4 Sebab Mengapa Wayne Rooney Perlu Meninggalkan Manchester United

1. Kemerosotan prestasi

Ia bukanlah perkara yang mengejutkan apabila melihat kemerosotan kualiti permainan Wayne Rooney selepas karier hampir 14 tahun dan lebih 600 perlawanan kompetitif bersama Everton, Manchester United dan England.

Rooney boleh dikatakan matang secara fizikal pada usia remaja.

Ketika majoriti karier pemain Eropah sepertinya bermula pada usia awal 20-an, karier Rooney bermula pada usia 16 tahun di Everton. Pada usia itu, fizikal Rooney sudah mampu bersaing dengan pemain skuad utama.

Lihat saja statistik musim pertama beliau dalam Premier League. Ketika usianya baru menginjak umur 17 tahun, Rooney telah bermain 33 perlawanan liga dan menjaringkan 6 gol.

Kini berusia 30 tahun, Rooney kini bukan lagi pemain yang memberikan peminat Manchester United (dan England) keterujaan yang sama seperti yang pernah mereka saksikan sejak 13 tahun lepas.

Ya. Sejak 3 musim lepas (sejak persaraan Sir Alex Ferguson), Manchester United secara keseluruhannya mengalami kemerosotan. Ini membuatkan penyokong United hilang sedikit keterujaan terhadap pasukan.

Tetapi apabila persembahan Rooney turut merosot, ia hanya menambah garam ke luka pasukan dan penyokong United.

Beliau kelihatan sudah kehilangan kuasa pecutan larian 10 ela yang pernah dimilikinya ketika musim 2009/2010.

Paling tak boleh diterima, beliau juga sudah mula mudah kehilangan bola ketika United mahu mengatur serangan. Ironinya pada satu ketika dulu, Sir Alex Ferguson gemar memberi posisi midfield kepadanya kerana beliau jarang hilang bola apabila diasak.

Rooney kini bukan lagi penyerang yang boleh diharapkan untuk menyumbang sekurang-kurangnya 15 gol semusim seperti dahulu.

2. Tiada apa yang perlu dibuktikan

Sejak menyertai United pada tahun 2004 dengan nilai £30 juta (nilai perpindahan termahal di dunia untuk pemain bawah-20 pada ketika itu), pelbagai kejuaraan dan rekod telah di capai oleh Wayne Rooney.

Dengan 5 kejuaraan Premier League, 1 trofi UEFA Champions League, 1 trofi FIFA Club World Cup, 2 trofi League Cup dan 3 trofi Community Shield, Rooney telah merasai semuanya (kecuali FA Cup).

Untuk anugerah individu, hampir semua anugerah individu yang penting telah beliau menangi kecuali Ballon D’ Or.

Dengan jumlah jaringan 244 gol untuk United, Rooney hanya memerlukan 5 gol saja lagi untuk menyamai rekod jaringan terbanyak kelab yang dipegang oleh lagenda Sir Bobby Charlton.

Selain 5 gol untuk memecah rekod Sir Bobby Charlton, apa lagi motivasi Rooney untuk bermain di United?

3. Kehadiran penyerang baru musim hadapan

Selain Rooney, Manchester United tiada penyerang berpengalaman. Ini menguatkan lagi khabar angin tentang United yang akan menandatangani seorang lagi penyerang baru yang berpengalaman pada musim hadapan.

Antara calon utama adalah Zlatan Ibrahimovic yang kelihatan hampir pasti akan meninggalkan PSG selepas tamat kontrak pada musim panas nanti.

Manchester United adalah antara beberapa kelab yang mampu membayar gaji premium Ibrahimovic – walaupun tanpa menjual Rooney.

Ditambah pula dengan faktor Jose Mourinho yang dikhabarkan bakal mengambil alih United bermula musim depan, ia mungkin bakal menguatkan faktor tarikan United kepada penyerang Sweden tersebut.

Bagaimanapun segala teka-teki masa depan Rooney dan kedatangan penyerang baru masih bergantung kepada siapa yang bakal menjadi pengurus United musim baru 2016/2017 nanti.

4. Tidak layak berada dalam kesebelasan utama

Adalah menakjubkan apabila Manchester United yang bergelut untuk menjaringkan gol pada musim ini terpaksa bergantung harap kepada penyerang muda seperti Anthony Martial, Jesse Lingard dan Marcus Rashford untuk menjaringkan gol.

Penyerang muda yang boleh beraksi sebagai pemain no.9 seperti Martial dan Rashford ini memberikan lebih dinamik dan kepantasan kepada struktur jentera serangan United. Inilah yang tidak lagi dapat diberikan oleh Rooney.

Pada ketika ini, adalah tidak adil bagi Rashford (dan peminat United) jika Rooney terus diberikan tempat kesebelasan utama sekembalinya beliau dari kecederaan.

Bahkan jika Rashford tidak diberikan tugas selaku penyerang utama sekali pun, Martial lebih sesuai bermain di posisi itu.

Tetapi Louis van Gaal seorang pengurus pasukan yang pelik.

Jika beliau sanggup meletakkan Ashley Young di posisi penyerang utama semasa kekelahan 0-3 menentang Tottenham Hotspurs semalam, tak mustahil Martial akan dikorbankan ke posisi sayap kiri sekali lagi untuk memberi ruang kepada Rooney.

Jangan salah sangka. Wayne Rooney di Manchester United akan terus kekal dalam ingatan sebagai watak penting dalam siri sejarah kejayaan United. Namun realiti pahit yang peminat United perlu terima adalah – no one is bigger than the club.

Zaman emas Rooney telah berakhir. Dah tiba masa untuk beliau meninggalkan United.

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Zulfo Mahadi, penyokong Manchester United sejak era pertengahan 90-an. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke semuanyabola@gmail.com.

Baca juga: Blackburn Rovers 1994/1995: Juara Yang Dilatih Dalglish, Diketuai Sherwood, Ditunjangi Gandingan SAS

The post 4 Sebab Mengapa Wayne Rooney Perlu Meninggalkan Manchester United appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Mengikut Media Jepun Inilah Sebab Sebenar Wan Zack Meninggalkan FC Ryukyu

pix_gal1

Pada Mac 2013, Wan Zack Haikal menandatangani kontrak 2 tahun bersama kelab FC Ryukyu, yang beraksi di liga divisyen ke-3 di Jepun. Turut mendatangani kontrak adalah Nazirul Naim, pemain Harimau Muda A pada ketika itu, walaupun kontraknya hanya setahun.

Perpindahan dua pemain Malaysia ini menarik minat media tempatan kepada FC Ryukyu.

BHtvAEcCEAEBgYu

Bagaimanapun belum habis kontraknya bersama FC Ryukyu (berbaki setahun), Wan Zack diumumkan menyertai Kelantan pula pada Mac 2014.

Keputusan Wan Zack untuk menyertai Kelantan dan menanmatkan kontraknya di Jepun benar-benar mengecewakan peminat bola sepak tempatan. Ini termasuklah jurulatih Harimau Muda A ketika itu, Ong Kim Swee.

“Dia mempunyai potensi untuk mewakili kelab utama Jepun jika terus mempamerkan peningkatan, tapi malangnya usaha itu sekerat jalan saja,” komen Kim Swee kepada media pada Mac 2014.

Wan Zack mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal selepas dilanda kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) di peha kanannya di pertengahan musim.

Wan-Zack-cedera-lagi

FC Ryukyu mahu terus menggunakan khidmat Wan Zack dan telah sanggup untuk membiayai segala kos perubatan yang dikenakan sehingga pulih sepenuhnya. Namun Wan Zack memilih untuk menyambung rawatan di Malaysia dan memilih untuk menamatkan kontraknya bersama FC Ryukyu.

Komen Wan Zack

zackim
“Terima kasih kepada penyokong, dan semua pihak kelab yang telah memberikan sokongan yang padu kepada saya semasa berada di Okinawa. Ini merupakan pengalaman yang tidak akan saya lupakan dan sebagi seorang pemain bola sepak, ia telah membantu saya untuk menjadi lebih matang.”

“Saya telah memilih untuk menyertai Kelantan selepas berbincang dengan pihak kelab FC Ryukyu. Saya membuat keputusan ini selepas merasakan saya perlu untuk melangkah ke satu aras yang lebih mencabar. “

team
“Dengan perpindahan saya ke pasukan Kelantan FA ini juga saya telah berjaya merapatkan lagi hubungan kedua-dua buah kelab dan saya merasa sangat gembira.”

“Kelantan merupakan tempat asal kedua ibubapa saya, keluarga terdekat juga berada disana dan ini akan memberikan saya semangat dan motivasi untuk kembali pulih dari kecederaan teruk sekarang dan saya akan kembali dengan lebih kuat lagi.”

fc-ryukyu-wan-zack-first-game
“Fokus saya sekarang adalah untuk pulih sepenuhnya dari kecederaan ini dan memberikan aksi serta gol kepada pasukan Kelantan FA. Saya juga berharap dapat kembali menyertai FC Ryukyu sekali lagi dimasa akan datang.”

Komen pengerusi FC Ryukyu, Ryo Shimoji

11046763_855975827803971_7537347609214087901_o
“Saya ingin mengumumkan 2 perkara iaitu Wan Zack Haikal akan menyertai Kelantan FA dan FC Ryukyu telah bersetuju untuk menjalinkan kerjasama yang lebih rapat dengan Kelantan FA.”

“Wan Zack telah mengalami kecederaan yang cukup serius, dan telah kembali ke hospital untuk menjalani rawatan dan rehabilitasi.”

“Namun selepas berbincang lebih lanjut dan atas permintaan beliau sendiri, perpindahan dari FC Ryukyu ke Kelantan FA telah dicapai.”

“Kami menantikan aksi-aksi dari Wan Zack pada musim ini namun sedikit kecewa kerana ianya tidak menjadi kenyataan. Bagaimanapun, kerjasama diantara FC Ryukyu dan Kelantan FA merupakan suatu yang sangat besar maknanya kepada kami.”

“Kami juga berharap dapat terus berkongsi dan mempelajari banyak perkara hasil dari kerjasama ini seperti, perkongsian ilmu bola sepak, pemasaran dan pelbagai lagi bidang terutama dalam bidang pembangunan pemain.”

Kerjasama FC Ryukyu bersama Kelantan

Perpindahan Wan Zack dari FC Ryukyu ke Kelantan ada juga faedahnya. FC Ryukyu mengumumkan kerjasama bersama pasukan Kelantan FA terhadap beberapa perkara seperti di bawah:

  1. Pertukaran ilmu berkaitan bola sepak
  2. Perlawanan persahabatan
  3. Kerjasama dari segi pemasaran
  4. Kem bola sepak di Malaysia / Okinawa

Sumber: Fanpage J League Malaysia

The post Mengikut Media Jepun Inilah Sebab Sebenar Wan Zack Meninggalkan FC Ryukyu appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms: