Fandi Ahmad: Permata Tanah Melayu Menjadi Lagenda Di Groningen, Pernah Dilamar Ajax

Fandi Ahmad adalah lagenda sejati dalam bola sepak Singapura dan juga Liga Malaysia.

Mesti ramai yang masih ingat lagi final piala Malaysia antara Singapura dan Pahang pada 1994. Antara perlawanan terbaik dalam sejarah karier Fandi Ahmad di Liga Malaysia.

Kapten muda, Fandi Ahmad membantu Singapura menewaskan pasukan serba lengkap Pahang di Stadium Shah Alam. Fandi Ahmad juga penjaring gol ke-4 setelah hatrik Abbas Saad.

Fandi Ahmad

Fandi Ahmad memang memiliki darah dan baka bolasepak yang pekat. Ayah beliau adalah bekas penjaga gol kebangsaan Singapura.

Jika di Brazil mereka ada pemain seperti Ronaldo dan Pele yang bakat mereka kembang awal ataupun peak early.

Di Singapura Fandi Ahmad membuat debut untuk pasukan Singapura pada usia 16 tahun. Ketika berusia 18 tahun beliau bejaya membantu Singapura menewaskan Selangor dalam final Piala Malaysia 1980.

Ia sudah cukup memberitahu bahawa, pemain ini adalah prospek yang cerah.

Lamaran dari Eropah

Fandi pernah bercerita beliau sedikit menyesal untuk tidak menerima tawaran kelab sebesar Ajax Amsterdam dan juga Young Boys BSC ketika usia muda.

Jika tidak sudah pasti Fandi sudah beraksi di sampung Van Baasten dan Jan Molby di Ajax. Ajax ketika itu adalah kelab yang sangat besar di Eropah.

Niac Mitra

Fandi sudah melepasi sesi pemilihan bersama dengan Marco Van Baasten tetapi Beliau masih naif dan memilih untuk berkelana ke Indonesia sahaja.

Alasannya, kerana tidak mahu berjauhan sangat dengan keluarga. Di Indonesia beliau terus menunjukkan aksi luar biasa dan menarik bersama kelab Niac Mitra dan membantu kelab menjuarai Liga Indonesia pada 1983.

Ada juga yg mengaitkan tawaran gaji USD 75,000 setahun oleh Niac Mitra antara faktor beliau menolak Ajax yg menawarkan cuma USD 20,000 setahun.

USD 75,000 setahun! Pada ketika itu, ia angka sangat mewah. Niac Mitra antara kelab yang sangat kuat di Indonesia ketika itu. Mereka pernah menewaskan Arsenal dalam perlawanan persahabatan.

Fandi Ahmad turut menjaringkan gol untuk Niac dalam perlawanan tersebut.

FC Groningen

Pada 1984, Fandi menyertai FC Groningen di Belanda selepas larangan oleh persatuan Bolasepak Indonesia menggunakan khidmat import.

Beliau menyertai FC Groningen selama 3 musim dari 83/84 sehingga 84/85. Fandi terus didaftarkan dalam pasukan utama ataupun bahasa universalnya 25 men squad.

*Onder VLNR* Jos Roossien – Sjaak Storm – Rob Jacobs (trainer) – Johan Tukker – Frans Thijssen *Ontbrekende spelers* Ron van den Berg, Fandi Ahmad, …

Beliau adalah pemain ‘besar’ di dalam pasukan tersebut. Menjadi pemain pujaan para peminat di sana.

Fandi menjaringkan 2 gol dalam debut beliau untuk Groningen, kelab yg kini melahirkan bintang seperti Arjen Robben dan Luis Suarez. Kecederaan membuatkan Fandi meninggalkan kelab tersebut.

Antara gol ‘besar’ beliau adalah ketika FC Groningen menewaskan Inter 2-0 dalam Piala UEFA. Fandi Ahmad menjaringkan gol kedua.

Inter Milan dibarisi lagenda Giuseppe Baresi, Bergomi, Altobelli Uomo Ragno dan Walter Zenga.

Selepas beberapa siri kecederaan, Fandi Ahmad memutuskan untuk kembali ke Asia Tenggara.

Kancah Liga Malaysia

Beliau memilih untuk menyertai Kuala Lumpur walaupun ada tawaran lebih lumayan daripada kelab Jepun.

Era Fandi Ahmad adalah era kegemilangan The Citizen untuk menghentikan seketika dominasi Selangor di Lembah Klang. Pada 1987 Fandi dan KLFA memenangi Piala Malaysia.

Kejuaraan back to back Piala Malaysia disulam dengan kejayaan pada 1988 yang juga tahun mereka mendapat kejuaraan berganda (doubles) selepas menjuarai Liga Malaysia pada 1988.

Pada 1991, Pahang amat bertuah untuk mendapatkan Fandi Ahmad setelah beliau pulang dari Greece kerana kegagalan permit kerja untuk bermain bersama OFI Crete.

Pada 1992 Fandi membantu Pahang menjulang Piala Malaysia dan Liga Malaysia.

Singapura 1993-94

Fandi kembali menyertai Singapura pada 1993. Tahun berikutnya, 1994 beliau membantu Singapura menjulang kejuaraan berganda Piala Malaysia dan Liga Malaysia.

Fandi menjadi nemesis bekas pasukan beliau, Pahang dan kapten Singapura ini turut menjaringkan gol ke 4 dalam Final di Shah Alam.

Liga Singapura

Pada 1995 Singapura memutuskan untuk menganjurkan Liga S dan Fandi kembali ke negara asal beliau. Niat beliau untuk membantu menaikkan Liga S.

Dia menyertai beberapa kelab di sana seperti Geylang dan Singapore Armed Forces sebelum bersara. Selain bermain bola sepak, di Singapura Fandi turut berlakon dalam sitkom 200 episod.

Satu-satunya Fandi Ahmad

Fandi Ahmad tetap antara pemain terbaik Asia Tenggara sepanjang zaman berdasarkan walaupun tidak pernah memenangi Piala Tiger (AFF Suzuki kini) dan pingat emas Sukan SEA.

Beliau dinobatkan pemain terbaik Konfederasi Bolasepak Asia pada 1996. Fandi Ahmad adalah pemain utama kebangsaan Singapura untuk tempoh yg lama.

101 caps dan 55 gol direkodkan di peringkat Nasional.

Kejurulatihan

Beliau pernah dilantik sebagai penolong jurulatih kebangsaan dan menjadi jurulatih berberapa kelab di Liga S dan kelab Indonesia. Pada tahun 2000 beliau dianugerahkan jurulatih terbaik Liga S.

Pada 2012, Fandi diberikan kepercayaan oleh TMJ untuk menjadi jurulatih JDT dalam revolusi Selatan.

Beliau kemudiannya menjadi ketua Jurulatih Lions XII dan membantu pasukan tersebut menjuarai Piala FA Malaysia 2015.

Sebutir Mutiara Dari Tanah Melayu!

Beliau adalah lagenda sejati dan atlit penuh disiplin. Pada era beliau adalah zaman nakal pemain bolasepak, namun Fandi Ahmad tidak pernah dikaitkan dengan isu cara hidup yang negatif.

Belia tidak merokok dan minum alkohol. Beliau dilantik menjadi duta Kempen Anti dadah dan rokok di negara beliau.

Pada 2011 beliau menubuhkan Fandi Ahmad Academy. Tahun 2014, muzium patung lilin Madame Tussaud Singapura mengukir dan mempamerkan patung lilin Fandi Ahmad dengan postur ketika final Piala Malaysia 1994 menentang Pahang.

Walaupun beliau ‘Melayu Singapura’, beliau masih selayaknya dijadikan inspirasi oleh pemain-pemain di Asia Tenggara terutamanya di negara kita.

Fandi Ahmad pernah diberi gelaran ‘Del Parel Van Maleisie’ atau Mutiara dari Tanah Melayu di Belanda. Namun ramai yang menterjemahkannya kepada Pearl From Malaysia.

Gergasi Eropah pada ketika itu Nottingham Forest sendiri pernah merisik khidmat beliau.

Pada 2006, Fandi Ahmad dijemput oleh FC Groningen untuk pelancaran stadium baru mereka. Ternyata peminat dan bekas-bekas pemain di sana sangat menghormati dan meminati Fandi Ahmad.

Anda saksikan video khas di bawah ini, bagaimana terujanya orang di Belanda kerana nama Fandi Ahmad.

Baca juga: Ronaldo Il Fenomeno, Lagenda No.9 Terbaik Sepanjang Zaman

The post Fandi Ahmad: Permata Tanah Melayu Menjadi Lagenda Di Groningen, Pernah Dilamar Ajax appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Pemain-pemain lagenda Asia Tenggara

Walaupun kualiti bolasepak negara-negara yang berada di rantau Asia Tenggara kelihatan agak terkebelakang berbanding beberapa negara Asia yang lain, apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan negara-negara kuasa besar bolasepak, sepuluh negara tersebut juga sebenarnya mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Sebagai contoh, negara Indonesia yang belum merdeka dan dikenali pada waktu itu sebagai Hindia Timur Belanda (Dutch East Indies) berjaya menjadi bukan sahaja negara Asia Tenggara yang pertama ke Piala Dunia FIFA tetapi juga wakil yang pertama di kalangan negara-negara Asia. Sayang sekali apabila kehadiran Hindia Timur Belanda di Perancis pada tahun 1938 merupakan satu-satunya penampilan dari Asia Tenggara ke Piala Dunia hingga setakat ini. Semenjak itu, benua Asia kini mempunyai pencabar-pencabar yang jauh lebih kuat di pentas antarabangsa dengan Asia Timur (Timur Jauh) dan Asia Barat (Timur Tengah) menjadi peneraju utama. 
Barisan pemain Hindia Timur Belanda
(sumber: scoopnest.com)
Maka, tidak hairanlah mengapa hanya Jepun, Korea Selatan, Korea Utara, China, Arab Saudi, atau Iran sahaja yang disebut-sebut menjadi pilihan utama untuk mewakili benua Asia. Lagipun, tidak ada lagi Burma*, Malaya, atau Siam. Bertambah rumit, negara Australia yang terletak di benua Australasia pun entah bagaimana berpindah menyertai negara-negara Asia. Mujurlah entiti yang dipanggil “Israel” telah dimasukkan ke Eropah. Kalau tidak, bertambah banyaklah pesaing bagi negara-negara Asia Tenggara.
Bagi menaikkan sedikit semangat penggemar bolasepak di rantau Asia Tenggara, izinkan DBS (duniabolasepak.blogspot.my) menyenaraikan sekurang-kurangnya seorang pemain bolasepak hebat atau lagenda bagi setiap negara anggota ASEAN (Association of Southeast Asian Nations) tanpa mengikut aturan yang tertentu.
1. Kiatisuk Senamuang (Thailand)
Kiatisuk Senamuang
Seorang polis berpangkat leftenan, bekas pemain Perlis FA ini digelar “Zico” sempena pemain ternama Brazil yang menjadi pujaannya. Dahulu bermain sebagai penyerang, kini beliau mengambil pengalaman di tepi padang pula sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand dan pasukan bawah-23 Thailand. Menjuarai Kejohanan Bolasepak ASEAN (Piala AFF) sebanyak tiga kali (1996, 2000, 2002) sebagai pemain dan setakat ini sudah dua kali sebagai jurulatih (2014, 2016).

2. Fandi Ahmad (Singapura)
Fandi Ahmad
Kota Singa amat sinonim dengan lagenda ulung ini. Ayahnya iaitu Ahmad Wartam juga merupakan bekas pemain kebangsaan Singapura tetapi bermain sebagai penjaga gawang. Dianggap sebagai salah seorang pemain penyerang terbaik di Asia, beliau kini menceburi bidang kejurulatihan pula dan pernah memberikan kejuaraan buat Singapore Armed Forces (SAFFC) sebanyak dua kali pada tahun 2000 dan 2002 dalam S.League.

3. Mokhtar Dahari (Malaysia)
Mokhtar Dahari
Meskipun pemain lagenda kesayangan rakyat Malaysia ini tidak pernah membawa negara beraksi ke Piala Dunia, pengorbanannya masih tetap dikenang kerana kejayaan besar beliau adalah kesungguhannya untuk menjulang semangat orang-orang di sekelilingnya tidak kiralah waktu menang ataupun kalah. Ini terbukti apabila beliau terpaksa mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa sebanyak tiga kali sebelum betul-betul bersara. Sejak pemergiannya di usia yang agak muda selepas bertarung dengan muscular dystrophy, namanya sehingga kini terus menyala membakar semangat.

4. Le Huynh Duc (Vietnam)
Le Huynh Duc
Bekas penyerang kebangsaan Vietnam ini merupakan yang pertama dari negaranya yang bermain untuk kelab di luar negara apabila ditandatangani oleh Chongqing Lifan FC dari China pada 2001. Sebagai pemain, beliau mencatat sejarah apabila menyertai Sukan SEA tiga kali berturut-turut (1995, 1997, 1999) manakala Piala AFF pula sebanyak 5 kali (1996, 1998, 2000, 2002, 2004). Pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam, beliau kini sedang giat melatih SHB Đà Nẵng FC, pasukan yang beliau sendiri pernah bawakan kejuaraan V-League pada tahun 2009.

5. Andi Ramang (Indonesia)
Andi Ramang
Muncul bersama kelab bolasepak tertua Indonesia iaitu Persatuan Sepakbola Makassar (PSM/Makassar Voetbal Bond), lagenda yang bernama Andi Anwar Ramang ini juga dikenali sebagai Rusli Ramang dalam dokumen rasmi FIFA. Pernah mewakili Indonesia dalam Sukan Olimpik tahun 1956 di Melbourne, Australia, beliau menjadi terkenal apabila banyak menjaringkan gol melalui sepakan gunting malah turut mampu menghasilkan gol terus daripada tendangan sudut.

6. Myo Hlaing Win (Myanmar)
Myo Hlaing Win
Penjaring terbanyak Piala AFF tahun 1998 ini menabur bakti sebagai penyerang kebangsaan Myanmar tidak lama dahulu. Kini sudah menjadi seorang jurulatih, antara pengalaman beliau dalam bidang kejurulatihan adalah melatih Nay Pyi Taw FC dan juga pasukan bawah-19 Myanmar.

7. Paulino Alcantara (Filipina)
Paulino Alcantara
Pemilik nama Paulino Alcántara Riestrá ini merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah FC Barcelona sebelum rekodnya dipecahkan oleh seorang pemain dari Argentina, siapa lagi kalau bukan Leo Messi. Dilahirkan di Kota Iloilo, Filipina, beliau pernah menyarung jersi Catalonia dan Sepanyol, selain daripada negara asalnya iaitu Filipina. Membuat penampilan sulung untuk FC Barcelona ketika baru berumur 15 tahun, beliau masih lagi memegang rekod sebagai pemain termuda yang pernah bermain dan menjaringkan gol bagi kelab tersebut. Menjadi doktor selepas bersara sebagai pemain, beliau juga sempat melatih pasukan kebangsaan Sepanyol.

8. Hok Sochetra (Kemboja)
Hok Sochetra
Pernah melatih pasukan kebangsaan Kemboja pada tahun 2012, dahulu beliau juga merupakan bekas penyerang prolifik bagi negaranya. Menjaringkan 42 gol daripada 64 penampilan untuk Kemboja dari 1995 hingga 2003, beliau sememangnya ibarat sebutir permata yang bersinar dalam sejarah bolasepak negara yang suatu ketika pernah dipanggil sebagai Republik Khmer.

9. Bounlap Khenkitisack (Laos)
Bounlap Khenkitisack
Menyarung jersi Yotha FC semasa bermain dahulu, kini bekas pemain kebangsaan Laos ini berkhidmat sebagai pengurus dan ketua jurulatih bagi pasukan Lao Toyota FC. Selain sempat melatih pasukan lamanya Yotha FC, sebelum ini beliau juga pernah diberi tanggungjawab untuk melatih pasukan kebangsaan negaranya.

10. Rosanan Samak (Brunei Darussalam)
Rosanan Samak
Bermain sebagai penyerang, bekas pemain kebangsaan Brunei ini paling diingati apabila menjadi salah seorang anggota pasukan jemputan wakil Brunei yang memenangi Piala Malaysia pada 1999. Memulakan karier sebagai pemain dengan Kota Ranger FC, beliau kini adalah seorang jurulatih yang pernah melatih pasukan belia Brunei dan beberapa pasukan Brunei pelbagai peringkat umur.
Negara-negara di rantau Asia Tenggara
(kredit: economists-pick-research.hktdc.com)

Begitulah serba sedikit perkongsian yang mungkin dapat membantu negara-negara Asia Tenggara untuk mula menggunakan nama pemain-pemain seperti ini sebagai contoh ikutan buat generasi yang akan datang. Dalam usaha mencungkil bakat-bakat muda, tidak mustahil suatu hari nanti akan muncul bintang-bintang baru yang boleh menaikkan status rantau ini ke peringkat yang lebih tinggi pula dalam masa terdekat ini.

#KepulauanMelayu   #MalayArchipelago   #Nusantara

DUNIA BOLA SEPAK

Lagenda Juventus Dedahkan Kelab Itu Hampir Dapatkan Lionel Messi Pada 2005

Lagenda Juventus iaitu Mauro Camoranesi mendedahkan pasukannya itu hampir mendapatkan khidmat bintang Barcelona iaitu Lionel Messi.

Beliau berkata demikian yang bekas kelabnya itu hampir berjaya mendapatkan khidmat Messi kira-kira 12 tahun lepas pada tahun 2005.

Tak kukuh

Camoranesi berkata demikian yang pengurus Juventus ketika itu iaitu Fabio Capello pernah merancang untuk mendapatkan Messi ke dalam skuad Juventus.

Beliau berkata yang Capello hampir berjaya mendapatkan Messi sebagai pembelian beliau ketika itu.

Beliau juga menyatakan yang Capello sudah lama nampak akan potensi Messi yang akan jadi pemain terbaik dunia, namun tidak bagi skuad Juventus ketika itu.

“Capello sudah lama nampak akan potensi Messi. Namun beliau kata tunggu dulu.”

“Hal ini sebab beliau mahu tunggu Messi menjadi pemain yang matang sebelum mendapatkanya.”

Juara Eropah

Menurut Camoranesi, Capello tidak kisah untuk mendapatkan Messi dengan harga yang tinggi dan memaksa Juventus untuk berbelanja lebih.

“Waktu itu, Serie A adalah liga terbaik di dunia.”

“Liga itu cukup kompetitif ketika itu, jadi jika Messi datang ke Juventus pada waktu itu beliau pasti akan menjadi pemain terbaik di dunia.”

Camoranesi juga memberikan gambaran yang jika Messi hadir ke Juventus ketika itu, pasukannya pasti sudah mendakap gelaran UEFA Champions League.

“Saya yakin jika beliau datang ke Juventus ketika itu, kami pasti sudah jadi juara Eropah.”

“Beliau mungkin tak menang trofi seperti yang beliau dapat ketika di Barcelona. Namun kebolehan individu beliau itu boleh dapatkan anugerah-anugerah individu sebanyak mana yang beliau peroleh sekarang.”

Messi kini pemenang 5 kali Ballon d’Or – terbanyak dalam sejarah.

Baca juga: 10 Gandingan Bek Tengah Terbaik Di Eropah Pilihan Squawka

The post Lagenda Juventus Dedahkan Kelab Itu Hampir Dapatkan Lionel Messi Pada 2005 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Mengenang Lagenda Gheorge Hagi, ‘Maradona’ Dari Carpathians

Bagi penyokong bola sepak era 90-an, nama lagenda Gheorge Hagi memang terlalu dekat dengan mereka. Mana tidaknya, pemain ini sangat berbakat dan antara yang terbaik dalam generasi beliau.

Siapa Lagenda Gheorge Hagi?

Gheorghe Hagi dilahirkan pada 5 Feb 1965 di Sacele, Romania beliau. Beliau adalah perancang unggul yang hanya berketinggian cuma 174cm, saiz orang Asia.

Lagenda ini amat sinonim dengan nombor 10. Beliau digelar The Maradona Of The Carpathians. Ini kerana saiz badan yang tidak begitu tinggi dan bermain di posisi dan peranan yang sama iaitu no.10.

30_hagi_oc-kpvh-u13038329470igb-620x349gazzetta-web_articolo

Beliau juga memiliki skil dan pengaruh yang kuat di dalam padang persis yang kerap dilakukan Maradona. Hagi memiliki rekod 125 caps untuk Romania dan menjaringkan 35 gol daripada penampilan tersebut.

Pencapaian Gheorghe Hagi adalah diibaratkan sebagai hanya kisah mitos dan angan-angan fantasi yg mustahil bagi orang Romania lakukan sehinggalah lahirnya insan bernama Gheorge Hagi.

Hagi tergolong dalam kategori pemain istimewa dan perancang yang sangat berbakat di dunia. Beliau diibaratkan mempunyai magis mampu menukar bola dikaki beliau menjadi ’emas’.

Gaya permainan beliau sangat fancy dan artistik. Dengan fizikalnya yang kecil, beliau memiliki keyakinan dan kemampuan yang tinggi untuk menewaskan sesiapa sahaja dengan gerakan solo beliau. Gelaran pun Maradona kan?

Hagi menjadi inspirasi penting pemain-pemain muda Romania yang menyaksikan kegemilangan beliau.

Menjadi Antara Yang Terbaik

Sejak tahun 1982 Gheorghe Hagi sudah bermain dalam liga dan kejohanan utama di Romani. Kelab profesional pertama Hagi ialah Farul Constanta pada 1982.

Kelab yang mengketengahkan bakat beliau sebelum Hagi mencecah usia 18 tahun. Namun, pada 1983 beliau menyertai kelab Studentesc.

hagi

Akhirnya, pada 1 Januari 1987 beliau telah menyertai kelab besar Steaua Bucharest, di mana beliau memenangi Piala Eropah (Europeans Cup Of Champions Club) menewaskan Barcelona dengan penentuan penalti.

Steaua menang 2-0 selepas kesemua pemain Barcelona gagal menyempurnakan penalti mereka. Ia diikuti kejayaan menewaskan Dynamo Kyiv dalam Piala Super Eropah pada 1986. Sejarah paling gemilang Steaua Bucharest.

hagi2

Hagi mula digelar genius bolasepak kerana kemampuan menjadi tunjang pasukan dalam usia belasan tahun.

Ke Pentas Lebih Besar

Pada 1990 beliau mendapat tawaran yg tak mungkin boleh ditolak. Ia adalah daripada gergasi Real Madrid. Peminat dan orang di Romania meraikan kejayaan ini dan berharap Hagi akan menjadi tunjang utama kelab besar tersebut.

Namun pencapaian Hagi agak tidak konsisten di Real Madrid. Beliau cuma memenangi Piala Sepanyol dan gagal memenangi sebarang kejuaraan Liga bersama Real Madrid.

Hagi meninggalkan Madrid pada akhir musim 1992 untuk menyertai Brescia pada 1993 sehingga tahun 1994.

Di peringkat antarabangsa, Hagi cemerlang membantu pasukan Romania dalam kelayakan Piala Dunia dan mereka layak ke Piala Dunia 1994.

Hagi Romania layak ke suku akhir Piala Dunia USA 1994. Kapten Hagi menjaringkan tiga gol dalam kejohanan tersebut.
Namun begitu Romania disingkirkan Sweden menerusi penentuan penalti pada peringkat suku akhir.

hagi3

Selepas kembali ke prestasi terbaik dengan kaki kiri ajaib beliau pada Piala Dunia tersebut, Barcelona datang menawarkan beliau kontrak pada 1994.

Hagi menyertai Barcelona dengan harapan menebus kekecewaan ketika di Real Madrid. Sekali lagi Hagi gagal mempamerkan prestasi terbaik di kelab besar.

Man ‘not’ for a big club?

Aksi beliau mulai merudum selepas ‘trauma’ dengan kekalahan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang AC Milan dimana Hagi menjadi sasaran penyokong kerana gagal melakukan tugas beliau.

Hagi meninggalkan kelab Catalan tersebut dan menyertai kelab Turki, Galatasaray untuk bergandingan dengan lagenda Turki, Sukur Hakan.

11028966_528723363946151_7241470126705086968_n

Hakan Sukur adalah pemain dan juga rakan telah membantu Hagi untuk membuat keputusan ke Turki. Sukur dianggap Hagi sebagai antara manusia penting dalam hidup beliau.

hagi-ve-hakan-sukur-veteran-maci-663

Mana tidaknya, Hakan Sukurlah yang banyak memberikan sokongan kepada Hagi untuk mengembalikan prestasi beliau.

Hagi-Sukur Dan Kegemilangan Galatasaray

Hagi dan Hakan Sukur dianggap antara gandingan terbaik dalam sejarah kelab Galatasaray dengan memenangi termasuk gelaran Juara UEFA Cup (Europa League) pada tahun 2000 menentang Arsenal yang dibarisi lagenda Thiery Henry.

kupa-kaldc4b1rma

Ia menjadikan Galatasaray sebagai kelab Turki yang pertama memenangi piala di pentas Eropah. Era Hagi-Sukur, Galatasaray menjuarai Liga Turki sebanyak 4 kali berturut turut dari 1997, 1998, 1999, dan 2000.

Gheorghe Hagi dipanggil untuk tugasan antarabangsa yang terakhir beliau pada Euro 2000 selepas Piala Dunia 1998.

Namun Hagi seperti Zidane pada pada 2006 mengakhiri karier beliau dengan kad merah dalam suku akhir menentang Itali.

Romania tewas 2-0. Ia adalah detik emosional untuk peminat Romania dan juga peminat Hagi di seluruh dunia. Hagi memutuskan untuk persaraan antarabangsa pada usia 35 tahun.

Ia mengakhiri 18 tahun perkhidmatan setia beliau kepada Romania. Pada 2001, Beliau telah bersara penuh daripada kariernya.

Pada tahun 2002, beliau telah dilantik menjadi jurulatih pasukan kebangsaan untuk kempen kelayakan Piala Dunia Jepun-Korea Selatan, tetapi Romania gagal melepasi cabaran Slovenia.

Beliau kemudian menjadi jurulatih beberapa pasukan. Sehingga hari ini beliau masih lagi aktif dalam kejurulatihan.

Status Lagenda Gheorge Hagi!

Beliau dianggap produk terbaik dalam sejarah bolasepak Romania. Sehingga hari ini masih belum ada pemain Romania yang dapat mengatasi pencapaian beliau.

2741585_xbig-lnd

Pada usia 18 tahun, beliau telah diamanahkan dengan lilitan kapten serta dipanggil untuk mewakili skuad senior Romania.

Negara beliau amat mengiktiraf bakat besar Hagi. Hagi ada kesungguhan dan juga personaliti seorang pemimpin.
Selama 18 tahun dia telah menabur bakti kepada pasukan kebangsaan Romania.

Beliau telah membantu Romania melayakkan diri dalam tiga edisi pusingan akhir Piala Dunia berturut-turut, dari tahun 1990 hingga 1998. Ia juga antara rekod terbaik dalam sejarah bolasepak Romania.

Berikut adalah Pencapaian Peribadi Hagi:

Finalis Liga Juara-Juara 1989 (Steaua Bucharest)
Juara 2000 UEFA Cup (Galatasaray)
Juara UEFA Super Cup 1986 (Galatasaray) dan 2000 (Galatasaray)
Juara Liga Romania 1987, 1988 dan 1989 (Steaua Bucharest)
Naib Juara Romania 1986 (Sportul Studentesc) dan 1990 (Steaua Bucharest)
Juara Liga Turki 1997, 1998, 1999 dan 2000 (Galatasaray)
Naib Juara La Liga 1992 (Real Madrid)
Juara Piala Romania 1987 dan 1989 (Steaua Bucharest)
Naib Juara Piala Sepanyol 1992 (Real Madrid) dan 1996 (FC Barcelona)
Juara Piala Turki 1999 dan 2000 (Galatasaray)
Juara Piala Super Sepanyol tahun 1990 (Real Madrid) dan 1994 (FC Barcelona)
Juara Supercup Turki 1996 dan 1997 (Galatasaray)

Anugerah Peribadi

Diundi sebagai pemain terbaik Romania sepanjang abad (IFFHS)
Penjaring terbanyak dalam Liga Juara-Juara 1988 (4 gol) (Steaua Bucharest)
Kasut emas Liga Romania pada tahun 1985 (20 gol) dan 1986 (31 gol)
Diundi sebagai pemain Romania terbaik tahun 1985, 1987, 1993, 1994, 1997, 1999 dan 2000
Diundi sebagai pemain Romania terbaik dalam tempoh 50 UEFA pada tahun 2004
Team of The Tournament kejohanan Piala Dunia 1994
Dilantik sebagai ahli FIFA 100

Fakta lain yang anda perlu tahu adalah, Gheorge Hagi mengasaskan sebuah sekolah/akademi bola sepak yang boleh menampung 280 pemain mudab di Romania yang serba moden.

Beliau mahukan pemain-pemain muda merasa apa yang beliau pernah rasa di Real Madrid, Barcelona dan Galatasaray.

Hagi masih kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Romania berkongsi dengan Adrian Mutu.

Baca juga :

The post Mengenang Lagenda Gheorge Hagi, ‘Maradona’ Dari Carpathians appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Gara Gara Komen Kontroversi, Cristiano Hentam Xavi & Tuduh Lagenda Sepanyol Itu Gila Publisiti Murahan

Cristiano Ronaldo akhirnya kembali beraksi selepas kecederaan ketika perlawanan akhir Piala Eropah lalu. Ronaldo, membantu Real Madrid 5-2 La Liga menang ke atas Osasuna pada Sabtu lalu.

Ronaldo hanya memerlukan 6 minit sahaja untuk menjaringkan gol pertama beliau musim ini dalam La Liga.

Pengurus Real Madrid Zinedine Zidane sangat gembira dengan kepulangan Ronaldo. Ini selepas beberapa pemain agak keletihan selepas minggu antarabangsa dan perlu digilirkan.

Namun di sebalik kegembiraan Ronaldo meraikan kemenangan besar tersebut, Ronaldo memberikan respon ‘panas’ ke atas kenyataan Xavi Hernandez.

Xavi Memberi Komen Tentang Ronaldo Dan Messi

Ini adalah kenyataan Xavi yang mengundang amarah Ronaldo:

“Hanya pemain bola sepak yang bodoh sahaja tidak mengiktiraf Cristiano sebagai pemain bola sepak elit. Tetapi malangnya beliau bermain dalam era yang sama dengan Leo (Messi).”

“Ronaldo adalah luar biasa tetapi jika dibandingkan dengan Messi, bagi saya dan untuk semua orang yang sukakan bola sepak, ia tidak ada perbandingan.”

“Messi sentiasa menjadi nombor satu selagi dia mahu (sehingga berhenti bermain). Dia terlalu unggul. Di mata ramai pihak dia adalah yang terbaik di dunia, kecuali anda adalah ‘Real Madrid’.”

Ronaldo Panas!

Cristiano Ronaldo tidak menyenangi kenyataan daripada bekas pemain Barcelona itu. Lantas Ronaldo memberikan respon panas di dalam akhbar Marca. Beliau berkata:

“Saya adalah pemain bola sepak yang paling dicari di internet.”

“Jadi, sesiapa sahaja yang mahukan publisiti percuma atau perhatian media maka mereka akan membincangkan tentang saya.”

“Saya tidak kisah apa sahaja yang Xavi tentang saya, dia bermain di Qatar atau.. (muka keliru), dan saya tidak tahu di mana dia bermain sekarang.”

“Dia memenangi setiap trofi kolektif, termasuk Piala Dunia dan Kejohanan Eropah, tetapi saya ada 3 Ballon d’or dan dia tidak pernah memenangi langsung.”

Baca juga: Barton Kutuk Brown Tak Setarafnya, Brown Balas ‘Lawan Rangers Seperti Lawan Budak-Budak’

The post Gara Gara Komen Kontroversi, Cristiano Hentam Xavi & Tuduh Lagenda Sepanyol Itu Gila Publisiti Murahan appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

‘Kaki Besi’ Dan ‘Raja Bola Malaya’ – Kisah Lagenda Yang Terkubur Di The British Library

Beberapa hari lepas, rakan saya dari Padang Bola Sepak memaklumkan kepada saya tentang sebuah artikel yang ditulis oleh Dato’ Dr Annabel Teh Gallop, ketua kurator The British Library yang terletak di London.

Kandungan artikel tersebut sangat menarik perhatian saya. Ia mengenai koleksi buku-buku bola sepak Malaya era selepas Perang Dunia Kedua yang disimpan oleh The British Library.

Saya berpendapat peminat bola sepak Malaysia wajar mengetahui kewujudan artifak sejarah bola sepak Malaysia ini.

Jadi saya menulis email kepada Dr Annabel Teh Gallop untuk meminta kebenaran beliau menerbitkan semula gambar-gambar milik The British Library di semuanyabola.com.

Beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menjawab email saya. Malah beliau gembira artifak bersejarah ini mempunyai peminat. Beliau juga memberitahu bahawa beliau sebenarnya orang Kedah!

Antara koleksi buku yang dipamerkan beliau dalam artikel itu adalah:

  • Risalat Peraturan Bola Sepak Yang Dinamai Inggeris Fut Bul
  • Chendera Mata Piala Mas 1947
  • Undang2 dan Panduan Bola Sepak
  • Suasana Film dan Sports

1. Risalat Peraturan Bola Sepak Yang Dinamai Inggeris Fut Bul (1895)

Risalat Peraturan Bola Sepak Yang Dinamai Inggeris Fut Bul merupakan buku versi bahasa Melayu (tulisan Jawi) tentang peraturan permainan bola sepak yang dicetak di Singapura pada 1895 – 32 tahun selepas England FA ditubuhkan secara rasmi.

Buku ini diterjemah oleh Mahmud bin Sayid Abdul Kadir al-Hindi dan diterbitkan oleh Lembaga Keadilan Persekutuan Dar al-Adab. Ia dicetak oleh American Mission Press dan dijual pada harga 25 sen sebuah.

Antara kandungan buku ini adalah penerangan tentang posisi pemain bola sepak:

(Sumber: British Library, 14628.b.2)
(Sumber: British Library, 14628.b.2)

Apa yang menarik perhatian saya adalah formasi yang digunakan oleh penulis untuk menerangkan posisi pemain – iaitu formasi 2-3-5 yang popular di British bermula lewat 1870-an.

Untuk pengetahuan anda, formasi 2-3-5 dipopularkan oleh Preston North End yang menjuarai 2 kejuaraan pertama Football Leagues pada musim 1888/1889 dan 1889/1890.

2. Chendera Mata Piala Mas 1947 (1947)

(Sumber: British Library, 14654.m.29)
(Sumber: British Library, 14654.m.29)

Chendera Mata Piala Mas 1947 pula merupakan matchday program bagi Piala Emas Raja-Raja edisi 1947 – kali pertama diadakan semula selepas tamat Perang Dunia Kedua. Kali terakhir pertandingan ini berlangsung adalah pada 1938.

Penyusun buku ini adalah Md. Said bin A. Rahman dan Rahmat bin Jais.

Dalam buku ini, dua penulis ini menceritakan semula kisah beberapa lagenda bola sepak Malaya pada era sebelum Perang Dunia Kedua iaitu:

2.1. Taib bin Haji Ishak

Pemain Selangor era 1935-1941 yang digelar sebagai ‘Tulang Belakang Selangor’.

(Sumber: British Library, 14654.m.29)
(Sumber: British Library, 14654.m.29)

2.2. Syed Alwi bin Syed Md. Alsagoff

Beliau merupakan penyerang dan kapten Kelab Sultan Sulaiman era 1921-1924. Pernah mewakili Selangor dalam Piala Malaya.

(Sumber: British Library, 14654.m.29)
(Sumber: British Library, 14654.m.29)

2.3. Md. Said bin Othman

Kapten skuad Negeri Sembilan.

2.4. Dool bin Budin

Bekas pemain Negeri Sembilan dan pengadil terkenal.

2.5. Abdul Fattah bin Abdullah

Dikenali sebagai Dolfattah, Abdul Fattah bin Abdullah digelar Raja Bola Sepak Malaya sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau meninggal dunia pada tahun 1945.

(Sumber: British Library, 14654.m.29)
(Sumber: British Library, 14654.m.29)

Mengikut cerita dalam buku ini, semasa pasukan bola sepak Melayu Singapura membuat jelajah ke Sumatera, penduduk di sana membuat kain rentang yang tertulis:

DOLFATTAH – RAJA BOLA SEPAK MALAYA – KAMI DAH LIHAT GAMBARNYA – KAMI DAH BACA BERITANYA – KINI BELIAU BERADA DI SINI

Dolfattah dikatakan sangat handal bermain bola sepak sehinggakan beliau mampu bermain di mana-mana posisi di seluruh padang – termasuklah penjaga gol.

Dalam satu perlawanan persahabatan di sana, Dolfattah tak dapat bermain kerana masalah kecederaan. Penonton perlawanan semuanya menjerit:

“Kembalikan wang kami! Tiada gunanya menonton perlawanan tanpa Dolfattah!”

Dolfattah terpaksa masuk ke padang dan menunjukkan mukanya untuk memuaskan hati penonton di padang. Sebelum meninggal dunia, Dolfattah berhijrah ke Medan untuk menjadi jurulatih di sana.

2.6. Mohd. Yusoff bin Tahir

Beliau merupakan pemain centre-half Selangor era 1920-an dan diberi digelar Kaki Besi kerana mampu membuat tendangan yang deras dan kencang walaupun berkaki ayam.

Menurut cerita buku ini, kakinya kuat ‘seperti kuda’ dan sangat dikenali oleh peminat dan pemain lain.

(Sumber: British Library, 14654.m.29)
(Sumber: British Library, 14654.m.29)

3. Undang2 dan Panduan Bola Sepak (1961)

(Sumber: British Library, 14654.w.241)
(Sumber: British Library, 14654.w.241)

Buku ini merupakan buku versi bahasa Melayu (tulisan Rumi) tentang peraturan bola sepak yang lebih terkini berbanding Risalat Peraturan Bola Sepak Yang Dinamai Inggeris Fut Bul yang dicetak pada 1895.

Ia diterjemah oleh H.A.B. Mansor, bekas pemain dan pengadil, dan diterbitkan di Pulau Pinang pada 1961.

Buku ini mengandungi peraturan bola sepak yang baru pada ketika itu iaitu:

  • pasukan dibenarkan untuk mengguna 1 pemain gantian
  • pemain dikira ofsaid apabila beliau berada lebih dekat dengan pintu gol berbanding pemain lawan yang kedua terakhir (sebelum ini pemain lawan ketiga terakhir)

4. Suasana Film dan Sports (1963)

(Sumber: British Library, Or.Mic.12061)
(Sumber: British Library, Or.Mic.12061)

Majalah yang menggabungkan berita industri hiburan dan sukan ini mula-mula diterbitkan pada Jun 1963 dan mempunyai gambar pelakon Kasma Booty di bahagian cover majalah.

Majalah ini dijual dengan harga 25 sen.

Kesimpulan

Menurut Dr Annabel, 4 buku bola sepak ini hanya sebahagian kecil daripada koleksi sejarah bola sepak negara kita yang tersimpan rapi di The British Library. Beliau berjanji akan mendedahkan lebih banyak lagi pada masa akan datang.

Bagi saya, agak malang apabila artifak sejarah bola sepak negara kita berada di bumi London. Bukannya di tanah air – tempat sejarah tersebut dicipta.

Tetapi sekurang-kurangnya sejarah bola sepak negara kita berada dalam jagaan yang baik oleh The British Library.

Artikel asal boleh dibaca di laman web The British Library.

Baca juga: Sejarah Perubahan Format & Peraturan Liga Bola Sepak Malaysia Dari 1982 Hingga 2016

The post ‘Kaki Besi’ Dan ‘Raja Bola Malaya’ – Kisah Lagenda Yang Terkubur Di The British Library appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Mengapa Lagenda Bola Sepak USA Ini Mahukan Semua Orang Lupakannya?

Dalam mana-mana sukan termasuk bola sepak, pemain lagenda adalah sumber inspirasi kepada generasi muda.

Kisah mereka dibukukan, difilemkan dan ditulis supaya kanak-kanak boleh mendapat inspirasi daripada kejayaan dan pencapaian lagenda tersebut.

Tetapi itu bukanlah sesuatu yang dimahukan oleh lagenda bola sepak wanita Amerika Syarikat, Abby Wambach.



Sebaliknya, Wambach mahu semua orang lupakannya. Termasuklah kanak-kanak perempuan yang sedang mencari inspirasi dalam bola sepak wanita.

Kontroversi dengan Klinsmann

Belum pun perlawanan bola sepak terakhirnya bermula, Wambach sudah pun menangis.

Beberapa jam sebelum perlawanan itu, Wambach menimbulkan kontroversi apabila secara terbuka memberitahu media bahawa Jurgen Klinsmann perlu dipecat.

Wambach berpendapat Klinsmann terlalu banyak mengambil pemain kelahiran Jerman sebagai pemain kebangsaan. Bukannya fokus kepada pembangunan akar umbi pemain muda tempatan.

China merosakkan parti

Menentang China di Superdome of New Orleans, hampir 33,000 rakyat Amerika Syarikat membanjiri stadium untuk melihat Wambach mengetuai jentera serangan Amerika Syarikat buat kali terakhir.

China bagaimanapun langsung tidak mempedulikan kepentingan perlawanan ini kepada Wambach dan penyokong Amerika Syarikat. Mereka menang 1-0.



Wambach yang sudah berusia 35 tahun, bukan saja gagal menjaringkan gol. Malah pasukannya baru saja meranapkan rekod 104 perlawanan tanpa kalah di halaman sendiri – rekod yang bertahan sejak 2004.

Pada minit ke-72, Wambach dikeluarkan. Karier bola sepaknya berakhir.



“Saya rasa takdir dah menentukan yang saya hanya main 70 minit dan tak dapat jaringkan gol,” gurau Wambach selepas perlawanan.

“Mungkin ini masa saya untuk bersara. Masa depan pasukan terletak di tangan pemain-pemain muda sekarang.”

“Saya tahu semua orang mahukan saya jaringkan gol. Tapi mungkin itulah sebab kami gagal jaringkan gol. Sebab ahli pasukan lain terlalu fokus mahukan saya jaringkan gol.”

Karier bola sepak Wambach melangkaui 15 tahun. Di peringkat kebangsaan, Wambach sudah menjaringkan 184 gol, lebih banyak daripada mana-mana pemain lelaki dan perempuan dalam sejarah bola sepak antarabangsa.

“Lupakan saya”

Mana-mana pemain dengan rekod hebat sehebat Wambach pastinya layak dijulang dan mahu diingati.

Tetapi Wambach bertegas mahu semua orang lupakannya dalam mesej video yang diterbitkan oleh Gatorade.

“Lupakan saya. Lupakan nombor saya. Lupakan nama saya. Lupakan kewujudan saya. Lupakan pingat yang saya pernah menangi, rekod yang dipecahkan dan pengorbanan yang saya buat.”

“Saya mahu tinggalkan legasi di mana kita sentiasa memandang ke hadapan. Atau pemain daripada generasi seterusnya berjaya sehingga saya tak diingati.”

“Jadi, lupakan saya. Kerana hari kita dapat lupakan saya, adalah hari kita berjaya.”

Baca juga: Bolehkah Wanita Menjadi Jurulatih Bola Sepak Lelaki?

The post Mengapa Lagenda Bola Sepak USA Ini Mahukan Semua Orang Lupakannya? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Shunsuke Nakamura: Lagenda Yang Terlalu ‘Kurus’ Untuk Troussier

Nota editor: Artikel ini telah ditulis oleh pembaca kami, Justine Pengiran Igai. Beliau membesar dengan mengharapkan satu hari, kita juga mempunyai Shunsuke Nakamura versi kita sendiri.

Bagi sesiapa yang menyaksikan kemenangan 4-0 Yokohama F. Marinos ke atas Urawa Reds pada Sabtu lepas, memori menyaksikan Shunsuke Nakamura di Reggina dan Celtic pasti berulang semula.

Pada usia 37 tahun, sentuhan magik Nakamura dalam sepakan percuma masih tidak hilang.

Nakamura menjaringkan gol pertama pasukannya pada minit 28′ melalui – sudah tentulah – sepakan percuma.

Siapa Shunsuke Nakamura?

Shunsuke Nakamura dilahirkan dan dibesarkan di Yokohama, Jepun. Sejak berusia 5 tahun, Nakamura bermain dengan pasukan kelab belia tempatan, Misono FC.

Pada tahun usia 12 tahun, Nakamura menyertai pasukan belia Nissan FC. Nissan FC merupakan pasukan pelapis muda untuk Nissan Motors. Selepas penubuhan J League pada 1993, Nissan Motors dikenali sebagai Yokohama F. Marinos.

Baca: SEJARAH J LEAGUE: BAGAIMANA JEPUN MEMULAKAN LIGA BOLA SEPAK MEREKA

Bagaimanapun, Nakamura tidak terus diserap masuk ke pasukan belia Nissan FC pada tahun 1994.

Nakamura kemudiannya mendaftar di Toko Gakuen High School di Kawasaki. Di sana, Nakamura telah dinamakan sebagai pemain paling bernilai kejohanan bola sepak sekolah tinggi Jepun pada tahun 1995. Pada 1996, beliau membawa sekolahnya ke perlawanan akhir kejohanan itu.

Selepas tamat pengajian dari Toko Gakuen pada 1997, Nakamura ditawarkan kontrak profesional dengan kelab tempatannya. Ke mana lagi kalau bukan Yokohama F. Marinos.

“Dia boleh buka tin kacang dengan kaki kirinya”

Pada usia 19 tahun, Nakamura sudah membuat 27 penampilan dan menjaringkan 5 gol.

3 tahun kemudian, Nakamura dinobatkan sebagai pemain terbaik J League. Kehebatannya diakui sendiri oleh Steve Perryman, bekas pemain Tottenham Hotspurs yang mengurus Shimizu S-Pulse.

Menurut Perryman:

“Tekniknya sangat bagus sehinggakan saya rasa dia boleh buka tin kacang dengan kaki kirinya saja.”

Berkelana ke Eropah

Semuanya bermula kerana Philippe Troussier.

Walaupun Nakamura membantu Jepun memenangi Piala Asia 2000, Troussier percaya Nakamura tidak mempunyai stamina dan kekuatan untuk bermain dalam taktikal defensifnya.

Ketika Jepun membuat persiapan untuk Piala Dunia 2002, Nakamura menjaringkan 2 gol dalam 4 perlawanan pemanas badan. Pada perlawanan terakhir, Nakamura cedera.

Meskipun beliau sepatutnya boleh sembuh sebelum perlawanan pertama Piala Dunia 2002, Nakamura tetap diketepikan oleh Troussier. Rakyat Jepun begitu kecewa dengan keputusan Troussier.

Bermula dari itulah, Nakamura nekad untuk membuktikan kemampuannya di Eropah. Bermula di Reggina yang baru naik ke Serie A.

Jangkaan peminat Reggina terhadap Nakamura tinggi. Terutamanya selepas Nakamura diberi jersi no.10. Dan Nakamura memang tidak mengecewakan.

Sepanjang Nakamura di Reggina, pasukannya tidak pernah tersingkir kembali ke Serie B. Bermain di belakang Gianluca Savoldi dan Emiliano Bonazzoli dalam formasi 4-3-1-2, Nakamura adalah chief playmaker untuk Reggina selama 3 musim.

Uji diri di Scotland

Berita tentang adanya playmaker dari Asia yang mempunyai visi, kemahiran teknikal dan kerajinan untuk bertahan yang tinggi sampai ke pengetahuan pengurus Atletico Madrid, Deportivo la Coruna, Borussia Dortmund dan Borussia Mönchengladbach.

Tetapi Nakamura memilih Celtic. Sekali lagi, beliau mahu menguji dirinya di liga yang lebih fizikal dari Serie A.

Bagi ketua jurulatih Jepun, Zico, pengalaman Nakamura di Eropah mengubah stail permainannya menjadi lebih fizikal.

Hasilnya, Nakamura berjaya menjadi pemain paling penting dalam skuad Jepun kendalian Zico. Nakamura turut berjaya menggantikan Hidetoshi Nakata sebagai perancang utama pasukan Jepun.

Debut di Celtic

Sebelum debutnya menentang Dundee United, Nakamura memberitahu wartawan Jepun yang beliau gementar. Jangkaan peminat Celtic yang besar menakutkannya. Tahap kecergasannya masih belum 100%.

Buku program perlawanan Celtic pula tersilap cetak gambar Nakamura pada perlawnaan itu. Sepatutnya gambar Nakamura berada di tengah-tengah buku.

Sebaliknya Celtic mencetak gambar Du Wie; pemain China yang menjalani trial di Celtic pada ketika itu.

Tetapi Nakamura mengakhiri debutnya dengan anugerah pemain terbaik perlawanan. Walaupun tidak menjaringkan gol dan membuat assist, Nakamura merupakan duri dalam daging Dundee United.

Sentiasa memulakan gerakan bahaya Celtic dengan hantarannya. Rajin bertahan bersama pasukannya. Nama Nakamura mula masuk dalam lagu sorakan penyokong Celtic.

Lagenda Celtic

Sehingga kini, penyokong Celtic masih mengenang sumbangan Nakamura kepada pasukan mereka. Sepakan percuma ketika menentang Manchester United. Voli 30 meter ketika Old Firm Derby.

Jangan lupa sepakan percuma minit-minit terakhir ketika menentang Kilmarnock. Sepakan itu membolehkan Celtic menjadi juara liga.

Gol sepakan percumanya membolehkan Celtic layak ke pusingan 16 pasukan terakhir Champions League 2006/2007 dan juara liga 2006/2007.

Kembali ke Yokohama

Selepas 8 tahun berkelana di Eropah, termasuk semusim yang penuh dengan kecederaan bersama Espanyol, Nakamura pulang ke Yokohama F. Marinos. Nakamura berpendapat pulang ke Yokohama adalah satu-satunya cara beliau untuk ke Piala Dunia 2010.

Selepas bersara daripada skuad kebangsaan yang bertanding dalam kempen Piala Dunia 2010, Nakamura menumpukan kariernya bersama Yokohama. Sehingga kini, beliau adalah kesebelasan utama pasukannya.

Kesimpulan

Salah satu sebab mengapa Nakamura dihormati pemain dan disayangi peminat adalah kerana sifat merendah dirinya. Meskipun dianggap lagenda, beliau mengaku permainannya masih mempunyai kelemahan.

“Saya tak boleh kekalkan keseimbangan badan ketika menggelecek dengan laju,” kata Nakamura ketika melihat Shinji Kagawa menggelecek dalam video ini.

Shunsuke Nakamura. Lagenda.

Baca juga: BAGAIMANA J LEAGUE MEMACU KEMAJUAN BOLA SEPAK JEPUN

Anda mahu menulis tentang bola sepak? Tulis apa-apa sahaja pasal bola sepak dan hantar artikel tulisan anda ke semuanyabola@gmail.com. Kami akan siarkan di laman web kami.

The post Shunsuke Nakamura: Lagenda Yang Terlalu ‘Kurus’ Untuk Troussier appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA