Noordin ambil tindakan bijak pilih Bari

Sumber: Utusan

DUA bulan lalu tiada sesiapa pun di negara ini memikirkan siapa Datuk Dr. Noordin Ahmad dan FC Bari 1908. Bagaimanapun semuanya berubah selepas nama Noordin mula menjadi sebutan media Itali sebelum impaknya melimpah ke negara ini.

Keputusan Noordin, 59, membeli kelab bola sepak Serie B itu pada 8 April lalu telah membuatkan beliau dikenali di negara ini dan di Itali dalam sekelip mata. Enjin ca­rian internet seperti Google bagaikan dikerah bekerja keras untuk mencari jawapan siapa sebenarnya Noordin namun hingga kini maklumat berhubung pemilik FC Bari itu terhad berikutan sikap low profile jutawan Malaysia berkenaan.

Menerusi pemilikan baharu ini, Noordin menjadi pemegang saham majoriti Bari dengan 50 peratus, Presiden FC Bari 1908, Gianluca Paparesta mengekalkan 45 peratus manakala Cosmo Giancaspro kekal dengan pemilikan lima peratus.


Noordin yang berasal dari Manjoi, Perak memilih untuk membeli Bari bukan sekadar kerana minatnya terhadap bola sepak tetapi kerana ingin membalas budi rakyat Itali yang menyelamatkan nyawanya ketika mengalami serangan jantung 10 tahun lalu.

Dalam satu sidang akhbar di Bari baru-baru ini, Noordin memberitahu dia mengalami serangan jantung ketika sambutan Krismas di Itali dan kecekapan doktor perubatan negara itu merawatnya membuatkannya berhutang budi sekali gus berazam untuk me­lakukan sesuatu bagi membalas budi rakyat Itali.

Pembelian Bari oleh Noordin bagaikan memberi satu nafas baharu buat kelab dari selatan Itali itu yang dihimpit dengan masalah kewangan kritikal walaupun ada yang mempersoalkan tindakannya kerana membeli kelab yang sekadar bermain dalam Serie B, bukannya liga utama Serie A. Ada juga yang memikirkan keputusan Noordin itu mampu merugikannya kerana Bari adalah kelab yang sentiasa berhadapan dengan masalah kewangan.

Bagaimanapun, apa yang dilakukan oleh Noordin boleh dianggap tepat pada masanya kerana ketika ini Bari berada dalam kelompok lima terbaik dalam persaingan Serie B selepas 42 perlawanan sekali gus berpeluang untuk merebut salah satu slot dalam liga utama Serie A menerusi perlawanan playoff. Kali terakhir Bari beraksi dalam saingan Serie A adalah pada musim 2010/2011.

Stadium San Nicola yang merupakan ge­langgang Bari, merupakan antara stadium terbesar di Itali. Boleh memuatkan 58,270 penonton, stadium pelbagai guna itu siap dibina pada 1990 untuk menjadi salah satu gelanggang perlawanan Piala Dunia tahun itu. Menariknya, stadium itu boleh dikatakan hampir penuh setiap kali perlawanan melibatkan Bari dan mencatatkan purata kedatangan penonton paling besar dalam liga Itali sungguhpun pasukan mereka hanya beraksi dalam divisyen dua.

Malah tiada yang merugikan buat Noordin apabila membeli FC Bari pada April lepas tambahan pula harga yang ditawarkan kepadanya juga amat memadai iaitu sekitar RM54 juta.

Bukan itu sahaja, membeli kelab itu juga mampu membuka laluan perniagaan buat ahli perniagaan seperti Noordin. Noordin dilihat sebagai seorang ahli perniagaan berpandangan jauh apabila memilih kelab itu, yang terletak di bandar industri terbaik di Itali.

Bandar Bari amat terkenal sebagai salah satu daripada dua pusat ekonomi terpenting di selatan Itali selepas Naples dengan populasi penduduk sebanyak 326,799 orang.

Memiliki kelab Itali itu juga boleh dijadikan serampang dua mata oleh Noordin, yang dilaporkan memiliki butik di ibu negara Itali, Rom, kerana ini akan membolehkan beliau melebarkan empayar perniagaan di bandar yang dianggap sebagai ‘California of the South’ berikutan pembangunan hebatnya di dalam Itali.

Lokasi geografi Bari yang terletak berhadapan Lautan Adriatic memberikannya banyak kelebihan dari aspek ekonomi dan pelancongan di bandar tersebut. Sebagai bandar komersial dan industri di Itali, Bari mempunyai ciri-ciri diinginkan oleh seorang ahli perniagaan seperti Noordin yang terlibat dalam industri minyak dan gas, pertahanan serta fesyen.

Ketika ini penyumbang utama ekonomi Bari adalah petroleum, mesin, percetakan dan tekstil dan ahli perniagaan pasti mahu meneroka segala peluang. Selain berupaya meluaskan perniagaan di Itali, Noordin juga mempunyai misi murni dalam membantu bola sepak di negara ini dengan memiliki FC Bari.

Pada Khamis lepas Noordin mengakui tujuan utamanya memilih kelab tersebut adalah untuk memberi peluang kepada anak muda di negara ini menimba pengalaman bersama Bari bermula dengan pemain dari Kelantan.

“Mungkin kita boleh bawa tiga pemain terbaik Kelantan menjalani latihan di sana, mesti yang terbaik. Saya mahu beri masa depan cerah kepada pemain. Mungkin selepas ini ada pemain kita yang dapat beraksi di kelab Jerman, Sepanyol atau Perancis,” kata Noordin.

Ini bukan kali pertama ahli perniagaan Malaysia membuat pelaburan dengan kelab luar apabila Tan Sri Anthony Fernandes membeli kelab Inggeris Queens Park Rangers (QPR). Pengerusi Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan pula menjadi pemilik Cardiff City, yang kini bersaing bersama QPR dalam Liga Kejuaraan, pada Mei 2010 selain turut membeli kelab juara Liga Bosnia, FK Sarajevo.


LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

Pengenalan Kepada Jenis-Jenis Label Kasut Bola Di Kedai & Bagaimana Untuk Pilih?

Ketika anda pergi ke kedai barangan sukan untuk membeli kasut bola baru, pernahkah anda jumpa dengan istilah-istilah FG, HG, SG, TF, AG dan IC?

Adakah anda faham maksud terma-terma ini dan kaitannya dengan kasut yang anda beli?

a54122314e013c65a4db4d30c6b727e7

Kali ini, kami ini akan membantu anda untuk memahami terma-terma ini dan fungsinya kepada kasut bola anda. Ini adalah untuk memastikan anda memilih kasut yang paling sesuai dan betul.

Faktor pemilihan kasut bola

Apabila anda ingin membuat pembelian kasut bola yang baru, perkara yang pertama yang harus anda pertimbangkan adalah jenis padang yang anda akan beraksi.

Secara amnya,terdapat 6 jenis permukaan padang, dan setiap satunya mempunyai kasut bola khusus untuk setiap jenis padang.

Menggunakan kasut bola yang salah di permukaan padang yang salah boleh mengganggu cara anda bermain. Paling menakutkan, kaki anda juga berisiko untuk ditimpa kecederaan.

Berikut adalah 6 jenis kasut bola untuk 6 jenis permukaan padang.

FG – Firm Ground (tanah padat)

118614 121449 FG

Sesuai digunakan di: Permukaan tanah padat dengan rumput pendek. Padang biasanya kering, berada di kawasan yang beriklim panas dan sederhana, dan menerima purata hujan kurang dari 150 hari dalam setahun.

Kebanyakkan kasut bola yang dipamerkan di rak kedai-kedai kasut di Malaysia adalah dari jenis Firm Ground (FG) ini.

Terdapat dua jenis corak studs yang biasa digunakan oleh kasut jenis ini iaitu studs jenis kon dan studs jenis blade (gambar bawah).

12593487_10206847102628489_3375976839352790083_o

Studs jenis kon lebih sesuai digunakan ketika keadaan padang adalah lembap dan studs jenis blade pula lebih sesuai untuk keadaan padang yang lebih kering.

Cuma hati-hati, studs jenis blade sangat berbahaya untuk dipakai jika permukaan padang tak rata!

HG – Hard Ground (tanah keras)

HG umbro 94016 117918

Sesuai digunakan di: Permukaan padang rumput yang kering dan keras

Kasut bola jenis ini sebenarnya amat mirip dengan jenis FG. Cuma di UK dan Ireland mereka lebih gemar memanggil dengan terma Hard Ground (HG), terutamanya syarikat Umbro.

Jika kasut bola FG boleh digunakan di permukaan padang lembap dan kering, kasut bola HG khas untuk permukaan padang kering sahaja.

Jumlah studs-nya juga lebih banyak dan pendek.

SG – Soft Ground (tanah lembut)

SG 118643 121457

Sesuai digunakan di: permukaan padang yang lembut, becak, berlecah atau mempunyai rumput yang panjang.

Kasut bola dari jenis Soft Ground (SG) ini biasanya menggunakan studs logam berbentuk bulat. Jumlah studs pula sedikit berbanding kasut bola FG dan HG.

Rekaan klasik kasut jenis ini biasanya mempunyai hanya 6 studs – 4 studs di bahagian tapak dan 2 studs di bahagian tumit.

Dengan jumlah studs yang minimum, kasut bola SG tidak akan mudah lekat di permukaan padang yang basah dan berlecah.

Berbanding kasut bola FG yang lebih universal penggunaannya, kasut bola SG ini jarang digunakan. Apatah pula sejak penggunaannya banyak diharamkan dalam liga amatur, kerana studs logam senang mencederakan pemain.

AG – Astrograss / Artificial Grass (padang tiruan)

TF 122388 121452

Sesuai digunakan di: permukaan padang rumput tiruan.

Kasut bola jenis Artificial Ground (AG) biasanya mempunyai banyak studs pendek dan tebal. Ini adalah untuk memberi cengkaman tambahan ketika beraksi di atas padang tiruan.

Kasut jenis ini juga biasanya kelihatan lebih berkilat kerana ia mempunyai lapisan laquer – sejenis lilin khas yang melindungi kasut tersebut dari ketajaman rumput tiruan.

Studs kasut bola AG juga ada kalanya berlubang untuk memberikan lebih cengkaman dan membuatkannya lebih ringan.

Terdapat dua jenis rumput tiruan yang popular di Malaysia – 3G dan 4G.

Padang tiruan 3G mempunyai biji-biji getah kecil pada permukaannya.

Manakala padang rumput tiruan 4G lebih realistik, dengan rumput yang lebih panjang dan mempunyai gabungan biji-biji getah kecil dan pasir dibawah permukaannya.

IC – Indoor Court

ic 118616 122386

Sesuai digunakan di: permukaan gelanggang futsal.

Kasut bola jenis ini Indoor Court (IC) atau Indoor Trainer (IT) direka khusus untuk perlawanan bola sepak indoor seperti futsal.

Kasut jenis ini umumnya mempunyai tapak yang lebih rata, dengan kebolehan untuk melentur.

Ia juga amat fleksibel dan lebih selesa dipakai berbanding jenis kasut bola yang lain kerana mempunyai tapak getah sintetik.

ST – Street Soccer

108840 ST

 

Sesuai digunakan di: permukaan tar jalan raya

Kasut bola jenis Street Soccer (ST) ini tak banyak bezanya dengan kasut futsal, tetapi direka  dengan jahitan berkembar dan tapak getah yang lebih keras.

Kasut jenis ini tidak mempunyai pengelasan yang khusus, namun sesetengah pengeluar kasut melabelkan kasut bola khas untuk street soccer sebagai ST.

Kesimpulan

Sebelum membeli kasut bola, lihat dulu jenis permukaan padang yang anda akan bermain.

Kemudian yang paling penting sekali, pastikan kaki anda selesa dan saiz kasut anda tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil. Barulah anda boleh memberikan persembahan 100% di atas padang!

Baca juga: Panduan Memilih Kasut Bola Dengan Studs Yang Betul

 

The post Pengenalan Kepada Jenis-Jenis Label Kasut Bola Di Kedai & Bagaimana Untuk Pilih? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Ku Pilih Malaysia

Memang la pilih Malaysia.. orang Malaysia kan. Cuma, apa kata pilih Malaysia yang lebih baik? Tapi ini bukan pasal politik demokrasi berparlimen negara. Ini adalah mengenai pentadbiran bolasepak negara. Football Association of Malaysia (FAM) yang ditubuhkan pada tahun 1933 serta beribupejabat di Wisma FAM, Kelana Jaya secara rasminya diiktiraf sebagai badan induk bolasepak negara apabila menjadi ahli gabungan FIFA (1956), AFC (1958), dan juga AFF (1984). FAM bertanggungjawab dalam hal ehwal sukan bolasepak Malaysia di peringkat kebangsaan di samping turut terlibat dalam beberapa aktiviti bolasepak antarabangsa. Begitulah tanggapan orang ramai. Namun, satu persoalan telah timbul. Adakah pihak yang dipertanggungjawabkan dalam FAM benar-benar bertanggungjawab dalam tanggungjawabnya itu?

Adakah masih relevan? FAM mewakili Malaysia.

Datuk Rajagopal a/l Krishnasamy yang merupakan ketua jurulatih pasukan bolasepak kebangsaan (masih lagi pada ketika artikel ini sedang ditulis) akan sentiasa diingati pencapaiannya dengan membantu skuad negara memenangi semula pingat emas Sukan SEA pada tahun 2009 di Laos, genap 20 tahun selepas kali terakhir Malaysia memenanginya pada tahun 1989 di Kuala Lumpur. Seperti tidak cukup dengan itu, anak-anak buah K. Rajagopal membuat satu lagi kejutan pada tahun berikutnya apabila buat julung-julung kalinya menjadi juara Asia Tenggara dengan menghadiahkan pula kejohanan Piala Suzuki AFF 2010. Bukan itu sahaja, nama-nama seperti Khairul Fahmi Che Mat, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha, dan tentu sekali Safee Sali mula dikenali dengan lebih meluas di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur samada yang muda mahupun yang tua.

Sekiranya tidak lama dahulu hanya jersi-jersi pasukan bolasepak luar negara yang dibeli dan dipakai dengan megah, kini jersi skuad kebangsaan juga sudah mula kelihatan. Jersi skuad kebangsaan tidak lagi dipandang lekeh. Tiada lagi perasaan malu untuk dipakai. Jersi kuning berbelang hitam ataupun yang berwarna biru itu dipakai tanpa segan silu malah dengan bangganya. Seluruh warganegara Malaysia dengan bersatunya kembali yakin bahawa Malaysia sememangnya boleh. Semuanya adalah hasil usaha serta penat lelah 11 orang pemain yang berada di atas padang dan juga beberapa individu yang berada di tepi garisan. Pihak-pihak yang lain hanya boleh tumpang gembira itupun kerana telah memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bagi. Tidak seharusnya sesiapa pun yang boleh mengambil kejayaan tersebut dengan merampasnya daripada mereka.

Datuk K. Rajagopal dan beberapa pemain kebangsaan beramah mesra dengan para peminat.
(sumber: Berita Harian)

Malangnya, ada pihak yang menganggap mereka lebih berhak mendapat perhatian serta penghargaan daripada kejayaan-kejayaan yang dikecapi. Lebih malang lagi apabila wira-wira negara yang dijulang oleh rakyat sendiri cuba diketepikan dan kalau boleh dipadamkan terus namanya. Ya, harus diakui bahawa adakalanya tiap-tiap manusia itu jatuh setelah bangunnya. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang patut berbuat zalim atau dibiarkan dizalimi. Tujuan sebenar artikel ini bukanlah untuk menghentam, apatah lagi untuk mengutuk sesiapa, tetapi hanyalah untuk berkongsi dan berpesan kebaikan kepada yang boleh mendengar dan melihat. Sekiranya ingin dihormati maka hormatilah juga orang lain. Masing-masing mungkin berbeza pendapat dan pandangan namun ia tidak menjadi halangan bagi orang-orang yang ikhlas untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.

Baru-baru ini (menurut laporan akhbar bertarikh 7 April 2013), Datuk K.Rajagopal telah didakwa atas kesalahan melanggar arahan FAM. Sekiranya beliau didapati bersalah oleh pihak FAM, beliau boleh digantung selama 6 bulan dan didenda sebanyak RM8,000. Beliau dituduh sedemikian rupa gara-gara ulasan sidang akhbar yang diberikan beliau setelah kekalahan pasukan kebangsaan kepada Arab Saudi dengan jaringan 4-1 dalam satu perlawanan persahabatan pada 17 Mac yang lepas. Kritikan membina yang sepatutnya tidak dipandang serong itu adalah mengenai betapa kurangnya penyerang tempatan yang berwibawa dalam Liga Malaysia yang disebabkan oleh kehadiran pemain-pemain import. Buat entah berapa kali, Artikel 88 Statut FAM menjadi sebutan ramai tak semena-mena.

Jika diperhatikan dengan ikhlas satu persatu perkataan yang dilontar oleh jurulatih negara tersebut memang ada benarnya. Semenjak tahun 1989 hingga setakat ini, hanya 12 kali penyerang tempatan menjadi Pemenang Kasut Emas (penjaring terbanyak liga utama). Pemenang-pemenang tersebut adalah Zainal Abidin Hassan (1989 & 1992), Hashim Mustapha (1993 & 1994), Azman Adnan (1999), Azizul Kamaluddin (2000), Norizam Ali Hassan (2001), Khalid Jamlus (2002), Indra Putra Mahayuddin (2004), Nizaruddin Yusof (2009), Ashari Samsudin (2010), dan Abdul Hadi Yahya (2011). Lebih menarik lagi, ketika dalam tempoh kecemerlangan bolasepak negara mulai tahun 2009 hingga 2011 apabila skuad kebangsaan memenangi 2 pingat emas Sukan SEA dan juga sekali tempat pertama dalam kejohanan dwi-tahunan Piala AFF, ia berlaku semasa ketiadaan pemain import dalam liga tempatan.

Ingin ditegaskan di sini, awang import bukanlah punca utama kepada masalah kekurangan penyerang tempatan yang berkaliber. Isu yang menjadi tumpuan adalah bagaimana untuk mengadaptasi atau menyesuaikan keadaan mengikut cabaran yang dihadapi. Memang benar, kehadiran para pemain import boleh memeriahkan lagi liga tempatan dengan memberi saingan yang lebih mencabar kepada para pemain lokal. Selain itu, para pemain import juga boleh memberi sumbangan dengan memberi tunjuk ajar dari segi perkongsian ilmu dan pengalaman mereka yang boleh digunapakai oleh para pemain tempatan untuk berdepan saingan di peringkat yang lebih tinggi pula iaitu di peringkat antarabangsa (yakni benua Asia mahupun peringkat global). Walau bagaimanapun, sekiranya kehadiran pemain-pemain import tidak diurus dengan bijak maka sudah tentulah lain pula kesudahannya nanti.

Oleh yang demikian, satu cadangan yang boleh dinyatakan di sini adalah, usaha perlu menumpukan kepada menghasilkan “pemain eksport” yakni melahirkan pemain-pemain tempatan yang mampu berhijrah dan menyumbangkan khidmat baktinya di luar negara. Sebelum ini memang telah ada beberapa pemain yang pernah bermain di luar negara, antaranya Akmal Rizal Rakhli, Safee Sali, dan terbaru sekali Nazmi Faiz Mansor. Kejayaan bukannya satu perjalanan yang mudah serta lancar tanpa ada dugaan. Maka, ianya sudah pastilah mengambil masa yang agak panjang dan sukar untuk berlaku dalam sekelip mata. Cuma, kepentingan untuk berusaha ke arah cita-cita tersebut memerlukan kejujuran serta kesedaran yang tinggi. Namun, usaha tersebut amatlah berguna bagi menyelesaikan masalah kekurangan penyerang tempatan yang berbisa walaupun adanya pemain-pemain import dalam pertandingan liga tempatan.

Bagaimana dengan adanya pemain eksport boleh menyelesaikan masalah yang diutarakan oleh K. Rajagopal ini? Jawapannya adalah kerana pemain eksport adalah salah satu penyelesaian kepada punca sebenar masalah tersebut. Punca sebenar kepada masalah tersebut tidak ragu-ragu lagi adalah disebabkan oleh kurangnya peluang bagi pemain-pemain penyerang tempatan untuk beraksi pada tahap tertinggi secara konsisten. Keadaan ini berlaku terutama sekali apabila kebanyakan pasukan dalam liga tempatan terlalu bergantung kepada pemain import sebagai penyerang utama dan lebih teruk lagi, penyerang tempatan disisihkan malah ada yang diketepikan terus. Disebabkan oleh kekurangan masa bermain maka secara langsung dan tidak langsungnya menyebabkan pemain-pemain tempatan tidak dapat mengasah bakat serta kemahiran mereka dengan sempurna.

Walaupun adanya had yang ditetapkan untuk sesebuah pasukan untuk memiliki pemain import, syarat tersebut masih lagi belum dapat membantu para pemain tempatan untuk diberi jaminan masa bermain yang lebih banyak. Akan tetapi, dengan adanya konsep pemain eksport mungkin sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah ini (in shaa Allah). Caranya mudah sahaja dan juga praktikal. Syarat yang patut dikenakan ke atas setiap pasukan untuk mengambil seorang pemain import adalah dengan berjaya menjual seorang pemain tempatan ke mana-mana pasukan luar negara yang bagus. Sekiranya sesebuah pasukan dapat membuktikan bahawa pasukan tersebut telah melahirkan seorang pemain eksport maka barulah kehadiran pemain import boleh dipertimbangkan. Solusi ini mungkin belum pernah dilakukan, tetapi sekurang-kurangnya para pemain tempatan terutama sekali yang bermain sebagai penyerang tetap mempunyai peluang untuk bermain dengan konsisten. Jika tidak dapat bermain di negara sendiri, paling tidak pun dapat juga bermain walaupun di tempat orang. Yang paling penting, para pemain tempatan perlu sentiasa bermain untuk mengekalkan prestasi pada tahap yang terbaik.

Satu lagi cadangan yang kemungkinan besar boleh membantu melahirkan pemain-pemain tempatan (samada penjaga gawang, pemain pertahanan, pemain tengah, pemain sayap, mahupun penyerang) yang hebat adalah dengan penstrukturan semula liga dengan objektif untuk benar-benar mengisi erti profesionalisme dalam liga profesional masa kini demi masa hadapan. Adalah sangat baik sekali bagi pasukan-pasukan negeri (14 buah negeri) sahaja yang bertanding dalam sebuah liga yang profesional sebagai divisyen yang tertinggi. Turut termasuk adalah 2 lagi afilisasi FAM iaitu Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia (yang boleh juga dinamakan semula sebagai Labuan dan Putrajaya agar kelihatan serta kedengaran lebih menarik). Pasukan-pasukan kelab pula cukup sekadar berada dalam divisyen lain yang bertahap semi-profesional sahaja.

Hujahnya, jurulatih kebangsaan boleh mengenal pasti dengan lebih mudah pemain-pemain yang berkualiti melalui pasukan-pasukan negeri yang lebih besar namanya malahan lebih ramai lagi penyokongnya. Buktinya, lihatlah di mana NS Chempaka FC, Public Bank FC, Melaka TMFC, KL Plus FC, ataupun MPPJ Selangor FC berada sekarang. Apatah lagi buat masa ini, pasukan-pasukan dari Liga Malaysia hanya layak bertanding dalam Piala AFC dan bukannya AFC Champions League yang tentunya lebih berprestij. AFC Cup disertai oleh negara-negara Asia yang membangun seperti yang terdapat dalam dokumen AFC yang diberi nama ‘Vision Asia‘. Negara-negara yang dikategorikan sebagai membangun tersebut adalah negara-negara yang berada di luar kelompok 14 negara yang terbaik Asia bersandarkan kriteria-kriteria yang tertentu.

Dua piala yang berbeza: AFC Champions League & AFC Cup

Padahal, sejarah pertandingan bolasepak Malaysia muncul semenjak dari tahun 1921 lagi dengan teranjurnya piala berprestij Piala HMS Malaya (kini dikenali sebagai Piala Malaysia). Rec.Sport.Soccer Statistics Foundation (RSSSF) pun mempunyai rekod mengenainya. Namun begitu, liga tempatan sebenarnya bermula pada tahun 1982 apabila liga pada waktu itu berfungsi sebagai peringkat kelayakan ke Piala Malaysia. Sehingga tahun 1988, Liga Malaysia masih lagi bertaraf amatur. Dari tahun 1989 hingga 1993 pula, Liga Malaysia berada pada tahap semi-profesional sebelum menjadi sepenuhnya ‘profesional’ pada tahun 1994. Liga profesional tersebut dikenali dengan meluas sebagai Liga-M atau M-League. Apabila FAM cuba menswastakan liga tempatan melalui MSL Sdn. Bhd. yang bermula pada tahun 2004, namanya kini telah pula berubah kepada Malaysia Super League (MSL). Berdasarkan maklumat terkini International Federation of Football History & Statistics (IFFHS), Liga Malaysia berada di kedudukan ke-74 di kalangan liga-liga bolasepak seluruh dunia manakala diklasifikasikan sebagai liga yang berada di kedudukan ke-18 dalam Asia dengan sekadar Gred D menurut Asian Football Confederation (melalui AFC Pro-League Ad-Hoc Committee Assessment Chart). Keadaan ini menunjukkan betapa masih banyak perkara yang perlu diusahakan.

Dengan penuh rasa rendah diri dan hormat, pihak pentadbiran FAM terutamanya Jawatankuasa Tatatertib dipohon untuk berhenti mencari kesalahan orang lain semata-mata. Pada masa yang sama, elok sekiranya anggota-anggota gabungan FAM dapat berusaha untuk memperbaiki segala kekurangan yang boleh merencatkan kesinambungan pembangunan bolasepak negara. Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM pula diseru untuk meneliti serta mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan di sini mahupun cadangan-cadangan lain di luar sana supaya boleh dilaksanakan segera dengan berkesan. Sekiranya ingin melihat skuad kebangsaan layak buat pertama kali ke Piala Dunia, atau kembali layak ke Sukan Olimpik selepas layak buat kali terakhir pada tahun 1980, atau memenangi sebarang pingat dalam Sukan Asia, perkara pertama dan paling penting yang perlu dilakukan sekarang adalah mengenal pasti kelemahan yang ada terlebih dahulu. Kemudian, memperbaiki kelemahan tersebut seiring dengan meningkatkan lagi kekuatan yang sedia ada demi memartabatkan bolasepak negara. Mohon maaf sekiranya tersilap kata, terkasar bahasa. Selamat maju jaya diucapkan. Majulah sukan untuk negara!

DUNIA BOLA SEPAK