Jika Tak Jadi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump Mungkin Sudah Jadi Pemilik Rangers

Sejak akhir-akhir ini topik yang cukup hangat di luar dunia bola sepak adalah mengenai pilihan raya di Amerika Syarikat.

Bukan saja di Amerika Syarikat, bahkan seluruh dunia juga tertanya-tanya siapa yang akan menjadi presiden ke-45 negara tersebut antara Donald Trump dan Hillary Clinton.

Pilihan raya itu bagaimana pun dimenangi oleh Trump dengan kemenangan selesa 276 berbalas 218.

Namun begitu, apa kaitan Trump dengan cerita di laman Semuanya BOLA ini?

Mahu beli Rangers

Cerita ini sebenarnya sudah lama terjadi, namun secara tiba-tiba ia menjadi cerita hangat terutamanya di Scotland.

Akhbar Daily Record mendedahkan Trump pernah mempunyai perancangan untuk membeli Rangers satu ketika dahulu.

Donald Trump

Tujuan pembelian sedemikian adalah sebahagian daripada usaha untuk menyelamatkan Rangers daripada mengalami bangkrap pada 2012.

Pada 2012, Rangers pernah mengalami masalah kewangan hasil kegagalan pengurusan wang yang baik oleh pengurusan kelab yang mengheret mereka kepada jumlah hutang yang terlalu banyak.

Oleh kerana tiada yang tampil menyelamatkan kelab, Rangers diisytihar bangkrap dan terpaksa bermula semula dari divisyen 4 sebelum kembali semula ke divisyen 1 musim ini.

Usaha Trump itu bukan main-main. Pada waktu itu, Trump sangat serius mahu membeli Rangers.

Walaupun serius mahu mendapatkan Rangers, Trump bagaimana pun mematikan hasrat beliau.

“Saya memang serius mengenai tindakan ini namun pada akhirnya saya berhenti mahu dapatkan Rangers.”

“Ya benar Rangers adalah sebuah kelab yang baik dan besar. Namun bila saya fikir balik keinginan saya untuk dapatkan Rangers ini macam tindakan yang sia-sia.”

Walaupun tidak jadi membeli Rangers, Trump ketika itu berharap ada yang akan hadir menyelamatkan kelab Scotland itu.

rangers trophy

Darah Scotland

Pasti ada yang tertanya, kenapa Trump berminat untuk dapatkan Rangers?

Beliau adalah ahli perniagaan yang mempunyai berbilion wang dan rasanya lebih baik beliau cuba miliki kelab-kelab sukan di Amerika Syarikat sahaja ataupun menjadi pemilik kelab bola sepak utama di Eropah seperti di England misalnya.

Semuanya adalah kerana Trump sebenarnya mempunyai darah Scotland dalam dirinya.

Ibu Trump merupakan seorang warga Scotland yang lahir di Lewis, Scotland sementara ayahnya pula mempunyai darah Jerman.

Mereka bertemu dan kemudiannya berpindah ke New York, dan akhirnya Trump lahir di New York pada tahun 1946.

Oleh kerana mempunyai pertalian dengan Scotland dikatakan sebagai sebab utama mengapa beliau berminat untuk memiliki Rangers.

Sekarang ini kami terfikir, jika Trump menjadi pemilik Rangers sekarang ini. Siapa pula yang akan jadi presiden Amerika Syarikat sekarang?

Jawab soalan trivia bola sepak dan menang!

photo518307488277309561-1

Untuk pengetahuan anda, app Inikan Bola bakal menawarkan hadiah lumayan kepada peminat bola sepak tempatan yang tegar.

Bagaimana cara untuk menang hadiah lumayan ini? Muat turun app Inikan Bola di Google Play Store dan nantikan tarikh 15 November 2016. Tunggu!

Baca juga: Sadio Mane: Daripada Bermain Bola Sepak Di Jalanan Senegal Ke Bintang Premier League

The post Jika Tak Jadi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump Mungkin Sudah Jadi Pemilik Rangers appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

VIDEO: Highlights Separuh Akhir Scottish League Cup (Rangers 0-1 Celtic)

Celtic sekali lagi berjaya menewaskan Rangers musim ini selepas mereka menewaskan musuh tradisi mereka untuk kali kedua. Kali ini di dalam aksi Scottish League Cup peringkat separuh akhir.

Celtic ternyata menguasai majoriti perlawanan apabila mencipta 17 percubaan dengan 8 daripadanya adalah percubaan tepat ke arah pintu gol. Berbanding Rangers yang hanya memperoleh 4 percubaan dengan 3 daripadanya percubaan tepat ke arah pintu gol.

Penjaga gol Rangers Matthew Gilks ternyata pemain paling sibuk di padang apabila melakukan 7 saves berbanding Craig Gordon yang hanya menyelamatkan 3 percubaan sahaja.

Usaha keras Celtic berjaya dibalas dengan gol apabila Moussa Dembele menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87.

Celtic akan bertemu Aberdeen dalam aksi akhir Scottish League Cup pada akhir bulan hadapan.

Kesebelasan utama:

Rangers: Matthew Gilks (penjaga gol), Lee Wallace, Clint Hill, Rob Kiernan, Lee Hodson, Jason Holt, Andy Halliday, Josh Windass, James Tavernier, Kenny Miller, Barrie McKay.

Celtic: Craig Gordon (penjaga gol), Mikael Lustig, Jozo Simunovic, Erik Sviatchenko, Kieran Tierney, Scott Brown, Nir Bitton, James Forrest, Tom Rogic, Scott Sinclair, Moussa Dembele

Baca juga: 10 Insiden Kontroversi Yang Pernah Berlaku Antara Celtic & Rangers

The post VIDEO: Highlights Separuh Akhir Scottish League Cup (Rangers 0-1 Celtic) appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Penyokong Aberdeen Dedahkan Sebab Mengapa Mereka Benci Rangers Lebih Daripada Celtic

The Old Firm Derby antara Celtic dengan Rangers mungkin perlawanan derby liga Scotland yang paling dikenali oleh peminat bola sepak dunia. Tetapi percayalah cakap kami bila kami kata, ia bukan satu-satunya perlawanan panas dalam kalender bola sepak Scotland.

Permusuhan Rangers-Aberdeen ini tidak berakar umbi daripada faktor geografi.

Tetapi ia tak menghalang media Scotland daripada menggelarnya ‘perlawanan yang boleh menyaingi The Old Firm Derby dari segi perangai buruk keturunan Neanderthal di luar dan dalam padang’.

Jika anda bukan peminat bola sepak Scotland seperti saya, anda perlu tahu Aberdeen – kelab Scotland yang saya sokong – terkenal dengan sorakan ‘Kami lebih benci Rangers daripada anda’ setiap kali penyokong kami melawat halaman Celtic, Celtic Park.

Malah penyokong Aberdeen kerap ‘bertekak’ dengan penyokong Celtic untuk menang pertandingan ‘siapa lebih bencikan Rangers’!

gp14472897

Kebencian kami kepada Rangers begitu kuat sehinggakan pengurus Rangers, Mark Warburton sendiri memberitahu media; beliau tak paham apa puncanya permusuhan ini.

Jika anda seperti Warburton; tak faham kenapa Aberdeen benci Rangers, teruskan membaca.

Asal-usul permusuhan Aberdeen-Rangers

Api permusuhan Aberdeen dengan Rangers mula marak pada lewat 70-an hingga awal 80-an. Anda boleh lihat sendiri dalam video bawah betapa ganasnya perlawanan antara dua pasukan ini pada ketika itu.

Di bawah pengurusan Sir Alex Ferguson, Aberdeen berjaya memecahkan dominasi Celtic dan Rangers dalam kejuaraan liga Scotland.

Oh Sir Alex Ferguson, anda tak tahu betapa sayangnya saya kepada awak.

Kejayaan Sir Alex Ferguson di Aberdeen ini bertambah manis apabila anda tahu fakta bahawa sebenarnya, Alex Ferguson merupakan penyokong Rangers dan pernah menjadi pemain Rangers!

Tetapi apabila Ferguson diturunkan ke skuad simpanan Rangers, beliau mengamuk. AKhirnya Ferguson keluar meninggalkan Rangers dengan perasaan dendam.

Apabila Ferguson menjadi pengurus Aberdeen, beliau menerapkan mentaliti dan menggalakkan penyokong untuk membenci ‘media Glasgow’ dan sistem bola sepak Scotland secara umum.

Kebencian ini berjaya memberi inspirasi kepada pemain-pemain Aberdeen untuk menang beberapa kejuaraan liga dan piala domestik.

sir-alex-ferguson

Malah Ferguson sendiri pernah memberitahu media, untuk menang liga Scotland, anda perlu menang di Glasgow.

Setiap kali Aberdeen bertemu dengan Celtic dan Rangers, intensiti di halaman kami, Pittodrie akan meningkat berganda-gandanya. Begitu juga suasananya jika kami melawat Glasgow; halaman Celtic dan Rangers.

Maka tak hairanlah Aberdeen merupakan pasukan terakhir di Scotland (sejak 1985) selain Rangers dan Celtic yang pernah menang liga.

Bentesan teruk turut menghangatkan permusuhan

Selain mentaliti ‘benci Glasgow’ yang diterapkan Sir Alex Ferguson, 2 insiden dalam padang turut menghangatkan permusuhan kami dengan Rangers.

Pada tahun 1980, pertahanan Rangers Willie Johnson ‘menapak’ leher pemain kami, John McMaster (baju merah gambar bawah) dalam perlawanan liga.

Mujurlah Tuhan memanjangkan nyawa McMaster. Jika tidak, beliau pasti mati.

screen-shot-2016-09-25-at-12-1

Pada tahun 1988, giliran kami pula membalas dendam.

Kali ini pemain kami, Neil Simpson mematahkan lutut perancang muda Rangers, Ian Durrant (gambar bawah). Durrant memerlukan 2 tahun untuk pulih dari kecederaan.

Apabila pulih, beliau bukan lagi Ian Durrant yang sama.

14233-zoom

Era hooligans memburukkan lagi keadaan

Permusuhan menjadi lebih hangat ketika puncak era hooligans di bola sepak Britain. Aberdeen Soccer Casuals terkenal dengan kelakuan ganas mereka di UK. Mereka kerap bertempur dengan hooligans dari Hibernian dan Rangers.

Anda masih ingat pertempuran hooligans kami, Aberdeen Soccer Casuals dengan hooligans Rangers, Inter City Firm di luar Stadium Ibrox pada 2012?

ibrox-subway-hooligans-image-1-977225987

Aberdeen syok sendiri?

Kalau anda tanya penyokong Rangers, mereka akan memberitahu anda permusuhan Rangers-Aberdeen hanya permusuhan syok sendiri yang dicipta oleh kami.

Mereka mungkin memberitahu anda, permusuhan Rangers-Celtic jauh lebih signifan.

Tetapi dari segi statistik, perlawanan antara Rangers-Aberdeen sudah mencatat lebih banyak kes keganasan luar padang berbanding perlawanan Rangers-Celtic.

Masakan tidak. Disebabkan Celtic dan Rangers kedua-duanya berasal dari Glasgow, kebanyakan penyokong Rangers dan Celtic berasal dari keluarga yang sama. Jadi kebarangkalian mereka untuk bergaduh sebenarnya jauh lebih kecil.

Sementara itu, Rangers dan Aberdeen bukan dari satu bandar yang sama. Jadi ia membantu mengekalkan tahap kebencian antara kedua-dua kelab.

Sambutan istimewa pada minit ke-12

Pada hari Ahad (25 September 2016) ini, kami akan menerima kunjungan Rangers.

Bersempena kehadiran semula Rangers di Scottish Premiership sejak diturunkan liga pada tahun 2012, kami telah merancang sesuatu yang istimewa.

Pada minit ke-12 perlawanan pada pukul 8 malam ini (waktu Malaysia), kami akan bertepuk tangan sebagai simbolik perli tahun 2012 – tahun mereka turun liga kerana masalah kewangan.

js86450534

Selain itu, kami juga sedang menviralkan sekeping poster yang berbunyi:

“Tiada yang kekal kecuali cukai dan kematian.”

“R.I.P Rangers (1872-2012)”

“Bagi menyambut kehadiran ‘Rangers’ buat kali pertama di Pittordrie, kami ingin memberi ‘penghormatan’ kepada bekas kelab yang dikenali sebagai Rangers.”

“Kami menyeru seluruh penyokong Aberdeen untuk tiba awal di Pittodrie dan menepuk tangan sepenuh hati pada minit ke-12 sebagai mengenang memori bersama pasukan Rangers.”

“Rangers, anda kini bersama para bidadari..”

“Rangers, nama yang selalu dibenci. Tetapi kini, dengan gembiranya, anda bukanlah Rangers lagi.”

screen-shot-2016-09-22-at-110838

Kesimpulan

Sempena perlawanan malam ini, pengurus Rangers Mark Warburton memberitahu media kebencian kami kepada pasukannya sebagai ‘sesuatu yang menyedihkan’.

Bekas kapten Rangers, Barry Ferguson pula berkata ‘hanya penyokong Aberdeen yang beria-ria menghidupkan permusuhan ini’.

“Kami baik-baik sahaja dengan pemain dan staf Aberdeen,” kata bekas kapten Rangers itu lagi.

Walau apa juga komen mereka untuk mengendurkan permusuhan ini, kami tetap akan membenci Rangers. Lebih benci daripada Celtic!

Baca juga: 6 Permusuhan Yang Berpunca Bukan Kerana Mereka Berjiran

The post Penyokong Aberdeen Dedahkan Sebab Mengapa Mereka Benci Rangers Lebih Daripada Celtic appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Barton Kutuk Brown Tak Setarafnya, Brown Balas ‘Lawan Rangers Seperti Lawan Budak-Budak’

Nampak gayanya, kapten Celtic Scott Brown yang ketawa besar di akhir perlawanan Old Firm Derby berbanding Joey Barton.

Mana tidaknya. Serangan psikologi yang dimulakan oleh Barton telah berjaya ditepis oleh Brown dengan kemenangan 5-1 untuk Celtic.

Malah bukan sekadar berjaya menepis, Brown turut membalas serangan psikologi kepada Barton dan Rangers!

Perang Scott Brown dengan Joey Barton

Perang diantara dua pemain tengah ini bermula sebaik saja Joey Barton tiba di Scotland untuk menyertai Rangers.

Umum mengetahui Barton merupakan seorang pemain yang sungguh lantang dalam menyuarakan pendapatnya.

Apabila ditanya wartawan mengenai Brown, Barton menyatakan kapten Celtic itu ‘tak setaraf’ dengannya.

“Semua orang asyik bercakap mengenai saya dengan Scott Brown. Dia langsung tak setaraf dengan saya!”

Barton merasakan Brown tidak berada di kelas yang sama dengannya. Dan Barton juga menegaskan bahawa Brown tidak mampu mencabarnya apabila beliau berada di prestasi terbaiknya.

“Dia tak akan mampu berada setaraf dengan saya. Jika saya berada di prestasi tertinggi, dia tak akan mampu mencabar saya.”

“Saya bukan nak menangkan diri saya, tetapi itulah apa yang saya rasa.”

Namun begitu Brown membalas kritikan itu dengan cara yang sarkastik.

“Saya bukan dalam liganya, tapi dia yang di dalam liga saya!”

Brown juga berseloroh mengatakan Barton merupakan seorang ‘peminat’ Celtic.

“Saya tak sabar nak jumpa dengan Barton dan berkenalan dengannya. Sebab setahu saya dia minat Celtic.”

Rangers dibelasah, Senderos main ‘bola tampar’

Perlawanan malam semalam antara Celtic dan Rangers adalah pertemuan kali pertama dalam aksi liga sejak 2012. Begitu juga dengan pertemuan Brown dan Barton.

Dalam perlawanan Old Firm Derby tersebut, Celtic menang 5-1 ke atas Rangers, musuh tradisi mereka hasil jaringan hatrik pemain baru, Moussa Dembele.

Perlawanan tersebut menyaksikan bekas penyerang Fulham itu menjaringkan 3 gol. Baki 2 gol lagi masing-masing disumbangkan oleh Scott Sinclair dan Stuart Armstrong.

Rangers pula menjaringkan gol saguhati hasil sentuhan Joe Garner.

Tambah memalukan buat Rangers, pertahanan tengah mereka Phillipe Senderos memperoleh kad merah dalam perlawanan pertamanya bersama Rangers selepas cuba ‘bermain bola tampar’!

“Macam lawan dengan budak-budak”

Bercakap kepada Sky Sports selepas perlawanan, Brown ternyata gembira dengan aksi pasukannya.

Brown disoal mengenai apa yang beliau katakan kepada Barton semasa mereka berdua berjalan bersama-sama ke terowong semasa separuh masa. Ketika itu, Celtic sedang mendahului Rangers 2-1.

“Saya tak cakap banyak pun dengan dia. Saya cuma mahu pastikan dia baik-baik saja.”

Selepas perlawanan tamat, Brown mengambil kesempatan mengutuk semula Barton dan Rangers.

“Ia perlawanan yang sangat senang dan tak ada cabaran langsung.”

“Saya rasa keputusan akhir boleh beritahu segalanya. Perlawanan ini diibaratkan kami sekumpulan lelaki dewasa menentang sekumpulan budak-budak.”

Joey Barton, anda sudah tewas.

Baca juga: Pemain Celtic Cipta Kontroversi, Enggan Hormati ‘Guard of Honor’ Untuk Pemain Rangers

The post Barton Kutuk Brown Tak Setarafnya, Brown Balas ‘Lawan Rangers Seperti Lawan Budak-Budak’ appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

English Football League Pertimbang Kemasukan Celtic & Rangers, Tetapi Perlu Bermula Dari League 3

Perkara ini sudah lama diperbincangkan namun tidak pernah menemui jalan penyelesaian.

Celtic dan Rangers – dua kelab utama Scotland, sudah lama mempertimbangkan penyertaan mereka untuk menyertai struktur bola sepak England dan meninggalkan sistem bola sepak Scotland.

Namun, hasrat itu sering tertangguh.

Walaupun beigtu, mereka masih mempunyai peluang.

Hal ini kerana, English Football League (EFL) mula mempertimbangkan penyertaan dua kelab Old Firm tersebut ke dalam sistem bola sepak England sepertimana penyertaan kelab dari Wales iaitu Cardiff City dan Swansea City.

English Football League Three (League 3)

EFL ingin mewujudkan struktur liga profesional yang terdiri dari 100 kelab bola sepak profesional bermain di EFL.

Buat masa sekarang, EFL mempunyai 72 kelab bermain di semua liga bermula dari Championship hingga ke League 2.

Bermula dari struktur ini, terhasilnya idea untuk mewujudkan League 3 yang akan menjadi divisyen ke-4 dalam piramid EFL dan ke-5 dalam keseluruhan divisyen yang ada di England.

Divisyen liga sebelum kewujudan League 3 :

  • Premier League (Divisyen 1)
  • The Championship (Divisyen 2)
  • League 1 (Divisyen 3)
  • League 2 (Divisyen 4)
  • National League (Divisyen 5)

Divisyen liga sekiranya League 3 diwujudkan :

  • Premier League (Divisyen 1)
  • The Championship (Divisyen 2)
  • League 1 (Divisyen 3)
  • League 2 (Divisyen 4)
  • League 3 (Divisyen 5)
  • National League (Divisyen 6)

League 3 ini dijangka akan diwujudkan pada musim 2019-2020.

Sekiranya berjaya dilaksanakan, perubahan ini akan menjadi perubahan paling drastik dalam struktur EFL sejak pertama kali ditubuhkan pada 1888.

Asas penubuhan League 3 ini adalah untuk memaksimakan waktu hujung minggu dengan perlawanan bola sepak memandangkan bola sepak adalah hiburan utama di England.

Ini seterusnya memansuhkan perlawanan pada pertengahan minggu.

Selain daripada itu, pengagihan wang keuntungan/hak penyiaran akan menjadi lebih teratur malah lebih baik kepada semua kelab yang bermain di EFL.

Dan yan terakhir, EFL mahukan perlawanan play-off final kekal menjadi perlawanan terakhir dalam kalendar bola sepak EFL.

Sekiranya League 3 ini dilaksanakan, pertandingan piala seperti EFL Cup dan EFL Trophy perlu mengalami perubahan format sebagai contoh pasukan yang bertanding perlu bermain di peringkat kumpulan dahulu sebelum ke pusingan kalah mati.

Reaksi berbeza mengenai penyertaan kelab Old Firm

EFL berkemungkinan akan mempromosikan pasukan dari National League untuk ke League 3, berserta membawa masuk Celtic dan Rangers dalam masa yang sama.

Di England, mereka menerima kehadiran dua kelab Old Firm ini dengan baik namun meletakkan syarat di mana Celtic dan Rangers perlu bermula dari bawah untuk sampai ke Premier League.

Bekas pengerusi Bolton Wanderers, mendiang Phil Gartside (gambar bawah) pernah mencadang membawa Celtic dan Rangers ke EFL 2 tahun yang lalu.

“Cadangan ini adalah untuk tunjukkan bahawa jika kelab Wales boleh bermain di England, kenapa kelab Scotland tak boleh?”

Bagaimanapun, majoriti peminat bola sepak di Scotland menentang idea tersebut.

Hal ini kerana jika dua kelab Old Firm ini menyertai EFL, minat stesen penyiaran terhadap liga Scotland akan semakin berkurangan.

Dalam masa yang sama, FIFA juga berat hati untuk melihat dua gergasi Scotland itu bermain di England.

Hal ini kerana mereka risau perpindahan Celtic dan Rangers ke EFL akan memberikan tempias buruk kepada liga Scotland dari segi kewangan.

Baca juga: Football League Association Mahu Ajar Pemain Biadap!

The post English Football League Pertimbang Kemasukan Celtic & Rangers, Tetapi Perlu Bermula Dari League 3 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Pemain Celtic Cipta Kontroversi, Enggan Hormati ‘Guard of Honor’ Untuk Pemain Rangers

Menjadi suatu kemestian di United Kingdom dan Eropah, apabila sesebuah pasukan menjadi juara liga lebih awal, mereka akan disambut dengan tradisi guard of honor.

Lazimnya, ia akan dilakukan pada perlawanan selepas sesebuah pasukan mengesahkan kejuaraan liga.

Inilah yang diterima oleh pemain Rangers sebelum perlawanan menentang Alloa Athletic, selepas sah bergelar juara liga divisyen ke-2 Scotland, Scottish Championship.

Menentang Alloa Athletics di halaman sendiri, upacara guard of honor Rangers bagaimanapun dipalit kontoversi yang melibatkan pemain Celtic.

Tak hormat Rangers?

Penyerang Alloa, Michael Duffy (berjersi nombor 7) dilihat tidak menepuk tangan semasa pemain Rangers berjalan melepasi guard of honor.

Sebaliknya beliau hanya meletakkan tangannya di belakang badan.

Tindakan Duffy – pemain muda Celtic yang dipinjamkan ke Alloa – menimbulkan kemarahan banyak pihak. Ketika ditanya wartawan motif tindakan beliau, Duffy menjawab:

“Ia dilakukan kerana saya merupakan pemain Celtic. Itu saja. Kelakar pula bila saya lihat ramai orang marah dengan tindakan saya. Ia cuma simbol bagi seorang pemain Celtic.”

“Hari ini (perlawanan Rangers-Alloa) merupakan hari untuk mereka berparti, dan mereka menjangkakan untuk membelasah kami kerana kami pasukan tercorot liga.”

“Namun ia tidak menjadi seperti dirancang. Bagi saya, ia satu pelan yang menjadi.”

Tavernier sindir Duffy

Perlawanan itu berakhir dengan seri 1-1. Michael Duffy membuka jaringan pada minit awal permainan sebelum disamakan oleh James Tavernier.

Tavernier, selepas perlawanan memperli tindakan Duffy di akaun Twitter beliau:

tave

Belum pun bermula musim 2016 – musim pertama yang menempatkan Rangers dan Celtic dalam liga yang sama sejak 2012 –  perang saraf antara dua kelab Old Firms ini sudah pun bermula.

Baca juga: Sejarah Old Firm Derby: Mengapa Celtic Dan Rangers Bermusuh?

The post Pemain Celtic Cipta Kontroversi, Enggan Hormati ‘Guard of Honor’ Untuk Pemain Rangers appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Sejarah Old Firm Derby: Mengapa Celtic Dan Rangers Bermusuh?

Celtic menentang Rangers boleh dikatakan sebagai antara perlawanan derby antara yang terhangat dan teristimewa di dunia.

Dengan 100 kejuaraan liga, 69 kejuaraan Scottish Cup dan 42 gelaran Scottish League Cup antara dua pasukan ini, The Old Firm Derby sentiasa menjadi tumpuan dunia.

Sedangkan aksi liga bola sepak Scotland kebiasaannya bukanlah liga bola sepak tumpuan peminat global.

Apa yang menjadi menyebabkan Celtic dan Rangers bermusuh?

1. Katolik vs Protestan

Pendatang Irish dari Ireland yang beragama Kristian Katolik rata-ratanya memilih bandar Glasgow sebagai tempat memulakan kehidupan baru selepas Ireland dilanda Potato Famine.

Untuk pengetahuan anda, peristiwa Potato Famine berlaku pada 1845–1852. Pada tempoh ini, tanaman kentang yang menjadi makanan ruji orang Irish (kerana murah) dilanda penyakit, hingga menyebabkan seluruh penduduk Ireland kebuluran.

Jika anda masih ingat, novel Potato People tulisan Angela Wright pernah dijadikan komponen sastera Bahasa Inggeris Tingkatan Dua. Novel ini menceritakan bagaimana ada orang Ireland terpaksa makan bangkai anjing semata-mata untuk hidup.

Potato Famine mengorbankan 1 juta orang. Manakala 1 juta lagi terpaksa berhijrah ke negara lain – antaranya ke Boston, Kanada, Australia, Liverpool dan juga Glasgow seperti yang dilakukan oleh nenek moyang penyokong Celtic.

Walaupun mazhab Kristian utama di Glasgow adalah Katolik, ramai warga British yang datang mencari kerja di Glasgow bermazhabkan Protestan.

Ini menimbulkan konflik dan pergeseran antara dua mazhab.

Persaingan untuk mendapatkan kerja dilihat berat sebelah, kerana kebanyakan majikan mempunyai polisi tidak menggaji pekerja bermazhab Katolik.

Pendatang Irish-Katolik terpaksa menerima cacian, berhadapan dengan sentimen anti-Irish dan anti-Katolik sepanjang hidup mereka di bandar Glasgow.

Untuk mengurangkan tekanan diskriminasi warga British, pendatang Irish-Katolik memilih sukan sebagai medium untuk mengekspreskan jati diri dan identiti mereka.

Dan pada 6 November 1887, Celtic FC ditubuhkan dan secara tidak langsung menjadi musuh kepada Rangers FC yang ditubuh 15 tahun sebelum mereka, iaitu pada Mac 1872.

2. Loyalist vs Republican

Krisis politik juga mendorong kepada permusuhan dua pasukan ini. Tragedi The Troubles merupakan salah sebuah tragedi hitam yang pernah berlaku kepada United Kingdom.

Secara asasnya, The Troubles adalah peristiwa dimana Ireland – sebuah negara republik – mahukan Ireland Utara – sebuah negara di bawah naungan United Kingdom – untuk keluar dari naungan tersebut dan menyertai mereka membentuk sebuah negara republik baru iaitu ‘United Ireland’.

Namun idea penyatuan bangsa Irish yang bermazhab Katolik ini ditentang oleh penganut Kristian-Protestan yang didokong oleh kerajaan pusat British di England.

Untuk mempertahankan ketuanan mazhab Protestant di United Kingdom, sebuah organisasi  yang dinamakan Orange Order ditubuhkan.

Orange Order juga menentang idea pembentukan negara merdeka untuk bangsa Scotland semasa pilihanraya umum Scotland pada 2014.

3. Sentimen Sectenarian

Sentimen sectenarian adalah permusuhan sosio-politik antara dua kumpulan yang secara luarannya nampak sama tetapi berbeza pendapat antara satu sama lain.

Contohnya orang Islam mazhab Syiah vs Sunni. Orang luar mungkin menganggap Syiah dan Sunni adalah kumpulan Muslim yang sama, tetapi hakikatnya mereka ada perbezaan pendapat.

Contoh lain adalah seperti orang Northern Ireland yang berfahaman Nationalist vs Unionist.

Dalam situasi di Glasgow, penganut Kristian mazhab Katolik dan Protestant pula saling berbalah sesama sendiri.

Setiap kali perlawanan Old Firm, penyokong kedua-dua kelab akan menayangkan kain rentang berunsur sectenarian dan menyanyikan lagu-lagu provokasi.

Puncak sectenarian dalam Old Firm Derby

Sentimen ini menemui kemuncaknya pada perlawanan akhir Scottish Cup 1980.

Sejurus wisel penamat dibunyikan, penyokong beramai-ramai meluru ke padang Hampden Park.

Lazimnya hanya penyokong pasukan yang menang sahaja akan turun untuk meraikan kejayaan. Namun kali ini tidak, kerana penyokong kedua-dua pasukan turun untuk bergaduh!

Menyedari sentimen ini akan terus memberi impak buruk pada bandar Glasgow, Parlimen Scotland bersama-sama Celtic FC dan Rangers FC sendiri berusaha untuk menghapuskan sentimen sectenarian ini.

Celtic melancarkan kempen ‘Bhoys against Bigotry’ dan Rangers melancarkan kempen ‘Pride Over Prejudice’ sebagai langkah mengatasi masalah ini.

4. Peristiwa menarik Old Firm Derby

1) Scottish League Cup 1957:

Celtic menang di perlawanan akhir dengan jaringan 7-1. Rangers yang diangkat sebagai pasukan pilihan ketinggalan 2-0 di separuh masa, dan terus bolosi 5 gol dalam 45 minit separuh masa kedua.

2) Scottish Cup 2002:

Rangers bangkit sebanyak dua kali selepas Celtic mendahului sebanyak dua kali di perlawanan akhir.

Peter Lovenkrands menjaringkan gol kemenangan untuk Rangers menang 3-2.

3) Pengurus Celtic pertama bermazhab Protestan:

Jock Stein merupakan pengurus Celtic yang membawa Celtic menjuarai gelaran liga sebanyak 9 kali berturut-turut. Celtic juga menjadi pasukan pertama di Britain menjuarai gelaran Eropah ketika Stein menjadi pengurus.

Menariknya, beliau merupakan seorang Protestant.

4) Pemain Rangers bermazhab Katolik yang pertama:

Mo Johnston merupakan pemain Katholik pertama yang bermain untuk Rangers. Beliau dibeli semasa Graeme Souness menjadi pemain-pengurus untuk Rangers.

Johnston juga merupakan bekas pemain Celtic sebelum ke Nantes di Perancis. Kemudian dari Nantes, beliau bermain untuk Rangers pula.

Perpindahannya membuatkan penyokong kedua-dua pasukan berang, dengan penyokong Celtic menggelarnya ‘Judas’. Penyokong Rangers pula mengugut untuk mengembalikan pas bermusim mereka.

Namun Johnston berjaya menawan hati peminat Rangers, dengan menjaringkan gol minit akhir ke atas Celtic untuk membolehkan mereka menyamai rekod kejuaraan liga 9 kali berturut-turut Celtic.

5) Kontroversi Gascoigne:

Pemain Rangers dan England, Paul Gascoigne melakukan kontroversi apabila melakukan gaya bermain seruling ketika perlawanan menentang Celtic.

Gaya yang sinonim dengan gerakan Orange Order itu membangkitkan kemarahan penyokong Celtic sehingga menyebabkan Gascoigne menerima ugutan bunuh.

5. Kesimpulan

Old Firm Derby merupakan permusuhan yang terjadi sejak lamanya atas pelbagai sebab antaranya politik, mazhab agama dan semestinya kerana mereka berjiran.

Walaupun perlawanan ini merupakan perlawanan terbesar di Scotland, namun anda tidak akan jumpa bendera Scotland kerana penyokong Celtic dan Rangers lebih gemar mengibarkan bendera Ireland dan Union Jack.

Bagi Celtic, Rangers kini ibarat kelab yang ‘baru’ dek kerana mereka diturunkan liga kerana masalah kewangan.

Namun bagi Rangers, Celtic seolah obses kepada mereka kerana sering mengejek mereka dengan gelaran ‘kelab baru’.

Baca juga: Mengapa Peningkatan Rangers Bakal Menguntungkan Celtic Dan Scotland

The post Sejarah Old Firm Derby: Mengapa Celtic Dan Rangers Bermusuh? appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Mengapa Peningkatan Rangers Bakal Menguntungkan Celtic Dan Scotland

Selepas 4 tahun menghabiskan masa di liga bawahan Scotland, Rangers akhirnya pulang ke liga divisyen teratas, Scottish Premiership pada musim depan selepas sah bergelar juara liga divisyen ke-2, Scottish Championship.

Selepas dihumban ke liga divisyen ke-4 Scotland, Rangers pada mulanya menjangka tempoh hanya 3 musim diperlukan untuk kembali ke Scottish Premiership. Namun jangkaan mereka meleset.

Mereka terpaksa bermain Scottish Championship selama dua musim selepas tewas play-off kenaikan liga pada musim lepas.

Dan pada musim ini, mereka dilihat boleh melakukan treble selepas menjuarai Scottish Championship dan Pretofac Training Cup.

Ketika ini Rangers sedang memburu satu lagi trofi untuk melengkapkan treble, iaitu Scottish Cup. Menanti mereka di separuh akhir nanti adalah Celtic, Ahad (17 April 2016) ini.

The Old Firm Derby pada Ahad ini boleh dikatakan sebagai pemanas badan bagi dua kelab Old Firm ini sebelum bertemu di Scottish Premiership pada musim depan.

Kembalinya Rangers ke Scottish Premiership menguntungkan liga

Ketika ini soalan yang paling hangat dibincangkan di Scotland adalah: adakah kedatangan Rangers bakal menguntungkan liga?

Ramai yang berpendapat bahawa musuh utama Rangers, iaitu Celtic sebenarnya memerlukan mereka untuk memeriahkan liga.

Pengurus Rangers, Mark Warbuton pernah dipetik berkata:

“Lebih hebat cabaran yang dihadapi, lebih peluang untuk maju dan mara ke hadapan. Mana-mana pasukan dalam mana-mana liga, perlukan cabaran yang konsisten.”

Dengan kehadiran Rangers, liga Scotland secara automatiknya menjadi liga tumpuan dunia setiap kali Old Firm Derby berlangsung. Rangers dan Celtic bertarung merebut gelaran raja Glasgow.

Siapa yang mahu tewas?

Bukan hendak memperkecilkan cabaran pasukan lain seperti Aberdeen dan Hearts, tetapi cabaran yang diberikan oleh mereka kepada Celtic tidaklah begitu kuat.

Berbanding Rangers, Aberdeen dan Hearts tidak mempunyai saiz penyokong dan kewangan yang besar untuk mencabar Celtic secara konsisten.

Prestasi Celtic menurun sejak Rangers tiada

Satu lagi perkara yang berlaku apabila Rangers turun liga adalah kemerosotan persembahan Celtic dalam liga mahupun di Eropah.

Kali terakhir Celtic beraksi di UEFA Champions League adalah pada musim 2012/12 – musim pertama Celtic bermain dalam Scottish Premiership tanpa Rangers.

Musim ini saja Celtic mempamerkan persembahan memalukan dalam Europa League apabila gagal mengutip sebarang mata dalam saingan kumpulan.

Malah Celtic juga sudah sering menjadi selling club sejak akhir-akhir ini apabila terlalu selesa dalam liga dan gagal di Eropah. Antara pemain dijual adalah Fraser Forster, Virgil Van Dijk dan Victor Wanyama dan Gary Hooper.

Prestasi Celtic di Eropah yang teruk juga membuatkan mata coefficient Scotland di UEFA menurun.

Sejak menjadi selling club dan gagal di Eropah, prestasi Celtic dalam saingan domestik juga semakin terjejas. Boleh dikatakan, Celtic lalai dan ‘tidur’ tanpa kehadiran Rangers dalam liga.

Ketiadaan Rangers membuka peluang kepada pasukan lain untuk menyinar.

Bagaimanapun hujah kembalinya Rangers bakal menguntungkan Scotland mungkin tidak akan dipersetujui oleh kelab-kelab Scotland yang lain.

Malah sejak Rangers turun liga, pasukan-pasukan seperti Aberdeen, St. Johnstone, Ross County dan Inverness Caledonian Thitsle sudah mula merasa nikmat mengecapi trofi.

Sementara Celtic masih lagi menguasai liga, saingan Scottish Cup dan Scottish League Cup sudah menyaksikan ada beberapa pemenang yang berbeza sejak Rangers turun liga.

Aberdeen menamatkan kemarau 19 tahun tanpa trofi dengan menjuarai Scottish League Cup pada tahun 2014. Setahun sebelumnya, St. Mirren menjadi juara. Pada tahun lepas, Ross County pula menjuarainya.

St. Johnstone dan Inverness Caledonian Thistle pula pernah menjuarai Scottish Cup pada tahun 2014 dan 2015.

Kesimpulan

Kami berpendapat kembalinya Rangers ke Scottish Premiership lebih banyak membawa kebaikan berbanding keburukan.

Kehadiran mereka akan memaksa Celtic untuk menguatkan lagi pasukan mereka untuk bersaing secara konsisten dalam saingan domestik serta saingan Eropah.

Begitu juga Aberdeen, mereka perlukan mantapkan pasukan untuk mewujudkan saingan tiga penjuru dalam liga.

Bagi pasukan lain, mereka masih mempunyai peluang untuk menyinar terutama dalam saingan piala kerana tiada siapa boleh jangka apa yang berlaku dalam kejohanan piala. Cuma mereka perlu tampil lebih kompetitif sahaja.

Baca juga: Rangers Kembali Ke Scottish Premiership, 4 Tahun Selepas Dihumban Ke Divisyen Ke-4

The post Mengapa Peningkatan Rangers Bakal Menguntungkan Celtic Dan Scotland appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Rangers Kembali Ke Scottish Premiership, 4 Tahun Selepas Dihumban Ke Divisyen Ke-4

Rangers akan kembali bermain dalam Scottish Premiership pada musim depan, selepas sah bergelar juara Scottish Championship – liga divisyen ke-2 Scotland – musim ini dengan kemenangan 1-0 menentang Dumbarton semalam.

Tempat Rangers dalam Scottish Premiership dijamin pada musim depan ketika saingan liga Scottish Championship masih berbaki 4 perlawanan. Sepanjang musim, mereka hanya tewas 3 perlawanan liga.

Kejayaan Rangers yang dilatih oleh Mark Warburton ini tidak datang dengan mudah.

Revolusi Warburton

Selepas dilanda masalah kewangan dan masuk administration, Rangers dihumban ke Scottish League Two – liga divisyen ke-4 Scotland.

Maka tak hairanlah, majoriti pemain skuad utama Rangers membatalkan kontrak mereka pada 2012 untuk mencari pasukan baru yang bermain dalam liga yang lebih kompetitif.

Pemain Rangers yang memilih untuk kekal di Rangers pula perlu berhadapan dengan realiti bermain dengan gaji yang jauh lebih rendah dan bermula dari bawah semula.

Untuk ke Scottish Premiership, Rangers pula terpaksa mencuba 3 pengurus berlainan sebelum menjumpai Mark Warburton.

Era kenaikan Rangers bermula dengan Ally McCoist yang bertanggungjawab menaikkan Rangers dari divisyen ke-4 ke divisyen ke-2 Scotland.

Bagaimanapun McCoist gagal membantu Rangers untuk naik dari divisyen ke-2 ke Scottish Premiership. Begitu juga dengan 2 penggantinya, Kenny McDowall dan Stuart McCall.

Di bawah kendalian Warburton, Rangers muncul dengan imej baru. Dibantu oleh bekas kapten Rangers David Weir, Warburton merevolusikan gaya permainan Rangers kepada jenis menyerang yang digemari penyokong.

Bukan saja memperkenalkan gaya permainan yang cantik, Warburton juga berjaya membawa Rangers kembali ke Scottish Premiership dengan bergelar juara divisyen ke-2.

Warburton bawa kestabilan

Berbeza dengan pengurus Rangers sebelumnya, Warburton jauh lebih tenang ketika berhadapan dengan ahli-ahli lembaga pengarah kelab.

Jika Ally McCoist sentiasa bergaduh di bilik lembaga pengarah, Warburton bernasib baik kerana tiba di Rangers ketika kemelut ahli-ahli lembaga pengarah kelab sudah selesai sejak diambil alih oleh ahli perniagaan, Dave King.

Dave King sentiasa memastikan Warburton mempunyai duit untuk dilaburkan kepada pasukan.

Setiap musim beliau mengeluarkan £20 juta duitnya sendiri untuk memastikan Rangers sentiasa kompetitif di Scotland.

Persiapan naik liga

Dengan berita pengesahan kenaikan Rangers ke Scottish Premiership, persoalan baru pula akan timbul.

Berapa banyakkah duit yang bakal diberi oleh ahli-ahli lembaga pengarah kelab kepada Mark Warburton sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Scottish Premiership pada musim depan?

Jika kita mengimbas kembali apa yang dilakukan oleh Hearts pada musim ini selepas mereka dipromosi ke Scottish Premiership, Rangers tidak perlu berbelanja besar pun untuk berada dalam kelompok ke-3 terbaik liga.

Apa yang mereka perlu lakukan adalah mengulangi formula pada musim ini, iaitu meminjam pemain muda yang bagus seperti Billy King (Hearts), Dominic Ball (Tottenham Hotspur) dan Gedion Zelalem (Arsenal) yang dipinjam pada musim ini.

Warburton sudah pun menunjukkan beliau mampu mengesan bakat murah yang berkualiti seperti yang dilakukannya ketika membawa masuk James Tavernier dan Martyn Waghorn.

Apa yang perlu Rangers lakukan adalah mencari pemain yang lapar, iaitu lapar untuk berjuang mengembalikan era kegemilangan Rangers dalam liga bola sepak terulung Scotland.

Baca juga: Bagaimana Penyokong Hearts Menghalau Keluar Pengurusan Kelab Yang Bangsat

The post Rangers Kembali Ke Scottish Premiership, 4 Tahun Selepas Dihumban Ke Divisyen Ke-4 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Helicopter Sunday 2005: Bagaimana Rangers Merampas Takhta Liga Daripada Celtic Dengan Helikopter

Siapa yang tidak suka dengan cerita kebangkitan (comeback)? Kebangkitan adalah satu nikmat jika pasukan anda yang melakukannya. Tapi satu azab jika pasukan anda yang menjadi mangsanya.

Dalam artikel ini, kita akan membuka fail kebangkitan klasik daripada arkib bola sepak Scotland yang berlaku pada hari terakhir liga pada 2005 – 7 tahun sebelum Manchester City mencipta kebangkitan epik pada 2012 di England.

Peristiwa ini dipanggil Helicopter Sunday 2005.

1. Apa itu Helicopter Sunday?

Helicopter Sunday adalah ungkapan sinonim bagi peminat bola sepak Scotland jika juara liga terpaksa ditentukan pada hari terakhir liga.

Ini kerana helikopter yang membawa piala kejuaraan liga akan berlegar-legar di udara ketika perlawanan berlangsung dan akan mendarat di stadium pemenang liga selepas tamat perlawanan.

Kali terakhir Helicopter Sunday berlaku di United Kingdom adalah pada akhir musim 2014/2015 di Scottish League 1 antara Greenock Morton, Stranraer dan Forfar Athletic.

Akhirnya takhta kejuaraan Scottish League 1 dimenangi oleh Greenock Morton.

2. Helicopter Sunday 2005

Pada hari terakhir Scottish Premier League (SPL) musim 2004/2005, Celtic mendahului Rangers dengan 2 mata. Celtic dengan 92 mata dan Rangers dengan 90 mata.

Celtic hanya perlu seri dengan Motherwell di Fir Park untuk menjadi juara liga. Manakala Rangers perlu menang dengan Hibernian di Easter Road.

Di Fir Park, segalanya kelihatan baik-baik belaka buat Celtic pada mulanya. Celtic yang dibimbing oleh Martin O’Neill mendahului 1-0 hasil jaringan Chris Sutton pada minit ke-29.



Ini membimbangkan penyokong Rangers yang berada di Edinburgh setelah mengetahui musuh ketat mereka sedang mendahului melalui radio dan telefon bimbit. Ketika itu, Rangers masih terikat 0-0 dengan Hibernian.

Hibernian ternyata menjadi lawan yang liat buat Rangers pada hari itu kerana mereka sedang mengejar kelayakan ke Eropah.

Tamat separuh masa pertama, Alex McLeish memainkan peranannya sebagai pengurus Rangers dengan memberi kata peransang kepada anak buahnya. Beliau berkata:

“Satu-satunya perkara yang kamu tak boleh buat hari ini adalah tak menang perlawanan ini. Jika Celtic tercicir mata, dan kamu pula tak menang, kamu akan menyesal seumur hidup kamu.”

McLeish kemudiannya meminta bantuan jeneral tengahnya, Barry Ferguson (gambar) dan jeneral pertahanan, Marvin Andrews untuk meyakinkan rakan sepasukan lain – yang mereka mampu menang.



“Jika kamu menjaringkan gol dan Motherwell juga menjaringkan gol. Kamu adalah juara liga,” kata McLeish kepada pemainnya sebelum memulakan separuh masa kedua.

60 saat yang mahu dilupakan penyokong Celtic

Separuh masa kedua bermula, Rangers terus menyerang. Akhirnya Nacho Novo berjaya menjaringkan gol untuk Rangers pada minit ke-59. Rangers 1-0 Hibernian.

Sekarang, Rangers hanya perlu mengharapkan Motherwell untuk menang menentang Celtic.

Di Fir Park, penyokong Celtic yang turun ke Lanarkshire merasakan mereka sudah pasti menjuarai liga musim ini. Namun langit tidak selalunya cerah.

Ketika perlawanan hanya berbaki 2 minit, Scott McDonald melakukan voli cantik untuk memberikan gol penyamaan Motherwell. Motherwell 1-1 Celtic.

Penyokong Celtic semakin gementar. Pasukan mereka hanya perlu bertahan pada kedudukan 1-1, tetapi Motherwell semakin bersemangat mengejar gol kedua. Jentera pertahanan Celtic pula semakin teruk.

60 saat selepas gol penyamaan Motherwell, mimpi ngeri penyokong Celtic menjadi realiti.

Kali ini Scott McDonald menggelecek melepasi cabaran beberapa pemain Celtic sebelum melepaskan rembatan.

Takdir Tuhan mungkin memainkan peranan kerana rembatan McDonald terkena pertahanan Celtic dan terbias di luar jangkaan penjaga gol Celtic. Motherwell menang 2-1 dalam perlawanan itu.



“Sakitnya masih terasa sehingga hari ini”

Apabila berita kemenangan Motherwell sampai ke pengetahuan penyokong Rangers di Edinburgh, mereka bersorak gembira.

Apabila wisel tamat ditiup, Rangers sah bergelar juara liga untuk kali ke-51 dalam sejarah mereka selepas menewaskan Hibernian 1-0.

Helikopter yang pada mulanya berlegar-legar di atas ruang udara Fir Park, Lanarkshire terpaksa mengubah arah ke Edinburgh untuk mendarat di padang Easter Road. Trofi SPL milik Rangers.



Penyerang Celtic, Chris Sutton nyata kecewa dengan kekalahan minit akhir Celtic.

“Tiada perasaan seteruk ini, sakitnya masih terasa sehingga hari ini. Saya rasa saya takkan mampu melupakannya.”

Alex McLeish pula menyifatkan kejayaan ini adalah yang terbaik dalam karier pengurusannya.

“Kemenangan Birmingham ke atas Arsenal (dalam final League Cup 2011) pun dah terbaik.”

“Tetapi peristiwa ini (Helicopter Sunday 2005) membuatkan stadium bergegar dengan sorakan penyokong yang luar biasa. Ia takkan mampu lagi dicipta semula.”

Begitulah kisah Helicopter Sunday yang terbaik dalam sejarah. Apa reaksi semua? Ada kisah kebangkitan lain yang menarik untuk dikongsikan? Sila kongsi di ruangan komen.

Dalam artikel seterusnya, kita akan ke England untuk mengenali pemain Plymouth Argyle yang bernama James Bittner.

The post Helicopter Sunday 2005: Bagaimana Rangers Merampas Takhta Liga Daripada Celtic Dengan Helikopter appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA