Previu Dan Analisis: Mengapa Natxo Insa Adalah Pemain ‘Sepanyol’ Dimaksudkan TMJ

Seorang pembaca setia kami, Hairi Mohd membuat satu previu ringkas tentang prospek perpindahan pemain yang akan berlaku dalam jendela perpindahan pertengahan musim.

Previu Hairi Mohd

TMJ ada menyatakan, “Selain Ghaddar, kami akan membawa seorang lagi pemain berasal dari Sepanyol menyertai JDT.”

Sepanyol? Siapakah gerangannya?

Melalui suatu rakaman video yang disiarkan di laman rasmi Johor Southern Tiger pada hari ini, TMJ telah membayangkan bahawa selain Mohammed Ghaddar, akan ada seorang lagi pemain yang dibawa masuk.

Dan pemain itu ialah pemain berasal dari Sepanyol. Kini, JDT telah mempunyai 4 pemain asing iaitu Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera (Argentina), Brian Ferreira (Iraq) dan Marcos antonio (Brazil).

Analisis berdasarkan regulasi

Secara kiraan 3 + 1, apabila Mohammed Ghaddar dibawa masuk sebagai pemain yang berpasport Asia, sudah pasti kedudukan Brian Fereirra yang akan terancam.

Jelas sekali Brian pasti akan disingkirkan dari JDT. Namun, kini TMJ tampil dengan suatu lagi kejutan, apabila mengumumkan bahawa seorang lagi pemain asal Sepanyol akan dibawa masuk semasa musim perpindahan kedua nanti.

Jadi siapakah pula seorang lagi pemain yang terpaksa disingkirkan? Gabriel Guerra? Gonzalo Cabrera? Mahupun Marcos Antonio?

Di dalam hati, saya berkata tidak mungkin Marcos kerana secara jelas JDT mahu memperkuat bahagian serangan dan tengah.

Pengumuman ini amat mengejutkan kerana ketiga-tiga import ini iaitu Gabi, Cabrera, dan Marcos memperagakan aksi yang amat baik bersama JDT dan kini menjadi kesayangan penyokong JDT.

MALAYSIA. Johor Bahru: JDT players celebrates Guerra goal during Super League match between JDT and Melaka at Larkin Stadium on April 9, 2017. Photo by Nizam Rahman – www.asiana.my

Oleh itu, apakah solusi untuk membawa masuk seorang lagi pemain asing dari Sepanyol di samping mengekalkan 3 lagi pemain asing?

Setelah puas berfikir dan mengambil kira syarat-syarat pendaftaran pemain asing dan trend-trend perpindahan pemain di Malaysia, saya membuat kesimpulan yang mudah iaitu naturalisasi!

Namun begitu, Siapakah pemain yang layak dinaturalisasikan oleh JDT? JDT nama yang besar, JDT telah mengambil beberapa pemain naturalisasi sebelum ini namun impaknya tidaklah begitu besar.

Potensi corak pengurusan pasukan model TMJ

Seperti yang kita tahu, TMJ ialah seorang yang sentiasa mahukan perubahan, kemajuan dan tidak gemar akan sesuatu yang statik.

Sudah pasti kalau benar, pemain naturalisasi yang ingin dibawa masuk, pastilah beliau mestilah pemain bertaraf liga antarabangsa seperti liga Eropah, mempunyai ikatan darah dengan Malaysia dan mestilah berasal dari Sepanyol.

Namun siapakah gerangannya? Setelah membuat rujukan tentang posisi paling kritikal yang dialami oleh JDT iaitu bahagian deffensive midfielder (DM).

Prospek dari kaca mata Hairi Mohd

Dan dengan sedikit pembacaan ditambah dengan pelbagai khabar angin dan ‘hint’ yang pernah TMJ sendiri dedahkan mengenai pemain pilihannya.

Pada perkiraan saya pemain berkualiti tinggi yang paling sesuai dinaturalisasikan pastilah Natxo Insa. Siapakah Natxo Insa?

Beliau adalah abang kepada Kiko Insa, pemain berusia 28 tahun yang berasal dari Sepanyol yang baharu saja dinaturalisasikan oleh pasukan Pahang.

Kiko Insa kini bermain bersama Pahang atas status naturalisasi. Sebagai logiknya, jika Kiko Insa berjaya mendapatkan status naturalisasi kerana neneknya berasal dari Malaysia, mengapa tidak Natxo?

Pasti Natxo juga tidak menghadapi masalah untuk memohon status naturalisasi.

Jika JDT benar-benar menaturalisasikan Natxo Insa, pastinya ia berpotensi menjadi pemain naturalisasi Malaysia yang paling berprofil tinggi.

Kenapa?

Ini kerana pemain ini merupakan pemain Sepanyol yang mempunyai pemgalaman bersaing di kelab-kelab hebat La Liga dan kini beraksi di Liga Segunda bersama Levante UD.

Mengapakah JDT perlukan Natxo? Kemungkinan jika Natxo diserap masuk sedikit sebanyak beliau akan dapat menampung masalah paling kronik yang dihadapi oleh JDT pada masa ini iaitu posisi ‘deffensive midfielder’.

Oleh itu kemasukan pemain seperti Natxo akan menutup kelemahan di bahagian itu yang dialami oleh JDT sejak ketiadaan Harris Harun.

Profil Natxo Insa

Nama sebenar: Ignacio Insa Bohigues
Umur: 30 tahun (9 Jun 1986)
Ketinggian: 1.77m
Kelab-kelab terdahulu:
Valencia, Villareal, Celta Vigo, Real Zaragoza.
Kelab sekarang Levante UD
Posisi: pemain tengah
Keluarga: Abang kepada Kiko Insa (Pahang FA, bekas pemain Arema Indonesia dan Bali United & pemain naturalisasi Malaysia asal Sepanyol)

Adakah ia berlaku?

Jika benarlah seperti perkiraan saya, maka tiada apa yang dapat saya katakan buat pemilik pasukan JDT iaitu TMJ melainkan anda memang seorang yang bijak, oportunis dan berpandangan jauh.

Jika impian untuk melihat Natxo menjadi pemain naturalisasi JDT akan menjadi kenyataan, hal ini pasti akan membawa keuntungan kepada pasukan JDT dan juga akan memperkasakan skuad kebangsaan Malaysia pada masa hadapan.

Untuk pengetahuan semua pembaca ini hanyalah pandangan peribadi saya sebagai seorang pencinta bola sepak liga Malaysia.

The post Previu Dan Analisis: Mengapa Natxo Insa Adalah Pemain ‘Sepanyol’ Dimaksudkan TMJ appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA