Jamie Redknapp Dedah Diajak Masuk Kristian Setiap Hari Oleh Emmanuel Eboue

 

Ramai pemain yang cukup beriman dengan agama mereka dalam dunia bola sepak.

Seperti contoh adik-beradik Toure serta pemain Sheffield Wednesday, Jeremy Helan mengambil langkah drastik untuk bersara dari bola sepak pada usia muda untuk fokus pada agama.

Kisah kali ini merupakan kisah menarik mengenai Emmanuel Eboue dan seorang bekas bintang Liverpool.

Diajak masuk Kristian

Berita ini mungkin berita yang paling pelik tetapi benar untuk didengar minggu ini kerana Jamie Redknapp (gambar bawah) mendedahkan Eboue telah mengajak beliau menyertai agama Kristian.

jamie-redknapp-sky

Perkara itu didedahkan oleh Redknapp dalam satu rancangan yang diberi nama A League of Their Own.

Dalam rancangan itu beliau ditanya bagaimana semua perkara ini boleh berlaku?

Redknapp kemudiannya menjawab, “Semuanya berlaku selepas kami bertukar nombor telefon.”

“Kami bertukar nombor telefon sejak kami bertemu di padang latihan. Ketika itu kami sedang menghantar anak-anak kami ke latihan bola sepak.”

Sejak mereka bertukar nombor, Redknapp berkata beliau kerap mendapat mesej-mesej berunsurkan ketuhanan dari Eboue.

“Beliau selalu menghantar kepada saya mesej yang mengandungi mutiara kata dari agama Kristian.”

“Kekerapan itu adalah beliau hantar benda itu kepada saya setiap hari!”

“Kenapa saya?”

Dalam rancangan itu juga pengacara James Corden telah mendesak Redknapp untuk membaca secara terbuka mesej yang diberikan oleh Eboue.

eboue

“Mutiara kata hari ini adalah berbunyi, adakah anda rasa anda sudah gagal?”

“Dengan Tuhan, ia belum terlambat untuk kita lakukan permulaan yang baharu.”

Sejurus selepas membacakan mesej itu, Redknapp secara spontan mempersoalkan “kenapa saya yang dia pilih?

Eboue memang terkenal dengan personaliti sebagai seorang pemain yang cukup beriman dengan agamanya iaitu Krisitan.

Bagi kami ia bukanlah satu tindakan yang salah untuk Eboue mengajak Redknapp menyertai agama Kristian.

Cuma mungkin pada pengamatan Redknapp, beliau tidak selesa dengan cara Eboue yang menghantar mesej-mesej mutiara kata itu kepadanya setiap hari.

Dalam masa yang sama, Redknapp juga mahu fokus dengan pegangan agama yang beliau anuti.

Jamie Redknapp merupakan anak kepada pengurus Harry Redknapp. Beliau pernah beraksi untuk Liverpool pada era pertengahan 90-an.

Baca juga: Tidur Depan Stadium, Gelandangan Ini Dapat Kerja Dengan Real Sociedad

The post Jamie Redknapp Dedah Diajak Masuk Kristian Setiap Hari Oleh Emmanuel Eboue appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Cicinho Dedah Punca Kejatuhan Kariernya, Bidas Sikap Pemain Brazil Suka Selfie

Masihkah anda ingat dengan nama Cicinho?

Bek kanan yang bermentalitikan menyerang ini merupakan pemain kelahiran Brazil yang menjadi perhatian seluruh dunia ketika beliau disunting oleh gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Perpindahan mega ini hadir selepas aksi cemerlangnya dalam Kejohanan Juara-Juara Kelab Dunia 2005 bersama Sao Paulo di Tokyo.

Beliau membantu Sao Paolo menewaskan Liverpool dalam perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Aksi cemerlang beliau telah membuatkan beliau diberikan gelaran Cafu baru. Ada juga melabelkan beliau sebagai Roberto Carlos versi berkaki kanan.

Ketika di awal kariernya, Cicinho kerap dilabel sebagai full back dan wing back yang paling lengkap dan mengujakan di atas padang.

Dalam erti kata lain, pada ketika itu Cicinho menepati stereotaip full back dan wing back Brazil; mahir menggelecek dan laju seperti pemain sayap tetapi kental bertahan untuk bermain sebagai pertahanan.

Apa yang dilakukan beliau sangat semulajadi. Pemain yang kreatif dan mampu menjaringkan gol.

Namun, sayangnya, beliau cuma tampil dalam 32 perlawanan untuk Los Blancos sebelum dijual ke AS Roma pada 2007 selepas membantu Real Madrid menjuarai La Liga musim 2006/07.

Ketika itulah kariernya mula merudum.

Karier Merudum Selepas AS Roma

Semasa di AS Roma, Cicinho masih sempat menikmati bibit-bibit terakhir kegemilangan kariernya.

Tetapi apabila AS Roma mula memikirkan cara untuk ‘membuang’ anda ketika kontrak masih belum habis, karier anda sebenarnya sedang mengalami penurunan.

Inilah yang berlaku kepada Cicinho.

Selepas hanya semusim di Roma, beliau tiba-tiba menjadi bek kanan pilihan ke-3, di belakang Marco Casetti dan Marco Motta pada musim kedua.

Tak tahan duduk di bangku simpanan, Cicinho mendesak pengurus Roma pada ketika itu, Claudio Ranieri untuk mencarikannya kelab lain yang mahukan servisnya.

Kelab lamanya, Sao Paolo datang memanggil pada jendela perpindahan musim sejuk 2009/2010. Tetapi beliau tetap jarang bermain.

Sekembalinya dari Sao Paolo, Cicinho dipinjamkan ke Villareal pula. Di sana pun, beliau jarang bermain.

Kontrak beliau di Roma akhirnya tamat dan Cicinho kembali ke Brazil untuk menyertai kelab Brazil kecil, Sport Recife. Hanya di kelab kecil ini, barulah Cicinho selalu mendapat aksi kesebelasan utama.

Penghijrahan beliau dari Sport Recife ke kelab Turki, Sivasspor hanya menguatkan dakwaan peminat bola sepak yang karier beliau sedang merosot.

Persoalannya bagaimana karier beliau boleh merosot teruk selepas hanya 2 musim di Eropah?

Cicinho: Saya bertarung dengan ketagihan alkohol

Kini dalam usia 36 tahun, beliau sedang bertarung dengan masalah alkoholik yang kronik.

Dalam temu ramahnya kepada ESPN Brazil, Cicinho mendedahkan:

“Saya bukanlah orang yang boleh minum (alkohol) hanya satu atau dua gelas sahaja. Saya akan minum sehingga saya tumbang”.

Adat beberapa pemain bola sepak yang tiba-tiba mendapat nikmat kontrak mewah di Eropah, Cicinho adalah antara beberapa pemain bola sepak berprofail tinggi yang banyak menghabiskan duit dengan alkohol.

Sebelum ini kita mendengar nama nama seperti George Best, Paul Gascoigne, Tony Adam dan Garrincha yang turut mengalami kemerosotan karier kerana ketagihan alkohol.

Cicinho bidas sikap pemain Brazil sekarang

Cicinho turut membidas sikap pemain Brazil hari ini terutama sekali ketika Copa America Centenario berberapa minggu yang lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai prestasi Brazil yang tersingkir awal daripada kejohanan tersebut. Cicinho berkata;

“Pemain Brazil hari ini lebih mementingkan selfie dan gaya rambut.”

“Tak salah nak bergaya tetapi Brazil memerlukan pemain yang berperangai lebih baik dari itu.”

img_szaldua_20160718-185839_imagenes_md_otras_fuentes_cicinho-kMmE-U403308013964woH-980x554@MundoDeportivo-Web

“Anda boleh lihat ada pemain meminta untuk tidak terlibat dalam Copa America. Itu tidak sepatutnya berlaku.”

Cicinho nyata kecewa dengan pencapaian pasukan Brazil sejak akhir-akhir ini.

Niat beliau untuk menegur pemain-pemain Brazil mungkin murni.

Tetapi kami sangat meragui kemungkinan nasihat beliau diambil serius oleh pemain-pemain Brazil lantaran kesilapan lampaunya.

Baca juga: Garrincha: Burung Kecil Yang Menari Di Sayap Kanan

The post Cicinho Dedah Punca Kejatuhan Kariernya, Bidas Sikap Pemain Brazil Suka Selfie appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Agger Dedah Bagaimana Gabungan Pil Tahan Sakit, Kafein Dan Minuman Tenaga ‘Hancurkan’ Badannya

Jika anda berminat untuk tahu bagaimana karier Daniel Agger merosot dari seorang pertahanan penting untuk Liverpool (ketika era Rafa Benitez) kepada seorang pertahanan yang mudah tercedera, anda perlu terus membaca.

Dalam temu ramahnya bersama The Guardian, pertahanan tengah kelahiran Denmark ini mendedahkan sebab utama beliau mudah tercedera hingga memaksanya menggantung but pada umur 31 tahun.

Pitam selepas 29 minit bermain

Ketika diminta mengulas detik-detik terakhir kariernya yang memaksa beliau untu bersara, Agger sentiasa teringat detik beliau hanya mampu berbaring dan menggeletar ketika menentang FC Copenhagen.

2401

Pada 8 Mac 2015, beliau turun sebagai kapten Brondby menentang FC Copenhagen dalam aksi liga Denmark.

Beliau cuma bermain selama 29 minit sebelum dikeluarkan .

Kemudian ketika berehat di bangku simpanan beliau pitam. Agger digegaskan ke bilik fisioterapi di Parken, detik yang Agger sendiri tak ingat.

Agger sepatutnya tidak terlibat dalam perlawanan tersebut. Beliau masih menanggung kesakitan yang dibawa dari minggu sebelumnya.

Namun Agger menganggap ia perkara biasa kerana sudah banyak kali melaluinya sebelum ini.

Kecederaan dan pil tahan sakitnya

Untuk membolehkannya bermain dalam kesakitan, Agger melakukan ‘rutinnya’.

Beliau mengambil 2 biji pil tahan sakit pada pagi hari perlawanan menentang FC Copenhagen.

Kemudian ketika taklimat pra-perlawanan di Stadium Brondby, beliau menambah lagi 2 biji pil.

Salah satu kesan sampingan mengambil pil tahan sakit adalah mengantuk. Beliau kemudiannya berasa mengantuk dan tidur selama 15 minit di dalam bas sepanjang perjalanan ke Parken.

Rakan sepasukannya Martin Ornskov membangunkan beliau. Ornskov kemudian memberitahu Agger bahawa dia tidak pernah melihat Agger seperti keadaan beliau hari itu.

Akibat terlalu mengantuk Agger telah mengambil satu shot kafein dan minum minuman tenaga sebelum sesi memanaskan badan.

Dia kemudiannya melakukan rutin pra-perlawanan seperti biasa .

“Saya hanya fikir satu perkara sahaja. Iaitu, pergi ke bilik persalinan, pakai baju dan bermain,” kata Agger.

Terlebih dos

Tanpa diketahui Agger, ‘rutin’ mengambil pil tahan sakit yang diamalkan beliau menyebabkan badannya tidak mampu bertahan lagi.

Badan menjadi kebas, menggeletar dan pitam merupakan petanda jelas badannya sedang ‘bekerja lebih masa’ untuk memproses lebihan dos bahan kimia dalam pil tahan sakit, kafein dan taurine dari minuman tenaganya.

Detik detik hilang kawalan ke atas badannya sendiri membuatkan Agger takut untuk meneruskan pengambilan pil. Beliau takut dirinya akan lumpuh.

1430__2389__140101-lfchull13

Agger kemudian memutuskan untuk tidak lagi mengambil pil tersebut kerana beliau merasakan ia semakin berisiko.

Seminggu selepas itu, Agger turut memutuskan untuk bersara daripada arena bolasepak ketika usianya baru menginjak 31 tahun.

Kerana ‘rutin’ pil tahan sakitnya, beliau terpaksa melupakan bola sepak kerana badan beliau secara beransur-ansur ‘rosak’.

Sehingga kini beliau menghidapi kesakitan berpanjangan di seluruh badannya terutama di bahagian belakang.

Beliau dikatakan cuma berada pada 70%-80% kemampuan fizikalnya sepanjang bermain untuk Liverpool dan Brondby.

Bagaimana Agger boleh terjebak amal rutin pil tahan sakit?

Masalah utama Agger bermula selepas beliau didiagnos dengan hypermobility syndrome.

Sindrom ini membuatkan sendi beliau terlalu mudah untuk terlebih lenturan (hyperextended) daripada badan normal. Sindrom ini mula dikesan berlaku di pinggul beliau seawal tahun 2007.

Ini bermakna beliau telah bermain dalam kesakitan kira-kira dalam tempoh 12 tahun!

Ia diburukkan lagi ketika beliau terjatuh teruk ketika perlawanan pra-musim di Thailand pada tahun 2008.

Bahagian cekera di belakang beliau tergelincir (prolapsed disc) diikuti dengan sakit lutut dan jari kaki .

daniel-agger-denmark-euro-2016_3435678

Untuk terus bermain, Agger telah mengambil pil tahan sakit yang dipanggil pil anti-inflamasi yang digunakan untuk merawat penyakit sendi dan cereblex.

Apabila kesakitannya berlanjutan, beliau mengambil dos yang berlebihan daripada yang disyorkan. Inilah yang mula memberikan risiko kepada kesihatannya.

“Saya telah mengambil terlalu banyak pil anti-inflamasi sepanjang kerjaya saya.”

“Saya sangat kenal dengan ubat tersebut, ia ‘merosakkan’ badan saya. Akhirnya saya memutuskan untuk berhenti mengambil ubat tersebut. Saya tidak mengambil sebarang keuntungan untuk menceritakan hal ini.”

“Saya cuma mahu atlit atlit lain turut melakukannya (berhenti mengambil pil),” katanya kepada akhbar Denmark, Jyllands-Posten.

Pendapat doktor ortopedik

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hypermobility syndrome yang dihidapi Agger, kami bertanya kepada Pegawai Perubatan Hospital Melaka, Dr. Wan Rujhan Raqibi yang mempunyai pengalaman berkhidmat dalam Wad Ortopedik.

“Hypermobility syndrome adalah kondisi sejak lahir yang menyebabkan sendi penghidap sindrom ini longgar daripada normal.”

Menurut Dr. Wan Rujhan, penghidap sindrom ini boleh melenturkan sendi mereka lebih daripada biasa seperti gambar di bawah.

received_10206662297498002

“Pemain bola sepak yang menghidap sindrom ini memang cenderung untuk mendapat kesakitan sendi kerana sendiri mereka longgar.”

“Biasanya saya akan memberi peskripsi Celebrex, sejenis pil anti-inflamasi yang tiada steroid kepada penghidap sindrom yang mengalami kesakitan kronik.”

Dr. Wan Rujhan turut memberi amaran awal kesan lebihan dos Celebrex.

“Dos Celebrex yang dibenarkan hanya 200mg sehari. Lebih dari itu, anda akan dapat pendarahan di perut dan penyakit hati (liver disease).”

Hilangnya pertahanan tengah cemerlang

Daniel Agger memulakan karier di Brondby sejak berusia 19 tahun dan menyertai Liverpool pada 2006.

Agger bermain untuk Liverpool dari 2006 hingga 2014 sebelum menyertai semula Brondby selama 2 musim.

130101-058-Liverpool_Hull

Secara keseluruhannya, Agger bermain 384 perlawanan dalam karier beliau – 232 perlawanan untuk Liverpool, 77 untuk Brondby dan 75 lagi untuk Denmark.

Agger adalah pertahanan tengah yang sangat bagus dengan bola. Beliau memiliki kekuatan di udara.

Beliau juga mampu memberikan ancaman melalui tandukan, cubaan jauh dan juga sepakan bebas.

Agger adalah pemain yang disifatkan Benitez sebagai hibrid kualiti Hyypia dan Carragher.

Memiliki karakter yang kuat sebagai seorang pemimpin Agger pernah menjadi timbalan kapten kepada Gerrard di Liverpool dan juga banyak kali menjadi ketua pasukan Denmark.

Agger adalah kehilangan besar untuk Denmark yang akan menghadapi kelayakan Piala Dunia pada September ini.

Sepenting mana bolasepak dan setinggi mana cintanya kepada sukan ini, kami merasakan kesihatan dan keluarga sentiasa yang lebih utama.

Selamat bersara dan berehatlah Daniel Agger…

Baca juga: Kecederaan Lutut ACL: Mimpi Ngeri Pemain Bola Sepak

The post Agger Dedah Bagaimana Gabungan Pil Tahan Sakit, Kafein Dan Minuman Tenaga ‘Hancurkan’ Badannya appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Nota Pelan Taktikal Real Madrid Dedah Bagaimana Mereka Kalahkan Barcelona

Jika ini betul-betul merupakan nota pelan taktikal yang disediakan oleh Zinedine Zidane dan staf teknikalnya sebagai persiapan menghadapi El Clasico, ia bakal memberi kita perspektif paling hampir kepada perancangan taktikal pasukan.

Akhbar Sepanyol, AS melaporkan semalam bahawa mereka menerima sebuah pakej yang berisi beberapa nota tulisan tangan beberapa jam sebelum perlawanan El Clasico bermula.

Setelah diteliti, nota tersebut berisi maklumat pelan taktikal Real Madrid dan bagaimana mereka merancang untuk menghentikan ancaman serangan Barcelona.

nota taktikal madrid

Akhbar Sepanyol itu bagaimanapun gagal melakukan verifikasi untuk mengesahkan sama ada nota tersebut ditulis oleh pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane.

Berdasarkan komen pembaca akhbar tersebut, kami mendapati ramai yang meragui nota tersebut disediakan oleh Zinedine Zidane. Ini kerana tatabahasa dan lenggok bahasa nota yang sempurna ini mencadangkan ia ditulis oleh orang Sepanyol yang asli.

Seorang pembaca memberitahu walaupun Zidane fasih berbahasa Sepanyol, amat jarang bagi seorang penutur bahasa Sepanyol dari Perancis yang mahir menggunakan bahasa pasar ‘ojo’ dan penanda wacana ‘que’ dalam tulisan.

Selain itu, ada juga pembaca yang mengatakan nota tersebut palsu kerana salah meletakkan posisi betul Ivan Rakitic dan Andres Iniesta (Rakitic sepatutnya bermain di tengah kanan, bukannya tengah kiri seperti yang ditulis dalam nota).

Tetapi ada juga pembaca yang yakin dengan keaslian nota tersebut walaupun ia bukan ditulis oleh Zidane. Mereka berhujah ia mungkin ditulis oleh staf teknikalnya.

Selain itu, nota tersebut juga ditulis di atas kertas yang mempunyai letterhead Real Madrid. Itu adalah petunjuk pertama yang memberi sedikit bukti keaslian nota tersebut datang dari staf teknikal Real Madrid.

Isi nota

Dalam nota tersebut, Real Madrid memberi perhatian istimewa kepada taktik high pressing Barcelona dan menekankan kepentingan pemain Madrid untuk sentiasa menyediakan pilihan hantaran (passing options) ketika memegang bola.

Nota tersebut juga mendedahkan pelan taktikal Madrid yang tidak mahu Barcelona menyerang dari tengah. Pemain Madrid diarahkan untuk memberi tekanan kepada Iniesta dan Rakitic sahaja. Busquet pula dibiarkan tanpa tekanan.

Dengan menyekat serangan Barcelona dari tengah, Madrid sebenarnya mahu memaksa Barcelona menyerang dari kawasan sayap mereka.

Carvajal dan Marcelo ditugaskan untuk mengawal pergerakan Alba dan Alves. Ramos dan Pepe pula perlu mengawal Messi dan Neymar.

Siapa pula yang perlu mengawal Suarez? Menurut nota ini, Casemiro ditugaskan untuk turun dan mengawal Suarez.

Nota ini juga memberitahu bahaya larian diagonal Suarez untuk membawa Ramos, Casemiro dan Pepe keluar dari posisi tengah, sekaligus membuka ruang di tengah untuk diserang Neymar dan Messi.

nota taktikal madrid

Berikut merupakan terjemahan nota tersebut:

(1) 4v3 bakal berlaku pada peringkat awal permainan Barcelona
– sekat lorong-lorong hantaran mereka di tengah
– Iniesta dan Rakitic tidak boleh menerima bola
– jika mereka menerima bola, mereka tidak boleh diberikan ruang untuk memusingkan badan
– perhatian kepada orang ketiga, biarkan Busquet tanpa tekanan

OBJEKTIF: Barcelona tak boleh dibenarkan untuk menerima bola di kawasan sayap

(2) Siapa yang akan mengawal full back mereka?
– full back kita mesti kawal full back mereka
– perbetulkan kawalan pemain, pertahanan tengah kawal pemain sayap mereka dan Case(miro) mesti turun sebaris dengan 4 pertahanan kita

(3) Siapa yang akan kawal Messi jika dia turun bawah untuk mengutip bola?
– seseorang perlu ikutnya -> perbetulkan kawalan pemain

(4) Beri perhatian kepada pergerakan diagonal Suarez di belakang pertahanan jika mereka mendapat bola di kawasan sayap
– kawal dia secara langsung
– guna pemain ketiga (Casemiro) di pertahanan tengah

Hampir semua pelan taktikal ini berjaya dilakukan oleh Madrid. Mereka memaksa Barcelona untuk menyerang dari kawasan sayap. Malah Cristiano Ronaldo turut dilihat membantu Carvajal untuk menjejak larian Alba di kawasan sayap.

Sebagai rekod, Real Madrid berjaya emnewaskan Barcelona 2-1 hasil jaringan Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo. Gol Barcelona dijaringkan oleh Gerard Pique.

Baca juga: Sejarah El Clasico: Bagaimana Perang Saudara 1936 Buat Real Madrid & Barcelona Bermusuh

The post Nota Pelan Taktikal Real Madrid Dedah Bagaimana Mereka Kalahkan Barcelona appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Mathieu Flamini Dedah Syarikat Biokimia Miliknya Yang Mampu Jana RM133 Bilion

Mathieu Flamini mendedahkan syarikat biokimianya, GF Biochemicals, adalah satu-satunya syarikat di dunia yang menghasilkan levulinic acid secara komersial.

Dan syarikatnya mampu menjana RM133 bilion bermula tahun depan!

Flamini mengasaskan syarikat tersebut, GF (Granata-Flamini) Biochemicals bersama rakannya, Pasquale Granata ketika baru berpindah kelab ke AC Milan.

flam2_2561826a

“Saya sentiasa risau dengan masalah-masalah alam sekitar dan pemanasan global,” kata Flamini ketika ditemu ramah oleh The Sun.

“Kami dapat tahu tentang levulinic acid selepas Jabatan Tenaga Amerika Syarikat mengenal pasti levulinic acid sebagai salah satu bahan yang boleh menghasilkan minyak diesel.”

Setelah mendengar dan mengkaji potensi levulinic acid, Flamini melaburkan wang gajinya di AC Milan untuk membina kilang biokimia yang mempunyai 80 orang pekerja.

“Ya, saya laburkan banyak duit untuk projek ini. Tapi untuk berjaya, kita kena ambil risiko.”

“Kini kami ada kilang di Caserta, Italy. Kami ada makmal di sana, pejabat di Milan dan Holland. Sekarang kami sedang merancang untuk membuka pejabat di Amerika Syarikat pula.”

Kilang biokimia Flamini sedang menghasilkan 4,500 tan metrik levulinic acid setiap hari. Tahun depan, mereka mahu menaikkan jumlah produksi kepada 10,000 tan metrik sehari pula.

gf-biochemicals-flamini

Syarikat Flamini juga membiayai banyak kajian mengenai levulinic acid di universiti-universiti di Itali.

“Kami bekerjasama dengan saintis-saintis di Universiti of Pisa (universiti berprestij di Itali).”

“Professor Anna Maria Raspoli Galletti yang merupakan pakar kajian levulinic acid bekerja di universiti itu,”

Apa yang menariknya, tidak ada seorang pun pemain-pemain Arsenal tahu tentang projek biokimia Flamini. Ini termasuklah kawan baiknya di Arsenal, Mesut Ozil dan bosnya, Arsene Wenger.

“Kawan-kawan saya di AC Milan baru tahu minggu ini (minggu lepas ketika artikel ini ditulis).”

“Kawan-kawan di Arsenal pula mungkin baru akan tahu lepas baca temu ramah ini (dengan akhbar The Sun).”

“Saya tak rasa Arsene Wenger tahu sebab saya tak pernah sembang hal ini dengan beliau.”

“Ibu bapa saya pun baru tahu tahun lepas.”

Baca juga: Kerana Kawan, Lelaki Ini Sanggup Lupakan Leeds & Mula Menyokong Arsenal

The post Mathieu Flamini Dedah Syarikat Biokimia Miliknya Yang Mampu Jana RM133 Bilion appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA