8 Perkara Asas Yang Anda Harus Tahu Ketika Menggelecek Bola

Menggelecek adalah satu aktiviti di mana pemain bola sepak menguasai bola di kaki mereka dan menggerakkannya melepasi pertahanan.

Ketika menggelecek, pemain perlu menyudahkan gelecekan mereka dengan hantaran ataupun rembatan. Barulah ia dikira gelecekan yang berjaya dan dimasukkan dalam data opta (jika ada).

Gelecekan memerlukan pemain untuk berada dalam kedudukan yang seimbang dan stabil ketika melarikan bola.

Sehebat mana seorang pemain itu menggelecek, jika terlampau menggelecek ia akan mempengaruhi ketajaman sesebuah pasukan.

Jadi, menggelecek tu biarlah berpada-pada dan atas tujuan untuk mencipta gol sama ada mencetuskan peluang ataupun cubaan gol secara berpasukan.

1. Fokus

Ketika menggelecek pastikan anda ada visi yang baik dan sentiasa fokus kepada halangan dari semua arah termasuk dari belakang.

Penggelecek yang hebat akan boleh mengurangkan perhatian kepada bola berbanding dengan pemain yang di sekitar mereka.

2. Mengekalkan penguasaan bola

Anda perlu memastikan anda ada kawalan ke atas bola daripada dirampas pihak lawan dan hilang penguasaan.

Misi utama anda menggelecek adalah untuk mengekalkan penguasaan bola. Antara cara yang anda boleh lakukan ialah:

i. Melindungi bola (Shielding the Ball)

Ia adalah satu cara pemain melindungi bola dengan badan mereka. Pemain lawan tidak ada akses kepada bola ketika anda menggerakkan bola.

Jadi, amda perlu melatih fizikal anda supaya menjadi lebih kuat dan stabil. Semakin kuat anda melidungi bola, semakin tinggi kemampuan anda menggelecek.

ii. Kekal dekat dengan bola (Keeping the Ball Close)

Salah satu cara pertahanan mematikan gelecekan lawan adalah dengan bentesan dan terjahan.

Jadi, seorang peggelecek harus ada kemampuan tinggi dalam menyentuh ataupun menggentel bola dengan kaki.

Kemahiran seperti melakukan depth touch dan close control ala Iniesta antara yang menjadi impian semua dribbler.

Jadi, banyakkan latihan untuk menggelecek dan mengawal bola dalam keadaan yang sangat dekat dengan kaki.

3. Segera masuk ke dalam ruang

Anda perlu berlatih untuk segera masuk ke dalam ruang yang terbuka dengan segera.

Semakin baik seorang itu menggelecek, semakin tinggi kemampuan mereka untuk masuk ke dalam ruang kecil.

Sekiranya anda terkepung, pastikan anda cepat membuat keputusan yang tepat, sama ada untuk meneruskan gelecekan ataupun melepaskan hantaran.

4. Tewaskan pertahanan

Anda perlu tahu kemampuan pertahanan yang akan anda tentang.

Antara aspek yang kerap diambil kira adalah kelajuan pertahanan yang bakal anda tentang. Jika anda lebih laju mungkin anda ada kelebihan.

Tetapi jika pertahanan tersebut lebih laju daripada anda, anda memerlukan kemampuan teknikal untuk mengatasi mereka.

Cuba buat kajian, kelemahan pemain pertahanan termasuk kekuatan fizikal mereka ketika mencabar anda secara fizikal.

Ada sesetengah pertahanan terlalu agresif dan cepat melancarkan bentesan. Anda perlu ada plan untuk memanipulasi keadaan ini.

4 di atas ini adalah asas. Manakala 4 lagi aspek selepas ini berkaitan dengan bakat dan latihan.

5. Teknik gelecekan

Walaupun anda tidak berbakat tinggi, namun anda harus ingat, kemahiran itu boleh diasah dengan latihan.

Banyakkan latihan menyentuh bola menggunakan kaki dalam, kaki luar, instep dan tapak kaki.

Penggelecek profesional biasanya boleh melakukan sentuhan dengan 4 bahagian tersebut. Itu yang menjadikan gerakan mereka lebih semulajadi.

6. Menggelecek dengan kelajuan

Anda boleh menajamkan skil gelecekan dengan menggelecek dalam keadaan yang laju.

Semakin tinggi kadar kelajuan dengan kemampuan anda mengawal bola, anda akan semakin baik menggelecek.

Kadangkala, anda perlu bertindak sendiri tanpa perlu menunggu rakan untuk menuju ke kawasan gol dan meyudahkan bola tersebut.

7. Menukar arah (Changing Direction)

Ini adalah rutin yang paling berkesan untuk menewaskan pertahanan. Anda lihat sahaja Eden Hazard, Robben, Ronaldo dan Lionel Messi.

Ia membuatkan pertahanan terperangkap sehingga ada yang terjatuh. Anda perlu melatih fizikal dan teknik kawalan bola anda supaya tangkas untuk menukar arah dengan berkesan.

8. Gunakan kedua-dua kaki

Tidak ramai yang boleh menggelecek secara efektif dengan kedua-dua kaki. Untuk pemain yang tipikal ini, mereka digelar complete dribbler.

Contohnya Neymar, Adam Lallana, dan Ronldinho.

Anda tidak perlu menjadi complete dribbler, sebaliknya anda perlu ada kemampuan untuk menggunakan kedua-dua belah kaki untuk menyentuh bola.

Penting juga untuk anda tajamkan kaki dominan anda dengan secukupnya. Pemain seperti Messi, Mata dan juga Hazard, mereka lebih dominan dengan satu kaki tetapi sangat berkesan.

Rumusan

Menggelecek adalah satu aktiviti yang nampak hebat apabila seseorang pemain itu efektif. Namun ia akan menyakitkan hati semua orang jika ia kerap gagal dan tidak efektif.

Anda perlu menajamkan aspek sentuhan dan juga visi di dalam padang. Teknikal yang tinggi ditambah dengan kelajuan yang baik adalah ramuan terbaik untuk seorang penggelecek.

Baca juga: Kelayakan Piala Asia B-23 2018, Malaysia Diundi Bersama-Sama Thailand

The post 8 Perkara Asas Yang Anda Harus Tahu Ketika Menggelecek Bola appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

5 Perkara Yang Pasti Kita Rindu Dari Siri PES Terdahulu

Siri Pro Evolution Soccer (PES) pada satu ketika merupakan raja permainan video satu masa dahulu.

Permainan yang tidak terlalu kompleks, seronok untuk dimainkan bersama teman-teman telah menjadikan permainan ini sentiasa digemari oleh sesiapa sahaja.

Tahun demi tahun, PES sudah pun berevolusi. Namun dalam evolusi tersebut, ada beberapa perkara yang hanya PES pada siri terdahulu sahaja ada tetapi pada siri yang terbaru tiada.

Oleh itu, kami saja nak usik memori anda dengan 5 perkara yang pasti anda akan rindu pada siri PES yang lama.

Adriano dan Alvaro Recoba

Lupakan gabungan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi kerana kita ada gabungan Alvaro Recoba dan Adriano!

Dua pemain ini mempunyai keupayaan tak masuk akal, hal ini kerana Recoba mempunyai curling stats 99 dan Adriano mempunyai shooting stats sebanyak 99!

Punca mengapa Adriano diberikan stats sebegitu rupa kerana salah seorang daripada pencipta permainan PES ini iaitu Shingo ‘Seabass’ Takatsuka dikatakan merupakan seorang peminat Internazionale dan juga Adriano.

Ada orang cakap, banyak jaring koyak sebab rembatan padu Adriano.

Nama mengarut

Sebelum masuknya era ‘next-gen’, isu perlesenan kelab dan nama pemain tidak pernah menjadi kegusaran para pemain PES.

Bagi mereka, mereka gembira bermain PES walaupun sesetegah nama pemain dan pasukan teramatlah pelik namanya.

Seperti contoh, pasukan-pasukan Premier League jarang mempunyai nama yang tepat.

Nama-nama seperti Mersyeside Red (Liverpool), Man Red (Manchester United) dan juga East London (West Ham United) masih lagi ada di dalam PES kerana masalah mereka untuk mendapatkan lesen dari Premier League sendiri.

Bagi pemain pula, lazimnya nama-nama untuk pemain dari Jerman dan Belanda yang akan terkena sindrom ‘nama pelik’ ini.

Anda pasti pernah ingat bukan dengan nama Von Mistelroum yang merujuk kepada Ruud Van Nistelrooy atau pun Orhailmanaz untuk Marc Overmars?

Penulis teringat dahulu terdapat satu siri PES yang mempunyai pasukan Malaysia di dalamnya. Dan nama ‘pelik’ untuk Hairuddin Omar ketika itu adalah Okem.

PES Shop

Salah satu perkara yang cukup digemari oleh pemain PES adalah PES Shop.

Disitulah pelbagai barangan dijual, dari pek pemain klasik, bola berbentuk bungkusan gula-gula hinggalah ke set topi yang pelik.

Pasti anda diantara kita yang pernah beli set binatang yang bolehkan pemain anda beraksi sambil menunggang burung unta bukan?

Jon Champion & Jim Beglin

PES terkenal dengan kelemahan mereka dalam bahagian ulasan. Bukan kerana pemilihan pengulas, tetapi kerana pengulas sering mengulang apa yang mereka katakan dalam setiap perlawanan.

Tetapi tak dinafikan penulis agak tidak bersetuju dengan pemilihan Jim Beglin, hal ini kerana nada mendatar beliau tidak sesuai dengan emosi yang ditunjukkan oleh Jon Champion. Ataupun dengan Peter Drury yang kini lebih beremosi berbanding Champion.

Gandingan Jon Champion dan Jim Beglin bermula sejak PES 2008 dan berakhir pada PES 2015.

Penulis masih lagi ingat reaksi Champion jika kita terlepas peluang untuk menjaringkan gol keempat, “Oh it’s should be their fourth!”

Kami sediakan video ayat-ayat yang digunakan Champion ketika mengulas untuk PES.

The Original Master League Team

Dan siapa boleh lupa dengan pasukan yang dianggotai oleh Ordaz, Minanda dan si masyhur Castolo?

Jika anda bermain Master League, pasti anda terpaksa bermula dengan pemain-pemain yang diberi nama Ivarov, Espimas dan juga Dodo.

Pasukan ini akhirnya menjadi pasukan lagenda, dengan Castolo menjadi muka wajib pasukan anda untuk menjaringkan gol pada setiap perlawanan. Bawalah pemain mana pun, akhirnya Castolo juga yang akan menjadi penjaring gol.

Kini pasukan ini tiada lagi, kesemua pemain di skuad ini sudah pun tua. Ada diantara mereka sudah menjadi ‘scout’ di mod MyClub untuk PES 2017.

Baca juga: 10 Soundtrack FIFA & PES Yang Pasti Akan Menggamit Memori Anda

The post 5 Perkara Yang Pasti Kita Rindu Dari Siri PES Terdahulu appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

5 Perkara Daripada Perlawanan Persahabatan Singapura v. Malaysia

Singapura harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal memenangi perlawanan ini untuk kali ke-3 berturut-turut setelah Malaysia bermain agak hambar dalam perlawanan ini.

Ini adalah 5 perkara yang kami gariskan daripada perlawanan sebentar tadi yang berakhir dengan seri 0-0.

1. Singapura Lebih Baik Dari Segala Aspek Tetapi Tumpul

Hanya gol yang membuatkan Singapura tidak diiktiraf lebih baik daripada Malaysia secara merit. Dari segi taktikal, keinginan dan intensiti, perlawanan ini bergantung kepada mereka.

Jika mereka bermain cantik, maka cantiklah perlawanan ini. Apabila intensiti mereka menurun maka, bosanlah perlawanan ini.

Penyudah skuad Singapura agak lemah. 3 cubaan mereka terkena palang. Mereka gagal menyudahkan 1 peluang terbuka dan deretan cubaan lemah.

2. Taktikal Ong Kim Swee

Ralat taktikal (tactical error)?

Anak-anak buah banyak bermain dalam sistem 4-1-4-1 daripada platform asas 4-5-1. Safawi Rashid bermain sebagai pemain sayap sebagai side midfielder adalah pilihan yang kurang tepat.

Safawi adalah pemain sayap menyerang dalam rangkaian penyerang bertiga di T-team.

Seterusnya adalah, gandingan lemah di tengah. Baddrol dan Irfan Fazail gagal berhubung di antara satu sama lain. Dari segi hantaran, terlalu mudah dijangka dan banyak hantaran panjang.

Pertukaran Ong Kim Swee gagal memberikan impak secara berpasukan.

Namun begitu Zaquan Adha dan Norshahrul berjaya memberikan sedikit dimensi dari segi keinginan untuk mencetuskan ancaman.

Pemain-pemain Malaysia berada dalam kedudukan terlalu ke bawah (too deep) dan tidak agresif untuk melakukan desakan (pressing).

3. Ramai Pemain Malaysia Gugup

Pemain gugup dalam melakukan hantaran terutama sekali ketika ditekan oleh pemain Singapura. Banyak kesilapan yang membawa kepada ancaman ke arah kawasan gol secara langsung oleh Singapura.

Akibat gugup ini, Malaysia tidak terurus (gagal settle down) hampir 80% dalam perlawanan ini. Bak kata Pochettino, lupakan pasal taktikal jika pemain gagal untuk bermain dengan betul.

Banyak gerakan yang tumpul dan juga kawalan bola dan bentesan yang lemah.

Organisasi pasukan kerap terputus dan tidak ada interaksi yang berkesan di antara bahagian.

4. Pertahanan Selamatkan Malaysia Sekali Lagi

Sudah banyak kali Malaysia terlalu bergantung kepada aspek pertahanan dalam mengurangkan impak (damage limitation).

Walaupun ada beberapa aksi gugup namun, penjaga gol dan pertahanan kita berjaya menjadi unit pemusnah untuk bom jangka yang kadangkala dipasang oleh kita sendiri.

Khairul Azhan mungkin bermain aksi terbaik beliau sekali lagi malam ini pada musim ini.

5. Kreativiti Kedua-dua Pasukan

Singapura terlalu bergantung kepada hantaran lintang. Jika lebih variasi, mereka akan lebih tajam kerana kemampuan mereka untuk melarikan bola ke kawasan Malaysia.

Manakala untuk pasukan Malaysia, isu kreativiti ini  agak lemau dan tak ada percikan (spark). Cubaan gol banyak dilakukan dari cubaan jauh.

Kebanyakan peluang adalah melalui setpis.

Baca juga: 5 Sebab Peminat Malaysia Rasa Mereka Lebih Hebat Daripada Singapura

The post 5 Perkara Daripada Perlawanan Persahabatan Singapura v. Malaysia appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

3 Perkara Yang Seorang Penyokong EPL Belajar Daripada Pengalaman Gary Neville Di Valencia

Sebagai seorang bekas pemain yang hanya menghabiskan kariernya di England, adalah normal bagi Gary Neville untuk mempunyai kesukaran berkomunikasi dengan pemain-pemainnya yang tidak memahami bahasa Inggeris.

Tetapi keputusan pihak pengurusan Valencia untuk memecat pengurus di tengah-tengah musim dan menggantikannya dengan pengurus yang langsung tak boleh bercakap bahasa Sepanyol seperti Neville, adalah tidak normal bagi saya.

Jika Neville tidak menjadi, ia bukan saja menjejaskan prestasi Valencia. Malah ia menjejaskan portfolio Neville dan merosakkan hubungan pemilik dengan penyokong Valencia.

Anda boleh lihat sendiri betapa sukarnya Neville untuk berkomunikasi dengan pemain-pemainnya dalam video di bawah.

Maka tak hairanlah, Neville baru mengecapi 3 kemenangan sepanjang 12 perlawanan Valencia yang dikendalinya.

Malah sehingga kini, Valencia belum pernah menang 1 perlawanan liga pun lagi di bawah Neville.

Di sebalik rekod kemenangannya yang tak memberansangkan setakat ini, anda tak boleh nafikan betapa bekerja kerasnya Neville di Valencia.

Baca: Gary Neville Keluar RM130,000 Sendiri, Belanja iPad Kepada Semua Pemain Valencia

Saya berpendapat ada beberapa perkara tentang Neville yang boleh kita pelajari.

1. Jangan jadi ketam

Saya nampak persamaan antara cabaran Gary Neville di Valencia dengan kisah ketam yang saya pernah baca dalam buku Everything That Happens to Me is Good tulisan Geoff Thompson.

Dalam buku tersebut penulisnya menceritakan apabila nelayan berjaya menangkap ketam dan mengumpulnya dalam bakul, bakul tersebut tidak perlu ditutup, walaupun ada ketam yang akan cuba memanjat dinding bakul untuk keluar.

Mengapa?

Ini kerana apabila ada ketam yang cuba memanjat dinding bakul untuk keluar, ketam-ketam yang lain akan menariknya masuk semula ke dalam bakul semula.

Kemudian ketam yang gagal keluar tersebut akan menarik ketam lain yang cuba melarikan diri.

Di England, Neville sudah selesa dan terkenal sebagai pembantu jurulatih England dan pundit di Sky Sports. Beliau tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan semua ini untuk kerja di negara asing, liga asing, bersama pemain yang asing.

Tetapi Neville masih mahu mencuba? Mengapa?

Ini kerana sudah menjadi DNA Neville untuk mencuba, mencari cabaran dan bekerja keras. Ini adalah kualiti yang boleh kita contohi untuk berjaya dalam hidup.

Untuk berjaya, kita perlu sentiasa mencuba, mencari cabaran dan bekerja keras. Kita tak boleh sentiasa berada di zon selesa seperti ketam yang tak mahu keluar bakul.

Untuk berjaya, kita perlu keluar dari ‘bakul ketam’ kita. Keluar dari zon selesa kita.

2. Komunikasi adalah elemen penting dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan

Bijak dalam aspek teori taktikal dan teknikal adalah satu hal.

Tetapi bijak berkomunikasi dengan pemain untuk menyampaikan apa yang anda mahu dari segi taktikal dan teknikal adalah satu hal yang lain pula.

Carlo Ancelotti pernah berkata:

“Komunikasi adalah kunci. Bola sepak adalah sukan yang penuh dengan idea. Jika anda tak tahu bagaimana nak sampaikan idea ini, anda tak boleh menjadi jurulatih.”

Gary Neville mungkin berpengetahuan luas dan mempunyai banyak idea, tetapi bagaimana beliau nak sampaikan ilmu dan ideanya jika pembantunya Miguel Angel Angulo sendiri pun tak faham bahasa Inggeris?

Jadi satu-satunya pilihan Gary dan Phil Neville adalah belajar bahasa Sepanyol dari kosong. Dan untuk memastikan komunikasi antara Neville dengan pemain-pemainnya menjadi berkesan, ia memerlukan masa.

Bagi saya, kegagalan Valencia untuk menang dalam perlawanan liga setakat ini bukannya kerana pemain Valencia tak faham apa yang Neville cakap.

Sebaliknya, ia kerana Neville masih belum mampu menterjemahkan apa yang terbuku dalam otaknya ke otak pemain-pemainnya.

Mungkin kerana kekurangan pengalaman Neville sebagai pengurus pasukan. Mungkin juga kerana kelemahan skil interpersonal communication Neville sendiri.

3. Peter Lim perlu lebih fikirkan tentang penyokong Valencia

Saya cuba berfikir dari perspektif penyokong Valencia.

Alangkah malangnya apabila pemilik kelab mereka, Peter Lim menjadikan Valencia sebagai platform menzahirkan kecintaannya terhadap Manchester United.

Kefanatikan Peter Lim terhadap Manchester United bukan satu rahsia lagi.

Beliau pernah membeli 50% syer kelab Salford City. Pemegang syer Salford City yang lain adalah Phil Neville, Gary Neville, Paul Scholes, Ryan Giggs dan Nicky Butt.

Beliau juga merupakan pemegang hak imej Cristiano Ronaldo dan pernah menderma dalam projek kebajikan Hotel Football yang diketuai oleh Gary Neville dan Ryan Giggs.

Malah hubungan rapatnya dengan ejen pemain, Jorge Mendes menyebabkan Valencia dipenuhi oleh banyak pemain-pemain yang berada di bawah naungan Mendes.

Antaranya ialah Joao Cancelo, Zakaria Bakkali, Danilo, Aymen Abdennour, Rodrigo dan Enzo Perez.

Ini menyebabkan Valencia dipenuhi oleh pemain yang taat setia kepada ejen, bukannya kepada kelab dan penyokong Valencia. Masakan tidak, ejen mereka adalah kawan baik Peter Lim!

Inilah impak yang perlu ditanggung oleh penyokong apabila kelab bola sepak mereka menjadi perniagaan tanpa jiwa atau dalam bahasa orang putih, business without soul.

Baca juga: 5 Perkara Yang Seorang Penyokong Perak Belajar Daripada Final Piala Malaysia 2015

The post 3 Perkara Yang Seorang Penyokong EPL Belajar Daripada Pengalaman Gary Neville Di Valencia appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

5 Perkara Menarik Yang Berlaku Di Liga Korea Selatan Pada Musim 2015

Memandangkan tiada bahan bacaan berbahasa Malaysia tentang liga teratas Korea Selatan, K-League Classic, kami mendapatkan bantuan daripada rakan kami, Steven Price untuk memberikan maklumat tentang liga Korea Selatan.

Steven Price merupakan pengasas KLeagueFootball.com, laman web yang membekalkan berita bola sepak Korea Selatan dalam bahasa Inggeris.

Jika anda mahu mengetahui serba-sedikit tentang apa yang berlaku di liga bola sepak Korea Selatan sepanjang tahun 2015, ini adalah artikel untuk anda.

Selepas membaca anda juga akan sedar, liga bola sepak Korea Selatan tidaklah jauh bezanya dengan liga bola sepak di Malaysia.

1. Jeonbuk Hyundai Motors bukti bajet gaji besar adalah resepi juara

(Sumber: Michael Dodge / Getty Images)
(Sumber: Michael Dodge / Getty Images)

Pada musim lepas, Jeonbuk Hyundai Motors muncul juara K-League Classic – liga yang dianggotai oleh 12 pasukan seperti Liga Super – buat kali kedua berturut-turut.

Jeonbuk Hyundai Motors meninggalkan pencabar terdekat, Suwon Samsung Bluewings dengan jarak 6 mata.

Kunci utama kemenangan mereka pada musim lepas adalah gabungan dua faktor – prestasi konsisten pada awal musim dan bajet gaji yang besar.

Pada musim lepas, Jeonbuk menghabiskan USD12 juta (RM52 juta) untuk gaji pemain sahaja. Penerima gaji terbesar mereka adalah pemain tengah Brazil, Leonardo dan penyerang veteran, Lee Dong-Gook (bekas penyerang Middlesbrough) yang masing-masing menerima gaji tahunan USD1.1 juta (RM4.7 juta).

Pada usia 36 tahun, Lee Dong-Gook masih mampu menyumbat 13 gol untuk muncul penjaring gol keempat terbanyak dalam liga.

2. Suwon Samsung Bluewings makin lemah

suwon
(Sumber: www.bluewings.kr)

Pesaing terdekat juara liga, Suwon Samsung Bluewings pula hanya mampu membelanjakan USD8.7 juta (RM37.5 juta) untuk gaji pemain pada musim lepas.

Jarak perbezaan bajet gaji Suwon dengan Jeonbuk kelihatan akan menjadi lebih besar pada musim 2016 akan datang.

Apatah lagi bila Jeonbuk mengumumkan Kim Bo-Kyung (bekas pemain tengah Cardiff City) bakal menyertai mereka nanti.

Suwon pula baru saja menjual penjaga gol mereka yang bergaji mahal, Jong Sung-Ryung yang akan menyertai pasukan J1 League, Kawasaki Frontale.

Ini ditambah pula dengan pemergian penyerang Korea Utara, Jong Tae-Sae ke satu lagi pasukan J1 League, Shimizu S-Pulse pada pertengahan musim lepas. Ketiadaan Tae-Se menyebabkan cabaran menjuarai liga Suwon menjadi semakin sukar.

3. Ulsan Hyundai mempunyai bajet gaji ketiga tertinggi, tetapi masih teruk

2747836_40
(Sumber: news.kbs.co.kr)

Walaupun statistik membuktikan Semakin tinggi jumlah bajet gaji pemain. semakin baik kedudukan pasukan dalam liga, Ulsan Hyundai membuktikan sebaliknya.

Meskipun mempunyai bajet gaji ketiga tertinggi dalam liga, Ulsan hampir-hampir menduduki zon penyingkiran liga. Mujurlah prestasi pasukan Daejeon Citizen dan Busan I’Park lebih teruk daripada mereka.

4. Kim Shin-Wook selamatkan Ulsan, tapi masih diketepikan pasukan kebangsaan

(Sumber: www.uhfc.tv)
(Sumber: www.uhfc.tv)

Jika dilihat prestasi buruk Ulsan Hyundai pada musim lepas, mereka perlu berterima kasih kepada penyerang, Kim Shin-Wook yang menjaringkan 18 gol untuk mmuncul penjaring terbanyak liga pada musim lepas.

Perlu diingat, Kim Shin-Wook hanya baru belajar bermain sebagai penyerang pada 7 tahun lepas. Dengan ketinggian 1.96 meter, Shin-Wook biasa bermain sebagai pertahanan tengah sejak dari zaman remaja.

Pertukaran beliau daripasa seorang pertahanan tengah ke penyerang berbisa adalah sesuatu yang mengagumkan.

Bagaimanapun disebalik prestasi cemerlangnya dalam liga, Shin-Wook masih gagal menambat hati ketua jurulatih skuad kebangsaan, Uli Stielike yang lebih sukakan Hwang Ui-Jo (Seongnam FC) dan Lee Jeong-Hyup (Busan I’Park).

5. Masalah liga Korea Selatan: kekurangan penonton

(Sumber: modernseoul.org)
(Sumber: modernseoul.org)

Berbanding Chinese Super League dan J1 League yang semakin meningkat jumlah kedatangan penyokongnya ke stadium, K-League Classic pula menunjukkan penurunan.

Pasukan-pasukan besar seperti FC Seoul, Jeonbuk Motors, dan Suwon Bluewings masih menarik ramai penyokong untuk datang ke stadium mereka.

Rekod tertinggi kedatangan penyokong ke stadium pada musim lepas adalah 39,328 orang ketika perlawanan derby antara FC Seoul dan Suwon Bluewings yang berkesudahan seri 0-0.

Secara keseluruhannya, K-League Classic hanya mampu menarik purata 7,720 penonton saja ke stadium pada setiap perlawanan. Sebagai contoh, Jeonnam Dragons hanya mampu menarik 628 penonton ke stadium ketika mereka kalah 2-5 menentang Ulsan Hyundai.

Di Malaysia, rata-rata stadium pasukan utama Liga Super seperti Pahang, Selangor, Perak, Kelantan dan JDT mencatatkan purata lebih 10,000 penonton pada setiap perlawanan.

Penonton berkurangan, lebih banyak masalah

Dengan harga tiket yang murah (USD10 atau RM43) untuk seorang dewasa, dan pendapatan siaran langsung TV yang hanya membawa USD5 juta (RM21.5 juta) semusim, pasukan-pasukan di Korea Selatan berdepan dengan masalah sama seperti Malaysia.

Mereka terlalu bergantung kepada tajaan syarikat besar dan kerajaan negeri untuk beroperasi.

Di Korea Selatan, tajaan syarikat besar dan sumbangan kerajaan negeri membentuk hampir 80% daripada keseluruhan bajet menguruskan pasukan.

Kecuali Jeonbuk Motors yang stabil, pada ketika ini semakin banyak syarikat dan kerajaan negeri yang sudah memotong perbelanjaan pasukan bola sepak.

Sebab itulah semakin ramai pemain Korea Selatan sudah mula merantau ke liga Asia lain untuk mencari kontrak baru.

Jika perbelanjaan ini terus dipotong dan dipotong, liga-liga Asia yang lain akan menerima kebanjiran pemain-pemain bintang dari Korea Selatan.

Baca juga: Taktikal Piala Asia 2015: Korea Selatan

The post 5 Perkara Menarik Yang Berlaku Di Liga Korea Selatan Pada Musim 2015 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

5 Perkara Yang Saya, Penyokong Perak, Belajar Daripada Final Piala Malaysia 2015

Sebagai seorang penyokong Perak yang sudah 23 tahun menetap di Selangor dan mempunyai tiket final Piala Malaysia 2015, sudah tentulah saya duduk bersama kelompok penyokong Selangor.

Walaupun dalam hati, saya lebih mahukan Perak melangkah ke final Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 2007 (tewas 0-3 kepada Kedah), saya perlu akur Perak perlukan perubahan besar untuk menyaingi kehebatan jirannya, Kedah dan Selangor.

Banyak perkara yang saya belajar sepanjang pemerhatian saya di Stadium Shah Alam semalam. Ini adalah 5 daripadanya.

1. Football Malaysia LLP (FMLLP) memberi rasa optimis kepada suasana bola sepak tempatan

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Optimistik. Itulah perasaan yang saya rasa selepas menemubual CEO FMLLP, Kevin Ramalinggam berkenaan isu penswastaan liga.

Dan sehingga kini, saya masih berasa optimistik terutamanya selepas melawat Stadium Shah Alam semalam.

Stadium Shah Alam mula dilengkapi dengan skrin LED besar untuk memberi peluang penonton di stadium melihat replay aksi-aksi perlawanan.

Turut melengkapi padang Stadium Shah Alam adalah papan iklan LED.

Ia memberi perasaan optimis sebagaimana yang penyokong JDT dan Kelantan rasakan di stadium mereka. Liga bola sepak kita sedang bergerak ke hadapan.

Malah buku program perlawanan turut dijual kepada penonton di stadium.

Ini adalah sesuatu yang perlu diusahakan oleh jabatan media setiap pasukan home Liga Super dan Liga Perdana.

2. “Goalscorers win matches but goalkeepers and defenders win titles”

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Kata-kata Sir Alex Ferguson ini terngiang-ngiang dalam ingatan saya selepas melihat persembahan jentera pertahanan Selangor dan Norazlan Razali sepanjang kempen Piala Malaysia 2015.

Norazlan Razali mungkin dijulang kerana aksi menyelamat akrobatiknya banyak menyelamatkan kepincangan Selangor di bahagian serangan.

Duduk di belakang kawasan gol Selangor pada separuh masa kedua, saya menyaksikan kecekapannya menafikan percubaan Sandro Da Silva pada sekitar minit ke-68′.

Tetapi jangan dilupakan sumbangan Shahrom Kalam dan Robert Cornwaithe. Menentang Chidi Edeh semalam, kedua-dua mereka sangat fantastik.

Azrif mungkin dianggap ‘lembik’ oleh Azammudin Akil. Tetapi beliau adalah Mr. Consistent Selangor musim ini. Sentiasa konsisten dan sentiasa berani mencabar mana-mana pemain sayap kiri lawan.

Raimi Md Noor juga konsisten di posisi bek kiri. ‘Tarian’ beliau pada separuh masa kedua di hadapan Syafiq Ahmad menggambarkan keyakinan beliau sedang berada di tahap tertinggi.

3. Selangor mesti kekalkan teras (core) pasukan

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Untuk memastikan kejayaan berpanjangan, Selangor mesti mengekalkan core pasukan mereka dan menambah beberapa pemain berkualiti.

Ini termasuklah Mehmet Durakovic yang dikhabarkan bakal digantikan oleh Zainal Abidin Hassan, jurulatih sama yang ditewaskan oleh Mehmet ketika separuh akhir Piala Malaysia 2015.

Sejak 2014 secara head-to-head, Selangor yang dipimpin oleh Mehmet sudah menewaskan Pahang yang dipimpin Zainal sebanyak 3 kali, seri 2 kali dan kalah hanya sekali.

Turut dikhabarkan bakal keluar dari Selangor adalah Andik Vermansyah. Persebaya Surabaya berminat untuk membawa Andik pulang ke Malaysia tetapi ada berita baik untuk penyokong Selangor: Andik mahu kekal di Selangor.

Pengurusan Selangor perlu pantas melanjutkan kontrak Andik dan Mehmet, antara dua persona yang paling disayangi oleh penyokong Selangor.

4. Kedah perlu meneruskan identiti permainan mereka

Sumber gambar: www.asiana.my
Sumber gambar: www.asiana.my

Dalam hiruk-pikuk penyokong Selangor yang tak henti-henti melaungkan chants, saya memerhatikan gameplay Kedah dengan penuh minat.

Kedah gemar bermain dari belakang. Bermula daripada hantaran pendek penjaga gol kepada pemain pertahanan Kedah, mereka menggerakkan bola melalui siri-siri hantaran pendek yang asing dalam bola sepak Malaysia.

Di seluruh padang, saya dapat memerhatikan ‘segi tiga’ sentiasa terbentuk melalui gerakan Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Badhrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon.

Ini adalah sesuatu yang menggalakkan dan menghiburkan. Walaupun kalah, saya amat-amat mengharapkan Tan Cheng Hoe dan staf kejurulatihannya akan terus mengajar pemain Kedah bermain sebegini.

Seperti Eddie Howe yang memperkenalkan identiti dan falsafah menyerang dengan hantaran pendek di AFC Bournemouth, saya mengharapkan Tan Cheng Hoe dan Kedah akan dikenali sebagai antara pasukan yang mempunyai falsafah bola sepak yang sama.

5. Dengan tambahan beberapa pemain berkualiti, Kedah mampu kembali mendominasi Malaysia

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Berdasarkan pemerhatian saya, Kedah hanya memerlukan seorang penjaga gol dan seorang penyerang untuk menjadi skuad yang boleh memberi cabaran serius dalam Liga Super 2016.

Mohd Firdaus Muhamad mungkin patut boleh mengawal gawang dengan lebih baik ketika gol ke-2 Selangor berlaku, tetapi perlu diingat beliau masih muda.

Mungkin dalam situasi final sebegini, seorang penjaga gol berpengalaman diperlukan oleh Kedah.

Selain itu, Kedah mungkin juga memerlukan seorang penyerang baru. Dengan masa depan Chidi Edeh yang tak menentu pada musim depan, Kedah memerlukan seorang penyerang yang sesuai dengan falsafah possession football Tan Cheng Hoe.

Penyerang tersebut mestilah boleh menghubungkan jentera serangan dengan jentera tengah secara berseorangan dan paling penting, mencari ruang untuk menjaringkan gol.

Berhadapan dengan Robert Cornwaithe dan Shahrol Kalam, Chidi Edeh sudah melakukan yang terbaik untuk mengetuai jentera serangan Kedah meskipun bermain dalam kecederaan.

Tetapi untuk mendominasi Malaysia seperti era 2007 dan 2008, Chidi Edeh perlu segera pulih daripada kecederaan otot koyaknya atau Kedah terpaksa mencari penyerang import baru.

Baca juga: 4 Hero Tak Didendang Dalam Kempen Piala Malaysia 2015

The post 5 Perkara Yang Saya, Penyokong Perak, Belajar Daripada Final Piala Malaysia 2015 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

8 Perkara Yang Kita ABAIKAN Daripada Lawatan FAM Ke Jepun Pada 1999

Nota editor:

Artikel ini ditulis oleh saudara Rizal Hashim dan telah diterbitkan dalam akhbar The Malay Mail pada 30 Jun 1999.

Kami telah mendapat kebenaran beliau untuk menterjemah dan menerbitkan semula artikel beliau untuk mendedahkan betapa lembabnya kita membuat kerja di Malaysia.

Artikel asal beliau boleh dibaca disini (Bahasa Inggeris).


Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) mendedahkan resepi kejayaan mereka dengan Malaysia semalam. Ia adalah gabungan:

  • hasil kerja keras
  • jurulatih peringkat akar umbi yang berkualiti tinggi dan
  • program pembangunan yang menawarkan sehingga 600 perlawanan kompetitif kepada murid sekolah sehingga tamat sekolah menengah.

JFA turut mendedahkan kepada delegasi FAM bagaimana Jepun boleh muncul kuasa bola sepak baru selepas melancarkan sistem pembangunan pemain muda pada 1980.

Delegasi FAM seramai 6 orang itu disertai oleh:

  1. Penolong Setiausaha FAM, Yap Nyim Keong
  2. Pengarah Akademi FAM, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil
  3. Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Shukor Abdullah
  4. Pengarah Kejurulatihan FAM, Ronald Smith
  5. Exco FAM, Dell Akbar Khan
  6. Jurulatih skuad bawah-19, B. Sathianathan

shinkansen
Mereka diberikan taklimat oleh 3 pegawai JFA iaitu:

  1. Pengarah Kejurulatihan JFA, Kohzo Tashima
  2. Ketua Jurulatih Pembangunan Sistem Pemain Muda JFA, Tetsuaki Tsukuda
  3. Ketua Perancangan J League, Takehiko Sano

Berikut adalah langkah-langkah yang diambil oleh JFA untuk memperbaiki mutu bola sepak mereka:

1. Hantar jurulatih ke Eropah

JFA menghantar jurulatih-jurulatih mereka ke kem latihan jurulatih di Eropah selama 10 hari atau 2 minggu.

Jurulatih-jurulatih mereka akan menghabiskan beberapa hari di Belanda, Perancis, Jerman dan England untuk mempelajari ilmu-ilmu terbaru.

2. Mewujudkan suasana bola sepak kompetitif di sekolah

Jepun tiada liga pemain muda. Tetapi setiap sekolah bertanding dalam suasana bola sepak yang kompetitif melalui beberapa pertandingan sepanjang tahun.

3. Mewujudkan banyak pusat latihan

Terdapat 9 pusat latihan negeri, 47 pusat latihan wilayah dan daerah di seluruh Jepun.

4. Menyediakan 30 pemain pada setiap peringkat umur

Di semua pusat latihan negeri, wilayah dan daerah ini, mereka sudah mempunyai 30 pemain untuk setiap peringkat umur.

Daripada peringkat bawah-12 sehinggalah ke peringkat bawah-18.

5. Mewujudkan sistem pembangunan pemain muda yang konsisten dan sistematik

Pada 1980, JFA mula menubuhkan beberapa pusat latihan di setiap negeri, wilayah dan daerah. Tujuannya adalah:

  • mengenalpasti pemain berbakat di seluruh negara untuk setiap peringkat umur dan melatih mereka menjadi pemain kreatif
  • mempraktis sistem kejurulatihan yang konsisten, seragam dan sistematik
  • menaikkan mutu dan kebolehan jurulatih dan menyebarkan maklumat baru ke setiap kawasan

6. Menumpukan 3 peringkat umur

Terdapat 3 peringkat umur iaitu bawah-17, bawah-14 dan bawah-12.

Setiap pemain akan melalui 4 kategori latihan:

  • latihan beberapa hari sebulan di pusat latihan daerah
  • latihan sekali sebulan di 47 pusat latihan wilayah
  • latihan beberapa kali setahun di 9 pusat latihan negeri
  • latihan 5 hari setahun di pusat latihan kebangsaan di Shizuoka

7. 16 pemain terbaik akan dibekalkan oleh setiap negeri

Setiap tahun, pusat latihan daerah seluruh Jepun akan menghantar 30 pemain ke 47 pusat latihan wilayah.

Ini bermakna 47 pusat latihan wilayah ini akan mengumpulkan (30 pemain X 47 pusat latihan wilayah) = 1410 pemain di setiap peringkat umur!

1410 pemain yang dihantar oleh pusat latihan wilayah mereka akan ke pergi ke 9 pusat latihan negeri. Ini bermakna setiap pusat latihan negeri akan mengendalikan 156-157 pemain.

Daripada 156-157 pemain ini, setiap pusat latihan negeri hanya akan memilih 16 pemain terbaik sahaja.

Ini bermakna di peringkat kebangsaan, Jepun sudah mempunyai (16 pemain X 9 pusat latihan negeri) = 144 pemain terbaik di setiap peringkat umur.

8. Setiap pemain akan bermain 80-100 perlawanan setahun

Sistem sekolah di Jepun terdiri daripada 3 peringkat:

  • sekolah rendah (umur 6-12)
  • junior high school (umur 13-15)
  • high school (umur 16-18)

Setiap pemain dalam setiap peringkat umur akan bermain 80-100 perlawanan kompetitif SETAHUN.

Apabila mereka meninggalkan high school, mereka telah bermain maksimum 600 perlawanan kompetitif.

Apa kata delegasi FAM?

1. Pengarah Kejurulatihan FAM, Ronald Smith

Saya memperolehi maklumat tepat daripada orang yang paling penting – jurulatih peringkat akar umbi.

(Tetsuaki) Tsukuda bukan saja ahli Majlis Teknikal JFA, malah dia juga merupakan Ketua Jurulatih Pembangunan Sistem Pemain Muda JFA.

(Kohzo) Tashima pula bukan saja Pengarah Kejurulatihan JFA, malah turut menjadi jurulatih skuad bawah-15 juga.

Saya tak tahu perkara ini kalau saya tak datang. Ini memberikan kredibiliti kerana mereka mengamalkan apa yang mereka ajar kepada jurulatih lain.

Mereka adalah jurulatih muda yang tahu ilmu bola sepak moden. Bukannya mengulang-ulang ilmu 10 tahun lepas.

Tashima dan Tsukuda melakukan 2 kerja dalam masa yang sama. Mereka bukan saja melatih pemain muda. Malah mereka juga melatih jurulatih baru yang berkualiti.

Kami juga dapat tahu murid-murid sekolah bermain sehingga 100 perlawanan setahun. Kami sangat terkejut dengan jumlah perlawanan tersebut.

ron

Orang cakap main 100 perlawanan boleh menjejaskan perkembangan pemain muda, tetapi tengoklah persembahan skuad Olimpik Jepun. Pemain-pemain mereka adalah produk sistem ini.

Kita perlu menggalakkan murid-murid sekolah kita untuk bermain sebanyak perlawanan yang mungkin.

2. Pengarah Akademi FAM, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil

Kita perlukan kerjasama penuh daripada orang ramai, ibu bapa, guru-guru, jurulatih-jurulatih, sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa.

Kita juga perlu bersungguh-sungguh untuk melaksanakan polisi yang akan dirancang nanti. JFA sudah melihat apa langkah mereka seterusnya selepas Piala Dunia 2002.

Bagi saya, lawatan ini bukan satu pembaziran masa. Masa zaman 70-an dulu kita biasa mengalahkan Jepun dan lebih risaukan Korea Selatan. Sekarang Jepun dah mula menikmati kejayaan.

Walaupun Jepun dah mendapat kejayaan, mereka masih sukar untuk mencari duit untuk membiayai program pembangunan mereka.

Kita di Malaysia beruntung kerana kita ada duit.

Isu sekarang adalah sama ada kita boleh melaksanakan perancangan kita secara betul-betul atau tidak.

3. Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Shukor Abdullah

Kita memang akan rancang untuk mengadakan lebih banyak perlawanan kompetitif di kalangan murid sekolah. Saya rasa minat murid sekolah sekarang terhadap bola sepak telah berkurangan.

Ini menyebabkan tak banyak murid nak bermain bola sepak di peringkat sekolah.

Kita akan lanjutkan jadual MSSM untuk membenarkan pemain bermain bola sepak lebih lama. Contohnya, pelajar Tingkatan Empat boleh bermain beberapa kejohanan pendek pada bulan Ogos.

Tahun lepas, kita melancarkan kejohanan antara sekolah rendah. tahun depan, kita akan buat liga antara sekolah pula.

Ketika ini, kita tengah berkira-kira untuk melantik seorang pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah yang akan memantau semua aktiviti bola sepak di peringkat daerah.

4. Exco FAM, Dell Akbar Khan

Pembangunan bakat muda Jepun berjaya kerana J League memaksa semua pasukannya.

Contohnya untuk layak bermain dalam J League, setiap pasukan mesti mempunyai pasukan utama, pasukan simpanan, pasukan bawah-18, bawah-16 dan bawah-12.

verdy

Jadi setiap pasukan J League mesti beroperasi dalam satu sistem yang menggalakkan perkembangan sebanyak pemain yang mungkin.

Kita agak kekurangan kemudahan. Tetapi saya percaya kita boleh mengatasi kekurang padang bola di KL dengan membenarkan 2-3 sekolah berkongsi 1 padang.

Kesimpulan

Selepas 16 tahun, kita hanya baru melaksanakan 5 daripadanya. Itupun hanya selepas Projek Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) atau NFDP ditubuhkan.

Sehingga kini kita masih lagi gagal melakukan 3 perkara yang delegasi FAM belajar di Jepun pada 1999:

  1. Kita masih gagal mewujudkan suasana bola sepak kompetitif di sekolah.
  2. Kita masih gagal mewujudkan sistem pembangunan pemain muda yang konsisten dan sistematik.
  3. Kita masih gagal memastikan setiap pemain muda bermain 80-100 perlawanan setahun.

Mengapa selepas 16 tahun, kita masih tak praktis apa yang kita dah belajar?

Baca juga: 23 Tahun Selepas Belajar Daripada FAM, J League Kembali Ke Malaysia Sebagai Guru Pula

The post 8 Perkara Yang Kita ABAIKAN Daripada Lawatan FAM Ke Jepun Pada 1999 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

MALAYSIA: 10 Perkara Yang Perlu Dirombak

Berita buruk mengenai skuad kebangsaan yang tewas dengan sepuluh jaringan tanpa balas di tangan Emiriah Arab Bersatu dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018 (yang juga menentukan kelayakan ke Piala Asia 2019) betul-betul mendukacitakan seluruh warga Malaysia samada yang peduli atau tidak tentang bolasepak. Kekalahan yang paling teruk dalam sejarah bolasepak negara pada 3 September 2015 yang lalu di Stadium Mohammed bin Zayed, Abu Dhabi ibarat menabur garam di atas luka apatah lagi selepas Malaysia turut ditundukkan dengan jaringan yang besar oleh Thailand dalam Kejohanan Remaja B-19 AFF di peringkat separuh akhir (sebelum ditewaskan pula oleh pasukan tuan rumah Laos dalam penentuan tempat ketiga).

Walaupun ramai yang kecewa, berang, dan malu dengan keputusan tersebut, duniabolasepak.blogspot.com tetap mahu menyatakan penghargaan kepada bekas ketua jurulatih negara Dollah Salleh atas sumbangan beliau, salah satunya membawa pasukan negara muncul sebagai naib johan dalam Kejohanan AFF edisi ke-10 pada tahun lepas yang nampaknya kian dilupakan. Begitulah lumrah kehidupan, bila menang dipuji, bila kalah dikeji. Semoga pengganti Dollah Salleh, Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara dapat meneruskan tugas dengan baik bagi memastikan kelangsungan skuad negara di peringkat antarabangsa.

Dollah Salleh: Seorang yang berjiwa besar kerana berani bertanggungjawab
walaupun masalah yang dipikul bukan sepenuhnya di atas bahu beliau.
(gambar: www.bharian.com.my)

Jika dilihat dari sudut yang negatif, prestasi semasa pasukan kebangsaan hanya mengesahkan bahawa Malaysia adalah pasukan belasahan. Lebih memarahkan keadaan, maruah negara mudah sahaja diperkotak-katikkan sehingga tiada gol yang dijaringkan ke atas pasukan lawan. Setidak-tidaknya 2 gol dapat dijaringkan ketika menentang New Zealand dalam rekod kekalahan terbesar sebelum ini (Malaysia tewas 8-2 dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur pada 16 November 1967). Adakah Malaysia sudah sampai pada tahap nyawa-nyawa ikan, hidup segan mati tak mahu? Tiada siapa yang boleh menyalahkan takdir kerana apa yang terjadi adalah disebabkan oleh tangan-tangan (bukan dua tangan sahaja) yang lebih suka merosakkan daripada melakukan apa yang betul.

Akan tetapi, jika dilihat dari sisi yang positif, hikmah terciptanya satu rekod yang langsung tidak membanggakan ini sebenarnya mampu menjadi titik tolak bagi satu anjakan paradigma. Anjakan paradigma yang hanya boleh berlaku sekiranya tumpuan diberikan kepada menyelesaikan masalah dan bukannya mencari masalah dengan menyalahkan orang lain. Menjurus kepada punca sebenar bagi pelbagai masalah yang sedang dihadapi, terdapat sekurang-kurangnya sepuluh perkara yang perlu dirombak dengan segera. Sudah pasti ada lebih daripada sepuluh perkara yang perlu diperbaiki atau ditukar ganti namun cukup sekadar dua digit yakni 10 sahaja yang perlu disenaraikan buat masa ini.

  1. Aspirasi negara – Sungguh aneh apabila pasukan-pasukan luar negara lebih dekat di hati para penyokong bolasepak di negara ini walaupun hasrat (objective), tujuan (aim), sasaran (target), dan matlamat (goal) pasukan-pasukan tersebut langsung tiada kena-mengena dengan kepentingan diri. Apabila rakyat mula memakai jersi negara selepas merangkul kejuaraan Asia Tenggara pada tahun 2010, sudah tiba masanya untuk Malaysia melangkah ke peringkat Asia pula sebelum ke peringkat dunia. 
  2. Jadual perlawanan – Jadual pertandingan tempatan tidak semestinya diselaraskan betul-betul mengikut jadual antarabangsa. Cukuplah sekadar diatur dengan baik supaya tidak berlaku lagi kekalutan seperti baru-baru ini, antaranya episod perlawanan yang kurang sesuai dalam bulan Ramadan, perlawanan pertunjukan dengan kelab-kelab dari luar yang mengganggu persiapan skuad kebangsaan, dan sebagainya.
  3. Format Liga-M – Sebuah liga profesional yang mengumpulkan kesemua persatuan-persatuan negeri berpotensi menarik minat lebih ramai peminat dari negeri-negeri yang terlibat. Pengasingan pasukan-pasukan negeri daripada pasukan-pasukan kelab juga boleh mengawal bilangan pasukan-pasukan yang dibubarkan akibat masalah kewangan.
  4. Kejurulatihan – Keupayaan jurulatih tempatan adalah setara dengan mana-mana jurulatih asing jika diberi kepercayaan yang sepatutnya. Malah, mereka mempunyai kelebihan dalam memahami kemampuan serta sifat para pemain tempatan seperti yang ditunjukkan oleh Datuk Rajagopal Krishnasamy, satu-satunya jurulatih negara yang pernah memenangi kejuaraan utama.
  5. Pembangunan akar umbi – Tidak dinafikan bahawa cadangan mengambil pemain-pemain naturalisasi dilihat sebagai satu jalan pintas untuk menghasilkan kejayaan. Walaupun begitu, lebih banyak faedah berbaloi yang bakal diperoleh melalui pelan jangka masa panjang yang menyeluruh. 
  6. Pencarian bakat – Rancangan-rancangan televisyen realiti mungkin baik dari segi pembangunan komersial tetapi pencarian bakat yang sebenar tidak dapat dilakukan kerana tempohnya yang sangat singkat. Pelbagai program yang berbeza-beza juga tidak banyak membantu dalam penyelarasan antara peringkat lokal hingga ke peringkat kebangsaan.
  7. Kecergasan pemain – Jika diperhatikan, para pemain tempatan secara umumnya masih lagi bergelut untuk mengekalkan kecergasan dalam tempoh 90 minit waktu permainan biasa. Sekiranya perkara-perkara asas seperti pemakanan, kesihatan, pemulihan, dan psikologi terus diabaikan maka semakin sukarlah bagi para pemain tempatan untuk bertahan sehingga wisel penamat.
  8. Pemain import – Satu penyelesaian alternatif kepada kebanjiran awang import adalah dengan melahirkan pemain eksport. Dengan cara ini, pemain-pemain tempatan mempunyai peluang untuk bermain secara kerap di tempat orang kalau tidak di tempat sendiri.
  9. Pengiktirafan – Anugerah Bolasepak Kebangsaan adalah suatu inisiatif yang amat baik bagi mengiktiraf pemain-pemain terbaik pada masakini. Walau bagaimanapun, pemain-pemain terdahulu juga perlu diiktiraf dan dihargai dengan sebaiknya kerana tiada yang lama, tiadalah yang baru.
  10. PengurusanSkuad kebangsaan tidak seharusnya dibubarkan kerana para pemainlah yang berhempas-pulas dan berpenat lelah berjuang di atas padang semasa latihan mahupun dalam perlawanan. Sekiranya mahu dibubarkan juga sesuatu, pembubaran pihak atasan dalam pentadbiran (para pegawai) adalah yang paling wajar.

Sebagai rumusan, isu yang paling penting sekali adalah memastikan bahawa sokongan yang tidak berbelah bahagi hendaklah diberikan kepada negara yang tercinta ini (negara mana lagi, kalau bukan Malaysia). Hendaklah difahami juga bahawa semangat patriotik adalah kepada negara, bukannya kepada segolongan yang tamakkan kuasa. Oleh itu, memburuk-burukkan tanahair sendiri tanpa memberikan apa-apa sumbangan yang membina hanya mencerminkan betapa buruknya peribadi. Begitu jugalah apabila bercakap tentang para pemain kebangsaan yang menyarung jersi negara. Sedarlah bahawa mereka adalah yang terbaik dan yang paling layak mewakili negara di kalangan kita. Kalau benarlah mereka teruk seperti yang dikatakan, seteruk-teruk mereka, teruk lagilah kita. Namun, bukankah lebih baik jika mereka disokong dan didokong menjadi hebat, maka hebat jugalah kita?

DUNIA BOLA SEPAK

Incoming search terms:

5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang UAE

Esok pasukan kebangsaan kita akan menentang UAE dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018. Tetapi sejauh manakah pengetahuan kita tentang UAE?

Kami sediakan 5 perkara yang perlu anda tahu tentang pasukan yang kini berada di ranking 69 dunia ini.

1. Formasi

Ketua jurulatih mereka, Mahdi Ali, adalah bekas jurulatih skuad Olimpik UAE yang bertanding dalam Sukan Olimpik 2012. Mahdi pernah mengurus pasukan bawah-16, bawah-19 dan bawah-20 UAE. Jadi majoriti skuad UAE sekarang adalah bekas pemainnya daripada skuad pelapis dan Olimpik UAE.

Di bawah Mahdi Ali, UAE gemar bermain dengan formasi 4-4-2 atau 4-2-3-1.

uae442

2. Kesebelasan utama

Ahmed Khalil adalah nama tetap dalam jentera serangan UAE. Kebiasaannya penjaring terbanyak Piala Asia 2015, Ali Mabkhout, akan berpasangan dengan Khalil. Tetapi kadang-kala Mabkhout diletakkan di bahagian sayap kiri juga sebagai inside forward.

Mohamed Abdulrahman juga seperti Mabkhout. Boleh bermain sebagai penyerang dan pemain sayap kiri. Dalam perlawanan, beliau selalu bertukar-tukar posisi dengan Mabkhout untuk mengelirukan lawan.

Tetapi dalam perlawanan menentang Timor Leste baru-baru ini, UAE menurunkan Ismail Al Hammadi. Bukannya Mohamed Abdulrahman.

Adik Mohamed Abdulrahman, iaitu Omar Abdulrahman, merupakan perancang utama pasukan. Jika UAE bermain dalam formasi 4-4-2, Omar akan bermain di sayap kanan. Tetapi bukan sebagai pemain sayap. Sebaliknya sebagai perancang.

Sebagai pemain berkaki kiri, Omar gemar bergerak dari sayap kanan ke poket ruang di antara jentera tengah dan pertahanan lawan (cut inside).

Jika UAE bermain dalam formasi 4-2-3-1, Omar akan bermain di tengah. Di belakang penyerang utama, Ahmed Khalil.

Amer Abdulrahman (tiada kena mengena dengan Omar dan Mohamed Abdulrahman) pula adalah ‘Safiq Rahim’ UAE. Beliau selalunya digandingkan dengan pemain tengah yang lebih defensif. Selalunya Habib Al Fardan atau Khamis Eshmaeel.

Walid Abbas dan Abdulaziz Sanqoor pula adalah nama tetap bagi calon bek kiri dan kanan UAE.

Mohamad Ahmed dan Mohamad Salem pula dijangka akan mengemudi pertahanan tengah. Di gawang gol, penjaga gol muda mereka, Khalid Eisa, dijangka akan bermain menentang Malaysia.

UAE vs Malaysia - Football tactics and formations

 

3. Merancang serangan melalui Omar Abdulrahman

Karakter utama UAE dalam kejohanan Piala Teluk 2014 dan Piala Asia 2015 adalah: gemar menyerang. Ada sebabnya mengapa mereka gemar menyerang.

Satu: UAE lemah dalam bahagian pertahanan. Pemain sayap mereka tidak rajin membantu bek kanan dan kiri. Ketika seri 1-1 dengan Jepun, pertahanan mereka membenarkan 28 percubaan ke arah gol apabila mereka cuba mempertahankan kelebihan 1 gol mereka.

Kedua: UAE membina pasukan yang memaksimumkan potensi bakat Omar Abdulrahman.

Pertukaran taktikal Dollah Salleh kepada formasi 5-3-1-1/5-4-1 semasa menentang Bangladesh tempohari ada kaitannya dengan potensi serangan UAE. Tetapi Dollah amat naif jika memikirkan Ahmad Khalil dan Ali Mabkhout sahaja yang perlu dijaga.

Dollah perlu memikirkan cara untuk meneutralisasikan Omar Abdulrahman.

462514396

Beliau gemar beroperasi di ruang antara jentera tengah dan pertahanan lawan. Seorang defensive midfielder yang rajin adalah satu kemestian dalam perlawanan ini.

Baca: Kenali Omar Abdulrahman

4. Khalil dan Mabkhout akan banyak membuat larian ke ruang

Sama ada ruang di belakang pertahanan (kerana push up) atau di bahagian sayap (kerana wing back belum sempat balik ke posisi), Ahmed Khalil dan Ali Mabkhout akan berlari ke arah itu.

Dan kebiasaannya, Omar Abdulrahman sentiasa nampak larian mereka melalui visinya. Dan seterusnya membuat hantaran maut (killer pass) melalui teknik hantarannya yang cemerlang.

Apa yang Dollah boleh lakukan adalah mengarahkan Amirizwan, Afif dan Junior supaya sentiasa tidak meninggalkan ruang besar di belakang mereka. Dalam erti kata lain, amalkan deep defending.

Khalil, Mabkhout dan Omar tidak akan berfungsi jika tiada ruang bagi mereka untuk dieksploit.

5. 4 pemain serangan akan memberi tekanan kepada pertahanan

Ahmad Khalil bukan sahaja penyerang yang klinikal, malah rajin memberi tekanan kepada pertahanan juga. Kebiasaannya, 2 penyerang dan pemain sayap UAE akan memberi tekanan kepada jentera pertahanan lawan.

459464330

Mujurlah Dollah mencuba formasi baru yang tepat tempohari.

Dengan 5 pertahanan, jentera pertahanan negara mempunyai kelebihan 1 pemain dalam situasi 5v4.

Berdasarkan apa yang ditunjukkan ketika menentang Bangladesh, Afif dan Junior juga mampu membawa bola keluar dari zon pertahanan ke zon tengah.

Kebolehan ini membantu kekurangan Malaysia yang hanya mempunyai 2 pemain sahaja di tengah dalam formasi baru Dollah ketika merancang serangan.

Tetapi dengan syarat. Wan Zack dan Joseph Kalang Tie perlu lebih banyak beroperasi di kawasan tengah. Bukannya di kawasan sayap seperti dalam separuh masa pertama menentang Bangladesh.

Baca juga: ANALISIS TAKTIKAL PERLAWANAN PERSAHABATAN: MALAYSIA 0-0 BANGLADESH

The post 5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang UAE appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

10 Perkara Yang Pemain Bola Sepak Lalui Ketika Pra-Musim

Tidak ramai yang tahu apa sebenarnya yang dialami oleh pemain bolasepak professional ketika pra-musim. Pemain Norwich City, Nathan Redmond berkongsi tentang 10 perkara yang biasa dihadapi oleh pemain professional.

1. Latihan sehingga 3 kali sehari

Pemain akan bermula dengan memanaskan badan sebelum beralih ke latihan teknikal di padang kecil atau penguasaan bola di padang besar. Kemudian mereka akan melakukan sesi larian pecut (sprints) dan larian ulang-alik (shuttle runs).

shuttlerun

Semua latihan ini hanyalah sesi pagi. Selepas makan tengah hari, pemain akan kembali ke padang untuk melakukan sesi larian pula. Kadang kala, pemain melakukan 3 latihan dalam masa sehari. Ia meliputi sesi larian, sesi di gimnasium dan sesi bermain bola sepak.

2. Kesakitan seluruh badan pada keesokan hari

Selepas sesi latihan yang berat, pemain akan melakukan mandian ais atau mendapatkan urutan untuk mempercepatkan pemulihan kecergasan. Tetapi kesakitannya tidak akan datang sehinggalah pada keesokan harinya.

Apabila pulang ke rumah selepas latihan, kebiasaannya mereka akan terus berehat dan tidur. Tetapi apabila mereka bangun tidur, ketika itulah DOMS (delayed onset muscle soreness) akan menjelma. Ketika itu satu badan mereka rasa sakit.

3. Terlalu penat untuk bergurau

Pada sesi-sesi awal pra-musim, pemain terlalu penat sehinggakan mereka tidak mampu untuk bergurau dengan rakan sepasukan lain. Namun selepas sesi larian dan kerja keras sudah berakhir, mereka akan kembali normal.

4. Makan telur separuh masak setiap hari

Pada waktu pagi sesi latihan, pemain akan mengambil protein shake untuk membantu badan cepat pulih daripada sesi latihan semalam. Apabila mereka sampai ke kompleks latihan pasukan, mereka akan makan 2 biji telur separuh masak dan ikan salmon.

Ketika di tengah-tengah latihan, mereka akan minum minuman tenaga dan makan protein bar.

 5. Tidak suka menjalani beep test

Beep test – sesi larian pecut sejauh 20m yang sentiasa meningkat intensitinya – adalah ujian yang paling tidak digemari oleh pemain. Tiada siapa yang sukakan beep test dan ia adalah bahagian paling tidak digemari oleh pemain ketika latihan pra-musim.

6. Sesi larian ‘four fours’ meningkatkan kecergasan dengan cepat

Permainan bola sepak moden menekankan aspek larian jarak dekat dan pantas. Inilah yang ditekankan dalam sesi latihan ‘four fours’ – sesi latihan di mana pemain berlari pada intensiti yang tinggi selama 4 minit sebelum berehat selama 4 minit.

7. Berehat dengan bermain sukan lain

Pemain akan bermain sukan lain untuk mengurangkan tekanan antara sesi latihan. Kebiasaannya mereka bermain dart dan ping pong. Sukan ini tidak memerlukan tenaga yang banyak dan membantu mereka menghabiskan masa antara sesi latihan.

8. Perlawanan persahabatan adalah cara terbaik untuk cergas

Minggu pertama dan kedua pra-musim biasanya hanyalah melibatkan sesi larian dan sedikit latihan teknikal. Kemudian, mereka akan cuba mendapatkan 45 minit masa bermain dalam perlawanan persahabatan yang diadakan dua kali seminggu.

9. Setiap pemain ada latihan individu yang khas

Latihan setiap pemain akan direka dan disusun oleh pasukan sains sukan mengikut keperluan fisiologi mereka ketika bermain di padang.

Jika dulu pemain sayap yang kecil mudah ditumbangkan oleh pertahanan yang berbadan besar, kini – terima kasih kepada kemajuan sains sukan – pemain sayap dapat mengfokuskan latihan mereka untuk menguatkan upper body dan kaki. Hasilnya mereka tidak akan mudah dibuli pemain pertahanan.

10. Cuti pemain bolasepak tidak panjang

Masa cuti pemain bola sepak tidak panjang terutamanya bagi pemain yang perlu mewakili negara pada musim panas (Piala Dunia, Copa America, Euro Championship, Euro Under-21 dan sebagainya). Musim cuti yang beberapa minggu ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketika inilah mereka dibenarkan untuk buat apa yang mereka mahu, makan apa yang mereka mahu dan bercuti bersama keluarga. Kemudian mereka perlu fokus dan sediakan diri secepat mungkin sebelum musim baru bermula.

Baca juga: 5 KERJAYA IMPIAN PEMINAT BOLA SEPAK YANG BOLEH ANDA CUBA

The post 10 Perkara Yang Pemain Bola Sepak Lalui Ketika Pra-Musim appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA