Celtic Kelab UK Pertama Perkenalkan Semula Zon Berdiri Selepas Tragedi Hillsborough 1989

Kini peminat Celtic mempunyai lebih sebab untuk memenuhi setiap ruang di Celtic Park!

Celtic FC secara rasminya menjadi kelab pertama di United Kingdom yang menyediakan zon  selamat berdiri (safe standing zone) di stadium untuk penyokong mereka.

Zon yang telah dikhaskan di penjuru timur laut tempat penduduk penonton di Celtic Park ini mempunyai kapasiti sebanyak 2,600 tempat duduk.

Zon selamat berdiri ini telah pun dibuka secara rasmi kepada umum pada perlawanan persahabatan antara Celtic dan kelab Jerman, Woflsburg.

Celtic menang 2-1 dalam perlawanan pershabatan tersebut.

Apa itu zon selamat berdiri?

Zon selamat berdiri merupakan satu zon di kawasan tempat duduk penonton yang boleh diubahsuai menjadi kawasan penyokong berdiri untuk bersorak.

Ini bererti zon selamat berdiri mempunyai tempat duduk yang boleh dikunci apabila tidak digunakan.

Jika penyokong mahu berdiri untuj bersorak, terdapat besi pemegang setinggi paras pergelangan tangan yang boleh dipegang oleh mereka ketika berdiri.

safe standing4

Zon selamat berdiri digunakan secara meluas di negara seperti Jerman dan Austria. Tetapi aplikasinya masih lagi terhad kerana ia hanya boleh dibuka ketika perlawanan domestik sahaja.

Ini bermakna ketika perlawanan anjuran UEFA seperti UEFA Champions League dan UEFA Europa League, setiap kerusi di zon selamat berdiri perlu dibuka.

UEFA menetapkan setiap kejohanan kelolaan mereka perlu dimainkan di stadium yang mempunyai tempat duduk sepenuhnya (all-seated).

Usaha selama 6 tahun membuahkan hasil

Untuk merealisasikan impian penyokong mereka yang mahukan zon selamat berdiri di Celtic Park, Celtic terpaksa berhati-hati kerana ia melibatkan isu keselamatan penonton stadium.

Mula dibincang sejak 2010, hasrat penyokong Celtic ini akhirnya mendapat kebenaran Majlis Bandaraya Glasgow pada Jun 2015.

Ketua Eksekutif Celtic FC, Peter Lawwell (gambar bawah) menjelaskan perlaksanaan zon selamat berdiri ini adalah pelaburan kelab kepada kumpulan penyokong fanatik mereka yang memilih untu berdiri ketika bersorak.

safe standing

Idea mewujudkan zon selamat berdiri merupakan idea yang masih diharamkan di England berikutan tragedi Hillsborough pada tahun 1989.

5 tahun kemudian pada tahun 1994, zon berdiri mula diharamkan di semua stadium pasukan dua liga tertinggi (Premier League dan Championship) di England.

Walaupun pengharaman zon berdiri ini tak diwajibkan di Scotland, banyak stadium mengikut jejak langkah kelab-kelab bola sepak England untuk mengelak tragedi Hillsborough berulang.

Menarik minat kelab-kelab Scotland lain

Langkah yang dilakukan di Celtic disambut baik oleh kelab-kelab lain di Scotland.

Namun begitu, rata-ratanya tidak mampu melaksanakannya kerana kekangan kewangan.

Dundee United misalnya pernah merancang untuk memperkenalkan semula zon selamat berdiri dan menjadi kelab pertama di Scotland melakukannya, namun projek itu tertangguh dan masih tiada khabar berita sehingga kini.

Aberdeen pula merancang untuk mewujudkan zon tersebut apabila mereka membina stadium baru kelak.

Manakala bagi Hearts, mereka terpaksa memilih sama ada untuk menggunakan wang yang mereka ada untuk mewujudkan zon selamat berdiri atau membangunkan semula kerusi utama (main stand) mereka yang sudah berusia 100 tahun di Tynecastle.

Bagi kelab Hamilton Academical pula, cadangan itu tidak praktikal bagi mereka kerana hanya mempunyai jumlah sokongan yang kecil.

Reaksi mengenai zon selamat berdiri

Majoriti reaksi yang diterima dari penyokong Celtic mengenai zon selamat berdiri ini adalah positif.

Zon ini dapat menempatkan lebih ramai orang dalam satu-satu perlawanan. Harga tiket untuk zon itu juga lebih murah.

safe standing2

Tetapi terdapat juga reaksi yang kurang enak didengar.

Gerakan ultras Celtic yang dikenali sebagai Green Brigade telah pun dipindahkan ke zon selamat berdiri itu atas tujuan keselamatan oleh pihak kelab.

Sebelum ini, mereka di tingkat atas stadium dimana boleh mengundang bahaya jika mereka terus berdiri di atas sana.

green brigade

Seorang penyokong Celtic melahirkan rasa tidak puas hati selepas keputusan ini berlaku, kerana tempat duduk beliau telah diubah oleh pihak kelab tanpa persetujuaannya.

Beliau merasa kecewa kerana beliau sudah 20 tahun berada di situ dan sudah mempunyai nilai sentimental dengan tempat duduknya itu – iaitu pergi menonton perlawanan bersama ayahnya yang sudah tiada lagi.

Keputusan Celtic untuk mewujudkan zon selamat berdiri juga telah mendapatkan perhatian pihak menteri.

Menteri Sukan Tracey Crouch mengatakan keputusan larangan mewujudkan zon selamat berdiri akan ‘dikaji semula’ bagi semua stadium di England.

Namun begitu, ia perlu mengambil kira pandangan ahli keluarga mangsa tragedi Hillsborough yang berlaku pada 1989.

Rata-rata ahli keluarga mangsa membidas tindakan mewujudkan zon selamat berdiri yang dianggap satu tindakan pusingan-U yang kolot.

hillsborough

Baca juga :  11 Pemandangan Yang Anda Dapat Jika Membeli Tiket Termurah Di 11 Stadium

The post Celtic Kelab UK Pertama Perkenalkan Semula Zon Berdiri Selepas Tragedi Hillsborough 1989 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Kelab Argentina, CA Tigre Perkenalkan Mikrocip Untuk Ditanam Dalam Badan Penyokong

Di Argentina – sebuah negara Amerika Selatan yang gilakan bola sepak – penyokong bola sepak mereka sering berkata ‘llevar al club adentro’ (kau sentiasa berada dalam tubuhku) untuk menyatakan sokongan tak berbelah bahagi mereka kepada kelab bola sepak mereka.

Ia adalah sebuah metafora yang indah untuk penyokong kelab bola sepak. Tetapi sebuah kelab Argentina di Primera División ingin menguji sejauh mana penyokong mereka mampu membuktikan metafora tersebut.

Baru-baru ini, Club Atlético Tigre (CA Tigre) melancarkan kad keahlian kelab dalam bentuk mikrocip yang boleh ditanam dalam badan penyokong mereka.

0014654070 Cg6IWsRWMAAWzci

Menurut setiausaha agung CA Tigre, Ezequiel Rocino berkata mikrocip tersebut membolehkan penyokong masuk ke dalam stadium semasa hari perlawanan tanpa tiket dan kad ID.

“Kami ada pengimbas di pintu masuk stadium yang akan membaca data mikrocip tersebut, untuk melihat sama ada penyokong kelab tersebut sudah membayar yuran keahliannya. Jika ya, penyokong tersebut boleh masuk ke dalam stadium.”

Penyokong CA Tigre yang pertama mendapatkan mikrocip tersebut adalah – siapa lagi kalau bukan setiausaha agung kelab, Ezequiel Rocino sendiri.

Beliau menanam mikrocip tersebut di lengan tanganya, di bawah permukaan kulit yang mempunyai tatu berwarna biru dan merah CA Tigre.

0426_tigre_g

Mikrocip tersebut adalah mikrocip sama yang digunakan oleh pemilik anjing dan kucing untuk menjejak haiwan peliharaan mereka jika hilang.

Rocino menjelaskan penyokong bebas untuk memilih sama ada untuk mendapatkan tiket, kad ID atau mikrocip tersebut. Mikrocip tersebut juga tidak akan menganggu hak privasi penyokong.

“Kami tak buat apa-apa yang menceroboh privasi penyokong. Kami hanya mahu mempercepatkan proses masuk ke stadium. Mikrocip ini tiada pengesan GPS. Cuma data keahlian kelab.”

Tinjauan kami di media sosial CA Tigre mendapati majoriti penyokong CA Tigre memberikan respons yang kurang memberangsangkan terhadap mikrocip ini.

Baca juga: Liga Argentina (Primera Division): Liga Yang Disertai Oleh 30 Pasukan

The post Kelab Argentina, CA Tigre Perkenalkan Mikrocip Untuk Ditanam Dalam Badan Penyokong appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Nike Perkenalkan Anti-Clog Traction; Kasut Bola Yang Halang Lecah Melekat Di Tapak

Berdasarkan kenyataan dan video rasmi Nike tentang Nike Anti-Clog Traction, produk terbaru mereka ini bakal mendapat sambutan pemain-pemain bola sepak di Malaysia. Terutamanya pemain amatur.

Sejak bertahun lamanya, pemain bola sepak amatur (kadang-kala profesional) yang kerap bermain di padang yang basah terpaksa pasrah bermain dengan tanah yang melekat di tapak kasut bola mereka.

Tanah yang melekat di tapak kasut mereka menyebabkan kasut mereka menjadi berat dan menyumbat ruang antara studs. Ini membuatkan larian mereka menjadi perlahan kerana kasut yang berat dan licin.

Selepas bermain, pemain juga terpaksa menghabiskan masa untuk membersihkan kasut bola mereka dari tanah yang melekat.

Mujurlah dengan Nike Anti-Clog Traction, masalah ini akan selesai.

Nike Magista lengkap dengan Anti-Clog Traction (sumber: Nike)
Nike Magista lengkap dengan Anti-Clog Traction (sumber: Nike)

Bagaimana Nike Anti-Clog Traction berfungsi?

Nike Anti-Clog Traction berfungsi untuk menghalang tanah melekat di tapak kasut bola keluarannya seperti model Tiempo, Magista dan Hypervenom.

Nike Magista (sumber: Nike) Nike Tiempo (sumber: Nike) Nike Hypervenom (sumber: Nike)

Teknologi ini dibangunkan hasil kajian 2 tahun oleh Dr. Jeremy Walker – pemegang ijazah kedoktoran kejuruteraan sains bahan – dan pasukannya di Nike Innovation Lab.

Bahagian tapak Nike Anti-Clog Traction mengandungi polimer yang bersifat hidrofilik (sukakan air).

Pada mulanya pasukan Dr. Walker di Nike Innovation Lab mencuba pelbagai mekanisme dan bahan tapak kasut yang mampu menyingkirkan air. Tetapi ianya tak berjaya.

“Kami berhenti berfikir untuk menyingkirkan air dari tapak kasut. Sebaliknya kami gunakan air sebagai kelebihan kami.”

Dengan polimer hidrofilik, tapak kasut akan membentuk satu lapisan air tanpa menjejaskan daya geseran. Lapisan air di tapak kasut inilah yang akan menghalang tanah daripada melekat di tapak kasut Nike.

“Memahami struktur molekul lecah adalah kunci kami untuk menghasilkan Nike Anti-Clog Traction. Lapisan hidrofilik di tapak kasut ini akan menghalang tanah daripada melekat.”

Nike Anti-Clog Traction akan dijual di pasaran pada kuantiti terhad melalui Nike Football App pada 15 April 2016 nanti.

Model Tiempo, Magista dan Hypervenom yang dilengkapi Nike Anti-Clog Traction akan mempunya simbol heksagon di bahagian tapak kasutnya.

Nike Magista (sumber: Nike) Nike Tiempo (sumber: Nike) Nike Hypervenom (sumber: Nike)

Bagaimanapun Nike belum mendedahkan lagi harganya.

Baca juga: Panduan Memilih Kasut Bola Dengan Studs Yang Betul

The post Nike Perkenalkan Anti-Clog Traction; Kasut Bola Yang Halang Lecah Melekat Di Tapak appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA