Isteri Nafikan Kiatisuk “Zico” Senamuang Akan Menjadi Pengendali Baharu Harimau Malaya

Isteri Kiatisuk, Asarapa Senamuang menafikan Kiatisuk “Zico” Senamuang sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baharu.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh Berita Harian semalam.

Kiatisuk Senamuang bersama Asarapa Senamuang (kanan sekali) dan tiga anak gadisnya.

Sejak meletak jawatan sebagai Ketua Jurulatih Thailand, Kiatisuk sering dikaitkan dengan jawatan mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Kemungkinan itu semakin kencang apabila pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak dapat mencapai persetujuan dengan pilihan awal, Mario Gomez.

“Tidak, dia tidak ada mengadakan perbincangan dengan mana-mana pasukan ketika ini.”

“Sekarang dia hanya melakukan kerja sendiri dan belum menerima sebarang tawaran daripada sesiapa,” ujar Asarapa Senamuang kepada wartawan Berita Harian.

Kiatisuk Senamuang

Kenyataan tersebut pasti meranapkan impian segelintir peminat di negara ini untuk melihat bekas kapten Thailand itu mengemudi skuad Harimau Malaya.

Pada masa ini, FAM sedang dalam proses mencari calon yang sesuai untuk menggalas jawatan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan.

Datuk Ong Kim Swee adalah pengendali skuad kebangsaan sebelum ini sebelum beliau diarahkan untuk mengendali skuad Bawah 23 tahun negara.

Kiatisuk Senamuang juga adalah seorang polis berpangkat leftenan, meninggalkan jawatan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Thailand setelah pencapaian hambar pasukannya dalam pusingan kelayakkan Piala Dunia Zon Asia.

Kredit: The Star Online. Datuk Ong Kim Swee bersama skuad Harimau Malaya.

Sejak Kiatisuk meninggalkan pasukan dengan jolokan Gajah Perang itu, pasukan tersebut sering dikaitkan dengan ramai nama besar.

Ini termasuk bekas pengendali Chelsea dan Leicester, Claudio Ranieri, lagenda Brazil, Dunga, Ruud Gullit dan Alejandro Sabella.

ESPN baru -baru ini melaporkan Frank Riijkard telah menghantar borang pemohonan untuk menjadi jurulatih Thailand.

Untuk rekod, Kiatisuk Senamuang telah berjaya mengemudi pasukan Bawah 23 Thailand mendapat tempat ke-4 dalam Sukan Asia di Korea Selatan pada tahun 2014.

Selain daripada itu, Kiatisuk Senamuang juga adalah satu-satunya individu yang pernah menjulang Piala AFF Suzuki sebagai pemain dan juga Ketua Jurulatih skuad kebangsaan.

Tunku Ismail, Tunku Mahota Johor.

Kiatisuk juga sangat memahami persekitaran bola sepak di negara kita kerana pernah bermain di sini ketika bergelar pemain.

Dalam satu sidang media FAM semalam, Presiden FAM, telah menyatakan bahawa Baginda telah mengadakan pertemuan dengan individu tertentu untuk jawaran ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Pertemuan yang diadakan semalan adalah bagi menilai kesesuaian individu berkenaan dengan tugas yang bakal dipikul sebagai pengendali skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Tunku Ismail enggan mendedahkan siapakah individu yang hadir dalam pertemuan bersama baginda tersebut.

Penafian Asarapa Senamuang pasti menjadikan teka-teki siapakah yang akan menjawat jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya akan berterusan.

Pada pendapat anda, siapakah calon yang layak memegang jawatan ini selain daripada Zico Thailand? Kongsikan dengan kami di ruangan komen. Kami ingin mendengar pendapat anda.

Baca juga: Kevin Ramalingam: “Stadium Shah Alam Venue Final Piala FA 2017”semnamsenamu

The post Isteri Nafikan Kiatisuk “Zico” Senamuang Akan Menjadi Pengendali Baharu Harimau Malaya appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Highlight: Beoungket Angkor 0 JDT 3, Harimau Selatan Ekori Rapat Global

JDT menang 0-3 di tempat lawan. Gol-gol JDT hasil jaringan Safawi Rasid, Nazmi Faiz dan Guerra.

Ini adalah kedudukan semasa kumpulan F.

The post Highlight: Beoungket Angkor 0 JDT 3, Harimau Selatan Ekori Rapat Global appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

5 Skuad Harimau Malaya Yang Mengaum Kuat Di Pentas Antarabangsa

Sejak tampuk pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diambil alih oleh TMJ masa depan skuad Harimau Malaya sentiasa menjadi topik hangat di media sosial dan arus perdana.

Hari ini, kami di Semunya BOLA membawa anda mengimbau kembali 5 skuad kebangsaan Harimau Malaya yang memberi kesan kepada penyokong bola sepak dan rakyat Malaysia amnya.

Harimau Malaya 1962 (Sukan Asia)

Skuad kebangsaan 1962 dikenang dengan pencapaian meraih pingat gangsa di Sukan Asia.

Sukan Asia 1962 menyaksikan Jakarta menjadi tuan rumah buat kejohanan edisi ke-4, dengan 13 acara sukan dipertandingkan.

Skuad bola sepak Tanah Malaya 1962.
Kredit: KelabJersiKita

16 buah negara mengambil bahagian dengan hanya 8 negara bertanding untuk acara sukan bola sepak.

Malaysia yang berstatus Tanah Melayu pada masa itu berada di dalam kumpulan B, bersaing bersama Vietnam Selatan, Filipina dan tuan rumah Indonesia.

Dua pasukan teratas akan layak ke peringkat separuh akhir.

Perlawanan pembukaan Malaysia mencipta kemenangan besar 15-1 ke atas Filipin. Masih kekal sebagai rekod kemenangan terbesar Harimau Malaya.

Dua hari berikutnya, Malaysia menundukkan pasukan tuan rumah, Indonesia dengan jaringan 3-2 di hadapan ribuan penyokong tuan rumah di  dalam perlawanan yang cukup mendebarkan.

Bagaimanapun, skuad kebangsaan terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua kumpulan B apabila tewas kepada Vietnam Selatan dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Pingat Gangsa Sukan Asia 1962.
Kredit: KelabJersiKita

Di separuh akhir, pasukan negara yang turut dibarisi oleh pasangan adik beradik, Richard dan Robert Choe, Abdullah Nordin dan Kamaruddin Ahmad.

Skuad ini tidak bernasib baik ditewaskan oleh seteru Asia, Korea Selatan dengan jaringan 2-1.

Bagaimanapun skuad negara bangkit untuk perlawanan merebut pingat gangsa bertemu India.

“Raja Bola Malaya”, Abdul Ghani Minhat muncul wira apabila menjaringkan kesemua 4 gol dalam perlawanan tersebut menewaskan Vietnam Selatan 4-1.

Skuad kebangsaan menjaringkan sejumlah 22 gol dan bolos 3 gol sepanjang kejohanan untuk meraih pingat pertama negara dalam sukan bola sepak di Sukan Asia.

India muncul juara acara bola sepak lelaki pada Sukan Asia edisi 1962.

Pasukan kebangsaan 1962 dikenang dengan kehebatan lagenda bola sepak tanah air yang mendapat jolokan “Raja Bola Malaya” iaitu Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat.

Harimau Malaya 1972 (Olimpik Munich)

Skuad Olimpik 1972 adalah pilihan automatik kami sebagai antara skuad kebangsaan terhebat pernah dihimpunkan negara.

Olimpik Munich 1972 kekal sebagai satu-satunya pentas Olimpik yang pernah menyaksikan aksi pasukan Harimau Malaya. Ia adalah pentas tertinggi pasukan negara pernah beraksi di peringkat antarabangsa.

Aksi Malaysia menentang Jerman Barat.

Malaysia hadir bersama Burma sebagai reputasi gergasi Asia. Skuad kebangsaan menewaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan dan Filipina untuk membuka laluan ke Munich, Jerman pada tahun 1972.

Skuad 1972 membariskan pemain hebat negara seperti penjaga gol Chow Chee Keong yang mendapat jolokan “Asian Stainless Steel Gate”, Soh Chin Aun, Dell Akbar, M. Chandran, Namat Abdullah dan ramai lagi.

Berada di dalam kumpulan A, Malaysia tewas perlawanan pertama kepada gergasi eropah, Jerman Barat yang dibarisi pemain seperti Ottmar Hitzfield dan Uli Hoeness dengan jaringan 3-0.

Kredit: bazookapenaka.com

Perlawanan berikutnya, Malaysia bangkit di Ingolstadt menewaskan Amerika Syarikat 3-0 hasil jaringan Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Zawawi Yusof.

Wajib menang perlawanan terakhir bertemu Maghribi untuk ke pusingan seterusnya, Malaysia terkulai apabila tewas dengan jaringan 6-0 kepada wakil benua Afrika itu.

Malaysia menamatkan cabaran peringkat kumpulan di kedudukan ketiga dengan hasil satu kemenangan. Poland muncul pemenang pingat emas acara bola sepak pada Sukan Olimpik 1972.

Harimau Malaya 1974 (Sukan Asia)

Tehran merupakan tuan rumah Sukan Asia 1974. Terdorong dengan pencapaian layak ke Olimpik dua tahun sebelum itu, Malaysia hadir sebagai salah sebuah pasukan pilihan dalam Sukan Asia edisi ke-7 ini.

Mengekalkan pemain-pemain dari skuad 1972 seperti Soh Chin Aun, Namat Abdullah dan M. Chandran, Malaysia turut diperkuatkan dengan bintang sensasi baru ketika itu, Mokhtar Dahari.

Posisi penjaga gol diisi oleh R. Arumugam yang menggantikan Chow Chee Keong yang tidak mendapat pelepasan oleh kelab beliau di Hong Kong.

Malaysia memulakan cabaran Kumpulan C Sukan Asia 1974 dengan kekalahan 8-3 kepada Israel.

Kredit: Rizal Hashim

Skuad kebangsaan kemudiannya bangkit mengikat Jepun 1-1 sebelum memadamkan cabaran Filipina dengan kemenangan 11-0.

Malaysia menamatkan cabaran kumpulan C di tangga kedua, layak dengan perbezaan jaringan meninggalkan Jepun yang terpaksa mengigit jari di tempat ketiga kumpulan.

Sukan Asia 1974 menyaksikan peringkat separuh akhir diadakan di dalam peringkat kumpulan. Malaysia ditempatkan di dalam kumpulan maut bersama-sama tuan rumah Iran, Iraq dan Korea Selatan.

Aksi Isa Bakar menyarung jersi skuad kebangsaan.
Kredit: Pemilik Gambar

Tewas 0-1 kepada Iran sebelum seri tanpa jaringan bertemu Iraq, Malaysia bangkit menewaskan Korea Selatan 3-2 untuk melayakkan diri ke perlawanan penentuan pingat gangsa.

Isa Bakar menjadi wira negara dengan jaringan pada minit ke-48 dan 81. Malaysia menumpaskan Korea Utara 2-1 untuk membawa pulang pingat gangsa, mengulangi pencapaian 12 tahun lalu di Jakarta.

Harimau Malaya 1980 (Olimpik Moscow)

Muthu Kumar, Chow Kwok Keong, Eric Yong, Ali dan jurulatih skuad kebangsaan, Mr. Harry Mountain.

Senarai di atas adalah watak-watak dalam filem “Ola Bola” yang mengambil inspirasi perjuangan pasukan bola sepak kebangsaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Watak-watak di dalam filem “Ola Bola” menggambarkan pemain negara seperti R. Arumugam, Soh Chin Aun, James Wong dan Khalid Ali di bawah bimbingan Karl Heinz Weigang.

Harimau Malaya mengharungi pusingan kelayakkan ke Olimpik Moscow tanpa penyerang sensasi Mokhtar Dahari yang mengumumkan persaraan beliau pada tahun 1980.

Pemain Malaysia meraikan kemenangan 2-1 mengatasi Korea Selatan. Kredit: Pemilik Gambar.

Tanpa kelibat Super Mokh, Weigang mengubah percaturan dengan mengabungkan barisan muka lama dan pemain muda.

Malaysia beraksi cemerlang di peringkat kumpulan. Menang empat perlawanan menentang Korea Selatan, Brunei, Filipina dan Indonesia, Malaysia turut mencatat keputusan seri 1-1 dengan Jepun.

Malaysia menamatkan cabaran Kumpulan 2 di tangga teratas dan menempatkan diri menentang Korea Selatan dalam perlawanan playoff yang diibaratkan final itu.

Bertemu Korea Selatan, Bakri Ibni meletakkan Malaysia di hadapan seawal minit ke-12. Kim Kang-nam menyamakan kedudukan selepas 18 minit separuh masa kedua bermula.

Cabaran Korea Selatan ternoktah apabila James Wong menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 perlawanan. Stadium Merdeka menjadi saksi salah satu gol terhebat pernah dijaringkan oleh anak Malaysia di peringkat antarabangsa.

Kredit: Pemilik Gambar

Kita semua tahu apa yang berlaku selepas itu. Harapan rakyat Malaysia untuk melihat barisan negara beraksi di arena Olimpik punah ekoran kerajaan memboikot Sukan Olimpik Moscow.

Bola sepak negara juga seakan hilang sebagaimana punahnya harapan kita di Olimpik 1980.

Selepas itu, Malaysia hanya gah di peringkat serantau dengan memenangi emas di dalam Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Harimau Malaya 2010 (Piala AFF Suzuki)

Tidak keterlaluan jika kami katakan skuad kebangsaan seolah-olah hilang daripada landskap bola sepak antarabangsa sebelum tahun 2010.

Tahun 2010 adalah tahun yang mampu memberi sekilas senyuman kepada peminat bola sepak tanah air.

Kejohanan Piala AFF Suzuki (dikenali sebagai Piala Tiger sebelum ini), menyaksikan Indonesia dan Vietnam menjadi tuan rumah bersama.

Malaysia tidak pernah muncul juara kejohanan AFF Suzuki sebelum ini walaupun muncul sebagai finalis pada edisi pertama kejohanan di Singapura.

Sebagaimana kejohanan antarabangsa yang disertai oleh pasukan negara sejak dasawarsa 90-an sehingga  2000-an.

Rata-rata rakyat Malaysia tidak memberikan sebarang harapan kepada cabaran skuad negara dalam edisi ke-8 Kejohanan AFF Suzuki ini.

Malaysia memulakan cabaran dengan dibelasah oleh tuan rumah, Indonesia dengan jaringan 5-1.

Skuad di bawah bimbingan K. Rajagopal kemudiannya bangkit mengikat pilihan kejohanan, Thailand 0-0 sebelum melayakkan diri ke separuh akhir dengan kemenangan 5-1 ke atas Laos.

Di separuh akhir, Malaysia menyingkirkan Vietnam dengan agregat 2-0 sebelum sekali lagi membuat perhitungan dengan Indonesia di aksi final.

Di hadapan 85,000 penyokong di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, skuad negara menewaskan Indonesia dengan jaringan 3-0 dalam satu aksi yang sangat menarik.

Final yang diadakan secara timbal balik di Gelora Bung Karno, Jakarta menjanjikan saingan panas dan pentas yang berbeza buat anak buah K.Rajagopal.

Skuad Malaysia terpaksa diangkut dengan kenderaan jenis Barracuda untuk tiba di Stadium Gelora Bung Karno. Malaysia tewas 1-2 dalam perlawanan tersebut tetapi muncul juara dengan agregat 4-2.

Penyerang negara, Safee Sali muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 5 gol.

Rumusan

Sukar untuk menilai pasukan mana yang paling hebat di antara 5 skuad Harimau Malaya di atas. Anda pasti punyai hujah yang berbeza untuk menentukannya. Usah lupa, pencapaian mereka adalah dari era yang berbeza.

Satu perkara yang pasti ialah Harimau Malaya harus bangkit kembali mengaum din pentas dunia.

Siapa tahu, 10 tahun akan datang skuad Harimau Malaya 2026 akan menjadi tajuk penulisan di Semuanya BOLA sebagai skuad terhebat yang pernah dihasilkan negara.

Baca juga: Fandi Ahmad: Permata Tanah Melayu Menjadi Lagenda Di Groningen, Pernah Dilamar Ajax

The post 5 Skuad Harimau Malaya Yang Mengaum Kuat Di Pentas Antarabangsa appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia adalah skuad Harimau Malaya!

Harimau mempunyai beberapa spesis. Bagi orang-orang Melayu, mereka kadangkala menyebut nama binatang tersebut sebagai “ghimau” atau “pak belang”. Haiwan liar yang biasanya berkeliaran di pedalaman semenanjung Tanah Melayu ini digelar sebagai Panthera tigris jacksoni dalam istilah sains untuk sejenis subspesis harimau, dan selain itu dipanggil juga Malayan tiger dalam Bahasa Inggeris. Malangnya, ia kini semakin terancam dengan ancaman kepupusan apabila hanya terdapat kira-kira 250 hingga 340 ekor dewasa sahaja mengikut kajian yang telah dibuat.

Ilustrasi oleh Maman Rosnan
(kredit: www.behance.net)

Panthera tigris tigris atau harimau Benggala merupakan subspesis harimau yang paling banyak didapati di dunia manakala subspesis yang lain-lain adalah seperti harimau Indochina (Panthera tigris corbetti), harimau Sumatera (Panthera tigris sumatrae), dan harimau Siberia (Panthera tigris altaica). Dahulu terdapat juga harimau Jawa dan harimau Bali, namun kedua-duanya telah pun pupus.

Apa yang pelik, menurut persetujuan umum para pengkaji saintifik semasa, tidak pernah diketemui sebarang harimau di kepulauan Borneo (selain yang diambil oleh pihak zoo), tidak kiralah samada di Brunei, Kalimantan (Indonesia), Sarawak, Sabah, mahupun Labuan. Adakah ia telah pupus atau memang tidak wujud di situ, sedangkan suku asli Dayak Ngaju di Kalimantan Tengah ada menyebut “haramaung” untuk nama harimau? Oleh itu, siapa sahaja yang menjumpai spesis harimau di Borneo sudah tentu akan mencipta sejarah yang tersendiri memandangkan belum ada sesiapa pun lagi yang mampu menemuinya hingga setakat ini.

Peta kewujudan pelbagai spesis rimau
(sumber: news.mongabay.com)

Ramai yang tersalah anggap, bahawa nama gelaran pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia iaitu ‘Harimau Malaya‘ adalah semata-mata berdasarkan haiwan yang dinamakan sebagai Panthera tigris jacksoni tersebut. Walaupun tidak dinafikan bahawa Panthera tigris jacksoni yang disebut juga Malayan tiger benar-benar wujud (harap-harapnya tidaklah nanti menjadi pupus), gelaran ‘Harimau Malaya’ sebenarnya adalah satu pengiktirafan sempena tokoh lagenda bolasepak tanahair yang tidak lain dan tidak bukan, Dollah Don. Jika dahulu dia hampir dilupakan begitu sahaja, kini dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat yang canggih telah mengangkat semula namanya ke tempat yang sepatutnya.

Berdasarkan cerita sejarah, Dollah Don diberi nama jolokan ‘Harimau Malaya’ oleh Bung Karno, Presiden pertama Indonesia. Kisahnya, dalam satu perlawanan di Jakarta pada tahun 1953, Dollah Don menjaringkan hat-trick untuk mendapatkan keputusan seri setelah pasukannya ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama. Selepas peristiwa yang amat mengagumkan Presiden Sukarno itu, Dollah Don menjadi pemain yang asal dan yang pertama sekali dikenali sebagai ‘Harimau Malaya’. Semenjak daripada itulah, nama jolokan penyerang kelahiran Johor (yang bakatnya dicungkil oleh jurulatihnya Dol Fatah dari Singapura) tersebut turut dipinjamkan kepada setiap pemain yang menyarung jersi kebangsaan dan seterusnya terus diabadikan sebagai gelaran istimewa buat skuad kebangsaan.

Dollah Don berupaya mencatat
masa 10.60 saat dalam larian
100 meter pada masa mudanya.
(gambar: www.suara.tv)

Oleh yang demikian, rakyat Malaysia di negeri Sabah dan Sarawak mahupun negeri-negeri di semenanjung tidak perlu merasa risau, gusar, atau bimbang mengenai gelaran ‘Harimau Malaya’ ini. Skuad ‘Harimau Malaya’ masih lagi mewakili negara Malaysia, malahan sejak dahulu lagi seiring dengan perkembangan zaman. Maka, keputusan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM yang baharu untuk mengembalikan semula gelaran bersejarah tersebut amatlah dialu-alukan dan perlu disambut baik oleh kesemua warganegara Malaysia yang ambil peduli tentang perkara ini.

Sewaktu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah memulakan pembinaan Stadium Merdeka dahulu, beliau tidaklah mahu golongan majoriti Muslim hanya hadir ke stadium tetapi tidak ke masjid. Begitu juga dengan pembinaan Stadium Nasional Bukit Jalil yang diusahakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Akan tetapi, stadium hanyalah sebagai suatu peluang bagi rakyat yang berbilang kaum untuk mengetepikan perbezaan serta merapatkan jurang yang terbina dalam bidang politik, ekonomi, dan juga sosial. Sekiranya mahukan yang positif, sukan bolasepak seharusnya menjadi alat perpaduan rakyat dan bukannya penyebab kepada perpecahan.

Semasa penjajahan Jepun sekalipun tidak menghalang
keghairahan Tunku Abdul Rahman terhadap sukan bolasepak.
(kredit: berun)

Bagi yang Muslim, sama-samalah kita menyedekahkan surah al-Fatihah buat semua telah pergi sebelum kita. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan mengampuni kita semua.

DUNIA BOLA SEPAK

Bola Sepak : Harimau Malaysia dalam Kumpulan B

Pasukan bola sepak Malaysia atau Harimau Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama dengan pasukan Korea Utara, Hong Kong dan Lebanon dalam Pusingan Ketiga Kelayakan AFC Piala Asia 2019 UAE. Pasukan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee pastinya akan berdepan laluan berliku untuk menempatkan diri selaku 2 pasukan teratas Kumpulan B yang bakal melangkah ke Pusingan Akhir AFC Piala Asia 2019 UAE akan datang. 

Bual Sukan percaya, Ketua Jurulatih negara pastinya mempunyai perancangan menghadapi 3 pasukan ini yang berada di kedudukan terbaik ranking FIFA berbanding pasukan negara. Antara aspek yang penting adalah pemilihan pemain yang benar-benar komited beraksi untuk pasukan kebangsaan. Selain itu, perancangan formasi, strategi dan taktikal terbaik menghadapi pasukan lawan amat diperlukan. Setiap peluang dan ruang mencipta jaringan perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan pemain negara. Dengan disiplin pertahanan dan serangan yang baik tidak mustahil keputusan baik mampu dicapai. Tiada lagi istilah eksperimen pasukan negara. 

Selain itu juga, pemain yang terpilih adalah pemain yang benar-benar mempunyai kecergasan serta bebas kecederaan. Menghadapi pasukan Korea Utara, Hong Kong dan Lebanon yang rata-ratanya dibarisi oleh pemain-pemain yang lebih dari segi fizikal memerlukan pemain negara lebih lasak dan memberi komitmen sepenuhnya di atas padang. Dengan pemilihan pemain yang komited serta mempunyai tahap disiplin yang tinggi, tidak mustahil pasukan negara mampu melakar keputusan yang diharapkan mampu memberi sinar kepada bola sepak negara. Berikut adalah Jadual Perlawanan Pusingan Ketiga Kelayakan AFC Piala Asia 2019 UAE bagi Kumpulan B :

PERLAWANAN PERTAMA
28 Mac 2017
Korea Utara lwn Malaysia
Lebanon lwn Hong Kong

PERLAWANAN KEDUA
13 Jun 2017
Malaysia lwn Lebanon
Hong Kong lwn Korea Utara

PERLAWANAN KETIGA
5 September 2017
Malaysia lwn Hong Kong
Korea Utara lwn Lebanon

PERLAWANAN KEEMPAT
10 Oktober 2017
Hong Kong lwn Malaysia
Lebanon lwn Korea Utara

PERLAWANAN KELIMA
14 November 2017
Malaysia lwn Korea Utara
Hong Kong lwn Lebanon

PERLAWANAN KEENAM
27 Mac 2018

Korea Utara lwn Hong Kong
Lebanon lwn Malaysia

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Bola Sepak : Jelajah Oceania 2016 Harimau Malaysia

Pasukan Bola Sepak Malaysia atau nama gelaran Harimau Malaysia akan mengadakan 3 perlawanan persahabatan kelas A sempena Jelajah Oceania 2016. Pasukan bimbingan Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee ini bakal berdepan cabaran pasukan Papua New Guinea (17 Jun), New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun) akan datang. Pasukan Harimau Malaysia pastinya masih segar dengan 2 kali kemenangan 3-0 ke atas pasukan Timor Leste dalam pusingan playoff AFC Piala Asia 2019 UAE. Pasukan negara perlu memanfaatkan ketiga-tiga aksi ini sebaiknya dengan mencatatkan keputusan yang meyakinkan sebagai persediaan menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 Myanmar & Filipina selain persediaan menghadapi saingan pusingan ketiga playoff AFC Piala Asia 2019 UAE akan datang.

Berdasarkan kedudukan semasa ranking FIFA, pasukan negara berada pada kedudukan ke 173 dunia manakala lawan yang 3 pasukan yang bakal dihadapi ini berada pada kedudukan di bawah Malaysia iaitu New Caledonia (183), Fiji (186) dan Papua New Guinea (193). Pasukan Malaysia tidak seharusnya memandang rendah keupayaan pasukan lawan kerana kecuaian pastinya bakal dihukum pasukan lawan. Bual Sukan percaya, Datuk Ong Kim Swee pastinya akan menerapkan formasi, strategi dan taktikal terbaik menghadapi saingan Jelajah Oceania 2016 kali ini. Pasukan negara ke Jelajah Ocaenia 2016 tanpa kelibat Ketua Pasukan negara, Safiq Rahim yang masih dalam tempoh pemulihan daripada kecederaan yang dialaminya. Tugas sebagai Ketua Pasukan kini bakal digalas oleh pemain pertahanan berpengalaman, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak.  

Berikut adalah senarai 24 pemain Harimau Malaysia ke Jelajah Oceania 2016 akan datang :

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Incoming search terms:

Bola Sepak : Senarai 25 Pemain Harimau Malaysia menghadapi Myanmar dan Timor Leste

Pasukan Harimau Malaysia di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee bakal menghadapi 3 perlawanan penting iaitu menentang pasukan Myanmar (28 Mei) untuk aksi perlawanan antarabangsa kelas A serta bertemu Timor Leste (2 & 6 Jun) untuk aksi playoff Kelayakan AFC Piala Asia 2019 UAE. Datuk Ong Kim Swee pastinya akan memastikan 3 perlawanan yang dihadapi ini berakhir dengan keputusan yang positif setelah dalam 2 perlawanan sebelum ini pasukan Harimau Malaysia tewas 0-2 kepada Arab Saudi dalam aksi terakhir kelayakan FIFA Piala Dunia 2018 Russia serta Pusingan Kelayakan AFC Piala Asia 2019 UAE selain keputusan seri 0-0 dengan pasukan kerdil, Macau pada aksi persahabatan kelas A.

Pasukan Harimau Malaysia yang kini terperosok di kedudukan ke 174 ranking dunia pastinya akan berusaha memperbaiki kedudukan ranking dengan mencapai kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan ini. Namun lawan yang dihadapi ini iaitu Myanmar dan Timor Leste pastinya turut mampu melakar kejutan sekiranya pasukan negara leka. Bual Sukan percaya, Datuk Ong Kim Swee pastinya akan merancang formasi, strategi dan taktikal terbaik bagi mencapai kemenangan yang didambakan oleh seluruh peminat bola sepak Malaysia. Kemampuan menjaringkan gol juga perlu diberikan fokus oleh Datuk Ong Kim Swee bagi memastikan barisan penyerang mampu menyudahkan segala gerakan serta peluang terhidang. Selain itu, disiplin pertahanan yang tinggi juga perlu ditunjukkan oleh pasukan negara bagi memastikan setiap serangan pasukan lawan berjaya dipatahkan serta tidak memberi ruang pasukan lawan menjaringkan gol.

Berikut adalah senarai 25 orang pemain yang telah dipanggil untuk menjalani latihan pusat pasukan Harimau Malaysia akan datang :    

Penjaga Gol
Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
Mohd Izham Tarmizi Roslan (Johor Darul Ta’zim FC)
Mohd Farhan Abu Bakar (Kedah)

Pertahanan
S Kunanlan (Johor Darul Ta’zim FC)
Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak (Johor Darul Ta’zim FC)
Mohamad Fadhli Mohd Shas (Johor Darul Ta’zim FC)
Junior Eldstal (Johor Darul Ta’zim FC)
Muhammad Fazly Mazlan (Johor Darul Ta’zim FC)
Muhammad Shahrom Abdul Kalam (Selangor)
Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor)
Matthew Thomas Davies (Pahang)
Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka United)

Tengah
Safiq Rahim (Johor Darul Ta’zim FC)
Amirulhadi Zainal (Johor Darul Ta’zim FC)
S Chanthuru (Johor Darul Ta’zim FC)
R Gopinathan (Selangor)
Baddrol Bakhtiar (Kedah)
Ahmad Fakri Saarani (Kedah)
Mohamad Amirulhisyam Awang Kechik (Kedah)
Brendan Gan Seng Ling (Kelantan)
Abdul Latiff Suhaimi (PDRM FA)
D Christie Jayaseelan (Felda United)

Penyerang
Mohd Amri Yahyah (Johor Darul Ta’zim FC)
Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)
S Kumaahran (Pulau Pinang)

Senarai Menunggu
Wan Zack Haikal (Kelantan)
Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (Kelantan)
Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu)
Adam Nor Azlin (Selangor)
Mohd Khairulazhan Mohd Khalid (Perak)
S Veenod (Selangor)
Nazirul Naim (Perak)
Mohd Rizal Mohd Ghazali (Kedah)
Muhammad Hadin Azman (Felda United)
Mohd Azinee Taib (JDT)

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Bola Sepak : Keputusan Perlawanan Pasukan Harimau Malaysia 2016

Pasukan Harimau Malaysia di bawah kendalian Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee pastinya akan menjadikan tahun 2016 sebagai tahun kebangkitan semula pasukan bola sepak negara berikutan musim yang amat mengecewakan tahun 2015 yang lalu. Kekecewaan musim lalu pastinya akan cuba dilupakan dengan memberikan fokus terbaik menyusun semula pasukan Harimau Malaysia dengan menyenaraikan pemain-pemain yang benar-benar layak mewakili serta menyarung jersi keramat pasukan negara.

Antara fokus utama bagi tahun 2016 ini sudah pastilah saingan AFF Piala Suzuki 2016 yang bakal berlangsung penghujung tahun ini di Myanmar dan Filipina. Selain itu juga, fokus pasukan negara juga tertumpu kepada saingan playoff kelayakan AFC Piala Asia 2019 UAE selain berusaha memperbaiki kedudukan ranking FIFA pasukan negara yang kini terperosok di tangga ke 174 dunia (Ranking Bulan April 2016). Bagi tujuan tersebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia atau FAM pastinya telah merangka aksi perlawanan antarabangsa berkelas A untuk mengumpul mata memperbaiki ranking bertemu pasukan-pasukan dalam zon AFC, zon Ocenia ataupun zon CAF (Afrika). 

Bual Sukan percaya, Datuk Ong Kim Swee pastinya akan memilih barisan pemain-pemain terbaik dengan gabungan antara pemain-pemain berpengalaman serta pemain-pemain muda berpotensi besar untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap. Selain itu, beliau bersama barisan kejurulatihannya pasti akan merancang strategi, formasi serta taktikal terbaik menghadapi lawan yang ditemui. Segala kelemahan harus segera diperbaiki bagi memastikan pasukan negara mampu mencapai keputusan terbaik. Berikut adalah Keputusan Perlawanan pasukan Harimau Malaysia bagi tahun 2016 :

24 Mac 2016 : Arab Saudi (tewas 0-2) – Pusingan Kelayakan FIFA Piala Dunia 2018/Pusingan Kelayakan AFC Piala Asia 2019.

28 Mac 2016 : Macau (seri 0-0) – Persahabatan Antarabangsa

28 Mei 2016 : Akan diumumkan FAM kelak – Persahabatan Antarabangsa

2 Jun 2016 : Timor Leste – Perlawanan Pertama Pusingan Playoff Kelayakan AFC Piala Asia 2019 

7 Jun 2016 : Timor Leste – Perlawanan Kedua Pusingan Playoff Kelayakan AFC Piala Asia 2019

17 Jun 2016 : Papua New Guinea – Persahabatan Antarabangsa

22 Jun 2016 : New Caledonia – Persahabatan Antarabangsa

26 Jun 2016 : Fiji – Persahabatan Antarabangsa

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Bola Sepak : Senarai Pemain Harimau Malaya Menghadapi Laos dan Timor Leste

Pasukan Harimau Malaya akan menghadapi 2 perlawanan kompetitif iaitu perlawanan persahabatan menentang Laos pada 8 Oktober 2015 serta perlawanan kelima Pusingan Kelayakan FIFA Piala Dunia 2018 Russia dan Perlawanan Pusingan Kelayakan AFC Piala Asia 2019 UAE bertemu Timor Leste pada 13 Oktober 2015. Ketua Jurulatih sementara Pasukan Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee telah menyenaraikan 33 orang pemain terdiri daripada 23 pemain senarai utama manakala 10 pemain calon simpanan bagi kedua-dua perlawanan tersebut.

Bual Sukan percaya, Datuk Ong Kim Swee pastinya akan menyenaraikan pemain yang benar-benar berkualiti dan berkomitmen tinggi untuk kedua-dua perlawanan tersebut. Misi utama adalah untuk mencapai kemenangan selain mengembalikan semula maruah pasukan Harimau Malaya yang semakin merosot kebelakangan ini. Berikut adalah senarai pemain yang dipanggil menjalani latihan skuad kebangsaan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Laos pada 8 Oktober 2015 dan menentang Timor Leste pada 13 Oktober 2015 akan datang :

PENJAGA GOL:
Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Khairul Azhan Khalid (Pahang)

Mohd. Izham Tarmizi Roslan (JDT FC) 

PERTAHANAN: 
Mohd. Fadhli Mohd. Shas (JDT FC)
Aidil Zafuan Abdul Razak (JDT FC)
S Kunanlan (JDT FC)
Shahrul Mohd. Saad (Terengganu)
Zubir Azmi (Terengganu)
Nazirul Naim Che Hashim (Harimau Muda B)
Amirizdwan Taj Tajuddin (Kelantan)

Matthew Davis (Pahang) 

TENGAH
Baddrol Bakhtiar (Kedah)
Safiq Rahim (JDT FC)
Nasir Basharuddin (Perak)
Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan)

Azamuddin Akil (Pahang)

Mohd. Hafiz Kamal (Pahang) 
Christie Jayaseelan (Felda United)
Adam Nor Azlin (Harimau Muda B)

PENYERANG
Ismail Faruqi Ashari (Terengganu)
Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)
Amri Yahyah (JDT FC)
Safee Salee (JDT FC)

10 CALON SIMPANAN
Gary Steven Robbat (JDT FC)
S.Chanturu (JDT FC)
Mohammad Fazly Mazlan (JDT FC)
Joseph Kalang Tie (Sarawak)
Ronny Harun (Sarawak)
Syahrul Azwari Ibrahim (Harimau Muda B)
Farhan Abu Bakar (Harimau Muda B)
Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor)
Muhammad Nurridzuan Abu Hassan (Perak)
Ahmad Fakri Saarani (Kelantan)

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Incoming search terms:

Ekor Harimau Malaya

B3_uCq_CMAAtt91

Tidak perlu lagi untuk diberitahu, dan saya percaya bahawa seluruh penggiat bola sepak tanah air sudah sedia maklum tentang lolosnya pasukan Harimau Malaya secara penuh dramatik ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2014. Walaupun sebelum pertandingan bermula (bahkan ketika pertandingan berlangsung!), terlalu banyak halangan, tidak diberi sebarang harapan, ujian, cacian, tohmahan, makian, kritikan, provokasi dan macam-macam lagilah yang dihadapi.

Pendek kata, penuh pancaroba.

Dari kecederaan kapten pasukan, prestasi perlawanan persahabatan yang terumbang-ambing, kritikan terhadap pemilihan pemain, kecaman terhadap pengurus pasukan yang ‘tidak hadir’ latihan, kontroversi pemilihan stadium, provokasi penyebaran gambar (dari pihak lawan & pihak sendiri) terhadap pemain, penjaga gol yang fumble di minit-minit akhir perlawanan yang hampir menyingkirkan pasukan kita, eh kalau nak senarai semua halangan memang berjela artikel ni nanti.

Jadi, kualiti apakah yang pasukan ini ada sampaikan kita berjaya menongkah segala arus besar dan melangkah dengan bergaya ke separuh akhir? Pantang menyerah. Betul, pasukan ini mempunyai semangat cukup kental yang tak kenal erti mengalah, yang tak kenal erti rebah, yang tak kenal erti lelah, yang tak kenal erti menyerah. Selagi belum tamat, selagi itu mereka akan bermati-matian menentang segala kemungkinan. Inilah semangat Harimau Malaya. Semangat yang kita semai di sanubari setiap pemain dan jurulatih. Bayangkan jika mereka tiada semangat ini, memang awal-awal lagi kita dah bungkus.

Tabik buat semua, namun harus diingat perjalanan masih panjang, dan kita mesti juang sampai menang!

Kualiti dan semangat yang sama turut dikongsi oleh pemain ke-12 Harimau Malaya. Ya, kita semua para penyokong. Di saat tuan rumah yang sedaya upaya untuk menyekat seramai mana yang boleh penyokong Malaysia dari menyeberangi tambak, tidak sedikit pun kita berasa gentar atau takut. Bahkan semakin bersemangat, dan semakin tinggi keghairahan! Di sebalik tiga orang komrad yang dihantar pulang tanpa sebarang sebab musabab yang sahih, beribu lagi komrad yang lain menyeberang bak pahlawan untuk menjadi ekor Harimau Malaya yang sejati. Kita pelbagaikan cara memasuki negara tersebut, melalui udara, kenderaan peribadi, kenderaan awam, kenderaan sewa, semata-mata untuk mengelak hajat busuk mereka itu. Apa saja halangan di hadapan, kita tidak pernah peduli dan kita tidak membiarkan itu semua menjadi alasan kita menyerah. Sebaliknya, kita terkam, kita cengkam, kita baham.

Saya yang turut berkesempatan bersama para pemain ke-12 yang lain ke Singapura juga melalui pengalaman bagaimana jerih payah untuk melepasi imigresen yang begitu ketat dan sengaja dilambatkan proses pengecopan buku merah, beberapa komrad yang ditahan untuk disoal siasat tanpa sebarang motif, sebuah bas rombongan yang rosak, terbang ke Singapura tanpa tiket pulang, tidur di kaki lima, berjalan kaki ke stadium berjam-jam, dan bas yang terpaksa diiring oleh polis bantuan bodoh mereka. Tidak cukup dengan itu kami semua diperiksa seluruh badan bagaikan penjenayah sedangkan kami hanya mahu menyaksikan perlawanan bola sepak! Busuk hati sungguh mereka. Namun, di sebalik segala jerih payah itu, dapat bersama dan menyaksikan kebangkitan Harimau Malaya di saat akhir (ketika perlawanan menentang Singapura) dan berjaya mendiamkan 50 ribu penyokong Singapura, begitu manis sekali. Tidak ternilai, dan sukar untuk menggambarkan perasaan dan atmosfera ketika itu. Dan ternyata, ‘Kallang Roar’ hanyalah satu dongengan semata. Saya juga tersentuh apabila melihat ramai komrad yang menitiskan air mata sebaik sahaja Safiq Rahim berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang sememangnya layak diberikan itu. Inilah jiwa Anak Malaysia yang disulami semangat Harimau Malaya! Selain menangis kegembiraan, saya juga terlihat penyokong Malaysia yang menari kegirangan di Pusat Imigresen Tuas (Singapura) pada jam 12 tengah malam ketika ingin pulang ke tanah air. Amboi, bukan main lagi.

Tabik buat semua dan saya begitu berbangga dapat bersama kalian. Namun saya ingatkan sekali lagi, perjalanan masih panjang, dan kita mesti juang sampai menang!

Di kesempatan ini, saya dengan segala hormatnya ingin menyeru, mengajak, dan menjemput anda semua ke Stadium Shah Alam, Selangor pada 7 Disember 2014 (Ahad), untuk bersama-sama kita menjadi pemain ke-12, menjadi ekor Harimau Malaya di perlawanan separuh akhir menentang Vietnam. Ayuh Malaysia, tidak kira di mana sekalipun anda berada, baik di Perlis, di Kedah, di Pulau Pinang, di Perak, di Kelantan, di Terengganu, di Pahang, di Sabah, di Sarawak, di Labuan, di Johor, di Melaka, di Negeri Sembilan, di Putrajaya, di Selangor, mahupun di Kuala Lumpur, mari kita bersatu dengan jiwa Malaysia, dengan semangat Harimau Malaya bersama menjadi sebahagian dari sejarah. Harimau Malaya perlukan kita semua! Malaysia perlukan kita semua! Ayuh semua!

Anda bilang anda sayang? Nah, inilah peluang untuk buktikan sayang anda.

Anda bilang anda cinta? Nah, inilah masa untuk buktikan kecintaan anda.

Anda bilang anda setia? Nah, inilah cara untuk buktikan kesetiaan anda.

Di setiap binaan yang gah, terbinanya dengan asas yang kukuh. Iya, penyokonglah asas buat sesebuah pasukan bola sepak itu. Tanpa penyokong tidak relevanlah sesebuah pasukan bola sepak, sama seperti tidak relevan seekor harimau tanpa ekornya. Pernah anda melihat harimau tiada ekor? Saya juga tidak pernah. Jikalau Safee Sali dan Mat Yo adalah taring Harimau Malaya, kitalah ekornya. Jikalau S. Kunanlan dan Azamuddin Akil kaki Harimau Malaya, kitalah ekornya. Jikalau Safiq Rahim dan Gary Steven adalah jantung dan nadi Harimau Malaya, kitalah ekornya.

Pada sesiapa yang belum mendapatkan tiket perlawanan, anda masih sempat untuk membelinya. Usahalah dengan apa cara sekalipun untuk memastikan diri anda menjadi sebahagian dari sejarah. Jika tidak mampu untuk membeli tiket perlawanan, gadailah apa saja yang ada di simpanan, mafla mahal anda contohnya. Kalau tak ada duit sangat, panjat pagar! Pandai-pandailah nak hidup. Kita cari jalan, dan bukannya alasan.

Jadi ingat temu janji kita bak kata Daud Ghani semalam, kita berkumpul di Tapak Bazarena (berhadapan Tesco Extra) pada jam 5 petang dan kita akan ber-MEGA-CORTEO sebelum perlawanan bermula. Sasaran kita adalah seramai 10,000 orang ber-corteo! Di dalam stadium, kita bounce sama-sama, kita sorak sama-sama, kita nangis sama-sama.

Jumpa anda di sana.

-K-

Ayuh bangkit bersama,
Demi nusa dan bangsa,
Kan ku julang namamu,
Oh tanah airku,
Malaysia yang satu,
Kan ku julang namamu,
Oh tanah airku,
Malaysia yang satu,
MA-LAY-SIA!


Copy of Full Text RSS Builder