Sukan : Bual Sukan Kembali

Bual Sukan kini kembali menulis setelah sekian lamanya tidak menulis serta mengemaskini blog sukan ini ekoran masalah teknikal yang dihadapi. Bual Sukan berharap penulisan blog ini kembali mewarnai dan memeriahkan penulisan-penulisan artikel sukan sama ada di Malaysia mahupun di peringkat global. Bual Sukan akan memastikan penulisan artikel sukan terbaik dan cuba membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa di masa akan datang. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih kepada semua pelayar blog http://blogbualsukan.blogspot.my/ di mana jua anda berada. Sukan untuk semua..

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Olimpik 2016 : Bola Sepak Lelaki Sukan Olimpik 2016 Rio

Temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik 2016 akan berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil bermula pada 5 hingga 21 Ogos 2016 akan datang. Temasya sukan terbesar setiap 4 tahun sekali ini merupakan edisi ke 31 era olimpik moden sejak ianya diperkenalkan pada tahun 1896. Antara sukan yang pastinya bakal menjadi tumpuan ialah sukan bola sepak lelaki yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 20 Ogos 2016 akan datang. 16 negara akan mengambil bahagian pada edisi kali ini di mana pemain yang disenaraikan adalah terdiri daripada pemain-pemain di bawah umur 23 tahun serta 3 pemain melebihi umur 23 tahun boleh disenaraikan oleh pasukan masing-masing. Brazil selaku tuan rumah layak secara automatik manakala 15 lagi negara layak menerusi pusingan kelayakan serta playoff mengikut benua masing-masing.

16 negara ini telah diundi dalam 4 kumpulan di mana pasukan yang muncul juara serta naib juara kumpulan akan layak ke pusingan suku akhir. Pada edisi Olimpik 2012 London yang lalu, pasukan Mexico berjaya merangkul pingat emas apabila menundukkan pasukan Brazil pada perlawanan akhir bola sepak lelaki dengan keputusan 2-1. Bagi edisi Olimpik 2016 Rio kali ini, pasukan Mexico pastinya sekali lagi akan mempertahankan pingat emas yang mereka menangi pada edisi lalu. Namun begitu, laluan mereka pastinya sukar dengan pasukan tuan rumah, Brazil sudah tentunya mengidamkan pingat emas pada edisi kali ini. Pasukan-pasukan lain juga pastinya akan memberikan permainan terbaik masing-masing bagi merebut pingat emas edisi kali ini.

Bual Sukan percaya, pasukan yang berjaya memanfaatkan setiap peluang dan ruang menjaringkan gol serta mempunyai tahap disiplin pertahanan yang baik mampu melakar keputusan terbaik seterusnya mencerahkan laluan memenangi pingat emas bola sepak lelaki Olimpik 2016 Rio. Barisan kejurulatihan pastinya akan merencanakan formasi, strategi dan taktikal terbaik masing-masing bagi memastikan ibu segala pingat ini digenggam oleh pasukan mereka. Berikut adalah undian kumpulan serta jadual perlawanan bola sepak lelaki Sukan Olimpik 2016 Rio akan datang :     

KUMPULAN A
4 Ogos 2016
Iraq lwn Denmark
Brazil lwn Afrika Selatan

7 Ogos 2016
Denmark lwn Afrika Selatan
Brazil lwn Iraq

10 Ogos 2016
Denmark lwn Brazil
Afrika Selatan lwn Iraq 

KUMPULAN B

4 Ogos 2016

Sweden lwn Colombia
Nigeria lwn Jepun

7 Ogos 2016
Sweden lwn Nigeria
Jepun lwn Colombia


10 Ogos 2016
Jepun lwn Sweden
Colombia lwn Nigeria

KUMPULAN C

4 Ogos 2016

Fiji lwn Korea Selatan 
Mexico lwn Jerman

7 Ogos 2016
Fiji lwn Mexico
Jerman lwn Korea Selatan


10 Ogos 2016
Jerman lwn Fiji
Korea Selatan lwn Mexico

KUMPULAN D


4 Ogos 2016
Honduras lwn Algeria
Portugal lwn Argentina

7 Ogos 2016
Honduras lwn Portugal
Argentina lwn Algeria


10 Ogos 2016
Argentina lwn Honduras
Algeria lwn Portugal

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Incoming search terms:

Olimpik 2016 : Senarai Atlet Malaysia ke Sukan Olimpik 2016 Rio, Brazil

Temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik 2016 akan bermula pada 5 hingga 21 Ogos 2016 akan datang dengan Rio de Janeiro, Brazil akan menjadi tuan rumah kejohanan edisi ke 31 ini. Kontinjen Malaysia bakal diketuai oleh Tan Sri Mohamed Al-Amin Majid selaku Chef de Mission ke temasya 4 tahun sekali ini. Sehingga artikel ini ditulis, seramai 32 atlet negara telah mengesahkan penyertaan ke Sukan Olimpik 2016, Rio melibatkan 10 sukan iaitu Badminton, Terjun Papan Anjal, Lumba Basikal, Renang, Olahraga, Memanah, Golf, Angkat Berat, Menembak dan Perahu Layar. Untuk rekod, kontijen negara belum pernah memenangi pingat emas temasya sukan olimpik dan pencapaian terbaik adalah pingat perak badminton perseorangan lelaki pada temasya Olimpik 2012 London melalui Datuk Lee Chong Wei.

Pada edisi kali Olimpik 2016 Rio ini, Datuk Lee Chong Wei diberikan penghormatan untuk menjadi pembawa jalur gemilang kebanggaan negara. Bual Sukan percaya, barisan atlet-atlet negara ke temasya Olimpik 2016 Rio ini pastinya masing-masing akan memberikan persembahan terbaik masing-masing selain berusaha memenangi emas pertama pasukan negara pada temasya olimpik ini. Rakyat Malaysia pastinya akan memberikan sokongan penuh kepada barisan atlet negara dan mendoakan kejayaan mereka mengharumkan nama negara pada temasya Olimpik 2016 Rio kali ini. Berikut adalah barisan atlet yang bakal membawa cabaran kontinjen negara  ke saingan Olimpik 2016 Rio akan datang :

Badminton
Datuk Lee Chong Wei
Goh V Shem/Tan Wee Kiong
Tee Jing Yi
Vivian Hoo/Wong Khe Wei
Chan Peng Soon/Goh Liu Ying

Terjun Papan Anjal
Ooi Tze Liang
Ahmad Amsyar Azman
Cheong Jun Hoong
Nur Dhabitah Sabri
Pandalela Rinong
Ng Yan Yee

Lumba Basikal
Azizulhasni Awang
Nur Fatehah Mustapha

Renang
Welson Sim
Heidi Gan
Phee Jing En

Olahraga
Nauraj Singh Randhawa
Zaidatul Husniah Zulkifli

Memanah
Khairul Anuar Mohamad
Haziq Kamaruddin
Muhammad Ikram Joni

Golf
Danny Chia
Gavin Kyle Green
Michele Koh
Kelly Tan 

Angkat Berat
Mohd. Hafifi Mansor

Menembak
Jonathan Wong Guanjie

Perahu Layar
Khairulnizam Mohd. Affendy
Nur Shazrin Latif

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Pakaian Sukan Bolasepak

Apabila menyebut tentang sukan bolasepak, boleh dikatakan hampir semua orang di seluruh dunia akan mengaitkannya dengan bangsa Inggeris samada secara sedar atau tidak sedar. Sebab itulah walaupun terdapat beberapa variasi perkataan “bolasepak” mengikut bahasa setempat, umumnya semua orang tahu apa itu “football” atau “soccer“. Football atau soccer sebenarnya adalah istilah yang diringkaskan daripada perkataannya yang asal yakni “association football“. Perkataan “football” itu sendiri pula sudah pun dijumpai bertulis buat pertama kalinya sejak tahun 1486 lagi.

Dari sudut sejarah, association football datangnya daripada sebuah permainan pada Zaman Pertengahan (Medieval atau Middle Ages) di Britain iaitu “mob football” yang muncul sempena sambutan Shrove Tuesday atau disebut juga sebagai Pancake Day. Bermula daripada mob football atau folk football inilah lahirnya sukan bolasepak moden yang dikenali pada hari ini. Sekiranya sebelum ini anda pernah tertanya-tanya kenapa “American football” turut dipanggil “football“, jawapannya adalah kerana ia dan juga sukan ragbi turut mempunyai asal-usul daripada mob football seperti mana bolasepak.

Mob football
(gambar: matthewclarksmith.com)

Mob football adalah satu permainan yang agak ganas, bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan teruk bahkan lebih teruk lagi hingga mendatangkan kematian. Ia masih ada dimainkan sehingga ke hari ini walaupun sudah berubah wajah serta tidak lagi meluas. Pada waktu dahulu, pernah diwujudkan buku panduan lama (old rulebook) bagi mengekang kekasaran yang melampau namun pada tahun 1314, Lord Mayor (datuk bandar) di London telah bertindak melarangnya daripada terus dimainkan secara terbuka. Kemudian, pada tahun 1331 pula, King Edward III menjadi raja England yang pertama yang mengharamkan permainan tersebut atas perintah diraja.

Pada tahun 1848, Universiti Cambridge pernah merangka sebuah undang-undang bolasepak tetapi hanya digunapakai di universiti tersebut. Meskipun kelab yang pertama dan masih lagi yang tertua yakni Sheffield FC (jangan dikelirukan dengan kelab Sheffield United atau Sheffield Wednesday) yang diasaskan pada tahun 1857 turut mengkanunkan undang-undang bolasepak Sheffield, tetapi hanya pada tahun 1863 barulah ‘Laws of the Game‘ diluluskan serta dianggap sebagai permulaan bolasepak moden. Undang-undang pada tahun 1863 yang dirangka oleh Ebenezer Cobb Morley bagi pihak The Football Association (FA) memanglah agak jauh berbeza dengan permainan moden, tetapi kini telah diadaptasi oleh FIFA dengan menerima pakai undang-undang yang dikawal selia oleh International Football Association Board (IFAB).

Kelab bolasepak paling tua di dunia,
Sheffield Football Club

Pakaian yang tertakluk kepada undang-undang bolasepak

Terdapat 17 perkara di dalam Laws of the Game dan kelengkapan para pemain merupakan undang-undang yang ke-4. Selain daripada uniform, pakaian seragam pemain turut disebut sebagai kit (bermaksud berkotak-kotak) atau strip (maksudnya berjalur atau berbelang). Undang-undang telah menetapkan apa yang sekurang-kurangnya perlu dipakai dan telah menggariskan juga larangan untuk menggunakan apa-apa yang boleh membahayakan diri atau pemain lain. Undang-undang lain yang berkaitan termasuklah penggunaan logo, warna pakaian, nombor pemain, dan beberapa lagi. Sekiranya barisan pemain bolasepak profesional dilihat lengkap berpakaian dengan baju jersinya, seluar pendek, stockings (sarung kaki), shin pads (decker), dan kasut but, sebiji bola dan sepasang selipar (dijadikan gol dan main berkaki ayam) mungkin sudah cukup buat sekumpulan kanak-kanak yang bebas bermain di mana-mana (di jalanan bukan di atas jalan raya).

Selain itu, para pemain dikehendaki memakai baju yang berlengan samada pendek atau panjang, baju yang tidak berlengan tidak lagi dibenarkan walaupun dahulu pernah ada pasukan yang sempat berbuat demikian. Penjaga gawang (yang dibenarkan menggunakan tangannya dalam permainan) pula perlulah memakai pakaian yang boleh membezakannya dengan pemain-pemain lain dan juga para pegawai (pengadil dan penjaga garisan). Posisi penjaga gol memang agak unik kerana di samping harus memakai gloves (sarung tangan), mereka juga dibolehkan memakai cap (topi) sekiranya perlu. Untuk jenis sukan bolasepak daripada cabang-cabang yang lain, umpamanya bolasepak pantai (beach soccer), bolasepak jalanan (street soccer), futsal atau indoor soccer, maka lainlah keperluannya.

Evolusi pakaian pemain bolasepak

1870an – Di Britain, para pemain memakai ‘knickerbockers‘ yakni seluar panjang yang diselitkan ke dalam stokin. Pada tahun 1874, Sam Weller Widdowson telah merekacipta shin pads atau disebut juga sebagai shin guards apabila memakai cricket pads yang telah dipotong serta diikat pada bahagian luar stokin.

Perlawanan bolasepak antarabangsa yang rasmi pertama kali
diadakan pada 30 November 1872 di Hamilton Crescent, Partick
antara pasukan tuan rumah Scotland melawan England.
(gambar: thefa.com)

1890an – Seluar menjadi sedikit singkat, tetapi ‘knickers‘ masih berada di bawah paras lutut.

Gambaran perlawanan akhir FA Cup tahun 1891 antara
Blackburn Rovers dengan Notts County.
(kredit: gottfriedfuchs.blogspot.my)

1900an – Seorang pemain Manchester United iaitu Charlie Roberts memulakan trend baru yang mana pemain-pemain lain tidak pernah buat dengan mengenakan knickers yang singkat dan kurang daripada paras lutut.

Charles “Charlie” Roberts
(gambar: bbc.com)

1940an – Penjaga gawang antarabangsa Argentina, Amadeo Carrizo yang pernah bermain untuk kelab River Plate diiktiraf sebagai perintis bagi banyak perkara antaranya, penjaga gol yang pertama memakai sarung tangan, yang pertama sering keluar daripada kawasan kotak penaltinya, dan juga yang pertama memperkenalkan sepakan gol (goal kicks) sebagai satu strategi untuk memulakan serangan balas (counterattacks).

Amadeo ‘Tarzán’ Carrizo

1970an – Para pemain memakai pakaian yang bersaiz kecil dan seluar kelihatan agak singkat.

Johan Cruyff dan Franz Beckenbauer dalam
perlawanan akhir Piala Dunia 1974.
(gambar: theguardian.com)

1990an – Pakaian yang dipakai oleh para pemain adalah lebih longgar tetapi seluarnya masih berada di atas paras lutut.

David Beckham dan Michael Owen turut meraikan gol Alan Shearer
untuk England ketika menentang pasukan Argentina di
peringkat suku akhir Piala Dunia 1998.
(gambar: soccer.nbcsports.com)

2002 – Pasukan bolasepak kebangsaan Cameroon memakai jersi tidak berlengan atau ‘sleeveless‘. Berbeza dengan pasukan Cameroon, pasukan bolasepak Itali pula menggayakan baju jersi yang mengikut bentuk tubuh badan serta boleh meregang.

Cameroon muncul juara African Cup of Nations tahun 2002.
(gambar: puma.resn.co.nz)

2004 – Pasukan Cameroon sekali lagi membuat kejutan dengan memakai ‘unitards‘, sejenis pakaian yang melekat pada tubuh dan bercantum baju dengan seluarnya.

Pasukan Cameroon di African Cup of Nations tahun 2004.
(gambar: whoateallthepies.tv)

2014 – Baju para pemain biasanya bersaiz sederhana namun seluar pendek masih lagi tidak menutup bahagian lutut.

David Luiz, Neymar Jr., dan Thiago Silva memperagakan jersi
rasmi pasukan kebangsaan Brazil untuk Piala Dunia 2014.
(gambar: footballfashion.org)

Susah sangatkah untuk menutup aurat?

Sebelum diberi definisi tentang hijab, adalah diingatkan kepada semua supaya merujuk semula apa sahaja yang berkaitan dengan ajaran Islam. Rujukan yang terbaik sudah pastilah kitab suci al-Quran yang mana individu-individu yang mempunyai ilmu pengetahuan boleh menerangkannya. Apa yang disampaikan di sini hanyalah secara umum dan sekadar yang asas sahaja. Baiklah, bila bercakap mengenai hijab, tidak diketahui berapa ramai yang tersalah faham bahawa memakai tudung dan/atau jilbab itulah hijab. Yang sebenarnya (dan juga yang sebetulnya), hijab bukan dinilai atau dilihat dengan secebis kain sahaja. Hijab merujuk kepada tingkah laku, percakapan, raut wajah, dan pemakaian seseorang. Ia adalah amalan harian yang terpakai untuk kedua-dua jantina, baik lelaki mahupun perempuan. Maka, pakaian yang tidak terdedah, tidak terlalu singkat, tidak jarang, tidak ketat, serta tidak menjolok mata hanyalah sebahagian daripada tuntutan hijab yang memelihara kehormatan dan keindahan.

Menurut undang-undang ‘antarabangsa’, penjaga gawang dibenarkan untuk memakai seluar panjang (tracksuit bottoms) namun sejak akhir-akhir ini, semakin ramai pula penjaga gol yang dilihat lebih gemar untuk memilih memakai seluar pendek seperti pemain-pemain di posisi lain. Sekalipun pemain-pemain Muslim ‘dipaksa’ atau ‘terpaksa’ untuk mengikut peraturan seperti memakai seluar pendek yang mendedahkan lutut, tiadakah jalan penyelesaian alternatif? Bukankah sudah ada contoh yang mana terdapat beberapa pemain yang cuba juga berusaha menutup bahagian lutut dengan memakai tights (seluar ketat) atau thermal undershorts? Mungkinkah sudah tiba masanya untuk siapa-siapa yang mampu di kalangan Muslim untuk menghasilkan sendiri jenama pakaian sukan yang berkualiti? Setakat yang kita semua tahu, tidaklah berdosa jika tidak mengharapkan lagi kepada jenama-jenama luar, tetapi tidakkah kita takut berdosa andai tiada seorang pun yang melaksanakan fardu kifayah bagi memenuhi keperluan pakaian untuk beriadah?

Bekas pemain sayap kiri negara, Indra Putra Mahayuddin
beraksi tanpa menampakkan lututnya.
(gambar: news.zing.vn)

Ingin dinyatakan juga di sini, isu wanita bermain bolasepak tidaklah menjadi masalah yang besar sekiranya adab-adab yang tertentu dijaga. Cuma, beberapa pesanan mungkin boleh memberi faedah sekiranya mahu diambil manfaatnya. Yang pertama, semua orang perlu diingatkan bahawa Allah itu Maha Adil. Allah sebagai Pencipta seluruh alam sudah tentulah adil seadil-adilnya tetapi persoalan yang perlu ditanya adalah, adakah kita berlaku adil terhadap diri kita sendiri dan juga kepada makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain? Jadi, ketahuilah bahawa aurat lelaki dan aurat wanita yang berbeza itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Malah, ketentuan Ilahi dalam menetapkan jantina masing-masing itu pun adalah tertakluk di bawah kebijaksanaan yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Oleh itu, duniabolasepak.blogspot.com (DBS) menyarankan semua pihak agar tidak melakukan apa-apa yang melampaui batas. Jikalau wanita mahu bermain bolasepak dan ianya baik bagi mereka, maka tiada halangan buat mereka asalkan tidak berlaku perkara yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, adalah kurang sopan sekiranya aurat dijadikan bahan tontonan awam.

Muhasabah diri

Oleh itu, marilah sama-sama menyesal akan kesilapan yang lalu, berhenti melakukan kesilapan yang sama, serta berazam dengan sungguh-sungguh untuk tidak lagi mengulangi kesilapan yang telah dipelajari. Di samping itu, sekiranya terdapat salah silap yang berlaku sesama kita maka adalah dituntut supaya saling bermaafan. Bermaaf-maafan ertinya memohon maaf apabila melakukan kesalahan dan di samping itu memaafkan juga kesalahan orang lain. Semoga Allah memberi kita kesempatan untuk bertaubat dan juga mengampuni dosa-dosa kita semua.

Allah sahajalah yang Maha Mengetahui.

#VivaHarimauMalaya   #KempenMenutupAurat

DUNIA BOLA SEPAK

Incoming search terms:

Bual Sukan : Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur

Malaysia akan menganjurkan Temasya Sukan Dwi Tahunan Asia Tenggara iaitu Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur akan datang. Semalam telah berlangsungnya pelancaran logo dan maskot Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Temasya ini bertemakan Bangkit Bersama atau “Rising Together“. Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur akan melibatkan penyertaan 11 buah negara. Temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur ini merupakan yang pertama selepas Asia Tenggara diisytiharkan sebagai satu komuniti.

Simbol Wau Bulan menjadi logo Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur kali ini. Turur dilancarkan adalah Maskot Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur yang dinamakan sebagai RIMAU yang merupakan singkatan untuk Respect, Integrity, Move, Attitude dan Unity. Bual Sukan percaya, tempoh kurang 2 tahun sebelum kejohanan ini akan digunakan sebaiknya oleh Malaysia untuk membuat persiapan rapi bagi menjadi tuan rumah edisi kali ini. Malaysia pastinya akan memberikan penganjuran terbaik temasya ini dengan penuh gilang gemilang sepertimana yang telah dilakukan oleh tuan rumah Sukan SEA 2015 Singapura baru-baru ini. 

Untuk Temasya kali ini, penglibatan sukarelawan adalah amat diperlukan. Bagi yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada temasya ini boleh mendaftarkan diri di Laman Sesawang http://www.seagames2017.com.my/. Semoga Malaysia berjaya dalam penganjuran Temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur akan datang. 

Sukan Malaysia dan Antarabangsa

Bolasepak sebagai sukan bukannya politik

Baru-baru ini sebuah pasukan kelab dari Liga Malaysia (Liga-M) yang dahulunya dikenali sebagai Johor FC telah menempatkan nama Malaysia kembali gah di pentas Asia. Pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) yang dibarisi ramai pemain bintang tempatan telah menjuarai Piala AFC tahun 2015 dengan menewaskan FC Istiklol dari Tajikistan di tempat lawan. Sekalipun bernasib baik apabila mara ke perlawanan akhir selepas juara bertahan Qadsia SC (Al Qadsia) ditendang keluar akibat penggantungan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas campur tangan kerajaan Kuwait, ternyata tuah menyebelahi pasukan JDT apabila jaringan tunggal Leandro Velazquez pada minit ke-23 kekal hingga ke wisel penamat walaupun terdapat tiga gol yang dijaringkan Istiklol tidak dikira. Dengan kejayaan ini, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah melangkah setapak lagi berbanding tokoh-tokoh bolasepak Malaysia yang lain seperti Tan Sri Annuar Musa (Kelantan), Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Perak), dan Allahyarham Dato’ Paduka Ahmad Basri Akil (Kedah).

Sebelum pasukan JDT melakar kemenangan yang bersejarah ini, pasukan Selangor FA sudah pun mengecapi pencapaian yang agak membanggakan apabila muncul naib juara Kejohanan Kelab Asia pada 19 Disember 1967. Hapoel Tel Aviv FC adalah pasukan yang berjaya merangkul kejuaraan edisi pertama pertandingan tersebut yang kini dikenali sebagai Liga Juara-juara AFC dengan menewaskan pasukan Abdul Ghani Minhat dan rakan-rakan 2-1 di Bangkok, Thailand hasil jaringan Danny Bursuk dan Yaakov Rachminovich. Namun, agak malang pula bagi pasukan kebangsaan Malaysia, kekalahan demi kekalahan turut dirasai dalam dua pertemuan pada tahun 1973 dan 1974 menentang pasukan rejim Zionis yang kini sudah berada dalam Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA). Di sebalik polisi antarabangsa yang diketahui umum, pentadbiran Malaysia nampaknya seperti bersedia untuk mengetepikan masalah politik dan bersaing secara sihat. Samada perkara tersebut menimbulkan tanda tanya orang ramai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing untuk menilainya.

Selangor FA dalam Kejohanan Kelab Asia 1967

Berhubung permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebanyak tiga kali agar perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Dora, Hebron, Palestin pada 12 November 2015 dipindahkan ke lokasi yang neutral, perkara tersebut harus diteliti dengan sebaiknya. Kegusaran yang ditimbulkan mengenai isu keselamatan memang ada asasnya memandangkan ketegangan di Tebing Barat dilaporkan kian memuncak. Meminta pengesahan rasmi tentang jaminan keselamatan daripada pihak FIFA adalah tindakan yang bijak daripada FAM dan wajar dipuji. Walaupun begitu, FAM masih belum terlepas daripada tanggungjawabnya untuk memastikan segala persiapan menjelang perlawanan tersebut benar-benar tersedia dan mencukupi. Seluruh skuad yakni para pemain dan juga para pegawai perlu dibekalkan dengan maklumat terkini dari masa ke semasa supaya mereka sentiasa peka tentang keselamatan dan tidak lalai daripadanya. Perancangan yang rapi bukan sahaja untuk menghadapi perlawanan, tetapi juga untuk sebelum dan selepasnya.

FC Barcelona melawat Stadium Dora, Hebron pada 3 Ogos 2013
(gambar: Mahmoud illean)

Berita terbaru mengenai Arab Saudi menarik diri daripada perlawanan kelayakan menentang Palestin yang sepatutnya berlangsung pada hari Khamis (5 November 2015) selepas tertangguh tidak semestinya mempengaruhi Malaysia. Ini kerana Arab Saudi bakal berdepan hukuman, berkemungkinan besar Palestin diberi kemenangan percuma 3-0 manakala Arab Saudi didenda dengan jumlah yang besar malah boleh juga dibatalkan terus penyertaannya. Malaysia sudah pun menerima hukuman yang akan dijalankan selepas kejadian segelintir penyokong membuat kacau di Stadium Shah Alam tempoh hari (8 September 2015) dan sudah pasti tidak mampu lagi menerima sebarang hukuman tambahan. Dalam perlawanan Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu di tempat sendiri pada 17 November 2015 kelak bakal berlangsung secara tertutup dan tanpa penonton. Di samping itu, FAM akan didenda sebanyak 40,000 Swiss francs dan turut diberikan amaran. Arab Saudi mungkin sudah mengira bahawa 12 mata penuh yang terkumpul daripada empat perlawanan sudah memadai untuk mendahului Kumpulan A berbanding Emiriah Arab Bersatu di tempat kedua dengan 7 mata, 5 mata bagi Palestin, 4 mata bagi Malaysia, dan hanya 2 mata buat Timor Leste pada waktu ini.

Harimau Malaya pernah diiringi dengan kereta perisai di Jakarta

Keengganan Arab Saudi bermain di Tebing Barat yang diduduki rejim Zionis dipercayai atas sebab kebimbangan mereka tentang isu diplomatik yang turut dirasakan berhubung kait dengan isu keselamatan. Sekiranya Arab Saudi agak risau apabila bermain di Palestin nanti seolah-olah semacam mengiktiraf pendudukan rejim Zionis, bagi Palestin pula adalah sebaliknya. Palestin khuatir jika tiada lagi perlawanan bolasepak yang diadakan di Tebing Barat dan Genting Gaza, maka hilanglah peluang bagi rakyat Palestin khasnya dan peminat bolasepak seluruh dunia amnya untuk menikmati sukan bolasepak tanpa sekatan yang membebankan. Apabila semua orang merendah diri dan benar-benar ikhlas mengidamkan keamanan, apa jua bentuk penindasan mahupun perkauman mudah sahaja diketepikan. Hanya dengan keamanan yang dipupuk barulah manusia sejagat tidak lagi terancam nyawanya, manakala fikiran dan emosi juga menjadi tenteram.

Pada dasarnya, Malaysia tidak seharusnya cepat terpengaruh dengan apa yang berlaku di negara-negara lain. Menyedari bahawa Malaysia mempunyai keadaan serta situasi yang berbeza, pihak-pihak yang berwajib hendaklah berupaya membuat keputusan sendiri tanpa terikut-ikut secara membabi buta sebarang cara atau gaya yang kurang sesuai. Ambillah langkah berjaga-jaga dan sentiasa membuat pemantauan yang bersesuaian. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat. Oleh itu, sama-sama berdoa agar Allah melindungi kita semua. Semoga berjaya!

#TutupAurat #HarimauMalaya #MalaysiaBoleh

DUNIA BOLA SEPAK

Sukan nombor satu dunia

Sekiranya kita mengkaji sejarah sukan bolasepak, boleh dikatakan hampir semua negara mempunyai kaitan (samada banyak ataupun sikit) dengan kedatangan orang Inggeris. Ini kerana, orang Inggerislah yang mula-mula mempopularkan permainan yang menggunakan kaki ini sehingga pengaruhnya mampu merebak ke seluruh pelosok dunia. Sebab itulah persatuan bolasepak Inggeris hanya dikenali dengan nama ‘The FA‘ (The Football Association). Negara-negara lain pula perlu meletakkan nama negara masing-masing sebelum atau selepas diletakkan perkataan ‘FA’ bagi membezakannya dengan persatuan bolasepak Inggeris sebagai negara pelopor. Sebagai contoh, FAM adalah singkatan bagi Football Association of Malaysia. Walaupun terdapat kesan sejarah bahawa permainan zaman purba yang seakan-akan bolasepak telah pun muncul di Mexico (permainan yang dinamakan sebagai Tlachtli), China (Tsu’Chu), Bahamas (Tainos), dan Jepun (Kemari), namun permainan moden yang dimainkan pada hari ini adalah hasil daripada undang-undang bolasepak yang diperkenalkan oleh orang Inggeris. Selaras dengan peredaran masa, undang-undang tersebut telah menjadikan bolasepak berkembang sebagai sukan yang lebih tersusun serta sistematik. Acara kemuncak yang diadakan empat tahun sekali yakni kejohanan Piala Dunia FIFA juga kerap kali menjadi tumpuan seluruh dunia tanpa mengira perbezaan warna kulit mahupun latarbelakang bangsa.

Kini, tidak ada satu pun negara yang tidak terkesan dengan tarikan sukan bolasepak. Sekiranya ada pengecualian, mungkin hanya Amerika Syarikat sahaja yang cuba mengecilkan pengaruh bolasepak. Orang Amerika sering menyebut istilah “American exceptionalism” apabila menerangkan sebab mereka tidak berapa cenderung kepada bolasepak. Mereka merasakan bahawa mereka berbeza (atau pelik berbanding) dengan negara-negara lain, tidak kiralah samada ianya baik mahupun tidak. Malah, mereka lebih gemar menggunakan perkataan ‘soccer‘, padahal seluruh dunia menyebut ‘football‘ (nama sukan bolasepak dalam Bahasa Inggeris). Bagi mereka, ‘football‘ adalah ‘American Football‘ atau pertandingan ‘Super Bowl‘ iaitu satu sukan hampir lebih kurang sama dengan sukan ragbi cuma para pemain dikehendaki memakai helmet dan bermacam-macam pad keselamatan. ‘American Football‘ pada dasarnya lebih banyak menggunakan tangan tetapi namanya sahaja yang menggunakan kaki. Di Amerika, ‘soccer‘ adalah permainan yang biasanya dimainkan oleh kaum hawa walaupun jelas kelihatan kurang manis (tak molek) apabila seorang wanita mengangkat kaki untuk menendang, dan kadang kala ada yang sampai terkangkang-kangkang sewaktu menyepak bola. Samada sengaja ataupun terlepas pandang, ramai yang lupa bahawa adalah lebih mudah buat pemain-pemain bolasepak lelaki menutup aurat berbanding perempuan.

Fenomena luarbiasa yang terhasil daripada minat (atau kegilaan) terhadap bolasepak ini boleh diperhatikan hampir di mana-mana sahaja. Bolasepak seolah-olah berfungsi sebagai ‘bahasa universal’ yang boleh difahami semua. Bolasepak mampu merentasi jurang bahasa dan budaya. Lihat sahajalah gelagat penonton-penonton bolasepak di beberapa negara Arab. Di Malaysia, jubah selalunya dipakai oleh para imam dan barangkali juga pengikut jemaah tabligh. Namun, orang Arab memakai jubah sebagai pakaian harian mereka. Maka, walaupun nampak pelik untuk memakai jubah selain daripada ke masjid bagi penganut Islam di Malaysia tetapi tidaklah pula asing bagi orang Arab untuk memakainya sekalipun semasa menonton perlawanan bolasepak di stadium. Apa yang lebih pelik, surau yang dibina (di Malaysia khususnya) adalah terlalu kecil berbanding kapasiti stadium sehingga menimbulkan satu persoalan: Adakah peminat bolasepak jumlahnya lebih ramai daripada orang yang bersolat? Tepuk dada tanya selera. Rasanya memanglah tidak salah untuk meminati ‘bola’ tetapi seperti mana sukan-sukan yang lain, manfaat hanya diperoleh sekiranya bukan mudarat yang dicari.

Kebaikan sukan bolasepak bukan hanya untuk kesihatan (sudah tentu bagi para pemain sahaja), perniagaan, dan hiburan, malah boleh juga diaplikasikan sebagai alat perpaduan rakyat yang berkesan. Dua gol yang dijaringkan oleh Zinedine Zidane ketika dalam perlawanan akhir Piala Dunia tahun 1998 yang membantu negara tuan rumah menewaskan juara bertahan Brazil telah mengubah laluan sejarah buat selama-lamanya. Perancis sebagai negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa kini tidak lagi memandang serong terhadap sebahagian daripada rakyatnya sendiri (yakni golongan pendatang). Jika dahulu mereka sering mencari alasan untuk berpecah belah, sekarang mereka cuba untuk bersatu padu. Inilah perubahan yang boleh dilakukan andainya sukan bolasepak tidak dijadikan sekadar hiburan semata-mata. Pengaruh bolasepak kepada individu, keluarga, mahupun masyarakat tidaklah sehebat agama (agama adalah yang tertinggi), namun tetap mempunyai kesan yang tertentu dari segi politik, ekonomi, dan sosial secara keseluruhannya.

#PrayForPalestine

DUNIA BOLA SEPAK