Bola Sepak : Sungai Ara FC Tarik Diri Saingan Piala FAM 2017

Dengan saingan Piala FAM 2017 yang dijadualkan bermula pada 19 Februari 2017 akan datang, pasukan kelab berpangkalan di Pulau Pinang, Sungai Ara FC mengumumkan secara rasmi keputusan menarik diri dari saingan Piala FAM 2017 ekoran ketiadaan penajaan bagi musim ini. Sebelum ini juga pasukan Sungai Ara FC juga terpaksa menarik diri pada saingan pusingan pertama Piala FA Malaysia 2017 di mana mereka dijadualkan bertemu dengan pasukan MOF FC di gelanggang sendiri. Pasukan Sungai Ara FC sebelum itu telah diundi dalam Kumpulan B untuk saingan Piala FAM 2017. Dengan penarikan diri pasukan Sungai Ara FC dalam saingan Piala FAM 2017 menjadikan pasukan dalam Kumpulan B adalah sebanyak 7 pasukan sahaja.

Bual Sukan berpendapat, penarikan diri ini merupakan petanda yang kurang enak didengar dan sesuatu perlu dilakukan oleh pengurusan tertinggi bola sepak negara bagi memastikan pasukan-pasukan berstatus kelab ini mampu terus mewarnai bola sepak negara. Dengan kos pengurusan pasukan yang semakin meningkat juga mampu membunuh kelab-kelab kecil jika sesuatu tidak dilakukan. Bual Sukan ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Sungai Ara FC dalam saingan domestik peringkat negeri serta terima kasih kerana mewarnai bola sepak negara sepanjang 3 tahun beraksi dalam saingan Piala FAM. Kepada barisan pemain pasukan Sungai Ara FC atau nama gelaran mereka Jungle Cats ini bukanlah penamat cita-cita anda untuk terus bermain dan beraksi dalam sukan bola sepak. Kepada peminat pasukan pula, teruskan memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan anda.

Berikut adalah petikan kenyataan yang Bual Sukan petik dari facebook rasmi Sungai Ara FC berhubung penarikan diri pasukan mereka dalam saingan Piala FAM 2017 :
Berita Rasmi SAFC, 15 Februari 2017. Pasukan bola sepak tempatan Pulau Pinang, Sungai Ara FC 2017 dengan ini mengumumkan dengan rasminya menarik diri dari menyertai saingan Piala FAM 2017 setelah 3 tahun berada dalam saingan Piala FAM. Penarikkan diri ini terpaksa dibuat memandangkan tiada tajaan diterima untuk musim 2017 ini. Pihak pengurusan mengucapkan terima kasih kepada para pemain, barisan jurulatih, para penyokong dan semua yang selama ini bersama-sama pasukan. Pengurusan SAFC juga memohon maaf kepada semua kerana tidak mampu merealisasikan impian para pemain dan peminat untuk melihat SAFC berjaya dalam saingan bola sepak tempatan..

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Bola Sepak : Saingan Liga Malaysia 2016

Musim Liga Malaysia 2015 telahpun melabuhkan tirainya dengan pasukan Selangor berjaya merangkul gelaran juara Piala Malaysia 2015 apabila berjaya menewaskan pasukan Kedah dengan keputusan 2-0. Musim Liga Malaysia 2016 akan datang dijadualkan bermula pada 13 Februari 2016 dengan perebutan kejuaraan Piala Sumbangsih 2016 atau Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2016 antara Juara Piala Malaysia 2015, Selangor bertemu dengan Juara Liga Super 2015, Johor Darul Ta’zim FC. Saingan Liga Premier 2016 akan bermula pada 12 Februari 2016.

Saingan Liga Super 2016 dan Liga Premier 2016 akan melibatkan 24 pasukan terdiri daripada pasukan negeri dan pasukan kelab. Saingan Liga Malaysia 2016 turut menyaksikan pasukan jemputan iaitu Singapore Lions XII tidak lagi akan beraksi pada saingan tahun 2016 akan datang. Slot tersebut bakal diisi sama ada oleh ATM FA (Pasukan Tangga Kesebelas Liga Super 2015) ataupun T-Team (Pasukan Tangga Ketiga Liga Premier 2015) dalam saingan play-off. Pasukan Kuala Lumpur (Pasukan Tangga Kesebelas Liga Premier 2015) yang diturunkan ke Liga FAM akan kembali ke saingan Liga Premier 2016.

Saingan Liga Malaysia 2016 akan menyaksikan penswastan yang dikendalikan oleh Football Malaysia Limited Liability Partner-ship (FMLLP) diterajui oleh Kevin Ramalingam. Bual Sukan percaya, saingan Liga Malaysia 2016 akan datang pastinya akan lebih menarik dengan setiap pasukan pastinya menandatangani pemain-pemain tempatan serta pemain-pemain import berkualiti memantapkan pasukan masing-masing. Selain itu, pemain-pemain muda pasukan masing-masing juga pastinya akan diperkenalkan oleh pasukan masing-masing. Peminat bola sepak Malaysia pastinya mengharapkan sinar yang lebih gemilang untuk pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia 2016 akan datang. 

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Bola Sepak : Saingan Playoff Liga Super 2016

Saingan panjang Liga Malaysia 2015 telahpun berakhir dengan cemerlang. Setiap pasukan kini pastinya akan menfokuskan semula kepada persiapan rapi pasukan masing-masing menghadapi musim baru Liga Malaysia 2016 akan datang. Saingan masih mengekalkan 12 pasukan dalam Liga Super 2016 dan 12 pasukan dalam Liga Premier 2016. Saingan musim depan juga bakal menyaksikan pasukan jemputan iaitu Singapore Lions XII tidak lagi akan beraksi pada saingan Liga Super 2016. Slot tersebut bakal diisi sama ada oleh pasukan ATM FA (Pasukan Tangga Kesebelas Liga Super 2015) ataupun pasukan T-Team (Pasukan Tangga Ketiga Liga Premier 2015) dalam saingan playoff yang akan diadakan pada penghujung Januari 2016 akan datang. Pasukan yang menang bakal merebut satu lagi slot pasukan dalam saingan Liga Super 2016 manakala pasukan yang tewas akan beraksi dalam saingan Liga Premier 2016.

Pasukan ATM FA dan T-Team pastinya akan menggunakan peluang ini untuk beraksi sebaiknya bagi merebut peluang beraksi dalam saingan Liga Super 2016. Kedua-dua pasukan kini juga pastinya akan menyusun semula pasukan dengan melantik barisan kejurulatihan yang lebih mantap selain menandatangani pemain-pemain baru sama ada pemain tempatan ataupun pemain import berkualiti. Selain itu juga, kedua-dua pasukan ini pastinya akan turut memperkenalkan bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan untuk pasukan masing-masing. Bual Sukan percaya, saingan merebut satu lagi slot pasukan ke Liga Super 2016 pastinya sengit dan mendebarkan. Pasukan yang berjaya memanfaatkan setiap peluang dan ruang menjaringkan gol pastinya mempunyai kelebihan serta mencerahkan laluan ke saingan Liga Super 2016 akan datang.

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Mario Gomez Yakin JDT Mampu Berikan Saingan Sengit

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez yakin anak buahnya mampu memberikan saingan sengit dalam perlawanan akhir Piala AFC menentang pasukan tuan rumah FC Istiklol di Dushanbe, Tajikistan Sabtu ini.

Meskipun terpaksa bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk perlawanan akhir itu selain saingan Piala Malaysia, namun pengendali dari Argentina ini percaya skuad Harimau Selatan sudah bersiap sedia untuk memberikan aksi yang terbaik, sekali gus merangkul piala berprestij berkenaan.
“Tinggal dua hari untuk menjalani latihan dan kami sudah bersedia. Tumpuan sekarang untuk menjulang Piala AFC,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, di sini semalam.

JDT mencipta sejarah menjadi pasukan negara pertama layak ke perlawanan akhir Piala AFC sejak diperkenalkan pada 2004. JDT dan FC Istiklol layak secara automatik selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) pada 25 September lalu.

Keputusan tersebut diambil FIFA susulan keputusan kerajaan Kuwait yang mahu melaksanakan undang-undang sukan baharu yang mengancam autonomi KFA sebagai badan bebas daripada campur tangan kerajaan.

Ekoran itu, penyertaan dua pasukan dari negara ber­kenaan, iaitu Qadsia SC dan Kuwait SC, yang masing-ma­sing menjadi lawan JDT dan Istiklol dalam perlawanan separuh akhir dibatalkan.

Gomez ber­kata, fokus JDT kini ialah untuk membiasakan pema­in dengan persekitaran dan cuaca di Tajikistan sebaik sahaja tiba di Dushanbe kelmarin selain memberi penekanan kepada latihan fizikal selain meningkatkan ketahanan psikologi pemain.
“Padang di sini (lokasi perlawanan) berbeza dengan padang yang biasa kita gunakan kerana mereka menggunakan padang sintetik.
“Oleh itu, kami akan biarkan pemain menyesuaikan diri de­ngan persekitaran dan padang di sini supaya mereka dapat mempamerkan prestasi terbaik dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.

Johor DT

Bola Sepak : Pasukan ke Saingan Euro 2016

Berikut adalah pasukan yang telah layak untuk beraksi pada saingan UEFA Euro 2016 France akan datang :

Perancis (Tuan Rumah)

Republik Czech (Kumpulan A)
Iceland (Kumpulan A)

Belgium (Kumpulan B)
Wales (Kumpulan B)

Jerman (Kumpulan C)
Poland (Kumpulan C)

Sepanyol (Kumpulan D)

England (Kumpulan E)
Switzerland (Kumpulan E)

Ireland Utara (Kumpulan F)
Romania (Kumpulan F)

Austria (Kumpulan G)

Itali (Kumpulan H)

Portugal (Kumpulan I)
Albania (Kumpulan I)

Sukan Malaysia dan Antarabangsa