Bola Sepak : Perak TBG Lepaskan Karl Heinz Weigang Lantik Mehmet Durakovic

Ketua Jurulatih Perak The Bos Gaurus, Karl Heinz Weigang yang berasal dari Jerman menjadi Ketua Jurulatih ketiga selepas Mario Gomez (Johor Darul Ta’zim FC) dan Azmi Mohamed (Felda United) meninggalkan jawatan setelah kontrak beliau ditamatkan dengan persetujuan bersama pasukannya pada 22 Februari 2017. Tempat beliau akan diambil alih oleh bekas pemain serta Ketua Jurulatih pasukan Selangor, Mehmet Durakovic yang berasal dari Australia. Weigang atau nama panggilan mesra di kalangan peminatnya “Atuk Weigang” yang kini berusia 80 tahun merupakan Ketua Jurulatih tertua Liga Super 2017. Beliau telah mengemudi Perak beberapa kali dan membawa pasukan Perak TBG kembali ke landasan terbaik beberapa kali ekoran kemerosotan prestasi.

Musim Liga Malaysia 2017 ini menyaksikan beliau berjaya mengemudi pasukan The Bos Gaurus dalam 6 perlawanan iaitu 5 perlawanan Liga Super 2017 serta 1 perlawanan Pusingan Kedua Piala FA 2017. Perak TBG berjaya mencatatkan 4 kemenangan, 1 seri serta 1 kekalahan sepanjang 6 perlawanan tersebut. Bual Sukan percaya, walaupun beliau telah dilepaskan oleh pasukan Perak TBG, jasa beliau akan terus dikenang oleh penyokong-penyokong pasukan Perak TBG.

Ketua Jurulatih baru Perak TBG, Mehmet Durakovic pastinya berdepan tugasan yang mencabar mengemudi pasukan Perak TBG untuk kembali memberikan saingan yang kompetitif dalam saingan Liga Malaysia 2017 ini. Tugasan pertama beliau pastinya berdepan dengan pasukan Felda United pada 25 Februari 2017 (Sabtu) ini dalam perlawanan Liga Super 2017 yang akan berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. Apa yang menariknya adalah kedua-dua pasukan ini akan dikendalikan oleh Ketua Jurulatih baru mereka. 

Sukan Malaysia dan Antarabangsa