Fazrul Hazli: Prestasi Julai 2016 Bukti Penyerang Tempatan Boleh Saingi Penyerang Import

Penyokong pasukan Perak pastinya berbangga dengan pencapaian pasukan kesayangan mereka sejak akhir-akhir ini.

Mana tidaknya, sejak Karl-Heinz Weigang kembali ia telah membuatkan prestasi pasukan bertambah stabil dan untuk baki saingan liga.

Selain itu, mereka juga boleh berbangga dengan prestasi penyerang tempatan mereka, Fazrul Hazli.

3 bulan tanpa gol

Musim Fazrul Hazli hanya bermula pada bulan April.

Hal ini kerana sepanjang bulan Februari hingga Mac, Fazrul gagal menjaringkan sebarang gol dalam saingan liga mahupun Piala FA.

Fazrul hanya berjaya menggegar jaring pada bulan April, ketika menentang Terengganu di mana Fazrul memberi pasukannya gol pendahuluan dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 3-2 memihak Perak.

Bulan April dan Mei boleh dikatakan tempoh masa yang agak sukar buat pemain ini, kerana beliau cuma mampu menjaringkan 3 gol dalam tempoh dua bulan tersebut.

Menggila selepas Aidilfitri

Fazrul Hazli berada di prestasi terbaiknya musim ini selepas cuti rehat Aidilfitri.

Untuk bulan Julai sahaja beliau menjaringkan 4 gol! 1 gol lebih banyak berbanding jumlah jaringnya ketika bulan April dan Mei yang digabungkan.

Fazrul mula meledak apabila menentang FELDA United di Jengka ketika mereka tewas 2-1 pada 16 Julai dalam saingan liga.

Baki 3 gol Fazrul hadir ketika saingan Piala Malaysia dengan 1 gol ketika menentang PKNS FC dan 2 lagi hadir ketika menentang JDT.

Prestasi Fazrul ini membuatkan beliau dicalonkan untuk anugerah pemain terbaik bulanan PFAM-Asiana.my untuk bulan Julai.

Beliau menjadi satu-satunya anak tempatan yang bersaing untuk anugerah tersebut pada bulan Julai yang juga disertai oleh Blaze Ilijoski (Kelantan), Guilherme De Paula (PDRM), Jeong Seok-Min (Pulau Pinang) dan Francis Forkey Doe (FELDA United).

Berjaya menewaskan pemain import

Walaupun dihimpit oleh 4 pemain import untuk anugerah pemain terbaik bulanan bagi bulan Julai, namun Fazrul berjaya memenanginya!

Beliau berjaya menewaskan 4 pemain import yang turut sama dicalonkan bersama dengannya.

Kejayaan Fazrul menjadikan beliau pemain tempatan ketiga selepas Faiz Subri (Pulau Pinang) dan Izham Tarmizi Roslan (JDT) yang menjadi pemenang anugerah pemain terbaik bulanan untuk musim 2016.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM), Rezal Zambry Yahya yang juga dihadiri oleh Setiausaha Agung PFAM iaitu Ahmad Fauzi Saari, Exco PFAM Rudie Ramli, CEO PFAM, Izham Ismail dan juga wakil dari Asiana.my .

14063976_10153887191202607_1774522653779668932_n

Dalam majlis ringkas yang dihadiri oleh jurulatih Perak, Karl-Heinz Weigang dan juga pemain Perak yang lain menyaksikan Fazrul menerima hadiah plak, bingkai gambar yang memuatkan gambar Fazrul serta wang tunai sebanyak RM1,500 hasil sumbangan Asiana.my .

Majlis yang dilangsungkan sebelum perlawanan Liga Super menentang Pulau Pinang ini ternyata memberi semangat tambahan kepada Fazrul.

Hasilnya beliau menjadi satu diantara penjaring ketika Perak menang 4-1 ke atas Pulau Pinang!

Kejayaan Fazrul ini berjaya membuktikan penyerang tempatan mampu bersaing dengan penyerang import jika diberi masa bermain dengan cukup.

Apapun, tahniah buat Fazrul Hazli! Semoga terus konsisten untuk beraksi baik.

Baca juga: Ijila Spasonovic: 5 Gol Sepanjang Julai 2016 Beri Sebab Kenapa Beliau Dipanggil ‘Spasogoal’

The post Fazrul Hazli: Prestasi Julai 2016 Bukti Penyerang Tempatan Boleh Saingi Penyerang Import appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Survey FFT: 50% Pemain Tempatan Setuju Jurulatih Asing Lebih Bagus, Hanya 7% Bantah

Ya, anda tak tersalah baca.

Menurut survey yang dijalankan oleh FourFourTwo Malaysia/Singapore kepada 100 pemain-pemain tempatan dari Liga Super, Liga Perdana dan Piala FAM, 50% pemain tempatan (50 pemain) bersetuju jurulatih asing lebih bagus berbanding jurulatih tempatan.

43 pemain menjawab ‘tiada komen’. Manakala hanya 7 pemain yang berpendapat jurulatih tempatan lebih bagus daripada jurulatih asing.

Survey FourFourTwo Malaysia/Singapore

Selama 4 bulan bermula dari Disember 2015 hingga Mac 2016, FourFourTwo Malaysia/Singapore telah menjalankan sebuah bancian (survey) terhadap 100 pemain tempatan dari Liga Super, Liga Perdana dan Piala FAM untuk bertanya 20 soalan berkenaan isu-isu bola sepak Malaysia.

Survey ini dijawab oleh:

  • 65 pemain Liga Super
  • 25 pemain Liga Perdana dan
  • 10 pemain Piala FAM.

Mereka terdiri daripada pemain muda, pemain kacukan Malaysia dan pemain skuad kebangsaan. Tiada pemain import yang terlibat dalam survey ini.

Semua pemain yang terlibat telah menyertai survey ini secara sukarela. Identiti mereka pula tidak diketahui (anonymous).

Terima kasih kepada FourFourTwo Malaysia/Singapore, Semuanya BOLA memperolehi pendedahan eksklusif 4 daripada 20 soalan survey mereka.

Kami sendiri memilih 4 soalan ini kerana merasakan ia berkait rapat dengan isu bola sepak yang kami perjuangkan.

Soalan 1: Jurulatih asing lebih baik berbanding jurulatih tempatan?

BlogIllustration1

Seperti yang kami dedahkan di atas, hanya 7 pemain tempatan membantah jurulatih asing lebih baik berbanding jurulatih tempatan.

Sejumlah 50 pemain menjawab ‘setuju’ dan ‘sangat setuju’. 43 pemain lagi berdiri di atas pagar dan menjawab ‘tiada komen’.

Seorang pemain Liga Super memberitahu:

“Saya rasa lebih yakin bermain di bawah jurulatih asing.”

Seorang pemain Liga Perdana pula berpendapat jurulatih asing perlu membuktikan rekod kejurulatihannya dahulu sebelum memperolehi rasa hormatnya:

“Jika mereka (jurulatih asing) datang ke sini, mereka mesti membuktikan kebolehan mereka dengan rekod yang baik. Kalau tak, mereka sama saja macam jurulatih tempatan kita.”

Soalan 2: Saya gembira walaupun saya tak dapat bermain di luar negara. Setuju atau tidak?

BlogIllustration2

Semasa lawatan kami ke Jepun, kami bertanya kepada pegawai J League: mengapa tiada kelab J League yang mahu mengambil pemain Malaysia?

Jawapan salah seorang pegawai mereka adalah:

“Kami memang mahu bawa pemain Malaysia ke J League, terutamanya ke J2 League (divisyen ke-2). Tetapi gaji pemain Malaysia terlalu mahal.”

Jika anda berada di tempat pemain Malaysia, mengapa perlu berhijrah? Gaji bermain di Malaysia saja sudah lumayan. Liga pula meriah. Anda pula tak perlu bermula dari kosong kerana semua jurulatih di Malaysia kenal anda.

Maka kami tak hairan apabila survey FourFourTwo Malaysia/Singapore mendedahkan hanya 33 pemain mengaku tidak gembira jika mereka tak dapat peluang bermain di luar negara.

“Saya pernah dapat tawaran pergi ke kelab luar negara, tapi kelab tak benarkan saya pergi,” menurut seorang pemain Liga Super.

Seorang lagi pemain Liga Super berkata:

“Kalau saya bersara tanpa dapat main di luar negara walaupun hanya sekali, itu akan mengecewakan saya.”

38 pemain lagi berpendapat mereka gembira walaupun tidak mendapat peluang bermain di luar negara. Manakala 29 lagi menjawab ‘tiada komen’.

Seorang pemain Liga Super berpendapat bermain di luar negara hanya akan membuatkannya rindu kepada keluarga:

“Saya rasa saya tak boleh berjauhan dengan isteri dan anak-anak saya.”

Seorang lagi pemain Liga Super berpendapat bermain di Malaysia lebih bagus berbanding di luar negara:

“Saya pernah bermain di luar negara sebelum ini, dan saya boleh cakap ‘the grass is not always greener on the other side’.”

Soalan 3: Saya terasa hati bila penyokong maki saya. Setuju atau tidak?

BlogIllustration3

Kefanatikan peminat bola sepak Malaysia dan ‘kegarangan’ mereka di media sosial apabila pasukan kalah, bukan satu rahsia lagi. Cacian dan makian penyokong sama ada di stadium atau media sosial ada kalanya melampau dan boleh mengguris hati pemain.

Bagaimanapun menurut survey ini, hanya 24 pemain mengaku mereka terasa hati apabila penyokong memaki mereka.

“Saya boleh terima kalau makian itu datang dari penyokong pasukan lawan. Tetapi tidak jika ia datang dari penyokong kami sendiri,” menurut seorang pemain Liga Super.

Seorang pemain Liga Super mahu penyokong yang memaki berada di tempatnya:

“Kalaulah saya dapat maki balik penyokong tersebut selama 90 minit. Barulah dia tahu apa perasaan saya.”

Seorang lagi pemain Liga Super mahu penyokong lebih bertimbang-rasa:

“Kadang-kadang mereka lupa, kami pun manusia biasa juga.”

43 pemain berpendapat mereka tidak terasa hati apabila diejek penyokong. 33 lagi menjawab ‘tiada komen’.

“Ejekan mereka beri saya motivasi untuk bermain dengan lebih bagus lagi,” menurut seorang pemain Liga Super.

Soalan 4: Ultras baik untuk bola sepak. Setuju atau tidak?

BlogIllustration4

Bagi kami, ultras bukan penyokong biasa. Bagi kami, mereka adalah pemain ke-12 di padang.

Kalah atau menang, gol atau bolos, home atau away match – mereka takkan berhenti bersorak untuk pasukan. Merekalah penyumbang utama kemeriahan bola sepak tempatan.

Ternyata pemain tempatan juga bersetuju dengan pendapat ini. 67 pemain bersetuju gerakan ultras bagus untuk bola sepak Malaysia.

“Suka atau tak, kita kena akui mereka (ultras) membuatkan bola sepak lebih menarik dan mengujakan,” menurut seorang pemain Liga Perdana.

Seorang pemain Liga Super pula mengaku ultras sebenarnya baik dan mesra jika mengenali mereka:

“Saya dah pernah jumpa beberapa ultras pasukan saya di luar padang bola beberapa kali. Kebanyakkan daripada mereka sebenarnya baik dan mesra.”

Hanya 9 pemain berpendapat sebaliknya.

“Kadang-kala, mereka beraksi seperti hooligans,” menurut kata seorang pemain Liga Super.  Pendapat ini disokong oleh seorang lagi pemain Liga Super:

“Kefanatikan mereka boleh menjadi sangat bahaya.”

24 pemain yang lain menjawab ‘tiada komen’.

Kesimpulan

Perlu diingat. Kami baru hanya kupas 4 soalan survey FourFourTwo Malaysia/Singapore.

Ada 16 lagi soalan survey ‘panas’ yang hanya boleh diketahui jika anda mendapatkan naskhah majalah FourFourTwo isu Mei 2006!

VO1605_0_COVER_May2016

Naskhah majalah FourFourTwo isu Mei 2016 boleh didapati bermula 22 April 2016 (hari ini) di semua rangkaian kedai berikut:

  • 7-11
  • MyNEWS
  • Kinokuniya
  • Borders dan
  • Popular

Sila lawat dan klik ‘LIKE’ pada laman Facebook FourFourTwo Malaysia/Singapore untuk tidak terlepas isu terbaru majalah FourFourTwo.

The post Survey FFT: 50% Pemain Tempatan Setuju Jurulatih Asing Lebih Bagus, Hanya 7% Bantah appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

11 Cadangan Pembaikan Stadium Paling Dimahukan Oleh Penyokong Tempatan

Baru-baru ini, kami telah melakukan bancian kepada 15,000 followers kami di Twitter mengenai cadangan untuk menggalakkan penyokong datang ke stadium.

Berikut adalah 12 cadangan penambahbaikan yang penyokong mahukan di stadium.

1. Kemudahan WiFi percuma dalam stadium

(Sumber: Cameron Spencer/Getty Images)
(Sumber: Cameron Spencer/Getty Images)

Internet kini bukanlah satu kemewahan, sebaliknya ia sudah menjadi keperluan.

Kami pernah menerbitkan artikel luahan hati jurugambar sukan yang sering menghadapi kesukaran melakukan kerja apabila pihak perbadanan stadium tidak menyediakan kemudahan WiFi kepada mereka.

Baca: Luahan Hati Jurugambar Sukan Tentang Realiti Kemudahan Internet Stadium Di Malaysia

Bukan saja jurugambar sukan dan kakitangan media, malah penyokong yang datang ke stadium juga mahukan kemudahan WiFi.

Penyokong bukan sahaja boleh mempromosikan kemeriahan atmosfera stadium kepada rakan-rakan mereka yang tak pergi stadium, malah mereka juga boleh mengetahui keputusan semasa di stadium-stadium lain.

Di Amerika Syarikat, pasukan-pasukan NFL giat mempersiapkan stadium mereka dengan kemudahan WiFi dan membangunkan app mereka sendiri.

Melalui app dan kemudahan WiFi ini, peminat NFL yang datang ke stadium dapat melihat siaran ulangan, statistik semasa dan membuat tempahan makanan dan minuman.

Pasukan NFL pula dapat membuat promosi merchandise dan meningkatkan jualan makanan dan minuman dalam stadium, selain dapat menyimpan database penyokong mereka.

Kami tak menjangkakan kemudahan ini bakal diberi kepada penyokong dalam masa terdekat, tetapi sememangnya boleh dilakukan pada masa akan datang.

2. Naik taraf surau, tempat ambil wuduk dan tandas, kemudahan OKU

Sebagai sebuah negara yang bermajoritikan penganut agama Islam, agak menghairankan apabila kemudahan seperti surau dan tempat wuduk di sesetengah stadium masih lagi tak diperbesarkan dan diperbaiki.

Ini menyebabkan penyokong terpaksa mengambil wuduk di tandas yang memualkan dan bersolat di laluan pejalan kaki dan atas padang.

(Sumber: utra-alkahfi.blogspot.com)
(Sumber: utra-alkahfi.blogspot.com)

Pihak perbadanan stadium juga perlu membina lebih banyak ramp untuk memberikan peluang kepada penyokong OKU untuk turut memeriahkan stadium.

Tetapi sebelum kemudahan stadium kita dinaik taraf, penting sebenarnya untuk kita sebagai penyokong turut ‘menaik taraf’ mentaliti kita ketika menggunakan kemudahan awam.

Janganlah buang lampin bayi di lubang tandas, tidur di surau dan buang air kecil di tempat mengambil wuduk.

3. Tempat duduk yang bernombor

(Sumber: blogs.mprnews.org)
(Sumber: blogs.mprnews.org)

Sudah berapa kali anda beli tiket, hanya untuk berdiri sebelum sepak mula perlawanan hingga tiupan wisel penamat kerana tempat duduk sudah penuh?

Berapa ramai pula yang terpaksa masuk ke stadium seawal jam 4 petang (jika perlawanan bermula pada 8.45 malam) hanya untuk mendapat tempat duduk?

Bagaimana 85,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil boleh penuh jika tiket yang terjual baru mencecah 80,000 keping?

Perkara ini merupakan perkara asas dalam hal ehwal pengurusan stadium. Tempat duduk bernombor memelihara hak penyokong yang membayar untuk membeli tiket, dan mencerminkan kecekapan dan ketelusan pihak pengurusan stadium.

4. Jualan pas bermusim, tiket secara online 

Ini adalah sesuatu yang perlu diusahakan oleh semua pasukan.

Jualan tiket secara online bukan sahaja memudahkan penyokong yang mementingkan convenience (kesenangan), malah memudahkan pasukan untuk mengumpul database penyokong mereka.

Ketika ini, tiketbola.com.my adalah satu-satunya penyedia platform pembelian tiket perlawanan secara online.

Bagaimanapun servis mereka masih terhad kepada tiket perlawanan untuk pasukan Kedah, Perak dan Terengganu saja.

5. Kemudahan parking kenderaan yang lebih baik

Ada sesetengah penyokong, terutamanya yang menggunakan kereta dan membawa keluarga, mengelak dari pergi ke stadium kerana kesukaran mencari tempat parking yang baik.

Ketiadaan sistem sekuriti di tempat parking juga mendedahkan risiko kenderaan mereka mudah dipecah masuk.

6. Akses sistem pengangkutan awam ke stadium

Jika anda pernah menaiki kereta dan bas untuk menghadiri perlawanan besar di Stadium Shah Alam, anda pasti tahu betapa ‘ngerinya’ pengalaman balik dari stadium tersebut.

Ketiadaan akses sistem pengangkutan awam yang cekap ke Stadium Shah Alam sering menyebabkan kesesakan teruk di kawasan sekitarnya.

Kami sendiri pernah terperangkap selama 2 jam dalam kesesakan tersebut selepas perlawanan final Piala Malaysia 2015 yang lepas.

Alangkah bagusnya jika semua stadium di Malaysia mempunyai akses pengangkutan awam seperti Stadium Nasional Bukit Jalil.

(Sumber: ibn75.wordpress.com)
(Sumber: ibn75.wordpress.com)

7. Kaunter, tempat duduk dan pintu khas untuk golongan wanita

Pertama kali kami mendengar cadangan ini diutarakan adalah, ketika proses menaik taraf Stadium Muhammad Ke-IV baru dilancarkan. Bagi kami, ia adalah cadangan yang sangat baik dan amat dialu-alukan.

Ia juga bertepatan dengan imej Kota Bharu yang diberi jolokan Bandaraya Islam.

Jika sebelum ini penyokong wanita agak keberatan untuk turun ke stadium tanpa ditemani penyokong lelaki yang muhrim, langkah ini dapat menarik kedatangan mereka, walaupun jumlah mereka masih tak banyak.

8. Haramkan terus aktiviti merokok dan vapers

Terdapat sesetengah stadium yang sudah memulakan langkah pengharaman aktiviti merokok dan vaping. Dan stadium-stadium lain juga perlu menguatkuasakan perkara sama.

Langkah ini mampu memelihara kesucian paru-paru penyokong wanita, kanak-kanak dan lelaki yang tidak merokok.

9. Lagu gol

Ini adalah cadangan menarik yang kami terima. Goal tunes atau lagu gol.

Bagi anda yang tidak tahu, Goal tunes adalah lagu latar belakang yang akan dimainkan apabila pasukan tuan rumah menjaringkan gol. Ia adalah amalan biasa di liga Jerman, Belanda dan sesetengah kelab Sepanyol dan England.

Untuk melaksanakan idea ini, pihak pengurusan pasukan perlu berbincang dahulu dengan wakil kumpulan penyokong untuk memilih goal tunes mereka.

10. Ada skrin paparan untuk replays

(Sumber: Johor Southern Tigers)
(Sumber: Johor Southern Tigers)

Antara perkara lain yang dicadangkan oleh penyokong adalah penyediaan skrin LCD besar untuk mereka melihat ulang tayang aksi menarik dan gol yang dijaringkan.

Setahu kami, hanya Stadium Haji Hassan Yunos, dan Stadium Shah Alam sahaja yang mempunyai kemudahan ini.

11. Pasang CCTV di seluruh stadium

Selain keselesaan, faktor keselamatan juga perlu dipertingkatkan.

Antara saranan yang baik adalah meletakkan lebih ramai polis bantuan, marshall stadium semasa perlawanan dan meletakkan lebih banyak kamera litar tertutup di dalam dan luar stadium.

Jika berlaku sebarang kekecohan atau keganasan, rakaman dari kamera CCTV boleh dijadikan bukti untuk menghukum pesalah.

Lebih kukuh jaminan keselamatan dalam stadium, bermakna lebih ramai orang – terutamanya keluarga – yang akan berkunjung ke stadium.

Baca juga: 11 Pemandangan Yang Anda Dapat Jika Membeli Tiket Termurah Di 11 Stadium

The post 11 Cadangan Pembaikan Stadium Paling Dimahukan Oleh Penyokong Tempatan appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Analisis Penjaring Import Dan Tempatan Liga Super 2015

Nota editor: Artikel ini telah ditulis oleh pembaca kami, Faiqy. Beliau mahu lebih banyak pemain tempatan mendominasi senarai penjaring utama Liga Super pada musim-musim akan datang.

Liga Super 2015 baru saja melabuhkan tirai minggu lalu. JDT muncul juara. Pahang pula terpaksa berpuas hati di tempat ke-2.

Sepanjang 22 minggu Liga Super 2015 berlangsung, sebanyak 410 gol berjaya dijaringkan dalam 132 perlawanan. Ini menjadikan purata 3.1 gol pada setiap perlawanan!

Jumlah jaringan pada musim ini juga lebih banyak daripada musim lepas. Lebih 63 gol berbanding musim 2014.

Dari 410 gol yang dicetak, bagaimanakah prestasi pemain tempatan pada kali ini? Penulis mengkaji persoalan: pasukan manakah yang paling banyak bergantung kepada pemain import untuk menjaringkan gol.

Pasukan Lions XII dikecualikan dalam artikel ini.

1. JOHOR DARUL TAKZIM (JDT)

JDT menjaringkan 36 gol pada musim ini. Dengan 12 daripadanya disumbang oleh Luciano Figueroa. Ini bermakna Figueroa menyumbang 33.3% jumlah jaringan gol JDT. Satu rekod yang sangat bagus memandangkan Figueroa kerap cedera pada musim ini.

Bagi seorang pemain tengah, 7 gol yang dijaringkan Safiq Rahim menggambarkan beliau lebih berbahaya jika bermain di posisi yang lebih menyerang. 5 gol jaringan Amri Yahyah pula membuktikan pada umur 34 tahun, beliau masih mampu bermain seperti orang muda.

11866215_511330549030249_6029726366156652539_n

JDT juga adalah pasukan yang mempunyai senarai penjaring terbanyak pada musim ini. Sebanyak 14 pemain berbeza mencatat nama sebagai penjaring gol JDT. Ini sekaligus meringankan beban jaringan yang dipikul oleh Figueroa.

Senarai penjaring lain:

2 gol: Aidil Zafuan

1 gol: Marcos Antonio, Junior Eldstal, Hariss Harun, Alhaji Kamara, Aidil Zafuan, Patito Rodriguez, Asrarudin Putra Omar, Safee Sali, Mahali Jasuli, Nazrin Nawi, S. Chanturu.

2. PAHANG FA

Pahang FA adalah antara pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam Liga Super 2015 dengan 43 gol. Tetapi kebergantungan mereka kepada pemain import untuk menjaringkan gol sangat ketara.

Daripada 43 gol, hanya 12 gol dijaringkan oleh pemain tempatan (27.9% sahaja).

Matias Conti masih lagi penjaring utama mereka dengan 12 gol. Dickson Nwakaeme menyumbang 8 gol. Malah, pemain pertahanan seperti Zesh Rehman (6 gol) dan Damion Stewart (5 gol) turut menjaringkan lebih banyak gol daripada penyerang tempatan.

Secara keseluruhan, barisan 4 pemain import Pahang sahaja sudah menyumbang 72.0% jumlah gol Pahang pada musim ini!

Senarai penjaring lain:

2 gol: R. Gopinathan, Azidan Sarudin, Hafiz Kamal, Azamudin Akil, R. Surendran

1 gol: D. Saarvindran, Fauzi Roslan

3. SELANGOR FA

Seperti Pahang, Selangor juga menjaringkan 43 gol dalam pada musim ini. Ini peningkatan ketara berbanding musim lepas, di mana mereka hanya menjaringkan 28 gol. Jumlah bolos mereka juga meningkat daripada musim lepas, bolos 28 berbanding 19 pada 2014.

Statistik ini menunjukkan Mehmet Durakovic berjaya mengubah Selangor menjadi pasukan yang lebih menyerang pada musim ini.

Afiq Azmi muncul penyerang tempatan paling prolifik musim ini dengan 8 gol. Hanya kurang 1 gol daripada Guilherme de Paula yang menjaringkan 9 gol.

11147108_845122058893620_3626140374255030168_o

Ahmad Hazwan Bakri terus menyinar sebagai pemain sayap dengan 7 gol. Satu lagi pemain sayap utama Selangor, Andik Vermansyah turut cemerlang apabila menyumbang 6 gol.

Secara keseluruhan, 23 gol Selangor disumbangkan oleh pemain tempatan. Jika pemain tempatan Pahang hanya menyumbang 28.0% jumlah gol pasukan, pemain tempatan Selangor pula menyumbang 53.5% jumlah gol pasukan.

Senarai penjaring lain:

4 gol: Abdul Hadi Yahya, Robert Cornthwaite.

1 gol: Fitri Syazwan, Leandro dos Santos, K.Gurusamy, Rizal Fahmi, Shahrom Kalam

4. TERENGGANU FA

Terengganu menjaringkan 40 gol pada musim ini. Tetapi apa yang menariknya 57.5% daripadanya terhasil selepas Paulo Rangel digantung dan Abdul Rahman Ibrahim ‘direhatkan’.

Kebetulan? Penulis rasa tidak.

Selepas Paulo Rangel digantung dan Abdul Rahman Ibrahim direhatkan, Terengganu menang 8 daripada 9 perlawanan. Menjaringkan 23 gol dengan purata 2.56 gol setiap perlawanan.

Issey Nakajima-Farran muncul penjaring terbanyak Terengganu dengan 9 gol. Meskipun beliau hanya tiba di Terengganu pada bulan April. Pencapaian Issey ini sekaligus menggerhanakan sumbangan 8 gol oleh Paulo Rangel pada awal musim.

11873353_1228152353880535_153099001769411959_n

Prestasi pemain tempatan Terengganu juga cemerlang dengan jumlah sumbangan 18 gol. Ismail Faruqi menjadi pemain tempatan paling prolifik dalam kem Terengganu apabila mencetak 7 gol. Siapa kata pemain pendek tak boleh menjadi penyerang?

Senarai penjaring lain:

4 gol: Ashari Samsudin

3 gol: Vincent Bikana

2 gol: Gustavo Lopez, Helmi Rameli

1 gol: Shahrin Sapien, Fakhrurazi Musa, Norshahrul Idlan Talaha, Nasril Izzat

5. FELDA UNITED

Sejak dari Liga Perdana lagi, Felda United tiada masalah untuk menjaringkan gol. Mereka menjaringkan 36 gol pada musim ini. 1 daripadanya adalah gol sendiri.

Daripada 35 gol, 14 atau 40.0% datang daripada sumbangan pemain tempatan. Penjaring tertinggi pemain tempatan mereka adalah Indra Putra Mahayuddin (5 gol) dan Ahmad Syamim Yahya (4 gol).

Barisan penyerang import Felda juga tidak mengecewakan. Ndumba Makeche menyumbat 6 gol. Manakala Edward Junior Wilson (sudah berpindah) dan penggantinya, Thiago Fernandes masing-masing menjaringkan 5 gol.

Apa yang menarik adalah, Wilson menjaringkan 5 gol itu hanya selepas 7 perlawanan liga.

Senarai penjaring lain:

4 gol: Zah Rahan Krangar

2 gol: Shukor Adan

1 gol: Bojan Miladinovi, Cristie Jayaselan, Hadin Azman, Shahrul Saad

6. PDRM FA

Pada awal musim, pendatang baru; PDRM atau ‘The Cops’ mengancam pasukan elit Liga Super apabila mencatat kemenangan demi kemenangan. Salah satu faktornya adalah kekuatan jentera serangan mereka.

PDRM menjaringkan 42 gol pada musim ini. Ketiga terbanyak selepas Pahang dan Selangor. Dan mereka perlu berterima kasih kepada gandingan penyerang import mereka. Dramane Traore (19 gol) dan Ashfaq Ali (10) sahaja sudah menyumbang 69.0% jumlah gol PDRM.

Pemain tempatan PDRM pula hanya mampu menjaringkan 9 gol. Peminat bola sepak tempatan mungkin melihat kebergantungan PDRM kepada pemain import sebagai sesuatu yang negatif.

Tetapi sebagai pasukan bola sepak yang tiada kumpulan penyokong yang hardcore, mereka sukar untuk menarik nama-nama besar pemain tempatan. Jadi inilah satu-satunya cara PDRM untuk kekal kompetitif dalam liga.

Senarai penjaring lain:

3 gol: Mamadou Sumareh, Ezrie Shafizie, Afif Amirudin

1 gol: Muslim Ahmad, Shahruain Abu Samah, Faizal Abu Bakar

7. PERAK FA

Kebergantungan Perak terhadap Namkung Woong dan Chad Souza jelas apabila masing-masing menjaringkan 9 gol. 18 gol daripada mereka berdua sahaja sudah membentuk 56.3% daripada 32 gol yang dijaringkan Perak pada musim ini.

Pemain tempatan paling menyerlah bagi Perak tentunya – pakar sepakan percuma – Nurridzuan Abu Hassan. Nuri menjaringkan 5 gol. Dengan 3 daripadanya terhasil daripada sepakan percuma.

11900030_391857387680268_1218506017788013030_n

Tak keterlaluan untuk dikatakan jika Safiq Rahim adalah pakar sepakan percuma berkaki kanan, Nuri pula pakar sepakan percuma berkaki kiri.

Senarai penjaring lain:

2 gol: Horace James, Nasir Basharuddin, Thiago Aquino Jr, Bobby Gonzales

8. KELANTAN FA

Musim ini saja Kelantan sudah mempunyai 3 ketua jurulatih berbeza. Antara George Boateng, Azraai Khor dan Zahasmi Ismail, Zahasmi adalah yang paling menyerlah.

Di bawah Zahasmi, Kelantan menang 5 kali. Mereka juga menjaringkan 23 gol – merangkumi 67.6% jumlah gol keseluruhan Kelantan pada musim ini.

Kelantan menjaringkan 34 gol pada musim ini. Walaupun posisinya sering diubah-ubah, Nor Farhan masih muncul pemain tempatan paling prolifik dalam kem Kelantan dengan 6 gol. Gilmar yang hanya tiba pada April juga menjaringkan 6 gol.

Erwin Carillo yang tiba sejak awal musim hanya mampu menjaringkan 5 gol. Secara keseluruhan, 4 pemain import Kelantan menyumbang 16 gol (47.1%). Pemain tempatan pula menyumbang 18 gol (52.9%).

Senarai penjaring lain:

3 gol: Iwuji Austin Amutu, Badhri Radzi

2 gol: Wan Zaharulnizam, Jonathan Mckain, Wan Zack Haikal, Noor Hazrul

1 gol: Amirizwan Taj, Fakri Saarani, Khairul Izuan

9. SARAWAK FA

Seperti musim lepas, Sarawak masih bergelut di zon penyingkiran liga. Di tangga ke-10 dengan hanya 28 gol dan bolos 40 gol.

Kepentingan Billy Mehmet (10 gol) dan Ryan Griffiths (6 gol) kepada Sarawak memang tak boleh disangkal. Mereka berdua sahaja sudah menyumbang 57.1% jumlah gol keseluruhan pasukan mereka pada musim ini.

Hanya 9 gol dihasilkan oleh pemain tempatan. Joseph Kalang Tie sahaja sudah menyumbat 4 gol.

Bagaimanapun senarai nama penjaring Sarawak tercatat nama pemain muda baru berusia 19 tahun, Tommy Mawat. Tommy menjaringkan gol pada minggu ke-20 ketika Sarawak seri 1-1 menentang ATM. Penulis mengharapkan Tommy terus gigih memburu gol!

#BintangDalamPembikinan#BacaSampaiHabisNama : Tommy Mawat anak BadaNama samaran : Tommy #Mr8Umur : 19 tahunTarikh…

Posted by Sarawak Supercroc on Thursday, August 6, 2015

Senarai penjaring lain:

2 gol: Patrick Gerhardt

1 gol: Hairol Mokhtar, Shahrol Saperi, Ashri Chuchu, Ivan Fatic, J. Partiban

10. ATM FA

Jika ATM mampu mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana pada musim lepas, kegagalan mereka memperkuatkan pasukan dan konflik dalaman membawa padah apabila tersingkir pada musim ini.

ATM menjaringkan 21 gol pada musim ini. 10 gol daripadanya disumbang oleh Jerry Palacios (5 gol) dan Abdulafees Abdulsalam (5 gol).

Hanya 9 gol yang mampu dihasilkan pemain tempatan ATM. Venice Elphi paling banyak dengan 3 gol.

Senarai penjaring lain:

2 gol: Hairudin Omar

1 gol: Mario Karlovic, Norshahrul Idlan Talaha (sebelum berpindah ke Terengganu FA pada April), Norfazly Alias, Shukor Jusoh,

11. SIME DARBY FC

Jika pada musim lepas mereka digelar ‘The Giant Killer’, musim depan Sime Darby FC perlu memikirkan nama lain. Sesuai dengan persembahan buruk dan langsung tidak kompetitif yang dipamerkan mereka pada musim ini.

2 seri dan 8 kekalahan dalam 10 perlawanan awal bagaikan petanda nasib mereka di akhir musim.

Satu-satunya kemenangan mereka terhasil ketika mereka sudah sah tersingkir ke Liga Perdana. Mereka menewaskan ATM 1-0 pada minggu kedua terakhir liga.

Dari 20 gol yang terhasil, hanya 4 gol (20.0%) datang dari pemain tempatan.

Tiga pemain import; Nemanja Vidakovic, Reinaldo de Costa dan Marko Perovic masing-masing menyumbat 5 gol.

Senarai penjaring lain:

2 gol: Fahrul Razi

1 gol: Nazrul Kamaruzaman, Dilshod Sharofetdinov, Nizad Ayub


Senarai penjaring utama (tempatan) Liga Super 2015

8 gol: Afiq Azmi (Selangor), Faris Ramli (Lions XII)

7 gol: Safiq Rahim (JDT), Hazwan Bakri (Selangor), Ismail Faruqi (Terengganu)

6 gol: Nor Farhan (Kelantan)

Senarai penjaring utama (import) Liga Super 2015

19 gol: Dramane Traore

12 gol: Matias Conti (Pahang), Luciano Figueroa (JDT)

10 gol: Ashfaq Ali (PDRM), Billy Mehmet (Sarawak)

9 gol: Chad Souza (Perak), Namkung Woong (Perak), Guilherme de Paula (Selangor), Issey Nakajima-Farran (Terengganu)

8 gol: Paulo Rangel (Terengganu), Dickson Nwakaeme (Pahang)

Baca juga: 8 LAMAN WEB RASMI TERBAIK PASUKAN LIGA SUPER MALAYSIA

Anda mahu menulis tentang bola sepak? Tulis apa-apa sahaja pasal bola sepak dan hantar artikel tulisan anda ke semuanyabola@gmail.com. Kami akan siarkan di laman web kami.

Sumber: Media Perak FA, Terengganu FA, FA Selangor, Johor Southern Tigers, asiana.my

The post Analisis Penjaring Import Dan Tempatan Liga Super 2015 appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms: