Dikritik Tak Hormat Schweinsteiger, Mourinho Balas Dengan Panggil Pengkritiknya ‘Hipokrit’

Isu Bastian Schweinsteiger yang diberikan layanan buruk oleh Jose Mourinho selepas diberitahu beliau tidak akan terlibat dalam skuad utama Manchester United kini kian panas.

Baru-baru ini Pengerusi Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge mengkritik layanan buruk yang diberikan oleh Mourinho kepada bekas kapten Jerman tersebut.

“Saya hampir-hampir tak percaya. Saya rasa lebih ramai pemain akan berhati-hati jika mereka mahu masuk Manchester United jika begini Schweinsteiger dilayan,” kata Rummenigge.

Mourinho turut dikritik komuniti bola sepak Jerman

Ottmar Hitzfield (gambar bawah), bekas pengurus Bayern Munich yang memberi Schweinsteiger debut profesionalnya pada umur 18 tahun turut mengkritik Mourinho.

“Itu tandanya (Mourinho) tidak hormat pemain-pemainnya. Saya pelik melihat situasi ini.”

Malah kami juga pernah melaporkan Dejan Stefanović – bekas pemain kebangsaan Serbia yang kini merupakan peguam FIFPro – memberitahu Mourinho boleh dipenjara 3 tahun jika perkara ini berlaku di Slovenia.

Abang Bastian Schweinsteiger, Tobias yang kini bertugas sebagai jurulatih Bayern Munich bawah-17 turut mengkritik Mourinho di Twitter dengan menulis:

tobias1

Schweinsteiger dilaporkan telah diarah berlatih bersama pasukan simpanan United dan perlu mencari kelab yang baru.

Malah lebih teruk lagi, Mourinho juga mengarahkan beliau memindahkan barangnya ke bilik persalinanan skuad simpanan – satu perkara yang memalukan bagi pemain skuad utama.

Peluang Schweinsteiger ‘amat sukar’

Jose Mourinho dalam sidang media menekankan frasa ‘amat sukar’ untuk menjelaskan peluang Bastian Schweinsteiger bermain dengan skuad utama Manchester United musim ini.

“Saya fikir ia adalah amat sukar untuk berlaku. Saya tidak mengatakan ia adalah mustahil. Saya mengatakan ia adalah sangat sukar.”

Mourinho memberitahu kehadiran 6 pemain tengah dalam skuadnya memaksa beliau melakukan keputusan sukar tersebut.

“Kami membuat keputusan dengan mengambil kira Pogba, Herrera, Schneiderlin, Fellaini dan Michael Carrick. Mereka semua adalah pemain tengah seperti Schweinsteiger.”

“Kami ada lima pemain untuk 2 posisi tengah tersebut. Ia amat sukar untuk beliau menantikan bila peluang itu akan tiba.”

Rummenigge hipokrit

Mengulas kenyataan Rummenigge (gambar bawah) yang mengkritik layanannya terhadap Schweinsteiger, Mourinho membalas dengan menuduh presiden Bayern Munich itu ‘hipokrit’.

Mourinho berkata:

“Selepas saya membaca beberapa kenyataan daripada pihak di Bayern Munich, saya ingatkan mereka akan segera ‘berlari’ ke sini untuk membawa dia (Schweinsteiger) kembali.”

“Tetapi ia tidak berlaku!”

Schweinsteiger akan kekal?

Schweinsteiger masih ada baki dua tahun dalam kontraknya bersama United.

Beberapa hari lalu, Schweinsteiger memuat naik status di media sosial menyatakan beliau tidak akan menyertai mana-mana kelab lain di Eropah selain Manchester United dan Bayern Munich.

Beliau juga memberitahu bahawa Manchester United mungkin kelab Eropah terakhir dalam karier beliau.

Ketika ditanya wartawan sama ada Schweinsteiger akan terus kekal di Old Trafford untuk menghabiskan baki kontrak beliau walaupun tidak bermain, Mourinho berkata:

“Saya tidak boleh menjawab soalan itu untuk dia. Ia soal hidup dan kerjaya beliau.”

“Dia masih ada baki kontrak dengan Manchester United dan dia berhak untuk kekal di sini jika itu yang dia mahu.”

“Itu bukan satu masalah bagi kami. Bola sepak itu lahir kerana keputusan yang dibuat. Saya telah melakukan semua itu sepanjang kerjaya saya. Bukan hanya saya, bahkan semua orang pun melakukannya.”

Baca juga : DFB Mahu Schweinsteiger Beraksi Untuk Kali Terakhir

The post Dikritik Tak Hormat Schweinsteiger, Mourinho Balas Dengan Panggil Pengkritiknya ‘Hipokrit’ appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

UEFA Mahu Ubah Format Piala Eropah Kepada 32 Pasukan Selepas Format 24 Pasukan Dikritik

Selepas menerima pelbagai kritikan kerana penganjuran Piala Eropah 2016 yang menggunakan format 24 pasukan, Pengarah Operasi UEFA, Martin Kallen (gambar bawah) memberi bayangan Piala Eropah 2024 mungkin akan menggunakan format 32 pasukan – seperti Piala Dunia.

Embed from Getty Images

Format 2016 galak bola sepak pasif?

Semasa Piala Eropah 2016 yang tamat baru-baru ini, pasukan yang berada di tempat ketiga peringkat kumpulan – Portugal – telah menjuarai kejohanan itu.

Tambah mengharukan, Portugal pula gagal memenangi mana-mana perlawanan dalam peringkat kumpulan mereka.

Embed from Getty Images

Dalam perlawanan terakhir kumpulan F menentang Hungary, Portugal kelihatan tidak berminat untuk menambah gol lagi ketika masih terikat 3-3 kerana pemenang perlawanan berpotensi menjadi naib juara kumpulan.

Menjadi naib juara kumpulan bererti mereka akan berada dalam laluan sama dengan pasukan-pasukan pilihan seperti Jerman, Perancis dan England dan terpaksa menentang mereka lebih awal.

Inilah yang dihadapi oleh naib juara kumpulan, Iceland yang berjumpa dengan England (peringkat 16 pasukan terakhir) dan Perancis (suku akhir).

Hal yang sama turut dilakukan oleh Ireland Utara dan Republik Ireland yang layak menerusi slot pasukan tempat ke-3 terbaik.

Ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew adalah antara yang lantang bersuara menentang format Piala Eropah 2016 baru-baru ini. Beliau berpendapat Piala Eropah harus kembali kepada format 16 pasukan.

Menurut Loew lagi, pasukan seperti Albania dan Wales mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dengan bermain corak bola sepak bertahan. Menurutnya lagi format 24 pasukan menggalakkan bolasepak ultra-defensif.

Embed from Getty Images

UEFA tidak akan kembali kepada format 16 pasukan

Bercakap mengenai kemungkinan Piala Eropah akan menggunakan kembali format 16 pasukan, Martik Kallen pantas mematikan idea tersebut.

Menurutnya UEFA mungkin tidak akan kembali dengan idea 16 pasukan. UEFA turut mengesahkan akan mengekalkan format sedia ada untuk penganjuran Piala Eropah 2020.

Ia sekaligus akan meneruskan lagi perdebatan isu kualiti pertandingan ini di masa akan datang. Ramai menjangkakan kualiti bola sepak Piala Eropah 2020 akan menjadi semakin bosan.

Kenapa UEFA mahu kekalkan format sedia ada?

Apabila majoriti ahli gabungan UEFA, wartawan, jurulatih dan peminat bola sepak Eropah mendesak UEFA supaya mengubah kembali format Piala Eropah, UEFA pula berkeras mempertahankannya. Apa sebabnya?

Ini kerana UEFA mendapat pendapatan lumayan berjumlah €1.93 bilion hasil daripada hak penyiaran 51 perlawanan daripada format 24 pasukan ini.

Ia peningkatan pendapatan komersial yang mendadak berbanding ketika menggunakan format 16 pasukan yang cuma menawarkan 31 perlawanan sahaja sebelum ini.

Perlu diingat, jumlah pendapatan tersebut masih belum merangkumi jumlah pendapatan jualan merchandises dan tiket.

Melalui format 24 pasukan bertanding, negara penganjur juga mendapat manfaat apabila jutaan penyokong bola sepak yang memasuki negara mereka membeli-belah; sekaligus meransang pertumbuhan ekonomi.

Mengulas kritikan format 24 pasukan, Martin Kallen berkata:

“Ramai orang persimis pada awalnya dengan sistem 24 pasukan, namun akhirnya ia terbukti berjalan dengan baik sekali”

Piala Eropah ikut format Piala Dunia

Walaubagaimanapun menurut kata Kallen, UEFA tetap komited untuk memantau kualiti pertandingan untuk memastikan kejohanan Piala Eropah berada dalam prestij yang tinggi.

“Jika format ada 4 lagi pasukan tempat ke-3 akan mara tidak digemari, maka format 32 pasukan mungkin akan lebih menjadi pilihan.”

“Ia adalah pilihan lebih baik berbanding format 16 pasukan.”

Kallen menyatakan, penganjuran 32 pasukan adalah idea yang akan menjadikan Piala Eropah seperti Piala Dunia. Jawatankuasa UEFA (gambar bawah) masih dalam proses penilaian untuk memastikan sama ada idea ini boleh dilaksanakan atau tidak seawal-awalnya pada 2024.

Embed from Getty Images

Pada masa yang sama, jika mereka mendapati format tersebut relevan, UEFA tidak akan menolak kemungkinan untuk mengguna pakai format tersebut.

Namun, buat masa ini Kallen menyatakan, format 24 pasukan adalah yang terbaik. Jadi, apakah pula pandangan anda?

Baca juga: Format Baru Piala Eropah 2016 Dikritik: Kurang Gol Dan Galak Pasukan Bermain Defensif

The post UEFA Mahu Ubah Format Piala Eropah Kepada 32 Pasukan Selepas Format 24 Pasukan Dikritik appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Format Baru Piala Eropah 2016 Dikritik: Kurang Gol Dan Galak Pasukan Bermain Defensif

24 pasukan dan bolasepak pasif

UEFA menerima pelbagai kritikan kerana perubahan format kepada 24 pasukan dan memberikan kelayakan kepada 4 lagi pasukan terbaik dari tempat ke-3.

Kejohanan yang menyaksikan cuma 8 pasukan gagal mara ke pusingan seterusnya dengan peratusan pasukan yang mara adalah 67% berbanding 50% sebelum ini.

Ada yang lantang mengkritik UEFA telah memberikan talian hayat kepada ‘si gagal’ yang berada di tempat ke-3 dalam saingan kumpulan.

Berikut adalah 2 isu utama yang dikiritik oleh pemerhati dan pundit bolasepak Eropah.

1. Menang bukan misi utama

Antara impak format ini menyaksikan banyak pasukan bermain negatif dan selesa dengan keputusan seri.

Format ini lebih kepada mengelakkan daripada kalah bukannya cuba untuk menang. Sebagai contoh Slovakia menentang England, dimana mereka bermain terlalu pasif untuk seri daripada berusaha untuk menang.

052434

Ia memperlihatkan, jika sesebuah pasukan sudah mengutip 3 mata, bermakna mereka perlu mencari seri.

Ia amat berbeza dengan intensiti persaingan sebelum ini yang menyaksikan pasukan akan cuba untuk menang walaupun sudah menang sekali.

Format ini langsung tidak menggalakkan pasukan untuk mengejar kemenangan. Ia hanya menggalakkan pasukan untuk berusaha tidak kalah.

Sebagai contoh, Portugal hanya mengutip 3 mata hasil daripada 3 keputusan seri, tetapi tetap layak kerana mereka ada perbezaan jaringan 0.

Dalam contoh lain, Portugal dan Hungary pula selesa tidak mengejar kemenangan pada kedudukan 3-3 dalam perlawanan terakhir mereka. Dengan keputusan seri ini, Portugal berjaya mengelak untuk bertemu England.

052421

Jika UEFA mengikut format lama, Cristiano Ronaldo dan rakan rakannya sudah lama mengemaskan beg pakaian mereka dan meninggalkan Paris ketika ini.

2. Purata jumlah gol merudum

Piala Eropah kali ini berhak digelar kejohanan yang paling membosankan dari segi purata gol.

Ini kerana, setelah tamat peringkat kumpulan, purata gol untuk setiap perlawanan cuma 1.92 gol.

Ia adalah kali pertama selepas edisi 1992 (purata 1.75 gol), purata gol di bawah purata 2.00 gol untuk saingan peringkat kumpulan.

Gary Lineker dalam tweet beliau jelas kecewa dengan impak negatif format ini.

052304

Pada pandangan kami, format ini sepatutnya menghasilkan purata gol lebih banyak kerana lebih banyak pasukan terlibat.

Namun sikap sesebuah pasukan itu sendiri yang menjadikan purata gol merosot secara lebih langsung.

UEFA yakin lebih banyak yang positif.

UEFA dalam kenyataan mereka yakin format ini telah membawa kepada episod ala dongeng klasik pasukan seperti Albania, Iceland,Wales, dan Ireland Utara berjaya beraksi di pentas Eropah.

Dalam beberapa hari lagi negara Iceland yang hanya memiliki populasi sekitar 330,000 akan berdepan pasukan besar seperti England dan akan disaksikan seluruh dunia.

Difahamkan kini jumlah rakyat Iceland ke Paris meningkat sehingga 50% daripada populasi keseluruhan mereka.

UEFA juga menjangkakan akan lebih banyak drama dalam pusingan kalah mati kali ini.

Bagaimanana dengan pandangan anda pula? Wajarkah UEFA kembali dengan format 16 pasukan dan cuma 2 pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati.

Baca juga: Rekod UEFA Dalam Piala Eropah 2016 Dedah Coman Paling Laju, Parolo Paling Berstamina

Semuanya BOLA