Roy Keane: Jeneral Tengah Manchester United Yang Membuatkan Kenny Dalglish Mengamuk

Roy Keane: kapten Manchester United. Pemenang 7 kejuaraan Premier League, 4 trofi FA Cup, 1 trofi UEFA Champions League dan Intercontinental Cup.

Bagi penyokong pasukan selain Manchester United, Roy Keane adalah watak yang sangat berpolarisasi – sama ada anda sukakannya atau bencikannya. Jarang-jarang ada penyokong bola sepak yang mempunyai pendapat neutral terhadapnya.

Kerja sambilan ketika muda

Karier bola sepak Roy Keane bermula di Cobh Ramblers – sebuah kelab Ireland yang baru dipromosi ke Ireland First Division – pada musim 1989/1990.

Hanya ditawar kontrak remaja, Keane terpaksa membuat beberapa kerja sambilan. Antaranya kerja menghantar beg simen dari kilang ke tapak pembinaan semasa umurnya 16 dan 17 tahun. Menurut Keane:

“Kerja itu taklah teruk sangat. Tapi ia membuatkan saya lebih berazam untuk menjadi pemain bola sepak profesional. Saya tak mahu kerja angkut beg simen sampai tua.”

Tak rasa cukup bagus untuk Manchester United

Menulis surat kepada kelab-kelab bola sepak adalah tradisi pemain muda tanpa ejen pada era 80 dan 90-an. Itulah yang dilakukan oleh Roy Keane.

Keane menulis surat kepada 8-9 kelab – tetapi tiada satu pun dituju kepada Manchester United kerana menurut beliau ‘saya tak rasa saya ada peluang di Manchester United’.

Beberapa kelab membalas surat Keane. Salah satunya adalah Nottingham Forest yang pada ketika itu dilatih oleh pengurus lagenda tetapi sedang bergelut dengan masalah ketagihan alkohol, Brian Clough.

Membuat Kenny Dalglish marah

Persembahan cemerlang Roy Keane bersama Nottingham Forest terutamanya ketika final FA Cup 1991 (menentang Tottenham Hotspur) menarik minat 2 kelab besar Premier League pada ketika itu – Blackburn Rovers dan Manchester United.

Manchester United hanya mampu menunjuk minat selepas gagal mencapai persetujuan yuran perpindahan dengan Forest.

Blackburn yang ketika itu kaya berjaya mendapat persetujuan Forest. Malah pengurus Blackburn, Kenny Dalglish sendiri sudah berjabat tangan dan mencapai persetujuan verbal dengan Keane.

Tetapi disebabkan persetujuan verbal tersebut dicapai pada malam hari Jumaat, Blackburn perlu menunggu sehingga hari Isnin sebelum dapat tanda tangan Roy Keane.

Pada hari Sabtu, Roy Keane balik ke Ireland. Pada hari Ahad, beliau mendpaat panggilan daripada Manchester United. Pada hari Isnin, Roy Keane menandatangani kontrak dengan Manchester United.

Kenny Dalglish hanya mampu mengamuk di pejabatnya apabila mendengar berita Roy Keane memungkiri janjinya pada hari Isnin itu.

Insiden panas di atas (dan luar) padang

Peminat bola sepak Premier League era 90-an pasti teringat insiden Roy Keane:

1) bertikam lidah dengan Patrick Vieira di terowong Highbury Stadium sebelum masuk padang

Ketika United melawat Highbury untuk menentang Arsenal pada 2005, pengadil Graham Poll terpaksa menenangkan Keane yang dilihat sedang bertikam mulut dengan Patrick Vieira di terowong stadium sebelum perlawnaan bermula.

Menurut Keane:

“Saya bukannya nak bergaduh sangat dengan beliau (Vieira). Saya cuma nak mempertahankan Gary Neville.”

“Saya cuma berminat bertarung menentang Patrick (Vieira) di atas padang saja. Sama seperti saya bertarung menentang Gerrard dan Lampard. Atau Scholesy dan Butty semasa latihan.”

United menang 4-2 dalam perlawanan tersebut.

2) memijak pertahanan Crystal Palace, Gareth Southgate

Sepanjang perlawanan, Gareth Southgate dilihat cuba menyaingi keagresifan Keane dengan beberapa bentesan keras. Keane membalas provokasi Southgate dengan memijak dadanya.

“Ya, saya mungkin melampau batas dengan memijak beliau. Tapi dia (Southgate) cuba cederakan saya dengan bentesan. Dia cuma dapat kad kuning saja. Zaman sekarang mungkin beliau dah dipenjara 2 bulan dengan bentesan sebegitu.”

“Saya pijak dia kerana saya mahu mempertahankan diri saya.”

tumblr_ma8hlbcFxe1rz1nmdo1_500

3) mencedera dan menamatkan karier pertahanan Manchester City, Alf-Inge Haaland

Pada September 1997 semasa Haaland bermain untuk Leeds United, Keane cuba membentes Haaland yang cuba menghalangnya mendapatkan bola. Keane bukan saja gagal malah mendpaat kecederaan ACL.

3 tahun lebih kemudian ketika Haaland bermain untuk Manchester City, Keane berjaya membalas dendamnya terhadap Haaland dengan menakik lutut kanannya.

“Saya tak menyesal langsung (mencederekan Alf-Inge Haaland). Orang selalu kritik bentesan yang saya lakukan. Tapi tak pernah pun bincangkan bentesan yang saya terima masa final FA Cup 1999 (menentang Newcastle).”

“Bentesan saya terhadap Haaland itu membuatkan saya rugi lebih £400,000 (kos denda).”

Selepas bentesan Keane tersebut, Haaland gagal pulih sepenuhnya hingga terpaksa bersara.

4) bergaduh dengan Mick McCarthy sehingga menarik diri keluar dari skuad Ireland pada Piala Dunia 2002

Insiden Saipan bermula dengan layanan buruk pegawai pengurusan FA Ireland terhadap pemain dari segi padang latihan yang buruk, tempat duduk kapal terbang, diet pemain hinggalah kepada strategi taktikal Mick McCarthy sendiri.

Ini membuatkan kapten Ireland, Roy Keane tak puas hati. Media Ireland yang dapat menghidu ketidakpuasan hati Keane kemudiannya membuat temu ramah dengan Keane bagi meluahkan kemarahannya.

“Saya tak pernah mencari masalah di Saipan (lokasi kem latihan Ireland semasa Piala Dunia 2002). Saya cuma mempertahankan diri saya.”

“Mick McCarthy tuduh saya tak hormat dia. Dia kata, bagaimana awak nak main untuk saya kalau awak tak hormat saya?”

“Saya jawab, OK. Saya takkan main untuk kamu. Tapi saya akan main untuk negara.”

Artikel temu ramah ini disiarkan oleh akhbar The Irish Times. Artikel ini saja membuatkan McCarthy mengamuk dan bergaduh dengan Keane sebelum menghantar kapten pasukannya pulang sebelum kempen Piala Dunia 2002 bermula.

5) mengkritik rakan sepasukan di MUTV sehingga dipecat Sir Alex Ferguson

Selepas Manchetser United tewas 1-4 kepada Middlesbrough, Roy Keane – pemain yang sudah pun berusia 34 tahun dan bukan lagi tulang belakang United – melancarkan serangan verbal kepada pemain United lain di MUTV.

keane mutv

Kritikan Keane ini membuatkan Sir Alex Ferguson tiada pilihan lain selain memecat dan membatalkan kontrak Keane sebagai pemain Manchester United.

Keane kemudiannya berhijrah ke Celtic sebelum bersara pada musim panas 2006.

Persembahan separuh akhir UCL 1999 vs Juventus

Bagi penyokong United, gol Roy Keane pada minit 34′ semasa separuh akhir kedua UEFA Champions League 1999 adalah adalah akar umbi kemenangan trofi Champions League mereka yang pertama.

Ketinggalan 0-2 hasil 2 jaringan awal Filippo Inzaghi, Keane memulakan kebangkitan United dengan menjaringkan gol pertama. United menang 3-2 dan mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Bayern Munich.

Roy-Keane-wheels-away-aft-001

Bagaimanapun Keane tidak dapat bermain dalam final kerana kad kuning yang dikutipnya selepas mejatuhkan Zinedine Zidane.

Keane menyalahkan rakan sepasukan, Jesper Blomqvist kerana melakukan hantaran buruk yang memaksanya melakukan foul.

Tetapi Blomqvist berkeras menyatakan Keane sepatutnya mengawal bola lebih baik – sesuatu yang dipersetujui Keane selepas bersara.

Kesimpulan

Benci atau sayang – imej Roy Keane sebagai jeneral di tengah padang sambil mempertahankan rakan-rakan sepasukannya tidak akan pudar dari ingatan peminat United era 90-an dan awal 2000-an.

Bagi penyokong Arsenal atau seteru United lain pada era yang sama, Roy Keane mungkin berada dalam senarai 10 pemain yang paling dibenci oleh mereka.

Apa yang pasti, mana-mana pemain United yang berada dalam senarai tersebut sebenarnya adalah pemain United yang bagus.

Baca juga: Michael Ballack: Lagenda Yang Disumpah Badi Naib Juara

The post Roy Keane: Jeneral Tengah Manchester United Yang Membuatkan Kenny Dalglish Mengamuk appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Barcelona, Juventus & Bayern Sokong Idea UEFA Super League, Penyokong Dortmund Mengamuk

Bola sepak Eropah sedang diancam oleh kerakusan sistem ekonomi kapitalisme jika idea UEFA Super League dipertimbangkan secara serius oleh UEFA.

Itulah kesimpulan kami selepas membaca minat Barcelona, Juventus dan Bayern Munich terhadap cadangan idea penubuhan liga berskala Eropah untuk menggantikan format Champions League dan Europa League ketika ini.

Apa itu UEFA Super League?

UEFA Super League adalah sebuah liga yang menghimpunkan kelab-kelab besar Eropah untuk bertanding merebut takhta juara Eropah.

Idea ini dikemukakan oleh Stephen Ross (gambar bawah) dan Charlie Stillitano, rakan niaga dan juga merupakan billionaire dari Amerika Syarikat dengan nilai kekayaan £3 bilion.

Mereka juga merupakan pemilik kelab bola sepak Amerika di NFL, Miami Dolphins.

Menurut cadangan mereka, format liga ini bakal menggantikan format Champions League dan Europa League yang mempunyai pusingan kalah mati.

Liga ini tidak akan mempunyai sistem penyingkiran dan promosi. Jadi ia akan dianggotai secara tetap oleh kelab-kelab besar Eropah.

Dalam erti kata lain, formatnya sama seperti model liga bola sepak Amerika, NFL di Amerika Syarikat (gambar bawah) atau liga bola keranjang Eropah, FIBA Euroleague.

Kelab-kelab Eropah yang dipilih untuk masuk liga ini perlu mematuhi syarat-syarat berikut:

  • mempunyai kejayaan di peringkat domestik,
  • mempunyai sejarah kelab yang unik (pernah menang banyak trofi)
  • mempunyai jumlah penyokong global yang ramai.

Ini bermakna jika Leicester City menjuarai liga England, mereka tetap tidak akan dijemput masuk ke liga ini kerana mereka tidak menepati syarat kedua dan ketiga.

Ketika ini, Stephen Ross dan Charlie Stillitano sudah berjumpa dengan ketua-ketua pengarah eksekutif Manchester United, Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool untuk mengemukakan idea ini.

Mereka masih belum berjumpa dengan bos-bos kelab Eropah lain. Tetapi akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung dan La Vanguardia melaporkan Barcelona, Juventus dan Bayern Munich menyokong idea liga ini.

Apa yang terjadi kepada liga domestik?

Menurut laporan Football Espana, Stephen Ross dan Charlie Stillitano mencadangkan setiap anggota UEFA Super League menyediakan pasukan ‘A’ dan ‘B’ supaya mereka dapat bertanding dalam liga domestik juga.

Mereka mencadangkan pasukan A bermain di UEFA Super League dan pasukan B bermain dalam liga domestik masing-masing.

Penyokong Dortmund mengamuk

Belum pun idea liga ini dibincangkan secara serius, ia sudah pun menerima penentang pertama iaitu penyokong Borussia Dortmund.

Ketika perlawanan Europa League menentang Tottenham Hotspur awal pagi tadi (waktu Malaysia), penyokong Dortmund mempamerkan banner protes yang bertulis:

“UEFA Super League? Shut the fuck up!”

Mengapa idea UEFA Super League perlu ditentang?

Bagi kami, idea menubuhkan liga ini untuk menggantikan format Champions League dan Europa League merupakan idea yang buruk dan perlu ditentang kerana ia merosakkan bola sepak.

Liga ini bukan saja bakal merosakkan semangat kompetitif liga domestik (kerana pasukan besar Premier League hanya akan diwakili oleh pasukan B mereka), malah ia menggalakkan sifat elitism di kalangan kelab-kelab besar.

Paling teruk, syarat masuk ke UEFA Super League tidak berdasarkan semangat meritokrasi.

Ini bermakna jika kelab ‘kecil’ seperti Leicester City menjadi juara liga domestik, mereka tetap tidak akan diajak masuk ke UEFA Super League kerana fanbase mereka masih kecil berbanding fanbase Manchester United, Menchester City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool.

Jika liga ini dilaksanakan, anda boleh ucapkan selamat tinggal kepada cerita-cerita ‘David mengalahkan Goliath’ atau kisah pasukan underdog yang mengalahkan pasukan pilihan.

Dari segi kewangan, jurang kekayaan pasukan besar dengan pasukan kecil akan menjadi semakin besar.

Sedangkan dalam format sedia ada pun, polarisasi kekayaan ini sudah berlaku. Apatah lagi bila UEFA Super League menajdi kenyataan nanti.

Ketika ini UEFA menegaskan mereka masih belum membincangkan idea penubuhan UEFA Super League secara serius lagi.

Baca juga: Bagaimana Penyokong Hearts Menghalau Keluar Pengurusan Kelab Yang Bangsat

The post Barcelona, Juventus & Bayern Sokong Idea UEFA Super League, Penyokong Dortmund Mengamuk appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Mengapa Penyokong Leeds United Mengamuk Terhadap Pemilik Kelab Mereka?

Segalanya serba tak menjadi buat Leeds United sejak dilanda krisis kewangan dan tersingkir daripada Premier League pada awal 2000-an.

Selepas penyingkiran dari Premier League, Leeds mengalami episod turun naik antara Championship (liga kedua England) dan Football League 1 (liga ketiga England).

Kini di Championship, episod suram Leeds belum berakhir.

Kali ini, mereka sedang menghadapi masalah apabila penyokong Leeds melancarkan kempen menghalau keluar pemilik kelab mereka, Massimo Cellino.

Ketika perlawanan Leeds menentang Middlesbrough di Elland Road, sebuah kumpulan penyokong Leeds yang anti-Cellino memancarkan 3 imej besar ke dinding stadium untuk menyampaikan mesej mereka.

leeds cellino 1

Menurut mereka, penyokong Leeds letih melihat nama kelab mereka menerima aib dek kerana imej buruk dan kontroversi pemilik kelab mereka.

leeds cellino 2

Tidak cukup dengan itu, mereka juga memberi 17 sebab mengapa penyokong Leeds mahu Cellino ‘berambus’ dari Leeds.

leeds cellino 3

Dalam artikel ini, kami akan cuba menjelaskan kepada anda cerita di sebalik 17 sebab yang diberi oleh penyokong Leeds ini, satu demi satu dan seringkas yang mungkin.

1. Cukai pai (pie tax)

Berang dengan kritikan anti-Cellino yang lantang terutamanya daripada penyokong Leeds yang menonton perlawanan dari South Stand, Cellino mewajibkan mereka membayar tambahan £5 hanya untuk duduk di South Stand.

Ini bermakna untuk duduk di South Stand, penyokong Leeds perlu membayar £32. Dan mereka boleh menggunakan tiket mereka untuk mendapatkan pai dan minuman panas.

Sebelum ini, bayaran tambahan £5 tidak diwajibkan untuk penyokong yang tak mahukan pai dan minuman panas. Tetapi kini, bayaran tambahan itu diwajibkan jika anda mahu duduk di South Stand.

Ironiknya, harga tiket di North Stand kekal pada harga £27.

2. Insiden 31 Januari 2014

Ini merupakan insiden awal yang membuatkan penyokong Leeds tidak menyukai Cellino. Pada tarikh tersebut, Brian McDermott – pengurus pasukan pada ketika itu – dipecat oleh Cellino.

Ketika memecat McDermott, Cellino belum disahkan oleh Football League sebagai pemilik kelab Leeds pun!

3. David Hockaday

Selepas membuang McDermott, Cellino membuat kejutan dengan memilih David Hockaday sebagai pengganti.

Apa yang membuatkan penyokong Leeds marah adalah pengalaman cetek Hockaday yang sebelum ini mengurus Forest Green, sebuah kelab amatur di England.

Selepas hanya 6 perlawanan, Hockaday dipecat selepas hanya mampu menang 2 daripada 6 perlawanan.

4. Kegagalan membeli semula Elland Road

Antara janji Cellino kepada penyokong ketika mengambil alih Leeds adalah, untuk membeli semula Elland Road supaya ia menjadi hak milik mutlak Leeds United.

Beliau berjanji untuk membelinya pada bulan November 2014. Namun usahanya gagal selepas gagal mendapatkan dana yang cukup walaupun selepas menjual kapten dan penyerang utama, Ross McCormack.

5. Tembikai

Selepas menyingkirkan Hockaday, Cellino membandingkan pengurus dengan buah tembikai. Ini kerana beliau menyesal atas keputusan melantik Hockaday sebagai pengurus.

“Pengurus ibarat tembikai, kita perlu belah dahalu baru tahu isinya.”

6. Terry George

Terry George merupakan seorang pemilik kelab malam gay dan pengasas pertandingan Mr Gay UK. Selain itu, beliau juga merupakan kawan baik Cellino.

Apabila diminta oleh Cellino untuk mengarah sesi fotografi kalendar Leeds United, George mengundang rasa marah penyokong Leeds dengan hasil kerjanya yang pelik.

Lewis Cook dilihat hanya memakai seluar pendek dan but bola sahaja. Manakala Marco Silvestri pula hanya memakai seluar dalam sambil berbaring di gol.

2EBB9CBB00000578-3332028-image-a-11_1448377536235 2EC5152600000578-3332028-image-a-13_1448377554732 2EC4F52900000578-3332028-image-a-4_1448376802359

7. Andrew Umbers

Andrew Umbers merupakan pengerusi ahli lembaga pengarah Leeds United. Ketika Cellino digantung oleh Football League kerana terlibat dalam kes mengelak cukai di Itali, Umbers bertanggungjawab mengurus operasi Leeds United.

Namun selepas tamat tempoh penggantungan, Cellino menamakan dirinya sebagai pengerusi ahli lembaga pengarah Leeds United dan menurunkan pangkat Umbers.

Umbers terus meletak jawatan.

8. Edgar Cani

Edgar Cani diingati sebagai pinjaman terburuk Leeds.

Ketika mereka sedang menghadapi krisis penyerang, Leeds meminjam beliau (atas cadangan Cellino) dari kelab Catania yang bermain Serie B di Itali, walaupun pengurus pasukan, Neil Redfearn mahukan penyerang yang ada pengalaman bermain di England.

Pemain yang menerima jolokan “Steve Morrison Albania” ini hanya bermain 52 minit sahaja dan gagal menjaringkan sebarang gol.

9. Sam Byram 

Penyokong Leeds berang dengan Cellino selepas Sam Byram dijual kepada West Ham pada Januari 2016.

Dengan pemain muda lain seperti Alex Mowatt dan Lewis Cook yang juga menarik perhatian kelab Premier League, penyokong Leeds jelas tak mahu aset kelab mereka (seperti Sam Byram) dijual sewenang-wenangnya.

10. Neil Redfearn

Walaupun pernah membantu Leeds mengelak zon penyingkiran Championship pada musim 2014/2015, Neil Redfearn dipecat oleh Cellino kerana menurut Cellino:

“Redfearn menyebabkan peminat bencikan saya”.

Kepopularan Redfearn terhadap penyokong Leeds tak dapat disangkal lagi selepas beliau bertanggungjawab melahirkan Sam Byram, Alex Mowatt dan Lewis Cook, hasil kerjanya di akademi Leeds. Malah beliau juga selalu membuat ‘Leeds Salute’ (gambar bawah).

neil redfearn

11. Sick note 6

Sick note 6 merujuk kepada 6 pemain Leeds – kesemuanya dibawa oleh Cellino – yang menarik diri pada saat terakhir atas alasan ‘kecederaan’ dan ‘tak cergas’ ketika Leeds memerlukan servis mereka untuk menentang Charlton Athletic.

6 pemain tersebut ialah Marco Silvestri, Dario del Fabro, Mirco Antenucci, Giuseppe Bellusci, Souleymane Doukara dan Edgar Cani. Leeds tewas 2-1 dalam perlawanan tersebut.

12. Darko Milanic

Darko Milanic diingati penyokong Leeds kerana menjadi antara pengurus paling teruk pernah dimiliki Leeds United.

Dilantik oleh Cellino sebagai pengganti David Hockaday, Milanic dipecat hanya selepas 6 perlawanan (seri 3, kalah 3).

13. Mengelak cukai

Pada awal tahun 2015, Cellino sekali lagi mencipta nama di muka depan akhbar UK selepas Football League mendapati beliau mempunyai kes mengelak cukai di Itali.

Cellino digantung oleh Football League dan status pemilikannya digantung.

14. Steve Thompson

Sebagai pembantu Neil Redfearn yang menaikkan Leeds dari zon penyingkiran ke tempat ke-10 liga Championship pada musim 2014/2015, Steve Thompson juga disayangi penyokong Leeds.

Namun entah kenapa, Thompson dipecat tanpa sebab oleh Pengarah Sukan yang dilantik oleh Cellino. Sehingga kini Thompson masih tak tahu apa punca beliau dipecat.

15. “Touch Da Breast”

Leeds Salute adalah tradisi penyokong Leeds, tetapi dilihat sebagai simbol anti-Cellino oleh Cellino.

Dalam satu sidang akhbar, Cellino ‘meroyan’ dengan berkata tradisi Leeds Salute tak bermakna apa-apa jika penyokong Leeds tidak membeli season ticket.

“Kalau anda sayang Leeds, belilah season ticket. Apa gunanya buat benda ini (Leeds Salute)? Saya pun boleh ‘touch da breast’.”

Video ‘touch da breast’:

16. Eduardo dan Ercole Cellino

Eduardo dan Ercole Cellino adalah anak Cellino dan juga merupakan ahli lembaga pengarah di Leeds United.

Mereka dikecam atas pengurusan yang teruk serta pelbagai masalah yang melanda di kelab tersebut.

17. Heptadecaphobia

Sebagai pesakit heptadecaphobia, Cellino mempunyai fobia dan ketakutan melampau terhadap nombor 17.

Ini menyebabkan penggunaan jersi Leeds bernombor 17 (sebelum ini dipakai oleh Mark Brown) ditamatkan. Cellino juga bertanggungjawab menukar nombor 17 kerusi stadium kepada 16B.

Dalam buku program perlawanan Leeds isu ke-17 yang diterbitkan pada 6 Februari 2016 lepas, nombor 17 ditukar kepada 16B.

30DEDE4600000578-3431395-image-a-2_1454582983668

Atas sebab ini jugalah, penyokong Leeds senagaja mengeluarkan 17 sebab mengapa Cellino perlu keluar dari Leeds. Ia adalah untuk menakutkan Cellino.

Baca juga: Kerana Kawan, Lelaki Ini Sanggup Melupakan Leeds & Mula Menyokong Arsenal

The post Mengapa Penyokong Leeds United Mengamuk Terhadap Pemilik Kelab Mereka? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA