Adakah Biji-Biji Getah Di Padang Tiruan Membuatkan Anda Berisiko Menghidap Kanser?

Aktiviti bersukan dilakukan untuk menyihatkan badan. Tetapi, bagaimana jika aktiviti tersebut mampu mengundang kanser ke dalam tubuh kita tanpa kita sedari?

Padang tiruan menyebabkan kanser?

Mungkin ia kedengaran pelik, namun terdapat cakap-cakap orang yang mendakwa bermain di padang tiruan boleh mengundang penyakit kanser.

Dan baru-baru ini, Environmental Protection Agency, the Center For Disease Control, dan U.S. Consumer Product Safety Division mengumumkan telah melancarkan kertas kajian untuk mengkaji hubungan padang tiruan dengan kanser.

Ini berikutan dakwaan bekas penjaga gol skuad wanita Amerika Syarikat, Amy Griffin yang mengatakan kebanyakan penjaga gol yang bermain di padang sintetik berisiko paling besar untuk menghidap kanser.

Mengapakah biji-biji getah ini dikatakan merbahaya?

Di Amerika Syarikat, padang tiruan jenis 3G yang dilengkapi dengan biji-biji getah kecil berwarna hitam ini berada di mana-mana. Di sekolah, universiti, kelab bola sepak dan akademi sukan.

Biasanya selepas bermain di atas padang tiruan jenis ini, biji-biji getah ini akan masuk ke dalam kasut pemain.

Ia juga mungkin kekal dalam kasut seseorang pemain bagi tempoh yang agak lama jika tidak dibersihkan dengan betul.

Biji-biji getah halus ini sebenarnya digunakan untuk membuatkan padang tiruan lebih selesa untuk dimainkan. Ia juga melindungi permukaan padang dan memberikan lebih cengkaman kepada pemain.

nbcnews crumbs 3

Masalah utama biji-biji getah ini adalah, ia dihasilkan dari tayar-tayar lama. Ini bermakna biji-biji getah ini mengandungi karsinogen – bahan kimia yang menyebabkan kanser.

Terdapat kajian yang telah dilakukan di makmal terhadap biji-biji getah ini.

Ujian tersebut mendapati biji-biji getah mengandungi bahan-bahan kimia yang dianggap karsinogenik (boleh menyebabkan kanser). Ia termasuklah merkuri, arsenik, cadmium, chromium dan plumbum.

Apabila cuaca panas, biji-biji getah ini boleh mengeluarkan bahan-bahan kimia yang boleh dihidu pemain. Ia juga boleh masuk ke bukaan luka, calar dan mulut pemain.

biji getah padang tiruan

Pendapat yang mengatakan biji-biji getah ini selamat

Pada tahun 2006, FIFA telah menulis kenyataan rasmi di laman web mereka, mengatakan bahawa biji-biji getah tersebut tidak merbahaya.

Tetapi pada masa yang sama, FIFA tidak menampilkan kajian toksiologi yang mengatakan ia benar-benar selamat.

Agensi Perlidungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US EPA) pernah melakukan kajian di beberapa padang tiruan.

Bagaimanapun berdasarkan data yang mereka perolehi, mereka masih belum menjumpai bukti bahawa biji-biji getah ini merbahaya.

Pendapat yang mengatakan biji-biji getah ini merbahaya

Pada bulan November 2015, isu bahaya biji-biji getah ini kembali timbul. Amy Griffin, bekas penjaga gol wanita kebangsaan wanita Amerika Syarikat telah mengemukakan sebuah kajian yang mengejutkan.

6 tahun lalu, sewaktu melakukan lawatan ke sebuah pusat kanser kanak-kanak, Amy mendapat tahu bahawa pesakit kanser yang ditemuinya merupakan penjaga gol ke-5 yang disahkan menghidap kanser Hodgkins Lymphona.

Kelima-limanya dalam minggu yang sama.

nbcnews crumbs 2

Merasakan sesuatu yang tidak kena, Amy mula melakukan kajian dengan mengumpul maklumat dari pusat kanser Amerika Syarikat.

Kajian tersebut dilakukan dengan mengumpulkan satu senarai  penghidap kenser yang merupakan atlet yang kerap bermain di atas padang sintetik.

Dari 200 orang atlet yang tersenarai, 150 orang daripadanya adalah pemain bola sepak. Daripada 150 pemain bola sepak itu pula, 95 daripadanya merupakan penjaga gol!

Masih tiada kepastian

Amy Griffin berpendapat penjaga gol – pemain yang akan paling banyak menyentuh biji-biji getah ini apabila luka, calar dan terbang  menyelamatkan bola – berisiko paling tinggi menghidap kanser  selepas bermain di padang tiruan.

Kesimpulan ini dibuat oleh Amy Griffin berdasarkan data yang dikumpulnya. Bagaimanapun kesimpulannya masih belum boleh diambil secara serius kerana datanya masih terlalu kecil dan bersifat anekdot.

Adakah kita perlu berhenti dari bermain di padang tiruan?

Pada pendapat kami, ia adalah pilihan individu.

Harus diingat bahawa walaupun biji-biji getah mungkin mengandungi bahan karsinogenik, masih tiada bukti saintifik yang menyokong kandungan karsinogen dalam biji-biji getah ini cukup besar untuk menyebabkan kanser.

Jika anda seorang pemain futsal tegar diatas padang tiruan seperti kami, ketahuilah bahawa risiko anda untuk mendapat ACL adalah lebih tinggi dari risiko anda mendapat kanser.

Sebagai ukuran, risiko anda untuk mendapat kanser daripada asap rokok, asap kenderaan dan asap dari kilang jauh lebih signifikan daripada biji-biji getah ini.

Jadi, selagi tiada hasil kajian yang benar-benar menyatakan bahawa biji-biji getah hitam ini berbahaya, kami mengesyorkan anda agar terus bermain.

Tips untuk meminimakan sentuhan secara langsung dengan biji-biji getah

Walaupun kami merasakan biji-biji getah ini selamat, namun jangan sesekali anda mengabaikan faktor kebersihan.

  1. Pastikan anda membasuh tangan anda sebersih-bersihnya selepas anda membersihkan tubuh anda dari biji-biji getah ini setiap kali anda bermain.
  2. Jika anda mempunyai luka, pastikan ia dibalut dengan sempurna. Lindungi kawasan luka dari sentuhan dengan biji-biji getah ini.

Dan akhir sekali, jangan sesekali makan/telan biji-biji getah ini!

Baca juga: Pengenalan Kepada Jenis-Jenis Label Kasut Bola Di Kedai & Bagaimana Untuk Pilih?

The post Adakah Biji-Biji Getah Di Padang Tiruan Membuatkan Anda Berisiko Menghidap Kanser? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Roy Keane: Jeneral Tengah Manchester United Yang Membuatkan Kenny Dalglish Mengamuk

Roy Keane: kapten Manchester United. Pemenang 7 kejuaraan Premier League, 4 trofi FA Cup, 1 trofi UEFA Champions League dan Intercontinental Cup.

Bagi penyokong pasukan selain Manchester United, Roy Keane adalah watak yang sangat berpolarisasi – sama ada anda sukakannya atau bencikannya. Jarang-jarang ada penyokong bola sepak yang mempunyai pendapat neutral terhadapnya.

Kerja sambilan ketika muda

Karier bola sepak Roy Keane bermula di Cobh Ramblers – sebuah kelab Ireland yang baru dipromosi ke Ireland First Division – pada musim 1989/1990.

Hanya ditawar kontrak remaja, Keane terpaksa membuat beberapa kerja sambilan. Antaranya kerja menghantar beg simen dari kilang ke tapak pembinaan semasa umurnya 16 dan 17 tahun. Menurut Keane:

“Kerja itu taklah teruk sangat. Tapi ia membuatkan saya lebih berazam untuk menjadi pemain bola sepak profesional. Saya tak mahu kerja angkut beg simen sampai tua.”

Tak rasa cukup bagus untuk Manchester United

Menulis surat kepada kelab-kelab bola sepak adalah tradisi pemain muda tanpa ejen pada era 80 dan 90-an. Itulah yang dilakukan oleh Roy Keane.

Keane menulis surat kepada 8-9 kelab – tetapi tiada satu pun dituju kepada Manchester United kerana menurut beliau ‘saya tak rasa saya ada peluang di Manchester United’.

Beberapa kelab membalas surat Keane. Salah satunya adalah Nottingham Forest yang pada ketika itu dilatih oleh pengurus lagenda tetapi sedang bergelut dengan masalah ketagihan alkohol, Brian Clough.

Membuat Kenny Dalglish marah

Persembahan cemerlang Roy Keane bersama Nottingham Forest terutamanya ketika final FA Cup 1991 (menentang Tottenham Hotspur) menarik minat 2 kelab besar Premier League pada ketika itu – Blackburn Rovers dan Manchester United.

Manchester United hanya mampu menunjuk minat selepas gagal mencapai persetujuan yuran perpindahan dengan Forest.

Blackburn yang ketika itu kaya berjaya mendapat persetujuan Forest. Malah pengurus Blackburn, Kenny Dalglish sendiri sudah berjabat tangan dan mencapai persetujuan verbal dengan Keane.

Tetapi disebabkan persetujuan verbal tersebut dicapai pada malam hari Jumaat, Blackburn perlu menunggu sehingga hari Isnin sebelum dapat tanda tangan Roy Keane.

Pada hari Sabtu, Roy Keane balik ke Ireland. Pada hari Ahad, beliau mendpaat panggilan daripada Manchester United. Pada hari Isnin, Roy Keane menandatangani kontrak dengan Manchester United.

Kenny Dalglish hanya mampu mengamuk di pejabatnya apabila mendengar berita Roy Keane memungkiri janjinya pada hari Isnin itu.

Insiden panas di atas (dan luar) padang

Peminat bola sepak Premier League era 90-an pasti teringat insiden Roy Keane:

1) bertikam lidah dengan Patrick Vieira di terowong Highbury Stadium sebelum masuk padang

Ketika United melawat Highbury untuk menentang Arsenal pada 2005, pengadil Graham Poll terpaksa menenangkan Keane yang dilihat sedang bertikam mulut dengan Patrick Vieira di terowong stadium sebelum perlawnaan bermula.

Menurut Keane:

“Saya bukannya nak bergaduh sangat dengan beliau (Vieira). Saya cuma nak mempertahankan Gary Neville.”

“Saya cuma berminat bertarung menentang Patrick (Vieira) di atas padang saja. Sama seperti saya bertarung menentang Gerrard dan Lampard. Atau Scholesy dan Butty semasa latihan.”

United menang 4-2 dalam perlawanan tersebut.

2) memijak pertahanan Crystal Palace, Gareth Southgate

Sepanjang perlawanan, Gareth Southgate dilihat cuba menyaingi keagresifan Keane dengan beberapa bentesan keras. Keane membalas provokasi Southgate dengan memijak dadanya.

“Ya, saya mungkin melampau batas dengan memijak beliau. Tapi dia (Southgate) cuba cederakan saya dengan bentesan. Dia cuma dapat kad kuning saja. Zaman sekarang mungkin beliau dah dipenjara 2 bulan dengan bentesan sebegitu.”

“Saya pijak dia kerana saya mahu mempertahankan diri saya.”

tumblr_ma8hlbcFxe1rz1nmdo1_500

3) mencedera dan menamatkan karier pertahanan Manchester City, Alf-Inge Haaland

Pada September 1997 semasa Haaland bermain untuk Leeds United, Keane cuba membentes Haaland yang cuba menghalangnya mendapatkan bola. Keane bukan saja gagal malah mendpaat kecederaan ACL.

3 tahun lebih kemudian ketika Haaland bermain untuk Manchester City, Keane berjaya membalas dendamnya terhadap Haaland dengan menakik lutut kanannya.

“Saya tak menyesal langsung (mencederekan Alf-Inge Haaland). Orang selalu kritik bentesan yang saya lakukan. Tapi tak pernah pun bincangkan bentesan yang saya terima masa final FA Cup 1999 (menentang Newcastle).”

“Bentesan saya terhadap Haaland itu membuatkan saya rugi lebih £400,000 (kos denda).”

Selepas bentesan Keane tersebut, Haaland gagal pulih sepenuhnya hingga terpaksa bersara.

4) bergaduh dengan Mick McCarthy sehingga menarik diri keluar dari skuad Ireland pada Piala Dunia 2002

Insiden Saipan bermula dengan layanan buruk pegawai pengurusan FA Ireland terhadap pemain dari segi padang latihan yang buruk, tempat duduk kapal terbang, diet pemain hinggalah kepada strategi taktikal Mick McCarthy sendiri.

Ini membuatkan kapten Ireland, Roy Keane tak puas hati. Media Ireland yang dapat menghidu ketidakpuasan hati Keane kemudiannya membuat temu ramah dengan Keane bagi meluahkan kemarahannya.

“Saya tak pernah mencari masalah di Saipan (lokasi kem latihan Ireland semasa Piala Dunia 2002). Saya cuma mempertahankan diri saya.”

“Mick McCarthy tuduh saya tak hormat dia. Dia kata, bagaimana awak nak main untuk saya kalau awak tak hormat saya?”

“Saya jawab, OK. Saya takkan main untuk kamu. Tapi saya akan main untuk negara.”

Artikel temu ramah ini disiarkan oleh akhbar The Irish Times. Artikel ini saja membuatkan McCarthy mengamuk dan bergaduh dengan Keane sebelum menghantar kapten pasukannya pulang sebelum kempen Piala Dunia 2002 bermula.

5) mengkritik rakan sepasukan di MUTV sehingga dipecat Sir Alex Ferguson

Selepas Manchetser United tewas 1-4 kepada Middlesbrough, Roy Keane – pemain yang sudah pun berusia 34 tahun dan bukan lagi tulang belakang United – melancarkan serangan verbal kepada pemain United lain di MUTV.

keane mutv

Kritikan Keane ini membuatkan Sir Alex Ferguson tiada pilihan lain selain memecat dan membatalkan kontrak Keane sebagai pemain Manchester United.

Keane kemudiannya berhijrah ke Celtic sebelum bersara pada musim panas 2006.

Persembahan separuh akhir UCL 1999 vs Juventus

Bagi penyokong United, gol Roy Keane pada minit 34′ semasa separuh akhir kedua UEFA Champions League 1999 adalah adalah akar umbi kemenangan trofi Champions League mereka yang pertama.

Ketinggalan 0-2 hasil 2 jaringan awal Filippo Inzaghi, Keane memulakan kebangkitan United dengan menjaringkan gol pertama. United menang 3-2 dan mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Bayern Munich.

Roy-Keane-wheels-away-aft-001

Bagaimanapun Keane tidak dapat bermain dalam final kerana kad kuning yang dikutipnya selepas mejatuhkan Zinedine Zidane.

Keane menyalahkan rakan sepasukan, Jesper Blomqvist kerana melakukan hantaran buruk yang memaksanya melakukan foul.

Tetapi Blomqvist berkeras menyatakan Keane sepatutnya mengawal bola lebih baik – sesuatu yang dipersetujui Keane selepas bersara.

Kesimpulan

Benci atau sayang – imej Roy Keane sebagai jeneral di tengah padang sambil mempertahankan rakan-rakan sepasukannya tidak akan pudar dari ingatan peminat United era 90-an dan awal 2000-an.

Bagi penyokong Arsenal atau seteru United lain pada era yang sama, Roy Keane mungkin berada dalam senarai 10 pemain yang paling dibenci oleh mereka.

Apa yang pasti, mana-mana pemain United yang berada dalam senarai tersebut sebenarnya adalah pemain United yang bagus.

Baca juga: Michael Ballack: Lagenda Yang Disumpah Badi Naib Juara

The post Roy Keane: Jeneral Tengah Manchester United Yang Membuatkan Kenny Dalglish Mengamuk appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA