Thailand FA Ikat Tenaga Pakar Malaysia, Serap Lim Kim Chon Dalam Pasukan Kejurulatihan

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah menandatangani kontrak bersama seorang instruktor FIFA dari Malaysia iaitu Lim Kim Chon.

Ianya sebahagian daripada program untuk memastikan impian Piala Dunia 2026 mereka dapat direalisasikan.

Lim Kim Chon telah dilantik oleh pihak FAT dalam rangka badan bola sepak Thailand itu merevolusikan bola sepak negara Gajah Perang itu.

Sebelum ini FAT telah membawa masuk kepakaran luar untuk meningkatkan kemahiran teknikal pemain Thailand dengan membawa 4 bekas jurulatih dari kelab gergasi Sepanyol, Barcelona bagi setiap pasukan bawah umur mereka.

Barisan Keurulatihan Baharu FAT.

Tetapi portfolio yang diperolehi oleh Lim Kim Chon adalah berlainan. Lim Kim Chon dilantik untuk mengetuai bahagian pendidikan kejurulatihan. Ini bermakna Kim Chon akan membantu FAT untuk menghasilkan jurulatih-jurulatih yang berkualiti untuk Thailand.

Laporan di sesawang rasmi FAT menyatakan bahawa Lim Kim Chon akan mengambil alih kesemua modul kursus kejurulatihan yang dikendalikan badan induk bola sepak Thailand itu.

Ini termasuk untuk jurulatih yang berkelayakkan di Thailand untuk memperolehi Sijil Kursus Kejurulatihan AFC “C” dan FC Pro- Diploma Coaching Course.

Lim Kim Chon (berbaju gelap) ketika bersama AFC.

Lim Kim Chon yang juga mempunyai pengalaman sebagai Pengarah Teknikal di Konfiderasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata cabaran utama beliau ialah untuk membantu Thailand untuk memiliki jurulatih yang berilmu pengetahuan di dalam bidang kejurulatihan.

Beliau juga dipetik sebagai berkata bahawa sasaran sekarang ialah untuk meningkatkan ilmu kejurulatihan untuk jurulatih yang berasal daripada Thailand dan berharap untuk melihat hasilnya selepas 2 tahun.

Impian Lim Kim Chon ialah untuk melihat jurulatih daripada Thailand berkhidmat dengan AFC dan di negara serantau hasil daripada program yang mereka dalami bersama beliau.

Lim Kim Chon ketika menyertai NFDP.

Lim Kim Chon, 62 tahun,  bukanlah watak yang asing dalam bola sepak di negara kita di peringkat pembangunan.

Beliau adalah seorang individu yang kaya dengan pengalaman kejurulatihan di peringkat akar umbi sehinggalah ke badan bola sepak dunia, FIFA.

Pada Piala Dunia 2006, Lim Kim Chon adalah antara individu yang dilantik sebagai ahli kumpulan teknikal FIFA untuk berkhidmat dalam bahagian kaji selidi (research).

Di Malaysia, Lim Kim Chon adalah individu yang menyelaras program Mykids Soccer di seluruh negara. Beliau juga pernah menganggotai satu jawatankuasa khas di bawah Datuk Razali Ibrahim (Timbalan Menteri Belia dan Sukan ketika itu) untuk memantau pelbagai program peringkat pembangunan di negara kita.

Setelah itu, Lim Kim Chon bersama-sama dengan adik beliau, Lim Teong Kim memilih untuk menyertai Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Beliau kemudiannya menyertai FIFA sebagai instruktor.

Kami di Semuanya BOLA mengucapkan selamat maju jaya kepada Lim Kim Chon atas peranan baru beliau.

Baca juga: Highlight: Chelsea 4 Tottenham Hotspurs 2, Conte Dan The Blues Ke Final Piala FA!

The post Thailand FA Ikat Tenaga Pakar Malaysia, Serap Lim Kim Chon Dalam Pasukan Kejurulatihan appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Sepanyol Takkan Ubah Taktikal, Itali Bakal Guna Eder Untuk Ikat Busquet

Perang psikologi antara media Itali dengan Sepanyol sudah bermula.

Ketika ini, media kedua-dua negara sedang cuba mengkaji taktikal lawan masing-masing untuk menjangka keputusan Itali vs Sepanyol; perlawanan berprofil paling tinggi dalam peringkat 16 pasukan terakhir Piala Eropah 2016.

Football Espana mendedahkan komen Cesc Fabregas yang memberitahu, Sepanyol takkan mengubah apa-apa taktikal mereka meskipun sedar Itali bermain dengan formasi ultra-menyerang 3-3-4.

“Italy sentiasa sukar untuk ditewaskan. Apa yang pasti dari segi taktikal, kami takkan ubah cara kami menyerang dan bertahan.”

“Kami hanya akan bergantung kepada variasi pemain yang kami ada di bahagian serangan.”

 

Ketika ini, Sepanyol mempunyai dua pilihan untuk mengetuai jentera serangan – Alvaro Morata dan Aritz Aduriz.

Vincente del Bosque lebih gemarkan Morata yang gemar melakukan link-up play dengan pemain-pemain tengahnya.

Ini membolehkan Sepanyol menyerang dengan hantaran pendek dan menggunakan kebijaksanaan Morata mencari ruang membuat penyudah untuk menjaringkan gol.

Tetapi jika Sepanyol perlukan alternatif yang lebih direct dan fizikal, Aduritz adalah calonnya.

Ulangan final Piala Eropah 2012

Fabregas turut menjelaskan perlawanan awal pagi esok (waktu Malaysia) ini akan sangat berlainan dengan perlawanan final Piala Eropah 2012.

“Perlawanan itu mungkin persembahan terbaik saya untuk La Roja.”

“Selalunya anda akan rasa tekanan yang tinggi dalam final. Tetapi segalanya mudah bagi kami pada malam itu. Bagaimanapun, pada malam nanti, ia cerita lain.”

Eder kunci Itali kalahkan Sepanyol

Sementara itu di kem Itali, akhbar La Gazzetta dello Sport mendedahkan penyerang Internazionale, Eder bakal menjadi pemain paling penting untuk menggagalkan Sepanyol pada awal pagi esok.

Eder akan diarahkan untuk turun dan melakukan intense pressing kepada Sergio Busquets untuk menyukarkan build-up serangan Sepanyol yang sentiasa bermula dari bawah.

 

Ini juga taktik sama yang dilakukan oleh Croatia apabila Ivan Rakitic diarahkan untuk melakukan perkara sama kepada Busquets semasa Croatia menewaskan Sepanyol 2-1.

Tugas Eder ini sangat memenatkan kerana Eder juga perlu naik menyerang dan menyokong Graziano Pelle apabila Itali mempunyai penguasaan bola.

Conte: Itali bukan kambing korban

Sementara itu, ketua jurulatih Itali, Antonio Conte memberi amaran kepada Sepanyol bahawa pasukannya tidak akan menjadi ‘kambing korban’ untuk Sepanyol.

“Mereka (Sepanyol) perlu menjadi ‘lebih dari istimewa’ untuk kalahkan kami,” kata Conte.

 

Ketika ditanya mengenai stereotaip Sepanyol sering bergelut ketika bertemu pasukan yang menggunakan back three, Conte menjawab:

“Formasi hanyalah nombor sahaja. Setiap pasukan sudah ada sistem unik yang secocok dengan karakteristik pemain-pemainnya.”

“Kalau kami kalahkan Sepanyol, ia adalah kerana kami mengkaji pasukan mereka. Kami tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Bukannya kerana stereotaip tersebut.”

Itali akan menentang Sepanyol di Stade de France, Paris pada pukul 12 tengah malam ini (waktu Malaysia). Pemenang akan bertemu Jerman dalam peringkat suku akhir.

Baca juga: Antonio Conte Tegur Analisis Taktikal Media Itali: Kami Main 3-3-4, Bukannya 3-5-2

The post Sepanyol Takkan Ubah Taktikal, Itali Bakal Guna Eder Untuk Ikat Busquet appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA