Nike Perkenalkan Anti-Clog Traction; Kasut Bola Yang Halang Lecah Melekat Di Tapak

Berdasarkan kenyataan dan video rasmi Nike tentang Nike Anti-Clog Traction, produk terbaru mereka ini bakal mendapat sambutan pemain-pemain bola sepak di Malaysia. Terutamanya pemain amatur.

Sejak bertahun lamanya, pemain bola sepak amatur (kadang-kala profesional) yang kerap bermain di padang yang basah terpaksa pasrah bermain dengan tanah yang melekat di tapak kasut bola mereka.

Tanah yang melekat di tapak kasut mereka menyebabkan kasut mereka menjadi berat dan menyumbat ruang antara studs. Ini membuatkan larian mereka menjadi perlahan kerana kasut yang berat dan licin.

Selepas bermain, pemain juga terpaksa menghabiskan masa untuk membersihkan kasut bola mereka dari tanah yang melekat.

Mujurlah dengan Nike Anti-Clog Traction, masalah ini akan selesai.

Nike Magista lengkap dengan Anti-Clog Traction (sumber: Nike)
Nike Magista lengkap dengan Anti-Clog Traction (sumber: Nike)

Bagaimana Nike Anti-Clog Traction berfungsi?

Nike Anti-Clog Traction berfungsi untuk menghalang tanah melekat di tapak kasut bola keluarannya seperti model Tiempo, Magista dan Hypervenom.

Nike Magista (sumber: Nike) Nike Tiempo (sumber: Nike) Nike Hypervenom (sumber: Nike)

Teknologi ini dibangunkan hasil kajian 2 tahun oleh Dr. Jeremy Walker – pemegang ijazah kedoktoran kejuruteraan sains bahan – dan pasukannya di Nike Innovation Lab.

Bahagian tapak Nike Anti-Clog Traction mengandungi polimer yang bersifat hidrofilik (sukakan air).

Pada mulanya pasukan Dr. Walker di Nike Innovation Lab mencuba pelbagai mekanisme dan bahan tapak kasut yang mampu menyingkirkan air. Tetapi ianya tak berjaya.

“Kami berhenti berfikir untuk menyingkirkan air dari tapak kasut. Sebaliknya kami gunakan air sebagai kelebihan kami.”

Dengan polimer hidrofilik, tapak kasut akan membentuk satu lapisan air tanpa menjejaskan daya geseran. Lapisan air di tapak kasut inilah yang akan menghalang tanah daripada melekat di tapak kasut Nike.

“Memahami struktur molekul lecah adalah kunci kami untuk menghasilkan Nike Anti-Clog Traction. Lapisan hidrofilik di tapak kasut ini akan menghalang tanah daripada melekat.”

Nike Anti-Clog Traction akan dijual di pasaran pada kuantiti terhad melalui Nike Football App pada 15 April 2016 nanti.

Model Tiempo, Magista dan Hypervenom yang dilengkapi Nike Anti-Clog Traction akan mempunya simbol heksagon di bahagian tapak kasutnya.

Nike Magista (sumber: Nike) Nike Tiempo (sumber: Nike) Nike Hypervenom (sumber: Nike)

Bagaimanapun Nike belum mendedahkan lagi harganya.

Baca juga: Panduan Memilih Kasut Bola Dengan Studs Yang Betul

The post Nike Perkenalkan Anti-Clog Traction; Kasut Bola Yang Halang Lecah Melekat Di Tapak appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Pengenalan Kepada Jenis-Jenis Label Kasut Bola Di Kedai & Bagaimana Untuk Pilih?

Ketika anda pergi ke kedai barangan sukan untuk membeli kasut bola baru, pernahkah anda jumpa dengan istilah-istilah FG, HG, SG, TF, AG dan IC?

Adakah anda faham maksud terma-terma ini dan kaitannya dengan kasut yang anda beli?

a54122314e013c65a4db4d30c6b727e7

Kali ini, kami ini akan membantu anda untuk memahami terma-terma ini dan fungsinya kepada kasut bola anda. Ini adalah untuk memastikan anda memilih kasut yang paling sesuai dan betul.

Faktor pemilihan kasut bola

Apabila anda ingin membuat pembelian kasut bola yang baru, perkara yang pertama yang harus anda pertimbangkan adalah jenis padang yang anda akan beraksi.

Secara amnya,terdapat 6 jenis permukaan padang, dan setiap satunya mempunyai kasut bola khusus untuk setiap jenis padang.

Menggunakan kasut bola yang salah di permukaan padang yang salah boleh mengganggu cara anda bermain. Paling menakutkan, kaki anda juga berisiko untuk ditimpa kecederaan.

Berikut adalah 6 jenis kasut bola untuk 6 jenis permukaan padang.

FG – Firm Ground (tanah padat)

118614 121449 FG

Sesuai digunakan di: Permukaan tanah padat dengan rumput pendek. Padang biasanya kering, berada di kawasan yang beriklim panas dan sederhana, dan menerima purata hujan kurang dari 150 hari dalam setahun.

Kebanyakkan kasut bola yang dipamerkan di rak kedai-kedai kasut di Malaysia adalah dari jenis Firm Ground (FG) ini.

Terdapat dua jenis corak studs yang biasa digunakan oleh kasut jenis ini iaitu studs jenis kon dan studs jenis blade (gambar bawah).

12593487_10206847102628489_3375976839352790083_o

Studs jenis kon lebih sesuai digunakan ketika keadaan padang adalah lembap dan studs jenis blade pula lebih sesuai untuk keadaan padang yang lebih kering.

Cuma hati-hati, studs jenis blade sangat berbahaya untuk dipakai jika permukaan padang tak rata!

HG – Hard Ground (tanah keras)

HG umbro 94016 117918

Sesuai digunakan di: Permukaan padang rumput yang kering dan keras

Kasut bola jenis ini sebenarnya amat mirip dengan jenis FG. Cuma di UK dan Ireland mereka lebih gemar memanggil dengan terma Hard Ground (HG), terutamanya syarikat Umbro.

Jika kasut bola FG boleh digunakan di permukaan padang lembap dan kering, kasut bola HG khas untuk permukaan padang kering sahaja.

Jumlah studs-nya juga lebih banyak dan pendek.

SG – Soft Ground (tanah lembut)

SG 118643 121457

Sesuai digunakan di: permukaan padang yang lembut, becak, berlecah atau mempunyai rumput yang panjang.

Kasut bola dari jenis Soft Ground (SG) ini biasanya menggunakan studs logam berbentuk bulat. Jumlah studs pula sedikit berbanding kasut bola FG dan HG.

Rekaan klasik kasut jenis ini biasanya mempunyai hanya 6 studs – 4 studs di bahagian tapak dan 2 studs di bahagian tumit.

Dengan jumlah studs yang minimum, kasut bola SG tidak akan mudah lekat di permukaan padang yang basah dan berlecah.

Berbanding kasut bola FG yang lebih universal penggunaannya, kasut bola SG ini jarang digunakan. Apatah pula sejak penggunaannya banyak diharamkan dalam liga amatur, kerana studs logam senang mencederakan pemain.

AG – Astrograss / Artificial Grass (padang tiruan)

TF 122388 121452

Sesuai digunakan di: permukaan padang rumput tiruan.

Kasut bola jenis Artificial Ground (AG) biasanya mempunyai banyak studs pendek dan tebal. Ini adalah untuk memberi cengkaman tambahan ketika beraksi di atas padang tiruan.

Kasut jenis ini juga biasanya kelihatan lebih berkilat kerana ia mempunyai lapisan laquer – sejenis lilin khas yang melindungi kasut tersebut dari ketajaman rumput tiruan.

Studs kasut bola AG juga ada kalanya berlubang untuk memberikan lebih cengkaman dan membuatkannya lebih ringan.

Terdapat dua jenis rumput tiruan yang popular di Malaysia – 3G dan 4G.

Padang tiruan 3G mempunyai biji-biji getah kecil pada permukaannya.

Manakala padang rumput tiruan 4G lebih realistik, dengan rumput yang lebih panjang dan mempunyai gabungan biji-biji getah kecil dan pasir dibawah permukaannya.

IC – Indoor Court

ic 118616 122386

Sesuai digunakan di: permukaan gelanggang futsal.

Kasut bola jenis ini Indoor Court (IC) atau Indoor Trainer (IT) direka khusus untuk perlawanan bola sepak indoor seperti futsal.

Kasut jenis ini umumnya mempunyai tapak yang lebih rata, dengan kebolehan untuk melentur.

Ia juga amat fleksibel dan lebih selesa dipakai berbanding jenis kasut bola yang lain kerana mempunyai tapak getah sintetik.

ST – Street Soccer

108840 ST

 

Sesuai digunakan di: permukaan tar jalan raya

Kasut bola jenis Street Soccer (ST) ini tak banyak bezanya dengan kasut futsal, tetapi direka  dengan jahitan berkembar dan tapak getah yang lebih keras.

Kasut jenis ini tidak mempunyai pengelasan yang khusus, namun sesetengah pengeluar kasut melabelkan kasut bola khas untuk street soccer sebagai ST.

Kesimpulan

Sebelum membeli kasut bola, lihat dulu jenis permukaan padang yang anda akan bermain.

Kemudian yang paling penting sekali, pastikan kaki anda selesa dan saiz kasut anda tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil. Barulah anda boleh memberikan persembahan 100% di atas padang!

Baca juga: Panduan Memilih Kasut Bola Dengan Studs Yang Betul

 

The post Pengenalan Kepada Jenis-Jenis Label Kasut Bola Di Kedai & Bagaimana Untuk Pilih? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Panduan Memilih Kasut Bola Dengan Studs Yang Betul

“Kasut bola tak penting, yang penting adalah pemainnya.”

“Kasut bola tak membuatkan anda jadi pemain yang bagus.”

Bagi sesetengah orang, but atau kasut bola yang mahal bukanlah pra-syarat untuk menang dalam perlawanan bola sepak.

Kami bersetuju. Kaki bangku yang memakai Mercurial Vapor CR7 Savage Beauty tidak akan menjadi pakar menggelecek serta-merta.

Tetapi dalam bola sepak moden di mana pemain-pemain semakin bijak, cergas dan berskil, kemenangan akan berpihak kepada pasukan/pemain yang menumpukan perhatian kepada maklumat-maklumat kecil.

Maklumat kecil seperti jenis studs yang perlu dipakai di permukaan padang yang kering, basah atau tiruan.

Ia sememangnya takkan membuat anda menjadi pemain yang bagus serta-merta, tetapi ia banyak membantu pemain bagus untuk mengatasi pemain bagus yang lain.

Bagaimana kasut bola yang betul membantu Jerman Barat memenangi Piala Dunia

Semasa perlawanan akhir Piala Dunia 1954, Jerman Barat bertemu pasukan pilihan, Hungary yang pernah membelasah mereka 8-3 dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Malah Hungary mempunyai rekod tak pernah kalah dalam 32 perlawanan berturut-turut.

Pada hari final, hujan turun mencurah-curah sehingga membuatkan padang menjadi basah. Sebagai persiapan menghadapi padang basah, Adolf Dassler – yang merupakan pengasas Adidas – membekalkan pemain Jerman Barat dengan but yang boleh bertukar studs.

Adi Dassler

Pada ketika itu, but yang boleh bertukar-tukar studs (screw-in studs) adalah satu revolusi dalam bola sepak.

Dengan memakai studs yang sesuai, pemain Jerman Barat mampu berlari laju dan mendapat kestabilan bermain di padang basah. Ini membolehkan mereka menangani skil pemain Hungary yang jauh lebih hebat.

Daripada dibelasah 8-3 dalam perlawanan peringkat kumpulan, Jerman Barat berjaya menewaskan Hungary 3-2 untuk menjadi juara Piala Dunia 1954.

Tetapi untuk pengetahuan anda, Adidas bukanlah pengeluar but yang boleh bertukar studs yang pertama di dunia.

Sebaliknya ia milik syarikat Puma, seperti yang dibuktikan mereka dalam dokumen di bawah.

(Sumber: pumagroup.tumblr.com)
(Sumber: pumagroup.tumblr.com)

Jenis-jenis studs

Secara umumnya, jenis studs kasut bola boleh dibahagikan kepada 5 jenis. Mari kita selongkar, apakah kegunaan, kelebihan dan kekurangan setiap jenis studs ini.

1. Studs getah/plastik berbentuk kon

12494006_10206847105588563_1243489328190846771_o
(Sumber: Unisportstore.com)

Studs jenis ini adalah paling mudah dijumpai di pasaran. Ia biasanya bersaiz agak kecil, dan digunakan dengan efektif di padang yang keras serta astroturf (3G).

Kelebihan:

  1. Pilihan terbaik untuk permukaan padang yang keras.
  2. Ia juga biasanya lebih murah, berbanding but jenis lain di pasaran.

Kekurangan:

  1. Tak begitu sesuai digunakan di padang yang lembut, basah dan berbecak.
  2. Apabila studs sudah haus, anda perlu tukar keseluruhan kasut dengan kasut yang baru.
  3. Anda mungkin mempunyai pilihan untuk menukar keseluruhan tapak kasut bola anda, namun kasut anda takkan jadi efektif kerana reka bentuk asalnya sudah diubah.
  4. Anda juga lebih berisiko untuk mendapat kecederaan jika rekaan asalnya sudah diubah.

2. Studs ‘screw in’ plastik

Adidas Ace 15.1 Pinterest
(Sumber: Unisportstore.com)

Studs jenis ini membolehkan anda mengubah studs anda berdasarkan keadaan padang.

Harus diingat, studs yang lebih panjang adalah untuk permukaan padang yang basah, manakala studs yang pendek adalah untuk padang kering.

Kelebihan:

  1. Lebih mudah dan murah untuk tukar studs dari tukar keseluruhan kasut bola dengan but yang baru.
  2. Kepanjangan studs boleh diubah mengikut keadaan padang.
  3. Kasut bola jenis ini juga mudah didapati di pasaran.

Kekurangan:

  1. Studs jenis ini mudah untuk jadi tak rata. Dan mudah haus jika anda sering berjalan di atas permukaan konkrit.
  2. Ia juga dikatakan boleh mencederakan pemain lain bila terjahan dilakukan.
  3. Sir Alex Ferguson pernah melarang pemainnya dari memakai boot ber-stud ini kerana tak mahu pemainnya mencederakan pemain lain. Ia berlaku selepas Wayne Rooney cedera akibat diterjah oleh pemain lain yang memakai kasut bola jenis ini (kesan studs yang jelas di kaki Rooney).

3. Studs ‘screw in’ besi

12508859_10206847104548537_7595047835863178559_n
(Sumber: prodirectsport.com)

Ketika ini, studs jenis ini kurang popular berbanding zaman dulu.

Studs jenis ini telah diharamkan dalam kebanyakkan liga amatur kerana terdapat sesetengah pemain yang sengaja menajamkan studs besi mereka untuk membahayakan pemain lain.

Jika berlaku sebarang terjahan, bukan sahaja stokin bola boleh koyak, malah betis pun turut sama boleh terkoyak.

But jenis ini tahan lasak. Tetapi anda perlu menjadi pemain bertanggungjawab jika mahu memakainya.

Kelebihan:

  1. Tahan lasak.
  2. Tahan haus.

Kekurangan:

  1. Lebih mahal.
  2. Penggunaannya tak dibenarkan di liga amatur.
  3. Ia juga lebih berat berbanding but jenis stud plastik.

4. Studs ‘screw in’ kon hibrid (plastik + besi)

12631416_10206847104148527_6715331701398987625_n
(Sumber: prodirectsport.com)

Besi di bahagian bawah, plastik di bahagian atas. But ini menggabungkan kelebihan kedua-dua jenis stad.

Ia adalah screw in studs yang paling banyak digunakan oleh kebanyakan pemain. Ia mengambil kira faktor keringanan dan kemurahan plastik, dan kelasakan logam.

Kelebihan:

  1. Harga yang kompetetif dan berpatutan.
  2. Tahan lama.
  3. Tidak membahayakan pemain lain berbanding studs screw in besi

Kekurangan: Tiada.

5. Studs jenis blade (tirus panjang)

12593487_10206847102628489_3375976839352790083_o
(Sumber: Unisportstore.com)

Dalam jenis studs, studs jenis blade berada di kelas mereka tersendiri.

Kebanyakkan pemain profesional memilih kasut bola jenis ini, kerana mereka berpendapat bahawa anda boleh melakukan turning dengan lebih pantas dan kurangnya rintangan (resistance) ketika membuat larian.

Walau bagaimanapun, di peringkat amatur, ia boleh menjadi perangkap maut.

Kasut bola jenis ini memang pantas bila anda membuat turning, dan ia bakal menyebabkan sendi-sendi dan ligamen anda mengalami lebih banyak tekanan.

Kesimpulan

Pemilihan but dengan studs yang sesuai perlu dibuat berdasarkan faktor padang, cara bermain dan yang paling penting – keselesaan kaki anda.

Elakkan memakai but hanya kerana anda mahu but sama seperti idola bola sepak anda.

 

Sebelum anda menjejakkan kaki ke padang, pastikan studs anda telah di ratakan dan tidak tajam – baik studs jenis getah, plastik dan besi.

Ini untuk mengelakkan anda daripada mencederakan pemain lain.

Baca juga: Risiko Kecederaan Bermain Di Padang Buruk Dan Cara Mengelak Kecederaan

The post Panduan Memilih Kasut Bola Dengan Studs Yang Betul appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms: