Penentuan Sama Ada Los Angeles Atau Paris, Siapa Akan Jadi Hos Olimpik 2024?

Beberapa minggu lalu, Budapest, Hungary telah menarik diri dari persaingan bidaan hos Olimpik 2024.

Maka, tinggallah Los Angeles (Amerika Syarikat) dan Paris (Perancis) untuk saingan bidaan hos Sukan Olimpik 2024.

Sebelum ini, Rom (Itali) dan Hamburg (Jerman) juga menarik diri untuk membida temasya sukan terulung dunia untuk edisi 2024.

Timbul kerisauan

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menyuarakan kebimbangan bahawa masa depan penganjuran Sukan Olimpik setelah 3 bidaan ditarik keluar.

Kebetulan juga, Durban di Afrika Selatan ditarik hak penganjuran Sukan Komanwel 2022 oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).

CGF pernah menyuarakan kebimbangan penganjuran Sukan Komanwel tidak lama dulu.

Nota: Sukan Komanwel tidak pernah menganjurkan acara bola sepak walaupun bola sepak moden berasal dari Britain! Anehnya, sukan lain dari Britain dipertandingkan di Sukan Komanwel seperti hoki dan kriket!

IOC mewujudkan satu pasukan khas yang disertai beberapa orang Naib Presiden IOC untuk membincangkan reformasi proses bidaan temasya sukan terbesar dunia itu.

Pasukan itu juga membuat perbincangan mengenai melantik terus hos Sukan Olimpik 2024 dan 2028 tanpa sebarang undian.

Pasukan itu bakal membentangkan kajian mereka pada Julai ini di Lausanne, Switzerland. Namun, ada kebarangkalian hos Sukan Olimpik 2024 dan 2028 bakal diumumkan serentak pada IOC Session di Lima pada September ini.

Siapa hos 2024 dan 2028?

Tradisinya, bandar raya akan menjadi hos Sukan Olimpik akan diumumkan 7 tahun lebih awal.

Cadangan pengumuman hos kedua-dua edisi temasya ini timbul setelah pasukan bidaan Budapest menarik diri pada tempoh hari.

Jika cadangan ini dilaksanakan, tidak pasti sama ada Los Angeles atau Paris diberi mandat hos 2024.

Sekiranya Paris diberi mandat pada 2024, Los Angeles akan djadikan hos pada 2028 atau vice-versa.

Namun cadangan ini menerima tentangan daripada beberapa pihak. Faktor penentangan cadangan itu dipercayai kerana ada bandar raya yang bercadang untuk bida Olimpik 2028.

Dua bandar raya yang disebut-sebut ialah Brisbane (Australia) dan Istanbul (Turki). Istanbul tewas dalam pemilihan hos 2020 dengan Tokyo, Jepun.

Kuala Lumpur pernah mencuba untuk membida Olimpik pada 2008 namun tidak memasuki senarai akhir pencalonan.

Impak kepada bola sepak

Anda kata bidaan Sukan Olimpik tiada kaitan dengan bola sepak? Ternyata anda silap!

Sebenarnya, venue bola sepak Sukan Olimpik juga dinilai oleh pasukan penilaian daripada IOC sebagaimana venue acara lain.

Kebiasaannya, acara bola sepak lelaki dan wanita diadakan di beberapa buah bandar raya dalam negara hos Sukan Olimpik tersebut.

Contoh, London menjadi tuan rumah edisi 2012, Old Trafford di Manchester turut terpilih menjadi hos perlawanan acara bola sepak.

Dalam proses penilaian bidaan, kelebihan banyak berpihak kepada negara yang memiliki stadium bola sepak yang bagus. Contoh, Brazil (2016), Britain (2012).

Kesimpulan

Tidak kisahlah negara mana menjadi hos Sukan Olimpik 2024, 2028, 2032 dan seterusnya.

Ada beberapa persoalan perlu difikirkan bersama:

  1. Bilakah pasukan bola sepak negara akan kembali semula ke pentas Olimpik?
  2. Takkanlah kita mahu menceritakan sejarah Moscow 1980 kepada anak cucu cicit kita pada masa hadapan?
  3. Atau takkanlah kita bergembira hanya menjulang pingat emas Sukan SEA atau menjuarai Piala AFF Suzuki Cup sahaja?

Renungkan!

Baca juga:Sistem Feeder Club & Senior Affiliate, Bagaimana Sistem Ini Berfungsi?

The post Penentuan Sama Ada Los Angeles Atau Paris, Siapa Akan Jadi Hos Olimpik 2024? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

FA Selangor Nyatakan Sokongan Terhadap TMJ Untuk Jadi Presiden FAM

FA Selangor (FAS) baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap Tunku Mahkota Johor untuk menjadi Presiden FAM menjelang pemilihan kerusi tersebut – penghujung Mac ini.

FAS menurut presidennya iaitu Datuk Subahan Kamal berkata FAS memberikan sokongan tak berbelah bahagi kepada TMJ untuk menerajui FAM.

Yakin dengan TMJ

Subahan berkata FAS yakin untuk memilih TMJ kerana beliau adalah seorang individu yang boleh mengubah landskap bola sepak negara.

“TMJ adalah individu yang tepat kerana masih muda serta berani dalam memperjuangkan bola sepak yang terbukti dengan kecemerlangan pasukan JDT.”

Subahan bagaimana pun memberitahu Sinar Harian yang kebolehan pencabar TMJ iaitu Tan Sri Annuar Musa tidak boleh dipandang enteng.

“Kita tak boleh pandang sepi kebolehan Annuar Musa. Beliau telah menjadi individu yang mengubah bola sepak Kelantan sementara TMJ pula mengubah bola sepak Johor.”

Tak ambil elaun

Subahan yang dalam masa yang sama merupakan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia dan juga calon Timbalan Presiden FAM berkata beliau tidak akan menerima sebarang wang elaun sekiranya menjadi orang nombor 2 di FAM.

Sebaliknya beliau hanya akan fokus untuk mencari dana untuk sukan tersebut sahaja.

Saya tidak akan jadi yes man dan akan pastikan kebajikan persatuan negeri diperjuangkan. Semua pihak perlu tahu tanpa anggota gabungan, tiadalah FAM.”

“Sebelum ini, FAM hanya menunggu presiden bekerja. Perkara ini perlu berubah kerana timbalan presiden, naib presiden juga perlu bekerja dan berusaha mendapatkan dana.”

Baca juga: Merzagua Abderrazak Bakal Kembali Terajui Pulau Pinang?

The post FA Selangor Nyatakan Sokongan Terhadap TMJ Untuk Jadi Presiden FAM appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Adakah B. Sathianathan Bakal Jadi Jurulatih Baharu FELDA United?

B. Sathianathan yang merupakan bekas pengendali ATM dan juga bekas jurulatih kebangsaan dikatakan sedang menjadi calon terbaik untuk menjadi jurulatih baharu FELDA United.

Menurut sumber Arena Harimau Malaysia, beliau dikatakan sebagai calon utama untuk menggantikan Azmi Mohamed yang menarik dari jawatan tersebut secara mengejut tidak lama dahulu.

Akui dirisik

Sathia yang kini berkhidmat di Wisma FAM sebagai Ketua Jabatan Kejurulatihan sendiri mengaku yang beliau kini sudah dirisik oleh FELDA United.

“Memang benar saya sudah dihubungi oleh pihak FELDA United untuk jawatan tersebut malah kami juga sudah bertemu berbincang mengenainya.”

Namun begitu, Sathia yang terikat dengan FAM kerana jawatan beliau di Kelana Jaya mengatakan perbincangan beliau dengan pasukan yang berpengkalan di Jengka itu masih lagi di peringkat awal.

Dalam masa yang sama, Sathia juga mengaku yang beliau perlu mendapatkan pelepasan dari pihak FAM sebelum membuat keputusan sama ada hendak menyertai FELDA United atau tidak.

Tak sempat

Zulkarnain Muhammad yang merupakan Setiausaha Agung FELDA United juga telah mengesahkan yang pihaknya ada cuba untuk mendapatkan khidmat Sathia.

Bercakap kepada Harian Metro, Zulkarnain juga mengaku yang FELDA United sebenarnya dalam keadaan terburu-buru untuk mendapatkan jurulatih baharu.

Hal ini kerana, FELDA United akan berhadapan Tampines Rovers dalam aksi Piala AFC dan juga Perak dalam aksi Liga Super selepas ini.

“Kami harap kami akan dapat jurulatih baharu sebelum perlawanan menentang Perak. Hal ini kerana kalau nak dapatkan jurulatih baharu sebelum perlawanan Piala AFC memang tak sempat.”

FELDA United kini dibawah jagaan Mohamad Nik namun pasukan tersebut mengalami 3 kekalahan berturut-turut.

Mereka tewas di tangan Kelantan dan Selangor dalam aksi Liga Super dan JDT dalam aksi Piala FA Malaysia.

Baca juga: Sani Anuar Kamsani Utus Surat Terbuka, Mohon Maaf Kepada Penyokong Pulau Pinang

The post Adakah B. Sathianathan Bakal Jadi Jurulatih Baharu FELDA United? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

[PREVIEW] Malaysia vs Vietnam, 11 Pemain Vietnam Boleh Jadi Penyerang? Amri Yahya Makin Tua Makin Menjadi?

Malaysia bakal menghadapi perlawanan kedua kejohanan AFF Suzuki Cup 2016 iaitu menentang Vietnam setelah menang bergaya ke atas Kemboja. Vietnam, di atas kertas, nampaknya menjadi cabaran paling sukar Kumpulan B setelah berjaya mengutip 3 mata selepas menewaskan Myanmar dengan keputusan 2-1.
Vietnam yang merupakan pasukan no. 2 terbaik ASEAN dengan berkedudukan 136 di dunia tampak bakal membuatkan Malaysia tidak senang duduk biarpun telah meraih 3 mata pertama pada perlawanan lalu. Seperti biasa, saya akan menyenaraikan beberapa isu-isu penting untuk ditekankan menjelang perlawanan menentang Vietnam. Mari kita selusuri previu kita kali ini!

PERUBAHAN PEMAIN DI BAHAGIAN TENGAH DAN SERANGAN PERLU DILAKUKAN

Saya melihat hal ini sebagai sesuatu yang serius memandangkan peminat tempatan nampak dan mengetahui masalah ini. Ramai yang kata, Baddrol perlu diletakkan di bahagian sayap kanan kerana Baddrol bermain di posisi itu ketika mewakili Kedah. Bagi saya, Baddrol sememangnya diperlukan di bahagian central midfielder kerana dia memiliki ‘laser passes’ yang tepat dan dia banyak bergerak sebagai deep-lying playmaker. Darren pula perlu direhatkan manakala Safee/Norshahrul boleh menggantikan beliau. Hal ini demikian kerana Darren nampaknya agak kekok apabila bermain sebagai penyerang utama. Oleh itu, Hazwan boleh ditolak ke hadapan dan Safee/Norshahrul boleh menjadi second striker. Siapa yang akan berada di posisi Baddrol jika Baddrol ditolak ke hadapan sedikit? Shahrul Saad. Saya berpendapat dengan ciri defensive yang dimiliki Shahrul dan kebolehannya bergerak masuk ke dalam kawasan kotak penalti untuk menyerang dan kecenderungan Baddrol untuk berada di luar kotak penalti, Shahrul adalah calon sempurna di bahagian DM dan Khairul Helmi boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan Shahrul.

REKOD PERTEMUAN LEPAS TIDAK MEMIHAK KEPADA MALAYSIA?

Malaysia pada 5 pertemuan terakhir mereka (sejak 2012-kini) dengan Vietnam, mencatatkan 1 kemenangan dan 4 kekalahan. 6 gol dijaringkan dan 8 gol dibolosi Malaysia sepanjang rekod itu dan nampaknya Malaysia hanya boleh mengharapkan kemenangan mereka ke atas Kemboja sebagai pendorong semangat mereka menjelang perlawanan menentang Vietnam. Vietnam pula kelihatan kukuh dengan berjaya menewaskan Indonesia, pasukan yang mengalahkan Malaysia dalam 4 perlawanan terakhir Malaysia sebelum ke Myanmar, dengan keputusan 3-2. Nampaknya, Malaysia hanya mampu mengharapkan nasib agar menyebelahi mereka tetapi harus diingatkan juga, bola itu bulat!

VIETNAM DAN SERANGAN : KOMBINASI YANG TIADA TOLOK BANDINGNYA

Jika peminat tempatan merasakan Kemboja sebagai pasukan yang mempunyai unit serangan yang hebat, anda patut menyemak semula kenyataan anda! Hal ini demikian kerana Vietnam memiliki sebuah skuad serangan yang mana semua pemain mampu untuk menyerang dengan baik. Van Thanh dan Ding Dong yang bermain di bahagian bek sisi pun mampu untuk melakukan percubaan dan beberapa key passes lead to shots. Nama yang paling menjadi tumpuan semestinya Le Cong Vinh yang menjaringkan 3 gol pada edisi yang lalu. Beliau jugalah yang bertanggungjawab menjaringkan 2 gol menentang Malaysia di Hanoi yang menyaksikan Malaysia menang 4-2 dan layak ke final dengan aggregat 5-3. Seorang lagi pemain Vietnam yang perlu diberi perhatian ialah Nguyen Van Quyet. Quyet dan Vinh, sebelum ke Myanmar, menjaringkan 2 gol dalam 5 perlawanan terakhir menentang kelab dari Korea Selatan & Jepun dan skuad kebangsaan Indonesia. Menentang Myanmar pula, Vinh berjaya melakukan 1 shot (gol kemenangan Vietnam) dan 1 key passes lead to shot manakala Quyet pula berjaya melakukan 3 shots (2 on target dan 1 daripadanya gol). Vietnam juga mempunyai bintang baru yang saya rasa akan menyerlah pada edisi kali ini iaitu Nguyen Van Toan. Beliau baru berusia 20 tahun dan berjaya menjaringkan gol apabila menewaskan Indonesia pada sebuah perlawanan persahabatan sebelum ke Myanmar. Akhir kata, serangan mereka sangat berbahaya jika Malaysia tidak mengawal pemain mereka sebaiknya.

PEMAIN TUMPUAN : MALAYSIA MENENTAN VIETNAM

VIETNAM : Le Cong Vinh
Mempunyai larian yang deras dan selalu menyokong bahagian bawah. Sangat berbahaya di depan pintu gol. Menjaringkan 1 gol menentang Myanmar dan merupakan gol ke-51-nya untuk Vietnam. Saya dapat rasakan dia akan mengucar-kacirkan pertahanan Malaysia esok.
MALAYSIA : Amri Yahyah
Semakin tua, semakin power! Seorang attacking-minded player yang mampu berada di tempat yang mampu menjaringkan gol bila kena pada tempat dan masanya. Pantas dan tepat. Itulah perkataan yang boleh menceritakan pemain yang bagaimana di atas padang. 2 gol menentang Kemboja cukup untuk menceritakan bahawa dia di dalam prestasinya yang terbaik. Itu sahaja yang saya boleh laporkan tentang Malaysia menentang Vietnam. 

Artikel ini ditulis oleh Seladang Tacts Amirul. Ikuti kami untuk lebih artikel mengenai pasukan Malaysia yang sedang bertanding di Piala AFF 2016.

Sokernet: Laman Web Rasmi Bolasepak Dunia

Jika Tak Jadi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump Mungkin Sudah Jadi Pemilik Rangers

Sejak akhir-akhir ini topik yang cukup hangat di luar dunia bola sepak adalah mengenai pilihan raya di Amerika Syarikat.

Bukan saja di Amerika Syarikat, bahkan seluruh dunia juga tertanya-tanya siapa yang akan menjadi presiden ke-45 negara tersebut antara Donald Trump dan Hillary Clinton.

Pilihan raya itu bagaimana pun dimenangi oleh Trump dengan kemenangan selesa 276 berbalas 218.

Namun begitu, apa kaitan Trump dengan cerita di laman Semuanya BOLA ini?

Mahu beli Rangers

Cerita ini sebenarnya sudah lama terjadi, namun secara tiba-tiba ia menjadi cerita hangat terutamanya di Scotland.

Akhbar Daily Record mendedahkan Trump pernah mempunyai perancangan untuk membeli Rangers satu ketika dahulu.

Donald Trump

Tujuan pembelian sedemikian adalah sebahagian daripada usaha untuk menyelamatkan Rangers daripada mengalami bangkrap pada 2012.

Pada 2012, Rangers pernah mengalami masalah kewangan hasil kegagalan pengurusan wang yang baik oleh pengurusan kelab yang mengheret mereka kepada jumlah hutang yang terlalu banyak.

Oleh kerana tiada yang tampil menyelamatkan kelab, Rangers diisytihar bangkrap dan terpaksa bermula semula dari divisyen 4 sebelum kembali semula ke divisyen 1 musim ini.

Usaha Trump itu bukan main-main. Pada waktu itu, Trump sangat serius mahu membeli Rangers.

Walaupun serius mahu mendapatkan Rangers, Trump bagaimana pun mematikan hasrat beliau.

“Saya memang serius mengenai tindakan ini namun pada akhirnya saya berhenti mahu dapatkan Rangers.”

“Ya benar Rangers adalah sebuah kelab yang baik dan besar. Namun bila saya fikir balik keinginan saya untuk dapatkan Rangers ini macam tindakan yang sia-sia.”

Walaupun tidak jadi membeli Rangers, Trump ketika itu berharap ada yang akan hadir menyelamatkan kelab Scotland itu.

rangers trophy

Darah Scotland

Pasti ada yang tertanya, kenapa Trump berminat untuk dapatkan Rangers?

Beliau adalah ahli perniagaan yang mempunyai berbilion wang dan rasanya lebih baik beliau cuba miliki kelab-kelab sukan di Amerika Syarikat sahaja ataupun menjadi pemilik kelab bola sepak utama di Eropah seperti di England misalnya.

Semuanya adalah kerana Trump sebenarnya mempunyai darah Scotland dalam dirinya.

Ibu Trump merupakan seorang warga Scotland yang lahir di Lewis, Scotland sementara ayahnya pula mempunyai darah Jerman.

Mereka bertemu dan kemudiannya berpindah ke New York, dan akhirnya Trump lahir di New York pada tahun 1946.

Oleh kerana mempunyai pertalian dengan Scotland dikatakan sebagai sebab utama mengapa beliau berminat untuk memiliki Rangers.

Sekarang ini kami terfikir, jika Trump menjadi pemilik Rangers sekarang ini. Siapa pula yang akan jadi presiden Amerika Syarikat sekarang?

Jawab soalan trivia bola sepak dan menang!

photo518307488277309561-1

Untuk pengetahuan anda, app Inikan Bola bakal menawarkan hadiah lumayan kepada peminat bola sepak tempatan yang tegar.

Bagaimana cara untuk menang hadiah lumayan ini? Muat turun app Inikan Bola di Google Play Store dan nantikan tarikh 15 November 2016. Tunggu!

Baca juga: Sadio Mane: Daripada Bermain Bola Sepak Di Jalanan Senegal Ke Bintang Premier League

The post Jika Tak Jadi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump Mungkin Sudah Jadi Pemilik Rangers appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Bergaduh Dengan Penyokong Sendiri, Ultras Internazionale Desak Mauro Icardi Dipecat Jadi Kapten

Kita semua tahu, budaya ultras sangat berpengaruh dalam bola sepak Itali.

Mereka boleh bertindak gerila jika diperlukan. Tidak kira menentang lawan ataupun menentang mereka yang berada dalam satu pasukan dengan mereka.

Wira rakan sepasukan

Satu perkara yang tidak enak didengar di Itali apabila ultras Internazionale sedang mengalami percakaran dengan kapten mereka – Mauro Icardi.

Semuanya berpunca dari apa yang Icardi ceritakan dalam autobiografi beliau yang bertajuk, ‘Sempre Avanti, la mia storia segreta’. (Selamanya Ke Hadapan, Kisah Rahsiaku)

download-5

Dalam autobiografi tersebut, terdapat satu bab yang menceritakan situasi selepas kekalahan Internazionale kepada Sassauolo pada 2015. Mereka tewas 3-1 ketika itu.

Icardi dan rakan sepasukannya, Fredy Guarin pergi ke teres penyokong untuk bercakap dengan ultras mereka.

“Saya beranikan diri ke teres untuk bercakap dengan penyokong. Semakin dekat saya dengan teres, semakin kedengaran caci maki ultras kepada kami.”

“Mereka maki saya diatas kekalahan tersebut. Tapi mereka perlu sedar saya masuk sebagai pemain gantian pada babak akhir permainan dan saya jaringkan satu-satunya gol kami. Apa lagi yang mereka mahu?”

Icardi ketika itu nampak seorang kanak-kanak mahukan jersinya. Lalu Icardi membaling jersinya kepada kanak-kanak itu

 

Namun, seorang ultras datang ke arah kanak-kanak tersebut dan merampas jersi yang dibaling Icardi. Jersi itu kemudiannya dibaling semula ke Icardi.

Icardi berang lalu memaki semula ultras terbabit, “kau fikir kau siapa? Berlagak tak tentu pasal dengan budak-budak.”

mauro-icardi-fredy-guarin-inter

Icardi selepas itu pulang semula ke bilik persalinan dan menerima pujian dari rakan-rakan kerana berani berhadapan dengan ultras mereka.

Icardi si Penipu

Itu cerita dari pihak Icardi. Namun bagi ultras Internazionale, apa yang Icardi cerita itu adalah dusta.

“Dia boleh cerita yang dia yang diangkat sebagai wira oleh rakan sepasukan dia. Apa yang kami nak adalah kami mahu beliau jangan bongkak dengan penyokong Internazionale!”

“Bagi kami, Icardi langsung tak layak jadi kapten kami!”

Icardi juga dikatakan hanya mencipta cerita supaya nampak seperti beliau tidak bersalah dalam pergaduhan antara dua pihak ini.

“Dia reka cerita mengenai insiden pergaduhan antara dua pihak untuk nampak dia berada di pihak yang baik dan kami jahat.”

“Tapi Icardi tak pernah sedar yang kami satu-satunya ultras di Itali yang bagi ruang kepada kanak-kanak untuk ikut kami lakar tifo setiap minggu!”

Ultras Internazionale berang dengan apa yang Icardi katakan dalam autobigrafinya. Kata-kata Icardi di dalam buku tersebut persis seorang gangster.

“Dalam buku Icardi, dia cakap ‘Saya bersedia berhadapan secara depan-depan. Berapa ramai? 50 orang?100 orang? 200 orang? Dengar sini. Saya akan bawa 100 penjenayah dari Argentina untuk bunuh mereka. Tunggu dan lihat!’

Ultras Internazionale mendesak agar kelab mereka memecat Icardi dari menjadi kapten pasukan.

“Kami rasakan Icardi masih lagi muda dan masih lagi belum cukup pandai. Orang macam dia tak layak jadi kapten kami.”

“Bagi kami, karier Icardi di sini dah tamat. Cabut lilitan lengan itu wahai badut! Ini desakan kami!”

3e78606e5190601ea85e60b5eddac

Menang dalam kalah

Kemuncak kebencian ultras Internazionale terhadap Icardi adalah ketika perlawanan menentang Caligari.

Internazionale memperoleh penalti dan Icardi muncul mengambil sepakan tersebut, namun beliau diejek penyokong sendiri ketika itu.

Sepakan itu gagal disempurnakan Icardi. Penyokong Inter kemudiannya bersorak riang kerana beliau gagal menjaringkan gol.

mauro-icardi

Bagi presiden Internazionale, Javier Zanetti mereka mempertimbangkan untuk memecat Icardi sebagai kapten.

“Kami tak boleh terima sikap yang ditunjukkan oleh pekerja kami.”

“Apa-apa pun, peminat adalah keutamaan kami.”

Baca juga: Penyokong Inter Tepuk Tangan Puji Keputusan De Boer Keluarkan Kondogbia Selepas Hanya 28 Minit

The post Bergaduh Dengan Penyokong Sendiri, Ultras Internazionale Desak Mauro Icardi Dipecat Jadi Kapten appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Cristiano Ronaldo Sanggup Jadi ‘Budak Milo’ Demi Anak

Kerap dilabel dengan gelaran angkuh dan ego sebagai pemain, reputasi Ronaldo sentiasa mendapat perhatian pelbagai pihak.

Beliau adalah antara manusia yang paling ramai pengikut di muka bumi ini. Populariti dan kejayaan beliau menjadikan beliau sentiasa di dalam lensa kamera.

Di atas padang beliau adalah pemain yang penuh kesungguhan dan masih kekal antara pemain terbaik di dunia buat masa ini.

Namun demi anaknya, beliau sanggup menjadi budak milo ataupun ball boy dalam perlawanan bola sepak pertama anaknya, Cristiano Jr.

Nilai kebapaan Ronaldo memang tinggi dan diketahui umum. Bagi beliau keluarga adalah segala-galanya.

Beliau hadir ke perlawanan debut anaknya walaupun 2 hari selepas itu beliau sendiri ada perlawanan bersama Real Madrid.

Cristiano Jr menyertai Pazuelo dan bermain dalam perlawanan bawah 8 tahun yang berlangsung di Valle de las Canas Sports complex.

Dalam perlawanan 7 sebelah tersebut, Cristiano Jr. berjaya menjaringkan gol untuk membantu Pazuelo menang tipis 4-3. Cristiano Jr. dilihat meraikan gol dengan gaya ayahnya walaupun dia adalah peminat Lionel Messi.

Cristiano Ronaldo dilihat berpanas dan berdiri di belakang tiang gol bersama-sama dengan ibu bapa budak lain.

Beliau menunggu bola yang dirembat liar dan membantu untuk mengutipnya.

ron

Di bawah ini, gambar Ronaldo bergegas kembali ke belakang gol selepas mengembalikan bola yang dikutip beliau. Cergas juga budak milo ni!.

rona

Merasa jugalah Ronaldo rasa menangkap bola kerana sebelum ini dia memang bercita-cita menjadi penjaga gol.

Perlawanan ini amat bermakna bagi Cristiano Ronaldo sebagai sokongan kepada minat anaknya yang sama dengan minat beliau ketika kecil.

Sekaya dan segah mana populariti beliau, ia bukan alasan untuk tidak menjadi seperti bapa-bapa yang lain di dunia.

Selain Ronaldo, tahun ini juga menyaksikan debut untuk anak Messi, Suarez dan Gerrard Pique.

Baca juga :  Cristiano Ronaldo Membawa Peminatnya Melawat Rumah RM33 Jutanya Di Madrid

The post Cristiano Ronaldo Sanggup Jadi ‘Budak Milo’ Demi Anak appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Pestabola Merdeka 1957: Kisah TAR Mahu Ambil Bintang Arsenal Jadi Ketua Jurulatih Malaya

Hari ini, pada 31 Ogos 2016, genaplah 59 tahun negara kita merdeka.

Secara umumnya tarikh 31 Ogos 1957 dikaitkan dengan pengisytiharan kemerdekaan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Tengku Abdul Rahman di Stadium Merdeka.

Tetapi dalam konteks bola sepak, tarikh itu juga merupakan detik permulaan Pestabola Merdeka – pertandingan bola sepak antara negara-negara (sebelum disertai kelab luar negara pada era 80-an) yang tertua di Asia.

Pestabola Merdeka 1957: cara FAM kumpul dana

Sebagai salah satu cara untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan negara di stadium baru, Stadium Merdeka, kerajaan Malaya menzahirkan hasrat untuk menganjurkan sebuah ‘mini Olimpik’.

Hasrat kerajaan Malaya pada ketika itu menjadi realiti.

Pada hari pengisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka yang serba baru, lebih kurang 700 atlet dari 18 negara turut menghadiri upacara bersejarah tersebut untuk menyertai 12 jenis pertandingan sukan.

Antara sukan yang dipertandingkan adalah:

  • bola sepak (melalui Pestabola Merdeka)
  • badminton
  • olahraga
  • bola keranjang
  • kriket
  • hoki
  • berbasikal
  • tenis
  • renang
  • polo air
  • angkat berat
  • menembak
  • golf

Seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Straits Times pada 1 September 1957, acara yang dijangka paling mendapat banyak perhatian adalah bola sepak.

Persatuan Bola Sepak Malaya (FAM) yang menyedari potensi populariti Pestabola Merdeka ini, pada mulanya mewajibkan pengunjung stadium untuk membeli tiket semua 16 perlawanan (season tickets) terus yang berharga $ 20 (lebih kurang RM170 hari ini)!

Screen-Shot-2016-08-31-at-4.23.47-PM-compressor

Hanya selepas diminta mempertimbangkan pengunjung stadium di kalangan rakyat marhaen, barulah FAM menawarkan tiket yang berharga dari $ 4 hingga $ 1 (mengikut populariti perlawanan).

FAM melihat Pestabola Merdeka 1957 ini sebagai salah satu cara untuk mereka mengumpul dana pentadbiran dan lawatan.

Hong Kong biadap

Untuk menjayakan Pestabola Merdeka 1957, FAM menjemput 7 buah negara – Hong Kong, Indonesia, Vietnam, Singapura, Burma, Siam dan Kemboja – untuk bertanding.

2 minggu sebelum kejohanan bermula, wartawan Berita Harian, Bob Pidgeon melaporkan hasrat Persatuan Bola Sepak Hong Kong untuk menghantar kelab Hong Kong, Eastern Athletic Association FC sahaja sebagai wakil.

Screen-Shot-2016-08-31-at-4.27.22-PM-compressor

Hasrat Hong Kong in sudah pastilah ditentang warga media kerana Hong Kong dianggap merendah-rendahkan taraf negara-negara lain yang bertanding.

Penjaga gol Malaya disuap bookie

Untuk mempersiapkan skuad Malaya dalam Pestabola Merdeka 1957 ini, FAM melantik Arthur Manuel (setiausaha FAM dan FAS) sebagai pengurus pasukan dan Neoh Boon Hean (bekas penyerang skuad Piala Malaya Selangor) sebagai ketua jurulatih.

Barisan pemain-pemain yang dipilih adalah:

Screen-Shot-2016-08-31-at-2.51.37-PM-compressor

Screen-Shot-2016-08-31-at-2.51.51-PM-compressor

Nama yang menjadi perhatian wartawan adalah Ong Kim Hock (gambar bawah), penjaga gol dari Johor.

11749281_10206184700430428_1876636299_n

Sumber: kelabjersikita.blogspot.com

Berita Harian melaporkan Ong Kim Hock pernah ditahan polis kerana didakwa oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan Kluang kerana ‘tidak mencuba seberapa bolehnya’ dan ‘bermain secara sambil lewa’ ketika perlawanan Kluang vs Syarikat Bas Kowloon.

Screen-Shot-2016-08-29-at-12.21.59-PM-compressor

Menurut Berita Harian, Ong Kim Hock adalah pemain bola sepak Malaya pertama yang dihukum kerana bersekongkol dengan bookie.

Wartawan pada ketika itu begitu risau dengan prospek Kim Hock ‘menjual perlawanan’ sekiranya beliau dipilih menjaga gawang Malaya.

Masakan tidak. Berita Harian melaporkan bookie telah memilih Indonesia dan Hong Kong sebagai pilihan dengan kebarangkalian 3-1.

Sebagai perbandingan Malaya diletakkan dengan kebarangkalian 10-1. Manakala Singapura 40-1.

Malaya gegar Burma yang dibimbing jurulatih asing

Antara tarikan utama Pestabola Merdeka 1957 selain Indonesia dan Hong Kong adalah Burma.

Ini kerana Burma hadir dengan jurulatih import mereka dari Yugoslavia, Mitrovich. Hasil kerja ajaib Mitrovich dapat dilihat apabila Burma menewaskan China 3-1 seminggu sebelum datang ke Malaya.

Akhbar tempatan Malaya pada ketika itu tidak berapa optimistik dengan peluang Malaya dan Singapura.

Wartawan The Straits Times, Norman Siebel menulis pada 1 September 1957:

“Prospek kita di pertandingan ini tak begitu cerah. Tapi taklah terlalu teruk. Bagaimanapun prospek untuk melihat kejutan daripada Malaya dan Singapura adalah mustahil.”

Beliau juga menulis:

“Burma mempunyai kekuatan untuk menjulang kejuaraan kejohanan ini.”

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata-kata buruk padahnya. Pada hari sama artikel akhbar beliau keluar, pasukan Malaya memaksa Siebel ‘menjilat ludahnya sendiri’apabila membelasah Burma 5-2.

Apabila laporan akhbar keluar pada keesokan harinya, semua akhbar memuja gol ke-2 Malaya jaringan penyerang kanan Pulau Pinang, Pang Siang Hock (gambar bawah) dan dicipta oleh penyerang Selangor, Abdul Ghani Minhat.

Sumber: kelabjersikita.blogspot.com

Sumber: kelabjersikita.blogspot.com

Singapura pula kurang berbasib baik dalam perlawanan pertama. Mereka tewas 1-2 dalam perlawanan ulangan kepada Vietnam selepas seri 5-5 dalam perlawanan pertama.

Daripada 6 gol Singapura ini, 3 daripadanya dijaringkan oleh Peter Corthine (gambar bawah).

peter corthine

Untuk pengetahuan anda, Corthine pernah mewakili Chelsea sebaik balik dari Singapura pada 1959.

Ghani Minhat selesa bermain di kiri berbanding tengah

Selepas menang 5-2 ke atas Burma, Malaya layak ke pusingan akhir bersama Vietnam dan pilihan bersama kejohanan, Hong Kong dan Indonesia.

Turun menentang Vietnam yang keletihan selepas bergelut untuk menang ke atas Singapura, Malaya bagaimanapun gagal memanfaatkan kelebihan ini apabila kalah 1-4.

Lawan seterusnya untuk Malaya adalah Hong Kong. Malaya bermula dengan langkah kiri apabila sebelum perlawanan, Pang Siang Hock tidak mahu bermain.

Situasi ini menyebabkan Ghani Minhat (gambar bawah) terpaksa dipindahkan ke sayap kiri (memandangkan beliau berkaki kiri).

Sumber: kelabjersikita.blogspot.com

Sumber: kelabjersikita.blogspot.com

Tak cukup dengan kehilangan servis Siang Hock, Malaya ketinggalan dua kali – 0-2 dan 1-3 – kepada Hong Kong.

Tetapi hasil kehebatan Ghani Minhat (2 gol, 1 assist), Malaya berjaya mengikat Hong Kong 3-3 sebaik tamat perlawanan.

Dalam perlawanan terakhir, Malaya tewas 2-4 kepada Indonesia. Ghani Minhat menjaringkan 2 gol Malaya.

Meskipun kalah, subjek yang menjadi bualan peminat bola sepak Malaya adalah kehebatan Ghani Minhat sejak dipindahkan dari tengah ke sayap kiri. Malah beliau sendiri mengaku lebih selesa bermain di sayap kiri.

Screen-Shot-2016-08-31-at-12.15.17-PM-compressor

Ini membuatkan peminat Selangor dan media mula mendesak Selangor untuk menukar posisi Ghani dari penyerang tengah kepada penyerang kiri.

Malaya mahu ambil bekas bintang Arsenal

Meskipun skuad Malaya tewas, Pestabola Merdeka 1957 merupakan titik mula yang bagus untuk negara kita.

Penganjuran Pestabola Merdeka 1957 sangat berjaya sehinggakan FAM meraih pendapatan jualan tiket sebanyak $ 140,000 (lebih kurang RM1.2 juta hari ini) dalam masa 8 hari.

Presiden FAM, Tengku Abdul Rahman pula sangat berbangga dengan pencapaian Malaya buat kali pertama sehinggakan mahu mengambil bekas bintang Arsenal, Eddie Hapgood sebagai ketua jurulatih Malaya.

Screen-Shot-2016-08-31-at-4.54.49-PM-compressor

Kesimpulan

Kini 59 tahun berlalu, FAM perlu melihat sejauh mana bola sepak Malaysia sudah berkembang.

Jika ketika zaman baru merdeka dahulu pun Tengku Abdul Rahman sudah ada aspirasi untuk melantik jurulatih berkelas dunia untuk melatih pemain Malaya, mengapa sekarang FAM tiada aspirasi sebegitu?

Budaya bola sepak sudah lama menjadi sebahagian budaya Malaysia tetapi pencapaian kita menggambarkan seolah-olah kita baru kenal sukan bola sepak.

59 tahun sudah berlalu. Apa kau buat, FAM?

Baca juga: Kaki Besi Dan Raja Bola Malaya – Kisah Lagenda Yang Terkubur Di The British Library

The post Pestabola Merdeka 1957: Kisah TAR Mahu Ambil Bintang Arsenal Jadi Ketua Jurulatih Malaya appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

10 Pemain Yang Mempunyai Kekuatan Kaki Kanan Dan Kiri Secara Semula Jadi

Kebolehan ini merupakan kebolehan semula jadi yang cukup hebat!

Tidak semua pemain bola sepak mampu menyepak bola dengan kedua-dua kaki mereka dengan baik.

Jika pemain tersebut lebih dominan pada kaki kanan, pemain tersebut perlu bekerja keras untuk membiasakan dirinya menyepak bola menggunakan kaki kiri.

Namun, ada juga pemain yang dikurniakan kebolehan menyepak bola dengan kedua-dua kaki secara semula jadi.

Dan kami kumpulkan 10 pemain yang dikurniakan kebolehan itu dalam artikel ini.

1. Pavel Nedved

pavel-nedved-pavel-nedved-13602768-594-396

Kelab: bersara

Pemain yang merupakan antara yang terbaik pada generasi beliau merupakan bintang utama bagi pasukan Juventus sekitar 2001-2009.

Bekas pemenang anugerah Ballon D’or ini mempunyai kebolehan menyepak bola secara menggunakan kedua-dua kaki secara semula jadi dengan baik.

Kebolehan itu juga buatkan Nedved lupa mana satu kaki dominannya sama ada kaki kiri ataupun kanan!

2. Wesley Sneijder

Wesley-Sneijder-Galatasaray

Kelab: Galatasaray

Bintang Belanda ini ternyata merupakan seorang daripada ramai ‘wonderkid’ yang dihasilkan di satu kelab yang terbaik dalam menghasilkan pemain muda – Ajax Armsterdam.

Kebolehan Sneijder untuk menyepak bola dengan kedua-dua kaki telah dikesan sejak beliau tidak di akademi Ajax pada usia 6 tahun.

3. Santi Cazorla

FBL-ENG-PR-ARSENAL-QPR

Kelab: Arsenal

Wajah yang menjadi kegemaran penyokong Arsenal ini merupakan pemain yang mampu menendang bola menggunakan kedua-dua kakinya dengan baik.

Ini menjadi jelas apabila ketika mengambil set-pieces, beliau kerap menukar kaki yang hendak digunakan untuk menyepak bola – bergantung pada situasi dan kedudukan bola tersebut.

4. Paolo Maldini

paolo-maldini-ac-milan-serie-a-15022009_4s0zpsaqs2fb1ett6lzdluyk9

Kelab: bersara

Lagenda AC Milan ini terkenal dengan keampuhannya di bahagian pertahan dan juga mantapnya gabungan beliau bersama Alessandro Nesta di bahagian pertahanan tengah.

Ramai menyangka yang Maldini bermain di bahagian pertahanan kiri kerana beliau mempunyai kaki kiri sebagai kaki dominan, tapi sebenar kaki dominan beliau adalah kaki kanan!

Oleh disebabkan itu, Maldini dialihkan ke bahagian pertahanan tengah.

5. Adriano 

maxresdefault (6)

Kelab: Besiktas

Pemain ini mungkin tidak mempunyai nama sehebat pemain-pemain lain dalam artikel ini, tetapi percayalah Adriano juga boleh menyepak bola dengan kedua-dua kaki secara semula jadi!

Kebolehan ini juga membuatkan beliau selesa beraksi dikedua-dua bahagian tepi padang sama ada kiri atau kanan, dan kerana itu juga beliau mampu kekal lama di Barcelona.

6. Hernanes

Manchester City - Juventus

Kelab: Juventus

Hernanes mungkin tidak mempunyai karier sehebat rakan senegaranya dari Brazil seperti Neymar ataupun Oscar.

Namun, pemain ini tetap istimewa. Beliau mampu menjaringkan gol dari jarak jauh menggunakan kedua-dua kaki beliau dengan baik.

7. Ronaldo

Ronaldo-2002

Kelab: bersara

Ternyata jelas, beliau menjadi penyerang terbaik ketika generasinya adalah kerana kehebatan beliau menyudahkan peluang dengan kedua-dua kaki.

Namun dek kerana kecederaan serius, beliau dikatakan sebagai ‘tidak berjaya’ untuk menghidupkan jangkaan orang ramai untuk mencapai lebih banyak kejayaan berbanding apa yang beliau berjaya kecapi.

Namun, prestasi beliau ketika Piala Dunia FIFA 2002 cukup mengagumkan!

8. Mats Hummels

533260018.0

Kelab: Bayern Munich

Harry Redknapp pernah tertipu dengan aksi Hummels selepas melihat satu perlawanan Borrusia Dortmund. Ketika itu Redknapp berkata Hummels merupakan seorang pemain yang berkaki kiri.

Namun sebenarnya tidak, Hummels sebaliknya seorang pemain yang lebih dominan menggunakan kaki kanan!

9. Diego Forlan

Forlán

Kelab: Mumbai City FC

Pemenang dua kali anugerah Pichichi (penjaring terbanyak La Liga) ternyata cukup gembira dengan kariernya di Sepanyol berbanding ketika beliau di Manchaester United.

Beliau merupakan pemain yang akan membuatkan anda merasakan ia adalah perkara yang mudah untuk menjaringkan gol dari jarak jauh dengan mengunakan kedua-dua kaki. Lihat sahaja video jaringannya di sini.

10. Zinedine Zidane

Kelab: bersara

Lagenda Perancis ini juga mempunyai kebolehan menggunakan kedua-dua kakinya secara semula jadi.

Selain dari gaya permainan bersahaja beliau, beliau juga mampu menjaringkan sepakan percuma menggunakan kaki kanan dan voli cantik menggunakan kaki kiri!

Siapa yang tidak lupa dengan gol Zidane ketika perlawanan akhir UEFA Champions League 2002? Cukup menarik bukan?

Baca juga: 7 Pemain Yang ‘Kantoi’ Bermain Football Manager

The post 10 Pemain Yang Mempunyai Kekuatan Kaki Kanan Dan Kiri Secara Semula Jadi appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Kenali Chan Yuen-ting, Wanita Pertama Di Dunia Latih Pasukan Lelaki Jadi Juara Liga

Caroline Morace, Helena Costa dan Corinne Diacre pasti berbangga dengan pencapaian Chan Yuen-ting, seorang wanita muda dari Hong Kong.

Ini kerana Chan Yuen-ting baru sahaja mencipta sejarah dalam dunia bola sepak lelaki apabila muncul satu-satunya ketua jurulatih wanita di Asia (malah dunia juga) yang berjaya membawa pasukan bola sepak lelaki menjadi juara liga.

Chan_Yuen-ting_Eastern_coach (1)

Chan merupakan ketua jurulatih Eastern (東方足球隊)- sebuah pasukan Hong Kong Premier League – yang muncul juara liga kali pertama dalam tempoh 20 tahun selepas menewaskan South China 2-1.

Bebola daging yang sukakan David Beckham

Ketika Chan Yuen-ting dilantik sebagai ketua jurulatih Eastern pada Disember 2015, beliau baru saja berumur 27 tahun. Ini menjadikan beliau ketua jurulatih termuda dalam liga yang diiktiraf AFC.

SCMPOST 08DEC15 SP COASH1 10941836_10153030499299467_26348.jpg

Dalam dunia kerjaya yang dominan dengan jantina lelaki, Chan tidak gentar menyahut cabaran:

“Eastern adalah kelab bercita-cita tinggi tetapi saya tak takut menyahut cabaran untuk membawa kelab ke era yang berjaya.”

Mesra dipanggil ‘Bebola Daging’ dalam bahasa Kontonis, cara Chan mula berjinak-jinak dalam dunia bola sepak adalah sama dengan cara gadis era 90-an mula jatuh cinta kepada bola sepak – David Beckham.

“Saya mula belajar cara main bola sepak kerana David Beckham. Imejnya yang kacak memikat hati saya.”

Bermula sebagai hobi melalui latihan-latihan bola sepak yang disertainya semasa musim panas, bola sepak menjadi serius bagi Chan apabila beliau menjadikan bola sepak sebagai fokus tesis universiti beliau – walaupun beliau sebenarnya berada dalam Fakulti Geografi.

Tajuk tesisnya adalah ‘Kajian Bola Sepak Hong Kong Melalui Perspektif Geografi’. Ia adalah kajian bola sepak yang dijelaskan mengikut cuaca Hong Kong, kedudukan padang dan polisi populasi.

“Mak ayah saya menentang bila saya mula serius dalam bola sepak. Mereka mahu saya jadi guru di sekolah.”

“Tetapi selepas melihat kerja keras saya membuahkan hasil dalam bola sepak, mereka mula menyokong saya.”

Bermula dari bawah

Selepas bergraduasi dari universiti pada 2010, Chan bekerja sebagai penganalisis data di TSW Pegasus – sebuah pasukan Hong Kong Premier League. Dalam masa 3 tahun, Chan sudah mendapat lesen A kejurulatihan AFC.

Selepas ditauliahkan sebagai jurulatih berlesen, Chan diberi tugas melatih pasukan bawah-18 Hong Kong Youth League dan membawa mereka menjadi juara pada 2015.

4 bulan kemudian Chan terus dilantik sebagai ketua jurulatih Eastern, mengambil alih tugas ketua jurulatih Yeung Ching-kwong (gambar bawah bersama Chan) yang mendapat tawaran di China.

00aaaaa8-0902-11e6-99cd-3469e7fd8aa2_486x

Pihak pengurusan pasukan Eastern menyedari risiko perlantikan Chan sebagai ketua jurulatih, tetapi berpendapat Chan adalah satu-satunya pilihan logik mereka pada ketika itu.

Pengarah eksekutif Eastern, Peter Leung Shou-chi berkata:

“Cabaran beliau (Chan) bukannya senang tetapi kami akan beri sokongan. Beliau juga akan mendapat sokongan daripada pembantu jurulatih yang lain.”

“Pengetahuannya dalam bola sepak, pemain dan operasi pasukan adalah kelebihannya paling nyata.”

Kesimpulan

Walaupun kisah Chan Yuen-ting sebagai ketua jurulatih bola sepak sebenarnya baru bermula, ia masih memberi inspirasi.

Kisah Chan memberi inspirasi kepada wanita, bahawa mereka sebenarnya boleh menjadi bos dalam dunia bola sepak lelaki jika mempunyai minat, bekerja keras dan berani menyahut cabaran.

Malah 75% pembaca kami yang majoritinya terdiri daripada lelaki mengesahkan, mereka tidak kisah bermain di bawah kendalian ketua jurulatih wanita jika mereka berkelayakan.

Bagi jurulatih muda, kisah Chan mampu memberi keyakinan pada satu hari nanti mereka akan berpeluang menjadi ketua jurulatih pasukan liga paling berprestij di sesebuah negara dan membawa mereka menjadi juara.

Bagi peminat bola sepak yang tiada karier bola sepak sebagai pemain tetapi mahu menjadi jurulatih, kisah Chan juga boleh memberi inspirasi yang mereka boleh menjadi jurulatih.

Bagi Chan, beliau telah membanggakan Caroline Morace (ketua jurulatih wanita pertama di dunia untuk pasukan bola sepak lelaki), Helena Costa (bekas pengurus Clermont Foot) dan Caroline Diacre (sedang mengurus Clermont Foot).

Baca juga: Bolehkah Wanita Menjadi Jurulatih Bola Sepak Lelaki?

The post Kenali Chan Yuen-ting, Wanita Pertama Di Dunia Latih Pasukan Lelaki Jadi Juara Liga appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA