Gary Neville Sokong Cadangan Untuk Melarang Pemecatan Pengurus Sebelum Musim Berakhir

Gary Neville sangat bersetuju sekiranya ada satu mekanisme diwujudkan untuk membela nasib pengurus daripada dipecat sebelum musim berakhir.

Jadi, ia akan lebih menjadikan pengurus lebih banyak peluang untuk membuktikan diri mereka seperti mana yang diberikan kepada pemain.

Sistem yang sedia ada, pemain hanya ditamatkan kontrak jika ada melanggar peraturan dan kesalahan yang besar oleh kelab.

Beliau juga percaya idea ini akan mendapat banyak sokongan daripada pelbagai pihak kecuali para pemilik kelab.

Neville memberikan pendapat beliau tentang hal ini selepas geram dengan pemecatan Aitor Karanka.

Aitor Karanka adalah pengurus yang ke-6 dipecat di dalam EPL musim ini. Dalam podcast Sky Sports, Neville berkata:

“Saya akan menyokong sepenuhnya idea melarang pengurus dipecat ketika musim berlangsung.”

“Apabila anda dalam rangka persiapan awal musim, anda berbincang dengan pengurus anda. Oleh itu mereka harus ada di sana menjadi pengurus untuk satu musim.”

“Ramai orang dalam bola sepak akan menyokong idea ini dari sudut profesional. Namun saya tak pasti akan ada pemilik kelab yang akan menyokong.”

“Pemain juga akan tahu mereka harus bekerja dengan pengurus mereka untuk satu musim.”

Neville memberikan pendapat tentang isu Ranieri yang dilaporkan hilang kawalan ke atas bilik persalinan beliau dan ada pemain yang memboikot beliau.

Walaupun Leicester menunjukkan peningkatan mendadak di bawah pengurus baru mereka, Neville berkata:

“Kerap kali kita melihat pasukan yang mengambil langkah seperti ini.”

“Saya harap mereka (Leicester) tidak akan berjaya. Sebab, jika mereka berjaya, ia akan memberikan orang lain inspirasi untuk melakukan perkara yang sama.”

Neville mengakui impak yang berlaku kepada Hull City dan juga Swansea selepas memecat pengurus mereka.

Namun beliau tetap berharap ia tidak akan terlalu menjadi kepada kedua-dua pasukan tersebut.

Sebagai rekod, Neville pernah dipecat ketika baki 8 perlawanan lagi musim liga berakhir. Neville dilantik sebagai pengurus pada pertengahan musim.

Baca juga: Sir Alex Ferguson Akan Kembali Menjadi Pengurus Manchester United?

The post Gary Neville Sokong Cadangan Untuk Melarang Pemecatan Pengurus Sebelum Musim Berakhir appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Cadangan Van Basten, Hapuskan Peraturan Offside Dan Banyak Lagi Perubahan

Pengarah Teknikal FIFA Marco Van Basten akan memberi gambaran bahawa kepimpinan baru FIFA sangat pro aktif untuk menjadikan bola sepak sebagai sukan yang lebih baik dengan beberapa cadangan.

Sebelum ini mereka mencadangkan agar penalty shoot out ditukar kepada format penalti 8 seconds run. Ini adalah antara cadangan Van Basten.

1. Hadkan jumlah perlawanan pemain

Kemudian, FIFA cuba merombak beberapa peraturan baru termasuk potensi untuk menghadkan seorang pemain hanya bermain 60 perlawanan atau kurang dalam setahun.

Ia untuk memberikan lebih peluang kepada pemain lain terutama sekali pemain muda. Van Basten berkata idea menghadkan jumlah perlawanan ini kerana rungutan beberapa pemain yang beliau temui.

Mereka mengeluh kerana terlalu banyak perlawanan dan tidak cergas.

Ia bercanggah dengan kenyataan Gary Lineker sebelum ini yang berkata, pemain bola sepak terutamanya pemain muda yang ghairah bermain bola sepak kalau boleh mahu bermain di dalam padang untuk sehari.

Van Basten berkata:

“Saya telah bercakap dengan banyak jurulatih dan pemain. Kita perlu mementingkan kualiti dan bukannya kuantiti.”

“Mereka berkata kepada saya, mereka bermain terlalu banyak bola sepak sekarang. Kami perlu untuk mendengar rintihan pemain yang terpaksa bermain begitu banyak perlawanan dan tidak cergas.”

“Itu tidak baik untuk kualiti permainan. Walaupun pada Jun biasanya ada kejohanan besar, anda tidak boleh menggunakan mereka melampau.”

“Ramai pemain bntang hari ini bermain sehingga  75 perlawanan setahun. Saya rasa ianya agak keterlaluan dan mungkin mereka harus berhenti bermain pada perlawanan ke-55 atau ke-60.”

Sebelum ini FIFA bercadang meningkatkan jumlah pasukan Piala Dunia kepada 48 pasukan pada 2026. Van Basten berkata, ia bukan halangan untuk melaksanankan prosedur ini.

Baca juga:Piala Dunia Dengan 48 Pasukan Akan Dilaksanakan Pada 2026!

“Salah satu caranya adalah dengan mengurangkan perlawanan persahabatan terutama sekali perlawanan jelajah (termasuk cuti pertengahan musim dan pra-musim) yang mewah dan bermotifkan keuntungan.

“Perlawanan seperti itu (jelajah) hanya bermotifkan wang. Sudah tiba masanya kita memikirkan bola sepak mengatasi soal wang.”

“Bagi beberapa kelab, ia bukannya mudah untuk menerima cadangan ini. Tetapi wang itu sebenarnya cukup jika pemain seperti Cristiano Ronaldo atau Messi tidak dibayar gaji terlalu tinggi.”

“Ia pasti lebih baik jika kualiti pemain lebih tinggi dan bayaran mereka lebih rendah.”

2. Mansuhkan offside

“Pemansuhan peraturan ofsaid akan menjadikan bola sepak lebih menarik secara visual.” Tambah Van Basten lagi.

“Saya rasa ia akan lebih menarik untuk menonton bola sepak tanpa ofsaid.”

“Bola sepak kini sudah seperti bola baling dengan sembilan atau sepuluh pertahanan bertahan di hadapan gol. Adalah sukar untuk menjaringkan gol. Ini kerana amat sukar untuk mencipta sesuatu dalam ruang yang kecil.”

“Jadi, jika bermain tanpa ofsaid, peluang pasukan yang menyerang mendapatkan gol adalah lebih tinggi.”

3. Cadangan kad Oren / sin bin

Cadangan Van Basten juga agar kad oren digunakan untuk menggantikan kad kuning kedua yang kadangkala dilayangkan atas kesalahan yang bukan mencederakan.

Pemain yang menerima kad kuning kedua akan diarahkan keluar padang. Namun dalam peraturan kad oren, pemain akan dihantar ke sin bin selama 10 minit untuk kesalahan yang tidak berat.

Itulah 3 daripada 8 cadangan Van Basten untuk memperbaiki prestij sukan bola sepak. 5 lagi cadangan lain adalah:

  • Mansuhkan masa tambahan 30 minit. Terus ke penentuan penalti
  • Pengadil menggunakan sistem hentikan masa dalam 10 minit terakhir perlawanan
  • Hanya kapten bersuara
  • Kenakan kuota foul untuk setiap pemain
  • Pemain di kanak-kanak dan liga veteran dicadangkan hanya bermain 8 sebelah bukannya 11 sebelah

Pandangan kami, agak kelakar apabila Van Basten bercerita soal duit bukan keutamaan. Sedangkan baru-baru ini FIFA umumkan Piala Dunia dengan format 48 pasukan.

Mereka menjual hak penyiaran dan menjangkakan keuntungan kutipan keseluruhan (termasuk matchday revenue) meningkat $ 1 billion hanya untuk perlawanan peringkat kumpulan sahaja.

Beliau membidas isu terlalu banyak perlawanan sedangkan FIFA mahukan lebih banyak perlawanan dalam kalendar antarabangsa terutama sekali Piala Dunia.

Apa pandangan anda? Adakah anda bersetuju dengan cadangan Van Basten.

Baca juga: FIFA Cadang Laksana Sepakan Penalti Ala Major League Soccer Era 1990-an

The post Cadangan Van Basten, Hapuskan Peraturan Offside Dan Banyak Lagi Perubahan appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Anugerah Faiz Subri, Cadangan Yang Hanya Impian

Kami sekali lagi merakamkan jutaan tahniah kepada Faiz Subri di atas kejayaan beliau merangkul Anugerah Puskas 2016.

Selepas memenangi Anugerah Puskas 2016, kami terus terfikir akan idea untuk menamakan Anugerah Faiz Subri dalam Anugerah bola sepak kebangsaan.

Ia adalah simbolik kepada kejayaan orang Malaysia dan juga orang Asia pertama yang memenangi Anugerah Puskas ini. Alangkah bagus kalau ada simbolik ini dibawa dan dijenamakan di dalam anugerah bola sepak di negara kita.

Ini bukanlah kenyataan untuk terlalu menjulang Faiz Subri. Sebaliknya ia lebih kepada penjenamaan sesuatu kepada satu peristiwa penting.

Kami berbincang dengan wakil PFAM tentang potensi anugerah ini. Untuk pengetahuan semua, PFAM adalah badan yang bertanngungjawab untuk Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Malaysia.

Anugerah jaringan tercantik bulanan mahupun tahunan adalah tidak wujud buat masa ini. Jadi kami terus mencadangkan agar ia diwujudkan.

Mereka menjelaskan, halangan terbesar adalah kesamarataan dan keadilan berdasarkan prinsip fair-play. Adakah adil untuk hanya pemain yang ada siaran langsung sahaja yang akan dicalonkan dalam anugerah ini?

Bagaimana dengan perlawanan yang tidak ada siaran langsung? Bagaimana dengan liga lain seperti Liga Premier dan Liga FAM?

Kami cuba mencadangkan idea, kita hanya menerima pencalonan yang dihantar sama ada ia footage dari siaran langsung ataupun rakaman daripada kamera amatur dalam perlawanan.

Isu lain akan muncul adalah hak penyiaran. Badan yang memenangi hak penyiaran sudah pasti tidak membenarkan rakaman dari footage lain berbentuk video perlawanan.

Isu ini mungkin hanya dapat direalisasikan jika setiap perlawanan ada rakaman penuh ataupun highlight, sama ada siaran langsung ataupun tidak.

Maksudnya di sini, badan yang mendapat hak penyiaran menyediakan laporan perlawanan yang tidak disiarkan secara langsung di arkib laporan perlawanan mereka.

Jadi, buat masa ini Anugerah Faiz Subri hanyalah impian semua namun realitinya masih terlalu banyak halangan.

Selamat kembali ke tanah air Faiz Subri!

Baca juga: Demi Selamatkan Bola Sepak Selangor, Jamal Yunos Tawar Diri Jadi Presiden FAS

The post Anugerah Faiz Subri, Cadangan Yang Hanya Impian appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

11 Cadangan Pembaikan Stadium Paling Dimahukan Oleh Penyokong Tempatan

Baru-baru ini, kami telah melakukan bancian kepada 15,000 followers kami di Twitter mengenai cadangan untuk menggalakkan penyokong datang ke stadium.

Berikut adalah 12 cadangan penambahbaikan yang penyokong mahukan di stadium.

1. Kemudahan WiFi percuma dalam stadium

(Sumber: Cameron Spencer/Getty Images)
(Sumber: Cameron Spencer/Getty Images)

Internet kini bukanlah satu kemewahan, sebaliknya ia sudah menjadi keperluan.

Kami pernah menerbitkan artikel luahan hati jurugambar sukan yang sering menghadapi kesukaran melakukan kerja apabila pihak perbadanan stadium tidak menyediakan kemudahan WiFi kepada mereka.

Baca: Luahan Hati Jurugambar Sukan Tentang Realiti Kemudahan Internet Stadium Di Malaysia

Bukan saja jurugambar sukan dan kakitangan media, malah penyokong yang datang ke stadium juga mahukan kemudahan WiFi.

Penyokong bukan sahaja boleh mempromosikan kemeriahan atmosfera stadium kepada rakan-rakan mereka yang tak pergi stadium, malah mereka juga boleh mengetahui keputusan semasa di stadium-stadium lain.

Di Amerika Syarikat, pasukan-pasukan NFL giat mempersiapkan stadium mereka dengan kemudahan WiFi dan membangunkan app mereka sendiri.

Melalui app dan kemudahan WiFi ini, peminat NFL yang datang ke stadium dapat melihat siaran ulangan, statistik semasa dan membuat tempahan makanan dan minuman.

Pasukan NFL pula dapat membuat promosi merchandise dan meningkatkan jualan makanan dan minuman dalam stadium, selain dapat menyimpan database penyokong mereka.

Kami tak menjangkakan kemudahan ini bakal diberi kepada penyokong dalam masa terdekat, tetapi sememangnya boleh dilakukan pada masa akan datang.

2. Naik taraf surau, tempat ambil wuduk dan tandas, kemudahan OKU

Sebagai sebuah negara yang bermajoritikan penganut agama Islam, agak menghairankan apabila kemudahan seperti surau dan tempat wuduk di sesetengah stadium masih lagi tak diperbesarkan dan diperbaiki.

Ini menyebabkan penyokong terpaksa mengambil wuduk di tandas yang memualkan dan bersolat di laluan pejalan kaki dan atas padang.

(Sumber: utra-alkahfi.blogspot.com)
(Sumber: utra-alkahfi.blogspot.com)

Pihak perbadanan stadium juga perlu membina lebih banyak ramp untuk memberikan peluang kepada penyokong OKU untuk turut memeriahkan stadium.

Tetapi sebelum kemudahan stadium kita dinaik taraf, penting sebenarnya untuk kita sebagai penyokong turut ‘menaik taraf’ mentaliti kita ketika menggunakan kemudahan awam.

Janganlah buang lampin bayi di lubang tandas, tidur di surau dan buang air kecil di tempat mengambil wuduk.

3. Tempat duduk yang bernombor

(Sumber: blogs.mprnews.org)
(Sumber: blogs.mprnews.org)

Sudah berapa kali anda beli tiket, hanya untuk berdiri sebelum sepak mula perlawanan hingga tiupan wisel penamat kerana tempat duduk sudah penuh?

Berapa ramai pula yang terpaksa masuk ke stadium seawal jam 4 petang (jika perlawanan bermula pada 8.45 malam) hanya untuk mendapat tempat duduk?

Bagaimana 85,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil boleh penuh jika tiket yang terjual baru mencecah 80,000 keping?

Perkara ini merupakan perkara asas dalam hal ehwal pengurusan stadium. Tempat duduk bernombor memelihara hak penyokong yang membayar untuk membeli tiket, dan mencerminkan kecekapan dan ketelusan pihak pengurusan stadium.

4. Jualan pas bermusim, tiket secara online 

Ini adalah sesuatu yang perlu diusahakan oleh semua pasukan.

Jualan tiket secara online bukan sahaja memudahkan penyokong yang mementingkan convenience (kesenangan), malah memudahkan pasukan untuk mengumpul database penyokong mereka.

Ketika ini, tiketbola.com.my adalah satu-satunya penyedia platform pembelian tiket perlawanan secara online.

Bagaimanapun servis mereka masih terhad kepada tiket perlawanan untuk pasukan Kedah, Perak dan Terengganu saja.

5. Kemudahan parking kenderaan yang lebih baik

Ada sesetengah penyokong, terutamanya yang menggunakan kereta dan membawa keluarga, mengelak dari pergi ke stadium kerana kesukaran mencari tempat parking yang baik.

Ketiadaan sistem sekuriti di tempat parking juga mendedahkan risiko kenderaan mereka mudah dipecah masuk.

6. Akses sistem pengangkutan awam ke stadium

Jika anda pernah menaiki kereta dan bas untuk menghadiri perlawanan besar di Stadium Shah Alam, anda pasti tahu betapa ‘ngerinya’ pengalaman balik dari stadium tersebut.

Ketiadaan akses sistem pengangkutan awam yang cekap ke Stadium Shah Alam sering menyebabkan kesesakan teruk di kawasan sekitarnya.

Kami sendiri pernah terperangkap selama 2 jam dalam kesesakan tersebut selepas perlawanan final Piala Malaysia 2015 yang lepas.

Alangkah bagusnya jika semua stadium di Malaysia mempunyai akses pengangkutan awam seperti Stadium Nasional Bukit Jalil.

(Sumber: ibn75.wordpress.com)
(Sumber: ibn75.wordpress.com)

7. Kaunter, tempat duduk dan pintu khas untuk golongan wanita

Pertama kali kami mendengar cadangan ini diutarakan adalah, ketika proses menaik taraf Stadium Muhammad Ke-IV baru dilancarkan. Bagi kami, ia adalah cadangan yang sangat baik dan amat dialu-alukan.

Ia juga bertepatan dengan imej Kota Bharu yang diberi jolokan Bandaraya Islam.

Jika sebelum ini penyokong wanita agak keberatan untuk turun ke stadium tanpa ditemani penyokong lelaki yang muhrim, langkah ini dapat menarik kedatangan mereka, walaupun jumlah mereka masih tak banyak.

8. Haramkan terus aktiviti merokok dan vapers

Terdapat sesetengah stadium yang sudah memulakan langkah pengharaman aktiviti merokok dan vaping. Dan stadium-stadium lain juga perlu menguatkuasakan perkara sama.

Langkah ini mampu memelihara kesucian paru-paru penyokong wanita, kanak-kanak dan lelaki yang tidak merokok.

9. Lagu gol

Ini adalah cadangan menarik yang kami terima. Goal tunes atau lagu gol.

Bagi anda yang tidak tahu, Goal tunes adalah lagu latar belakang yang akan dimainkan apabila pasukan tuan rumah menjaringkan gol. Ia adalah amalan biasa di liga Jerman, Belanda dan sesetengah kelab Sepanyol dan England.

Untuk melaksanakan idea ini, pihak pengurusan pasukan perlu berbincang dahulu dengan wakil kumpulan penyokong untuk memilih goal tunes mereka.

10. Ada skrin paparan untuk replays

(Sumber: Johor Southern Tigers)
(Sumber: Johor Southern Tigers)

Antara perkara lain yang dicadangkan oleh penyokong adalah penyediaan skrin LCD besar untuk mereka melihat ulang tayang aksi menarik dan gol yang dijaringkan.

Setahu kami, hanya Stadium Haji Hassan Yunos, dan Stadium Shah Alam sahaja yang mempunyai kemudahan ini.

11. Pasang CCTV di seluruh stadium

Selain keselesaan, faktor keselamatan juga perlu dipertingkatkan.

Antara saranan yang baik adalah meletakkan lebih ramai polis bantuan, marshall stadium semasa perlawanan dan meletakkan lebih banyak kamera litar tertutup di dalam dan luar stadium.

Jika berlaku sebarang kekecohan atau keganasan, rakaman dari kamera CCTV boleh dijadikan bukti untuk menghukum pesalah.

Lebih kukuh jaminan keselamatan dalam stadium, bermakna lebih ramai orang – terutamanya keluarga – yang akan berkunjung ke stadium.

Baca juga: 11 Pemandangan Yang Anda Dapat Jika Membeli Tiket Termurah Di 11 Stadium

The post 11 Cadangan Pembaikan Stadium Paling Dimahukan Oleh Penyokong Tempatan appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms: