Gomez Mahu JDT Elak Lakukan Kesilapan

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Mario Gomez mengingatkan pemainnya supaya tidak melakukan kesilapan yang boleh membawa padah terutama pada awal permainan apabila berdepan South China FC dari Hong Kong pada aksi suku akhir kedua Piala AFC, di di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos di Larkin, malam esok.

JDT selaku juara bertahan, seri 1-1 pada suku akhir pertama di Stadium Mongkok, Hong Kong, Selasa lepas, setelah South China bangkit daripada ketinggalan untuk menyamakan kedudukan selepas pemain import dari Argentina Jorge Pereyra Diaz meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-22.

Keputusan seri tanpa jaringan atau kemenangan 1-0 pada suku akhir kedua di Larkin esok sudah cukup buat JDT untuk mara ke peringkat separuh akhir. “Bagi kami, apa paling penting untuk memastikan pemain tidak melakukan kesilapan mudah pada lima minit pertama permainan atau dalam kawasan kotak penalti. Kita perlu berhati-hati kerana ia perlawanan penting. “Kita perlu berusaha keras, menggunakan mentaliti dan taktik yang sama seperti dalam saingan Liga Super,” kata Gomez.

Sementara itu, ketua jurulatih South China Jose Rambo menegaskan bahawa beliau akan menggunakan apa yang ada untuk memenangi perlawanan tersebut. “Kami sedar lawan kami mempunyai barisan pemain yang mantap dan kita perlu berhati-hati dengan pergerakan mereka. Apa pun, kita tidak gentar berdepan sesiapa pun,” katanya. – BERNAMA
Johor DT

Mario Gomez Yakin JDT Mampu Berikan Saingan Sengit

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez yakin anak buahnya mampu memberikan saingan sengit dalam perlawanan akhir Piala AFC menentang pasukan tuan rumah FC Istiklol di Dushanbe, Tajikistan Sabtu ini.

Meskipun terpaksa bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk perlawanan akhir itu selain saingan Piala Malaysia, namun pengendali dari Argentina ini percaya skuad Harimau Selatan sudah bersiap sedia untuk memberikan aksi yang terbaik, sekali gus merangkul piala berprestij berkenaan.
“Tinggal dua hari untuk menjalani latihan dan kami sudah bersedia. Tumpuan sekarang untuk menjulang Piala AFC,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, di sini semalam.

JDT mencipta sejarah menjadi pasukan negara pertama layak ke perlawanan akhir Piala AFC sejak diperkenalkan pada 2004. JDT dan FC Istiklol layak secara automatik selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) pada 25 September lalu.

Keputusan tersebut diambil FIFA susulan keputusan kerajaan Kuwait yang mahu melaksanakan undang-undang sukan baharu yang mengancam autonomi KFA sebagai badan bebas daripada campur tangan kerajaan.

Ekoran itu, penyertaan dua pasukan dari negara ber­kenaan, iaitu Qadsia SC dan Kuwait SC, yang masing-ma­sing menjadi lawan JDT dan Istiklol dalam perlawanan separuh akhir dibatalkan.

Gomez ber­kata, fokus JDT kini ialah untuk membiasakan pema­in dengan persekitaran dan cuaca di Tajikistan sebaik sahaja tiba di Dushanbe kelmarin selain memberi penekanan kepada latihan fizikal selain meningkatkan ketahanan psikologi pemain.
“Padang di sini (lokasi perlawanan) berbeza dengan padang yang biasa kita gunakan kerana mereka menggunakan padang sintetik.
“Oleh itu, kami akan biarkan pemain menyesuaikan diri de­ngan persekitaran dan padang di sini supaya mereka dapat mempamerkan prestasi terbaik dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.

Johor DT