Juninho Pernambucano: Pemain Yang Mengambil Sepakan Percuma Seperti Sepakan Penalti

Jika anda membesar dengan menonton bola sepak ketika era 2000-an. Pasti anda berasa beruntung bukan?

Mana tidaknya, pada waktu itu kita mempunyai ramai pemain yang merupakan pakar sepakan percuma!

David Beckham, Roberto Carlos antara nama-nama yang cukup hebat mengambil sepakan percuma. Tapi siapa yang teratas diantara semua?

Pastinya lagenda dari Brazil yang merupakan kebangaan Olympique Lyonnais – Juninho Pernambucano.

Raja Cilik Sao Januario

Juninho memulakan karier seniornya pada tahun 1993 di pasukan yang bernama Sport Recife. Di situ, beliau menstabilkan nama di dalam pasukan dengan cukup pantas apabila bermain untuk pasukan pertamanya.

Selepas berjaya membantu Sport Recife memenangi 2 gelaran peringkat wilayah. Juninho dirisik Vasco da Gama untuk menyertai mereka.

Dan pada tahun 1995, Juninho menjadi kebanggaan para peminatnya kerana banyak perkara.

Antaranya kerana sepakan percuma beliau ketika menentang River Plate dalam saingan separuh akhir Copa Libertadores 1998.

Sepakan percuma itu yang membawa mereka perlawanan akhir Copa Libertadores dan kemudiannya menjadi juara pada tahun tersebut.

Jasa beliau terhadap Vasco da Gama terlalu banyak. Sepanjang 6 tahun beliau di sana, Juninho telah membantu kelabnya memperoleh 2 gelaran liga pada 1997 dan 2000.

Selain itu, Juninho telah membantu kelabnya kepada 2 gelaran Amerika Selatan iaitu Copa Libertadores pada tahun 1998 dan Copa Mercosur pada tahun 2000.

Oleh kerana sumbangan yang cukup banyak, Juninho telah menerima nama jolokan iaitu Reizinho de São Januário (Raja Cilik Sao Januario) di atas nama stadium Vasco da Gama iaitu Sao Januario.

Selain itu juga, beliau dikenali sebagai Reizinho da Colina atau Raja Cilik di Rimba yang merujuk kepada gelaran Vasco da Gama iaitu Rimba (The Hill).

Lagenda Olympique Lyonnais

Juninho tiba di Perancis untuk bersama Olympique Lyonnais pada 2001 dan ternyata kehadiran beliau telah mengubah segala-galanya mengenai nasib Olympique Lyonnais.

Jika diikutkan rekod, Olympique Lyonnais merupakan kelab yang tidak pernah menjulang gelaran Ligue 1 sebelum kehadiran Juninho.

Namun selepas kehadiran beliau, kelab tersebut telah berjaya merangkul 7 gelaran Ligue 1. Dan ia dilakukan secara 7 kali berturut-turut!

Di Perancis, beliau telah mengumumkan nama beliau ke dunia bola sepak sedunia. Juninho dikenali sebagai pemain yang sering membantu pasukan untuk mendapatkan gol menerusi hantara-hantaran beliau.

Dan yang paling penting, beliau merupakan pemain yang terkenal dengan kebolehan mengambil sepakan percuma beliau dengan cukup cemerlang.

Beliau dipilih sebagai kapten oleh pengurus Gerard Houlier diatas kebolehan beliau memimpin pasukan. Dan selepas 8 tahun bersama Olympique Lyonnais, Juninho pergi meninggalkan kelab selepas kontrak beliau tamat pada Mei 2009.

Karier selepas Olympique Lyonnais

Selepas beraksi di liga Perancis. Juninho berpindah ke Timur Tengah untuk bersama dengan Al-Gharafa di Qatar.

Di sana, beliau berjaya memimpin pasukannya memenangi gelaran liga, Qatari Stars Cup dan Qatari Crown Prince Cup.

Oleh kerana persembahan beliau yang cemerlang, Juninho telah dipilih sebagai pemain terbaik tahunan untuk Liga Qatar.

Selepas itu, Juninho kembali ke Brazil untuk bersama dengan Vasco da Gama untuk kali kedua.

Beliau menjaringkan gol pertama beliau di karier kedua beliau bersama dengan Vasco da Gama pada perlawanan pertama beliau.

Juninho kemudiannya menjaringkan beberapa lagi jaringan sepakan percuma yang sinonim dengan beliau. Antaranya ketika menentang Corinthians dan Bahia.

Pada 2013, Juninho kemudiannya menerima tawaran untuk beraksi di Major League Soccer (MLS) bersama New York Red Bulls.

Namun begitu, jodoh beliau di MLS tidak lama. Hal ini kerana, selepas 6 bulan bersama Juninho dan New York Red Bulls mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak beliau.

Kelab terakhir yang diwakili Juninho adalah Vasco da Gama. Dalam karier ketiga beliau bersama kelab tersebut, Juninho mempunyai misi untuk menyelamatkan kelab tersebut dari tersingkir dari Serie A Brazil.

Namun begitu, usaha beliau untuk membantu pasukannya terselamat dari disingkirkan ke divisyen 2 berkecai apabila pasukannya menjadi sebahagian daripada 4 pasukan yang terpaksa disingkirkan dari Serie A Brazil untuk musim 2013.

Selepas tersingkir ke liga bawahan, Juninho kemudiannya mengambil keputusan untuk bersara dari bermain bola sepak.

Karier bersama Brazil

Bersama pasukan Brazil, Juninho tidaklah mempunyai karier yang gemilang seperti rakan-rakan lain seperti Ronaldhino ataupun Ronaldo.

Hal ini kerana beliau hanya mempunyai cuma 3 gelaran sahaja di peringkat antarabangsa iaitu Touloun Cup pada tahun 1995, Piala Konfederasi FIFA pada 2005 dan Lunar New Year Cup juga pada 2005.

Lebih malang, beliau pernah disisihkan dari menyertai skuad Copa America Brazil untuk edisi kejohanan 2004.

Apa yang menarik mengenai karier antarabangsa beliau, Juninho pernah bermain di 2 perlawanan berbeza dalam 1 hari.

Hal ini terjadi pada 7 September 1999 di mana di Brazil, beliau bermain 15 minit di separuh masa kedua untuk pasukan Brazil ketika menentang Uruguay.

Selepas perlawanan, beliau terus terbang ke Montevideo di Uruguay untuk bersama-sama kelabnya, Vasco da Gama untuk perlawanan Copa Mercosur menentang Nacional.

Raja sepakan percuma

Tidak terlalu keterlaluan untuk penulis katakan Juninho merupakan pemain paling cemerlang dalam mengambil sepakan percuma sepanjang zaman.

Hal ini kerana sebelum Cristiano Ronaldo terkenal dengan teknik sepakan percuma knuckleball, beliau sudah pun menggunakan teknik tersebut.

Teknik tersebut ternyata banyak membantu beliau untuk menjaringkan banyak gol dari situasi bola mati. Ia juga membolehkan beliau untuk menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dari jarak yang jauh.

Rekod beliau cukup cemerlang, di Olympique Lyonnnais sahaja beliau sudah menjaringkan 44 gol sepakan percuma.

Secara keseluruhan beliau menjaringkan 75 gol dari sepakan percuma – terbanyak diantara pakar sepakan percuma yang lain.

Itulah kisah Juninho si pakar sepakan percuma dari Brazil. Kata orang, beliau mengambil sepakan percuma seperti mengambil sepakan penalti.

Benar apa yang orang katakan itu. Buktinya? Lihat gol beliau ketika menentang Barcelona ini!

Baca juga: Shunsuke Nakamura: Raja Sepakan Percuma Dari Jepun

The post Juninho Pernambucano: Pemain Yang Mengambil Sepakan Percuma Seperti Sepakan Penalti appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA