8 Perkara Asas Yang Anda Harus Tahu Ketika Menggelecek Bola

Menggelecek adalah satu aktiviti di mana pemain bola sepak menguasai bola di kaki mereka dan menggerakkannya melepasi pertahanan.

Ketika menggelecek, pemain perlu menyudahkan gelecekan mereka dengan hantaran ataupun rembatan. Barulah ia dikira gelecekan yang berjaya dan dimasukkan dalam data opta (jika ada).

Gelecekan memerlukan pemain untuk berada dalam kedudukan yang seimbang dan stabil ketika melarikan bola.

Sehebat mana seorang pemain itu menggelecek, jika terlampau menggelecek ia akan mempengaruhi ketajaman sesebuah pasukan.

Jadi, menggelecek tu biarlah berpada-pada dan atas tujuan untuk mencipta gol sama ada mencetuskan peluang ataupun cubaan gol secara berpasukan.

1. Fokus

Ketika menggelecek pastikan anda ada visi yang baik dan sentiasa fokus kepada halangan dari semua arah termasuk dari belakang.

Penggelecek yang hebat akan boleh mengurangkan perhatian kepada bola berbanding dengan pemain yang di sekitar mereka.

2. Mengekalkan penguasaan bola

Anda perlu memastikan anda ada kawalan ke atas bola daripada dirampas pihak lawan dan hilang penguasaan.

Misi utama anda menggelecek adalah untuk mengekalkan penguasaan bola. Antara cara yang anda boleh lakukan ialah:

i. Melindungi bola (Shielding the Ball)

Ia adalah satu cara pemain melindungi bola dengan badan mereka. Pemain lawan tidak ada akses kepada bola ketika anda menggerakkan bola.

Jadi, amda perlu melatih fizikal anda supaya menjadi lebih kuat dan stabil. Semakin kuat anda melidungi bola, semakin tinggi kemampuan anda menggelecek.

ii. Kekal dekat dengan bola (Keeping the Ball Close)

Salah satu cara pertahanan mematikan gelecekan lawan adalah dengan bentesan dan terjahan.

Jadi, seorang peggelecek harus ada kemampuan tinggi dalam menyentuh ataupun menggentel bola dengan kaki.

Kemahiran seperti melakukan depth touch dan close control ala Iniesta antara yang menjadi impian semua dribbler.

Jadi, banyakkan latihan untuk menggelecek dan mengawal bola dalam keadaan yang sangat dekat dengan kaki.

3. Segera masuk ke dalam ruang

Anda perlu berlatih untuk segera masuk ke dalam ruang yang terbuka dengan segera.

Semakin baik seorang itu menggelecek, semakin tinggi kemampuan mereka untuk masuk ke dalam ruang kecil.

Sekiranya anda terkepung, pastikan anda cepat membuat keputusan yang tepat, sama ada untuk meneruskan gelecekan ataupun melepaskan hantaran.

4. Tewaskan pertahanan

Anda perlu tahu kemampuan pertahanan yang akan anda tentang.

Antara aspek yang kerap diambil kira adalah kelajuan pertahanan yang bakal anda tentang. Jika anda lebih laju mungkin anda ada kelebihan.

Tetapi jika pertahanan tersebut lebih laju daripada anda, anda memerlukan kemampuan teknikal untuk mengatasi mereka.

Cuba buat kajian, kelemahan pemain pertahanan termasuk kekuatan fizikal mereka ketika mencabar anda secara fizikal.

Ada sesetengah pertahanan terlalu agresif dan cepat melancarkan bentesan. Anda perlu ada plan untuk memanipulasi keadaan ini.

4 di atas ini adalah asas. Manakala 4 lagi aspek selepas ini berkaitan dengan bakat dan latihan.

5. Teknik gelecekan

Walaupun anda tidak berbakat tinggi, namun anda harus ingat, kemahiran itu boleh diasah dengan latihan.

Banyakkan latihan menyentuh bola menggunakan kaki dalam, kaki luar, instep dan tapak kaki.

Penggelecek profesional biasanya boleh melakukan sentuhan dengan 4 bahagian tersebut. Itu yang menjadikan gerakan mereka lebih semulajadi.

6. Menggelecek dengan kelajuan

Anda boleh menajamkan skil gelecekan dengan menggelecek dalam keadaan yang laju.

Semakin tinggi kadar kelajuan dengan kemampuan anda mengawal bola, anda akan semakin baik menggelecek.

Kadangkala, anda perlu bertindak sendiri tanpa perlu menunggu rakan untuk menuju ke kawasan gol dan meyudahkan bola tersebut.

7. Menukar arah (Changing Direction)

Ini adalah rutin yang paling berkesan untuk menewaskan pertahanan. Anda lihat sahaja Eden Hazard, Robben, Ronaldo dan Lionel Messi.

Ia membuatkan pertahanan terperangkap sehingga ada yang terjatuh. Anda perlu melatih fizikal dan teknik kawalan bola anda supaya tangkas untuk menukar arah dengan berkesan.

8. Gunakan kedua-dua kaki

Tidak ramai yang boleh menggelecek secara efektif dengan kedua-dua kaki. Untuk pemain yang tipikal ini, mereka digelar complete dribbler.

Contohnya Neymar, Adam Lallana, dan Ronldinho.

Anda tidak perlu menjadi complete dribbler, sebaliknya anda perlu ada kemampuan untuk menggunakan kedua-dua belah kaki untuk menyentuh bola.

Penting juga untuk anda tajamkan kaki dominan anda dengan secukupnya. Pemain seperti Messi, Mata dan juga Hazard, mereka lebih dominan dengan satu kaki tetapi sangat berkesan.

Rumusan

Menggelecek adalah satu aktiviti yang nampak hebat apabila seseorang pemain itu efektif. Namun ia akan menyakitkan hati semua orang jika ia kerap gagal dan tidak efektif.

Anda perlu menajamkan aspek sentuhan dan juga visi di dalam padang. Teknikal yang tinggi ditambah dengan kelajuan yang baik adalah ramuan terbaik untuk seorang penggelecek.

Baca juga: Kelayakan Piala Asia B-23 2018, Malaysia Diundi Bersama-Sama Thailand

The post 8 Perkara Asas Yang Anda Harus Tahu Ketika Menggelecek Bola appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

PBNS Harus Singkir Alves!!

N.Sembilan bakal beraksi di Liga Premier musim hadapan seandainya tiada “langkah menyelamat” dilakukan PBNS. Apa istimewanya Alves dimata PBNS? Adalah amat mengejutkan PBNS masih mampu bersabar dengan rekod 15 perlawanan tanpa kemenangan skuad kendalian Divaldo Alves dalam saingan Liga Super musim ini. Sedangan pada musim 2011, PBNS telah menyingkirkan Wan Jamak hanya selepas 7 perlawanan Liga Super.
“Langkah Menyelamat” yang dimaksudkan ialah dengan menyingkirkan individu yang terlibat secara langsung didalam latihan, pemilihan pemain serta taktikal pasukan, Divaldo Alves. Pada permulaan musim Alves agak cenderung menggunakan formasi secara defensif 4-2-3-1. Ia ternyata agak berkesan ketika bertahan namun memberikan kesan negatif dalam aspek serangan.  Ternyata Alves gagal mencatur taktikal terbaik walaupun beliau telah menyedari taktikal yang diterapkannya gagal menjelmakan kejayaan buat pasukan. De Porras menjadi kambing hitam diatas kegagalan barisan serangan N.Sembilan musim ini, sedangkan Alves lah yang membawa penyerang tersebut ke sini. Dalam pusingan kedua Liga Super barulah Alves dilihat menukar kepada formasi 4-4-2, satu langkah yang sepatutnya diambil lebih awal.
Tempoh untuk mendapatkan pemain baru telah disia-siakan bagi mendapatkan pemain tempatan yang berkualiti. Hanya Fadhil Hashim yang berjaya ditandatangani bagi mengantikan Azmeer Yusof. Alves sepatutnya mengambil peluang ini dengan mendapatkan pemain baru bagi menampung kelompangan yang ada dalam pasukan terutamanya dibahagian midfield. Ini kerana punca utama kegagalan skuad N.Sembilan meraih sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super hingga setakat ini adalah kerana ketumpulan di jentera serangan serta ketiadaan “jeneral” di tengah padang bagi mengatur perlawanan. Alves ternyata ketandusan idea bagi mengatasi masalah ini. Taktikal yang diterapkan oleh Alves gagal untuk menghasilkan keputusan yang positif. Bayangkan jumlah jaringan yang dihasilkan oleh pasukan N.Sembilan 7 gol hingga setakat ini adalah kurang daripada separuh jumlah gol yang dijaringkan oleh Marlon Alex James. Fabio Leandro Barbossa yang menggantikan De Porras kelihatan agak berbisa tetapi kerana kegagalan barisan tengah memberikan sokongan ketika menyerang, kemampuannya sebagai penyerang gagal dimanipulasikan sepenuhnya.
Suka atau tidak PBNS harus menerima hakikat mereka perlu mendapatkan pengganti kepada Alves sebelum keadaan menjadi bertambah parah. Untuk jalan selamat pilihlah jurulatih tempatan yang berwibawa. Ketika ini kepakaran jurulatih tempatan amat penting kerana jika jurulatih import yang diambil, akan timbul masalah untuk jurulatih terbabit mengenali karektor serta potensi pemain dalam waktu terdekat. Jesteru itu pengalaman jurulatih seperti Wan Jamak Wan Hassan, Norizan Bakar ataupun M.Karathu boleh ditagih sebagai individu yang sesuai mengantikan tempat Alves. Sekiranya pasukan N.Sembilan terjerumus ke saingan Liga Premier musim hadapan, ruang untuk kembali bangkit tentu sukar kerana sudah pasti pemain-pemain terbaik skuad N.Sembilan akan dipancing pasukan lain terutamanya yang bermain di Liga Super. Semoga PBNS dapat melakukan sesuatu bagi menjamin skuad N.Sembilan terus bersaing dalam saingan tertinggi negara. Kepada PBNS, carilah individu yang lebih berkelayakan membimbing skuad N.Sembilan kerana Divaldo Alves sudah terbukti GAGAL.

Bolasepak Malaysia