Sepanyol, Pertimbang Jadi Formasi Itali Dalam EURO 2016

The post Antonio Conte Tegur Analisis Taktikal Media Itali: Kami Main 3-3-4, Bukannya 3-5-2 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Bolasepak sebagai sukan bukannya politik

Baru-baru ini sebuah pasukan kelab dari Liga Malaysia (Liga-M) yang dahulunya dikenali sebagai Johor FC telah menempatkan nama Malaysia kembali gah di pentas Asia. Pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) yang dibarisi ramai pemain bintang tempatan telah menjuarai Piala AFC tahun 2015 dengan menewaskan FC Istiklol dari Tajikistan di tempat lawan. Sekalipun bernasib baik apabila mara ke perlawanan akhir selepas juara bertahan Qadsia SC (Al Qadsia) ditendang keluar akibat penggantungan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas campur tangan kerajaan Kuwait, ternyata tuah menyebelahi pasukan JDT apabila jaringan tunggal Leandro Velazquez pada minit ke-23 kekal hingga ke wisel penamat walaupun terdapat tiga gol yang dijaringkan Istiklol tidak dikira. Dengan kejayaan ini, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah melangkah setapak lagi berbanding tokoh-tokoh bolasepak Malaysia yang lain seperti Tan Sri Annuar Musa (Kelantan), Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Perak), dan Allahyarham Dato’ Paduka Ahmad Basri Akil (Kedah).

Sebelum pasukan JDT melakar kemenangan yang bersejarah ini, pasukan Selangor FA sudah pun mengecapi pencapaian yang agak membanggakan apabila muncul naib juara Kejohanan Kelab Asia pada 19 Disember 1967. Hapoel Tel Aviv FC adalah pasukan yang berjaya merangkul kejuaraan edisi pertama pertandingan tersebut yang kini dikenali sebagai Liga Juara-juara AFC dengan menewaskan pasukan Abdul Ghani Minhat dan rakan-rakan 2-1 di Bangkok, Thailand hasil jaringan Danny Bursuk dan Yaakov Rachminovich. Namun, agak malang pula bagi pasukan kebangsaan Malaysia, kekalahan demi kekalahan turut dirasai dalam dua pertemuan pada tahun 1973 dan 1974 menentang pasukan rejim Zionis yang kini sudah berada dalam Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA). Di sebalik polisi antarabangsa yang diketahui umum, pentadbiran Malaysia nampaknya seperti bersedia untuk mengetepikan masalah politik dan bersaing secara sihat. Samada perkara tersebut menimbulkan tanda tanya orang ramai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing untuk menilainya.

Selangor FA dalam Kejohanan Kelab Asia 1967

Berhubung permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebanyak tiga kali agar perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Dora, Hebron, Palestin pada 12 November 2015 dipindahkan ke lokasi yang neutral, perkara tersebut harus diteliti dengan sebaiknya. Kegusaran yang ditimbulkan mengenai isu keselamatan memang ada asasnya memandangkan ketegangan di Tebing Barat dilaporkan kian memuncak. Meminta pengesahan rasmi tentang jaminan keselamatan daripada pihak FIFA adalah tindakan yang bijak daripada FAM dan wajar dipuji. Walaupun begitu, FAM masih belum terlepas daripada tanggungjawabnya untuk memastikan segala persiapan menjelang perlawanan tersebut benar-benar tersedia dan mencukupi. Seluruh skuad yakni para pemain dan juga para pegawai perlu dibekalkan dengan maklumat terkini dari masa ke semasa supaya mereka sentiasa peka tentang keselamatan dan tidak lalai daripadanya. Perancangan yang rapi bukan sahaja untuk menghadapi perlawanan, tetapi juga untuk sebelum dan selepasnya.

FC Barcelona melawat Stadium Dora, Hebron pada 3 Ogos 2013
(gambar: Mahmoud illean)

Berita terbaru mengenai Arab Saudi menarik diri daripada perlawanan kelayakan menentang Palestin yang sepatutnya berlangsung pada hari Khamis (5 November 2015) selepas tertangguh tidak semestinya mempengaruhi Malaysia. Ini kerana Arab Saudi bakal berdepan hukuman, berkemungkinan besar Palestin diberi kemenangan percuma 3-0 manakala Arab Saudi didenda dengan jumlah yang besar malah boleh juga dibatalkan terus penyertaannya. Malaysia sudah pun menerima hukuman yang akan dijalankan selepas kejadian segelintir penyokong membuat kacau di Stadium Shah Alam tempoh hari (8 September 2015) dan sudah pasti tidak mampu lagi menerima sebarang hukuman tambahan. Dalam perlawanan Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu di tempat sendiri pada 17 November 2015 kelak bakal berlangsung secara tertutup dan tanpa penonton. Di samping itu, FAM akan didenda sebanyak 40,000 Swiss francs dan turut diberikan amaran. Arab Saudi mungkin sudah mengira bahawa 12 mata penuh yang terkumpul daripada empat perlawanan sudah memadai untuk mendahului Kumpulan A berbanding Emiriah Arab Bersatu di tempat kedua dengan 7 mata, 5 mata bagi Palestin, 4 mata bagi Malaysia, dan hanya 2 mata buat Timor Leste pada waktu ini.

Harimau Malaya pernah diiringi dengan kereta perisai di Jakarta

Keengganan Arab Saudi bermain di Tebing Barat yang diduduki rejim Zionis dipercayai atas sebab kebimbangan mereka tentang isu diplomatik yang turut dirasakan berhubung kait dengan isu keselamatan. Sekiranya Arab Saudi agak risau apabila bermain di Palestin nanti seolah-olah semacam mengiktiraf pendudukan rejim Zionis, bagi Palestin pula adalah sebaliknya. Palestin khuatir jika tiada lagi perlawanan bolasepak yang diadakan di Tebing Barat dan Genting Gaza, maka hilanglah peluang bagi rakyat Palestin khasnya dan peminat bolasepak seluruh dunia amnya untuk menikmati sukan bolasepak tanpa sekatan yang membebankan. Apabila semua orang merendah diri dan benar-benar ikhlas mengidamkan keamanan, apa jua bentuk penindasan mahupun perkauman mudah sahaja diketepikan. Hanya dengan keamanan yang dipupuk barulah manusia sejagat tidak lagi terancam nyawanya, manakala fikiran dan emosi juga menjadi tenteram.

Pada dasarnya, Malaysia tidak seharusnya cepat terpengaruh dengan apa yang berlaku di negara-negara lain. Menyedari bahawa Malaysia mempunyai keadaan serta situasi yang berbeza, pihak-pihak yang berwajib hendaklah berupaya membuat keputusan sendiri tanpa terikut-ikut secara membabi buta sebarang cara atau gaya yang kurang sesuai. Ambillah langkah berjaga-jaga dan sentiasa membuat pemantauan yang bersesuaian. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat. Oleh itu, sama-sama berdoa agar Allah melindungi kita semua. Semoga berjaya!

#TutupAurat #HarimauMalaya #MalaysiaBoleh

DUNIA BOLA SEPAK