Andik Vermansah Tiba Di Malaysia, Sedia Kembali Sarung Jersi Selangor

Andik Vermansah ternyata merupakan pemain yang disayangi oleh para peminat pasukan Selangor.

Kecederaan yang diterima beliau ketika mewakili Indonesia ketika Piala AFF tahun lalu ternyata memberikan kesan kepada pasukan Selangor.

Hasilnya, beliau terpaksa disisihkan daripada pasukan Selangor untuk separuh musim dan akan kembali untuk ketika jendela perpindahan Liga Malaysia dibuka semula.

Mujur dalam masa yang sama, pengganti beliau iaitu Juliano Mineiro beraksi baik ketika ini.

Walaupun begitu, prestasi Mineiro yang cukup baik membuatkan P. Maniam ketika ini pening kepala kerana pastinya beliau tidak mahu kehilangan Mineiro.

Akan tetapi, kontrak Mineiro tetap akan berakhir pada pertengahan musim ini untuk memberi laluan semula kepada Andik untuk beraksi bersama Selangor.

Kembali

Melalui laman Instagramnya, Andik dikhabarkan sudah tiba pun di Malaysia untuk kembali berlatih bersama pasukan Selangor.

Menerusi fungsi Instagram Story, Andik bergambar dengan berlatarbelakangkan Tourism Malaysia.

Sumber: Instagram Andik Vermansah

Kepulangan beliau pasti menaikkan semangat para penyokong Selangor yang nyata menggemari corak permainan beliau yang terkenal dengan larian-larian pantas ketika diatas padang.

Jadi penyokong Selangor, adakah anda bersedia melihat Andik beraksi semula?

Baca juga: Singapura Bakal Lawan Argentina Dalam Aksi Persahabatan, Messi Juga Akan Turut Serta

The post Andik Vermansah Tiba Di Malaysia, Sedia Kembali Sarung Jersi Selangor appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Jualan Jersi Pemain Boleh Membantu Membeli Pemain Lain, Fakta Atau Mitos?

Jualan jersi pemain berjuta-juta boleh membantu pembelian pemain yang baru atau menampung kos operasi yang lain? Adakah ia fakta atau mitos.

Persoalan ini sebenarnya sudah dijawab oleh Jake Cohen, penulis bola sepak terkemuka dari The Gaurdian.

Ketika Manchester United mengumumkan pembelian Paul Pogba dengan nilai £89 juta, Zlatan Ibrahimovic mengeluarkan kenyataan:

“Tidak mengapa, jualan baju saya sahaja sudah cukup untuk membawa Pogba kembali.”

Ia membuatkan ramai penyokong bola sepak di seluruh dunia percaya akan kenyataan tersebut.

Sebenarnya, Ibrahimovic tidak senaif itu untuk tidak memahami proses dan angka melibatkan hal ini. Ia kenyataan yang mungkin atas dasar berseloroh.

Ia sekadar mitos

Masih belum ada kelab profesional di Eropah yang mendapatkan hasil jualan jersi secara langsung.

Adidas, Nike, Puma dan pembekal kit lain biasanya akan mendapat 85-90% daripada hasil jualan jersi ini.

Bahkan pemain itu sendiri mendapat lebih daripada kelab untuk hak imej jersi dengan nama mereka.

Walaupun ada beberapa kelab kelab seperti Bayern Munich yang ada pemilikan lesen khas oleh Adidas juga tidak mendapat peratusan yang besar.

Bezanya, mereka mendapat pendapatan lebih sedikit dan Adidas menyediakan rekaan khas yang lebih istimewa untuk mereka setiap musim.

Berapa sebenarnya United dapat?

Manchester United mendapat kontrak tajaan kit selama 10 tahun dengan Adidas bernilai £ 750 juta.

Ianya salah satu penajaan kit terbesar dalam sejarah bola sepak dan EPL setakat ini.

Walau bagaimanapun,  secara prinsipal Adidas membayar Manchester United £ 75 juta setahun.

Manchester United adalah alat pemasaran Adidas untuk memperagakan produk mereka. Hak ke atas segala macam nilai jersi adalah milik Adidas.

Nilai perjanjian yang besar ini kerana United adalah kelab yang paing popular di dunia.

Adidas juga menafikan mereka ada membayar dana tambahan untuk membawa Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic.

Ia hanya cerita rekaan. Bahkan baru-baru ini Manchester United sendiri mengumumkan pemain-pemain mereka akan dipotong gaji sekiranya gagal ke UCL.

Ini kerana kelab tidak berhak mendapatakan bonus dari Adidas untuk mana-mana musim mereka gagal ke UCL.

Kelab bola sepak adalah kelab bola sepak

“Jake Cohen turut menggariskan, kelab bola sepak tidak ada kaitan dengan urusan jersi. Mereka hanya beroperasi sebagai pasukan bola sepak.”

Kelab bola sepak tidak ada kepakaran setanding pengeluar barangan sukan dalam soal infrastruktur yang diperlukan untuk mengeluar dan mengedarkan berjuta-juta kit.

Ini termasuk mengendalikan dan menjalankan urusan kedai serta di dalam talian. Isu logistik dan outsource kepada pihak ketiga. Ianya bidang dengan kepakaran yang berbeza dengan pengendalian kelab bola sepak.

Manchester United dan Adidas mengumumkan kerjasama pada Julai 2014, di mana perjanjuan itu diterangkan, dengan jelas atas pakej pelesenan.

Ketua Pegawai Eksekutif Adidas Herbert Hainer menyatakan mereka ‘menang’ bidaan hak penajaan. Beliau berkata:

“Kerjasama ini adalah peristiwa penting untuk kami kerana potensi merchandising yang tinggi.”

“Kami menjangkakan jumlah jualan mencecah £ 1.5billion sepanjang perkongsian kami.

£50 juta jualan jersi Zlatan?

Kenyataan bahawa jualan jersi Zlatan Ibrahimovic adalah sekitar £50mjuta itu agak mengarut dan tidak realistik.

Ada yang menganggap ia sudah lebih dari cukup untuk ‘cover’ gaji beliau yang tinggi.

Jika angka itu benar sekalipun, kenyataan mengaitkan jualan jersi dengan pembayaran gaji pemain adalah imaginasi dan mitos semata-mata.

Manchester United sendiri tidak secara automatik menerima 10-15%, iaitu angka standard industri ini dalam pembayaran royalti

Namun fakta yang jelas adalah  bayaran £75 juta bayaran tahunan adalah begitu besar untuk United dan mereka cuma perlu menambah £14 juta sahaja lagi untuk Paul Pogba.

Anggaran Jake Cohen

Musim 2015/16 kurang tiga juta baju Manchester United telah dijual. Secara andaian, jersi Ibrahimovic membantu menjual tambahan 300,000 unit jualan jersi.

Mana orang akan beli, jersi Smalling, Fellaini atau Ibrahimovic? Sudah pastinya ramai memilih Ibrahimovic.

Peningkatan 10% adalah unjuran yang optimistik memandangkan Ibrahimovic adalah atlet Nike dan tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti promosi Adidas sendiri.

Perjanjian hak imej Adias dan United menggunakan Ibrahimovic secara tidak langsung ketika beliau mengenakan jersi United ketika perlawanan.

Selebih itu, Ibrahimovic tidak mungkin akan memberikan sokongan peribadi kepada Adidas.

Mari kita membuat anggaran royalti jersi United sekiranya mereka berjaya menjual tiga juta jersi dan menerima royalti 15% (angka maksimum dalam standard bayaran royalti).

Andaian harga 1 unit jersi adalah £70. Ia hanya menjadi £21 juta tambahan dalam jualan kasar. Jadi, United mendapat royalti £3 juta daripada angka £21 juta.

Sekarang, £3 juta ini bukan satu jumlah yang kecil. Ia bukan milik kelab 100%. Kelab mungkin akan menerima sekitar 20% daripada royalti jersi Ibrahimovic.

Ianya selepas dibayar atas hak imej Ibrahimovic, gaji tambahan atas jualan jersi, yuran ejen, bonus khas, dan lain-lain yang termaktub di dalam kontrak.

Jadi, kenyataan yang menyatakan United memperoleh dana tambahan £50 juta adalah sangat tidak munasabah.

Yang pasti Adidas dilaporkan menjana pendapatan yang sangat luar biasa menrusi perjanjian dengan Manchester United.

Rumusan

Diharap penjelasan ini dapat membantu ramai pembaca di luar sana memahami tentang industri ini secara asas.

Artikel ini ditulis oleh Jake Cohen pada Ogos 2016 yang berjudul Shirt sales alone do not pay for a superstar’s transfer fee.

Untuk kelab seperti United, agak sukar angka royalti jersi seorang pemain untuk membeli pemain di pasaran perpindahan.

Baca juga: Gaji Pogba Dan Zlatan Akan Dipotong Jika Gagal Bantu United Ke UCL?

The post Jualan Jersi Pemain Boleh Membantu Membeli Pemain Lain, Fakta Atau Mitos? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Jersi Perak 2017 Kekalkan Kecantikan Visual Jersi Musim 2016

Jersi Perak 2017 adalah bukti jelas AL Sports sudah menemui kekuatan rekaan jersi mereka. Banyak yang mereka belajar sejak kegagalan mereka menambat hati penyokong Perak dengan rekaan jersi musim 2015.

Pada musim 2016, AL Sports membuat keputusan: rekaan jersi yang menampilkan warna kosong (plain color) seperti jersi Perak 2015 (gambar bawah) perlu dihentikan.

Sumber: Dunia Sukan

Jadi pada musim 2016, AL Sports menghasilkan jersi yang menampilkan motif belang dan simetri.

Penyokong Perak menyukainya. Malah kita juga dapat menyaksikan AL Sports membawa 2 motif ini kepada penghasilan rekaan jersi Kedah 2017.

Inilah pendapat kami ketika diberi peluang eksklusif oleh AL Sports untuk mengendalikan sesi fotografi jersi Perak 2017.

Antara pemain Perak yang terlibat dalam sesi tersebut adalah:

  • Yashir Pinto
  • Thiago Aquino Jr
  • Nazrin Nawi
  • Ahmad Khairil Anuar

Peluang ini kami gunakan sebaiknya untuk melihat dan menilai rekaan 2 jersi terbaru Perak – home dan away.

1. AL Sports tinggalkan motif melintang jersi 2016

Sejurus sahaja kami melihat jersi home Perak yang baru, perkara pertama yang terlintas di fikiran kami adalah persamaan rekaan motifnya dengan jersi home Manchester United musim 2016/2017.

Jika pada musim 2016 AL Sports menggunakan motif belang melintang, jersi Perak 2017 menggunakan motif belang menegak.

Bahagian sebelah kiri jersi mempunyai corak berlian. Manakala sebelah kanan jersi menampilkan warna kosong.

Dari jauh, warna kuning bahagian sebelah kiri jersi nampak gelap sedikit berbanding warna kuning bahagian sebelah kanan. Seperti kami kata, seperti jersi home Manchester United musim 2016/2017.

Untuk jersi away Perak yang baru, AL Sports masih lagi mengekalkan warna putih sebagai warna utama.

Tetapi berbeza dengan jersi away musim lepas yang tidak menggunakan warna kuning, jersi away kali ini ada warna kuning di bahagian lengan dan sisi badan.

AL Sports juga menggantikan motif ‘chevron’ pada jersi away musim lepas dengan motif belang berwarna kelabu yang menegak. Sekali pandang ia nampak tak kena.

Tetapi apabila Yashir Pinto dan Nazrin Nawi menyarung jersi away Perak yang baru lengkap dengan seluar pendek yang mempunyai ‘gradient’ warna hitam ke kelabu, barulah ia nampak cantik.

2. Kualiti cetakan heat press yang cemerlang

Seperti yang kami tulis dalam ulasan jersi Kedah 2017, jersi Perak 2017 (versi player issue) juga mempunyai kualiti cetakan heat press yang cemerlang.

Setaraf jersi player issue luar negara yang berharga RM400-500!

Jika dalam jersi musim lepas tag ‘Genuine’ AL Sports dijahit dalam jersi player issue, kali ini AL Sports memastikan 100% logo dan tag dalam jersi player issue dicetak secara heat press.

Jika anda pandai menjaga jersi player issue ini (menerbalikkan jersi sebelum membasuh, membasuh dengan air sejuk), cetakan ini akan kekal sampai bila-bila.

3. Perincian jersi yang lebih teratur

Mana-mana penyokong Perak yang mempunyai simptom obsessive compulsive disorder (OCD) pasti akan mengelak dari melihat perincian jersi Perak 2016.

Bendera Perak di atas logo pasukan. Logo Al-Ikhsan hanya di bahu kanan. Bahu kiri kosong.

Mujurlah aspek ini sudah diperbetulkan dalam jersi Perak 2017. Tiada lagi bendera Perak di atas logo pasukan. Logo Al-Ikhsan pula kini berada di bahu kiri dan kanan. Ia nampak lebih simetri.

Di belakang jersi tertera logo Visit Perak 2017.

Di bahagian dalam belakang jersi pula tertera moto ‘Passion is The Secret Weapon’.

4. Fabrik jersi ringan, mesra alam dan sejuk

Jersi Perak 2017 dilengkapi dengan teknologi SmartDRY untuk mempercepatkan proses penyejatan peluh pemakainya. Teknologi inilah yang tidak membenarkan peluh melekit kepada pemakainya ketika berpeluh.

Selain itu, fabrik jersi Perak 2017 juga mendapat sijil Eco Passport dari OEKO-TEX; sebuah badan pengiktirafan kualiti tekstil dari Switzerland.

Pengiktirafan Eco Passport ini bermakna jersi Perak 2017 diperbuat daripada bahan-bahan mesra alam. Jadi penyokong Perak boleh memakai jersi ini dengan kesedaran bahawa mereka telah menyumbang kepada kehijauan planet kita.

Rumusan

Melalui reaksi Thiago, Yashir, Nazrin dan Beto ketika menyarung jersi Perak 2017 ini, kami dapat menyimpulkan mereka menyukai rekaan jersi dan keselesaan fabriknya.

AL Sports tidak melakukan apa-apa perubahan radikal. Mereka hanya memperbaiki 1-2 kelemahan jersi mereka pada musim lepas dan menjadikannya hampir sempurna.

Bagi sehelai jersi yang masih cantik, telah diperbaiki kelemahannya dan masih dijual pada harga sama seperti musim lepas – kami merasakan AL Sports telah melakukan kerja yang sangat bagus untuk penyokong Perak.

Perhatian kepada penyokong-penyokong Perak TBG!

Jom ramai-ramai meriahkan Majlis Pelancaran Jersi & Pengenalan Pasukan Perak 2017 yang akan berlangsung malam esok!

Dalam majlis ini juga, anda berpeluang mendapatkan jersi Perak 2017 dan beramah mesra dengan pemain-pemain bintang Perak!

Butiran program boleh diteliti di bawah:

Bagi anda yang masih mahu mendapatkan jersi Perak 2016 (kualiti player issue), anda boleh mendapatkannya di laman e-dagang kami dengan KLIK LINK INI: https://thesbx.com/produk/jersi-home-perak-musim-2016/

The post Jersi Perak 2017 Kekalkan Kecantikan Visual Jersi Musim 2016 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Kecewa Dengan Rekaan Jersi, Penyokong Pulau Pinang Lancar Petisyen Khas

Jersi adalah simbol kepada pemakai. Ia menunjukkan afiliasi penyokong bola sepak kepada pasukan yang mereka sokong. Selain itu, jersi adalah cendera mata (merchandize) yang wajib bagi seorang penyokong sejati.

Bagi pihak pasukan, ia akan dapat membantu sedikit dana pasukan walaupun keuntungan jersi lebih kepada pihak pengeluar yang menaja.

Oleh itu, rekaan jersi yang cantik dan menarik sangat penting untuk memastikan ia mendapat sambutan daripada penyokong.

Pada masa yang sama ia adalah tanda pasukan itu menghargai peminat ataupun penyokong mereka dengan memberikan sentuhan yang boleh mereka gayakan dengan bangga.

Penyokong Kecewa

Pada 13 Januari yang lalu, FA Penang melancarkan jersi Pulau Pinang untuk musim 2017. Agak mengecewakan apabila rekaannya terlalu kosong dan majoriti penyokong Pulau Pinang tidak menggemari rekaan jersi Pulau Pinang terbaru itu.

Ada yang menyifatkan ia seperti baju pendidikan jasmani. Terlalu kosong dan tiada tarikan. Ia turut menjadi bahan jenaka oleh netizen termasuk penyokong Pulau Pinang sendiri yang merasakan pereka jersi patut lebih kreatif.

Ada juga yang berpendapat, mereka tidak meminta terlalu cantik, tetapi sekurang-kurangnya tidak terlalu ringkas dan kosong. Cabaran untuk jersi tanpa penaja memang memerlukan satu rekaan yang menarik.

Ini adalah antara rekaan dari pasukan Eropah yang menggunakan jersi tanpa nama penaja. Namun ada di antaranya hanya digunakan dalam beberapa perlawanan sahaja.

Ini pula jersi Lazio pada musim lalu yang mirip dengan warna Pulau Pinang, biru putih. Dan ia nampak mengancam kerana rekaan baju yang nampak moden.

Kes Pahang 2016

Pahang pernah melancarkan jersi yang kosong tanpa ada nama penaja di hadapan. Ia mengundang reaksi daripada penyokong Pahang yang menganggap ia hasil kerja tangkap muat.

Namun jersi Pahang ini tidaklah terlalu kosong kerana ada gabungan jalur warna yang kuat. Pahang akhirnya mengeluarkan jersi baru dengan nama penaja Aras Kuasa pada jersi mereka.

Petisyen Tukar Rekaan Jersi Penang 2017 Dilancar

Semalam banyak kongsian daripada penyokong Pulau Pinang untuk mendesak agar pengurusan Pulau Pinang mereka semua (re-design) jersi mereka.

Petisyen ini ditujukan kepada 3 pihak utama:

1. Penang Panthers Supporters
2. Penang FA
3. Legea Sport Penang

Setakat pukul 1.00 pagi 15 Januari 2017, hanya 90 orang sahaja yang sudah menandatangani petisyen atas talian itu. Mereka memerlukan 500 tandatangan dalam petisyen tersebut.

Anda boleh menandatangani petistyen ini dengan klik pautan di bawah ini:

Petition: Change Penang FA Jersey Design 2017 ( Tukar Design Jersey Penang FA 2017 )

Adakah Petisyen Akan Berjaya?

Pada hakikatnya, ia mungkin relevan kerana template jersi tersebut kosong. Namun ia memerlukan penaja jersi dan FA Penang untuk berbincang semula. Ini kerana kontrak kerjasama sudah dimeterai.

Namun sebelum ini, Pahang sudah melakukannya. Mungkin itu akan menjadi inspirasi kepada penyokong Pulau Pinang.

Ramai penyokong mengharapkan petisyen ini akan sampai ke telinga pihak pengurusan dan diambil tindakan.

Rumusan

Kami berpendapat, hanya aksi luar biasa Pulau Pinang di dalam padang akan membuatkan isu jersi ini dijadikan agenda kurang penting.

Namun Pihak FA Penang tetap perlu mengambil kira hasil jualan jersi yang akan mereka dapat dengan rekaan semasa. Ramai penyokong Pulau Pinang berkata mereka memilih untuk memakai jersi musim lalu.

Jersi yang menjadi sejarah hingga digunakan dalam montaj malam gala FIFA.

Baca juga: Shah Alam Antlers 4-0 SLBJ: Klang Valley Super League (Matchday 4)

The post Kecewa Dengan Rekaan Jersi, Penyokong Pulau Pinang Lancar Petisyen Khas appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Arsenal Dedahkan Sebab Kenapa Mereka Memakai Jersi Kuning Menentang Basel Di Emirates

Arsenal memberitahu kepada ESPN bahawa penggunaan jersi kedua yang bewarna kuning pada pertembungan dengan FC Basel tidak ada kaitan dengan sebarang ritual ataupun mahu mencari tuah.

Sebaliknya ia adalah atas notis arahan yang diberikan oleh UEFA ke atas mereka untuk menggunakan jersi kedua walaupun mereka bermain di tempat sendiri.

Hal ini kerana lengan baju Arsenal berwarna putih dan warna itu sama dengan jersi tempat lawan FC. Basel.

Arsenal v FC Basel - UEFA Champions League Group Stage - Group A

Alternatif lain untuk kes seperti ini, kebiasaannya UEFA akan menghantar notis awal kepada pasukan pelawat supaya mereka memakai jersi ke-3. Namun begitu, FC Basel dilaporkan tidak memiliki jersi ketiga.

Penyokong Arsenal pasti teringat perlawanan UCL pada 1998, apabila Arsenal diarahkan untuk memakai jersi ketiga mereka yang berwarna biru. Hal ini kerana baju pertama RC Lens adalah merah dan baju kedua mereka adalah kuning dan merah.

1640250_arsenal_sport-large_transi7wjnedkpjpiaipaau_z8b_vtgynvgok_cwicvgecbc

Dalam pertemuan yang menemukan beradik Xhaka sekali lagi selepas Piala Eropah 2016, Granit Xhaka sekali lagi menang pertarungan ini.

nintchdbpict000270555144-e1475100243856

Arsenal menang 2-0 dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh Theo Walcott. Ia sekaligus membolehkan mereka memimpin kumpulan A dengan 4 mata berkongsi dengan Paris St. Germain selepas 2 perlawanan.

Baca juga : Analisis Taktikal EPL 2016/17: Kualiti Dan Struktur Arsenal Musnahkan Chelsea

The post Arsenal Dedahkan Sebab Kenapa Mereka Memakai Jersi Kuning Menentang Basel Di Emirates appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Rekaan Baru Jersi Bola Sepak Pasukan Kebangsaan Malaysia 2016/2017 Terdedah Kepada Umum

Dalam masa terdekat, Nike akan memperkenalkan rekaan baru jersi yang akan digunakan oleh psukan bola sepak kebangsaan yang akan digunakan untuk tempoh 2 tahun akan datang.

Belum pun ada sebarang berita tentang jersi baru ini, rekaannya sudah pun terdedah kepada umum beberapa minggu lepas.

Jersi tuan rumah

Jersi tuan rumah (home) pasukan kebangsaan menampilkan warna kuning sebagai warna utama sambil dipadankan dengan warna hitam pada bahagian bahu dan lengan.

Jalur hitam pada bahagian sisi ini adalah rekaan yang digunakan mengikut templat jersi Vapour dengan teknologi terbaru AeroSwift.

screen-shot-2016-09-12-at-10-5

Rekaan baru ini konsisten seperti kebanyakan jersi Nike pada musim 2016/2017.

Jersi tersebut akan dipadankan dengan seluar kuning berjalur hitam dan stokin hitam yang lengkap dengan motif garis-garis kuning.

Jersi pelawat

Jersi pelawat (away) pasukan kebangsaan turut menggunakan templat jersi Vapour yang sama.

Kali ini jersi pelawat pasukan kebangsaan akan menampilkan kelainan. Warna putih digunakan sebagai asas, berbeza dengan warna biru yang digunakan pada tahun-tahun sebelum ini.

Jersi putih kali ini digandingkan dengan warna biru gelap ‘navy’ pada bahagian bahu dan lengan. Jersi itu turut diserikan dengan jalur berwarna merah pada bahagian kolar dan sisi baju.

Seluar untuk jersi pelawat akan berwarna putih, lengkap dengan jalur merah. Away kit ini turut dipasangkan dengan stokin merah yang mempunyai corak perincian berwarna putih.

screen-shot-2016-09-12-at-10-5-1

Seperti rekaan jersi Malaysia sebelum ini, Jalur Gemilang disematkan di bahagian dada untuk membangkitkan semangat patriotik pemain (dikhuatiri kalau letak logo FAM, semangat pemain akan luntur).

Jersi tersebut juga dijangka akan dilengkapi dengan perincian kata-kata keramat ‘Tanah Tumpahnya Darahku’ di bahagian dalam kolar.

Apa pendapat anda pada tentang rekaan jersi terbaru pasukan kebangsaan ini? Berikan pendapat anda di bahagian komen.

Baca juga: Siapa 6 Penyokong Yang Pakai Jersi Bola Sepak Malaysia Di Gelanggang Badminton Sukan Olimpik Rio 2016?

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Joule. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke semuanyabola@gmail.com.

The post Rekaan Baru Jersi Bola Sepak Pasukan Kebangsaan Malaysia 2016/2017 Terdedah Kepada Umum appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Real Madrid & Barcelona Perkenal Jersi Away Warna Sama Pada Hari Yang Sama

Seteru El Clasico dan musuh tradisi, Barcelona dan Real Madrid telah pun memperkenalkan jersi away mereka untuk musim 2016/2017 baru-baru ini.

Tetapi apa yang menariknya, kedua-dua pasukan ini bukan sahaja mengambil hari sama (14 Julai 2016) untuk memperkenalkan jersi away mereka, malah warnanya juga turut sama!

Secara kebetulan, Barcelona dan Real Madrid telah memilih warna ungu sebagai warna jersi away mereka.

rma

bc

Kali terakhir kedua-dua pasukan memilih warna yang sama untuk jersi tempat lawan adalah pada musim 2011/2012. Jersi tempat lawan mereka ketika itu adalah hitam.

3rd

Kedua-dua kelab gergasi Sepanyol itu dikatakan memilih warna twrsebut sebagai penghormatan kepada penyanyi lagenda Prince. Tetapi kebenarannya masih tidak dapat disahkan.

Baju dan seluar Barcelona mungkin tidak terlalu menonjol, namun jalur warna merah jambu yang kuat pada bahagian torso, kolar adalah antara tarikan utama.

Mereka juga memilih warna merah jambu untuk stoking.

36434D3B00000578-3689768-image-a-1_1468487072947

barcelona-away-kit-barca_3744500

Walaupun sebelum ini Barca kerap bereksperimen dalam rekaan jersi away mereka, namun mereka tidak pernah memilih warna ungu sebelum ini.

36434D2B00000578-3689768-image-a-2_1468487076314

Reka bentuk kali ini adalah berdasarkan template Nike Vapour, yang digunakan dalam jersi England dan Perancis ketika Piala Eropah yang lalu.

93097903_A_view_of_the_new_England_football_kit_PRESS_ASSOCIATION_Photo_Picture_date_Thursday_March-large_trans++EDjTm7JpzhSGR1_8ApEWQA1vLvhkMtVb21dMmpQBfEs

Sementara itu, Real Madrid pula agak sinonim dengan penggunaan warna ungu sama ada untuk jersi kedua ataupun jersi ketiga mereka.

real-madrid-16-17-away-kit-6

Rekaan Adidas untuk jersi away Real Madrid kali ini dijangka akan menjadikan ia antara sebab penyokong Real Madrid pening; sama ada untuk memilih jersi utama atau jersi away.

bale

Adidas mengambil inisiatif meletakkan 3 jalur signifikan mereka di atas bahagian bahu. Manakala untuk jersi home, jalur tersebut diletakkan di bahagian torso.

3643561400000578-3689911-It_includes_a_white_ribbed_crewneck_collar_the_shorts_and_socks_-a-52_1468493884506

Rekaan ini juga dikatakan inspirasi daripada jersi tempat lawan Real Madrid pada era 80-an dahulu.

madrid-purple-700x437

Template untuk jersi Real Madrid banyak digunakan Adidas dalam rekaan mereka untuk pasukan-pasukan di Piala Eropah dan Copa America Centenario 2015 yang baru habis berlangsung baru-baru ini.

36438A6200000578-3689911-image-a-53_1468493894332

Jadi, ia adalah musim yang menarik untuk melihat penyokong mereka akan mengenakan warna yang sama.

Pada pendapat anda, jersi tempat lawan mana yang lebih cantik?

Baca Juga : Shaqiri Sindir Jersi PUMA Switzerland: Saya Harap Puma Tak Buat Kondom

The post Real Madrid & Barcelona Perkenal Jersi Away Warna Sama Pada Hari Yang Sama appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Sejarah Nombor Jersi & Kaitannya Dengan Posisi Pemain (Era Chapman Hingga Guardiola)

Anda pasti pernah tertanya-tanya – kenapa pengulas di televisyen atau penganalisis taktikal kerap menggunakan istilah seperti ‘pemain no.9’, ‘posisi no.6’ atau ‘peranan no.8’. Apa maksudnya?

Kami juga selalu menggunakannya. Kami kerap menggelar Juan Lucero, penyerang JDT sebagai modern no.9, sedangkan beliau memakai jersi bernombor 19. Matias Hadwa pula kami gelar sebagai pemain no.10, sedangkan beliau memakai jersi bernombor 30.

Apa maksudnya?

Secara ringkasnya, ia merujuk kepada posisi seseorang pemain dalam taktikal pasukan. Bukannya nombor jersi pemain. Ini bermakna Aidil Zafuan bukannya ‘pemain no.7’. Sebaliknya beliau merupakan ‘pemain no.5’.

aidil_zafuan-1

Persoalannya mengapa?

Untuk menjawab, kami menulis artikel ini kerana masih ramai peminat bolasepak tempatan tidak memahami konsep ini.

Sejarah awal

Semuanya bermula ketika perlawanan pembukaan Divisyen 1 England. Sheffield Wednesday menentang pasukan pelawat, Arsenal pada 25 Ogos 1928. Pada hari bersejarah tersebut, penyokong yang datang ke Hillsborough Stadium pada ketika itu nampak sesuatu yang ganjil di jersi pemain Arsenal.

Pemain Arsenal yang pada ketika dilatih oleh pakar taktikal, Herbert Chapman dilihat memakai jersi yang tertera nombor di belakangnya.

Pada hari yang sama di Divisyen 2 England, Chelsea melayan kunjungan Swansea Town di Stamford Bridge.

Seperti penyokong yang datang ke Hillsborough Stadium, pengunjung Stamford Bridge dapat melihat semua pemain Chelsea – kecuali penjaga gol – memakai jersi yang tertera nombor di belakangnya.

Arsenal tewas 2-3 kepada Wednesday. Manakala Chelsea pula menang 4-0. Dan pada hari tersebut buat kali pertamanya di England, pemain bola sepak memakai jersi bernombor.

Pencipta asal – Arsenal atau Chelsea?

Laman web rasmi Arsenal mendakwa Herbert Chapman adalah pengurus pertama yang memperkenalkan inovasi nombor jersi ini di England.

Tetapi beberapa blog di England mendakwa idea asal nombor jersi ini datang dari David Calderhead, pengurus Chelsea yang terlebih dahulu mencubanya pada tahun 1927. Dakwaan ini dibuat berdasarkan artikel bertajuk ‘A Football Innovation’ di akhbar Dublin Evening Mail pada 16 Ogos 1927.

numbered-jerseys-scan

Pada ketika itu, Chelsea menggunakan nombor pada jersi untuk membantu penonton mengenali pemain Chelsea ketika perlawanan ujian.

Ideanya adalah supaya penonton serta-merta tahu ‘pemain no.2 sentiasa bermain di bahagian pertahanan sebelah kanan’.

Idea ini kemudiannya dicuba pakai oleh Herbert Chapman di Arsenal supaya penyokong dapat menjejak pergerakan pemain-pemainnya dalam formasi W-M beliau.

2222

Nombor dan posisi pemain dalam 4-4-2

Sistem pernomboran posisi pemain pada mulanya diasaskan mengikut formasi 2-3-5.

main-qimg-41a72b098b60f961614daf2b656c6e30

Selepas itu, ia diasaskan mengikut formasi W-M Herbert Chapman pula. Apabila ia semakin tidak relevan dalam bolasepak moden, sistem pernomboran posisi pemain diasaskan berdasarkan formasi 4-4-2 yang lebih popular pula.

Gambar di bawah menunjukkan perbezaan sistem pernomboran posisi dalam formasi 4-4-2 (putih hitam) dengan formasi ‘W-M’ Herbert Chapman (merah kuning).

wm442

Secara ringkasnya, posisi untuk nombor-nombor dalam formasi 4-4-2 adalah:

  1. Penjaga gol
  2. Bek kanan
  3. Bek kiri
  4. Pemain tengah defensif/deep lying playmaker/defensive midfielder/holding midfielder/volante
  5. Bek tengah
  6. Bek tengah
  7. Pemain sayap kanan
  8. Pemain tengah ofensif/box-to-box midfielder/secondary playmaker
  9. Penyerang utama/target man/false nine
  10. Penyerang kedua/chief playmaker/trequartista/enganche/attacking midfielder/false ten
  11. Pemain sayap kiri

Jika sesebuah pasukan bermain formasi 4-3-3 pula, kebiasaannya pemain no.10 – the chief playmaker – akan bermain di jentera tengah, bersama pemain no.8 dan no.4.

433

Modifikasi sistem pernomboran posisi pemain dalam bola sepak moden

1. Pemain no.4

Apabila peranan taktikal pemain dalam bola sepak moden menjadi lebih kompleks, kaitan nombor jersi pemain dengan posisinya menjadi semakin lemah atau ‘loosely-defined’.

Sebagai contoh pada zaman dahulu, pemain no.4 pasti akan bermain sebagai holding midfielder.

Bagaimanapun hasil inovasi Pep Guardiola dalam formasi 4-3-3 Barcelona, pemain no.4 mereka – Sergio Busquet – diarahkan bermain sebagai holding midfielder dan bek tengah (tugas pemain no.4 atau 5) secara serentak!

Peminat bola sepak yang bermain Football Manager mengenali tugas ini sebagai ‘half back’.

Ia mula-mula digunakan oleh Guardiola (kemudian diguna pakai Luis Enrique) untuk membantu Barcelona merancang serangan dari bawah ketika ditekan (pressed heavily) oleh pasukan yang menggunakan 2 penyerang.

Barca v Atleti 2_zps7vxsishl

Hasil inovasi Guardiola, kini pemain-pemain no.4 dari pelbagai pasukan juga melakukan tugas sama di pasukan lain. Contohnya Michael Carrick (Manchester United) dan Casemeiro (Real Madrid).

Di Malaysia, kita mempunyai Amirul Hisyam yang melakukannya di Kedah dan Azrul Ahmad di Pulau Pinang (ketika diurus Mamu Jackson).

2. Pemain no.9 dan no.10

Bercakap tentang pemain no.9, peminat bola sepak pasti mengaitkannya dengan penyerang seperti Ronaldo (Luis Nazario de Lima), Alan Shearer, Ian Rush atau Robbie Fowler.

Bagaimanapun sekali lagi hasil inovasi Pep Guardiola dalam formasi 4-3-3 Barcelona, pemain no.9 mereka pada musim 2009/2010 – Lionel Messi – diarahkan bermain sebagai false nine.

Dalam tugas ini, Messi diarahkan mengisi posisi penyerang utama (pemain no.9) ketika Barcelona hilang penguasaan bola.

Tetapi apabila pasukannya memperolehi penguasaan bola, beliau akan turun ke bawah untuk mengutip bola dan merancang serangan dari bawah – seperti chief playmaker (pemain no.10)!

Fungsi false nine di Barcelona selalunya digabungkan dengan false ten.

Tugas false ten – kebiasaannya digalas Cesc Fabregas – pula adalah mengisi posisi penyerang utama (pemain no.9) yang ditinggalkan Messi. Inilah yang biasa dilakukan Fabregas pada musim 2012/2013 ketika di Barcelona.

Nombor alternatif

Bagi sesetengah pemain, nombor jersi yang dipakai oleh mereka perlu mempunyai kaitan dengan tugas mereka di padang.

Mungkin kerana ada nilai sentimental kepada mereka, ini mungkin menjelaskan sebab mengapa penyerang seperti Mario Balotelli memilih nombor 45 (4+5=9)…

Mario-Balotelli-at-Melwood-on-August-25

….Ivan Zamorano memilih nombor 18 (1+8=9)…

sa

….dan Ronaldo memakai no.99 apabila nombor 9 sudah diambil pemain lain.

Seperti yang kami tekankan sebelum ini, kaitan nombor jersi pemain dengan posisinya menjadi semakin lemah atau ‘loosely-defined’ apabila taktikal bola sepak moden menjadi semakin kompleks.

Ini yang paling banyak berlaku sekarang. Pemilihan nombor jersi lebih bersifat bebas dan tidak semestinya mewakili posisi pemain.

Contohnya Nicklas Bendtner dan Asamoah Gyan yang menggemari no.3.

nicklas-bendtner-inter-wolfsburg-europa-league_2wtmu17m7m9f1vak2cm188t3v

Manakala lagenda Argentina, Osvaldo Ardiles pula gemar menyarung  jersi nombor 1 walaupun tidak bermain sebagai penjaga gol.

interesting shirt numbers in football

Penjaga gol Mexico, Jorge Campos pernah memakai no.9 dan juga no.19 ketika mewakili Mexico.

15 Jun 1997: Jorge Campos of the Los Angeles Galaxy in action during a game against the Tampa Bay Mutiny at the Rose Bowl in Pasadena, California. The Galaxy won the game, 4-1.

David Beckham pernah meminta nombor 77 ketika menyertai Real Madrid kerana no.7 sudah dipakai Raul Gonzalez. Tetapi kelab tidak membenarkannya. Akhirnya Beckham memilih no.23 hasil inspirasi daripada bintang NBA, Michael Jordan.

Pemain seperti Andrey Shevchenko (no. 76), Ronaldinho (no. 80), dan Mathieu Flamini (no. 84) pula menggunakan nombor yang mewakili tahun kelahiran mereka (1976, 1980 dan 1984).

ac-milan-number-trio

Baca juga: Cerita Disebalik Nombor Jersi Yang Pelik

The post Sejarah Nombor Jersi & Kaitannya Dengan Posisi Pemain (Era Chapman Hingga Guardiola) appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Romania Letak Masalah Matematik Di Jersi Untuk Galak Kanak-Kanak Minat Matematik

“Bola sepak dan matematik bukanlah dua perkara yang berasingan,” menurut presiden Persatuan Bola Sepak Romania, Razvan Burleanu.

Matematik mempunyai banyak aplikasi dalam bola sepak. Dari menilai tahap kewangan pasukan sehinggalah kepada menilai tahap persembahan pemain, bola sepak menawarkan banyak peluang kerjaya kepada peminat subjek matematik di sekolah.

Inilah mesej yang cuba disemai oleh pasukan kebangsaan Romania kepada kanak-kanak di negara mereka – matematik itu subjek yang menyeronokkan.

Dalam persiapan pasukan kebangsaan Romania sebelum perlawanan persahabatan menentang Sepanyol yang berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia), pemain Romania menukar nombor jersi mereka kepada masalah matematik.

romania math 2

Kapten Romania, Vlad Chiriches yang biasanya memakai nombor 6 misalnya, mempunyai masalah matematik 2 x 2 + 2 tertera di belakang jersi latihannya.

Usaha ini dilakukan untuk membantu masalah minat rendah kanak-kanak Romania terhadap pendidikan sekolah.

Menurut rekod European Union (EU), kadar kanak-kanak Romania yang tidak menghabiskan persekolahan pada tahun 2014 adalah setinggi 18% – paling tinggi di Eropah.

Sebagai perbandingan, kadar kanak-kanak Malaysia yang tidak menghabiskan persekolahan pada tahun 2012 adalah 3.6%.

Persatuan Bola Sepak Romania melihat integrasi masalah matematik ini dengan sukan bola sepak mampu menarik minat kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah matematik tersebut, sekaligus memberi mereka sebab untuk kekal bersekolah.

“Melalui projek ini, kanak-kanak akan belajar asas bola sepak dan mempunyai peluang untuk memepelajari matematik melalui pendekatan yang menarik.”

Romania seri 0-0 dengan Sepanyol awal pagi tadi.

Selepas bergelar naib juara kumpulan kelayakan EURO 2016 di belakang Ireland Utara, Romania layak ke EURO 2016 pada musim panas nanti. Mereka akan bertemu tuan rumah, Perancis dalam perlawanan pembukaan pada 10 Jun 2016 nanti.

Selain Perancis, Romania turut akan berhadapan dengan Switzerland dan Albania dalam perlawanan kumpulan mereka di EURO 2016 nanti.

Kami berharap negara-negara lain juga akan melakukan perkara sama untuk menarik minat kanak-kanak terhadap subjek matematik, termasuklah Malaysia.

Baca juga: 6 Rahsia Kejayaan Bola Sepak Iceland, Negara Paling Kecil Yang Layak EURO 2016

The post Romania Letak Masalah Matematik Di Jersi Untuk Galak Kanak-Kanak Minat Matematik appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Kelab Bolivia Guna Jersi Pasar Malam AS Roma Dalam Perlawanan Liga

Liga Malaysia mungkin ada kelemahannya, tetapi sekurang-kurangnya liga kita sudah tiada insiden lawak seperti apa yang berlaku di liga Bolivia semalam.

Club Atlético Ciclón adalah sebuah kelab yang beraksi dalam liga profesional Bolivia. Dalam perlawanan kedua liga yang berlangsung semalam, mereka berkunjung ke halaman Club Real Potosí.

Bagaimanapun jersi away yang Ciclón bawa juga berwarna putih, dan kelihatan hampir sama dengan jersi home Real Potosí. Jadi pengadil mengarahkan Ciclón menukar jersi away mereka kepada jersi berwarna selain putih.

Ini menimbulkan masalah kepada Ciclón, sebuah kelab kecil yang baru dinaikkan pangkat untuk bermain di liga teratas Bolivia.

Ini kerana kit man mereka tidak membawa jersi ketiga mereka.

Beli jersi pasar malam

Untuk menyelesaikan masalah ini, kit man Ciclón bergegas lari mencari jersi baru. Kebetulan pula di luar stadium Real Potosí, ada sebuah pasar malam.

Tanpa berfikir panjang, kit man Ciclón membeli 12 jersi AS Roma ciplak dari pasar malam tersebut sebelum melukis nombor jersi pemain dengan pen marker hitam.

bolivia1 bolivia2

Pengadil berpuas hati dan perlawanan pun dimulakan.

Bagaikan AS Roma vs Real Madrid

Apa yang membuatkan berita ini lebih menarik adalah, jersi Real Potosí pula hampir sama dengan jersi Real Madrid. Masakan tidak, logo kelab mereka sendiri pun hampir sama dari logo Real Madrid!

realpotosi

Perlawanan tersebut ibarat AS Roma versi Bolivia (Ciclón) menentang Real Madrid versi Bolivia (Real Potosí). Sebagai rekod, Real Potosí membelasah Ciclón 4-0 dalam perlawanan tersebut.

Ciclon4-kjkC-U140445608070eFG-620x349@Gazzetta-Web_articolo

Penyokong bola sepak Bolivia menyamakan perlawanan tersebut sebagai ‘petanda awal’ Real Madrid akan mengalahkan AS Roma dalam perlawanan pusingan 16 pasukan terakhir UEFA Champions League nanti.

Soalan kami adalah: bagaimana Ciclón boleh tak tahu warna jersi pasukan tuan rumah?

Baca juga: AS Roma Melancarkan Jersi Yang Mempunyai Peta Bandar Rome

The post Kelab Bolivia Guna Jersi Pasar Malam AS Roma Dalam Perlawanan Liga appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA