Dimitar Berbatov Temu Ramah Dirinya Sendiri Selepas Dituduh Media ‘Tak Minat Bermain Di Greece’

Apa yang anda perlu buat untuk membela diri jika media memusing fakta dan menuduh anda bukan-bukan?

Itulah situasi yang sedang dihadapi oleh bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov yang kini sedang bermain di liga Greece untuk pasukan PAOK.

Berbatov yang baru menyertai kelab Greece yang berpangkalan di Athens itu pada September 2015 yang lepas, telah dipikat sejak 2012, menurut pemilik kelab mereka.

dimitar-berbatov-paok

Sejak ketibaannya, media Greece rata-ratanya memuji impak yang dibawanya kepada PAOK. Bagaimanapun, segalanya berubah apabila PAOK tewas 0-1 kepada musuh tradisi, AEK Athens pada Ahad lepas.

Situasi Berbatov menjadi bertambah buruk apabila beliau dibuang padang selepas bersalah menyiku pemain pertahanan AEK ketika pasukannya sedang mengejar gol. Berbatov akan digantung 3 perlawanan.

Kad merah tersebut merupakan kad merah pertama yang diterima oleh Berbatov dalam masa 13 tahun.

Selepas perlawanan tersebut, akhbar dan media Greece rata-ratanya mengecam tindakan dan persembahan Berbatov. Mereka juga mengatakan Berbatov ‘seperti tak minat bermain di Greece‘.

Melihat dirinya sedang dituduh, Berbatov menjawab tuduhan tersebut dengan cara unik – menemu ramah dirinya sendiri di Facebook.

Interview with Dimitar Berbatov, conducted by journalist Dimitar Berbatov..JDB: Hi, How are you feeling..DB: Hi. I am…

Posted by Dimitar Berbatov on Tuesday, January 26, 2016

Berdasarkan temu ramah tersebut, Berbatov menjelaskan beliau ‘kecewa dan ingin memohon maaf kepada pasukan’. Menurut beliau, perkara yang paling mengecewakannya adalah tak dapat bermain kerana digantung 3 perlawanan.

Menjawab tuduhan media yang mengatakan beliau tidak lagi minat bermain di Greece, Berbatov menulis:

“Inilah sebab saya beri temu ramah ini kepada awak, bukannya kepada media yang memutar-belit isu ini.”

“Semua ini tak betul. Saya masih seronok bila bermain bola sepak. Bila saya tak dapat main, sudah tentu saya rasa marah dan kecewa.”

“Bagi saya, jika betul saya dah hilang minat bermain (di Greece), saya takkan marah-marah, menjerit-jerit dan meminta bola di padang.”

PAOK adalah pasukan saya. Saya berjuang untuk pasukan saya. Walaupun ini kadang-kala bermakna, saya akan mendapat kad merah.”

Ini bukan kali pertama Berbatov mendapat tuduhan melulu daripada media. Di England, beliau kerap kali digelar ‘pemalas’ kerana jarang membantu pasukannya bertahan. Kami berharap media Greece bertenang dan percaya dengan kemampuan Berbatov.

berbatov-keep-calm

Ketika ini PAOK menduduki tangga ke-4 liga Greece, ketinggalan 22 mata di belakang pendahulu liga, Olympiakos.

Baca juga: Daripada Bintang Muda, Freddy Adu Kini Jual Vaccum Cleaner Untuk Sara Diri

The post Dimitar Berbatov Temu Ramah Dirinya Sendiri Selepas Dituduh Media ‘Tak Minat Bermain Di Greece’ appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA