Pep Guardiola Haramkan Penggunaan Internet Di Padang Latihan, Mahu Pemain Makan Bersama

Umum mengetahui ketegasan Pep Guardiola ketika menguruskan pasukan.

Ketegasan beliau bukanlah ketika hari perlawanan di atas padang namun ketika di padang latihan juga.

Mahu pemain lebih berhubung

Untuk memastikan para pemainnya tidak terlalu melekat dengan telefon pintar masing-masing. Pep telah menetapkan beberapa cara untuk memastikan para pemainnya lebih banyak bercakap apabila bersama berbanding bermain telefon pintar mereka.

Pep telah mengharamkan penggunaan Wi-fi di sesetengah tempat di padang latihan mereka. Serta menyekat jaringan 3G dari memasuki kawasan latihan Manchester City.

Menurut Pablo Zabaleta, Pep berbuat sedemikian adalah untuk menjaga para pemainnya dari asyik leka dengan telefon pintar dan gajet mereka.

pablo-zabaleta-interview-about

“Kami tak boleh menggunakan internet di padang latihan kami. Pep mahu kami bercakap!”

“Kami tak pakai langsung 3G ketika di padang latihan.”

Selain daripada mengharamkan penggunaan internet, Pep juga memaksa para pemainnya untuk makan bersama-sama.

Makan bersama-sama ini perlu dilakukan ketika sesi sarapan dan juga sesi makan tengah hari.

Tindakan Pep ini bertujuan untuk memupuk semangat kekitaan dalam kalangan pemain Manchester City.

Pep juga sebelum ini dilaporkan melakukan beberapa pantang larang yang perlu diikuti oleh para pemain Manchester City.

Antaranya beliau melarang para pemainnya untuk memakan piza selagi mereka bergelar pemain Manchester City dan bekerja di bawah Pep.

Hal ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Claudio Ranieri di Leicester City dimana pengurus Itali itu akan membawa seluruh pasukannya makan piza jika menang perlawanan Premier League.

Selain daripada itu, Pep juga tidak gemar pemain yang mempunyai berat badan berlebihan.

Jika pemain tersebut mengalami berat badan berlebihan, beliau akan disisihkan daripada skuad utama Manchester City.

Perkara ini telah terjadi kepada Samir Nasri pada awal musim ini.

cq9exu-wyaa6fod_1472419992-1

Menikmati saat berkerja bersama Pep

Bagi Zabaleta, beliau sangat menikmati saat-saat bekerja di bawah Pep.

Menurut Zabaleta, Pep ada pengurus yang cukup hebat.

“Anda pasti mahu dan idamkan saat dilatih oleh seorang jurulatih yang terbaik.”

“Dan hari ini saya bekerja dengan seorang jurulatih terbaik dunia.”

“Sebenarnya anda mempelajari pelbagai perkara, terutama cara untuk menghidupkan kehidupan bola sepak anda.”

“Selain dari pengetahuan bola sepaknya, Pep juga terkenal dengan cintannya terhadap bola sepak.”

Pep juga telah memansuhkan arahan untuk semua pemain perlu tinggal di padang latihan sehari sebelum perlawanan di Etihad Stadium.

Baca juga: 11 Larangan ‘Pelik’ Pengurus Eropah Ke Atas Pemain Mereka

The post Pep Guardiola Haramkan Penggunaan Internet Di Padang Latihan, Mahu Pemain Makan Bersama appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Pemain Tengah Box-To-Box: Pemain Paling Lengkap Dalam Padang

Sukar untuk mencari kesempurnaan dalam apa jua bidang. Namun dalam bola sepak, pemain tengah box-to-box mungkin pemain yang paling hampir dengan  label tersebut.

Apa itu pemain tengah box-to-box?

Pemain tengah box-to-box adalah satu istilah yang merujuk kepada pemain tengah (center midfielder) yang terlibat secara aktif dalam:

  • fasa serangan
  • fasa bertahan
  • fasa transisi dari serangan kepada bertahan dan
  • fasa bertahan kepada serangan

Ia juga satu peranan yang digelar carilleros dalam bahasa Argentina yang bermaksud ‘shuttlers’ dalam bahasa Inggeris. Istilah yang kerap digunakan oleh pundits The Guardian, Jonathan Wilson.

Dalam bahasa Melayu, shuttlers mungkin paling hampir ditafsirkan sebagai ‘pemain yang berulang-alik’. Ini kerana pemain ini selalu lari berulang-alik dari kotak penalti sendiri ke kotak penalti pasukan lawan.

Apa itu ‘box’?

Dalam bola sepak, istilah box merujuk kepada zon dalam padang. Dalam bola sepak, Louis van Gaal membahagikan padang kepada 18 zon seperti dalam gambar di bawah.

Jadi konsep box-to-box bermaksud, dari satu zon ke zon yang lain. Contohnya dari zon 5 ke zon 14.

18ZONE_PITCH (1)

Daripada frasa tersebut, kita sudah boleh kaitkan peranan box to box sebagai peranan yang sentiasa bergerak ke semua kawasan di dalam padang.

Ada yang menyifatkan mereka sebagai pemain yang terlibat dalam setiap aksi (every grass) di atas padang.

Sejarah awal peranan box-to-box

Teori 1: Pemain tengah box-to-box berasal dari center half formasi 2-3-5

Asas kepada pembentukan peranan box-to-box ini berasal dari sistem bek tengah (center half) dalam sistem 2-3-5 yang dibangunkan oleh pengurus Preston North End, William Sudell sekitar tahun 1888.

fsudell

Sistem yang mula dibangunkan di Preston North End (gambar atas) ini membawa banyak kejayaan kepada mereka. Termasuk ketika Preston bergelar The Invicibles.

235

Untuk pengetahuan anda, center half adalah pemain tengah di kalangan 3 pemain half back seperti dalam gambar formasi 2-3-5 di atas.

Center half adalah peranan yang berbeza dengan center back hari ini yang bermain dalam model 4-4-2.

Teori 2: Pemain box-to-box lahir dari half back formasi W-M

Hujah kedua adalah pemain tengah box-to-box lahir daripada sistem W-M yang dicipta oleh pengurus Arsenal, Herbert Chapman. Formasi W-M adalah formasi yang dicipta oleh Chapman untuk menewaskan dominasi 2-3-5 dengan pendekatan lebih sistematik.

chao

Dalam sistem W-M Chapman, pemain half back dan inside forward sudah diberikan peranan yang lebih statik. Inside forward tugasnya adalah menyerang. Half back tugasnya bertahan.

Jadi, tidak wujud sifat fleksibiliti dalam sistem WM.

wm

Di antara 2-3-5 ataupun W-M, half back dalam sistem 2-3-5 lebih sesuai untuk dilabel sebagai asas kepada pembentukan sistem pemain tengah box-to-box.

Kelahiran pemain tengah box-to-box

Daripada asas sistem klasik 2-3-5, pengurus England Sir Alf Ramsey mulai memperkenalkan sistem box-to-box dalam formasi 4-4-2 yang diterapkan dalam skuad England yang menjuarai Piala Dunia 1966.

Pada fasa inilah, peranan pemain tengah telah mengalami revolusi. Ketika ini pemain tengah terkenal dengan daya ketahanan (endurance) berbanding skil dan kebolehan teknikal.

Selepas itu, sistem box-to-box telah menjadi asas penting kepada bola sepak Inggeris dan dunia. Hingga ke hari ini bola sepak Inggeris masih antara pusat melahirkan pemain tengah box-to-box.

Namun pada era total football di Belanda dan sistem Arrigo Sacchi di AC Milan, mereka mempopularkan semula pemain tengah yang berskil dan mempunyai kemahiran teknikal tinggi.

Sistem ini perlahan-lahan ‘membunuh’ sistem box-to-box. Dalam artikel Jonathan Wilson di The Guardian, beliau menggariskan isu sistem box-to-box yang semakin pupus dimamah sistem bola sepak moden.

Namun pada hari ini, sistem box-to-box seakan-akan sedang menikmati peningkatan populariti. Ia seiring dengan peningkatan populariti formasi 4-2-3-1, 4-1-4-1 serta 3-5-2 yang menjadi pilihan pengurus-pengurus moden seperti:

  • Jurgen Klopp ( 4-2-3-1 era di Borussia Dortmund dan Liverpool)
  • Jose Mourinho (4-2-3-1 era awal bersama Chelsea)
  • Pep Guardiola (kerap menggunakan 4-2-3-1 atau 4-1-4-1)
  • Antonio Conte (3-5-2 Juventus & Itali)
  • Chris Coleman (3-5-2 Wales),

Pada hari ini, pemain tengah box-to-box adalah pemain yang memegang rekod perpindahan paling mahal dalam sejarah bola sepak dunia iaitu Paul Pogba.

promo299001771

Ini kerana, ramai pakar taktikal moden mula menjadikan pemain tengah box-to-box sebagai senarai yang dikehendaki di dalam pasukan mereka.

Ciri-ciri pemain tengah box-to-box

Seperti yang saya nyatakan di atas, pemain tengah box-to-box adalah pemain yang paling hampir dengan gelaran pemain bola sepak paling lengkap.

Berikut adalah anatara 6 ciri-ciri pemain tengah box-to-box.

1. Mobiliti

Ini adalah ciri-ciri asas. Ia bermaksud pemain box-to-box sentiasa bergerak. Mereka memiliki mobiliti yang tinggi dan sentiasa ingin terlibat dengan semua bahagian di dalam padang.

2. Stamina dan tenaga

Pemain box-to-box biasanya memiliki stamina dan tenaga yang sangat tinggi untuk menampung keperluan mobiliti mereka.

Mereka adalah pemain yang rajin (high work rate) dan sentiasa mahu terlibat dalam semua fasa permainan. Dalam pada masa yang sama, mereka sentiasa memastikan zon utama mereka (tengah) sentiasa terkawal.

3. Kekuatan teknikal

Pemain box-to-box ada kekuatan teknikal yang baik kerana mereka bakal terlibat dalam fasa serangan. Tiada gunanya seseorang pemain box-to-box mempunyai stamina tinggi tetapi lemah menggelecek bola.

4. Kekuatan fizikal

Pemain tengah box-to-box ada kemampuan untuk bersaing secara fizikal. Itulah  yang membezakan mereka dengan pemain no.10 klasik seperti David Silva dan Phillipe Coutinho.

5. Kesedaran taktikal (tactical awareness)

Pemain tengah box-to-box memiliki kesedaran taktikal yang tinggi.

Mereka bijak menilai masa dan ruang ketika menyerang, bertahan dan juga memberikan tekanan kepada lawan (pressing).

6. Ada kemampuan membuat sesuatu yang istimewa

Tidak dinafikan, kemampuan membuat sesuatu yang istimewa merupakan elemen yang dimiliki oleh pemain box-to-box.

Kebolehan mereka untuk membuat rembatan padu dari jarak 35 meter adalah sesuatu yang sinonim bagi mana-mana pemain box-to-box.

Kesimpulan

Rumusannya, pemain tengah box-to-box adalah pemain yang serba boleh dan dinamik di dalam padang.

Mereka sentiasa menjadi pemain idaman ramai jurulatih. Ini kerana mereka ibarat 2 pemain dalam 1 jasad. Ia seperti memberikan tambahan seorang lagi pemain di dalam pasukan.

Dahulu ada nama-nama seperti Steven Gerrard, Frank Lampard, Edgar Davids, Clarence Seedorf, Michael Ballack, Roy Keane, Patrick Vieira, Paul Scholes dan Fabio Rochemback.

Mereka adalah antara nama-nama yang sangat gah bermain dalam peranan ini.

Kini kita ada nama-nama seperti Aaron Ramsey, Jack Wilshere, Paul Pogba, Jordan Henderson, Sami Khedira, Victor Wanyama, Marouane Fellaini, Ivan Rakitic dan Ross Barkley.

Malah Arsene Wenger turut dikhabarkan sedang menukar Granit Xhaka untuk menjadi pemain tengah box-to-box daripada peranan deep lying playmaker yang biasa dimainkannya di Gladbach.

Di dalam liga tempatan, Safiq Rahim adalah contoh terbaik pemain box-to-box dalam era beliau. Contoh lain adalah Brendan Gan, S. Veenod dan Nazmi Faiz.

Baca juga :  Posisi Terbaik Rooney Di England: Penyerang, Box-to-box, No.10 Atau Perancang Utama?

The post Pemain Tengah Box-To-Box: Pemain Paling Lengkap Dalam Padang appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Apakah Zon 14 (Kawasan Paling Berbahaya Di Padang) Dalam Bola Sepak?

Pasukan tempatan seperti JDT pada musim ini adalah antara pasukan yang sedang menikmati hasil daripada sistem taktikal yang berasaskan zon 14.

Persaoalan yang pasti akan anda tanya adalah – apakah itu zon 14?

18 zon dalam padang

Kebiasaanya jurulatih akan membahagikan padang kepada 18 bahagian yang utama dengan pecahan grid 3X6 menikut zon padang.

Rajah di bawah menunjukkan gambaran ringkas pecahan grid zonal tersebut, daripada nombor 1 sehinggalah 18.

zone-14

BfL7oAMCMAATpBA

Berdasarkan gambar di atas, zon 14 adalah zon yang berada di luar kotak penalti. Ia adalah ruang antara 2 pemain pertahanan tengah lawan dan 2 pemain tengah mereka.

Ia turut dikenali sebagai hole, pocket of space atau the golden square.

Ancaman zon 14

Di Eropah, majoriti pasukan mencipta sekitar 50-60% peluang dari zone 14. Dan semua peluang ini boleh menghasilkan sehingga 75% gol pasukan semusim.

Apa yang berbezanya adalah bagaimana pasukan-pasukan Eropah ini memanipulasikan zon ini berdasarkan kekuatan pemain yang mereka ada.

Contohnya hole player (izinkan kami meminjam terma dari permainan PES) seperti David Silva suka berlegar-legar di kawasan ini untuk menerima bola sebelum melakukan ball distribution kepada pemain di kawasan lain.

Wayne Rooney (ketika era Sir Alex Ferguson) pula tidak gemar menerima bola di zon 14. Sebaliknya beliau gemar menyerang dan cuba sampai ke zon 14 untuk melakukan final pass atau penyudah.

Steven Gerrard, Frank Lampard dan Zinedine Zidane pula ketika zaman puncak mereka gemar menerima bola di zon lebih dalam – sama ada di zon 8 atau zon 11.

Dari zon tersebut, larian mereka akan membolehkan mereka sampai di zon 14 sama ada untuk melakukan final pass atau melakukan percubaan jarak jauh.

Sebagai pemain pertahanan, adalah amat sukar untuk menghalang pemain kreatif yang mempunyai bola di zon 14.

Ini kerana mereka berpotensi menarik pertahanan tengah keluar dan akibatnya membuka ruang untuk pemain lain. Jika dibiarkan bebas, mereka boleh membuat percubaan gol pula.

Kehadiran pemain kreatif di zon 14 juga sentiasa menyukarkan organisasi tight man-marking pasukan.

Pertahanan tengah, full back dan defensive midfielder akan tertanya-tanya: siapa yang perlu mengawal pemain ini?

hole

Bagaimana untuk menggunakan zon 14 dengan berkesan?

Pada tahun 2002, sekumpulan saintis  (Horn, R. dan M. Williams) menerbitkan kertas kajian yang bertajuk ‘Attacking in Central Areas: A Preliminary Analysis of Attacking Play in the 2001/2002 F.A. Premiership Season’.

Di muka surat 31 hingga 34 kertas kajian tersebut, Horn et al. mendapati:

  • peluang melakukan assists adalah 4 kali ganda lebih tinggi bagi pasukan yang menyerang dari tengah berbanding dari kawasan sayap.

Dalam erti kata lain, saintis memberitahu jurulatih bola sepak – galakkan pasukan anda menyerang melalui tengah (zon 14) berbanding kawasan sayap.

Selain itu, Horn et al. juga mendapati:

  • secara purata, assist dihasilkan apabila bola hanya berada di zon 14 selama 2.7 saat
  • apabila bola berada di zon 14 lebih dari 8 saat, peluang melakukan shot on target akan hilang

Dalam erti kata lain, saintis memberitahu jurulatih bola sepak – serangan pantas melalui zon 14 adalah kunci kejayaan pasukan.

Testimoni kejayaan zon 14

Selain mempunyai kumpulan pemain-pemain berkualiti, Perancis menikmati zaman kemucak bola sepak mereka pada tempoh tahun 1998-2000 kerana memaksimumkan potensi bahaya Zinedine Zidane di zon 14.

Pada tahun 2000, Horn, R., M. Williams dan A. Grant menerbitkan kertas kajian bertajuk ‘Analysis of France in World Cup 1998 and Euro 2000’.

Di muka surat 40 hingga 43 kertas kajian mereka, Horn et al. mendapati:

  • 81.3% assists Perancis dalam kejohanan Piala Dunia 1998 dan Piala Eropah 2000 dihasilkan melalui hantaran (passes) dari kawasan tengah di luar kotak penalti – dalam erti kata lain, zon 14.

Di Arsenal, kehadiran Dennis Bergkamp di zon 14 sangat penting kepada strategi serangan pasukan.

Pada tahun 1999, M. Williams dan A. Grant menerbitkan satu kertas kajian lain yang bertajuk ‘Analysis of the Final 20 matches played by Manchester United in the 1998-99 season’.

Di muka surat 42 hingga 44, mereka mendapati Manchester United paling banyak membuat assists melalui hantaran dari kawasan tengah.

Penemuan ini agak mengejutkan memandangkan United pada era ini terkenal dengan hantaran lintang cantik David Beckham di sayap kanan dan gelecekan lincah Ryan Giggs di sayap kiri.

Contoh moden 

Beberapa tahun kemudian Sir Alex Ferguson menggunakan Wayne Rooney sebagai false 9 dan Carlos Tevez sebagai pemain di zon 14.

Untuk menambah sengat United di zon 14, beliau menukar posisi Cristiano Ronaldo dari sayap kanan ke sayap kiri – menjadikannya sebagai inside forward yang menyerang zon 14 dari kawasan sayap kiri.

 

Jose Mourinho juga sedar dengan potensi mencipta gol di zon 14. Ketika di Porto, beliau meletakkan Deco di zon ini.

Di Chelsea, beliau menggalakkan Joe Cole, Arjen Robben, Eidur Gudjohnsen dan Frank Lampard untuk menyerang zon ini.

Kini Chelsea mempunyai pemain seperti Oscar, Eden Hazard dan Willian untuk melakukan tugas sama. Arsenal pula mempunyai Mesut Ozil, Alexis Sanchez dan Santi Cazorla.

Realiti zon 14 di Malaysia

Di Malaysia, cuma JDT sahaja yang benar-benar memanfaatkan kelebihan zon 14. Dengan adanya pemain no.10 mereka, Jorge Pereyra Diaz, JDT mudah mencipta peluang dari zon ini.

Tidak cukup dengan Diaz, Safiq Rahim juga gemar menyerang zon 14 dari zon 8. Begitu juga dengan Amirul Hadi.

Pemain sayap mereka juga gemar melakukan narrowing dan menyerang zon 14 berbanding berlari ke byline untuk melakukan hantaran lintang.

Tambah memudahkan JDT adalah apabila pasukan-pasukan tempatan yang lain gagal menyediakan pelan defensif khas untuk meneutralisasikan bahaya Diaz di zon 14.

Sumber: Facebook Johor Southern Tigers

Sumber: Facebook Johor Southern Tigers

Di Felda United dan Sarawak, mereka mempunyai Luftullah Turaev dan Ndumba Makeche yang gemar mencipta peluang dari zon ini. Tetapi rakan-rakan sepasukan mereka tidak gemar melakukan perkara sama pula.

Ramai central attacking midfielder tempatan kita bermain secara box-to-box atau ditukarkan terus ke bahagian sayap.

Ini kerana masih banyak pasukan selesa dengan sistem 4-4-2 klasik atau 4-5-1 yang tiada pemain no.10.

Wan Zaharulnizam, Amirul Hadi (jika mengambil kira persembahan baiknya di posisi no.10 ketika vs Timor Leste) dan Ismail Faruqi adalah sekadar beberapa nama pemain tempatan yang berpotensi mencipta huru-hara di zon 14.

Baca juga: Sejarah Nombor Jersi & Kaitannya Dengan Posisi Pemain (Era Chapman Hingga Guardiola)

The post Apakah Zon 14 (Kawasan Paling Berbahaya Di Padang) Dalam Bola Sepak? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Adakah Biji-Biji Getah Di Padang Tiruan Membuatkan Anda Berisiko Menghidap Kanser?

Aktiviti bersukan dilakukan untuk menyihatkan badan. Tetapi, bagaimana jika aktiviti tersebut mampu mengundang kanser ke dalam tubuh kita tanpa kita sedari?

Padang tiruan menyebabkan kanser?

Mungkin ia kedengaran pelik, namun terdapat cakap-cakap orang yang mendakwa bermain di padang tiruan boleh mengundang penyakit kanser.

Dan baru-baru ini, Environmental Protection Agency, the Center For Disease Control, dan U.S. Consumer Product Safety Division mengumumkan telah melancarkan kertas kajian untuk mengkaji hubungan padang tiruan dengan kanser.

Ini berikutan dakwaan bekas penjaga gol skuad wanita Amerika Syarikat, Amy Griffin yang mengatakan kebanyakan penjaga gol yang bermain di padang sintetik berisiko paling besar untuk menghidap kanser.

Mengapakah biji-biji getah ini dikatakan merbahaya?

Di Amerika Syarikat, padang tiruan jenis 3G yang dilengkapi dengan biji-biji getah kecil berwarna hitam ini berada di mana-mana. Di sekolah, universiti, kelab bola sepak dan akademi sukan.

Biasanya selepas bermain di atas padang tiruan jenis ini, biji-biji getah ini akan masuk ke dalam kasut pemain.

Ia juga mungkin kekal dalam kasut seseorang pemain bagi tempoh yang agak lama jika tidak dibersihkan dengan betul.

Biji-biji getah halus ini sebenarnya digunakan untuk membuatkan padang tiruan lebih selesa untuk dimainkan. Ia juga melindungi permukaan padang dan memberikan lebih cengkaman kepada pemain.

nbcnews crumbs 3

Masalah utama biji-biji getah ini adalah, ia dihasilkan dari tayar-tayar lama. Ini bermakna biji-biji getah ini mengandungi karsinogen – bahan kimia yang menyebabkan kanser.

Terdapat kajian yang telah dilakukan di makmal terhadap biji-biji getah ini.

Ujian tersebut mendapati biji-biji getah mengandungi bahan-bahan kimia yang dianggap karsinogenik (boleh menyebabkan kanser). Ia termasuklah merkuri, arsenik, cadmium, chromium dan plumbum.

Apabila cuaca panas, biji-biji getah ini boleh mengeluarkan bahan-bahan kimia yang boleh dihidu pemain. Ia juga boleh masuk ke bukaan luka, calar dan mulut pemain.

biji getah padang tiruan

Pendapat yang mengatakan biji-biji getah ini selamat

Pada tahun 2006, FIFA telah menulis kenyataan rasmi di laman web mereka, mengatakan bahawa biji-biji getah tersebut tidak merbahaya.

Tetapi pada masa yang sama, FIFA tidak menampilkan kajian toksiologi yang mengatakan ia benar-benar selamat.

Agensi Perlidungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US EPA) pernah melakukan kajian di beberapa padang tiruan.

Bagaimanapun berdasarkan data yang mereka perolehi, mereka masih belum menjumpai bukti bahawa biji-biji getah ini merbahaya.

Pendapat yang mengatakan biji-biji getah ini merbahaya

Pada bulan November 2015, isu bahaya biji-biji getah ini kembali timbul. Amy Griffin, bekas penjaga gol wanita kebangsaan wanita Amerika Syarikat telah mengemukakan sebuah kajian yang mengejutkan.

6 tahun lalu, sewaktu melakukan lawatan ke sebuah pusat kanser kanak-kanak, Amy mendapat tahu bahawa pesakit kanser yang ditemuinya merupakan penjaga gol ke-5 yang disahkan menghidap kanser Hodgkins Lymphona.

Kelima-limanya dalam minggu yang sama.

nbcnews crumbs 2

Merasakan sesuatu yang tidak kena, Amy mula melakukan kajian dengan mengumpul maklumat dari pusat kanser Amerika Syarikat.

Kajian tersebut dilakukan dengan mengumpulkan satu senarai  penghidap kenser yang merupakan atlet yang kerap bermain di atas padang sintetik.

Dari 200 orang atlet yang tersenarai, 150 orang daripadanya adalah pemain bola sepak. Daripada 150 pemain bola sepak itu pula, 95 daripadanya merupakan penjaga gol!

Masih tiada kepastian

Amy Griffin berpendapat penjaga gol – pemain yang akan paling banyak menyentuh biji-biji getah ini apabila luka, calar dan terbang  menyelamatkan bola – berisiko paling tinggi menghidap kanser  selepas bermain di padang tiruan.

Kesimpulan ini dibuat oleh Amy Griffin berdasarkan data yang dikumpulnya. Bagaimanapun kesimpulannya masih belum boleh diambil secara serius kerana datanya masih terlalu kecil dan bersifat anekdot.

Adakah kita perlu berhenti dari bermain di padang tiruan?

Pada pendapat kami, ia adalah pilihan individu.

Harus diingat bahawa walaupun biji-biji getah mungkin mengandungi bahan karsinogenik, masih tiada bukti saintifik yang menyokong kandungan karsinogen dalam biji-biji getah ini cukup besar untuk menyebabkan kanser.

Jika anda seorang pemain futsal tegar diatas padang tiruan seperti kami, ketahuilah bahawa risiko anda untuk mendapat ACL adalah lebih tinggi dari risiko anda mendapat kanser.

Sebagai ukuran, risiko anda untuk mendapat kanser daripada asap rokok, asap kenderaan dan asap dari kilang jauh lebih signifikan daripada biji-biji getah ini.

Jadi, selagi tiada hasil kajian yang benar-benar menyatakan bahawa biji-biji getah hitam ini berbahaya, kami mengesyorkan anda agar terus bermain.

Tips untuk meminimakan sentuhan secara langsung dengan biji-biji getah

Walaupun kami merasakan biji-biji getah ini selamat, namun jangan sesekali anda mengabaikan faktor kebersihan.

  1. Pastikan anda membasuh tangan anda sebersih-bersihnya selepas anda membersihkan tubuh anda dari biji-biji getah ini setiap kali anda bermain.
  2. Jika anda mempunyai luka, pastikan ia dibalut dengan sempurna. Lindungi kawasan luka dari sentuhan dengan biji-biji getah ini.

Dan akhir sekali, jangan sesekali makan/telan biji-biji getah ini!

Baca juga: Pengenalan Kepada Jenis-Jenis Label Kasut Bola Di Kedai & Bagaimana Untuk Pilih?

The post Adakah Biji-Biji Getah Di Padang Tiruan Membuatkan Anda Berisiko Menghidap Kanser? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

7 Pasukan Yang Mengubah Padang Untuk Menyukarkan Taktikal Pasukan Pelawat

Salah satu point analisis taktikal perlawanan separuh akhir kedua UEFA Champions League yang menarik perhatian pembaca semuanyabola.com semalam adalah – arahan Pep Guardiola kepada groundsmen Allianz Arena sebelum perlawanan tersebut.

Untuk pengetahuan anda, amalan menukar kondisi, saiz dan dimensi padang bukanlah perkara asing dalam bola sepak Eropah. Ia bertujuan untuk memanfaatkan pasukan tuan rumah dan menyukar pasukan pelawat.

Mengikut undang-undang UEFA, pasukan tuan rumah boleh menukar kondisi, saiz dan dimensi padang selagi:

  • Kondisi padang telah diperiksa dan diluluskan oleh jawatankuasa pertandingan UEFA dan pengadil perlawanan.
  • Panjang rumput tak melebihi 30mm
  • Dimensi padang 105m X 68m (minimum yang dibenarkan adalah 103.5m X 66.5m)

Berikut adalah 7 pasukan yang pernah mengubah padang untuk menyukarkan pasukan pelawat:

1) Bayern Munich (vs Atletico Madrid, separuh akhir kedua UEFA Champions League 2015/2016)

Perubahan: memendekkan rumput, membasahkan padang

allianz arena

Selepas kalah 0-1 pada separuh akhir pertama di Vicente Calderon, David Alaba menuding jari kepada permukaan padang yang kering sebagi punca kekalahan Bayern.

Menjelang separuh akhir kedua, Pep Guardiola mengarahkan groundsmen Allianz Arena supaya memendekkan rumput dan membasahkan padang untuk melajukan pergerakan bola di atas lantai padang.

Groundsmen Allianz Arena mengambil serius arahan tersebut sehinggakan 30 minit selepas perlawanan Bundesliga menentang Borussia Monchengladbach tamat (3 hari sebelum menentang Atletico), mereka sudah mula memotong rumput padang.

Beberapa jam sebelum perlawanan, permukaan padang dibasahkan seperti yang diminta Guardiola. Kemudian semasa rehat separuh masa, hanya satu permukaan padang dibasahkan – iaitu permukaan padang yang bakal diserang Bayern pada separuh masa kedua.

Bayern menguasai sebahagian besar perlawanan dan menang 2-1. Tetapi Atletico layak ke final atas peraturan gol tempat lawan.

2) Real Madrid (vs Wolfsburg, suku akhir kedua UEFA Champions League 2015/2016)

Perubahan: meluaskan padang

bernabeu-sera-esta-noche-mas-ancho-normal-1460470160633

Ketinggalan 0-2 secara agregat selepas kalah di halaman Wolfsburg, Real Madrid bertindak meluaskan padang menjelang perlawanan suku akhir kedua di Santiago Bernabeu.

Tindakan ini jelas untuk memanfaatkan kelebihan yang dimiliki oleh Real Madrid di bahagian sayap – kawasan yang dihuni oleh Cristiano Ronaldo, Marcelo, Gareth Bale dan Dani Carvajal.

Real Madrid menang 3-0 dan mara ke separuh akhir dengan agregat 3-2. Penjaring gol mereka? Siapa lagi kalau bukan Cristiano Ronaldo dengan hatrik.

3) Malmo FF (vs Real Madrid, peringkat kumpulan UEFA Champions League 2015/2016)

Perubahan: menyempitkan padang

malmo pitch

Selepas dibelasah tanpa kasihan (kalah 8-0) oleh Real Madrid di Santiago Bernabeu, Malmo FF bertindak mengurangkan keluasan padang sebanyak 1 meter sebagai persiapan menentang Real Madrid di depan penyokong sendiri.

Juara liga Sweden ini nyata bergelut menangani bahaya pemain sayap Real Madrid di Santiago Bernabeu, hingga menyebabkan Ronaldo berjaya menjaringkan 4 gol dan Karim Benzema 3 gol.

Dengan menyempitkan padang, Malmo jelas mahu menyukarkan kerja Ronaldo di bahagian sayap. Taktik ini boleh dikatakan berjaya apabila Malmo hanya tewas 0-2 (2 gol jaringan Ronaldo) di hadapan penyokong sendiri.

4) Alloa Athletic FC (vs semua pasukan liga, Scottish Championship musim 2015/2016)

Perubahan: menyempitkan padang

402047-alloa-pitch

Pada pertengahan musim, Alloa Athletic FC – sebuah kelab semi-pro liga divisyen ke-2 Scotland – membuat tindakan drastik untuk mengubah nasib pasukannya dengan menyempitkan padang mereka.

Bermula dengan keluasan 69 meter, Alloa mengubah keluasan padang mereka ketika pertengahan musim kepada 60 meter.

Scottish Professional Football League (SPFL) membenarkan pasukan menukar keluasan padang kepada minimum 60 meter, asalkan pasukan mendapat kebenaran bersurat daripada mereka.

Dengan menyempitkan padang, keputusan perlawanan Alloa ada peningkatan.

Sebelum menyempitkan padang, mereka kalah 8 kali dan seri hanya sekali di halaman sendiri. Selepas menyempitkan padang, mereka hanya kalah 3 kali, seri 5 kali dan menang sekali.

Bagaimanapun hasil keputusan away matches yang teruk, Alloa masih tak dapat mengelak daripada tersingkir dari liga.

5) Rangers FC (vs Dynamo Kiev, pusingan pertama European Cup 1987/1988)

Perubahan: menyempitkan padang

Selepas tewas 0-1 kepada Dynamo Kiev pada perlawanan pertama, Graeme Souness – pengurus Rangers ketika itu – mengenalpasti dua pemain sayap Dynamo, Vadym Yevtushenko dan Ivan Yaremchuk sebagai pemain paling berbahaya.

Untuk menyukarkan kerja dua pemain sayap Dynamo ini, Souness mengarahkan supaya groundsman Ibrox mengurangkan keluasan padang kepada ukuran paling minimum.

Ketika mengulas insiden tersebut, Souness berkata:

“Masa petang Selasa mereka (pemain Dynamo Kiev) berlatih, pada itu mempunyai keluasan yang normal. Pada malam Rabu, pemain sayap mereka terkejut apabila selepas 15 langkah, mereka sudah sampai ke garisan tepi padang.”

Rangers menang 2-0 (2-1 secara agregat) dalam perlawanan malam itu dan mara sehingga ke peringkat suku akhir.

6) Stoke City (vs semua pasukan, Premier League dan UEFA Europa League 2011/2012)

Perubahan: menyempitkan dan memendekkan padang

Di bawah kendalian Tony Pulis, Stoke City terkenal dengan taktik bola tinggi mereka.

Untuk memastikan taktik mereka menjadi, Tony Pulis mengarahkan groundsmen Britannia Stadium supaya mengecilkan keluasan dan panjang padang sehingga ke ukuran paling minimum.

Premier League menetapkan setiap pasukan mematuhi dimensi padang 105m x 68m. Tetapi masih membenarkan saiz padang lebih kecil jika pasukan mengemukakan sebab munasabah dan mendapat kelulusan mereka.

Dengan padang yang pendek, pertahanan Stoke dapat menghantar bola tinggi kepada penyerang tinggi dengan mudah. Dengan padang yang sempit, Rory Delap dapat membuat long throw yang jauh dari garisan tepi padang.

7) West Ham (vs Stoke City, Premier League 2009/2010)

Perubahan: mendekatkan papan iklan dengan kawasan padang

Mengetahui bahaya long throw Rory Delap, pengurus West Ham pada ketika itu, Gianfanco Zola mengarahkan agar papan iklan diletakkan berhampiran dengan kawasan padang.

Tujuannya adalah untuk memendekkan jarak larian Rory Delap yang perlu diambilnya sebelum melancarkan long throw yang berbahaya.

delap-westham_1605298c rory-delap-600x349

Taktik tersebut berjaya mengurangkan bahaya long throw Delap. Tetapi ia masih tak dapat menghalang Stoke daripada menang 1-0, ironiknya hasil daripada kesilapan throw-in pemain West Ham sendiri, Julien Faubert.

Info tambahan

1. Mauricio Pochettino, pengurus Tottenham Hotspur pernah menyalahkan White Hart Lane yang pendek dan sempit selepas kalah 1-2 kepada Newcastle semasa kempen Premier League 2014/2015.

Dimensi White Hart Lane pada ketika itu (dan sehingga kini) adalah 100m x 67m.

2. Pada tahun 2002, pengurus Arsenal, Arsene Wenger pernah menyalahkan padang Highbury yang pendek sebagai punca pemainnya kerap dilayangkan kad merah.

“Kami adalah pasukan yang memberi tekanan kepada pemain lawan. Jadi sudah tentulah akan ada sentuhan fizikal. Di padang yang besar, pemain mempunyai kurang sentuhan. Highbury pula sangat kompak.”

3. Berbeza dengan mitos orang ramai yang mengatakan padang Nou Camp lebih luas dan panjang daripada biasa, dimensi Nou Camp sebenarnya adalah 105m x 68m. Sama dengan padang:

Atletico Madrid, Real Madrid, Bayern Munich, Borussia Dortmund, Arsenal, Aston Villa, Manchester City, Manchester United, Newcastle, Southampton, Sunderland, Swansea dan West Bromwich Albion.

Baca juga: 11 Pemandangan Yang Anda Dapat Jika Membeli Tiket Termurah Di 11 Stadium

The post 7 Pasukan Yang Mengubah Padang Untuk Menyukarkan Taktikal Pasukan Pelawat appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Pengadil Keluar Padang Di Tengah-Tengah Perlawanan Selepas Pengurus Bayer Leverkusen Ingkar Arahannya

Seumur hidup kami menonton perlawanan bola sepak, belum pernah kami jumpa insiden yang berlaku dalam perlawanan Bundesliga antara Bayer Leverkusen dengan Borussia Dortmund semalam.

Dalam perlawanan semalam, pengadil Felix Zwayer dan pembantunya mengambil keputusan untuk keluar padang di tengah-tengah perlawanan.

Ini kerana pengurus Bayer Leverkusen, Roger Schmidt ingkar dengan arahan pengadil yang menghantarnya tempat duduk penonton.

Roger Schmidt dihukum oleh pengadil selepas memprotes keputusan pengadil yang tidak memberikan foul terhadap pemain Borussia Dortmund selepas didakwa menjatuhkan kapten Leverkusen, Stefan Kießling.

Pengadil kemudiannya memberikan sepakan percuma kepada Dortmund, yang memanfaatkan situasi untuk melancarkan serangan balas pantas.

Serangan balas tersebut menghasilkan satu-satunya gol dalam perlawanan tersebut. Ia dijaringkan oleh penyerang Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang.

Schmidt tiga kali bantah keputusan pengadil

Dalam bola sepak, anda boleh menyuarakan ketidakpuasan hati anda kepada pengadil. Tetapi anda tidak boleh mengingkari perintah pengadil sama sekali.

Dan bagi kami; pengadil perlawanan tersebut, Felix Zwayer melakukan keputusan yang betul untuk tidak memberikan sepakan percuma kepada Leverkusen pada minit 63′.

Selepas Dortmund menjaringkan gol, pengadil memerintahkan pengurus Leverkusen, Roger Schmidt untuk keluar padang kerana memprotes keputusan pengadil.

bayer1

Schmidt hanya menggelengkan kepalanya dan meminta pengadil datang ke arahnya pula.

Melihat Schmidt yang masih ingkar, pengadil meminta bantuan kapten Leverkusen, Stefan Kießling untuk menyuruh pengurusnya supaya meninggalkan padang.

bayer2

Kali ini Schmidt membantah sambil menjerit:

Warum soll ich hochgehen? Warum? Warum?
Maksud: Kenapa saya perlu pergi atas sana (tempat duduk penonton)? Kenapa? Kenapa?

Apabila Kießling memberitahu pengadil bahawa pengurusnya masih tidak mahu meninggalkan padang, pengadil menghantar Kießling (sekali lagi) untuk memberitahu pengurusnya buat kali terakhir untuk meninggalkan padang.

Schmidt sekali lagi ingkar. Ketika inilah pengadil mengambil keputusan untuk meninggalkan padang bersama pembantunya.

Ia menyebabkan penonton di stadium menjadi terpinga-pinga (termasuklah ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jerman, Joachim Loew). Perlawanan pula tergendala selama 15 minit dan hanya bersambung semula selepas Schmidt bersetuju menerima hukumannya.

bayer4

Jika kita merujuk kepada buku Peraturan FIFA di muka surat 27, jelas pengadil mempunyai kuasa untuk:

(a) menghenti, menggantung atau membatalkan perlawanan, mengikut budi bicaranya, jika ada peraturan yang diingkari
(b) menghenti, menggantung atau membatalkan perlawanan jika ada kekacauan dari luar

Video insiden tersebut boleh dilihat di bawah:

Pengadil perlu dihormati

Dalam bola sepak moden, perlawanan menjadi semakin pantas. Maka secara logiknya, tugas pengadil pula menjadi semakin sukar.

Akibatnya pengadil sering menajdi mangsa kecaman penyokong, pemain dan staf pengurusan pasukan.

Tetapi dalam kes ini, pengadil perlawanan Felix Zwayer bukan saja cemerlang membuat keputusan (terutamanya terhadap insiden minit 63′), malah tegas mengawal perlawanan.

Tindakannya menghentikan perlawanan selepas arahannya 3 kali diingkari pengurus Leverkusen perlu dipuji. Sekurang-kurangnya pengadil akan lebih dihormati selepas insiden ini.

Baca juga: Pemain Import Kedah Ini Melakukan Apa Yang Pengadil Tak Mampu

The post Pengadil Keluar Padang Di Tengah-Tengah Perlawanan Selepas Pengurus Bayer Leverkusen Ingkar Arahannya appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms: