Hollywood Akan Buat Filem Tentang Jamie Vardy, Watak Dilakonkan Oleh Vinnie Jones

6 tahun lepas, Jamie Vardy bermain untuk Stocksbridge Park Steels – sebuah pasukan amatur yang dianggotai pekerja kilang besi – di liga divisyen ke-8 England.

2 tahun kemudiannya, Vardy menjaringkan gol sulung untuk Fleetwood Town – pasukan divisyen ke-6 England – di hadapan 768 penonton di Stadium Gateshead.

Kini 4 tahun kemudiannya, Vardy sedang bersaing dengan Harry Kane untuk merebut takhta penjaring terbanyak Premier League.

Beberapa bulan sebelum itu, Vardy memecahkan rekod Ruud van Nistelrooy selepas menjaringkan gol buat kali ke-11 berturut-turut.

Pasukan Vardy, Leicester City pula sedang mendahului liga dan hanya memerlukan 9 mata dalam baki 5 perlawanan untuk bergelar juara.

Naratif Jamie Vardy ini sangat berinspirasi. Ia adalah kisah klasik bagaimana seorang pemain tak terkenal mengatasi segala halangan untuk muncul sebagai pemain terbaik. Maka tak hairanlah Holly berminat untuk membuat filem Vardy.

Calon pelakon filem Jamie Vardy

Idea menerbitkan filem Jamie Vardy ini ditimbulkan oleh Adrian Butchart, seorang produser Hollywood pada Oktober 2015 lagi.

Butchart yang menerbitkan 3 filem bola sepak bertajuk Goal! sebelum ini sudah menjalankan kajian dan menghabiskan masa bersama Vardy dan keluarganya untuk mendapatkan persetujuan.

Menurut laporan Daily Mail, Butchart sudah berkira-kira untuk membawa penyanyi One Direction, Louis Tomlinson untuk membawa watak Vardy. Menurut Butchart:

“Kami sedang melihat beberapa pelakon. Zac Effron dan Robert Pattinson adalah dua calon kami.”

“Tapi penyanyi One Direction, Louis Tomlinson juga menarik perhatian kami kerana dia pandai bermain bola, boleh berlakon dan berasal dari Selatan Yorkshire. Jadi dia boleh bercakap dengan dialek sama dengan Vardy.”

“Malah kami dengar dia juga minat Vardy. Dia tweet Jamie semasa Jamie memecahkan rekod Nistelrooy semasa November lepas.”

Bagaimanapun menurut laporan Leicester Mercury, Vardy mahukan bekas pemain tengah Wimbledon dan pelakon filem Lock, Stock and Two Smoking Barrels, Vinnie Jones untuk melakonkan wataknya.

Bagaimanapun dalam satu undian online yang dilakukan oleh Leicester Mercury, ramai penyokong Leicester mahukan Vinnie Jones melakonkan watak Nigel Pearson – jurulatih yang bertanggungjawab membawa Vardy masuk ke Leicester.

Kami juga bersetuju dengan penyokong Leicester. Muka, persona dan karakter Nigel Perason sesuai dilakonkan oleh Vinnie Jones.

Bakal siap tahun 2017

Leicester Mercury juga melaporkan produser filem, Adrian Butchart berharap filem ini bakal memulakan penggambaran lewat tahun 2016 dan bakal menemui penonton di panggung wayang pada 2017.

Menurut Butchart:

“Kami perlu tunggu EURO 2016 dulu supaya jalan ceritanya sempurna dan tak tergantung.”

“Tapi bermula September, Oktober dan November tahun ini, kami akan memulakan penggambaran jika tiada aral melintang. Kami mahu filem ini ditanyangkan pada tahun depan.”

Richard Halsey, editor filem yang memenangi anugerah Oscar pada tahun 1977 hasil kerjanya dalam filem Rocky dilaporkan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Butchart dalam filem Jamie Vardy ini.

Universal Pictures, Disney dan Warner Brothers dikatakan semuanya berminat untuk melabur dalam projek filem ini.

Baca juga: 11 Filem Bola Sepak Terbaik Yang Perlu Anda Tonton

The post Hollywood Akan Buat Filem Tentang Jamie Vardy, Watak Dilakonkan Oleh Vinnie Jones appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Incoming search terms:

Akaun Twitter Rasmi Arsenal Dan Barcelona ‘Bergaduh’ Tentang Thierry Henry

Awal pagi esok, Arsenal akan menerima kunjungan Barcelona dalam perlawanan pertama pusingan ke 16 UEFA Champions League 2015 di Emirates Stadium.

Seperti penyokong Arsenal dan Barcelona, kami dan penyokong-penyokong neutral lain juga berasa teruja dengan perlawanan ini.

Di Twitter keterujaan menjelang perlawanan antara Arsenal dengan Barcelona sudah pun bermula semalam, apabila kedua-dua akaun rasmi kelab itu terlibat dalam ‘perang saraf’ mengenai satu topik – Thierry Henry.

Thierry Henry merupakan lagenda Arsenal dan merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah Arsenal, apabila menjaring 226 gol dalam 369 penampilan sepanjang karier 8 tahunnya di kelab utara London itu.

Tetapi pada 2007, Henry meninggalkan Arsenal untuk menandatangani kontrak bersama Barcelona.

Di sana, penyokong Barcelona mengingatinya sebagai salah seorang hero yang membantu Barcelona memenangi 2 kejuaraan La Liga, 1 trofi Copa del Rey dan Champions League.

Akaun Twitter rasmi Barcelona memulakan ‘perang saraf’ dengan gol Henry ketika Barcelona menewaskan Real Madrid 6-2 pada 2009.

Akaun Twitter rasmi Arsenal membalas gol tersebut dengan gol solo klasik Henry ketika menentang Tottenham Hotspur pada November 2002.

Barcelona kemudiannya membalas dengan gol jarak jauh ini ketika menentang Atletico Madrid pada 2009.

Tidak mahu kalah, Arsenal mengingatkan Barcelona tentang kehebatan Henry di Highbury dengan gol cantik ini ketika menentang Liverpool pada 2004.

Apa pula pendapat anda? Anda pilih Thierry Henry versi Arsenal atau versi Barcelona?

Baca juga: Thierry Henry Kutuk Chelsea Di Hadapan Cesc Fabregas Dalam Rancangan Soal Jawab Facebook

The post Akaun Twitter Rasmi Arsenal Dan Barcelona ‘Bergaduh’ Tentang Thierry Henry appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Pendapat Penyokong Manchester United Tentang Kemungkinan Pasukannya Diurus Jose Mourinho

Selepas tewas 1-2 kepada Sunderland pada Sabtu lepas, sudah pasti sukar bagi Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward untuk mempertahankan Louis van Gaal daripada penyokong United lagi.

Kami pernah menulis artikel berdasarkan laporan The Guardian bahawa Ed Woodward seboleh-bolehnya mahu mengelak memecat van Gaal dan melantik pengurus baru United ketika musim sedang berlangsung.

Tetapi selepas 26 perlawanan pada musim ini, fakta menunjukkan persembahan United di bawah kendalian van Gaal terbukti lebih teruk berbanding jika dibandingkan dengan era kendalian David Moyes.

Manchester United adalah kelab besar. Dan sebagai kelab besar, mereka sudah pastinya memiliki penyokong yang highly demanding. Ketika ini, penyokong United mahukan Jose Mourinho sebagai pengurus United seterusnya.

Laporan media juga seakan mencadangkan berita Mourinho ke Old Trafford bukanlah sekadar angan-angan penyokong mereka semata-mata.

Sky Italia, Cadena COPE, El Confidential dan seluruh media Portugal mengesahkan Mourinho dan United sudah mencapai persetujuan verbal untuk menggantikan van Gaal.

Persoalannya – apa komen penyokong United tentang kemungkinan Mourinho menjadi pengurus baru kelab mereka?

Kebaikan

1. Rekod Mourinho sebagai pengurus berjaya

22 trofi bersama 4 pasukan Eropah dalam masa 12 tahun adalah testimoni kuat untuk meyakinkan mana-mana kelab bola sepak bahawa Jose Mourinho sememangnya adalah ‘The Special One‘.

Jika Mourinho sah dilantik oleh Manchester United, penyokong United akan melihatnya sebagai cara pantas untuk meraih trofi.

2. Karisma Mourinho mampu tarik pemain berkelas dunia

Dalam autobiografinya I Am Zlatan, Zlatan Ibrahimovic mengaku sanggup ‘mengorbankan nyawanya’ demi Mourinho.

Wesley Sneijder memanggilnya ‘jurulatih terbaik di dunia’ ketika majlis Ballon d’Or 2010. Michael Essien pula menganggap Mourinho sebagai ‘bapanya’ dan memanggilnya ‘daddy’.

Sementara itu kredibiliti Louis van Gaal untuk menarik pemain-pemain berkelas dunia ke Old Trafford diragui berdasarkan layanannya terhadap Angel di Maria dan Javier Hernandez.

Malah terdapat khabar angin yang mengatakan Marcos Rojo juga bakal dijual oleh van Gaal.

Kekurangan

1. Tidak sesuai dengan falsafah bola sepak United

Jose Mourinho sanggup buat apa saja untuk menang dan sanggup korbankan falsafah attacking football dengan bermain ultra defensive football – semuanya untuk mengejar keputusan.

2. Tidak membawa imej kestabilan

Jose Mourinho juga terkenal dengan imej kontroversi yang mengundang aura negatif kepada kelab yang diuruskannya. Ini menyebabkan beliau bukanlah calon jurulatih yang mampu membina dinasti di sesbuah kelab.

Jika Mourinho mengurus Manchester United, beliau perlu menjauhi kontroversi untuk memastikan kestabilan kelab.

3. Tidak gemar guna produk akademi kelab

United juga terkenal sebagai kelab yang sentiasa memberi peluang kepada pemain muda akademi untuk menjadi pemain tonggak dalam pasukan – sesuatu yang mungkin sukar dilakukan oleh Jose Mourinho.

Semua penyokong bola sepak tahu Mourinho lebih berminat untuk ‘membeli’ kejayaan dalam masa singkat. Tempoh yang singkat mengurus kelab lebih difokuskan kepada kejayaan berbanding mencuba pemain muda yang belum tentu kehebatannya.

Calon pengurus selain Jose Mourinho?

1. Ryan Giggs

Masih ingatkah anda sewaktu musim terakhir Sir Alex Ferguson dimana beliau memilih David Moyes dan bukannya Jose Mourinho?

Perkara ini juga mengejutkan penyokong United kerana hubungan Sir Alex Ferguson dan Jose Mourinho juga boleh dikatakan agak baik.

Prospek Ryan Giggs mengambil alih tugas selaku pengurus Manchester United juga menjadi perdebatan.

Karier pengurusan Ryan Giggs masih belum teruji atas kapasiti pengurus tetap sehingga kini. Selepas kegagalan United dibawah Moyes dan van Gaal, musim depan bukanlah masanya buat Manchester United melakukan satu lagi perjudian.

Ketika ini, idea mengekalkan Ryan Giggs sebagai penolong pengurus adalah untuk membantu Manchester United kembali kepada landasan era Sir Alex Ferguson. Juga untuk beliau belajar menjadi pengurus.

Tetapi buat masa kini, sekarang belum lagi masanya untuk mengambil alih kelab yang mempunyai magnitud sebesar Manchester United.

2. Mauricio Pochettino

Seorang lagi pengurus berbakat yang dikaitkan dengan jawatan pengurus Manchester United adalah Mauricio Pochettino yang kini cemerlang mengurus Tottenham Hotspur.

Pochettino bukan saja gemar (dan berjaya) menerapkan corak permainan menyerang, malah gemar melakukannya dengan pemain-pemain muda.

Masalahnya Pochettino tiada pengalaman di pertandingan UEFA Champions League. Perlantikan Pochettino masih dilihat agak berisiko jika United mahu bersaing secara kompetitif di peringkat Eropah.

Selepas gagal dengan David Moyes dan Louis van Gaal, Manchester United tidak seharusnya memilih pengurus yang kurang berpengalaman dikhuatiri akan merosakkan lagi nama Manchester United.

Ini menyebabkan Jose Mourinho nampak sebagai satu-satunya calon yang paling sesuai jika United mahukan trofi.

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh seorang penyokong United, zulfo. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke semuanyabola@gmail.com.

Baca juga: 3 Persamaan Yang Berlaku Kepada Manchester United & Bayern Munich Ketika Diurus Louis van Gaal

The post Pendapat Penyokong Manchester United Tentang Kemungkinan Pasukannya Diurus Jose Mourinho appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang UAE

Esok pasukan kebangsaan kita akan menentang UAE dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018. Tetapi sejauh manakah pengetahuan kita tentang UAE?

Kami sediakan 5 perkara yang perlu anda tahu tentang pasukan yang kini berada di ranking 69 dunia ini.

1. Formasi

Ketua jurulatih mereka, Mahdi Ali, adalah bekas jurulatih skuad Olimpik UAE yang bertanding dalam Sukan Olimpik 2012. Mahdi pernah mengurus pasukan bawah-16, bawah-19 dan bawah-20 UAE. Jadi majoriti skuad UAE sekarang adalah bekas pemainnya daripada skuad pelapis dan Olimpik UAE.

Di bawah Mahdi Ali, UAE gemar bermain dengan formasi 4-4-2 atau 4-2-3-1.

uae442

2. Kesebelasan utama

Ahmed Khalil adalah nama tetap dalam jentera serangan UAE. Kebiasaannya penjaring terbanyak Piala Asia 2015, Ali Mabkhout, akan berpasangan dengan Khalil. Tetapi kadang-kala Mabkhout diletakkan di bahagian sayap kiri juga sebagai inside forward.

Mohamed Abdulrahman juga seperti Mabkhout. Boleh bermain sebagai penyerang dan pemain sayap kiri. Dalam perlawanan, beliau selalu bertukar-tukar posisi dengan Mabkhout untuk mengelirukan lawan.

Tetapi dalam perlawanan menentang Timor Leste baru-baru ini, UAE menurunkan Ismail Al Hammadi. Bukannya Mohamed Abdulrahman.

Adik Mohamed Abdulrahman, iaitu Omar Abdulrahman, merupakan perancang utama pasukan. Jika UAE bermain dalam formasi 4-4-2, Omar akan bermain di sayap kanan. Tetapi bukan sebagai pemain sayap. Sebaliknya sebagai perancang.

Sebagai pemain berkaki kiri, Omar gemar bergerak dari sayap kanan ke poket ruang di antara jentera tengah dan pertahanan lawan (cut inside).

Jika UAE bermain dalam formasi 4-2-3-1, Omar akan bermain di tengah. Di belakang penyerang utama, Ahmed Khalil.

Amer Abdulrahman (tiada kena mengena dengan Omar dan Mohamed Abdulrahman) pula adalah ‘Safiq Rahim’ UAE. Beliau selalunya digandingkan dengan pemain tengah yang lebih defensif. Selalunya Habib Al Fardan atau Khamis Eshmaeel.

Walid Abbas dan Abdulaziz Sanqoor pula adalah nama tetap bagi calon bek kiri dan kanan UAE.

Mohamad Ahmed dan Mohamad Salem pula dijangka akan mengemudi pertahanan tengah. Di gawang gol, penjaga gol muda mereka, Khalid Eisa, dijangka akan bermain menentang Malaysia.

UAE vs Malaysia - Football tactics and formations

 

3. Merancang serangan melalui Omar Abdulrahman

Karakter utama UAE dalam kejohanan Piala Teluk 2014 dan Piala Asia 2015 adalah: gemar menyerang. Ada sebabnya mengapa mereka gemar menyerang.

Satu: UAE lemah dalam bahagian pertahanan. Pemain sayap mereka tidak rajin membantu bek kanan dan kiri. Ketika seri 1-1 dengan Jepun, pertahanan mereka membenarkan 28 percubaan ke arah gol apabila mereka cuba mempertahankan kelebihan 1 gol mereka.

Kedua: UAE membina pasukan yang memaksimumkan potensi bakat Omar Abdulrahman.

Pertukaran taktikal Dollah Salleh kepada formasi 5-3-1-1/5-4-1 semasa menentang Bangladesh tempohari ada kaitannya dengan potensi serangan UAE. Tetapi Dollah amat naif jika memikirkan Ahmad Khalil dan Ali Mabkhout sahaja yang perlu dijaga.

Dollah perlu memikirkan cara untuk meneutralisasikan Omar Abdulrahman.

462514396

Beliau gemar beroperasi di ruang antara jentera tengah dan pertahanan lawan. Seorang defensive midfielder yang rajin adalah satu kemestian dalam perlawanan ini.

Baca: Kenali Omar Abdulrahman

4. Khalil dan Mabkhout akan banyak membuat larian ke ruang

Sama ada ruang di belakang pertahanan (kerana push up) atau di bahagian sayap (kerana wing back belum sempat balik ke posisi), Ahmed Khalil dan Ali Mabkhout akan berlari ke arah itu.

Dan kebiasaannya, Omar Abdulrahman sentiasa nampak larian mereka melalui visinya. Dan seterusnya membuat hantaran maut (killer pass) melalui teknik hantarannya yang cemerlang.

Apa yang Dollah boleh lakukan adalah mengarahkan Amirizwan, Afif dan Junior supaya sentiasa tidak meninggalkan ruang besar di belakang mereka. Dalam erti kata lain, amalkan deep defending.

Khalil, Mabkhout dan Omar tidak akan berfungsi jika tiada ruang bagi mereka untuk dieksploit.

5. 4 pemain serangan akan memberi tekanan kepada pertahanan

Ahmad Khalil bukan sahaja penyerang yang klinikal, malah rajin memberi tekanan kepada pertahanan juga. Kebiasaannya, 2 penyerang dan pemain sayap UAE akan memberi tekanan kepada jentera pertahanan lawan.

459464330

Mujurlah Dollah mencuba formasi baru yang tepat tempohari.

Dengan 5 pertahanan, jentera pertahanan negara mempunyai kelebihan 1 pemain dalam situasi 5v4.

Berdasarkan apa yang ditunjukkan ketika menentang Bangladesh, Afif dan Junior juga mampu membawa bola keluar dari zon pertahanan ke zon tengah.

Kebolehan ini membantu kekurangan Malaysia yang hanya mempunyai 2 pemain sahaja di tengah dalam formasi baru Dollah ketika merancang serangan.

Tetapi dengan syarat. Wan Zack dan Joseph Kalang Tie perlu lebih banyak beroperasi di kawasan tengah. Bukannya di kawasan sayap seperti dalam separuh masa pertama menentang Bangladesh.

Baca juga: ANALISIS TAKTIKAL PERLAWANAN PERSAHABATAN: MALAYSIA 0-0 BANGLADESH

The post 5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang UAE appeared first on Semuanya BOLA.

Semuanya BOLA

Tak Tahu Apa-apa Tentang Skandal Rasuah FIFA? Baca Ini

lynch

Apa yang sedang berlaku?

FIFA sedang disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Switzerland berhubung kes rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawainya.

Sebelum ini, sudah ramai orang tahu amalan rasuah di FIFA sangat berleluasa. Tetapi kemunculan beberapa saksi baru membolehkan FBI dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendapat bukti baru untuk memulakan dakwaan.

BHHrKwL

Amerika Syarikat memulakan langkah pertama dengan mendakwa 9 pegawai FIFA dan 5 eksekutif syarikat sukan atas kesalahan rasuah, menggelapkan mata wang dan penipuan cukai. Semua kesalahan ini didakwa dilakukan sejak 1991. Jumlah yang terlibat adalah £97 juta.

Beberapa jam kemudian, pihak berkuasa Switzerland pula melancarkan siasatan terhadap proses undian hak tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022. Belum ada dakwaan dilakukan oleh Switzerland.

Jenayah macam mana yang pegawai FIFA lakukan?

Hak bidaan, hak penyiaran TV dan hak tajaan Piala Dunia (termasuklah pertandingan lain yang dianjurkan oleh badan-badan gabungan FIFA) adalah sumber pendapatan terbesar FIFA dan ramai pihak ingin mendapatkannya.

Untuk mendapatkan hak-hak tersebut, syarikat-syarikat konglomerat dan negara-negara kaya akan ‘melobi’ undi daripada pegawai-pegawai FIFA.

Melobi undi tak salah. Yang salah adalah melobi undi dengan duit. Atau rasuah.

Apabila pegawai FIFA mendapat duit rasuah, mereka mahu duit mereka ‘bersih’ di sisi undang-undang kewangan. Jadi mereka menipu bank untuk membolehkan wang mereka nampak ‘bersih’. Mereka menggunakan nama FIFA untuk mengbersihkan duit mereka.

Apabila urusan kewangan mereka dibuat atas nama FIFA, wang kotor mereka juga tidak dikenakan cukai yang tinggi kerana FIFA didaftarkan di Switzerland dalam kategori ‘organisasi kebajikan’.

Bagaimana pegawai FIFA boleh kantoi?

Kemunculan beberapa bekas pegawai FIFA yang membuka cerita memberi bukti yang cukup kepada FBI untuk membuka kes baru terhadap pegawai-pegawai FIFA.

Antara yang paling banyak membuka cerita dan bukti adalah Charles “Chuck” Blazer, wakil Persatuan Bola Sepak USA ke FIFA yang mengaku menerima rasuah lebih USD 2 juta untuk memberi undi kepada pelobi.

Mengapa kes ini disiasat oleh Amerika Syarikat? Apa yang FIFA lakukan sehingga melanggar undang-undang Amerika Syarikat?

Transaksi duit rasuah yang diterima dan ‘dipusing-pusing’ supaya nampak bersih ini dilakukan melalui bank-bank Amerika Syarikat. Itulah sebab mengapa mereka didakwa di Amerika Syarikat.

Mengapa kes rasuah ini penting bagi peminat bola sepak?

Apabila Russia diumumkan sebagai pemenang hak tuan rumah Piala Dunia 2018, perwakilan England yang turut mahukan hak tuan rumah pada 2018 mendedahkan mereka perlu membayar sejumlah wang kepada pegawai FIFA untuk mendapat undi daripada mereka.

Bagaimanapun FIFA enggan melancarkan siasatan berhubung dakwaan England tersebut.

Kemudian apabila Qatar diumumkan sebagai pemenang hak tuan rumah Piala Dunia 2022, ramai pihak mula mempersoalkan kewarasan FIFA mengadakan Piala Dunia di negara kecil pada musim panas di Asia Barat. Mereka mula mengesyaki ada unsur pembelian undi yang dilakukan Qatar.

Kredibiliti Qatar untuk meraih undi mula dipersoalkan lebih-lebih lagi apabila satu demi satu bekas pegawai FIFA mendedahkan rasuah yang berlaku ketika proses melobi undi dilakukan.

Selepas isu Qatar, FIFA tunduk dengan desakan ramai pihak dengan melancarkan siasatan ke atas proses pengundian hak tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022. Ketua jawatankuasa siasatan adalah Michael Garcia, peguam terkemuka di Amerika Syarikat.

Michael Garcia

Apabila laporan Michael Garcia siap, FIFA pula enggan menyiarkan laporan siasatan tersebut secara terbuka. Hal ini membuatkan Michael Garcia meletakkan jawatannya sambil melabel FIFA sebagai ‘badan yang tiada kepimpinan’.

Akhirnya FIFA menyiarkan laporan Michael Garcia juga. Tetapi Michael Garcia berkata laporannya sudah ‘dibersihkan’ oleh FIFA. Beberapa fakta penting sudah hilang dan laporan beliau diputar-belit.

Ini menambah lagi keyakinan ramai pihak bahawa FIFA sudah kotor (corrupt). UEFA yang dipimpin Michel Platini secara terang-terangan mengumumkan rasa tidak percaya mereka kepada FIFA yang dipimpin Sepp Blatter.

Berapa jumlah duit rasuah yang diterima pegawai-pegawai FIFA?

Semasa England mahu mendapatkan hak tuan rumah Piala Dunia 2018, wakil mereka memberitahu seorang naib presiden FIFA mahu £2.5 juta untuk undi beliau. Seorang ahli Majlis Eksekutif FIFA pula mahu beliau diberi anugerah knighthood daripada Queen Elizabeth.

Pada 2011, dua ahli FIFA (Presiden Persatuan Bola Sepak Cameroon dan Ivory Coast) mengaku menerima USD 1.5 juta daripada wakil Qatar yang mahukan undi mereka bagi hak tuan rumah Piala Dunia 2022.

Siapa pegawai-pegawai FIFA yang didakwa oleh Amerika Syarikat?

CGA-pKxWMAENXMR

1. Jeffrey Webb (Presiden CONCACAF, Naib Presiden FIFA)
2. Jack Warner (bekas Presiden CONCACAF, Naib Presiden FIFA)
3. Eugenio Figueredo (bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Uruguay, bekas Naib Presiden FIFA)
4. Eduardo Li (Presiden Persatuan Bola Sepak Costa Rica, ahli Majlis Eksekutif FIFA)
5. Nicolás Leoz (bekas ahli Majlis Eksekutif FIFA)
6. José Maria Marin (bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Brazil)
7. Julio Rocha (bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Nicaragua, pegawai Pembangunan FIFA)
8. Rafael Esquivel (Presiden Persatuan Bola Sepak Venezuela)
9. Costas Takkas (bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Cayman Islands)

Adakah Sepp Blatter (akan) didakwa?

Tidak buat masa sekarang tetapi ada kemungkinan beliau akan didakwa kerana beliau tidak membuat sebarang perubahan untuk mengubah amalan rasuah berleluasa dalam FIFA.

Adakah Sepp Blatter akan menang dalam pemilihan presiden FIFA hari ini?

Pilihanraya akan dijalankan pada hari Jumaat dan malangnya – besar kemungkinan beliau akan menang. Ini kerana Blatter mempunyai sokongan daripada benua Afrika dan Asia. Artikel The Guardian ini menerangkan mengapa Blatter mendapat sokongan besar daripada Afrika.

Bagaimanapun, tidak mustahil juga ahli-ahli FIFA akan beralih kepada pencabar terdekat Blatter – Putera Ali bin al-Hussein dari Jordan. Apatah lagi apabila presiden UEFA, Michel Platini menjamin semua ahli UEFA (kecuali Sepanyol dan Russia) akan mengundi Putera Ali.

Putera Ali sendiri memberitahu UEFA beliau sudah mempunyai 60 undi daripada negara luar Eropah, sekaligus boleh menjamin kemenangan beliau sebagai presiden FIFA terbaru.

Rumusan

FIFA sudah kotor selama 30 tahun. Sebelum Sepp Blatter, presiden FIFA sudah ‘menghalalkan’ rasuah berleluasa dalam FIFA tetapi ketika itu (zaman pra-Internet) orang ramai masih tidak tahu.

Kini walaupun sudah terang lagikan bersuluh (pada zaman Internet), Sepp Blatter tidak melakukan apa-apa untuk mengubah tradisi rasuah berleluasa dalam FIFA. Kemuncak kekotoran FIFA tiba apabila Qatar diberi hak tuan rumah Piala Dunia 2022.

Sumber: NY Times, The Guardian Football

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

The post Tak Tahu Apa-apa Tentang Skandal Rasuah FIFA? Baca Ini appeared first on Semuanya Bola.

Semuanya Bola