Kepulangan Andik & Amri Dirosakkan Alves, Selangor Tumbang 0-2 Kepada Pahang

Selangor didominasi dari segala aspek oleh Pahang sebelum tumbang 0-2 kepada pelawat, Pahang dalam perlawanan Liga Super yang menghiburkan (untuk penyokong Pahang) di Stadium Selayang malam tadi.

Perlawanan yang mendapat perhatian penyokong Selangor (kerana kepulangan Andik Vermansyah dan Amri Yahyah) ini bertukar menjadi pertunjukan ngeri buat mereka, selepas Selangor mempamerkan persembahan buruk di depan 8,000 penyokong setia mereka.

Selangor yang turun dengan sistem 3-4-3 kebiasaan mereka, membariskan Julian Mineiro di tengah bersama Saiful Ridzuwan.

Andik dan Amri pula berpasangan dengan Forkey Doe di bahagian trio serangan.

Pahang juga tampil tanpa kejutan dengan formasi 4-4-2. Selepas digugurkan semasa final Piala FA 2017, Azam Azih kembali berpasangan dengan Syamim Yahya di tengah.

Yamil Romero pula terus diberikan kepercayaan untuk berpasangan dengan Matheus Alves di bahagian serangan.

Selangor hilang idea seawal minit 20

Selangor memulakan perlawanan dengan baik terutamanya melalui gerakan lincah Amri Yahyah di kawasan sayap kiri.

Bagaimanapun sebaik sahaja Pahang mula mendapat rentak, ketika itulah bermulanya keluhan penyokong Selangor. Satu demi satu serangan Selangor berjaya dipatahkan oleh Pahang.

Sebaik merampas bola, Pahang susah untuk melepaskan penguasaan bolanya. Tempo hantaran Pahang terlalu laju untuk dibendung Selangor. Dalam pertarungan 1v1, Pahang sentiasa mendominasi – terutamanya Sumareh yang berkali-kali membuli K. Kannan dan Rizal Fahmi.

Bagaimanapun ketumpulan penyudah Alves pada minit 34′, 37′, 39′ dan 42′ menyebabkan jaringan kekal 0-0.

Selangor mula main long ball

Melihat kesukaran jentera tengah mereka yang sukar menyimpan bola lebih daripada 5 hantaran, pertahanan Selangor mula mengepam hantaran-hantaran jauh kepada Forkey Doe. Tetapi tiada satu pun hantaran jauh tersebut yang berjaya menghadiahkan peluang serangan kepada Selangor.

Satu-satunya peluang Selangor untuk menjaringkan gol adalah melalui set-pieces. Dan Ugo Ukah mempunyai peluang berbuat demikian pada minit 41. Bagaimanapun tandukannya tepat ke dakapan Wan Azraie.

Separuh masa kedua milik Pahang

Pada separuh masa kedua, P. Maniam cuba mengubah nasib Selangor dengan memainkan Amri Yahyah di tengah bersama Saiful Ridzuwan. Julian Mineiro yang bermain di posisi itu pada separuh masa pertama dipindahkan ke bahagian serangan.

Tetapi seperti separuh masa pertama, Pahang jelas pasukan yang lebih dominan. Sama ada dari aspek pertahanan, tengah, serangan dan transisi permainan mereka.

Sekali-sekala, Selangor cuba mengancam dengan serangan-serangan balas dan set-pieces. Tetapi ternyata Muslim Ahmad, Heo Jae-won dan Wan Azraie berada dalam prestasi terbaik mereka pada malam tadi.

Mineiro dan Forkey Doe masing-masing mempunyai peluang untuk membuka jaringan pada minit 61 dan 71. Tetapi ia mudah dinafikan 3 pemain Pahang yang kami sebutkan tadi.

Sumareh terlalu sukar untuk Selangor

Pada minit 71, Matheus Alves dihidangkan peluang keemasan hasil larian kencang dan hantaran lintang Mohamadou Sumareh di sayap kanan. Tetapi percubaan penyerang kelahiran Brazil itu tidak menepati sasaran.

3 minit kemudian, Sumareh mencipta carbon copy peluang tadi dari sayap kanan. Kali ini Alves tidak membuat aebarang kesilapan untuk menanduk masuk gol pertama perlawanan.

Tersentak dengan gol tersebut, P. Maniam mengarahkan anak buahnya untuk bertukar ke sistem 4 pemain pertahanan.

Kali ini, Razman Roslan bermain sebagai bek kanan. K. Kannan di bek kiri. Ukah dan Rizal berpasangan di pertahanan tengah.

Maniam mungkin boleh menukar sistem permainan Selangor. Tetapi selagi Selangor gagal menangani impak Sumareh, selagi itulah Pahang akan terus mendominasi.

Dan pada minit 83′, itulah yang terjadi. Kegagalan benteng Selangor menangani fizikaliti dan skil Sumareh menyebabkan Alves diberi ruang dan masa yang cukup untuk menjaringkan gol ke-2 Pahang.

Barangkali hampa kerana gagal menangani Sumareh, Halim Zainal bertindak memijak Sumareh dalam satu pergelutan bola di tengah padang.

Pengadil yang mengesan insiden itu terus memberikan kad merah kepada pemain tengah Selangor tersebut.

Kad merah itu bagaikan paku terakhir untuk keranda Selangor. Mempunyai kelebihan 1 pemain, Pahang menguasai perlawanan (dengan pemain gantian Saifulnizam Miswan bermain di tengah) sehinggalah wisel tamat perlawanan dibunyikan.

Kredit gambar: Pahang FA

Pemain terbaik perlawanan: Matheus Alves (Pahang)

The post Kepulangan Andik & Amri Dirosakkan Alves, Selangor Tumbang 0-2 Kepada Pahang appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Previu UCL 2016/2017: Jentera Serangan Dortmund Boleh Beri Masalah Kepada Real Madrid

Wow! Itulah reaksi kami melihat jadual perlawanan yang mesti ditonton pada minggu ini. Borussia Dortmund vs Real Madrid sentiasa menjamin kualiti bola sepak yang terbaik.

Kedua-dua pasukan sedang berada dalam prestasi bagus. Kedua-dua pasukan mempunyai pemain berkualiti. Kedua-dua pasukan mempunyai pengurus muda yang berbakat. Kedua-dua pasukan gemar menyerang.

Ini adalah perlawanan yang membuatkan anda rasa berbaloi untuk hilang masa tidur.

Prestasi semasa

Jika ada satu perkataan yang boleh dikaitkan dengan jentera serangan Dortmund ketika ini, ia adalah ‘memukau’. Dan adjektif diterjemahkan dengan tepat dalam keputusan perlawanan 5 perlawanan terakhir Dortmund.

Mereka menang 4 perlawanan terakhir dengan kekalahan terakhir mereka berlaku ketika tumbang 0-1 kepada pasukan yang baru dipromosi ke Bundesliga, RB Leipzig.

Dalam 5 perlawanan ini, Dortmund sudah menjaringkan 20 gol dan hanya bolos 3 gol sahaja!

screen-shot-2016-09-27-at-10-00-56-am

Real Madrid juga tidak kurang hebatnya.

Dalam 5 perlawanan terakhir, mereka menang 3 dan seri 2 kali. Kekalahan terakhir mereka berlaku pada 5 bulan lepas (kalah 0-2 kepada Wolfsburg dalam suku akhir UCL musim lepas).

screen-shot-2016-09-27-at-10-05-11-am

Rekod pertemuan

Dalam 6 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, 3 daripadanya memihak kepada Dortmund, 2 milik Real Madrid dan 1 lagi berakhir dengan seri.

Ia sudah cukup menggambarkan betapa sukar perlawanan ini sejak akhir-akhir ini untuk Real Madrid.

screen-shot-2016-09-27-at-10-06-49-am

Perkembangan semasa pasukan

  • Marc Bartra, Erik Durm, Neven Subotic, Sven Bender dan Marco Reus kesemuanya dalam senarai kecederaan.
  • Andre Schurrle masih belum cergas sepenuhnya
  • Casemiro dijangka akan berehat panjang. Real Madrid turut kehilangan khidmat Marcelo yang turut dalam senarai kecederaan.

Fakta OPTA

  • Borussia Dortmund dan Real Madrid telah bertemu antara satu sama lain untuk kali ketujuh dalam tempoh lima musimUCL (2 kali di peringkat kumpulan, 2  kali di separuh akhir dan 2 kali di suku akhir.
  • Real Madrid tidak pernang menang dalam 5 kunjungan mereka ke Signal Iduna Park, kesemua perlawanan adalah dalam UCL (2 seri,3 kalah).
  • 6 gol terakhir Dortmund ke atas Real Madrid telah dijaringkan oleh Robert Lewandowski (4 gol pada 24 April 2013) dan Marco Reus (2 gol pada 8 April 2014), semuanya di Signal Iduna Park.
  • Borussia Dortmund menang empat perlawanan terakhir mereka di tempat sendiri menentang mana-mana semua lawan dari Sepanyol dalam pertandingan Eropah, dengan purata sekurang-kurangnya 2 gol per perlawanan.
  • Dortmund telah menang 7 daripada 9 perlawanan terakhir peringkat kumpulan di tempat sendiri dalam UCL (W7 D1 L1), mereka hanya gagal menjaringkan gol sekali sahaja iaitu ketika tewas 0-2 di tangan Arsenal pada 2013.
  • Real Madrid hanya tewas sekali dalam UCL sejak awal musim lalu (10 kemenangan &  3 seri), walaubagaimanapun  kekalahan terakhir mereka adalah ketika berkunjung ke Jerman ( tewas 0-2 di tangan Wolfsburg pada April 2016).
  • Pasukan terakhir yang menewaskan Real Madrid di peringkat kumpualan UCL adalah Borussia Dortmund pada 2012.

Pemain Tumpuan

Gonzalo Castro (Borussia Dortmund)

Pemain ini dalam prestasi terbaik dalam skuad Dortmund buat masa ini. Thomas Tuchel baru sahaja menghamburkan pujian ke atas pemain tengah dinamik ini dengan menyatakan:

“Gonzalo Castro terlalu bagus untuk bermain satu peranan sahaja di dalam padang”

Cristiano Ronaldo (Real Madrid)

Selepas menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap keputusan Zinedine Zidane yang mengeluarkannya ketika Real Madrid diikat 2-2 dengan Las Palmas dalam aksi La Liga baru-baru ini, Cristiano Ronaldo pastinya mahu ‘mengamuk’ di depan gol.

Sebelum wisel

Taktikal yang mantap dan kesempurnaan bakat teknikal pemain! Dua aspek inilah yang kami jangka bakal dihidangkan kepada penonton perlawanan ini.

Tuchel pada musim ini boleh dikatakan memiliki pasukan beliau sendiri selepas musim kedua bersama-sama dengan Dortmund.

Zinedine Zidane pula masih bergantung dengan majoriti kudrat yang sama seperti musim lalu selepas Real Madrid mengambil pendekatan agak pasif dalam pasaran perpindahan pemain.

Dortmund memiliki kekuatan dari segi kepantasan. Manakala Real Madrid sentiasa tahu cara untuk menang dalam perlawanan sebesar ini.

Baca juga: Teori Taktikal: Gegenpressing Borussia Dortmund Di Bawah Thomas Tuchel

The post Previu UCL 2016/2017: Jentera Serangan Dortmund Boleh Beri Masalah Kepada Real Madrid appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Rekaan Baru Jersi Bola Sepak Pasukan Kebangsaan Malaysia 2016/2017 Terdedah Kepada Umum

Dalam masa terdekat, Nike akan memperkenalkan rekaan baru jersi yang akan digunakan oleh psukan bola sepak kebangsaan yang akan digunakan untuk tempoh 2 tahun akan datang.

Belum pun ada sebarang berita tentang jersi baru ini, rekaannya sudah pun terdedah kepada umum beberapa minggu lepas.

Jersi tuan rumah

Jersi tuan rumah (home) pasukan kebangsaan menampilkan warna kuning sebagai warna utama sambil dipadankan dengan warna hitam pada bahagian bahu dan lengan.

Jalur hitam pada bahagian sisi ini adalah rekaan yang digunakan mengikut templat jersi Vapour dengan teknologi terbaru AeroSwift.

screen-shot-2016-09-12-at-10-5

Rekaan baru ini konsisten seperti kebanyakan jersi Nike pada musim 2016/2017.

Jersi tersebut akan dipadankan dengan seluar kuning berjalur hitam dan stokin hitam yang lengkap dengan motif garis-garis kuning.

Jersi pelawat

Jersi pelawat (away) pasukan kebangsaan turut menggunakan templat jersi Vapour yang sama.

Kali ini jersi pelawat pasukan kebangsaan akan menampilkan kelainan. Warna putih digunakan sebagai asas, berbeza dengan warna biru yang digunakan pada tahun-tahun sebelum ini.

Jersi putih kali ini digandingkan dengan warna biru gelap ‘navy’ pada bahagian bahu dan lengan. Jersi itu turut diserikan dengan jalur berwarna merah pada bahagian kolar dan sisi baju.

Seluar untuk jersi pelawat akan berwarna putih, lengkap dengan jalur merah. Away kit ini turut dipasangkan dengan stokin merah yang mempunyai corak perincian berwarna putih.

screen-shot-2016-09-12-at-10-5-1

Seperti rekaan jersi Malaysia sebelum ini, Jalur Gemilang disematkan di bahagian dada untuk membangkitkan semangat patriotik pemain (dikhuatiri kalau letak logo FAM, semangat pemain akan luntur).

Jersi tersebut juga dijangka akan dilengkapi dengan perincian kata-kata keramat ‘Tanah Tumpahnya Darahku’ di bahagian dalam kolar.

Apa pendapat anda pada tentang rekaan jersi terbaru pasukan kebangsaan ini? Berikan pendapat anda di bahagian komen.

Baca juga: Siapa 6 Penyokong Yang Pakai Jersi Bola Sepak Malaysia Di Gelanggang Badminton Sukan Olimpik Rio 2016?

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Joule. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke semuanyabola@gmail.com.

The post Rekaan Baru Jersi Bola Sepak Pasukan Kebangsaan Malaysia 2016/2017 Terdedah Kepada Umum appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

UEFA Mahu Ubah Format Piala Eropah Kepada 32 Pasukan Selepas Format 24 Pasukan Dikritik

Selepas menerima pelbagai kritikan kerana penganjuran Piala Eropah 2016 yang menggunakan format 24 pasukan, Pengarah Operasi UEFA, Martin Kallen (gambar bawah) memberi bayangan Piala Eropah 2024 mungkin akan menggunakan format 32 pasukan – seperti Piala Dunia.

Embed from Getty Images

Format 2016 galak bola sepak pasif?

Semasa Piala Eropah 2016 yang tamat baru-baru ini, pasukan yang berada di tempat ketiga peringkat kumpulan – Portugal – telah menjuarai kejohanan itu.

Tambah mengharukan, Portugal pula gagal memenangi mana-mana perlawanan dalam peringkat kumpulan mereka.

Embed from Getty Images

Dalam perlawanan terakhir kumpulan F menentang Hungary, Portugal kelihatan tidak berminat untuk menambah gol lagi ketika masih terikat 3-3 kerana pemenang perlawanan berpotensi menjadi naib juara kumpulan.

Menjadi naib juara kumpulan bererti mereka akan berada dalam laluan sama dengan pasukan-pasukan pilihan seperti Jerman, Perancis dan England dan terpaksa menentang mereka lebih awal.

Inilah yang dihadapi oleh naib juara kumpulan, Iceland yang berjumpa dengan England (peringkat 16 pasukan terakhir) dan Perancis (suku akhir).

Hal yang sama turut dilakukan oleh Ireland Utara dan Republik Ireland yang layak menerusi slot pasukan tempat ke-3 terbaik.

Ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew adalah antara yang lantang bersuara menentang format Piala Eropah 2016 baru-baru ini. Beliau berpendapat Piala Eropah harus kembali kepada format 16 pasukan.

Menurut Loew lagi, pasukan seperti Albania dan Wales mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dengan bermain corak bola sepak bertahan. Menurutnya lagi format 24 pasukan menggalakkan bolasepak ultra-defensif.

Embed from Getty Images

UEFA tidak akan kembali kepada format 16 pasukan

Bercakap mengenai kemungkinan Piala Eropah akan menggunakan kembali format 16 pasukan, Martik Kallen pantas mematikan idea tersebut.

Menurutnya UEFA mungkin tidak akan kembali dengan idea 16 pasukan. UEFA turut mengesahkan akan mengekalkan format sedia ada untuk penganjuran Piala Eropah 2020.

Ia sekaligus akan meneruskan lagi perdebatan isu kualiti pertandingan ini di masa akan datang. Ramai menjangkakan kualiti bola sepak Piala Eropah 2020 akan menjadi semakin bosan.

Kenapa UEFA mahu kekalkan format sedia ada?

Apabila majoriti ahli gabungan UEFA, wartawan, jurulatih dan peminat bola sepak Eropah mendesak UEFA supaya mengubah kembali format Piala Eropah, UEFA pula berkeras mempertahankannya. Apa sebabnya?

Ini kerana UEFA mendapat pendapatan lumayan berjumlah €1.93 bilion hasil daripada hak penyiaran 51 perlawanan daripada format 24 pasukan ini.

Ia peningkatan pendapatan komersial yang mendadak berbanding ketika menggunakan format 16 pasukan yang cuma menawarkan 31 perlawanan sahaja sebelum ini.

Perlu diingat, jumlah pendapatan tersebut masih belum merangkumi jumlah pendapatan jualan merchandises dan tiket.

Melalui format 24 pasukan bertanding, negara penganjur juga mendapat manfaat apabila jutaan penyokong bola sepak yang memasuki negara mereka membeli-belah; sekaligus meransang pertumbuhan ekonomi.

Mengulas kritikan format 24 pasukan, Martin Kallen berkata:

“Ramai orang persimis pada awalnya dengan sistem 24 pasukan, namun akhirnya ia terbukti berjalan dengan baik sekali”

Piala Eropah ikut format Piala Dunia

Walaubagaimanapun menurut kata Kallen, UEFA tetap komited untuk memantau kualiti pertandingan untuk memastikan kejohanan Piala Eropah berada dalam prestij yang tinggi.

“Jika format ada 4 lagi pasukan tempat ke-3 akan mara tidak digemari, maka format 32 pasukan mungkin akan lebih menjadi pilihan.”

“Ia adalah pilihan lebih baik berbanding format 16 pasukan.”

Kallen menyatakan, penganjuran 32 pasukan adalah idea yang akan menjadikan Piala Eropah seperti Piala Dunia. Jawatankuasa UEFA (gambar bawah) masih dalam proses penilaian untuk memastikan sama ada idea ini boleh dilaksanakan atau tidak seawal-awalnya pada 2024.

Embed from Getty Images

Pada masa yang sama, jika mereka mendapati format tersebut relevan, UEFA tidak akan menolak kemungkinan untuk mengguna pakai format tersebut.

Namun, buat masa ini Kallen menyatakan, format 24 pasukan adalah yang terbaik. Jadi, apakah pula pandangan anda?

Baca juga: Format Baru Piala Eropah 2016 Dikritik: Kurang Gol Dan Galak Pasukan Bermain Defensif

The post UEFA Mahu Ubah Format Piala Eropah Kepada 32 Pasukan Selepas Format 24 Pasukan Dikritik appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

5 Kesan Kepada Bola Sepak Jerman Timur Selepas Runtuhnya Tembok Berlin

Pada 9 November 2016 ini, genaplah 27 tahun Tembok Berlin – tempoh yang memisahkan dua negara, Jerman Barat dan Jerman Timur yang terdiri daripada satu bangsa tetapi berbeza ideologi politik – runtuh.

Tetapi 27 tahun selepas runtuhnya Tembok Berlin, masih terdapat satu jurang besar antara Jerman Timur dengan Jerman Barat dalam satu aspek; bola sepak.

Mengapa dan bagaimana Jerman berpecah kepada Jerman Barat dan Jerman Timur selepas Perang Dunia Kedua?

Ia bermula selepas kekalahan Parti Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua.

Selepas Perang Dunia Kedua, negara-negara yang bekerjasama dalam Kuasa Bersekutu (Allied Forces) untuk menumbangkan Parti Nazi Jerman seperti Britain, Perancis, Amerika Syarikat dan USSR berpendapat mereka bertanggungjawab membangunkan semula Jerman.

Jadi keempat-empat kuasa ini membahagi-bahagikan tanggungjawab membangunkan semula Jerman mengikut pecahan 4 wilayah berbeza.

main-qimg-afa78b60d27f72913dcc8d13b495b490

Di Berlin, disebabkan bandar ini paling besar, paling simbolik dan sangat istimewa, ia juga turut dibahagi-bahagikan kepada 4 pecahan.

main-qimg-11c34f38b60766d720ffdb205e1189fa

Di atas kertas, pembahagian kerja kepad 4 kuasa ini nampak bijak. Tetapi realitinya tidak.

Masalah mula timbul apabila kuasa Barat (Perancis, Britain dan Amerika Syarikat) tak dapat bersetuju dengan ideologi politik dan ekonomi komunisme yang cuba USSR lakukan di wilayah Jerman jagaan mereka.

Begitu juga dengan USSR. Mereka tak bersetuju dengan ideologi politik dan ekonomi kuasa Barat yang lebih menguntungkan kapitalis. Perbezaan ideologi inilah yang memulakan Perang Dingin.

Menyedari negara mereka akan diperintah dengan ideologi komunisme, rakyat Jerman Timur yang mempunyai skil profesional (doktor, guru, peguam) mula berhijrah ke Jerman Barat.

Kerajaan Jerman Timur sedar kehilangan lebih ramai rakyat yang mempunyai skil profesional ke Jerman Barat bakal mengundang masalah.

Jadi mereka meminta dana dan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Soviet Union untuk membina Tembok Berlin di sempadan Jerman Timur-Jerman Barat.

Bermula dengan hanya pagar wayar, Tembok Berlin kemudiannya melalui beberapa proses naik taraf sehingga mempunyai menara pengawal, periuk api, kenderaan berperisai dan anjing pengawal.

67837

Bagaimana Tembok Berlin boleh runtuh?

Tembok Berlin mula diruntuhkan oleh rakyat Jerman Timur sendiri pada 9 November 1989 apabila ketua Parti Komunis Jerman Timur mengumumkan perubahan polisi negara yang membolehkan rakyatnya bebas merentasi sempadan ke Jerman Barat pada bila-bila masa.

Pada malam pengumuman itu, ribuan rakyat Jerman Timur membawa penukul konkrit mereka sendiri untuk meruntuhkan Tembok Berlin.

Sumber: Gamma-Rapho melalui Getty Images

Sumber: Gamma-Rapho melalui Getty Images

Yang tak mempunyai penukul, akan mengorek sedikit demi sedikit cebisan konkrit Tembok Berlin sehingga meleahkan integriti stuktur tembok tersebut.

Runtuhnya Tembok Berlin merupakan peristiwa paling simbolik untuk melambangkan tamatnya Perang Dingin.

Bola sepak Jerman Timur selepas kejatuhan Tembok Berlin

Selepas Tembok Berlin diruntuhkan, hampir semua aspek kehidupan di Jerman Timur diserap oleh Jerman Barat.

Daripada sistem ekonomi sosialisme, Jerman Timur menyerap sistem ekonomi kapitalisme pula. Dalam konteks bola sepak, pasukan-pasukan dari liga Jerman Timur, Oberliga diserap oleh liga Jerman Barat, Bundesliga.

1. 2 pasukan teratas Oberliga terus masuk Bundesliga

Musim 1990/1991 merupakan musim terakhir Oberliga berlangsung untuk menentukan 2 kelab bola sepak Jerman Timur manakah yang akan terus layak ke 1.Bundesliga pada musim 1991/1992.

2 slot tersebut dimenangi oleh juara Oberliga 1990/1991 , FC Hansa Rostock dan naib juara, FC Dynamo Dresden (kini SG Dynamo Dresden).

Pasukan yang menduduki tangga ke-3 hingga ke-6 dalam Oberliga akan layak terus ke divisyen ke-2 Jerman Barat, 2.Bundesliga.

Pasukan yang menduduki tangga ke-7 hingga ke-12 pula akan bersaing dalam play-off merebut 2 lagi slot ke 2.Bundesliga.

Sumber: /u/GuitarOtoko

Sumber: /u/GuitarOtoko

2. Kelab dari Jerman Timur bergelut dalam sistem Bundesliga

Datang dari sebuah negara yang dahulunya mengamalkan sistem ekonomi sosialisme, Oberliga tidak dikomersialkan di Jerman Timur sehingga menjadi liga popular seperti Bundesliga di Jerman Barat.

Apabila liga tidak dikomersialkan, kelab-kelab Jerman Timur tiada pendapatan besar. Maka tak hairanlah pada penghujung musim 1991/1992, FC Hansa Rostock terus tersingkir selepas hanya semusim diserap masuk dalam 1.Bundesliga.

FC Dynamo Dresden pula lebih bernasib baik. Mereka masih dapat bertahan dalam 1.Bundesliga sehingga 4 musim. Tetapi akhirnya pada penghujung musim 1994/1995, mereka tersingkir juga dari Bundesliga.

Malah sehingga musim lepas, masih tiada kelab Jerman Timur dapat masuk 1.Bundesliga. Kali terakhir kelab dari Jerman Timur muncul dalam 1.Bundesliga adalah Energie Cottbus pada musim 2008/2009.

110324_gallery_big

Situasi ini bagaimanapun bakal berubah pada musim depan apabila sebuah kelab dari Jerman Timur, RB Leipzig berjaya muncul naib juara 2.Bundesliga untuk dipromosi ke 1.Bundesliga pada musim 2016/2017 nanti.

3. Pemain terbaik Jerman Timur ‘dikebas’ pasukan Jerman Barat

Situasi menjadi bertambah buruk bagi kelab-kelab Jerman Timur pada era pasca-Tembok Berlin apabila kelab-kelab Jerman Barat (terutamanya Bayer Leverkusen menerusi tindakan pantas pengerusi kelabnya, Reiner Calmund) pantas menyambar pemain-pemain Jerman Timur yang terbaik.

Antaranya adalah Andreas Thom (Pemain Terbaik Tahunan Jerman Timur 1989), Ulf Kirsten dan Mathias Sammer (dua ayam tambatan yang membawa Dynamo Dresden ke separuh akhir UEFA Cup 1988/1989).

4. Kelab Jerman Timur dikuasai pemain asing

Untuk bersaing dalam 1.Bundesliga dengan bajet yang terhad, kelab-kelab Jerman Timur terpaksa bergantung harap kepada pemain asing kerana:

pemain muda Jerman Timur yang bagus mahu bermain untuk kelab Jerman Barat yang kaya
pemain Jerman Barat yang sederhana (apatah lagi yang berkualiti) tak mahu bermain untuk kelab Jerman Timur yang miskin
yuran perpindahan dan gaji pemain asing jauh lebih rendah berbanding pemain Jerman yang sana kualiti

Maka tak hairanlah Energie Cottbus pernah banyak kali menurunkan 11 pemain asing dalam 1.Bundesliga.

FC Hansa Rostock pula terkenal sebagai ‘pasukan Sweden’ kerana mempunyai banyak pemain Sweden (antaranya Rade Prica dan Marcus Allback) ketika bersaing dalam 1.Bundesliga era awal 2000-an.

52521691

5. Dahulunya kilang penghasil pemain muda bagus, kelab Jerman Timur kini kemarau pemain bagus

Pengerusi kelab Bayer Leverkusen yang banyak menandatangani pemain Jerman Timur, Reiner Calmund mendedahkan Jerman ketika ini sebenarnya sedang ‘meniru’ struktur pembangunan akar umbi Jerman Timur era lewat 80-an.

Calmund mendedahkan pada era lewat 80-an, masih ada beberapa kelab Bundesliga yang hanya mempunyai SEORANG jurulatih sepenuh masa.

Sedangkan kelab-kelab Jerman Timur pada ketika itu mempunyai lebih daripada 30 staf jurulatih akar umbi, fisioterapi dan pelatih.

Kelab-kelab Jerman Timur mungkin tiada duit untuk membeli pemain berkualiti, jadi mereka laburkan sedikit duit yang mereka ada kepada pembangunan akar umbi.

Hasil kerja mereka dapat dilihat dalam senarai skuad Jerman Piala Dunia 2002 yang muncul naib juara.

Michael Ballack, Bernd Schneider, Thomas Linke, Jens Jeremies dan Carsten Jancker semuanya berasal dari program pembangunan akar umbi kelab-kelab kecil Jerman Timur.

53098875

Bagaimanapun dalam skuad Piala Eropah 2016 sekarang, hanya Toni Kroos merupakan satu-satunya produk kelahiran kelab Jerman Timur.

Kesimpulan

Meskipun isu perbandingan kualiti bola sepak Jerman Barat dengan Jerman Timur dianggap tak relevan selepas 27 tahun bersatu, ia masih menarik untuk dibincangkan.

Ini kerana ia juga boleh mengajar kita di Malaysia tentang satu perkara – bagaimana Jerman Timur dahulunya berfungsi sebagai kilang penghasilan pemain muda bagus dan model bagi Jerman Barat walaupun tidak mempunyai bajet yang besar.

Ia juga mengajar kita bagaimana dengan bersatu, Jerman Barat dan Jerman Timur memainkan peranan masing-masing untuk melahirkan sebuah ‘Deutschland’ yang kini paling agung dalam bola sepak.

Baca juga: Bagaimana Pemain Dynamo Kiev Menentang Tentera Jerman Nazi

The post 5 Kesan Kepada Bola Sepak Jerman Timur Selepas Runtuhnya Tembok Berlin appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Apa Yang Akan Terjadi Kepada Skuad Bola Sepak Belgium Jika Negara Mereka Berpecah?

Ya, anda tak tersalah baca – sudah ada cakap-cakap dari rakyat Belgium sendiri untuk berpecah.

Belgium adalah sebuah negara yang dibentuk hasil penyatuan dua wilayah yang berlainan bahasa – Flanders dan Wallonia.

Flanders adalah sebuah wilayah di Belgium yang menggunakan bahasa Belanda sebagai bahasa rasmi dan pertuturan seharian. Wallonia pula merupakan wilayah yang menggunakan bahasa Perancis.

flanders-wallonia-82

Cakap-cakap untuk berpecah ini bukan satu isu kedai kopi. Ketika ini Flanders dan Wallonia ibarat pasangan suami isteri yang hidup di bawah satu bumbung rumah yang dinamakan Belgium, tetapi sudah tidak bercakap antara satu sama lain.

Mereka jarang bergaduh di depan orang ramai tetapi di rumah, mereka sering bertelagah di rumah sendiri.

Pertelagahan antara dua wilayah Belgium ini begitu serius sehinggakan pemimpin wilayah Flanders mahukan perpecahan ini berlaku selewat-lewatnya pada 2025.

Latar belakang konflik Flanders vs Wallonia

Belgium sebenarnya merupakan sebuah ‘perkahwinan’ antara dua buah negara – Flanders dan Wallonia – yang didorong oleh sejarah dan penjajahan.

Seawal abad ke-13, wilayah Flanders dan Wallonia sebenarnya berada di bawah satu kawasan jajahan yang bernama Low Countries yang turut mengandungi lebih 20 wilayah kecil lain yang berlainan bahasa.

Hampir semua wilayah ini berada di bawah penguasaan Empayar Roman Suci yang bertapak di tengah Eropah (kawasan terletaknya Jerman dan Austria pada zaman moden).

Kemudian pada abad ke-14, seorang pembesar kerajaan Perancis, Duke of Burgundy, menguasai sebahagian besar Low Countries pula tanpa pengetahuan empayar Rom.

Pada 1477, Duke of Burgundy mati tanpa meninggalkan waris. Memandangkan beliau taat kepada kerajaan Perancis, Perancis mahu mewarisi penguasaan Low Countries. Empayar Roman Suci yang baru menyedari kehilangan wilayah mereka mahukan penguasaan Low Countries mereka dikembalikan semula.

Untuk mencapai keamanan, kerajaan Perancis dan Empayar Roman Suci bersetuju untuk membahagi-bahagikan wilayah Low Countries sesama mereka. Ini menyebabkan wilayah Flanders dan Wallonia berada di bawah penguasaan Empayar Roman Suci semula.

Belgium di bawah pemerintahan Sepanyol

Apabila Charles V, mengambil alih Empayar Roman Suci sebagai maharaja baru, beliau menyerahkan Low Countries kepada Sepanyol yang diperintah oleh anaknya, Phillip II (gambar bawah).

Sumber: Philip Mould, Historical Portraits Ltd, London, UK Spanish

Sumber: Philip Mould, Historical Portraits Ltd, London, UK
Spanish

Dalam pada masa yang sama, kelahiran mazhab Protestan di Eropah pada abad ke-15 menyebabkan bahagian utara Low Countries bertukar mazhab – dari Roman Katolik kepada Protestan. Bahagian selatan pula kekal dengan mazhab Roman Katolik.

Penat dijajah oleh Sepanyol, warga Low Countries yang bermazhab Protestan melancarkan gerakan kemerdekaan terhadap pemerintah Sepanyol yang bermazhab Katolik. Sepanyol cuba melawan kembali gerakan kemerdekaan ini tetapi akhirnya menyerah kalah pada 1648.

Pada 1648 inilah, Sepanyol memerdekakan wilayah utara Low Countries yang kini dikenali sebagai Belanda. Sepanyol hanya mengekalkan jajahan mereka di wilayah Low Countries di selatan (Flanders dan Wallonia).

Roman Katolik vs Protestan

Kemerdekaan Belanda menyebabkan orang Flanders dan Wallonia yang bermazhab Protestan berhijrah ke sana untuk mengamalkan mazhab mereka dengan tenang. Manakala orang Belanda yang bermazhab Katolik berhijrah ke Flanders dan Wallonia.

Pada abad ke-17 dan 18, Flanders dan Wallonia dan Belanda berada bertukar milik kepada Perancis hasil serangan Napoleon Bonaparte (gambar bawah) dalam siri-siri Perang Revolusi Perancis.

Pada 1815, apabila kekalahan Napoleon membentuk sempadan moden negara-negara Eropah, Low Countries (Flanders, Wallonia dan Belanda) disatukan di bawah satu pemerintahan yang bernama United Kingdom of Netherlands.

Penyatuan ini merupakan idea buruk. Ketika ini bahagian utara Low Countries (Belanda) sudah hampir semuanya bermazhab Protestan. Di selatan (Flanders dan Wallonia), hampir semuanya bermazhab Katolik.

Bahasa Belanda vs Bahasa Perancis

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila United Kingdom of Netherlands menjadikan bahasa Belanda sebagai bahasa rasmi. Pada ketika itu pula, sistem pendidikan awam Eropah sedang bertambah baik dan diseragamkan.

Jadi semua sekolah di United Kingdom of Netherlands mula mengajar dalam bahasa Belanda. Ini membuatkan penduduk yang berbahasa Perancis di Flanders dan Wallonia mengamuk.

Jika dulu konflik di Low Countries ini lebih berkisarkan perbezaan mazhab agama, kini ia berkisar kepada perbezaan bahasa pula.

Amukan penduduk yang berbahasa Perancis ini menyebabkan United Kingdom of Netherlands tiada pilihan lain selain memerdekakan Flanders dan Wallonia – lalu tertubuhnya Belgium pada 1830 seperti yang dikenali sehingga kini.

Wappers_belgian_revolution

Selepas merdeka, pemerintah Belgium mengharamkan bahasa Belanda dalam urusan rasmi negara mereka. Belgium hidup aman damai selama hampir 100 tahun. Tetapi wujud jurang kaya dan miskin yang sangat besar di kalangan rakyat mereka.

Golongan bangsawan dan bourgeois kaya di Belgium (rata-ratanya duduk di wilayah Wallonia) kebanyakannya menggunakan bahasa Perancis dalam pertuturan seharian dan rasmi.

Manakala golongan miskin (rata-ratanya duduk di wilayah Flanders) lebih banyak bercakap dalam bahasa Belanda.

Ini menyebabkan ibu negara Belgium, Brussels yang terletak di wilayah Flanders yang berbahasa Belanda, menjadi bandar yang berbahasa Perancis.

Flanders vs Wallonia

Untuk maju dalam kehidupan, banyak rakyat Belgium yang berbahasa Belanda terpaksa melupakan bahasa warisan mereka.

Di mahkamah, bahasa Belanda hanya dibenarkan pada tahun 1898 – 68 tahun selepas kemeredekaan Belgium. Di Universiti Gent yang terletak di wilayah Flanders yang berbahasa Belanda, bahasa Belanda hanya mula digunakan pada tahun 1930!

Jadi pada tahun 1962, orang-orang wilayah Flanders mula memberontak. Mereka mahu Brussels, ibu negara Belgium yang terletak di wilayah mereka menjadi bandar berbahasa Belanda semula.

Sudah pastilah permintaan mereka ditolak oleh orang-orang wilayah Wallonia yang berbahasa Perancis. Akhirnya sebuah kompromasi dibuat. Hasilnya Brussels menjadi bandar dua bahasa – Belanda dan Perancis.

Kemudian apabila bandar Antwerp – sebuah lagi bandar di wilayah Flanders yang berbahasa Belanda – mula maju dengan kemajuan pelabuhannya pada lewat 1980-an, orang-orang wilayah Wallonia pula mengamuk.

Orang-orang Flanders mengabaikan kemajuan ekonomi Wallonia, kata mereka.

Belgium di ambang perpecahan?

Ketika ini di Belgium, seperti yang kami kata, ‘perkahwinan’ wilayah Flanders dan Wallonia hanya menunggu masa ‘perceraian’ jika kedua-dua wilayah ini dibiarkan bergaduh demi kepentingan bangsa, bahasa dan kekayaan ekonomi.

Kedua-duanya berebut Brussels. Orang wilayah Flanders pula lebih bangga mengaku diri mereka rakyat Flanders, bukannya rakyat Belgium.

Jika wilayah Flanders dan Wallonia berpisah, skuad bola sepak Belgium akan terbahagi kepada dua kumpulan berikut (mengikut tempat kelahiran):

Pemain berbahasa Perancis (dilahirkan di Wallonia):

  • Eden Hazard
  • Axel Witsel
  • Kevin Mirallas
  • Nacer Chadli

Pemain berbahasa Belanda (dilahirkan di Flanders):

  • Romelu Lukaku
  • Kevin de Bruyne
  • Thibaut Courtois
  • Adnan Januzaj
  • Dries Mertens
  • Radja Nainggolan
  • Jan Vertonghen
  • Toby Alderweireld
  • Simon Mignolet
  • Thomas Vermaelen
  • Mousa Dembele
  • Divock Origi
  • Youri Tielemans

Manakala Vincent Kompany, Marouane Fellaini, Yannick Carrasco yang dilahirkan di Brussels, perlu mengambil keputusan sama ada mahu menyertai wilayah Flanders atau Wallonia. Begitu juga dengan Christian Benteke yang dilahirkan di Congo.

Ketika ini selain golongan muda Belgium yang berpandangan liberal, satu-satunya aspek yang menyatukan orang-orang wilayah Flanders dan Wallonia adalah sukan – contohnya bola sepak.

Apatah lagi selepas Belgium cemerlang berada di tangga ke-2 ranking dunia FIFA.

Baca juga: Puasa Ketika Piala Eropah 2016: Pendirian Pemain Muslim Perancis, Jerman, Belgium, Turki & Albania

The post Apa Yang Akan Terjadi Kepada Skuad Bola Sepak Belgium Jika Negara Mereka Berpecah? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Captain Tsubasa: Siri Anime Yang Memberi Inspirasi Kepada Torres, Iniesta, Messi & Del Piero

Bagi kanak-kanak 80-an dan 90-an yang meminati bola sepak, menonton Captain Tsubasa adalah aktiviti yang paling ditunggu-tunggu setiap minggu.

Fernando Torres pernah memberitahu akhbar UK, Daily Mail bahawa siri anime Captain Tsubasa adalah punca utama beliau mahu bermain bola sepak. Antara pemain yang turut meminati Captain Tsubasa adalah Lionel Messi, Andres Iniesta dan Alessandro del Piero.

Agak tak menghairankan sebenarnya apabila melihat senarai pemain profesional di luar Asia yang meminati Captain Tsubasa kebanyakannya berasal dari Eropah dan Amerika Selatan.

Ini kerana Captain Tsubasa – atau lebih dikenali sebagai Oliver y Benji apabila dialih bahasa ke Bahasa Sepanyol – sangat popular di Sepanyol dan majoriti negara di Amerika Selatan.

Oliver y Benji adalah nama yang merujuk kepada nama Tsubasa Ozora (yang ditukar kepada Oliver) dan nama Genzo Wakabayashi (Benji), musuh Benji tetapi bertukar menjadi sahabat baik.

Asal-usul Captain Tsubasa

Bagi anda yang tidak berapa mengenali Captain Tsubasa, ia merupakan siri komik dan anime yang mengisahkan tentang Tsubasa Ozora, budak 11 tahun yang fanatik dan sangat berbakat bermain bola sepak.

Tsubasa bermula dengan mewakili pasukan bola sepak sekolahnya sebelum membawa Jepun menjuarai Piala Dunia Bawah-17.

Kemenangan Tsubasa dalam Piala Dunia Bawah-17 membawa beliau bermain untuk Sao Paulo di liga Brazil. Dari Brazil beliau kemudiannya berpindah ke FC Barcelona (yang pada ketika itu dilatih oleh Louis van Gaal).

Dalam siri tersebut, watak-watak lain yang pernah menjadi rakan sepasukan dan lawan Tsubasa juga mendapat tawaran bermain di Eropah. Ada yang bermain di Inter Milan, Juventus, Hamburg SV dan Real Madrid.

Dalam siri ini juga, setiap karakter mempamerkan skil dan gerakan yang menjangkaui logik akal (tetapi logik mengikut imaginasi kanak-kanak) seperti yang cuba dilakukan oleh pemain-pemain J1 League di bawah:

Perkembangan karakter

Seperti siri komik dan anime bagus yang lain, semua karakter dalam Captain Tsubasa mempunyai perkembangan plot yang menarik.

Siapa boleh lupa detik apabila Tsubasa diturunkan ke skuad Barcelona B oleh Louis van Gaal apabila Tsubasa gagal serasi dengan Rivaldo?

Siapa boleh lupa detik apabila Shingo Aoi ditipu di Itali sehingga terpaksa bekerja sebagai penggilap kasut di tepi jalan, sebelum dapat bermain untuk Internazionale?

Malah salah seorang penulis kami masih ingat nama karakter, posisi, nombor jersi setiap anggota pasukan Jepun yang menjadi juara Piala Dunia Bawah-20:

No.Jersi Posisi Nama Perincian Karakter
1 Penjaga gol Genzo Wakabayashi Digelar Super Great Goal Keeper kerana mampu menyelamatkan semua rembatan luar kotak penalti. Sentiasa memakai topi. Bermain di Hamburg SV
2 Wing back Masao Tachibana
3 Wing back Kazuo Tachibana Kembar Masao Tachibana. Sentiasa bermain bersama seperti kembar Fabio dan Rafael. Kedua-duanya pendek lincah dan laju. Sentiasa melakukan gerakan akrobatik dengan kembar
4 Pertahanan tengah Ryo Ishizaki Kawan Tsubasa. Suka buat lawak tetapi berazam tinggi. Terkenal dengan kebolehannya menghalang rembatan dengan muka. Musuh Hanji Urabe.
5 Pertahanan tengah Hiroshi Jito Pertahanan tengah yang besar dan kuat seperti Trevor Booking. Kawan Mitsuru Sano dari pasukan sekolah
6 Libero Jun Misugi Mempunyai masalah jantung semasa kecil. Perancang genius yang pernah bermain sebagai penyerang semasa sekolah tapi berpindah ke posisi pertahanan. Jelmaan Franz Beckenbaeur
7 Bek/sayap kanan Makoto Soda Sangat hebat melencongkan bola dari sayap kanan
8 Pemain tengah Mamoru Izawa Kawan baik Hajime Taki dan Tepei Kisugi. Pemain gantian. Hebat merebut bola di udara
9 Penyerang Kojiro Hyuga Mampu membuat rembatan selaju ledakan meriam. Musuh Tsubasa semasa di sekolah. Menyertai Juventus tetapi sering tewas pertarungan fizikal dengan pertahanan Itali. Tampat beliau diganti oleh David Trezeguet
10 Pemain tengah/sayap/penyerang Tsubasa Oozora Menyertai Barcelona dari Sao Paolo. Membuktikan kemampuan sebenar dengan menyumbang 6 gol dan 4 assist semasa debut bersama Barcelona B.
11 Pemain tengah/sayap Taro Misaki Membentuk gandingan mantap dengan Tsubasa. Terlepas perlawanan kumpulan Piala Dunia selepas kakinya tercedera semasa menyelamatkan kanak-kanak di jalan raya. Jelmaan Zinedine Zidane.
12 Pemain tengah Hikaru Matsuyama Kapten pasukan apabila Tsubasa tiada. Hebat membuat percubaan jarak jauh. Bekerja keras.
13 Penyerang Kazuki Sorimachi Penyerang gantian. Sering menggantikan Kojiro Hyuga.
14 Pertahanan tengah Takasugi Pertahanan tengah yang keras.
15 Pemain tengah Takeshi Sawada Pemain paling muda dalam pasukan. Mempunyai gaya rambut yang pelik.
16 Pemain sayap Mitsuru Sano Kawan Hiroshi Jito. Pemain sayap gantian yang laju.
17 Penjaga gol/penyerang Ken Wakashimazu Penjaga gol yang suka menyerang. Pengganti Genzo Wakabayashi. Jelmaan Jorge Campos.
18 Penyerang Shun Niita Penyerang gantian yang pendek tapi laju.
19 Penyerang Tepei Kisugi Kawan baik Mamoru Izawa dan Hajime Taki. Penyerang gantian.
20 Pemain sayap Shingo Aoi Pemain sayap yang laju dan mempunyai stamina tinggi. Bermain untuk Internazionale. Mempunyai gerakan khas ciptaannya: pusingan gelecekan 90 darjah.
21 Penjaga gol Morisaki Penjaga gol ke-3 pasukan. Sangat berazam tinggi.
22 Pertahanan tengah Tomeya Akai Sangat bagus mengawal penyerang. Bermain untuk Sampdoria.
23 Pertahanan tengah Hanji Urabe Pertahanan muda gantian.
24 Pertahanan tengah Takeshi Kishida Pertahanan pilihan ke-3.
25 Penyerang Hajime Taki Kawan baik Maoru Izawa dan Tepei Kisugi. Penyerang gantian

captain_tsubasa___all_japan_by_rtk12-d49uevg

Impak Captain Tsubasa

Artis terkenal, Pablo Picasso pernah dipetik berkata:

“Art is the lie that enables us to realize the truth.”

Skil dan gerakan istimewa dalam Captain Tsubasa mungkin hanyalah ‘olok-olok’ saja apabila kita menungkat dewasa.

Tetapi semasa kecil, kita menganggap ianya tak mustahil.

‘Penipuan’ skil dan gerakan istimewa Captain Tsubasa memberi Fernando Torres, Lionel Messi, Andres Iniesta dan Alessandro del Piero kepercayaan yang mereka juga boleh melakukan sesuatu yang istimewa – seperti Tsubasa.

Untuk menjadi pemain istimewa, mereka tidak memerlukan skil dan gerakan mustahil Captain Tsubasa. Sebaliknya mereka memerlukan kepercayaan – sesuatu yang mereka perolehi selepas menonton siri anime Captain Tsubasa.

Baca juga: Captain Tsubasa Sudah Ada Dalam Dunia Sebenar, Menurut Pelukis Asalnya

The post Captain Tsubasa: Siri Anime Yang Memberi Inspirasi Kepada Torres, Iniesta, Messi & Del Piero appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Bintang Tenis Andy Murray Beri Tips Menangani Tekanan Kepada Arsenal

Semuanya serba tak menjadi buat Arsenal dalam Premier League.

Ketika Manchester United, Chelsea dan Manchester City semuanya sedang merosot (berbanding musim lepas), Arsenal adalah satu-satunya pasukan ‘top 4’ yang dilihat mempunyai pemain dan sumber yang besar untuk menjuarai liga pada musim ini.

Tetapi selepas tewas 2-3 kepada skuad muda Manchester United dan tewas 1-2 di halaman sendiri kepada Swansea yang kehilangan pengurus mereka, prospek Arsenal memenangi liga nampak semakin suram.

Alexis kritik Arsenal

Untuk menambah garam ke luka, Alexis Sanchez pula mengkritik rakan-rakan sepasukannya yang ‘tidak menunjukkan kesungguhan dan tidak percaya mereka boleh jadi juara’ (sumber).

Media pula menyalahkan pemain Arsenal yang ‘kuncup apabila berdepan tekanan’. Masakan tidak, setiap kali Arsenal mempunyai peluang untuk menjarakkan diri dengan pasukan lain, mereka gagal menang.

Andy Murray beri nasihat

Bercakap mengenai penurunan prestasi Arsenal, bintang tenis Andy Murray tahu apa yang sedang dihadapi oleh pemain-pemain Arsenal.

“Saya pernah melaluinya selama beberapa tahun.”

Murray yang juga merupakan penyokong Arsenal bercakap mengenai kegagalannya menjuarai beberapa Grand Slams walaupun sudah melangkah ke final, sebelum bergelar juara US Open pada 2012 dan Wimbledon pada 2013.

“Mengatasi (kegagalan menangani tekanan untuk menang) memang susah. Tapi satu-satunya cara untuk mengatasinya adalah dengan bekerja keras.”

“Kalau anda tak bekerja keras, anda takkan jadi juara. Anda juga perlu sentiasa percaya, anda boleh jadi juara. Aspek mentaliti yang membezakan juara dengan yang lain-lain”

Berdasarkan komen Murray dan Alexis, Arsenal perlu percaya mereka boleh untuk menjadi juara. Murray kemudiannya menambah:

“Saya sendiri sukar untuk mengatasi (tekanan untuk menang). Dengan setiap final yang anda kalah, orang akan mula mempersoalkan kebolehan anda. Kemudian anda pula akan mempersoalkan kebolehan diri sendiri.”

“Ianya sukar. Anda harus kuat dari segi mentaliti dan dapatkan bantuan terbaik daripada orang lain.”

Bercakap mengenai Premier League, Murray mengaku beliau teruja melihat siapa yang akan menjuarai liga pada musim ini.

“Banyak pasukan besar bergelut ketika ini. Sebagai peminat bola sepak, saya suka melihat Leicester mendahului liga selepas 28 perlawanan.”

“Saya harap Premier League akan terus mempamerkan kejutan sebegitu walaupun sebenarnya saya mahu Arsenal sentiasa menang. Ini kerana keputusan Arsenal sejak 2 minggu lepas agak sukar untuk saya terima.”

Arsenal akan melawat White Hart Lane untuk bertemu dengan pesaing kejuaraan liga dan musuh ketat mereka, Tottenham Hotspur dalam perlawanan hujung minggu ini.

Satu lagi kekalahan mungkin akan menyebabkan Arsenal jatuh ke tangga ke-4 liga.

Baca juga: Sejarah Permusuhan Arsenal Dengan Tottenham Hotspurs

The post Bintang Tenis Andy Murray Beri Tips Menangani Tekanan Kepada Arsenal appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Pengenalan Kepada Jenis-Jenis Label Kasut Bola Di Kedai & Bagaimana Untuk Pilih?

Ketika anda pergi ke kedai barangan sukan untuk membeli kasut bola baru, pernahkah anda jumpa dengan istilah-istilah FG, HG, SG, TF, AG dan IC?

Adakah anda faham maksud terma-terma ini dan kaitannya dengan kasut yang anda beli?

a54122314e013c65a4db4d30c6b727e7

Kali ini, kami ini akan membantu anda untuk memahami terma-terma ini dan fungsinya kepada kasut bola anda. Ini adalah untuk memastikan anda memilih kasut yang paling sesuai dan betul.

Faktor pemilihan kasut bola

Apabila anda ingin membuat pembelian kasut bola yang baru, perkara yang pertama yang harus anda pertimbangkan adalah jenis padang yang anda akan beraksi.

Secara amnya,terdapat 6 jenis permukaan padang, dan setiap satunya mempunyai kasut bola khusus untuk setiap jenis padang.

Menggunakan kasut bola yang salah di permukaan padang yang salah boleh mengganggu cara anda bermain. Paling menakutkan, kaki anda juga berisiko untuk ditimpa kecederaan.

Berikut adalah 6 jenis kasut bola untuk 6 jenis permukaan padang.

FG – Firm Ground (tanah padat)

118614 121449 FG

Sesuai digunakan di: Permukaan tanah padat dengan rumput pendek. Padang biasanya kering, berada di kawasan yang beriklim panas dan sederhana, dan menerima purata hujan kurang dari 150 hari dalam setahun.

Kebanyakkan kasut bola yang dipamerkan di rak kedai-kedai kasut di Malaysia adalah dari jenis Firm Ground (FG) ini.

Terdapat dua jenis corak studs yang biasa digunakan oleh kasut jenis ini iaitu studs jenis kon dan studs jenis blade (gambar bawah).

12593487_10206847102628489_3375976839352790083_o

Studs jenis kon lebih sesuai digunakan ketika keadaan padang adalah lembap dan studs jenis blade pula lebih sesuai untuk keadaan padang yang lebih kering.

Cuma hati-hati, studs jenis blade sangat berbahaya untuk dipakai jika permukaan padang tak rata!

HG – Hard Ground (tanah keras)

HG umbro 94016 117918

Sesuai digunakan di: Permukaan padang rumput yang kering dan keras

Kasut bola jenis ini sebenarnya amat mirip dengan jenis FG. Cuma di UK dan Ireland mereka lebih gemar memanggil dengan terma Hard Ground (HG), terutamanya syarikat Umbro.

Jika kasut bola FG boleh digunakan di permukaan padang lembap dan kering, kasut bola HG khas untuk permukaan padang kering sahaja.

Jumlah studs-nya juga lebih banyak dan pendek.

SG – Soft Ground (tanah lembut)

SG 118643 121457

Sesuai digunakan di: permukaan padang yang lembut, becak, berlecah atau mempunyai rumput yang panjang.

Kasut bola dari jenis Soft Ground (SG) ini biasanya menggunakan studs logam berbentuk bulat. Jumlah studs pula sedikit berbanding kasut bola FG dan HG.

Rekaan klasik kasut jenis ini biasanya mempunyai hanya 6 studs – 4 studs di bahagian tapak dan 2 studs di bahagian tumit.

Dengan jumlah studs yang minimum, kasut bola SG tidak akan mudah lekat di permukaan padang yang basah dan berlecah.

Berbanding kasut bola FG yang lebih universal penggunaannya, kasut bola SG ini jarang digunakan. Apatah pula sejak penggunaannya banyak diharamkan dalam liga amatur, kerana studs logam senang mencederakan pemain.

AG – Astrograss / Artificial Grass (padang tiruan)

TF 122388 121452

Sesuai digunakan di: permukaan padang rumput tiruan.

Kasut bola jenis Artificial Ground (AG) biasanya mempunyai banyak studs pendek dan tebal. Ini adalah untuk memberi cengkaman tambahan ketika beraksi di atas padang tiruan.

Kasut jenis ini juga biasanya kelihatan lebih berkilat kerana ia mempunyai lapisan laquer – sejenis lilin khas yang melindungi kasut tersebut dari ketajaman rumput tiruan.

Studs kasut bola AG juga ada kalanya berlubang untuk memberikan lebih cengkaman dan membuatkannya lebih ringan.

Terdapat dua jenis rumput tiruan yang popular di Malaysia – 3G dan 4G.

Padang tiruan 3G mempunyai biji-biji getah kecil pada permukaannya.

Manakala padang rumput tiruan 4G lebih realistik, dengan rumput yang lebih panjang dan mempunyai gabungan biji-biji getah kecil dan pasir dibawah permukaannya.

IC – Indoor Court

ic 118616 122386

Sesuai digunakan di: permukaan gelanggang futsal.

Kasut bola jenis ini Indoor Court (IC) atau Indoor Trainer (IT) direka khusus untuk perlawanan bola sepak indoor seperti futsal.

Kasut jenis ini umumnya mempunyai tapak yang lebih rata, dengan kebolehan untuk melentur.

Ia juga amat fleksibel dan lebih selesa dipakai berbanding jenis kasut bola yang lain kerana mempunyai tapak getah sintetik.

ST – Street Soccer

108840 ST

 

Sesuai digunakan di: permukaan tar jalan raya

Kasut bola jenis Street Soccer (ST) ini tak banyak bezanya dengan kasut futsal, tetapi direka  dengan jahitan berkembar dan tapak getah yang lebih keras.

Kasut jenis ini tidak mempunyai pengelasan yang khusus, namun sesetengah pengeluar kasut melabelkan kasut bola khas untuk street soccer sebagai ST.

Kesimpulan

Sebelum membeli kasut bola, lihat dulu jenis permukaan padang yang anda akan bermain.

Kemudian yang paling penting sekali, pastikan kaki anda selesa dan saiz kasut anda tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil. Barulah anda boleh memberikan persembahan 100% di atas padang!

Baca juga: Panduan Memilih Kasut Bola Dengan Studs Yang Betul

 

The post Pengenalan Kepada Jenis-Jenis Label Kasut Bola Di Kedai & Bagaimana Untuk Pilih? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Sultan Johor berkenan sumbang RM50 juta kepada JDT

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM50 juta kepada kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut laman Facebook rasmi pasukan JDT, JOHOR Southern Tigers, hari ini, Sultan Johor berkenan memberi kurniaan itu kerana baginda berasa gembira melihat sukan bola sepak memainkan peranan penting menyatupadukan Bangsa Johor serta mengharumkan nama Johor di persada dunia.

“Selain keprihatinan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, dalam pembangunan negeri Johor, amal kebajikan, zakat dan waqaf, serta yayasan-yayasan yang dinaungi, baginda berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM50 juta kepada kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim,” menurut laman berkenaan.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab bola sepak JDT menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Johor atas kurniaan kepada JDT, menurut laman itu lagi.

Sebagai rekod, JDT meraih tiga piala kemenangan musim lepas selepas merangkul Piala Sultan Ahmad Shah, Piala Liga Super dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Kejayaan cemerlang tersebut menyaksikan JDT membolot lapan daripada 17 anugerah pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015, pada Disember lepas, termasuk anugerah khas kejayaan mereka menjadi wakil pertama Malaysia muncul juara Piala AFC sejak diperkenalkan pada 2004
Johor DT